Artikel "Semasa" Terkini
Lebih 19 Ribu Warga Emas Terima RM300 Akhir Bulan Ini
KUALA TERENGGANU, 15 November – Kerajaan Negeri bakal merealisasikan satu lagi manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dengan menyalurkan Pemberian Pencen Rakyat Warga Emas kepada 19,230 orang penerima pada 21 November ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, pelaksanaan manifesto itu pada tahun ini hanya melibatkan suku kedua, bermula Jun sehingga Disember atau sebanyak RM300.
“Pada tahun 2022, kerajaan meluluskan RM13 juta bagi menampung lebih ramai penerima dengan jumlah sebanyak RM600 seorang.
“Lebih 19 ribu penerima adalah hasil daripada 20,560 ribu permohonan diperoleh pada 31 Disember tahun lepas.
“Antara syaratnya adalah warga emas berusia 60 tahun yang bukan penerima pencen dan bantuan daripada agensi kerajaan termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Majlis Agama Islam dan Adat Terengganu (Maidam), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan lain-lain,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa ditemu bual Urus setia Penerangan Darul Iman, di Wisma Darul Iman, hari ini.
Dalam pada itu, kerajaan negeri turut mengumumkan Pusat Integrasi Sosial Warga Emas (PISWE) serta pusat jagaan harian warga emas muslimah, Baitul Ummi peruntukan sebanyak RM500 ribu, bagi membela nasib warga sasar tersebut.
15 Nov 21
1642
Tiada Kematian Akibat Covid-19 Di Pasar Payang
KUALA TERENGGANU, 15 November - Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) menafikan berita tular tentang berlakunya kematian akibat Covid-19 yang melibatkan peniaga di Pasar Payang 2 baru-baru ini.
Pengarah JKNT, Dato Dr Kasemani Embong berkata walau bagaimanapun pihaknya mengesahkan memang terdapat jangkitan dalam kalangan peniaga pasar utama itu namun tiada kes kematian yang dilaporkan.
Katanya, bermula 31 Oktober sehingga 13 November 2021, seramai 36 daripada 1,000 orang peniaga Pasar Kedai Payang telah dijangkiti COVID-19.
"Namun kesemua mereka telah diasingkan dan diberi rawatan. Seramai dua orang telah dimasukkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) iaitu seorang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan seorang dirawat di wad COVID-19.
"Kedua pesakit ini telah dibenarkan pulang manakala semua kontak rapat telah dikenalpasti dan dikuarantin," ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam masa yang sama, Dr Kasemani meminta orang awam untuk tidak menularkan sebarang berita yang tidak sahih supaya tidak mencetuskan kebimbangan dan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
Menurut beliau, JKNT akan
sentiasa memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya bagi memastikan
penularan COVID-19 dapat disekat.
Terdahulu, tular di media sosial kononnya ramai peniaga di Pasar Payang 2 meninggal dunia di samping ditidurkan akibat Covid-19.
15 Nov 21
706
PRESIDEN PAS, TIMBALAN MENANG TANPA BERTANDING
15 Nov 21
178
JAGA KEBERSIHAN MASJID,ELAK DIPERLEKEH PELANCONG
15 Nov 21
104
BAJET 2022 : Majlis Walimatul Urus Perdana Kembali
KUALA TERENGGANU, 15 November - Tradisi perkahwinan beramai-ramai secara percuma atau Majlis Walimatul Urus Perdana yang dianjurkan oleh Kerajaan Terengganu kembali diteruskan pada tahun hadapan dengan peruntukan sebanyak RM1.2 juta.
Menteri Besar, Dato Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata setelah dua tahun ditangguhkan, ia akan dianjurkan semula bagi meringankan beban golongan belia untuk mendirikan rumah tangga.
“Perbelanjaan tersebut bakal melibatkan 400 pasangan di seluruh parlimen di negeri ini,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2022 Terengganu sempena Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Kali Ke-14 (Bajet) di Wisma Darul Iman Hari ini.
