Artikel "Semasa" Terkini
DADAH RM5.6 JUTA DILUPUSKAN
03 Nov 21
101
CEBURI KEBUNITI ALTERNATIF TAMBAH PENDAPATAN
03 Nov 21
89
JKNT Keluarkan 2,426 Kompaun Bernilai RM2.9 Juta Sejak Awal 2021
KUALA TERENGGANU, 3 November - Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) telah mengeluarkan sebanyak 2,426 kompaun bernilai lebih RM2.9 juta hasil pemeriksaan dan operasi ke atas 117,101 premis di seluruh negeri sejak awal tahun ini sehingga 1 November.
Pengarahnya, Dato’ Dr Kasemani Embong berkata, daripada jumlah itu, 1,234 kompaun bernilai RM142,300 dikeluarkan di bawah Seksyen 32B, Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 dengan notis tertinggi dicatatkan di Dungun (347) notis.
“Sementara itu, sebanyak 1,083 kompaun bernilai RM2.7 juta dikeluarkan di bawah Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit melibatkan kesalahan seperti tidak menggunakan aplikasi mudah alih MySejahtera ketika memasuki premis, tiada penjarakan fizikal dan tiada topeng muka.
“Bagi kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009, sebanyak 109 kompaun dengan nilai RM34,500 dikeluarkan melibatkan pekerja tidak memakai apron atau kasut lengkap dan tidak mempunyai sijil suntikan anti-tifoid yang sah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan “Ops Gomo Asap Pagi” di sekitar Kuala Nerus dan Kuala Terengganu, semalam.
Tambahnya, pihaknya bertindak selari dengan kenyataan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bahawa aktiviti merokok termasuk penggunaan rokok elektronik boleh meningkatkan risiko untuk mendapat komplikasi yang lebih teruk sekiranya dijangkiti COVID-19.
“Sehubungan itu, JKNT telah merangka operasi khas iaitu Ops Gomo Asap bagi negeri Terengganu yang berfokus kepada larangan merokok di tempat makan,” katanya lagi.
Terdahulu, Terengganu mencatatkan pengeluaran notis kesalahan tertinggi berkaitan merokok di premis makanan dengan sejumlah 652 notis sehingga 24 Oktober tahun ini menurut Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.
03 Nov 21
204
Terengganu Rintis Perpustakaan Digital DUN
KUALA TERENGGANU, 3 November – Terengganu muncul sebagai perintis kepada projek Perpustakaan Digital Dewan Undangan Negeri (DUN) yang berperanan memantapkan badan legislatif dalam negeri sebagai institusi bermaklumat.
Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato’ Yahaya Ali berkata, pihaknya mengadakan kerjasama berterusan bersama Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT) dalam membina asas sebuah arkib rujukan serta bahan persidangan terdahulu.
“Platform ini akan menjadi kemudahan buat Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk mengakses maklumat sama ada berkait dengan badan legislatif, dengan pantas.
“Dengan adanya kemudahan ini ia akan mematangkan ADUN dan berperanan sebagai bahan persiapan sebelum bersidang,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Pelancaran Perpustakaan Digital DUN Terengganu di Damai Lounge, Tingkat 2, Wisma Darul Iman, pagi tadi.
Tambah beliau, antara sebahagian bahan yang terdapat di dalam platform tersebut berkaitan dengan persidangan DUN daripada awal 1999 sehingga kini serta dokumen bersifat penyelidikan.
“Para ADUN juga boleh mengakses fail daripada DUN lain serta parlimen hasil kolaborasi bersama PPAT,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, inisiatif tersebut adalah penting kearah hasrat memajukan jabatan-jabatan dalam negeri menjadi Kerajaan Digital Pintar menjelang 2030.
03 Nov 21
292
Perpustakaan Digital Permudah Tugas ADUN
Oleh: Rohayati Ripin
KUALA TERENGGANU, 3 November - Pelancaran Perpustakaan Digital mempermudahkan lagi urusan dan tugas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Terengganu mencari sumber dan maklumat dengan hanya di hujung jari jari sahaja.
Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato’ Yahaya Ali berkata, sebagai ahli Badan Legislatif, mereka dicabar dengan kekangan masa untuk ke perpustakaan biasa bagi membuat ulangkaji sebelum bermulanya sesuatu persidangan DUN.
“Ahli Yang Berhormat (AYB) boleh membuat rujukan pada bila-bila masa dan di mana jua bagi mencari maklumat yang diperlukan terutama berkenaan Badan Legislatif termasuk hansard dan bahan-bahan penyelidikan.
“Pembangunan 'Digital Library' (perpustakaan digital) ini juga adalah selaras dengan hasrat kerajaan negeri yang diterjemahkan melalui Pelan Induk Kerajaan Digital Pintar Terengganu 2021 – 2030,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam program Pelancaran Perpustakaan Digital DUN Terengganu yang dirasmikan oleh Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri bin Mokhtar di Damai Lounge, Wisma Darul Iman, pada hari ini.
