lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

ADUN Dibenarkan Berbaju Batik
ADUN Dibenarkan Berbaju Batik
Oleh : Rohayati Ripin KUALA TERENGGANU, 15 November – Semua Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu dibenarkan berbaju batik lengan panjang pada persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu hari khamis. Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato’ Haji Yahaya Ali berkata, ia berdasarkan peruntukan dalam perkara 121A (1) Peraturan-Peraturan dan Perintah-Perintah Tetap DUN. “Ini adalah selaras dengan amalan di Parlimen sekarang ini dan juga bagi mempromosi negeri Terengganu sebagai negeri utama pengeluar batik di Malaysia,” jelasnya. Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Keempat Belas (Bajet) di Dewan Undangan Negeri (DUN), Wisma Darul Iman, pada hari ini. Menurutnya, persidangan  selama empat hari sudah tentu mengambil kira suasana ancaman Covid-19. “Oleh sebab itu, atas nasihat Majlis Keselamatan Negeri (MKN) terutama melalui Jabatan Kesihatan Negeri, pentadbiran DUN masih lagi mengekalkan SOP yang ditetapkan. Swab test kepada semua Ahli Yang Berhormat (AYB) dan ujian RTK (saliva test) akan diteruskan disamping mewajibkan pemakaian pelitup muka dan duduk secara berjarak. “Bahkan pentadbiran DUN telah menambahbaik dengan memasang cermin penghadang di antara tempat duduk AYB sebagaimana di Parlimen. Oleh itu, para AYB boleh membuka pelitup muka hanya semasa menyampaikan ucapan dan masih perlu dipakai sepanjang berada di dalam dewan apabila tidak berucap,” katanya. Beliau turut memohon maaf sekiranya semua SOP ini tidak memberi keselesaan kepada AYB, tetapi ianya penting untuk memastikan keselamatan bersama. “Saya juga ingin menarik perhatian AYB sekalian supaya sentiasa mematuhi 'standing orders' sepanjang empat hari persidangan kita berjalan. Tugas seorang Speaker di antara lain adalah bagi memastikan persidangan DUN berjalan lancar. “ Secara konvensionalnya, Speaker tidak seharusnya dipertanggungjawabkan untuk memuaskan hati  semua pihak atas setiap pembahasan dan soal jawab yang diutarakan. Oleh sebab itu urusan-urusan AYB bukan di sini tempat berakhirnya,” katanya. Justeru itu, beliau berharap agar semua ADUN agar tidak pentingkan diri   dan cuba menarik perhatian dewan atau berusaha menjadi juara dalam dewan pada kali ini. “Ini kerana banyak perkara atas nama kepentingan rakyat boleh diselesaikan diluar dewan dengan semangat ukhwah dan perbincangan yang sihat bagi memenuhi tanggungjawab kita kepada rakyat dan lebih-lebih lagi kepada Allah SWT,” tambah beliau lagi.
15 Nov 21
325
Usul ‘Select Committee’ Dibentangkan Dalam Sidang DUN
Usul ‘Select Committee’ Dibentangkan Dalam Sidang DUN
Oleh: Rohayati Ripin KUALA TERENGGANU, 15 November – Usul penubuhan jawatankuasa pilihan (select committee), Jawatankuasa Terpilih Semakan Peraturan-Peraturan dan Perintah-Perintah Tetap Dewan akan dibentangkan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu kali ini. Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato' Haji Yahaya Ali berkata, ia bertujuan untuk mengkaji dan menambah baik 'Standing Rules And Orders' DUN yang diwujudkan sejak tahun 1960. “Supaya lebih tersusun, penggunaan bahasa yang standard, tambahan dalam edisi rumi dan cadangan bagi memasukkan perkara-perkara baru sesuai dengan perkembangan semasa,” jelasnya. Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Keempat Belas (Bajet) di Dewan Undangan Negeri (DUN), Wisma Darul Iman, pada hari ini. Menurutnya, beliau yakin pembentangan bajet kali ini yang akan dibentangkan oleh Menteri Besar Terengganu, YAB Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri bin Mokhtar mengutamakan dengan membina ekonomi terjejas supaya  rakyat kembali ceria dan hidup seperti sebelum pendemik Covid-19 melanda. “Saya yakin semua AYB bersetuju dengan saya dan mengharapkan YAB Dato' Seri Menteri Besar akan membentangkan bajet yang terbaik pada kali ini dalam suasana kita sudah berada dalam fasa empat menghadapi Covid-19 di mana hampir semua sektor samada dalam kerajaan atau swasta telah mula diaktifkan. “Tetapi pada masa yang sama kita perlu beringat-ingat untuk terus menjaga SOP kerana peperangan kita menghadapi Covid-19 belum lagi berakhir. Hanya kepada Allah jualah kita bertawakal agar ujian dan musibah ini dihapuskan seberapa segera,” ujar Dato’ Yahaya. Justeru itu beliau berharap agar AYB bertanggungjawab untuk meneliti setiap butiran bajet yang dibentangkan oleh YAB Menteri Besar sebelum membahas.  “Dari segi semangat perlembagaan, kerajaan sudah tentu tidak boleh berbelanja walau satu sen pun pada tahun hadapan sekiranya rang undang-undang ini tidak diluluskan,” katanya.