Tambah Ahmad Samsuri, peruntukan berkenaan bagi meningkatkan kesejahteraan institusi kelurga dan masyarakat di Terengganu.
Untuk rekod, Majlis akad nikah dan resepsi dikendalikan Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) bertujuan membantu meringankan bebanan ahli keluarga yang tidak berkemampuan selain memudahkan proses perkahwinan.
15 Nov 21
900
Bantuan Tunai Langkah Kerajaan Perkukuh Kebajikan Rakyat
KUALA TERENGGANU, 15 November – Langkah kerajaan negeri mengumumkan bantuan tunai untuk warga emas, ibu tunggal, belia, mahasiswa dan OKU adalah untuk mengukuhkan kebajikan rakyat dan tanda kecaknaan terhadap keluhan orang ramai yang terkesan akibat pandemik COVID-19.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, peruntukkan buat bantuan kebajikan buat golongan sasar adalah antara yang terbanyak di dalam pengumuman bajet 2022.
“Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Menteri Besar kerana meluluskan peruntukkan ini, sebagai contoh i-Fitri yang akan membawa manfaat buat kira-kira 115,000 penerima.
“Kebajikan adalah fokus utama kami,” katanya ketika ditemu bual Urus Setia Penerangan Darul Iman, di Wisma Darul Iman, hari ini.
Sementara itu, beliau turut menceritakan bantuan kewangan lain seperti bantuan ‘one-off’ sebanyak RM500 kepada 70 pelajar yang kehilangan ibu atau bapa akibat COVID-19.
“Selain itu, kita juga umumkan bantuan tunai 'one-off' sebanyak RM150 akan diagihkan kepada 6,000 isteri ketua isi rumah e-Kasih dan ibu tunggal yang berpendapatan di bawah RM2,500.
"Selain itu, seramai 8,900 orang kelainan upaya (OKU) daripada isi rumah berpendapatan RM4,000 dan ke bawah juga akan menerima bantuan tunai one-off bernilai RM150.
“Tambah lagi dengan penganjuran semula program Majlis Walimatulurus Perdana tahun hadapan dengan peruntukan sebanyak RM1.2 juta,” katanya lagi.
15 Nov 21
53
SIDANG DUN : 59 Program Dilaksanakan Sempena Tahun Pertanian Terengganu 2021
KUALA TERENGGANU, 15 November - Kerajaan negeri berjaya melaksanakan 59 daripada keseluruhan 74 program sepanjang Tahun Pertanian Terengganu 2021.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim, berkata program utama tersebut melibatkan sebahagian besar bidang pertanian, perikanan dan penternakan dengan peratusan pelaksanaan lebih 79 peratus.
"Kita telah berjaya melaksanakan 32 program daripada 42 senarai dalam sektor pertanian manakala dalam sektor perikanan pula telah melaksanakan 23 dari 26 program yang telah dirancang.
"Bagi penternakan pula hanya dua sahaja lagi daripada empat program yang telah dirancang untuk tahun ini. Menjelang tarikh penutupan tirai Tahun Pertanian Terengganu 2021, kami berkeyakinan sebanyak 85 peratus program akan berjaya dilaksanakan," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi di Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Belas (Bajet) di Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.
Katanya lagi, program-program tersebut tidak akan terhenti dari segi pelaksanaan dan akan diteruskan dari semasa ke semasa.
15 Nov 21
126
BAJET 2022 : RM150 Untuk Imam Dan Bilal
KUALA TERENGGANU, 15 November - Pemberian khas sekali bayar atau ‘one-off’ diperuntukan sebanyak RM150 kepada imam dan bilal di bawah Skim Mubaligh di Terengganu.
Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata bantuan itu akan memberi manfaat kepada 150 individu yang terlibat.
