lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Sidang DUN : Seminar 'Mental Health Advocater' Secara Atas Talian Oktober Ini
Sidang DUN : Seminar 'Mental Health Advocater' Secara Atas Talian Oktober Ini
KUALA TERENGGANU, 15 September - Kerajaan negeri menerusi Badan Bukan Kerajaan(NGO) akan bekerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan(KBS) melalui Bahagian Rakan Muda, Jabatan Belia dan Sukan Negeri (JBSNT) dalam melaksanakan Seminar Mental Health Advocater secara atas talian pada Oktober ini. Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata program tersebut mampu mencetuskan perkembangan positif selain mencerminkan tahap keprihatinan yang tinggi terhadap isu kesihatan berkenaan. "Kita sedia maklum bahawa masalah mental antara isu serius yang dihadapi masyarakat ketika pandemik COVID-19. "Oleh sebab itu, program kesedaran mengenai kesihatan mental perlu dititip dalam kalangan komuniti terutama belia bagi memperkasa keutuhan mental mereka untuk berhadapan dengan cabaran semasa," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Ke-14 di sini, hari ini. Dalam masa yang sama, beliau berharap seminar sebegini dapat menjadi platform kepada belia berkongsi masalah, mendapatkan kaunseling tentang cara dan bagaimana menguruskannya mengikut saluran yang tepat.          
15 Sep 21
101
Sidang DUN : Optimumkan Penglibatan Komuniti Setempat Dalam Industri Pelancongan
Sidang DUN : Optimumkan Penglibatan Komuniti Setempat Dalam Industri Pelancongan
KUALA TERENGGANU, 15 September - Kerajaan negeri bersedia melibatkan komuniti setempat dalam memajukan industri pelancongan di Terengganu secara optimum. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, antara langkah yang telah diambil ialah mengalakkan penyertaan komuniti setempat bagi menggerakkan program pelancongan berasaskan komuniti (CBT). "Kita tawarkan pakej pelancongan CBT yang kreatif dan mampu menarik pengunjung dalam melahirkan komuniti yang berfikir dan bertindak ke arah pelancongan. "Langkah ini berjaya memberi pulangan secara langsung kepada komuniti setempat termasuk berjaya mengenalpasti produk-produk CBT yang berpotensi untuk diketengahkan," ujarnya. Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis bagi menjawab soalan bertulis Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Rantau Abang, Alias Harun di Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Ke-14, di sini, hari ini. Tambahnya, antara contoh CBT yang berjaya adalah Dataran Batu Putih, Kalang Warisan dan Merchang di daerah Marang.
15 Sep 21
74
Sidang DUN : Sedia Perkasakan 'Sport Tourism' Sebagai Sub Pelancongan Negeri
Sidang DUN : Sedia Perkasakan 'Sport Tourism' Sebagai Sub Pelancongan Negeri
KUALA TERENGGANU, 15 September - Terengganu sedia memperkasakan 'Sport Tourism' sebagai salah satu sub pelancongan yang mampu menarik pelancong ke negeri ini. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman, berkata, 'sport tourism' berupaya menjadi produk menarik kumpulan tertentu seperti peminat memancing, menyelam dan lain-lain lagi. "Selain itu, kita juga mempromosikan aktiviti ini melalui penganjuran acara seperti Perhentian Island  Challenge, Terengganu Surfing, Terengganu Paragliding dan Larian Jambatan Sultan Mahmud bagi menarik pelancong," ujarnya. Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis bagi menjawab soalan bertulis Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman di Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Ke-14, di sini, hari ini. Tambahnya, ia termasuk bekerjasama dan berkolaborasi dengan badan sukan yang terkenal di peringkat antarabangsa dan dunia seperti Terengganu Cycling Team (TSG). Dalam masa yang sama, Ariffin juga berkata, perancangan tersebut terpaksa ditangguh akibat pandemik COVID-19 buat sementara waktu. "Program-program ini akan kembali diadakan seperti biasa setelah wabak ini dapat diatasi," ujar beliau.  
