Artikel "Semasa" Terkini
Covid-19:Majoriti Negeri Catat Peningkatan Susulan Kebenaran Rentas Negeri
PUTRAJAYA, 28 November – Hampir semua negeri termasuk Terengganu menunjukkan peningkatan kes Covid-19 kecuali Perlis, Sarawak dan Sabah susulan kebenaran merentas negeri yang dilaksanakan 11 Oktober lalu.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, enam negeri iaitu Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Terengganu, Kelantan dan Labuan pula menunjukkan kadar pengisian katil bukan Unit Rawatan Rapi (ICU) melebihi 50 peratus.
Katanya, tujuh negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Melaka, Terengganu dan Kelantan menunjukkan kadar pengisian katil ICU melebihi 50 peratus.
“Dalam kalangan pesakit Covid-19 kategori 3 hingga 5 yang dirawat di fasiliti kesihatan, didapati bilangan pesakit dalam kalangan kumpulan umur 40 tahun ke atas dan juga kumpulan warga emas telah menunjukkan peningkatan.
“Kementerian percaya peningkatan ini mungkin disebabkan faktor tahap antibodi terhadap Covid-19 yang menurun selepas beberapa bulan menerima vaksinasi lengkap. Situasi ini juga dilihat di banyak negara yang mencapai kadar vaksinasi lengkap yang tinggi,” katanya pada sidang akhbar baru-baru ini.
Khairy Jamaluddin berkata, golongan warga emas dan golongan 40 sehingga 59 tahun telah terlebih dahulu menerima vaksin sebelum ini maka tahap antibodi mereka terhadap Covid-19 menurun lebih awal.
Justeru itu, bagi memastikan tahap antibodi terhadap jangkitan Covid-19 kekal optimum, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyarankan pemberian dos penggalak (booster) dan sehingga 25 November, sebanyak 1,823,474 dos penggalak diberikan.
Sementara itu, beliau berkata terdapat empat kluster yang dilaporkan berpunca daripada aktiviti sosial bagi tempoh dari 11 Oktober lalu hingga semalam iaitu sejak pergerakan rentas negeri dibenarkan.
28 Nov 21
618
Dua Pelajar SMK Kuala Besut Bergelar Juara Dunia
FOTO IHSAN: SMK KUALA BESUT
KUALA TERENGGANU, 28 November- Menetap di perkampungan nelayan di Kuala Besut dan belajar di sekolah harian biasa bukan penghalang buat dua pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Besut bergelar juara dunia.
Dalam Pertandingan Pameran Pendidikan Sains dan Teknologi Nuklear secara maya anjuran Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) dihoskan di Vienna, Austria, yang diumumkan petang semalam, Mohamad Zafran Zaidi dan Ainul Mardhiah Mohd Azmi, membuktikan anak Malaysia mampu menggegarkan dunia apabila merangkul gelaran juara pada pertandingan itu.
Lebih manis, kejayaan yang dilakar pelajar sekolah berkenaan bukan kali pertama, sebaliknya kali kedua selepas kejayaan membanggakan diraih pada 2018 menerusi tajuk berjudul '100 Thing About Nuclear Science and Life'.
Pada pertandingan yang bermula 19 hingga 25 November itu, dua pelajar Tingkatan Lima berusia 17 tahun itu mempertaruhkan tajuk 'Nuclear Technology in Mushroom Industry' pada pertandingan yang disertai pasukan seluruh dunia.
Ternyata tuah menjadi milik pasukan KuBest Innovation Team SMK Kuala Besut apabila berjaya menewaskan 10 peserta akhir terbaik dunia yang terpilih termasuk sebuah universiti di Filipina iaitu University of The East Caloocan.
Pengetua SMK Kuala Besut, Amran Ibrahim, berkata kejayaan pelajar itu adalah sesuatu yang luar biasa kerana mereka bukan berentap di peringkat Asia, tetapi seluruh dunia yang sudah pastinya memerlukan kekuatan fizikal dan mental walaupun diadakan secara maya.
