lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Penarik Beca, Pengusaha Bot Penambang Terima Insentif Khas RM1,200
Penarik Beca, Pengusaha Bot Penambang Terima Insentif Khas RM1,200
KUALA TERENGGANU, 11 November - Kerajaan negeri memperuntukkan RM79,200 sebagai insentif khas kepada 49 penarik beca dan 17 pengusaha bot penambang di Terengganu. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Negeri, Ariffin Deraman berkata pembayaran tersebut diselaraskan oleh Persatuan Pelancongan Negeri Terengganu (PPNT), menerusi Jabatan Pelancongan  Negeri. "Golongan terbabit adalah yang terjejas pendapatan terutama pada musim pandemik  menerima RM1,200 setiap seorang.  "Bayaran insentif tersebut juga diberikan untuk tempoh enam bulan iaitu RM200 sebulan melibatkan bayaran dari bulan Julai hingga Disember 2021," ujarnya. Beliau berkata demikian di sidang media selepas Majlis Sumbangan Kepada Agen Promosi Pelancongan (Beca dan Bot Penambang) di Event Space, TD1303, di sini hari ini. Tambah Ariffin, pembayaran insentif itu akan diteruskan pada tahun hadapan sebanyak RM200 sebulan. "Kita akan bayar setiap tiga atau enam bulan sekali dan berharap bantuan ini mampu meringankan beban mereka," ujarnya. Salah seorang penerima bantuan beca, Yahya Ismail, 79,  Kampung Gong Tok Nasek berkata bantuan hari ini akan digunakan sebaik mungkin. Dia yang hampir 40 tahun membawa beca berkata sebahagiannya akan digunakan untuk membayar sewa rumah dan selebihnya bagi perbelanjaan dapur dan simpananan kecemasan "Memang kehidupan agak sukar ketika semua aktiviti disekat, hanya mengharapkan bantuan anak-anak. "Masa sebelum Covid-19, sebulan boleh dapat sehingga RM500 tapi sekarang nak dapat RM100 pun susah,"katanya. Dalam masa yang sama, Yahya turut bersyukur apabila mendapat bantuan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) sebanyak RM1,600 setahun.              
11 Nov 21
448
PETRONAS Pacu Penghutanan Semula Paya Bakau Kertih
PETRONAS Pacu Penghutanan Semula Paya Bakau Kertih
KEMAMAN, 11 November - PETRONAS Carigali Sdn Bhd (PCSB) bekerjasama dengan Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) menanam 500 anak pokok bakau baharu sepanjang Sungai Kertih bagi menyokong pemuliharaan alam sekitar. Pengurus Besar Kanan Aset Semenanjung Malaysia PCSB, Hafiz Azzad Zubir berkata, acara Penghutanan Semula Bakau Sentuhan Alam adalah usaha tertumpu dalam pemuliharaan alam sekitar yang turut bermanfaat kepada masyarakat dan alam sekitar. “Hutan bakau yang ditanam semula akan berfungsi sebagai habitat pelbagai spesies hidupan laut dan di pada masa yang sama menyumbang kepada kesihatan keseluruhan ekosistem sekeliling. “Kesedaran ini penting untuk kita mendidik satu sama lain untuk melindungi dan memelihara ekosistem bakau,” katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini. Menurutnya lagi, bertempat di Pusat Pendidikan Alam Sekitar ecoCare dibawah Sentuhan Alam Yayasan PETRONAS, lebih 30 sukarelawan dari PCSB, E&P O&M Services Sdn Bhd dan MNS telah mengambil bahagian dalam program tersebut. Katanya, bakau adalah penting untuk perlindungan pantai, di samping menjadi tempat pembiakan ikan yang bernilai komersial. “Sehingga kini, hampir 12,000 pokok bakau telah ditanam di sebuah kawasan ecoCare seluas 14,000 meter persegi di sepanjang Sungai Kertih,” jelasnya. Untuk pengetahuan, Penghutanan Semula Bakau Sentuhan Alam merupakan siri program kesedaran yang dianjurkan oleh PCSB’s Peninsular Malaysia Assets selari dengan Yayasan PETRONAS Sentuhan Alam program bertujuan memberikan impak yang mampan kepada masyarakat.
