lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

KMI HEALTHCARE BINA HOSPITAL SWASTA KEENAM
KMI HEALTHCARE BINA HOSPITAL SWASTA KEENAM
31 Oct 21
274
2,144 PESAKIT MENTAL TERIMA RAWATAN TAHUN LEPAS
2,144 PESAKIT MENTAL TERIMA RAWATAN TAHUN LEPAS
31 Oct 21
48
T-HRDC Sedia Peluang Pekerjaan
T-HRDC Sedia Peluang Pekerjaan
Foto: Naim Abdillah Oleh: Amiruddin Zamri DUNGUN, 31 Oktober - Pusat Pembangunan Sumber Manusia Terengganu(T-HRDC) mengadakan Program Outreach Kesejahteraan Rakyat Negeri Terengganu bagi memberi peluang pekerjaan kepada yang memerlukannya. Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro Dan Hal Ehwal Pengguna negeri,  Wan Hapandi Wan Nik berkata, ia sebagai salah satu langkah untuk mengurangkan kadar penganguran di Negeri Terengganu.  " Kita bergerak pantas di lapangan bersama rakyat bagi mendapatkan pekerjaan, dan peluang ini perlu digarap oleh para belia di Dungun ini segera kerana peluang seumpama ini amat jarang ditemui di sepanjang hayat kita," katanya.  Wan Hapandi berkata demikian ketika merasmikan Program Outreach Kesejahteraan Pekerjaan Rakyat Terengganu yang diadakan di Dewan Majlis Perbandaran Dungun, di sini semalam.  Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun dan Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman. Menurutnya lagi, kerajaan persekutuan juga menyediakan  pelbagai insentif Pakej PEMULIH telah disediakan, melalui PERKESO kepada mereka yang berkelayakan.   "Kerajaan jegeri, melalui T-HRDC, juga telah mengadakan perjanjian persefahaman(MOU) bersama sebuah syarikat multinasional dari Jepun, Panasonic Appliances Air-Conditioning Malaysia Sdn. Bhd.(PAPAMY) bagi membuka sebanyak 800 peluang pekerjaan kepada rakyat negeri ini. "Oleh itu, saya menyeru kepada para belia di Dungun ini, dan juga di seluruh negeri Terengganu agar berusaha mendaftar dan menghadiri temuduga yang kita sediakan ini," ujarnya. Dalam masa yang sama, Wan Hapandi berkata, T-HRDC bersama pasukan Sumber Manusia PAPAMY ini akan menjelajah di daerah lain bagi menemui rakyat Terengganu yang berminat.
31 Oct 21
298
Kerjasama TSIS, UKM Dan UMT Hasilkan Tiga Karya Penyelidikan
Kerjasama TSIS, UKM Dan UMT Hasilkan Tiga Karya Penyelidikan
KUALA TERENGGANU, 31 Oktober - Hasil kerjasama Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS) bersama dua Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) telah berjaya membuahkan tiga buku dalam memperkayakan lagi bidang penulisan dalam negeri. Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, antara buku yang telah dilancarkan seperti “Menelusuri Setiu Wetland Bersama Ayah Ku” penulisan Dr. Jarina Mohd Jani dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT). “Dua lagi hasil penulisan antaranya bertajuk “Fiqh Siasah Abdul Hadi Awang Dalam Sosio-politik Malaysia & Antarabangsa” dan buku ketiga bertajuk “Sosiopolitik Islam” hasil penulisan Prof. Madya Dr. Latifah Abdul Majid serta ahli kumpulan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). “Tentunya semua penulisan dihasilkan daripada penyelidikan yang telah dijalankan tidak mudah untuk diterbitkan terutamanya bila berdepan dengan kekangan pandemik COVID-19. “Sebagai negeri yang Maju Berkat dan Sejahtera, bukan sahaja maju dalam konteks teknologi dan pembangunan malah turut maju dalam membentuk peradaban masyarakat dan ketinggian ilmu dimiliki,” katanya. Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Pelancaran Buku Penyelidikan TSIS Dengan Kerjasama UMT & UKM 2021 di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, baru-baru ini. Turut hadir, Yang Dipertua DUN Terengganu, Dato' Yahaya Ali, ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan pegawai-pegawai kanan kerajaan negeri. Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif TSIS, Dr. Wan Mat Sulaiman berkata, pihaknya sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan agensi kerajaan negeri yang berminat menjalankan kajian dalam meningkatkan lagi pengurusan, penjanaan hasil dan sebagainya. “Hari ini adalah hasil daripada geran yang diberikan TSIS kepada UKM dan UMT, sebanyak tiga buah buku dilancarkan. “Pada tahun ini juga, TSIS telah menandatangani perjanjian penyelidikan dengan 13 pasukan penyelidik daripada pelbagai universiti awam. “Minat daripada mereka amat tinggi, contohnya, apabila TSIS mewar-warkan geran kecil penyelidikan kita telah menerima 714 cadangan penyelidikan,” jelasnya.