15 Nov 21
155
COVID-19 : Terengganu Catat Penggunaan Katil Tertinggi
COVID-19 : Terengganu Catat Penggunaan Katil Tertinggi
KUALA TERENGGANU, 14 November – Terengganu mencatatkan kadar membimbangkan dari segi penggunaan katil dengan peratusan tertinggi di Malaysia iaitu 82 peratus, diikuti jumlah kematian yang mencecah 500 kes menurut Kementerian Kesihatan Malaysia sehingga semalam. Berdasarkan data semasa jangkitan COVID-19 di Malaysia yang dimuat naik ke laman web COVIDNOW, peratusan katil pesakit COVID-19 menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) adalah seramai 28 kes dengan kadar penggunaan mencecah 75 peratus. “Sementara itu, peratusan penggunaan katil pesakit COVID-19 diwadkan di hospital di negeri adalah seramai 66 orang dengan kadar penggunaan tertinggi di Malaysia iaitu 82 peratus dengan tren dua peratus kenaikan dalam tujuh hari. “Jumlah kematian adalah sebanyak 501 kes dengan empat kes terbaharu pada semalam dengan 51 daripada jumlah kes didapati pesakit COVID-19 yang meninggal dunia sebelum bantuan perubatan dapat diberi (BID),” katanya. Terdahulu, Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Kasemani Embong berkata, peningkatan kes kritikal sedemikian dipercayai berpunca akibat pergerakan rentas negeri di samping peralihan Terengganu ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN). Sehingga semalam, Terengganu mencatatkan jumlah kes harian sebanyak 247 kes dengan jumlah kes baharu tertinggi di Kuala Nerus (83 kes) diikuti Kuala Terengganu 63 kes).
14 Nov 21
1566
Kerajaan Teliti Pelaksanaan Vaksin Terhadap Kanak-kanak
Kerajaan Teliti Pelaksanaan Vaksin Terhadap Kanak-kanak
HULU TERENGGANU, 13 November – Kerajaan masih meneliti data-data bagi memastikan pelaksanaan vaksinasi terhadap kanak-kanak berusia 5 hingga 12 tahun di Malaysia selamat buat warga sasar tersebut. Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Ahmad Amzad Hashim memaklumkan perkara tersebut dan percaya kerajaan akan mengambil langkah-langkah sesuai bagi memastikan pelaksanaannya yang sudah berjalan di negara luar, bermanfaat buat masyarakat Malaysia. Menurutnya, penglibatan MOSTI dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) kini hanya khusus kepada kajian pembangunan vaksin. “Kita telah serah tanggungjawab vaksinasi dibawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), namun makluman berkenaan program suntikan kepada kanak-kanak masih dalam proses kajian dan perancangan yang mencukupi dan lengkap. “Seperti mana sebelum ini kita perlu pastikan risiko dos vaksin adalah seperti mana sebelum ini iaitu pada kadar minimum,” katanya selepas program Jelajah Ilmuan ‘Ride to Kenyir’ di Madrasah Darul Ansar, Kampung Basung, petang tadi. Terdahulu, Malaysia akan meneruskan pemerolehan vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech untuk kanak-kanak berusia 5 hingga 12 tahun menurut Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin. Khairy bagaimanapun belum memperincikan bilakah pemberian vaksin COVID-19 akan mula diberikan kepada kanak-kanak berusia 5 hingga 12 tahun itu. Sehingga semalam, Terengganu mencatatkan kadar vaksinasi sekurang-kurangnya satu dos adalah sebanyak 69.8 peratus, dengan 67.6 peratus lengkap divaksinasi dengan 30 peratus lagi belum disuntik dos vaksin COVID-19.