11 Nov 21
1487
Keluarga Terdekat Jaga Anak Yatim Wajar Diberi Potongan Cukai Khas
Keluarga Terdekat Jaga Anak Yatim Wajar Diberi Potongan Cukai Khas
KUALA NERUS, 11 November - Kerajaan dicadangkan supaya menyediakan potongan cukai khas buat ahli keluarga penjaga anak-anak yatim, menurut Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato' Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali. Beliau berkata, ini termasuk bantuan khas turut diberikan kepada keluarga yang menjaga mereka bagi meringankan beban. "Penjagaan oleh wali seperti datuk dan bapa saudara atau keluarga terdekat lebih berkesan kerana melibatkan kestabilan emosi, psikologi, pendidikan, persekitaran keluarga dan kasih sayang dalam kehidupan anak-anak yatim tersebut. “Dalam Islam, anak-anak yatim perlu menjadi tanggungjawab wali mereka selepas kematian ibu bapa iaitu datuk, bapa saudara, adik beradik dan seterusnya. “Justeru, saya mencadangkan agar kerajaan dapat menyediakan potongan cukai khas kepada ahli keluarga yang menjaga anak-anak yatim ini di samping bantuan khas kepada keluarga yang menjaga anak-anak ini,” katanya dalam kenyataan ketika persidangan bajet, baru-baru ini. Dalam Bajet 2022, kerajaan menyediakan sebanyak RM25 juta kepada Yayasan Keluarga Malaysia bagi melindungi kebajikan, pendidikan dan masa depan anak yatim yang ibu bapa mereka meninggal dunia akibat COVID-19. Sehingga kini, lebih 4,700 anak yatim kehilangan ibu bapa akibat pandemik Covid-19. Sementara itu, Dato' Dr. Khairuddin turut menjelaskan, rumah kebajikan untuk anak yatim juga wajar diberikan peruntukan khas apabila mereka mengambil anak yatim atau yatim piatu yang kehilangan ibu bapa akibat pandemik Covid-19. Dalam pada itu, beliau mencadangkan bagi anak yang kehilangan ibu supaya kerajaan menyediakan bantuan PRIHATIN yang sesuai untuk bapa mereka mencari pasangan baharu supaya boleh membantu mereka menjaga anak-anak. “Malah dana khas juga perlu diberikan kepada ibu-ibu yang sudi menjaga anak suami mereka atau anak tiri seperti anak sendiri,” katanya sepertimana dilaporkan Utusan Online.
11 Nov 21
212
Amaran Hujan Berterusan Di Empat Daerah
Amaran Hujan Berterusan Di Empat Daerah
KUALA TERENGGANU, 10 November – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) telah mengeluarkan amaran (kuning) hujan berterusan dijangka berlaku sepanjang hari ini di empat daerah di Terengganu Melalui satu kenyataan hari ini, antara kawasan terlibat ialah Besut, Setiu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu dan Marang yang dikategorikan kawasan kuning. “Orang ramai dinasihatkan agar bersiap sedia menghadapi musim tengkujuh dan sentiasa peka dengan amaran hujan lebat serta angin kencang dan laut bergelora. “Maklumat berkenaan akan dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia melalui laman web rasmi Jabatan, aplikasi mobil myCuaca dan laman media sosial rasmi Jabatan,” jelasnya lagi. Terdahulu, lebih 20 lokasi di tujuh daerah telah dikenalpasti berisiko banjir, susulan fenomena air pasang besar yang dijangka bermula awal bulan ini sehingga hujung Disember.
10 Nov 21
5324
Jalan Aring-Kenyir-Kuala Jeneris Ditutup Akibat Mendapan Jalan
Jalan Aring-Kenyir-Kuala Jeneris Ditutup Akibat Mendapan Jalan
HULU TERENGGANU, 10 November - Jalan Aring 8-Kenyir-Kuala Jeneris di laluan FT 36 melibatkan Kilometer (KM) 74.8 sehingga KM 75 di seksyen 87 (52) ditutup kepada semua kenderaan sehingga 2 Disember. Menurut kenyataan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Hulu Terengganu baru-baru ini, jalan sepanjang 200 meter itu ditutup sementara sebagai langkah berjaga-jaga akibat mendapan jalan. Jurutera JKR Daerah, Alif Zuwairi Baharuddin berkata, papan tanda lalulintas akan dipasang di tapak untuk panduan pengguna jalan raya. “Para pengguna hendaklah mematuhi tanda arah serta papan tanda keselamatan yang disediakan. Kerjasama sepenuhnya daripada semua pengguna jalan raya amat diharapkan,” katanya menerusi satu kenyataan. Jelasnya, buat sementara waktu, para pengguna jalan raya boleh menggunakan laluan alternatif FT 08 Jalan Kota Bharu Gua Musang. Untuk maklumat lanjut, boleh berhubung dengan Pejabat JKR Daerah Hulu Terengganu, Terengganu di talian 09-6811900, faks 09-6811896.