31 Oct 21
495
731 Entiti Dilantik Selia Bekalan Barangan Ketika Banjir
731 Entiti Dilantik Selia Bekalan Barangan Ketika Banjir
HULU TERENGGANU, 30 Oktober - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) setakat ini melantik 731 peruncit, pemborong dan pengilang terpilih bagi menyelia bekalan barang keperluan asas ketika banjir. Timbalan Menterinya, Dato Rosol Wahid berkata ia melibatkan 428 peruncit terpilih daerah (DDR), 299 pemborong terpilih daerah (DDW) dan empat pengilang terpilih daerah (DDM) di 246 kawasan di seluruh negara. "Mereka telah diberikan kebenaran untuk menyimpan tambahan 30 peratus kuota bekalan makanan dan keperluan asas terutama dalam menghadapi jangkaan musim tengkujuh. "Ini sebagai persediaan untuk memastikan kecukupan bekalan makanan dan keperluan di 1,030 buah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dan penduduk di kawasan berisiko banjir seluruh negara," ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Pelancaran Program Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (Retail Digitalisation Initiative - ReDI) di Pasar Besar Kuala Berang, di sini hari ini. Turut hadir, Ketua Setiausaha KPDNHEP, Dato Seri Hasnol Zam Zam Ahmad, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang, Dr Mamad Puteh dan Pengarah KPDNHEP negeri, Saharuddin Mohd Kia. Dalam pada itu, Rosol turut menasihati pengguna supaya tidak panik dan mengelakkan membuat pembelian secara banyak atau berlebihan kerana bekalan barang kawalan dan keperluan asas sentiasa mencukupi.
30 Oct 21
238
KPDNHEP Sasar 15,200 Peniaga Kecil, Mikro Terima Manfaat ReDI
KPDNHEP Sasar 15,200 Peniaga Kecil, Mikro Terima Manfaat ReDI
HULU TERENGGANU, 30 Oktober - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mensasarkan 15,200 peniaga kecil dan mikro di luar bandar seluruh negara akan menerima manfaat melalui pelaksanaan Program Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan(ReDI). Timbalan Menterinya, Dato Rosol Wahid berkata pihaknya akan menjalinkan kolaborasi strategik bersama Kerajaan Negeri, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta setiap KPDNHEP negeri bagi melaksanakan program tersebut. "Kita mensasarkan 100 peniaga (di setiap PBT) akan menyertai Program ReDI menjelang akhir 2022.  "Sekiranya ini dapat dilaksanakan, kita yakin sasaran awal sebanyak 15,200 peniaga restoran, medan selera, gerai, peniaga pasar tani, pasar malam, pasar basah dan pasar borong, selain kedai runcit dan kedai pengkhususan di luar bandar seluruh negara akan menerima manfaat dan turut serta dalam memberi pilihan kepada pengguna,"ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Pelancaran Program Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (Retail Digitalisation Initiative - ReDI) di Pasar Besar Kuala Berang, di sini hari ini. Turut hadir, Ketua Setiausaha KPDNHEP, Dato Seri Hasnol Zam Zam Ahmad, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang, Dr Mamad Puteh dan Pengarah KPDNHEP negeri, Saharuddin Mohd Kia. Tambah Rosol lagi, penggunaan e-wallet ini bukan sahaja memberi nilai tambah yang besar terhadap pengembangan perniagaan, tetapi juga dapat memastikan peniaga mempunyai pengurusan rekod kewangan yang lebih tersusun dan  sistematik kerana dijana secara automatik. "Selain itu, peniaga khususnya peniaga kecil dan mikro juga berpeluang merebut akses pinjaman mikro yang disediakan penyedia kemudahan E-Wallet ini,"katanya.
