Artikel "Semasa" Terkini
Kerajaan Negeri Peruntuk RM20,000 Baiki Jalan Ke Rumah Rakit
DUNGUN, 1 November – Kerajaan Negeri meluluskan peruntukan sebanyak RM20,000 bagi membaik pulih laluan di kawasan rumah rakit di kaki Gunung Bongsu, Tasik Kenyir, Hulu Terengganu setelah meneliti aduan daripada pengusaha tempatan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Negeri, Ariffin Deraman berkata, kerja membina laluan tersebut akan dijalankan dengan segera demi keselamatan pengguna susulan keadaannya yang berlopak dan berlumpur.
“Ini adalah isu yang paling besar berdasarkan permintaan daripada persatuan rumah rakit disitu, membataskan kemasukan kenderaan rendah.
"Kita telah meluluskan peruntukan tersebut melalui Pejabat Daerah dan kita telah salur peruntukan itu pada 11 Oktober,” katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.
Tambahnya, pihaknya juga akan berkolaborasi dengan pengusaha rumah rakit bersama Jabatan Pelancongan bagi mempromosikan tempat tersebut berikutan nilai tarikannya sebagai syurga buat kaki pancing.
“Sekarang ini, hanya isu capaian internet dan komunikasi telah dikenalpasti dan sedang dalam perhatian sebuah syarikat telekomunikasi,” katanya lagi.
29 Oct 21
543
Sentiasa Dekati Rakyat Di Luar Bandar, Pedalaman
Oleh : Rohayati Ripin
SETIU, 26 Oktober - Semua kakitangan kerajaan dinasihati agar terus menjalinkan hubungan rapat dengan masyarakat terutama di luar bandar dan kawasan pedalaman di negeri ini.
Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato' Yahaya Ali berkata, kesedaran hidup bersama dalam sebuah Keluarga Malaysia merupakan tanggungjawab yang perlu dipikul oleh seluruh lapisan masyarakat dan badan pentadbiran.
"Kita harus mendekati masyarakat dengan sebaik-baiknya kerana kekuatan kita bukan sahaja kekuatan parti dan juga jentera parti.
"Tetapi sebagaimana yang saya sebutkan ialah kita perlu mendekati seberapa ramai kalangan rakyat dan ahli supaya apabila kita mendekati rakyat serta berbuat baik kepada rakyat insya Allah mereka akan kasih Kepada kita,” jelasnya.
Beliau berkata demikian selepas menziarahi penduduk kampung di sekitar kawasan DUN Langkap, semalam.
Turut hadir sama ialah Penyelaras DUN Langkap, Azmi Maarof dan Ketua Muslimat negeri Terengganu, To’ Puan Hajah Zarani Othman dan wakil Iman Care.
Beliau berharap agar semua kakitangan tak kira dari lantikan politik atau tidak agar sama-sama berkorban dan berjuang untuk menjadikan kerajaan yang ada sekarang lebih kuat.
“Parti kena lebih kuat bergabung dengan kerajaan untuk kita berusaha sedaya mungkin mendekati masyarakat.
“Buatlah apa sahaja pendekatan hasil kebajikan, dakwah supaya mereka boleh bersama-sama dengan kita,” kata Dato’ Yahaya.
Menurutnya, tanggungjawab sebagai pegawai kerajaan amat berat kerana memikul amanah seluruh rakyat negeri ini.
“Walaupun benda kecil sekalipun apabila menjadi kerajaan ni kena ambil cakna sebab tanggungjawab kerajaan untuk menguruskan kepentingan rakyat sesuai kedudukan kita sebagai khalifah Allah di atas muka bumi ini.
“Apabila turun ke bawah kita dapat menyelami sendiri susah payah masalah dan keadaan kehidupan rakyat. Kitalah sebagai kerajaan yang menjadi harapan mereka untuk memberikan perlindungan dan juga pembelaan,” ujar beliau.
Justeru itu, kata beliau, kerajaan bertanggungjawab menyelesaikan walaupun sekecil-kecil masalah yang dihadapi oleh rakyat.
26 Oct 21
120
Terengganu Catat Kesalahan Merokok Tertinggi
KUALA TERENGGANU, 26 Oktober - Terengganu mencatatkan pengeluaran notis kesalahan tertinggi berkaitan merokok di premis makanan dengan sejumlah 652 notis sehingga 24 Oktober tahun ini.
Menurut Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, empat negeri lain dengan notis pengeluaran tertinggi diikuti dengan Pahang (601 notis), Sarawak (365 notis), Perak (356 notis) dan WP Kuala Lumpur (303 notis).
“Secara keseluruhan, aktiviti penguatkuasaan larangan merokok di seluruh negara telah dijalankan sepanjang tahun 2021. Sejak Januari hingga 24 Oktober 2021, sebanyak 3,419 notis kesalahan di tempat makan telah dikeluarkan di bawah Seksyen 32B, PPKHT 2004.
“Kementerian Kesihatan Malaysia telah mempergiatkan lagi aktiviti penguatkuasaan larangan merokok di tempat makan khususnya selepas peralihan fasa pemulihan negara dan kebenaran makan di tempat makan telah diberikan oleh kerajaan.