"Projek yang dihasilkan pelajar berkenaan adalah untuk memberi kesedaran yang tinggi kepada masyarakat mengenai penggunaan teknologi nuklear dalam industri pemakanan.
"Ternyata kesungguhan dan kebolehan pelajar berkenaan yang disokong guru dan ibu bapa serta syarikat SR Mushroom Industry membuahkan hasil apabila diiktiraf di peringkat dunia. Kejayaan ini diharapkan menjadi pemangkin bukan sahaja kepada pelajar sekolah ini, malah semua sekolah di negara ini," katanya ketika dihubungi.
Sementara itu, Mohamad Zafran berkata, komitmen berterusan dan fokus serta tekad untuk memberikan kesedaran kepada masyarakat dunia mengenai betapa pentingnya kesedaran menggunakan teknologi nuklear dalam industri pemakanan mendorong dia menyertai pertandingan itu.
Anak pengawal keselamatan itu berkata, walaupun negara berada dalam tempoh Kawalan Perintah Pergerakan (PKP), bagi membendung penularan wabak pandemik COVID-19, sekali gus tidak dapat bersemuka dengan rakan dan guru, ia tidak menghalangnya untuk berbakti kepada masyarakat dunia termasuk Malaysia.
"Ini saya mahu buktikan, Alhamdulillah sokongan padu daripada semua pihak termasuk keluarga, guru, pentadbir sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta kerja sepasukan, kami berjaya bergelar juara dunia.
"Kejayaan ini bukan milik kami berdua tetapi semua pelajar, guru dan seluruh rakyat Malaysia yang mempunyai kesedaran yang tinggi terhadap penggunaan teknologi nuklear dalam industri pemakanan," katanya.
Bagi Ainul Mardhiah, dia berasa amat terkejut dan tidak menyangka bahawa videonya akan menang dan tersenarai dalam kedudukan tiga pasukan teratas peringkat dunia.
"Semuanya berlaku terlalu pantas dan saya tidak menyangka kerana bersaing dengan pasukan yang hebat dan jauh lebih fasih menggunakan bahasa Inggeris.
"Bagaimanapun, pasukan kami yang ditubuhkan di bawah projek Unit Inovasi yang diterajui Ketua Bidang Sains dan Matematik, Faizu Abd Rahman dengan dibantu Yusarimi Md Yusuf selaku guru penyelaras projek dan Rohaya Husin yang juga guru yang menjadi tonggak pasukan serta kerjasama penuh daripada Agensi Nuklear Malaysia adalah tonggak di sebalik kejayaan ini," katanya – BERITA HARIAN
27 Nov 21
6680
41 Peniaga Terima 'Notis' Turunkan Harga Barang
KUALA TERENGGANU, 28 November - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu mengeluarkan surat pemberitahuan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga Anti Percatutan (AKHAP) 2011 kepada 41 peniaga ayam, telur ayam dan sayur- sayuran di peringkat borong serta runcit untuk menurunkan harga di paras biasa.
Pengarahnya, Saharuddin Mohd Kia berkata, daripada 41 surat pemberitahuan diberikan itu empat kertas siasatan telah dibuka ke atas pemborong ayam yang gagal menurunkan harga jualan mereka di paras biasa.
"Rata-rata mereka memaklumkan kenaikan harga telur ayam ketika ini adalah disebabkan oleh kenaikan harga makanan ayam dan kos ditanggung oleh pengeluar telur.
"Selain itu, kenaikan harga sayuran pula adalah disebabkan keadaan cuaca penghujung tahun iaitu musim tengkujuh yang memberi kesan kepada kekurangan bekalan akibat kerosakan hasil pertanian," katanya dalam kenyataan, pada Sabtu.
Bagaimanapun beliau berkata, kenaikan harga sayuran adalah bersifat sementara dan dijangka mengalami penurunan semula selepas keadaan cuaca bertambah baik.
"Pengguna disarankan berbelanja secara bijak dengan memilih premis menawarkan barangan pada harga berpatutan di samping merujuk kepada aplikasi Price Catcher yang disediakan pihak KPDNHEP untuk membuat perbandingan harga mengikut lokasi pilihan atau tempat tinggal masing-masing.