15 Sep 21
292
Sidang DUN : Kerjasama Pelbagai Pihak Tangani Kenaikan Harga Makanan Ternakan
Sidang DUN : Kerjasama Pelbagai Pihak Tangani Kenaikan Harga Makanan Ternakan
KUALA TERENGGANU, 14 September - Kerajaan negeri telah bekerjasama dengan beberapa agensi dan persatuan bagi menangani isu kenaikan harga makanan ternakan di Terengganu. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, pihaknya telah mengadakan perbincangan dengan pengusaha kilang makanan ternakan (pellet), Koperasi Peserta-peserta Felcra Malaysia Berhad (KPFB) di Gong Badak dan wakil persatuan Ternakan Ruminan negeri. "Kerjasama ini diadakan bagi memastikan harga makanan ternakan dalam negeri terkawal dan harga yang lebih berpatutan berbanding sumber dari luar negeri. "Kita juga telah meminta agar persatuan tersebut memainkan peranan dalam mempromosikan makanan keluaran tempatan dengan harga yang lebih berpatutan kepada ahli-ahlinya dan penternak yang lain," ujarnya. Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis bagi menjawab soalan bertulis Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Rantau Abang, Alias Harun di Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Ke-14, di sini, hari ini. Tambah Dr Azman lagi, penternak-penternak juga digalakkan menumpukan kepada penggunaan makanan hijau sebagai makanan utama ternakan bagi mengurangkan kos makanan melalui pembangunan tanah Rizab Padang Ragut.  
14 Sep 21
492
Sidang DUN : Tiga Menara Baharu Di Air Putih Dalam Pembinaan
Sidang DUN : Tiga Menara Baharu Di Air Putih Dalam Pembinaan
KUALA TERENGGANU, 14 September - Sebanyak tiga menara baru sedang dan akan dibina di Dewan Undangan Negeri (DUN) Air Putih di bawah program Jalinan Digital Negara (JENDELA). Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, ia bagi mengatasi masalah di kawasan tersebut yang mengalami capaian internet lemah. "Sebanyak 44 menara sedia ada  dalam proses naiktaraf kepada liputan 3G dan sebanyak 2,583 premis sedang dinaiktaraf kepada gentian fiber optik talian tetap sehingga tahun 2022. "Daripada jumlah itu, satu menara telah siap dibina, 25 menara sedia ada telah dinaiktaraf kepada liputan 4G dan sebanyak 2,350 premis boleh menikmati liputan jalur lebar tetap," ujarnya. Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis bagi menjawab soalan bertulis Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Air Putih, Ab Razak Ibrahim di Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Ke-14, di sini, hari ini. Sementara itu, satu menara sedang dibina  di Kampung Perasing dan menara sedia ada  di Felda Neram sedang dinaiktaraf. Kerajaan negeri melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) juga sedang merancang untuk menyediakan liputan talian tetap UNIFI kepada penduduk pada masa akan datang.
14 Sep 21
784
Varian Delta Di Terengganu Bertambah, Tujuh Daerah Berisiko
Varian Delta Di Terengganu Bertambah, Tujuh Daerah Berisiko
KUALA TERENGGANU, 13 September – Jangkitan COVID-19 melibatkan varian delta di Terengganu meningkat kepada 12 kes, manakala varian beta sembilan kes, lapor Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT). Menerusi kenyataan di Facebook rasminya, ia menjadikan jumlah keseluruhan melonjak kepada 21 kes varian membimbangkan (VOC) sejak ia mula dikesan akhir Julai lalu. Katanya, daerah Hulu Terengganu merekodkan kes tertinggi dengan lima kes VOC diikuti Kuala Terengganu dan Besut (empat kes), Marang (tiga kes), Dungun dan Kemaman (dua kes) serta satu di Setiu. “Kemungkinan besar varian berkenaan sudah pun menular dengan meluas dalam komuniti di semua daerah dengan sekurang-kurangnya satu jenis VOC dilaporkan di seluruh negeri kecuali daerah Kuala Nerus. “Fakta ini penting dan perlu diambil serius oleh setiap rakyat Terengganu kerana kadar kebolehjangkitannya yang tinggi dan sifatnya yang sentiasa berubah-ubah. “Susulan itu, JKNT juga akan terus memantapkan aktiviti kawalan seperti memperbanyakkan ujian saringan COVID-19, melakukan pengesanan kontak rapat dan pengasingan kes serta langkah kesihatan awam lain bagi membendung penularan varian ini dalam komuniti,” jelasnya. Menurutnya lagi, individu yang telah divaksin juga diingatkan agar terus mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) seperti mengekalkan pemakaian topeng pelitup muka dan menjaga penjarakan fizikal. “Orang ramai juga perlu mengelakkan diri dari berada di tempat yang sempit dan sesak dan sentiasa menjaga kebersihan diri dan tangan. Mencegah lebih baik dari merawat perlu sentiasa dalam ingatan,” katanya lagi.