“Antara contoh kesalahan lain seperti notis dikenakan ke atas tuan punya premis kerana gagal mempamerkan tanda larangan merokok dan memastikan tiada orang merokok di premis masing-masing serta bagi kesalahan merokok di kompleks membeli belah,” katanya dalam satu kenyataan.
Tegasnya, larangan merokok bukan bertujuan untuk menghukum golongan perokok tetapi ia dilaksanakan bagi mengelakkan komplikasi akibat tabiat merokok kepada golongan perokok serta golongan perokok pasif iaitu mereka yang berada di sekeliling.
“Penguatkuasaan larangan merokok sangat penting dalam memastikan negara bersedia beralih ke fasa endemik selaras dengan kenyataan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bahawa aktiviti merokok termasuk penggunaan rokok elektronik boleh meningkatkan risiko untuk mendapat komplikasi yang lebih teruk sekiranya dijangkiti COVID-19.
"Pelaksanaan ini juga penting terutama ketika negara masih berhadapan dengan pandemik COVID-19, kita sentiasa membantu golongan perokok untuk berhenti merokok.
“Pendaftaran ke perkhidmatan berhenti merokok mQuit boleh dibuat melalui laman sesawang www.jomquit.com,” katanya lagi.
Terdahulu, semua tempat makan termasuk restoran berhawa dingin dan tempat makan terbuka telah diwartakan sebagai tempat dilarang merokok di bawah Peraturan 11(1)(d), Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 pindaan 2018 berkuatkuasa 1 Januari 2019 di seluruh negara.
26 Oct 21
575
Terengganu Ketatkan Kelulusan Lesen Korek Pasir
KUALA TERENGGANU, 26 Oktober - Syarat kelulusan pemberian lesen kepada aktiviti mengorek pasir di Sungai Terengganu akan diperketatkan bermula tahun depan bagi mengelak masalah paip bocor dan patah hingga menjejaskan pengguna berulang.
Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri Terengganu (UPEN), Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak berkata, prosedur operasi standard (SOP) baharu kelulusan lesen korek pasir itu kini sedang dirancang dan diperhalusi oleh semua jabatan terlibat.
Menurut beliau yang mempengerusikan jawatankuasa khas siasatan paip bocor, SOP baharu lebih teliti dan ketat merupakan antara yang disyorkan oleh jawatankuasa itu kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MKKN) selepas siasatan selesai.
“Laporan siasatan sudah dikemukakan kepada MKKN pada bulan lepas dan kita membuat beberapa pengesyoran jangka masa pendek serta panjang dan MKKN telah bersetuju dengan pengesyoran kita.
“Antaranya pemetaan struktur bawah air sebagaimana disebut Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, garis panduan baharu mengorek pasir dan kajian tahap kesihatan lembangan sungai Terengganu,” katanya kepada pemberita pada Isnin.
Tun Ahmad Faisal berkata, SOP baharu itu sebagai penambahbaik kepada garis panduan sedia ada dan ia tidak hanya terhad kepada kerja mengorek pasir sahaja, tetapi termasuk juga projek pembinaan serta aktiviti lain di dalam sungai.
“Contohnya, kita mungkin kena kurangkan bilangan pengusaha pasir dalam satu-satu kawasan dan jarak lokasi memproses pasir perlu mengambil kira sensitiviti kawasan itu kerana keadaan sungai berbeza, kuala sungai lain, hulu sungai lain,” katanya.
Ditanya punca sebenar kerosakan paip dasar Sungai Terengganu hingga menjejaskan ribuan pengguna di sekitar Kuala Terengganu dan Kuala Nerus pada Ogos lalu, beliau berkata, tiada keputusan yang konkrit boleh dinyatakan sehingga kajian lebih teliti dibuat.
26 Oct 21
889
2,144 Pesakit Mental Terima Rawatan Tahun Lepas
KUALA TERENGGANU, 26 Oktober - Seramai 2,144 individu telah mendaftar dan mendapat rawatan sebagai pesakit mental di Pusat Kesihatan Mental Masyarakat (Mentari) di Terengganu sepanjang tahun lalu.
Pengarah Kesihatan negeri, Dato Dr Kasemani Embong berkata namun berlaku sedikit penurunan pada tahun ini apabila data menunjukkan seramai 1,797 pesakit mendapatkan rawatan sama sehingga September lalu.
Katanya, sehingga kini terdapat dua buah Pusat Kesihatan Mental Masyarakat (MENTARI) di Terengganu iaitu di Wakaf Tapai dan di Hospital Sultanah Nur Zahirah
"Kedua-duanya menawarkan perkhidmatan psikiatri, kaunseling dan psikoterapi kepada individu yang mengalami kemurungan serta pengurusan kes berkaitan tingkah laku bunuh diri.
"Ini termasuk Perkhidmatan Klinik Minda Sihat di semua klinik kesihatan yang telah ditambah baik dan dikendalikan oleh pegawai terlatih," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia Peringkat Negeri Terengganu di Kompleks Psikiatri, Hosptal Sultanah Nur Zahirah, di sini, hari ini.
