Artikel "Semasa" Terkini
'Ngail Udang Galah' Atas Bot Cetus Fenomena Baharu
KUALA NERUS, 2 November - Pertandingan memancing udang galah diatas bot kini mencetus fenomena baharu dalam dunia penganjuran pertandingan buat warga kaki pancing tempatan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buluh Gading, Ridzuan Hashim berkata, kebiasaannya acara memancing udang air tawar tersebut dibuat dari tebing sungai, namun kali ini ia diadakan menggunakan bot fiber.
Ustaz Ridzuan Hashim membunyikan hon untuk memulakan pertandingan
“Sebanyak 31 buah bot melibatkan 80 orang peserta telah mengambil bahagian dalam pertandingan pada hari ini.
“Sambutan yang diterima sangat memberansangkan daripada komuniti setempat walaupun ianya pertama kali dianjurkan”, ulasnya lagi.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pertandingan Ngail Udang Galah Atas Bot yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Tanjung Sabtu, baru-baru ini.
Menurutnya lagi, idea penganjuran pertandingan tersebut dicetuskan oleh para pemancing sungai berkenaan sempena Negeri Terengganu beralih ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN), akhir Oktober lalu.
Antara udang galah yang berjaya dipancing peserta pertandingan
“Kunci kepada kejayaan penganjuran sesuatu program itu adalah permuafakatan. Tanpanya, tidak mungkin sesuatu anjuran itu berjaya dilaksanakan,” katanya lagi.
Beliau juga mengucapkan tahniah kepada juara kumpulan dengan tangkapan udang seberat 379 gram yang membawa pulang hadiah RM400 beserta hamper dan juara kategori individu dengan tangkapan udang seberat 273 gram yang membawa pulang hadiah RM300 beserta hamper.
Turut hadir, Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Ariffin Abdullah dan Penghulu Mukim Manir, Petai Bubus, Muhammad Shafiee Abdullah.
02 Nov 21
615
54 Kes Varian Delta Dikesan Di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 2 November - Sehingga hari ini, Terengganu telah mencatatkan 54 kes varian membimbangkan (VOC) melibatkan varian Delta (B.1.617.2) sejak pertama kali dikesan pada akhir Julai lalu.
Pengarah Kesihatan negeri, Dato Dr Kasemani Embong berkata sembilan lagi VOC adalah varian Beta (B.1.351), menjadikan keseluruhan kes COVID-19 kategori tersebut sebanyak 63 kes.
“Jika diteliti pecahan mengikut daerah, Kemaman mencatatkan kes VOC tertinggi dengan 14 kes, diikuti Kuala Terengganu (12 kes), Dungun (10 kes), Hulu Terengganu dan Besut (tujuh kes), Marang dan Kuala Nerus (lima kes) serta Setiu (tiga kes).
“Sampel yang diambil adalah semasa kita mengalami peningkatan kes baru-baru ini, dalam mendapat keputusan ia mengambil masa bagi mengesan varian tersebut,” katanya ketika ditemubual di Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Terengganu, pagi tadi.
Mengulas tentang peningkatan kes virus disebabkan kelonggaran rentas negeri, Dr Kasemani menjelaskan berlaku sedikit peningkatan disebabkan kemasukan luar namun jumlahnya tidak ketara.
“Oleh itu, kita mengalakkan mereka yang pulang ke Terengganu atau ingin datang melancong agar menjalankan ujian saringan kendiri bagi mengelak penularan COVID-19.
“Mereka yang ingin datang perlu bebas daripada virus ini terlebih dahulu supaya ia tidak merebak kembali terutamanya terhadap ahli keluarga tersayang.
“Walaupun telah beralih ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN), namun Prosedur Operasi Standard (SOP) adalah mesti, sentiasa memakai pelitup muka di kawasan awam serta amalkan penjarakan sosial sepanjang masa,” katanya lagi.
02 Nov 21
10125
Tempahan Hotel Di Terengganu Meningkat 80 Peratus
KUALA TERENGGANU, 2 November - Penginapan di hotel di Terengganu menunjukkan peningkatan hingga 80 peratus, sejak pergerakan rentas negeri dibenarkan pada 11 Oktober lepas.
Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Terengganu, Suaibah Harun berkata, peningkatan itu berlaku selepas pengumuman kerajaan berhubung kebenaran merentas negeri dan ia satu petanda baik bahawa industri pelancongan makin pulih.
"Pada hari biasa, tempahan bilik di kebanyakan hotel di negeri ini mencapai 50 peratus dan meningkat ke 80 peratus pada hujung minggu ini terutama cuti perayaan.
“Dengan perkembangan positif ini, diharap ia berupaya memulihkan industri hotel yang terjejas teruk sejak pandemik Covid-19 melanda dunia termasuk Malaysia tahun lalu,”katanya ketika ditemui pemberita selepas pelancaran EV Charging Stesen di Hotel Primula di sini hari ini.
Tambah Suaibah, industri pelancongan dan hotel masih memerlukan pasaran antarabangsa untuk proses pemulihan yang lebih lancar.
"Industri ini masih memerlukan pasaran antarabangsa kerana kemampuan berbelanja domestik sangat rendah terutam resort di pulau-pulau, jadi kami berharap pintu sempadan negara dapat dibuka dengan kadar segera untuk ketibaan pelancong antarabangsa," katanya.
Dalam masa sama, katanya, industri akan memberi komitmen yang tinggi dalam pematuhan dan pemantauan SOP serta berharap pelancong akan bekerjasama dengan pengusaha pelancongan.
“Ini menjadi tanggungjawab semua dan bukan bergantung kepada pihak berkuasa sahaja,” ujar beliau.
02 Nov 21
1442
Hotel Primula Sedia Stesen Cas Kenderaan EV
KUALA TERENGGANU, 2 November – Pengguna kenderaan elektrik dari Pantai Barat ke Terengganu, kini boleh mengecaj kenderaan mereka di Electric Vehicle (EV) Charging Station Di Primula Beach Hotel antara tiga lokasi yang terdapat di Pantai Timur.
Presiden Kelab Pemilik Kenderaan EV Malaysia (MyEVOC), Dato’ Shahrol Halmi berkata pembukaan stesen mengecas itu bukan sahaja tepat pada masanya malah langkah yang tepat oleh pihak hotel.
Katanya,kewujudan stesen mengecas ini harus diterima dengan baik oleh orang ramai malah, lebih ramai orang dapat pilihan untuk memiliki kereta hibrid pada masa akan datang
“Jika dahulu pengguna kenderaan elektrik mengalami kesukaran untuk datang ke Pantai Timur kerana tidak mempunyai stesen mengecas kini boleh berbuat demikian sama ada di Hotel Primula, Hotel Tanjung Vista atau Awana Kijal di Kemaman di Terengganu yang merupakan satu-satunya negeri di Pantai Timur yang menyediakan perkhidmatan tersebut.
“Ia juga membantu bakal pengguna kereta berubah kepada kereta EV di masa hadapan,”katanya ketika ditemui selepas pelancaran EV Charging Stesen di Hotel Primula di sini hari ini.
Turut hadir, Pengarah Eksekutif Terengganu Incorporated Sdn. Bhd. (Terengganu Inc)merangkap Ahli Lembaga Pengarah Hotel Primula, Burhanuddin Hilmi Mohamed @Harun dan Pengurus Besar Hotel Primula, Suaibah Harun.
Tambahnya, sehingga kini terdapat 500 Stesen Pengecasan Kenderaan Elektrik dan 15 stesen kelajuan pengecasan terpantas di Pantai Barat termasuk Lembah Kelang.
Stesen pengecas yang ditaja oleh MyEvoc dengan kos pemasangan RM3,000 mempunyai kapasiti 7.4 kilowatt menggunakan tenaga elektrik sepenuhnya itu boleh digunakan oleh pengguna kenderaan elektrik yang menginap di hotel berkenaan atau dari luar.
Sementara itu, Suaibah berkata kemudahan itu diperkenalkan selaras hasrat kerajaan memulihara alam sekitar dan mengamalkan konsep mesra alam.
“Selain memberi kemudahan kepada pemilik kenderaan elektrik mengecas kereta mereka, saya berharap ia dapat memberi nilai tambah kepada hotel ini dalam menjana pendapatan syarikat.
