Artikel "Semasa" Terkini
MB Terengganu Kekalkan Jawatan Naib Presiden PAS
KUALA TERENGGANU, 7 November - Tiga penyandang Naib Presiden PAS berjaya mengekalkan jawatan mereka bagi sesi 2021-2023.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad menerima undi tertinggi sebanyak 1,164 diikuti Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Mohd Amar Abdullah (956) dan Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (778) dalam pemilihan kali ini.
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marzuki pula tewas 623 undi dalam perebutan jawatan nombor tiga PAS sempena Muktamar PAS Ke-67.
Keputusan pemilihan jawatan itu diumumkan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PAS, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman, sebentar tadi.
Sebanyak 1,299 layak mengundi dan undi diterima 1,221 melalui e-voting bagi memilih untuk tiga slot jawatan naib presiden dan 18 Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat bagi sesi 2021/2023 pada muktamar kali ini yang berlangsung di Duyong Marina Resort , di sini.
Terdahulu, Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan timbalannya, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man mengekalkan jawatan masing-masing apabila menang tanpa bertanding pada pemilihan sempena Muktamar PAS kali ke-67.
Berikut keputusan pemilihan Ahli Jawatankuasa Kuasa PAS Pusat sesi 2021-2023 :
1) Muhammad Khalil Abdul Hadi(884)
2) Muhammad Sanusi Md Nor (877)
3) Kamaruzaman Mohamad (872)
4) Khairil Nizam Khirudin(844)
5) Riduan Mohd Nor (841)
6) Iskandar Abdul Samad(822)
7) Halimah Ali, Dr. Hajjah (774)
8) Mohamad Fadzli Hassan (736)
9) Marzuk Shaari (707)
10) Mohd Nassuruddin Daud (706)
11) Najihatussalehah Ahmad (695)
12) Siti Zailah Mohd Yusof (688)
13) Azman Ibrahim (679)
14) Nasrudin Hassan (645)
15) Amzad Hashim (615)
16) Ali Akbar Gulasan (613)
17) Mahfodz Mohamed (609)
18) Rosni Adam(609)
07 Nov 21
1102
PAS Kecewa Dengan Keputusan UMNO
KUALA TERENGGANU, 7 November - PAS merasa kecewa dengan tindakan UMNO yang mengumumkan untuk bertanding semua kerusi secara solo pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 20 November ini.
Timbalan Presidennya, Dato Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, perbincangan yang panjang hasil inisiatif semua pihak pada awalnya menunjukkan keputusan positif namun dihujungnya gagal.
"Pertemuan dan perbincangan pada peringkat awal sangat positif tetapi apabila UMNO mengumumkan akan bergerak solo di PRN Melaka, kami kecewa sebab usaha penyatuan gagal pada saat akhir.
"Sebenarnya pada peringkat awal kita runding menggelak pertembungan kerusi tapi kerana UMNO buat keputusan bertanding semua, maka kita tidak ada pilihan dan terpaksa meletakkan calon PN," ujarnya.
Beliau berkata demikian di sidang media Muktamar Tahunan PAS di Duyung Marina Resort, di sini hari ini.
Dalam pada itu ketika mengulas pengumuman calon PN petang tadi yang mana PAS akan bertanding lapan kerusi di PRN Melaka, Tuan Ibrahim berkata PAS berpuas hati kerana ia telah dipersetujui bersama dalam rundingan peringkat awal.
"Kita telah bincang agihan kerusi bersama Bersatu dan Gerakan maka tak timbul rasa tidak puas hati kerana setiap parti bertanding sebagai satu pasukan.
"PAS akan bertanding atas tiket parti dan menggunakan bendera PN,"ujarnya lagi.
Bagaimanapun, Tuan Ibrahim menolak dakwaan pertembungan di Melaka merupakan bayangan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), sebaliknya menjadi indikator kepada beberapa perancangan di masa depan.
“Kita ada PRN Sarawak selepas ini dan bagi PAS serta PN kita ada banyak ruang untuk berbincang sebelum PRU-15.
“Kita bersedia berbincang dengan semua parti-parti politik bukan sahaja UMNO tetapi pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Pas sebagai komponen dalam Keluarga Malaysia berperanan ke arah masa pembentukan masa depan lebih harmoni,” katanya.
Terdahulu, PAS akan bertanding di lapan kerusi DUN dalam PRN Melaka pada 20 November ini iaitu Kuala Linggi, Taboh Naning, Durian Tunggal, Bukit Katil, Duyong, Serkam, Kelebang dan Merlimau.