13 Sep 21
11929
Exco Terengganu Positif Covid-19
Exco Terengganu Positif Covid-19
KUALA TERENGGANU, 13 September - Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro Dan Hal Ehwal Pengguna negeri Terengganu, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman dilaporkan positif Covid-19, dan kini dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah, (HSNZ), di sini. Pengerusi Jawatankuasa  Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Terengganu, Dr Alias Razak berkata, Mohd Nurkhuzaini  yang juga ADUN Kota Putera disahkan positif selepas menjadi kontak rapat kepada pesakit COVID-19. "Beliau disahkan positif dan dimasukkan ke hospital sebelum kita mewajibkan semua ADUN membuat ujian saringan Covid-19 pada 9 September lalu. "Saya tidak dapat nak beri penjelasan secara terperinci tetapi difahamkan beliau kini stabil dan hanya menunggu masa untuk keluar daripada hospital," katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Ke-14 di sini, hari ini. Menurut Dr Alias, melalui ujian saringan Covid-19 sebagai persiapan menghadiri Persidangan DUN pada 9 September lalu, semua ADUN selain Mohd Nurkhuzaini adalah negatif. "Untuk ujian saringan COVID-19 tidak ada ADUN yang disahkan positif COVID-19," katanya.  
13 Sep 21
1786
100 Guru Tolak Vaksin Sedang Dipujuk
100 Guru Tolak Vaksin Sedang Dipujuk
KUALA TERENGGANU, 13 September - Kira-kira 100 guru yang menolak pemberian vaksin di negeri ini dinasihatkan untuk segera mengambil vaksin sebelum persekolahan dibuka awal Oktober ini.  Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata dari jumlah tersebut, ada yang masih belum menerima vaksin atas sebab kesihatan yang dinasihatkan oleh doktor dan sebahagiannya merupakan antivaksin. Katanya, setakat ini, Jabatan Pendidikan negeri telah memainkan peranan untuk memujuk guru-guru tersebut untuk menerima suntikan vaksin tersebut secepat mungkin. "Ada sebahagiannya telah akur mengambil suntikan vaksin namun  masih ada yang 'hardcore' (tegar) dan menolak pengambilannya. "Demi kebaikan bersama, saya  menyeru guru-guru ini agar segera mendapatkan vaksin kerana tindakan mereka akan menyusahkan diri sendiri dalam banyak perkara," ujarnya selepas Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Ke-14 di sini, hari ini. Ahmad Samsuri berkata, mereka perlu pertimbangkan maslahah dan kebaikan bersama untuk semua pihak termasuk anak-anak murid dan keluarga bagi mengelak penularan wabak pandemik di sekolah apabila dibuka nanti. Terdahulu, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata pihaknya sedang berbincang dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi melihat tindakan selanjutnya kepada 2,500 guru di seluruh negara  yang enggan mengambil vaksin. Beliau berkata, buat masa ini, guru-guru yang tidak divaksin tidak dibenarkan untuk mengajar secara bersemuka di dalam kelas. Sementara itu, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) turut menyokong langkah Kementerian Pendidikan (KPM) yang memutuskan supaya guru yang enggan terima vaksin dilarang mengajar secara bersemuka apabila sekolah dibuka 3 Oktober nanti.  