10 Nov 21
16544
Solat, Makan Berjemaah Rahsia Tokoh Keluarga Tunggal Mithali
Solat, Makan Berjemaah Rahsia Tokoh Keluarga Tunggal Mithali
KUALA TERENGGANU, 10 November – Solat dan makan berjemaah menjadi rahsia tokoh Keluarga Tunggal Mithali, Hasnah Abdullah, 66, dari Kampung Pauh, Telemong dalam mendidik dan melahirkan sembilan orang anak hingga berjaya. Katanya, tugas menjaga anak bukan mudah namun berkat kesabarannya, dia kini mampu tersenyum bangga kerana kesemua anaknya itu berjaya melanjutkan pelajaran sehingga ke peringkat universiti dan seterusnya berjaya dalam bidang yang diceburi  serta menyumbang bakti kepada masyarakat, agama, bangsa dan negara. Bekas pesara guru yang kematian suami sejak 13 tahun lalu berkata perkara pertama yang diterapkan dalam diri anak-anak adalah pendidikan agama kerana ia tunjang kehidupan seseorang individu. Beliau sentiasa mengingatkan anak-anaknya bahawa kalau ingin berjaya, mereka hendaklah sembahyang dan berdoa kepada Tuhan. Sembahyang dan doa ini pula, hendaklah disusuli dengan kerja keras untuk mendapatkan apa yang dihajati itu. “Kalau nak baiki hubungan ukhuwah antara keluarga, perkara pertama yang kita kena buat ialah Solat Berjema'ah! Dari solat berjemaah, kita akan belajar nilai hormat, nilai taat, nilai kasih sayang dan sebagainya “Selepas solat pula, hiasi ia dengan zikir atau sedikit pesanan ringkas kepada ahli keluarga anda,” katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Anugerah Keluarga Mithali 2021, Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu(YPKT), di Kompleks Ibu Tunggal, Chendering di sini hari ini. Majlis perasmian dan penyampaian hadiah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat, Para pemenang membawa pulang wang tunai berjumlah RM10,000 serta sijil penghargaan. Tambah Hasnah, satu lagi amalan keluarganya ialah makan bersama-sama bagi menikmati masa berkualiti dengan anak-anak, “Waktu makan adalah waktu yang tenang dan menyeronokkan sebab ketika inilah anda boleh berinteraksi dengan anak-anak “Cara ini secara tidak langsung akan merangsang anak berinteraksi dan dapat meluahkan pandangan mereka dengan lebih baik,”ujarnya. Sementara itu, Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu telah menerima 27 pencalonan untuk kategori Keluarga Lengkap Mithali dan 24 pencalonan daripada kategori Keluarga Tunggal Mithali. Menurut Pengarah YPKT, Wan Zaki Wan Abdullah, pemilihan ini sudah tentu mengambilkira kriteria-kriteria seperti keperibadian calon, kejayaan mendidik dan membesarkan anak-anak hingga anak-anak berjaya dengan cemerlang. Katanya ini termasuk dengan sumbangan dan keaktifan dalam masyarakat, ketabahan dalam mendidik dan membesarkan anak-anak.