07 Nov 21
1173
Kukuhkan MN, PN Demi Penyatuan Ummah
KUALA TERENGGANU, 6 November - Tiga parti Melayu utama di negara ini perlu mengukuhkan Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional bagi penyatuan politik dan ummah.
Perwakilan PAS Negeri Pulau Pinang, Ustaz Abdul Razib Abdul Rahim berkata, di Pulau Pinang ketiga-tiga parti teras melayu amat penting duduk bersama untuk kembali mentadbir kerajaan.
"Sekiranya ini berlaku, ia mampu membenamkan DAP serta Pakatan Harapan di bumi Pulau Pinang dan sebaliknya.
“Hanyalah satu retorik semata-mata. Inilah yang berlaku di negeri Pulau Pinang apabila kekaburan dan juga kesamaran tentang penyatuan ummah ini tidak mampu untuk menyatukan parti-parti politik,” ujarnya.
Beliau berucap membahas Ucapan Dasar Presiden PAS bertemakan ‘Islam Menyatukan Ummah’ dalam Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-67 di Duyong Marina Resort, di sini sebentar tadi.
Mengulas lanjut, beliau berkata demografi Pulau Pinang tak sama dengan negeri-negeri yang lain kerana Dewan Undangan Negeri dan Parlimen majoritinya dikuasai bukan Islam ataupun bukan melayu.
“Umpamanya Parlimen hanya tiga kerusi saja yang didominasi oleh orang -orang Melayu. Dan juga di peringkat DUN, 15 kerusi saja yang hanya didominasi oleh orang Melayu daripada majoriti 40 kerusi yang dikuasi oleh DAP atapun Pakatan Harapan.
“Maka dengan sebab itu PAS Pulau Pinang nak menyatakan kepada para pimpinan dan muktamrin sekalian, bahawa penyatuan ummah mampu merubah senario ini," ujarnya.
06 Nov 21
189
PAS Tetap Tolak Usaha Jajaran Baharu Dalam Politik
KUALA TERENGGANU, 6 November - PAS mengulangi pendirian menolak apa jua usaha untuk membentuk penjajaran baharu dengan pelbagai jenama atau perubahan yang dicadangkan.
Presidennya, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata Muafakat Nasional (MN) baru sahaja ditubuhkan mengikut acuan asal yang lengkap sebagai pendahuluan mengikut piagam yang terbuka bukan tertutup.
"Dalam pada itu, kita berjaya menubuhkan PN yang lebih terbuka dan kuat, sehingga berjaya mengambil alih Kerajaan Persekutuan, laksana menanam benih yang baru tumbuh dengan subur.
"Maka, sebarang cadangan lain laksana tumbuhan liar yang mesti dihapuskan atau makhluk perosak yang wajib dimusnahkan," ujar Abdul Hadi.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar dan merasmikan Muktamar Tahunan PAS di Duyung Marina Resort, di sini hari ini.
Dalam masa yang sama, beliau berkata PAS juga enggan dikurung dalam sebarang permuafakatan yang tertutup dan menjadi penumpang dalam perjalanan politik tanah air.
Sebaliknya, Abdul Hadi berkata, parti itu perlu menjadi pemimpin bersama rakan-rakan sehingga berjaya menarik sokongan rakyat bagi menyelamatkan negara bersama Islam yang telah diperkenalkan oleh PAS.
06 Nov 21
271
'MN Tidak Terhad PAS, UMNO Sahaja'
KUALA TERENGGANU, 6 November – Kerjasama PAS dalam Muafakat Nasional (MN) tidak hanya terhad dengan UMNO sahaja kerana ia melanggar matlamat asal gabungan terbabit.
Presidennya, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, PAS juga tidak boleh dihalang untuk berkerjasama dengan parti melayu Islam lain dan bukan Islam yang tidak ekstrem.
“Dengan sebab itu juga, PAS tidak boleh dipaksa melanggar muafakat ini, contohnya PAS dengan UMNO sahaja, bahkan kita lebih fleksibel sehingga kita bersetuju mendaftarkan Perikatan Nasional.
“Ini dengan melibatkan parti-parti bukan Islam yang dan termasuk rakan-rakan di Malaysia timur sehingga kita telah mencapai kejayaan sehingga mengambil alih kerajaan pusat, ini mesti dipertahankan.