13 Sep 21
1323
Terengganu Tingkatkan Vaksinasi Sebelum Musim Tengkujuh
Terengganu Tingkatkan Vaksinasi Sebelum Musim Tengkujuh
KUALA TERENGGANU, 13 September – Kerajaan melalui agensi berkaitan sedang giat mempertingkatkan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) bagi menaikkan kadar suntikan sebelum menghadapi musim tengkujuh di Terengganu. Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, antara strategi diambil adakah meningkatkan jumlah vaksin bagi bulan September buat negeri ini dan negeri berpotensi dilanda banjir seperti Kelantan, Pahang, Kedah dan Sabah. “Dengan ada jumlah dos mencukupi, kita ada sasaran jelas untuk dicapai, walaubagaimanapun, sesetengah negeri hampir mencapai pemvaksinan penuh daripada mereka yang berdaftar dibawah aplikasi Mysejahtera. “Bagi mengatasi cabaran ini, pertemuan bersemuka atau pengumpulan nama oleh Pusat Kesihatan Daerah serta ketua masyarakat adalah penting dalam ‘ramp-up’ vaksinasi. “Oleh sebab itu, MOSTI dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menjalankan program ‘Outreach’ bagi menyuntik golongan yang tidak mampu ke Pusat Pemberian Vaksin serta tidak berupaya untuk mendaftar melalui Mysejahtera,” katanya ketika ditemubual selepas program vaksinasi ‘Outreach’ di Taman Desa Paloh, pagi semalam. Tambahnya yang juga Pengerusi bersama Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF), Terengganu dijangka mencapai kadar peratusan populasi dewasa lengkap divaksinasi 80% pada minggu akhir bulan September 2021. “Terengganu juga telah memperluaskan vaksinasi 'walk-in' di mana inisiatif tersebut telah dibuka kepada individu berumur 18 tahun ke atas di PPV tertentu di semua daerah. Setakat ini, sekurang-kurangnya 14 PPV telah menerima vaksinasi walk-in untuk semua populasi dewasa," katanya. Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan Monsun Timur Laut atau musim tengkujuh bermula pada awal November ini hingga Mac tahun hadapan dengan empat hingga enam episod hujan lebat akan berlaku sepanjang tempoh tersebut.
13 Sep 21
313
Sidang DUN : ADUN Diminta Manfaatkan Peluang Sepenuhnya
Sidang DUN : ADUN Diminta Manfaatkan Peluang Sepenuhnya
Oleh : Rohayati Ripin KUALA TERENGGANU, 13 September – Semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Terengganu diseru memanfaatkan peluang sebaiknya demi kebajikan rakyat semasa  bersidang dalam Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Ke-14 yang diadakan hari ini sehingga 15 September. Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato’ Yahaya Ali berkata, mereka harus memberi tumpuan dalam berbakti kepada masyarakat dan memainkan peranan dalam menyampaikan maklumat kepada pihak kerajaan. “Usah kita pertikaikan perkara-perkara picisan yang menyebabkan perbalahan sesama sendiri dalam era pandemik seperti ini. “Setiap wakil rakyat perlu bersatu, berganding bahu demi kemaslahatan rakyat,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika berucap dalam pembukaan sidang DUN tersebut yang dibuka dengan rasminya oleh titah perutusan Sultan Terengganu, KDYMM Sultan Mizan Zainal Abidin dibacakan oleh Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. Menurutnya, setiap wakil rakyat mestilah mengambil peluang yang ada dengan sebaik-baiknya dalam menguruskan kepentingan politik dan kehidupan bermasyarakat. ”Kita boleh berbeza pendapat dalam perkara-perkara cabang (furu') tetapi atas nama kita sebagai umat Islam tidak ada apa-apa alasan lagi untuk kita tidak boleh bersatu. “Selain itu, wakil rakyat perlu mengekalkan sifat bermuafakat dalam perkara dasar (usul) demi kepentingan masa depan agama kita, bangsa kita dan 'survival' generasi yang akan datang,” ujarnya. Sebelum itu, beliau turut memohon maaf kepada semua ADUN sekiranya peraturan dan SOP yang ditetapkan bagi menghadiri sidang pada kali ini agak ketat yang mungkin akan menyebabkan tidak selesa. “Keputusan yang dibuat umpamanya mewajibkan setiap Ahli Yang Berhormat (AYB) menjalani 'swab test' sebelum persidangan dan setiap hari perlu membuat 'saliva test' secara kendiri. “Serta mereka yang bergejala tidak dibenarkan masuk adalah untuk memastikan keselamatan kita bersama, insya-Allah,” tambah Yahaya.
13 Sep 21
220