“Pembukaan stesen pengecasan ini diharap mampu menarik lebih ramai pelancong ke Terengganu sekaligus dapat merangsang ekonomi sektor pelancongan negeri selepas beralih ke Fasa 4, Pelan Pemulihan Negara (PPN),”ujar beliau.
02 Nov 21
1813
Sempadan Antarabangsa Baharu Di Terengganu Lonjakkan Ekonomi Negeri
KUALA TERENGGANU, 1 November - Sebuah pintu sempadan antarabangsa baharu di Terengganu akan dibuka menjelang akhir tahun ini atau suku pertama tahun depan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, ia membabitkan lokasi di Lembah Silika Terengganu termasuk tiga lagi pintu di Terminal Feri Antarabangsa Desaru Coast, Kota Tinggi, di Telok Melano dan Baleh, Sarawak.
Katanya, melonjakkan lagi sektor ekonomi di negeri terbabit dijangka siap pada tahun hadapan.
"Pembukaan berkenaan bukan sahaja sebagai persediaan kemasukan pelancong jika rentas sempadan dibenarkan kelak bahkan mampu melonjakkan ekonomi di kawasan terlibat.
“Bagi pintu sempadan tersebut, Terengganu tidak lama lagi dalam tahun ini atau awal tahun depan dibuka juga yang sedang pembinaan yang telah bermula bulan Julai lalu,” katanya.
Terdahulu, kerajaan kini dalam usaha mewartakan pintu masuk imigresen baharu melibatkan laluan laut di Sabah dan Terengganu selain laluan darat di Sarawak.
01 Nov 21
1362
Jangkitan COVID-19 Di Terengganu Masih Belum Stabil
KUALA TERENGGANU, 1 November – Walaupun trend kes harian COVID-19 di Terengganu menunjukkan penurunan sejak awal bulan Oktober, namun ia masih belum stabil dan memerlukan peranan masyarakat bagi mengharungi fasa endemik.
Pengarah Majlis Keselamatan Negara Negeri Terengganu, Yusri Yusof berkata, penularan virus dalam negeri sehingga 31 Oktober masih berada dalam tiga angka iaitu 276 dan ia belum pulih sepenuhnya.
“Situasi ini adalah mustahak bagi kita sebagai komuniti dalam negeri dan negara untuk sama-sama bekerjasama dalam mengurangkan jangkitan kepada satu angka sekurang-kurangnya.
“Peralihan kepada fasa endemi adalah satu pencapaian baik, namun ia perlu disertai dengan kesedaran dan kefahaman yang tinggi dalam kalangan rakyat.
“Khususnya dalam pembudayaan norma baharu dan Prosedur Operasi Standard (SOP), ia perlu diteruskan sepertimana mengikut slogan ‘kita jaga kita,” katanya ketika bersiaran langsung di TVDI, baru-baru ini.
Katanya lagi, beliau menekankan kepentingan pendidikan pada peringkat keluarga, organisasi dan seterusnya terutamanya mengenai 3S (elakkan kawasan yang sesak, sempit dan sembang dengan jarak yang dekat) dan pengamalan 3W (Wash, Wear dan Warn).
“Sementara itu, penularan COVID-19 di Terengganu adalah daripada luar negeri, bukan dari dalam.
“Oleh itu, saya menasihati kepada sesiapa yang ingin memasuki negeri agar menjalani saringan kendiri COVID-19 supaya orang tersayang tidak dijangkiti,” jelasnya lagi.
Menurut laporan dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Terengganu mencatatkan jumlah keseluruhan kes COVID-19 sebanyak 68,822 kes dengan jumlah kumulatif kematian sejumlah 449 kes.
01 Nov 21
1058
Anak Terengganu 'Daebak', Cemerlang Dalam Pidato Korea Peringkat Dunia
KUALA TERENGGANU, 1 November – Anak kelahiran Terengganu, Amelya Shamira Kamarudin sekali lagi mencipta kejayaan di pentas antarabangsa dengan menerima anugerah tertinggi dalam Pertandingan Pidato Korea Dunia K-Speech ke-25.