“Seperti dalam piagam MN, penyertaan tidak terikat kepada dua parti ini sahaja, kita turut menjemput BERSATU untuk sama-sama menyertai sama dalam MN,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas ucapan dasar dan merasmikan Muktamar Tahunan PAS di Duyung Marina Resort, di sini hari ini.
Sementara itu, apabila disoal berkenaan kemungkinan berlaku pertembungan antara Barisan Nasional (BN) di Pilihanraya Negeri (PRN) Melaka, beliau menjawab, pihaknya berpegang kepada asas bekerjasama.
“Bila ada parti yang tidak ingin bekerjasama, terpulang kepada mereka. Bila sebut kerjasama mestilah berlaku pembahagian kerusi antara parti-parti bukan sahaja MN termasuklah PN,” jelasnya.
06 Nov 21
412
Beri Peluang PAS Bersama PN Bina Negara Berkebajikan
KUALA TERENGGANU, 6 November - PAS mengajak rakyat negara ini supaya memberi peluang kepada parti itu bersama gabungan politik Perikatan Nasional (PN) untuk membina sebuah negara berkebajikan dengan agenda Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS).
Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata ini termasuklah penyediaan manifesto bagi menyokong langkah-langkah pemulihan ekonomi negara dan rakyat pasca pandemik COVID-19.
"Terpenting ialah pembinaan sumber manusia melalui sistem pendidikan yang merangkumi unsur jasadi, rohani dan aqli, kemakmuran ekonomi yang menghasilkan peluang pekerjaan dan menjana pendapatan yang mencukupi.
"Ini termasuk memperkasakan kehebatan undang-undang, memanfaatkan kemajuan teknologi terkini, penjagaan alam dan kelestarian sumbernya, di samping komitmen untuk meningkatkan kecekapan dan perkhidmatan kerajaan demi kebajikan rakyat dan iklim pelaburan yang lebih baik," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar dan merasmikan Muktamar Tahunan PAS di Duyung Marina Resort, di sini hari ini.
Menurut Abdul Hadi, negara berkebajikan yang ditawarkan kepada rakyat berbeza dengan teori 'welfare state' daripada barat yang sempit dan hanya sekadar menjaga kebajikan masyarakat sahaja.
06 Nov 21
475
PAS Ulangi Pendirian Tidak Kompromi Isu Integriti
KUALA TERENGGANU, 6 November - PAS mengulangi penegasan parti itu untuk tidak berkompromi dengan sebarang isu melibatkan integriti dengan menampilkan pendekatan politik jujur dan bersih dalam memulihkan negara.
Presidennya, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata tindakan itu telah dibuktikan melalui kerajaan negeri yang ditadbir PAS.
"PAS membuka pintu 24 jam kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menjalankan siasatan sepenuhnya jika terdapat dakwaan.
"Mereka dibenarkan bertindak tanpa sebarang halangan terhadap semua Menteri Besar, Exco Kerajaan Negeri dan anggota kerajaan," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar dan merasmikan Muktamar Tahunan PAS di Duyung Marina Resort, di sini hari ini.
Menurut Abdul Hadi, mereka yang gagal dalam integriti, akan tenggelam dalam cabaran yang mengepung kehidupannya.
"Apakah faedahnya sekiranya pada awal lagi sudah mula berbohong kepada rakyat untuk mendapatkan sokongan majoriti.
"Berbohong itu sahaja sudah cukup untuk menjadi tanda hilangnya integriti, yang pasti mengundang semua perangai buruk yang lain, termasuk menjadi kleptokrat.
"Kehilangan integriti pemimpin diikuti dengan kelemahan kerajaan dan penamatnya dengan kemusnahan negara," tegasnya.
06 Nov 21
325
Air Pasang Besar, 20 Lokasi Di Terengganu Berisiko Banjir
KUALA NERUS, 6 November - Lebih 20 lokasi di tujuh daerah telah dikenalpasti berisiko banjir, susulan fenomena air pasang besar yang dijangka bermula awal bulan ini sehingga hujung Disember.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM)negeri, Leftenan Kolonel (PA) Mohd Rosman Abdullah berkata, berdasarkan maklumat Jabatan Pengairan dan Saliran(JPS), air pasang besar dijangka bermula 5 hingga 13 November dan untuk kali kedua akan bermula 19 November hingga 28 Disember, dengan kadar ketinggian ombak dijangka pada 2.4 meter (m) sehingga 2.9 m.
Katanya, fenomena itu boleh mengakibatkan banjir sekiranya air pasang besar berlaku bersama dengan hujan lebat berterusan.