"Ia sebagai tambahan atas pemberian sebanyak RM500 oleh kerajaan pusat yang diumumkan dalam bajet persekutuan baru-baru ini," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2022 Terengganu sempena Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Kali Ke-14 (Bajet) di Wisma Darul Iman Hari ini.
Menurut Ahmad Samsuri, pemberian tersebut bagi menghargai peranan mereka dalam memperkukuhkan penghayatan dan pelaksanaan di Terengganu.
Bajet bertemakan ‘Merakyatkan Sejahtera Untuk Semua’ mengandungi 147 inisiatif di bawah 22 objektif dengan lima teras utama.
15 Nov 21
636
BAJET 2022 : RM2 Juta Untuk Usahawan Belia Mula Berniaga
KUALA TERENGGANU, 15 November - Kerajaan negeri memperuntukkan RM2 juta untuk Geran Tunas Usahawan bagi menggalakkan keusahawanan di kalangan belia di Terengganu.
Menteri Besar, Dato Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata geran tersebut bernilai antara RM3,000 hingga RM5,000 kepada belia yang berminat.
"Geran ini disediakan kepada golongan belia yang serius mahu menjalankan perniagaan setelah tamat latihan keusahawan intensif," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan Belanjawan Tahun 2022 di Dewan Undangan Negeri, di sini hari ini.
Menurut Ahmad Samsuri lagi, RM60 ribu turut diperuntukan untuk melaksanakan program 'Business Pitching and Matching' bagi mereka yang berminat menceburi bidang keusahawanan.
Tambah beliau, kerajaan negeri juga akan menyediakan latihan pemahiran semula dan peningkatan secara percuma di institusi latihan milik kerajaan negeri seperti TATIUC dan TESDEC.
"Ia terbuka kepada 1,600 individu yang dilaporkan kehilangan pekerjaan semasa pandemik melanda bagi meningkatkan keupayaan kendiri,"ujarnya.
15 Nov 21
1003
RM 1 Juta Indahkan 39 Produk Pelancongan Komuniti Terengganu
KUALA TERENGGANU, 15 November – Kerajaan negeri telah menyalurkan peruntukan bernilai RM1 juta bagi membangunkan produk pelancongan berteraskan Komuniti (CBT) dengan program pengindahan di 39 lokasi dalam negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, ia sejajar dengan Pelan Strategik Kelestarian Pelancongan Negeri Terengganu yang menyasarkan kewujudan minima 40 CBT.
“Alhamdullilah kerajaan di peringkat awal telah memperkasakan segmen ini dengan peruntukan RM1 juta dan antara program telah selesai dianjurkan seperti program gotong-royong di Kalang Warisan, Pantai Angin Berbisik, Kampung Jambu Bongkok dan banyak lagi.
“Ini juga termasuk program kelestarian di Kampung Pulau Serai dan perasmian Kampung Perlancongan di Kampung Mangkuk, Setiu.
“CBT ini bukan sahaja melibatkan usaha pihak kerajaan, namun komitmen masyarakat setempat terutamanya Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan ahli kampung sangat besar dalam memajukan sektor komuniti masing-masing,” katanya.
Tambahnya, CBT mampu memberi faedah secara langsung dari segi ekonomi seperti peluang pekerjaan dan pendapatan sampingan, namun memerlukan kelestarian sumber alam untuk generasi masa kini dan masa hadapan.
Beliau berkata demikian dalam jawapan lisan bagi menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buluh Gading, Ridzuan Hashim di Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Belas (Bajet) di Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.
Menjelas lanjut, Ariffin turut menceritakan peningkatan produk pelancongan berasaskan aktiviti fizikal yang kian popular di dalam negeri.
“Ini termasuk Bukit Harimau Menangis, Bukit Maras (Paragliding), Bukit Besar dan terbaharu Bukit Salai.
“Ini bukan sahaja mewujudkan masyarakat aktif sukan, namun ia turut meningkatkan potensi pengunjung daripada luar negeri dan bakal melonjak lagi, akan datang,” katanya.
15 Nov 21
350