Menurutnya, pihak Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri juga bersetuju untuk turut membantu membangunkan Perpustakaan Digital DUN dengan lebih lengkap dan memberi laluan dan akses sebahagian aplikasi serta bahan-bahan bacaan digital yang ada disana.
“Digital library DUN ini akan melalui beberapa fasa sebelum ianya benar-benar lengkap, bermula dari pembangunan sistem di peringkat asas.
“Kolaborasi dengan Perpustakaan Awam negeri dan pembangunan sistem yang lebih banyak hingga kepada kompleks khas ‘Digital Library’ untuk jangka masa panjang,” katanya.
Dato' Yahaya menambah, dengan adanya 'Digital Library' ini akan membantu menambahkan lagi keceriaan persidangan DUN dan seterusnya meningkatkan mutu perbahasan di kalangan Ahli-ahli Dewan.
“Di antara lain laporan atau 'blue print' tersebut mencadangkan beberapa reformasi kepada badan legislatif negeri kita supaya lebih bersifat inklusif.
“Ia turut memberi fokus untuk menambah baik khidmat rujukan dan pendidikan politik kepada ADUN selain dari peranan semak dan imbang melalui lawatan kerja apabila ada isu yang berbangkit dalam sesuatu persidangan DUN bagi tujuan mendapat penjelasan secara 'first hand' dari pihak berkenaan," ujarnya.
Justeru itu, beliau berharap DUN Terengganu akan menjadi perintis kepada negeri lain dalam projek digital library ini sesuai dengan visinya, 'Menjadi DUN Yang Terunggul'.
03 Nov 21
161
UMT Kekal Tersenarai Antara 200 Universiti Terbaik Asia
KUALA NERUS, 3 November - Universiti Malaysia Terengganu (UMT) kekal tersenarai antara 200 universiti terbaik Asia menerusi penarafan QS Asia University Ranking 2022 selama empat tahun berturut-turut sejak 2019.
Naib Canselor UMT, Prof. Dr. Mazlan Abd. Ghaffar berkata berjaya meraih kedudukan 167 universiti terbaik Asia dalam dengan lonjakan 28 anak tangga berbanding tangga 195 tahun lalu.
Katanya, ia juga menyaksikan UMT berada pada kedudukan ke-16 universiti terbaik di Malaysia.
“Pencapaian memberangsangkan UMT menunjukkan tekad universiti untuk meningkatkan kualiti dan prestasi secara konsisten dalam pengajaran-pembelajaran, penyelidikan-inovasi dan pemindahan ilmu dengan matlamat untuk menjadi sebuah institusi pengajian tinggi yang dihormati.
“Kejayaan ini turut menyaksikan prestasi UMT naik dalam hampir semua indikator yang dinilai, dengan indikator pengantarabangsaan menyumbang markah tertinggi walaupun di saat dunia masih berdepan dengan pandemik COVID-19,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, kejayaan tersebut adalah hasil komitmen dan kerjasama seluruh warga UMT dalam meningkatkan produktiviti yang berkualiti dalam usaha menempatkan universiti ini dalam kedudukan universiti terbaik dunia.
QS Asia University Ranking ialah agensi beroperasi di United Kingdom yang membuat penarafan 687 universiti utama Asia.
03 Nov 21
475
Banjir Besar Dijangka Landa Terengganu Dan Pahang
KUALA LUMPUR, 3 November - Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) kini bersiap siaga dengan sebarang kemungkinan bagi berdepan bencana banjir besar terutama di negeri-negeri di Pantai Timur.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr. Abd Latiff Ahmad berkata, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan hujan lebat dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor mulai bulan ini hingga awal Januari 2022.
“Pihak kami meramalkan banjir besar akan melanda beberapa lokasi di Pahang dan Terengganu seperti yang berlaku tahun lalu.
“Antara lokasi yang diramal banjir termasuk di Maran dan Kuala Lipis di Pahang serta Kemaman, Terengganu,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Penutupan Kursus Khas Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) Siri 1/2021 di Markas Pasukan SMART, semalam.
Menurut beliau, banjir di Pahang tahun lalu adalah yang kedua terbesar selepas bencana banjir besar pada tahun 2014.
Sehubungan dengan itu katanya, pihak Nadma sudah bersiap siaga untuk berdepan sebarang kemungkinan jika situasi itu berulang kembali.
03 Nov 21
14138
JKNT Keluarkan Kompaun RM18,000 Kesalahan Merokok, Langgar SOP
KUALA TERENGGANU, 2 November - Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) menerusi ‘Ops Gomo Asap Pagi’ telah mengeluarkan kompaun sehingga RM18,000 dalam sebuah aktiviti penguatkuasaan larangan merokok sertra pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) di tempat makan.
Pengarah Kesihatan negeri, Dato Dr Kasemani Embong berkata, usaha tersebut dijalankan bagi menyokong Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memastikan peraturan larangan merokok terutama di tempat makan dipatuhi.