13 Nov 21
242
250 'Mat Motor' Jelajah Ke Kenyir, Madrasah
250 'Mat Motor' Jelajah Ke Kenyir, Madrasah
HULU TERENGGANU, 13 November – Kerajaan negeri meraikan seramai 250 penunggang motosikal sempena program Jelajah Ilmuan 'Ride To Kenyir' bagi meningkatkan semangat warga belia serta melawat pusat-pusat ilmu, di sini. Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, acara tersebut melibatkan jarak lebih 100 kilometer dengan penyertaan dari seluruh daerah dalam negeri. “Kita turut menjelajah ke pusat ilmu pendidikan agama di daerah ini seperti Madrasah Darul Ansar, Madrasah Darul Zahra dan Maahad Tahfiz Asy-Syatibi. “Pihak saya mengambil kesempatan menyampaikan sumbangan wang tunai kepada setiap pusat ilmu dikunjungi sebagai suntingan pembangunan buat madrasah di sini. “Antara pengisian juga adalah lawatan ke Pulau Herba di Tasik kenyir, saya melihat banyak potensi boleh dibangunkan daripada herba-herba tempatan dari segi aspek kajian saintifik terutamanya buat MOSTI,” katanya. Beliau berkata demikian semasa program Jelajah Ilmuan ‘Ride to Kenyir’ di Madrasah Darul Ansar, Kampung Basung, petang tadi. Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah, Pengarah Urus setia Belia Sukan dan NGO Terengganu (UBSNT), Mohd Nasir Abd Razak dan Pengarah Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT), Ramlan Mahmood. Tambah Amzad, beliau turut mengingatkan warga muda termasuk masyarakat bahawa negeri tidak akan kekal selamat dari segi penularan COVID-19 jika Prosedur Operasi Standard (SOP) tidak terus dipatuhi. “Kita baru sahaja berpindah kepada Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) Oktober lalu, oleh itu kita perlu kekal mengambil langkah menjaga keselamatan diri dan keluarga," katanya.
13 Nov 21
888
Setelah 20 Tahun Tertangguh, 397 Suratan Hak Milik Dan Borang 5A Diserahkan
Setelah 20 Tahun Tertangguh, 397 Suratan Hak Milik Dan Borang 5A Diserahkan
SETIU, 13 November- Setelah menunggu hampir 20 tahun akhirnya seramai 397 penduduk di sini lega setelah menerima suratan hak milik tanah dan notis Borang 5A Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Terkilan Rhu Tapai dan Tanah Pertanian. Daripada Jumlah terbabit seramai 147 merupakan penerima Borang 5A Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Rhu Tapai, Setiu. Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit, Ustaz Mohd Shafizi Ismail berkata, sekian lama penduduk di sini menunggu akhirnya ia menjadi kenyataan yang sangat mengembirkan rakyat. “Saya memanjatkan syukur ke atas Ilahi kerana diberikan kesempatan untuk menunaikan hak rakyat di kawasan saya dengan kerja keras daripada semua pihak terutama kakitangan Pejabat Tanah Daerah Setiu proses penyerahan hak milik RTB ini menjadi kenyataan. “Ia merupakan Hari yang sangat bersejarah kerana kita berjaya merealisasikan janji dan manifesto kerajaan negeri pada Pilihan Raya Umum Ke-14 bagi mengembalikan tanah-tanah terkilan,” ujarnya pada majlis penyampaian Suratan Hak Milik Tanah Dan Notis Borang 5A RTB Terkilan, Rhu Tapai di Dewan Sungai Tarom, Permaisuri Setiu baru-baru ini. Seorang penerima, Novianti binti Mohd Zam, 41, berkata, dia menzahirkan perasaan sangat gembira kerana permohonan yang dibuat pada tahun 1999 akhirnya diluluskan. “Alhamdulillah, syukur sangat kerana penantian hampir 20 tahun untuk memiliki tanah ini akhirnya berakhir dan saya tidak menyangka permohonannya begitu cepat diproses dibawah keraaan PAS. “Terima kasih kepada kerajaan negeri dibawah pimpinan Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Pegawai Penyelaras DUN Batu Rakit, Ustaz Mohd Shafizi Ismail yang sangat cakna kepada keperluan rakyat seperti kami,” ujarnya yang berasal dari Kampung Pasir Puteh Batu Rakit. Hadir merasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komuditi dan Pembangunan Luar Bandar, YB Dr Azman Ibrahim, Pegawai Daerah Setiu, YBrs Tuan Rosli latif dan Pegawai Penyelaras DUN Permaisuri, Zul Bhari Abdul Rahman.