"Aplikasi ini boleh dimuat turun di Google Play Store dan Apple App Store secara percuma," katanya.
Tambahnya, seramai 116 anggota dan pegawai penguat kuasa digerakkan setiap hari bagi membuat pemeriksaan harga dan bekalan di seluruh negeri berserta 59 Pegawai Pemantau Harga (PPH) untuk memantau harga barangan keperluan.
Dalam pada itu, KPDNHEP Terengganu mengalu-alukan kerjasama daripada para pengguna untuk menyalurkan sebarang maklumat salah laku atau aduan melalui saluran yang disediakan bagi memastikan para peniaga sentiasa mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan.
27 Nov 21
288
Pengamal Media Puji Usaha Kerajaan Terengganu
KUALA TERENGGANU, 28 November – Para pengamal media di Terengganu menyambut baik inisiatif Kerajaan Negeri yang mengambil berat peranan golongan tersebut dengan menganjurkan Majlis Apresiasi Media.
Ketua Biro Bernama, Zalina Maizan Ngah berkata, penganjuran program itu adalah sebuah tanda penghargaan yang sukar digambarkannya.
“Usaha ini sangat baik terutamanya dalam memberi kami semangat untuk terus menulis dan memberi gambaran yang bagus berkenaan negeri Terengganu.
“Kerjasama antara pihak kami dengan kerajaan negeri sentiasa ada, mungkin ada beberapa ruang yang boleh diperbaiki, namun kita akan bergerak seiring, dari semasa ke semasa,” katanya semasa ditemubual pemberita dalam Majlis Apresiasi Media Terengganu, malam semalam.
Bernama Biro Terengganu membawa pulang wang tunai RM10,000 selepas memenangi 7 anugerah utama di Anugerah Apresiasi Media Terengganu, semalam
Terdahulu, beliau berjaya mendapat tempat pertama kategori Berita Media Cetak (Media Perdana), karyanya bertajuk ‘Harumanis Terengganu Subur Manis Lenting’ berjaya membawa pulang wang tunai berjumlah RM1,500 beserta sijil dan trofi.
Bagi wartawan sambilan Bernama, Kamaliza Kamarudin pula, acara pertama kali dianjurkan kerajaan negeri tersebut merupakan suatu yang sangat dinantikan warga kerja media.
“Terima kasih kepada Kerajaan Negeri serta penganjur Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) dalam menyuburkan hubungan dua hala.
“Kerajaan akan menyampaikan maklumat, manakala kita melaporkannya tanpa sebarang kekeliruan, agar semua lapisan masyarakat mendapat penerangan jelas berkenaan apa saja usaha negeri,” katanya.
Sementara itu, pendapat sama turut dilaungkan pemberita TV3 Terengganu, Mohd Ishak Abdillah Ngah yang menyifatkan penghargaan Kerajaan Negeri mengiktiraf pihaknya serta membakar semangat supaya terus ikhlas bekerja dan membina hubungan ‘win-win’ antara pihak terlibat.
“Berkhidmat selama 12 tahun di Terengganu, kita sering seiring dengan apa pentadbiran negeri mahu iaitu kerjasama baik dan mencari solusi kepda kelemahan.
“Diharapkan agar usaha seperti majlis anugerah mala mini diteruskan pada masa hadapan dalam memberi manfaat kepada kita semua,” jelasnya yang juga Johan kategori Video Kebajikan daripada Media Perdana.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah Dan Penerangan, Mohd Nor Hamzah berkata, Majlis Apresiasi Media Terengganu yang julung kali diadakan oleh kerajaan negeri adalah antara salah satu inisiatif dalam menguatkan hubungan antara dua pihak tersebut.
“Ini adalah tanda pengiktirafan media yang telah menunjukkan prestasi cemerlang, di samping mendorong para pengamal di negeri untuk terus menambah-baik mutu penyampaian dan perkhidmatan ditawarkan.