"Antara kawasan yang berisiko adalah Kampung Kuala Ibai di Kuala Terengganu; Kuala Besut dan Kampung Pengkalan Atap di Besut; Kampung Seberang Pintasan di Dungun; Kampung Baru Kemasik di Kemaman; dan Rusila di Marang.
"Jadi APM bersama agensi lain seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia sentiasa melaksanakan pemantauan secara berkala, bagi memastikan semua penduduk di kawasan sekitar yang berisiko itu sentiasa berada dalam keadaan selamat," katanya ketika meninjau fenomena air pasang besar di Pantai Seberang Takir, di sini, malam tadi.
Dalam masa yang sama, orang ramai dinasihatkan supaya mengutamakan keselamatan dan tidak ke pantai di sini untuk menyaksikan fenomena air pasang besar.
"Untuk itu, orang ramai tidak disaran menghampiri pantai bagi tujuan merakam gambar dan sebagainya," ujarnya.
06 Nov 21
9868
Kolej Komuniti KT Anjur Karnival Usahawan
KUALA TERENGGANU, 6 November – Kolej Komuniti Kuala Terengganu sedang giat memberi pendedahan kepada graduan usahawan melalui penganjuran Karnival Mini Usahawan di Kuala Terengganu City Centre (KTCC) Mall yang diadakan sehingga 7 November ini.
Melalui karnival yang dijalankan sepanjang 4 hari itu, 20 gerai pameran serta demonstrasi produk pelajar program Sijil Fesyen dan Pakaian, Unit Pembelajaran Sepanjang Hayat.dipamerkan kepada pengunjung
Pengarah Kanan Akademik Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Mohd Noor Shahudin berkata, penganjuran tersebut merupakan pelaksanaan program TVETpreneurship (SPK) merupakan inisiatif di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).
“Pelaksanaan di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) ini adalah bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan menceburi bidang keusahawanan, kolej di negeri ini adalah penganjuran kali pertama.
Pengarah Kanan Akademik Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Mohd Noor Shahudin melawat salah satu graduan seni khat
“Matlamat utama program TVETPreneurship adalah untuk meningkatkan kefahaman dan kemahiran pelajar terhadap bidang keusahawanan sebagai sebuah kerjaya pilihan.
“Selain itu, ia juga berpotensi melahirkan pelajar berkeyakinan diri yang tinggi dan berupaya memulakan dan mengurus perniagaan yang baru,” katanya ketika berucap dalam perasmian Karnival Mini Usahawan di KTCC Mall, semalam.
Sementara itu, Pengarahnya, Ts. Ali Mamat turut berkongsi, 15 pelajar terlibat secara langsung dalam dilatih untuk berinteraksi secara terus dengan bakal-bakal pelanggan dan akan mengalami sendiri suasana proses melakukan promosi dan pemasaran serta jualan.
05 Nov 21
740
Kadar Kebolehpasaran Graduan Kolej Komuniti Terengganu 94 Peratus
KUALA TERENGGANU, 5 November - Graduan lepasan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) Kolej Komuniti di Terengganu mempunyai kebolehpasaran kerja yang tinggi sehingga mencecah 94 peratus.
Pengarah Kolej Komuniti Kuala Terengganu, Ts. Ali Mamat berkata, peratusan tersebut bermaksud kebolehkerjaan sama ada graduan melibatkan diri dalam sektor pekerjaan atau menjadi usahawan.
“Pihak kami sering menjadi ‘Feeder’ iaitu pembekal tenaga dan sentiasa bekerjasama dengan pelbagai pemain industri.
“Antaranya seperti pengeluar batik terkenal, Noor Arfa Batek, yang turut menjadi penasihat bagi program Sijil Fesyen dan Pakaian di kolej komuniti kami, jadi ia merupakan situasi ‘win-win’,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa temubual di Karnival Mini Usahawan di KTCC Mall, semalam.
Menjelas berkenaan sambutan pengambilan pelajar di kolejnya, beliau memaklumkan kebanyakkan pelajar terdiri daripada anak Terengganu serta kemasukan daripada negeri luar seperti Kelantan sehingga Sabah.
Sementara itu, Ali turut menjelaskan, pelaksanaan karnival usahawan sehingga 7 November di KTCC di bawah program TVETpreneurship (SPK) merupakan satu bentuk pakatan strategik yang melahirkan usahawan yang holistik dengan menitik beratkan proses pemasaran dan jualan.
05 Nov 21
711