12 Nov 21
334
Tiga  Empangan TNB Jadi Tebatan Banjir
Tiga  Empangan TNB Jadi Tebatan Banjir
KUALA LUMPUR, 12 November - Tiga empangan hidroelektrik Tenaga Nasional Berhad(TNB) di Tasik Kenyir, Terengganu, Cameron Highlands, Pahang dan Sungai Perak, Perak kini diletakkan dalam keadaan bersiap sedia menghadapi musim tengkujuh. Pengarah Urusan TNB Power Generation Sdn Bhd (TNB Genco), Datuk Nor Azman Mufti, berkata pihaknya telah membuat persediaan awal dengan mengurangkan paras air  bagi menampung peningkatan kapasiti air. "Proses pelepasan air secara terkawal di empangan hidroelektrik TNB dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan dan agensi berkaitan. "Ketiga-tiga empangan itu kini bersedia menakung kapasiti air dari hulu sungai yang dijangka meningkat," katanya dalam satu kenyataan, hari ini. Nor Azman berkata, selain menjana elektrik, empangan TNB mempunyai kapasiti menakung air di hulu sungai yang dapat mengelakkan bencana lebih besar daripada berlaku di kawasan hiliran setiap kali musim tengkujuh. “Ini termasuk beberapa siri taklimat persediaan dan latihan kecemasan di stesen hidroelektrik dan pejabat operasi TNB dilaksanakan bagi meningkatkan kecekapan dan siapsiaga semua pihak di musim tengkujuh,” katanya lagi. Sementara itu, orang ramai turut dinasihatkan supaya mengutamakan aspek keselamatan, sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa jika premis mereka dinaiki air. "Jika ada pencawang elektrik yang ditenggelami air dan operasinya terpaksa dihentikan, penyambungan semula hanya akan dibuat TNB selepas keadaan selamat,"ujar beliau. Bagi sebarang maklumat lanjut mengenai perkhidmatan dan bekalan elektrik, orang ramai boleh menghubungi talian TNB CareLine di 15454 atau Facebook TNB Careline. 
12 Nov 21
876
Empat Beradik Derita Penyakit Saraf Terima Bantuan Tambahan
Empat Beradik Derita Penyakit Saraf Terima Bantuan Tambahan
KEMAMAN, 12 November - Kerajaan negeri  bersetuju menyalurkan Bantuan Am Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)  sebanyak RM450 sebulan kepada empat beradik yang lumpuh seluruh badan akibat penyakit saraf  mulai Januari depan. Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat, berkata bantuan tambahan bernilai RM150 seorang kepada tiga beradik dari Kampung Teluk Kalong itu diputuskan apabila dia difahamkan bantuan sedia ada tidak mencukupi untuk keperluan harian. "Sebelum ini Mohd. Marsudi Rozali, 36, dan Mohd. Aismuddin, 33, menerima bantuan RM300 sebulan daripada JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) manakala Mohd. Amerizam, 42 menerima pencen ilat PERKESO sebanyak RM1,000 sebulan. "Setelah berbincang dengan pihak JKM, saya syorkan dan terus meluluskan Bantuan Am Negeri sebanyak RM450 sebulan bagi keempat-empat anak Makcik Rosanani termasuk  Rozanariah Rozali, 43, yang tinggal berasingan dan dijaga oleh suaminya.  "Jadi jumlah keseluruhan adalah RM1,800 dan kami harapkan jumlah itu dapat menampung perbelanjaan mereka," katanya ketika ditemui pemberita di kediaman Rosanani di Kampung Teluk Kalong, hari ini. Dalam pada itu Hanafiah berkata, kerajaan negeri juga akan membekalkan lampin pakai buang di bawah peruntukan Tabung Darul Iman untuk kegunaan adik-beradik tersebut selama mana mereka memerlukannya. Sementara itu, Rosanani Salleh, 62, berterima kasih atas keprihatinan kerajaan negeri dalam meringankan bebannya bagi urusan penjagaan ketiga-tiga anaknya yang lumpuh berikutan pendapatan sebagai penjual lemang yang tidak menentu kira-kira RM800 sebulan. "Syukur sebab beban saya makin berkurangan dan boleh luangkan masa lebih banyak dengan anak-anak dan menjaga mereka lebih teliti berbanding sebelum ini terpaksa meninggalkan mereka untuk bekerja," katanya.  