10 Nov 21
1955
Tiga PPS Seberang Takir Tanda Kesiapsiagaan Hadapi Banjir
Tiga PPS Seberang Takir Tanda Kesiapsiagaan Hadapi Banjir
KUALA NERUS, 9 November – Tiga buah pusat pemindahan sementara (PPS) telah disediakan di Seberang Takir bagi menempatkan mangsa banjir menghadapi musim tengkujuh yang dijangka bermula pada hujung bulan ini. Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir, Mohd Fadhil Wahab ketika membuat tinjauan berkata, persiapan rapi telah dibuat pelbagai pihak dan agensi di ketiga-tiga PPS sebagai persediaan menanti segala kemungkinan. “Pada tahun ini, logistik sedikit berbeza kerana semua PPS akan menyediakan bilik khas bagi mangsa bergejala atau positif COVID-19. “Mereka yang terkesan akan dikuarantinkan ke bilik rawatan khas ini atau ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC). “Saya berpuas hati dengan persediaan yang dibuat, terima kasih pihak sekolah yang memberi kerjasama yang baik dalam menghadapi sebarang potensi pada masa hadapan,” ujarnya lagi Buat guru yang mengendali salah sebuah PPS iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Kompleks Seberang Takir, Mohd Zuki Muda, persediaannya melibatkan dua buah kelas setakat ini dengan setiap kelas mampu memuatkan sehingga enam buah khemah. “Kita mengharapkan apabila berlaku nanti, pihak terlibat seperti RELA, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan warga guru yang bertugas akan segera bertindak segera berdasarkan peranan masing-masing. "Jangkaan kami adalah kesan banjir tahun ini akan menjadi sama dengan tahun lalu, Insya-Allah dengan kapasiti sedia ada in kita mampu tangani walaupun masih berdepan dengan pandemik," jelasnya. Antara dua lagi lokasi PPS tersebut adalah di SK Seberang Takir dan SK Tok Jembal.
09 Nov 21
304
UMT Tubuh Pusat Arkeologi Bawah Air Pertama Di Malaysia
UMT Tubuh Pusat Arkeologi Bawah Air Pertama Di Malaysia
KUALA NERUS, 9 November - Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah melancarkan pusat arkeologi bawah air pertama di Malaysia dengan penubuhan Pusat Latihan Arkeologi Bawah Air Marin di Stesen Penyelidikan Alami Marin dan kampus induk. Naib Canselor UMT, Prof Dr Mazlan Abd Ghafar berkata, penubuhan tersebut berkait rapat dengan pemeliharaan dan pemuliharaan warisan budaya bawah air seperti peninggalan kapal karam ‘The Bidong Shipwreck’. “Antara kelebihan Bidong adalah kewujudan khazanah sejarah tersebut yang telah dikaji sejak 2017, serta kedalaman dasar yang tidak melebihi 18 meter. “Ini bermaksud kawasan ini boleh diterokai penyelam rekreasi, dengan adanya juga 11 replika mercu tanda terkenal negara ASEAN (AUMIL) juga, ia amat bagus sebagai tempat latihan arkeologi. “Pusat latihan ini turut melibatkan kerjasama pakar-pakar daripada negara ASEAN yang berkongsi dan bertukar pengetahuan serta pengalaman dalam menguruskan cabaran dalam perlindungan warisan budaya dan arkeologi bawah air,” katanya. Tambahnya, kolaborasi bersama negara jiran seperti Kemboja dan Thailand adalah penting bagi melihat bagaimana tamadun terdahulu berinteraksi dan berkembang di Malaysia. Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian AUMIL di Pulau Bidong, semalam. Sementara itu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Dato’ Seri Nancy Shukri menyifatkan usaha kerjasama pihaknya dengan UMT dan Jabatan Warisan Negara adalah penting dalam menjayakan Seminar Pemuliharaan dan Perlindungan Warisan Budaya Bawah Air ASEAN. “Kita ingin mengekalkan budaya Terengganu yang sinonim dengan sejarah maritim serta khazanah dasar laut dan kehidupan marin. “Pemeliharaan semua bentuk budaya dan warisan bawah air mesti diberikan kepentingan yang sama, kerana ia adalah sebahagian daripada warisan kita kepada generasi akan datang,” tambahnya.