“Dengan kelonggaran ekonomi dan aktiviti ‘dine-in’ dibenarkan, masalah merokok di tempat sebegini kembali meningkat dalam negeri.
“Terdahulu, ‘Ops Gomo Asap Pagi’ pada 28 Oktober lalu telah melibatkan 33 anggota dengan 69 premis berjaya diperiksa, 26 kesalahan telah dikesan dan semua kesalahan dikeluarkan kompaun dengan nilai RM6,750.00.
“Pada operasi hari ini, 51 premis melibatkan 47 pegawai penguatkuasa daripada lima daerah telah mengeluarkan lapan kompaun di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 pindaan 2018 bernilai RM2,000,” katanya.
Tambahnya, tujuh daripada kesalahan tersebut melibatkan kedai makan dan satu premis yang tiada tanda larangan merokok.
“Kita turut mengeluarkan enam kompaun di bawah pematuhan SOP bernilai RM9,000 di mana kesalahannya seperti pengunjung tidak mengimbas aplikasi MySejahtera dan tidak memakai pelitup muka.
“Turut bersama, penguatkuasa Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) yang mengeluarkan satu kompaun (RM250) atas kesalahan berniaga lesen menjadikan jumlah keseluruhan kompaun pagi ini sebanyak RM11,250.
“Penguatkuasaan ini selaras dengan pewartaan kawasan larangan merokok di bawah peraturan 11(1)(d), Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 pindaan 2018 berkuatkuasa 1 Januari 2019 serta SOP fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN),” jelasnya lagi.
Tambah Kasemani, penguatkuasaan juga akan dibuat jika terdapat kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 seperti pekerja tidak memakai apron lengkap, tidak berkasut dan tidak mempunyai sijil suntikan anti typhoid yang sah.
“Diharapkan dengan adanya operasi ini, perokok tidak lagi merokok di kawasan larangan merokok dan memberi peluang kepada golongan tidak merokok menghirup udara yang bebas asap rokok sewaktu menikmati makanan di premis-premis makanan,” ujarnya.
03 Nov 21
538
Perkampungan Konservasi Gajah Kenyir Tawar Potongan Tiket 20 Peratus
KUALA TERENGGANU, 3 November - Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH), menawarkan potongan tiket sebanyak 20 peratus kepada pengunjung Perkampungan Konservasi Gajah Tasik Kenyir Elephant (KECV) bagi menarik kunjungan lebih ramai pelancong bermula semalam.
Pengerusinya, Senator Dato Razali Idris berkata, potongan harga tiket sebanyak 20 peratus untuk pengunjung tempatan dan luar negara itu ditawarkan sehingga Mac tahun depan.
Katanya, pengunjung juga boleh mengikuti aktiviti menaiki jambatan gantung sambil melihat kehidupan 18 ekor gajah, interaksi bersama gajah, memberi makan gajah dan melihat gajah mandi dari kawasan restoran mengikut SOP yang kita tetapkan.
"Pengunjung juga berpeluang untuk mandi manda dengan gajah.
"Harga tiket baharu yang kita kenakan bagi warganegara yang berusia 13 tahun ke atas adalah RM25 berbanding RM40 dan RM50 untuk warga asing,” katanya melalui kenyataan media, baru-baru ini.
Mengulas mengenai pematuhan prosedur operasi standard (SOP) bagi mencegah penularan pandemik COVID-19, Razali berkata, hanya individu yang lengkap divaksinasi dibenarkan ke pusat berkenaan.
"Kanak-kanak berusia 13 tahun ke bawah dibenarkan memasuki kawasan berkenaan dengan syarat penjaga lengkap divaksinasi.
"Pengunjung diminta sentiasa memakai pelitup muka dan melakukan penjarakan sosial serta menjaga kebersihan diri sepanjang berada dalam kawasan KECV," katanya.
Beliau juga optimis jumlah pengunjung akan meningkat dengan inisiatif potongan harga tiket di samping pengenalan aktiviti baharu kepada pengunjung.
03 Nov 21
1186
Amaran Kuning Hujan Berterusan Di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 3 November - Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) telah mengeluarkan amaran (kuning) hujan berterusan waspada yang dijangka berlaku di beberapa kawasan dalam negeri sehingga hari ini.
Dalam satu kenyataan, pihaknya berkata, amaran hujan berterusan dikeluarkan bagi daerah Besut, Setiu, Kuala Nerus dan Kuala Terengganu.
“Angin dari arah timur laut dijangka berpotensi membawa hujan lebat serta angin kencang serta risiko banjir di kawasan rendah di daerah berkenaan,” katanya semalam.
Dalam pada itu, MetMalaysia turut mengeluarkan amaran ribut petir melibatkan beberapa daerah di Terengganu seperti di Hulu Terengganu dan Marang.
Kelmarin, Ketua Pengarah MET Malaysia, Muhammad Helmi Abdullah menjelaskan Monsun Timur Laut atau musim tengkujuh di Malaysia dijangka bermula pada 3 November sehingga Mac tahun hadapan.
02 Nov 21
1898