11 Nov 21
293
Bot Penambang Berkonsepkan Realiti Maya Diperkenalkan Awal Tahun Depan
Bot Penambang Berkonsepkan Realiti Maya Diperkenalkan Awal Tahun Depan
KUALA TERENGGANU, 11 November - Kerajaan negeri melalui Jabatan Pelancongan bakal menambahbaik perkhidmatan bot penambang antaranya mengadakan pendekatan realiti maya (VR), bermula tahun depan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Negeri, Ariffin Deraman berkata inisiatif terbaharu itu akan mempersembahkan kepada pelancong, satu pengangkutan tradisi tetapi berkonsepkan VR di Terengganu. "Perkhidmatan bot penambang yang makin dipinggirkan malah kurang mendapat perhatian pelancong akan menikmati pengalaman baharu menyusuri Sungai Terengganu dengan kemudahan VR yang lebih menyeronokkan. “VR  membolehkan penggguna merasai pengalaman menyaksikan video tiga dimensi (3D) lokasi tarikan pelancongan di Terengganu sewaktu berada di dalam bot penambang,” ujarnya. Beliau berkata demikian di sidang media selepas Majlis Sumbangan Kepada Agen Promosi Pelancongan (Beca dan Bot Penambang) di Event Space, TD1303, di sini hari ini. Tambah Ariffin, pihaknya juga akan memperkenalkan beca berkuasa solar kepada lima pengayuh terpilih sebagai nilai tambah kepada perkhidmatan tersebut pada awal tahun hadapan. “Ciptaan tersebut mendapat kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi mudah diselenggara serta dikendalikan dan masih beridentitikan tradisional Terengganu. "Kita juga merancang laluan baharu beca di tempat tumpuan ramai termasuk di jambatan angkat dan Kampung Budaya,"ujar beliau lagi. Dalam masa yang sama, Ariffin berkata penetapan harga standard bagi setiap laluan beca kini diperingkat perbincangan dalam usaha menambah pendapatan pengayuh-pengayuh beca di sekitar Kuala Terengganu.
11 Nov 21
360
Pelan Strategik Kelestarian Pelancongan Terengganu Wujudkan Dimensi Baru
Pelan Strategik Kelestarian Pelancongan Terengganu Wujudkan Dimensi Baru
KUALA TERENGGANU, 11 November- Kerajaan negeri mengorak langkah melancarkan Pelan Strategik Kelestarian Pelancongan Negeri Terengganu sebagai inisiatif melestarikan pelancongan negeri secara menyeluruh, memulihkan dan mewujudkan dimensi baru industri pelancongan. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, pelan tersebut merangkumi misi dan matlamat dalam menjadikan Terengganu sebagai negeri pilihan pelancong dalam dan luar nagara. "Ibarat sebuah rumah lama, kita perlu penambahbaikan untuk menjadikannya lebih baik. Sebenarnya, kita telah bermula hujung tahun lalu, cuma kerana pandemik, kami menunggu masa yang sesuai untuk dilancarkan," katanya. Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas pelancaran Buku Pelan Strategik Kelestarian Pelancongan Negeri Terengganu oleh Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar di Wisma Darul Iman, semalam. Jelasnya, antara fokus utama yang terkandung di dalamnya adalah memastikan mutu penyampaian perkhidmatan yang berkualiti, menekankan pembangunan produk pelancongan melalui pendekatan komuniti serta pemantapan jaringan infrastruktur pemasaran melalui sinergi pelbagai agensi. "Antaranya, kita telah kenal pasti 40 produk Pelancongan Berasaskan Komuniti (CBT) dan memperuntukkan hampir RM1 juta dalam menjayakannya. "Pandemik ini, sektor pelancongan sangat terjejas dan antara yang boleh memberikan suntikan ekonomi segera adalah CBT yang dimajukan," katanya. Tambah Ariffin, kerajaan negeri turut sasarkan kedatangan sekitar tiga juta pengunjung ke Terengganu bagi tahun 2022 dalam tempoh pemulihan semula industri pelancongan negeri tersebut dan berharap pembukaan semula gerbang antarabangsa mampu membantu mencapai sasaran berkenaan.  
11 Nov 21
660