“Pada malam ini juga, kita bersama-sama meraikan serta mengucapkan ribuan terima kasih kepada pengamal media yang telah menyumbang dalam mempromosikan negeri ini.
“Saya mengharapkan kerajaan negeri dan media akan terus bekerjasama dan saling berinteraksi dalam menyebar luas maklumat kepada rakyat. Sebaran yang jelas mengenai negeri ini kepada rakyat akan terus dipergiatkan di semua platform,” tambahnya.
27 Nov 21
450
Terengganu Iktiraf, Beri Anugerah Kepada Pengamal Media
KUALA TERENGGANU, 28 November – Kerajaan Terengganu sentiasa mengiktiraf para pengamal media yang telah bertungkus lumus menyokong dan mempromosikan aktiviti, keindahan, kelebihan serta kekuatan yang ada di negeri kepada masyarakat.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, rakan-rakan media di Terengganu bertanggungjawab dan teliti dalam mencoretkan sesuatu perkara sebelum dihidangkan kepada para pendengar dan penonton.
“Malah, pengamal medialah merupakan 'frontliner' yang berjuang untuk menularkan kebenaran dan menjadi benteng mengekang penularan berita palsu,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Apresiasi Media Terengganu, yang bersiaran langsung di TVDI, malam semalam.
Sementara itu, Ahmad Samsuri menyifatkan perubahan dunia kepada media sosial yang lebih kompleks, cepat dan luas capaiannya memberikan kelebihan agar sesuatu berita dan maklumat itu segera tersebar luas kepada masyarakat tidak kira di mana mereka berada.
“Kelebihan ini selalu disalahgunakan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab, menyebarkan berita yang tidak benar, maklumat yang palsu dan konspirasi yang tidak bertanggungjawab sehingga menggarap emosi masyarakat terhadap perkara yang tidak sepatutnya.
“Akhirnya, dengan memanipulasikan emosi, maklumat yang salah dan palsu itu mudah diterima dan dipercayai.Lebih teruk, masyarakat menjadikan maklumat yang salah itu sebagai sandaran untuk membuat keputusan dan bertindak,” katanya lagi.
Justeru itu, pengamal media yang berwibawa dan berintegriti dalam menyampaikan maklumat mahupun berita amat diperlukan bagi mengelakkan maklumat salah yang boleh memusnahkan kehidupan seseorang.
Malam Aspresiasi Media Terengganu telah menerima lebih 60 penyertaan dalam Media Perdana dan 56 penyertaan daripada Media Digital membabitkan lima kategori seperti Pelancongan, Kebajikan, Ekonomi, Sukan dan lain-lain lagi.
27 Nov 21
339
Paras Air Sungai Di Terengganu Meningkat
KUALA TERENGGANU, 26 November - Bacaan paras air di beberapa sungai terutama Sungai Nerus mula menunjukkan trend meningkat berikutan hujan sederhana lebat sejak pagi hari ini.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bencana negeri, Hanafiah Mat berkata sehingga jam 2 petang tadi, Sungai Nerus di Kampung (kg) Langkap, Setiu yang merekodkan bacaan 17.54 meter (m) melepasi paras normal 17.00 m.
"Sungai Nerus di Kg Bukit juga menunjukkan trend menaik dari paras normal 6.00 m ke 7.83 m.
"Dua sungai di Setiu yang melepasi paras normal adalah Sungai Nerus di Kampung Besut dengan bacaan 14.83m dan Sungai Setiu di Jambatan Permaisuri yang berada pada paras 6.03 m," katanya ketika dihubungi.
Tambah beliau, di Kemaman, Sungai Kemaman di Air Putih dan Paya Raman turut merekodkan bacaan menaik dari paras normal.
Sementara itu katanya, lima lagi sungai kini direkodkan melepasi paras normal membabitkan tiga sungai di Dungun dan dua di Hulu Terengganu.
Justeru itu, Hanafiah berharap semua jawatankuasa bencana peringkat negeri dan daerah sudah berada dalam kesiapsiagaan serta bersedia menghadapi sebarang kemungkinan sekiranya berlaku banjir pada bila bila masa.