Katanya, Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) turut melaporkan bahawa kemurungan adalah salah satu penyebab utama ketidakupayaan seseorang individu
Dalam masa yang sama Kasemani berkata, JKNT turut melaksanakan advokasi Let’s TALK Minda Sihat secara menyeluruh melibatkan media massa, media sosial dan agensi lain.
"Kempen ini merupakan kolaborasi pintar (smart partnership) bersama agensi-agensi kerajaan, dan NGO dalam usaha mempertingkatkan kesedaran kesihatan mental secara meluas bagi mengatasi stigma terhadap kesihatan mental dalam kalangan masyarakat.
"Ia juga merupakan salah satu usaha KKM mendidik masyarakat agar lebih terbuka dalam membincangkan perkara berkaitan kesihatan mental, menghapuskan stigma serta menggalakkan masyarakat lebih mengambil tahu tentang masalah dan penyakit mental,"katanya.
26 Oct 21
291
Tiga Tan Bahan Buangan Elektronik Dikumpulkan
KUALA TERENGGANU, 25 Oktober - Sebanyak tiga tan bahan buangan elektrik dan elektronik (E-waste) telah berjaya dikumpulkan bagi tujuan pelupusan sempena Minggu Sambutan Hari Alam Sekitar Negara 2021 Peringkat Negeri Terengganu.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Terengganu, Dr Alias Razak berkata, program tersebut telah mendapat sambutan menggalakkan daripada orang awam terutamanya yang berada di daerah Kuala Terengganu dan Kuala Nerus.
”Acara ini dianjurkan bertujuan menggalakkan semua lapisan masyarakat di negeri ini menguruskan buangan E-Waste ini mengikut kaedah yang betul dan selamat.
”Orang ramai yang datang secara pandu lalu bagi menyumbangkan bahan buangan elektrik dan elektronik boleh menukar bahan buangan dengan wang tunai mengikut harga yang ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan program tersebut di di Taman Rekreasi Pantai Batu Buruk, semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal itu turut menyampaikan ucapan terima kasih kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Terengganu, rakan-rakan strategik yang terdiri daripada PETRONAS, Syarikat KT Wan Recycle Sdn.Bhd dan semua pihak yang terlibat dalam menjayakan usaha-usaha kelestarian alam sekitar berkenaan.
Tambah beliau, kerajaan negeri juga akan mengadakan kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) di semua daerah ke arah menyediakan kemudahan tempat pelupusan E-Waste.
Katanya, sehingga kini, JAS mengambil inisiatif melesenkan beberapa syarikat yang bertanggungjawab mengumpul dan seterusnya menguruskan proses kitar semula.
25 Oct 21
632
TERENGGANU TAWAR 20 PAKEJ 3 HARI 2 MALAM
25 Oct 21
176
HAJAT TAK SAMPAI, PASANGAN KEKASIH DICEKUP SKUAD AMAR
25 Oct 21
158
DUA LOKASI DI SETIU DIISTYHAR KAMPUNG PELANCONGAN
25 Oct 21
145
Pulau Kapas Jadi Pilihan Destinasi Percutian
MARANG, 25 Oktober - Pulau Kapas yang terletak diperairan Marang, Terengganu menjadi destinasi percutian bagi mereka yang berhasrat untuk mencari ketenangan.
Pulau yang terbentang indah di Laut China Selatan itu mempunyai pelbagai khazanah laut dengan pantainya yang cantik beserta kemudahan rekreasi yang pasti akan menambat hati para pengunjungnya.
Seorang pengunjung yang ditemui di Jeti Marang, Rumayso' Salwani Abdullah, 38, berkata ini merupakan kali pertama dia menjejak kakinya di pulau berkenaan bersama keluarga.
"Inilah pengalaman yang tidak dapat dilupakan kerana dapat beriadah bersama keluarga dan rakan-rakan seorganisasi di pulau yang cantik ini.
Rumayso' Salwani Abdullah
"Pakej percutian kali ini amatlah berbaloi, tidaklah terlalu mahal dengan prasarana yang disediakan amat memuaskan hati disamping banyak aktiviti sukan air yang ditawarkan.Pantainya yang bersih, ada kemudahan asas seperti tandas, surau, tempat makan dan keselamatan pengunjung ketika berada di air juga dititikberatkan," ujarnya lagi.
Dia bersama keluarga dan rakan-rakannya seramai lima puluh orang berkonvoi dengan kereta daripada Kemaman untuk bercuti di Pulau Kapas sempena Hari Keluarga Ameerah Kijal yang merupakan salah satu organisasi wanita muda yang bernaung dibawah Dewan Muslimat, Parti Islam Semalaysia.
Sebelum itu, mereka telah bermalam di Kampung Tok Adis dengan menyewa rumah tumpangan dan melakukan beberapa aktiviti disana.
"Kepada mereka diluar sana yang ingin bercuti, bolehlah rancang percutian anda dengan datang ke Pulau Kapas bersama keluarga. Pasti tidak menghampakan," ujarnya.
25 Oct 21
549