08 Nov 21
1668
11 Mercu Tanda Asia Tenggara Kini Produk Pelancongan Terengganu
11 Mercu Tanda Asia Tenggara Kini Produk Pelancongan Terengganu
KUALA NERUS, 8 November – Sebanyak 11 replika mercu tanda terkenal negara ASEAN telah dilabuhkan di dasar laut Pulau Bidong melalui projek khas, 'The 1st ASEAN Underwater Mini Landmark' (AUMIL) hari ini sekali gus mencipta sejarah di Asia Tenggara. Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Dato’ Seri Nancy Shukri berkata, produk pelancongan baharu tersebut akan menjadi pameran Warisan Budaya Bawah Air ASEAN yang pertama dalam sejarah ASEAN. Menurutnya, pada kedalaman 10 sehingga 15 meter, projek kebudayaan tersebut telah diluluskan pada 2019 dengan jumlah peruntukan RM 290,955 (USD 70,000) di bawah Tabung Kebudayaan ASEAN. “Kita akan mengalakkan pelancong daripada negara-negara jiran ini untuk datang kembali ke Terengganu sekaligus meningkatkan ekonomi penduduk tempatan serta menaikkan nama negeri yang sinonim dengan produk perikanan. “Terutamanya golongan penyelam skuba dan fotografi bawah air daripada antarabangsa, Pulau Bidong bakal menjadi syurga buat mereka. "Monumen ini adalah tambahan baharu di dasar laut Bidong yang juga mempunyai khazanah sejarah daripada kapal-kapal karam daripada tamadun Asia lama,” katanya. Antara Mercu tanda ASEAN di dasar Pulau Bidong Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian AUMIL di Pulau Bidong, hari ini. Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman, Ketua Setiausaha MOTAC, Datuk Wira Dr. Noor Zari Hamat, Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu, Professor Dr. Mazlan Abd Ghaffar serta Duta Besar negara-negara ASEAN di Malaysia. Tran Quoc Pagoda (Vietnam) Tambahnya lagi, selain menggalakkan usaha memulihara dan memelihara warisan budaya bawah air, AUMIL juga akan memupuk penghargaan budaya yang lebih tinggi di kalangan masyarakat ASEAN. Antara 11 monumen tersebut ialah Menara Berkembar Petronas Kuala Lumpur-KLCC (Malaysia), Masjid Sultan Haji Omar Ali Saifuddien (Brunei), Cambodia Independence Monument (Cambodia), Patuxai Monument (Laos), Indonesia National Monument (Indonesia), Shwedagon Pagoda (Myanmar), Jose Rizal Monument (Filipina), Merlion (Singapura), Wat Arun Ratchawararam Ratchaworamahawihan (Thailand) dan Tran Quoc Pagoda (Vietnam) serta lambing ASEAN Secretariat (ASEAN). Menggunakan kepakaran dan kemahiran anak tempatan dari kampung Tok Badir, Bukit Payong, Kuala Terengganu, 11 replika mercu tanda ini berjaya disiapkan dalam tempoh hampir dua bulan. Replika Masjid Sultan Haji Omar Ali Saifuddien (Brunei)  
08 Nov 21
1395
PAS Tidak Pernah Berhasrat Keluar MN - Tuan Ibrahim
PAS Tidak Pernah Berhasrat Keluar MN - Tuan Ibrahim
KUALA TERENGGANU, 7 November - PAS tidak pernah melahirkan hasrat untuk keluar daripada Muafakat Nasional (MN) kerana gabungan itu mempunyai matlamat yang besar hasil daripada pemeteraian piagam pada 14 September 2019. Timbalan Presidennya, Dato' Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata MN ialah penyatuan ummah antara parti politik Melayu Islam terbesar di Malaysia yang tidak hanya dengan UMNO. "MN merupakan agenda besar dan gagasan yang tidak berdaftar seperti Perikatan Nasional (PN). "Walau bagaimanapun, PAS tidak pernah berniat untuk keluar dari MN dan kita harap bahawa pertemuan, perbincangan dapat diteruskan daripada masa ke semasa demi kebaikan semua pihak," ujarnya. Beliau berkata demikian di sidang media Muktamar Tahunan PAS di Duyung Marina Resort, di sini hari ini. Sementara itu, Tuan Ibrahim juga berkata, PAS akan mengekalkan sumpah baiah kepada calon mereka yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November ini. Beliau berkata setiap calon yang bertanding menggunakan nama PAS, perlu melafazkan baiah sebagai janji mengikut segala syarat dan peraturan yang ditetapkan oleh parti. "Semua calon pas baiah kepada parti dan istiqamah tidak akan keluar parti sekiranya mereka menang malah PAS konsisten menentang agenda lompat parti,"katanya.    
07 Nov 21
217