"Sekiranya berlaku kenaikan air yang mendadak, kita minta supaya semua penduduk jangan panik dan bersiap sedia untuk keluar mendaftar di pusat pemindahan sementara.
"Jangan tunggu air tinggi dulu baru nak pindah, jaga keselamatan keluarga kita," ujar beliau. - Gambar fail.
26 Nov 21
1335
60 Penerima Bersyukur Terima Bantuan Bakul Makanan
HULU TERENGGANU, 26 NOVEMBER - 60 penerima bantuan bakul makanan menarik nafas lega apabila menerima sumbangan daripada Persatuan Pengguna Islam Malaysia ( PPIM ) dan orang perseorangan yang diselaras oleh Pusat Khidmat Masyarakat DUN Ajil.
Rata-rata mereka melafazkan rasa syukur dan terharu atas pemberian bantuan itu.
Seorang warga emas, Harun Ahmad, 61, berkata, bantuan itu amat bermakna baginya dan beliau berterima kasih kepada pihak yang memberi sumbangan.
“Allah sahaja mampu membalas jasa semua pihak yang datang sampaikan bantuan kepada saya.
“Saya bersyukur dan berterima kasih kepada pihak yang menghulurkan bantuan kerana membantu rakyat yang kurang berkemampuan seperti kami” katanya ketika ditemui wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) pagi tadi.
Perasaan sama dikongsikan Munah Ali, 77, yang berharap lebih banyak bantuan seperti itu disalurkan kepada individu memerlukan pada masa akan datang.
“Syukur Alhamdulillah dengan rezeki diberikan. Semoga pihak yang memberi bakul makanan ini dilimpahkan rezeki dan dikurnia kesihatan berterusan,” katanya yang menetap di Kampung Betong.
Bagi Zamilah Sulaiman, 49, berkata, bakul makanan ini sangat membantu dirinya dalam meringankan beban memandangkan dia seorang ibu tunggal dan hanya bekerja sebagai buruh ladang dengan pendapatan RM 700 sebulan.
“Saya ucap terima kasih serta bersyukur kepada Allah atas bantuan ini kerana Bakul Makanan ini menjadi penyelamat bagi menampung perbelanjaan dapur,” katanya.
Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Maliaman Kassim berkata, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) bukan sekadar membantu kerajaan, tetapi lebih utamanya adalah menjadi tulang belakang kepada golongan yang memerlukan dan menyokong mereka dalam bentuk pek makanan dalam membantu rakyat kesusahan yang memanfaatkan ribuan isi rumah.
"Peranan yang dilaksanakan oleh NGO ini adalah serentak dengan tanggungjawab menyelaraskan bantuan bakul makanan kepada golongan sasar selain tambahan kepada bantuan bakul makanan yang disalurkan oleh kerajaan," ujar beliau.
26 Nov 21
1205
2926 Pelajar Batu Rakit Terima Bantuan Sekolah
SETIU, 26 NOVEMBER : Seramai lebih 2926 pelajar menerima manfaat daripada Program Bantuan Persekolahan Negeri Terengganu Bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit.
Ia merupakan bantuan sesi awal persekolahan yang disampaikan di Dewan Serbaguna Kampung Wakaf Catur, Batu Rakit, baru-baru ini.
Pegawai Penyelaras Dewan Undangan (DUN) Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail berkata, program berkenaan mensasarkan pelajar miskin termasuk daripada kategori B40 di seluruh Batu Rakit yang bertujuan membantu mengurangkan beban ibu bapa.
“Antara objektif lain termasuk membantu pelajar yang kurang berkemampuan di kawasan luar bandar bagi mengikuti sesi persekolahan. Dalam pada itu, kerajaan turut berusaha membantu golongan pelajar yang terkesan akibat pandemik COVID-19, "ujarnya.
" Menerusi insiatif itu, antara sumbangan yang disampaikan ialah wang tunai RM100 kepada setiap penerima, "katanya.