30 Oct 21
643
Kuala Berang Wilayah E-Wallet Luar Bandar Pertama Di Malaysia
Kuala Berang Wilayah E-Wallet Luar Bandar Pertama Di Malaysia
HULU TERENGGANU, 30 Oktober - Kuala Berang bakal menjadi wilayah E-Wallet luar bandar pertama di Malaysia melalui pelaksanaan Program Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (Retail Digitalisation Initiative - ReDI). Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Dato Rosol Wahid berkata ia akan memberi satu momentum kepada agenda digitalisasi negara untuk pemain industri sektor peruncitan di kawasan luar bandar. Katanya, sesuai dengan tagline "Jom E- Wallet Sereme" semua warga peniaga dan pengguna daerah ini tidak ketinggalan dalam arus digitalisasi seperti saranan kerajaan. "Sehingga hari ini, 63 peratus  daripada 375 peniaga di Ajil serta Kuala Berang telah berdaftar dengan E-Wallet dan saya yakin akan ia akan meningkat sehingga 100 peratus. "Dengan adanya program seperti ini, saya yakin ia akan memberi impak yang disasarkan termasuk melonjakkan semula ekonomi peniaga di daerah ini yang terjejas akibat wabak pandemik," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Pelancaran Program Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (Retail Digitalisation Initiative - ReDI) di Pasar Besar Kuala Berang, di sini hari ini. Turut hadir, Ketua Setiausaha KPDNHEP, Dato Seri Hasnol Zam Zam Ahmad, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang, Dr Mamad Puteh dan Pengarah KPDNHEP negeri, Saharuddin Mohd Kia. Dalam masa yang sama, pihak ShopeePay turut menyumbangkan 20 kereta sorong (Pushcart) kepada peniaga yang dikenalpasti bersesuaian di Terengganu. "Pihak ShopeePay juga akan membantu secara terus dengan pendaftaran e-dompet dan juga memberikan rebat tunai (cashrebate)  RM3 bagi setiap pembelian yang bernilai RM15 ke atas. "Kerjasama ini diharap tidak terhenti di Terengganu sahaja malahan diharap akan diperluaskan kepada seluruh negara," katanya. Tambah Rosol, bagi menyokong pelaksanaan program ReDI ini juga,  Kementerian menerusi Sekretariat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) akan melaksanakan satu program rintis sumbangan kepada pengguna bagi kumpulan sasar terpilih secara tanpa tunai di Hulu Terengganu ini.  "Program ini akan melibatkan sumbangan kepada lebih 200 ketua isi rumah dengan suntikan kewangan sebanyak RM50 selama 3 bulan  dan hanya boleh ditebus menggunakan aplikasi E-Wallet," ujar beliau.
30 Oct 21
1005
Pendidikan Awal Penting Dalam Mencegah Bahana Arak
Pendidikan Awal Penting Dalam Mencegah Bahana Arak
Oleh: Rohayati Ripin KUALA TERENGGANU, 29 Oktober – Pendidikan pada peringkat awal dalam kalangan orang Islam adalah mustahak bagi membawa budaya yang baik terutamanya bagi mencegah perbuatan haram seperti minum bahan yang beralkohol. Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato’ Haji Yahaya Ali berkata, perlu diwujudkan suatu sistem di peringkat prasekolah dalam membentuk generasi yang baik pada masa akan datang. “Di antara yang penting dalam soal sistem pendidikan, kita mahu sistem ini dapat memenuhi apa dikatakan falsafah pendidikan Islam itu sendiri untuk melahirkan  insan yang seimbang dari segi rohani, inteleknya, emosi dan jasmani dalam bentuk bersepadu. “Jadi perkara ini perlu dibina daripada awal prasekolah hingga institut pengajian tinggi supaya kesedaran beragama itu mesti dibina sepanjang masa. Kalau dari kecil berterusan hingga peringkat lebih tinggi saya yakin masyarakat kita ini akan melihat isu arak ini sangat merosakkan ibu segala maksiat yang perlu dijauhi,” jelasnya. Beliau berkata demikian dalam satu forum atas talian dianjurkan oleh Terengganu Strategic & Integrity Institute, pada semalam. Justeru itu, beliau berharap ahli Badan Legislatif melihat perkara ini sebagai isu serius dan pada masa yang sama pihak kerajaan sendiri perlu lebih tegas. “Supaya kita mahu dalam negara kita ini walaupun ada kebebasan di kalangan orang bukan Islam untuk minum arak secara privasi tapi tidak boleh kita katakan apa sahaja perkara berkait dengan arak walaupun mereka berhak minum arak. “Mereka boleh bertindak bebas yang menyebabkan kita tidak menjaga dari segi keharmonian masyarakat itu sendiri,” tegasnya. Beliau menambah, kerjasama semua pihak memainkan peranan masing-masing yang amat penting. “Di peringkat mereka yang berkuasa mesti ada suatu kemahuan yang begitu tinggi bagaimana kita nak melaksanakan tanggungjawab sebagai orang Islam dan khalifah Allah di atas muka bumi ini. “Islam bukan hanya dilaksanakan secara peribadi tentang solat, puasa tetapi untuk melahirkan masyarakat yang bertakwa, dibina atas dasar akidah yang sudah tentu hasrat  utama umat Islam,” tambah beliau lagi.