Berasal dari Paka, Amelya mewakili Malaysia untuk bersaing dan berjaya mendapat tempat pertama dalam kategori penutur luar, mengalahkan 15 pemidato asing dari negara-negara seperti India, Inggeris, Singapura, China dan lain-lain lagi.
"Sebelum ini, saya telah muncul sebagai juara kategori kelas tinggi (advanced) dalam Pertandingan Pidato Bahasa Korea 2020,
"Melalui kemenangan itu, saya melayakkan diri di pentas antarabangsa, saya memang tidak jangka kemenangan kedua ini dan lebih gembira setelah dinobatkan juara," kata Amelya yang belajar bahasa Korea sejak dia berusia 10 tahun.
Pemidato berusia 20 tahun itu juga menghadapi cabaran terhadap 25 penutur asli dari Korea Selatan dan enam wakil dari luar negara di Jepun, Thailand dan lain-lain dalam pertarungan lisan.
"Kali ini lebih mencabar, kerana saya harus bersaing dengan bahasa Korea sebagai bahasa ibunda mereka, dan kaedah pemarkahannya amat ketat.
"Pertandingan bertutur dalam bahasa Korea dan Melayu sangat berbeza dari segi format menulis ucapan rasmi, itu juga di antara satu halangan.
"Proses penulisan skrip untuk pidato amat sukar kerana bahasa Korea bukan bahasa pertama dan kedua, ditambah dengan sedikit atau tanpa latihan bahasa formal," katanya yang juga seorang siswi dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam.
Namun begitu, Amelya muncul sebagai pemenang setelah menyampaikan pidato bertajuk ‘Sehingga Musim Bunga Tiba’ menceritakan penyatuan semula damai di Semenanjung.
"Di masa depan, saya merancang untuk menyertai lebih banyak pertandingan ini jika peluang itu muncul.
"Saya juga merancang untuk mengikuti Ujian Kemahiran dalam Bahasa Korea (TOPIK) segera bagi meningkatkan peluang dalam mencari pekerjaan setelah tamat pengajian," tambahnya.
Hadiah yang dibawa pulangnya berbentuk sijil dan Anugerah diiktirafkan Dewan Negara Korea Selatan, berserta piala dan sijil.
Pertandingan tersebut adalah anjuran bersama oleh Yongsan-gu Office dan Korea Speech Oratory Association dan ditaja oleh Kementerian Kebudayaan, Sukan dan Pelancongan, Kementerian Pendidikan, Kementerian Luar Negeri, Kementerian Luar Negeri dan Majlis Metropolitan Seoul.
Menurut Persatuan Korea di Malaysia (KSM), penutur perwakilan menyampaikan kemahiran berbahasa Korea yang mereka kembangkan selama bertahun-tahun mengenai pelbagai topik seperti memerangi COVID- 19, perdamaian di Semenanjung Korea, dan promosi budaya dan persahabatan Hallyu.
01 Nov 21
1251
Tengkujuh: Taman Eko-Rimba, Hutan Taman Negeri Ditutup Sementara Bermula Esok
KUALA TERENGGANU, 31 Oktober - Jabatan Perhutanan Terengganu menutup sementara semua Taman Eko-Rimba dan Hutan Taman Negeri, kepada pengunjung, bermula esok.
Pengarah Perhutanan negeri, Roslan Rani berkata, penutupan itu adalah berikutan musim tengkujuh yang melanda negeri ini.
"Penutupan selama empat bulan hingga 28 Februari 2022 itu susulan musim tengkujuh dan risiko kejadian kepala air.
"Sehubungan itu, aktiviti rekreasi, pendakian, pacuan empat roda dan sebagainya dalam hutan simpan kekal adalah tidak dibenarkan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, Roslan berkata, mana-mana individu yang melanggar arahan itu boleh didakwa mengikut Enakmen Perhutanan Negara (Penerimaan-pakai) 1986.
31 Oct 21
1490
KUNJUNG HORMAT MENTERI AGAMA PERKUKUH HUBUNGAN NEGERI, PEERSEKUTUAN
31 Oct 21
72
KMI HEALHTCARE YAKIN PEROLEH PENDAPATAN RM 220 JUTA
31 Oct 21
63