Sementara itu, Wakil penerima, Wan Nurqaaratu Aina Nasheera Wan Mohd Shah Rizal, 20 berkata, dia yang mewakili adiknya menzahirkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Terengganu serta Pegawai Penyelaras DUN Batu Rakit di atas sumbangan yang diberikan itu.
"Semoga sumbangan ini memberi kesenangan dan kebaikan pada sesi persekolahan akan datang," katanya ketika ditemubual.
Dalam pada itu, Wan Nurqaaratu Aina Nasheera berharap bantuan itu dapat mengurangkan bebanan di kala pandemic Covid-19 yang masih belum reda.
"Walaupun sekolah masih bercuti tapi kecaknaan kita akan berterusan," katanya dalam majlis tersebut.
26 Nov 21
390
Amaran Cuaca : Penduduk Kawasan Rendah Empat Daerah Diminta Waspada
KUALA TERENGGANU, 26 November - Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menasihati penduduk kawasan rendah berwaspada dengan kemungkinan banjir menurut amaran cuaca waspada peringkat kuning bagi empat daerah di Terengganu yang dijangka berkuatkuasa sehingga esok.
Menerusi laporan cuaca rasminya, antara kawasan terbabit adalah Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Setiu dan Besut disebabkan oleh pengaruh angin dari arah Timur Laut.
“Sepanjang tempoh ini, kawasan terbabit masih berpotensi menerima hujan lebat secara berterusan, oleh itu, orang awam kawasan terbabit lebih berhati-hati terutamanya di kawasan berkedudukan rendah dan kerap dilanda banjir.
“Kelompok awam aktif masih lagi tertumpu melibatkan timur semenanjung, agak tebal, menunjukkan keadaan hujan masih berterusan pada tempoh lama.
“Terdahulu, hujan berterusan tersebut telah berlaku sejak lewat malam tadi dengan keadaan angin ketika ini dipengaruhi dari arah timur laut, dengan terdapat kawasan penumpuan angin di Kelantan dan Terengganu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya lagi, keadaan tersebut boleh memberikan potensi keadaan cuaca lembap di kawasan tersebut serta keadaan angin bertiup kencang dengan kelajuan boleh mencapai sehingga 60 km/j.
26 Nov 21
3081
Tayangan TFC Vs JDT Di 'Big Screen' Stadium Malam Esok
MARANG, 25 November – Kerajaan Negeri menerusi Urusetia Belia, Sukan dan NGO Terengganu Sejahtera (UBSNT) akan membawa suasana dan ‘feel’ saingan separuh akhir kedua Piala Malaysia dalam tayangan skrin besar di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu pada malam esok.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, acara tersebut adalah bagi membawa kehangatan perlawanan antara Terengganu FC (TFC) menentang Johor Darul Ta'zim buat penyokong dalam negeri.
“Selain itu, untuk daerah lain juga ada menganjurkan tayangan ‘big screen’ di Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.
“Di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), hanya 500 kerusi disediakan buat peminat daripada Terengganu, TFC juga menyediakan tawaran istimewa melalui pakej penerbangan bersama pemain dan pihak pengurusan dengan 70 tempat terhad.
“Manakala pelbagai kelab penyokong daripada daerah lain mengambil inisiatif mereka menggunakan bas bagi membawa penyokong di sana,” katanya selepas Majlis Penyampaian Sijil Tamat Latihan Graduan IKBN Wakaf Tapai 2020/2021, pagi tadi.
Tambahnya, beliau mengharapkan TFC membawa kejutan dalam perlawanan tersebut kerana ia adalah perkara tidak mustahil memandangkan kelab tersebut pernah mengalahkan Johor di laman sendiri.
Menurut penganjur, majlis bermula pada Jumaat malam akan dimulakan dengan Solat Isyak berjemaah pada jam 8.00 malam dengan tayangan bermula pada jam 9 malam,
Terdahulu, keputusan kekal 1-1 dan Terengganu FC akan bertandang ke Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Jumaat ini dalam aksi timbal balik dengan juara Liga Super 2021 itu memiliki kelebihan gol di tempat lawan.
25 Nov 21
1569