29 Oct 21
320
"Rindukan Panggilan Ibu..."
"Rindukan Panggilan Ibu..."
MARANG, 29 Oktober - “Setiap hari selepas bangun tidur, saya harap sangat dia sebut perkataan ibu dan ayah seperti sebelum ini," kata Suria Aziela Mansor, 34, ibu kepada Mohammad Haris Mohd Hisyam, 13, yang lumpuh seluruh badan. Keadaan Haris yang lumpuh seluruh badan menyebabkannya tidak mampu bercakap dipercayai berpunca daripada jangkitan kuman dalam darah dihidapinya tiga tahun lalu. "Anak sulung saya adalah seorang anak yang aktif dan ceria sejak kecil namun selepas menjalani tiga kali pembedahan pada tahun 2018, dia terus lumpuh dan sejak itu hanya terlantar di katil. "Ibu mana yang tak sedih apabila melihat anak kesayangan jadi begitu, redha dengan ketentuan tapi sungguh saya rindu nak dengar suara dia panggil ibu macam biasa dan mengharapkan ada keajaiban pada satu hari nanti," ujarnya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Kijing, di sini hari ini. Terdahulu, Pengerusi Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM), Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah meluangkan masa menziarahi Muhammad Haris di samping menyampaikan sumbangan. Ibu kepada tiga anak itu berkata semasa Muhammad Haris sihat, mereka sekeluarga menetap di kuaters Felcra di Besut kerana suaminya, Mohd Hisham Hussin, 36 bekerja di situ. "Selepas kesihatan Muhammad Haris semakin merosot pada pertengahan 2018 akibat jangkitan kuman dalam darah, kami sekeluarga berpindah menumpang ke rumah ibu saya di Kampung Kijing kerana lebih mudah untuk menyelesaikan pelbagai urusan berkaitan," katanya lagi. Dalam masa yang sama, dia mengucapkan rasa syukur kerana terdapat perubahan positif apabila anaknya itu menunjukkan reaksi terhadap kesakitan. Suria Aziela berkata kos  perbelanjaan bulanan Muhammad Haris mencecah lebih RM2,000 termasuk kos ambulans untuk rawatan susulan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah. "Namun kami rasa bersyukur kerana beban yang kami tanggung agak berkurangan kerana mendapat bantuan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat(JKM). "Kami diberi bekalan susu dan lampin pakai buang dari Maidam serta wang tunai bulanan RM400 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat," katanya.    
29 Oct 21
895
BSMM Berjaya Vaksinasi 12,000 Golongan Rentan Dan OKU
BSMM Berjaya Vaksinasi 12,000 Golongan Rentan Dan OKU
MARANG, 29 Oktober - Bulan Sabit Merah Malaysia (BBSM) sehingga kini telah memberi vaksin kepada 12,000 golongan rentan dan komuniti terpencil di seluruh negara melalui klinik bergerak milik persatuan itu. Pengerusi BSMM, Tunku Temenggong Kedah, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Almarhum Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah berkata, ia merupakan salah satu sokongan berterusan BSMM dalam usaha Malaysia memerangi Covid-19. Selain kawasan bandar, pihaknya turut menyantuni masyarakat orang asli dan penduduk di luar bandar untuk memastikan mereka tidak terkecuali mendapat perlindungan kesihatan itu. "Seperti hari ini, kami datang ke Terengganu bagi program  vaksin rumah ke rumah pesakit terlantar dan warga emas yang tidak boleh bergerak ke pusat vaksinasi. "Esok, kita akan bergerak ke Pahang untuk vaksinasi penduduk di pendalaman termasuk orang asli.Selepas itu ke Johor dan Pulau Pinang untuk pastikan tidak ada golongan rentan dan oku yang tercicir dari program vaksinasi," ujarnya. Tunku Puteri Intan Safinaz berkata demikian kepada pemberita selepas menziarah remaja terlantar, Muhammad Haris Mohd Hisham, 13, di Kampung Kijing di sini hari ini. Tambahnya, BSMM juga berusaha mencari mereka termasuk pekerja asing yang tidak mempunyai dokumen sah untuk divaksinasi. "Kita usahakan vaksinasi mereka kerana mereka juga dalam masyarakat yang tidak dapat ke pusat vaksinasiatas kekangan pengenalan diri," jelas Tunku.
29 Oct 21
611