Artikel "Semasa" Terkini
3,200 Sukarelawan Belia Siap Siaga Hadapi Banjir
KUALA TERENGGANU, 29 November- Seramai 3,200 sukarelawan belia di Terengganu telah bersedia untuk digerakkan bagi membantu mangsa yang terjejas dalam kejadian banjir dalam tempoh Monsun Timur Laut pada bila-bila masa.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, sukarelawan ini bersiap siaga untuk menghulurkan bantuan dalam pelbagai bentuk pasca banjir di seluruh kawasan yang terkesan di Terengganu.
“Kira-kira 300 hingga 400 sukarelawan akan berkhidmat di setiap daerah dan membantu mangsa ketika banjir melanda dan selepas bencana termasuk membantu membersihkan kediaman penduduk yang tercemar akibat banjir.
"Setakat ini, semua peralatan termasuk alat komunikasi telah disediakan untuk kegunaan bersama-sama agensi pasukan penyelamat dalam membantu mangsa di kawasan berisiko dilanda banjir serta di pusat pemindahan sementara (PPS),”ujarnya kepada pemberita.
Tambahnya lagi, sekiranya terdapat daerah yang dilanda banjir teruk maka mereka boleh dikerah ke kawasan tersebut bagi memastikan bantuan dapat dilaksanakan dengan lebih tersusun dan sistematik.
Dalam masa yang sama, pihaknya akan memastikan semua sukarelawan akan sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika memberi bantuan untuk mengelak penularan COVID-19 sepanjang musim tengkujuh.
Jabatan Meteorologi Malaysia memaklumkan tempoh Monsun Timur Laut 2021/2022 yang bermula awal November ini akan berlarutan sehingga Mac 2022 dengan empat hingga enam episod hujan lebat yang signifikan dan boleh menyebabkan kejadian banjir sepanjang tempoh berkenaan.
29 Nov 21
339
2,484 Imam, Bilal Terima ‘One Off’ RM200
MARANG, 29 November - Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) memperuntukkan kira-kira RM500,000 untuk bantuan sekali bayaran kepada semua imam dan bilal di negeri ini.
Pengerusinya Datuk Razali Idris berkata, bantuan yang disalurkan melalui skuad Ketengah Ambik Cakne mampu meringankan bebanan dihadapi terutama membeli pelbagai barangan sebagai persiapan menghadapi musim tengkujuh.
“Seramai 2,484 imam dan bilal yang bertugas di masjid seluruh negeri menerima bantuan sebanyak RM200 seorang.
"Ketengah terpanggil untuk memberi bantuan sebagai penghargaan kepada semua imam dan bilal yang berperanan dalam melaksanakan pengimarahan syiar Islam," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan penyampaian bantuan pada program Ketengah Ambik Cakne Iman dan Bilal peringkat daerah Marang di Masjid Sultanah Nur Zahirah, di sini semalam.
Dalam masa yang sama Razali berkata, terdahulu kerajaan Terengganu juga meluluskan peruntukan bantuan sekali bayaran kepada imam dan bilal sebanyak RM150 melalui pembentangan Bajet 2022 oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
"Ini membuktikan bahawa kerajaan pusat dan negeri tidak meminggirkan peranan dan tanggungjawab imam serta bilal,” ujarnya.
Sementara itu, pengagihan bantuan sekali bayaran kepada imam dan bilal di seluruh negeri akan dilakukan secara berperingkat dan dijangka selesai pada bulan depan.
29 Nov 21
385
Sukarelawan DUN Telemong Siap Siaga Hadapi Banjir
HULU TERENGGANU, 25 November - Sukarelawan daripada Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Telemong dalam keadaan bersiap siaga menghadapi kemungkinan bencana banjir di daerah itu.
Pegawai Penyelaras DUN Telemong, Mohd Safari Abu berkata, dengan kerjasama pelbagai pihak diantaranya Khidmat Malaysia, Jabatan Amal, Pemuda PAS, Ameerah dan badan bukan kerajaan (NGO) sekitar DUN Telemong, para sukarelawan bersedia untuk digerakkan ke lokasi terjejas banjir bagi membantu mangsa jika berlakunya bencana tersebut.
"Sukarelawan banjir peringkat DUN Telemong kini dalam mod bersiap siaga dan bersedia untuk digerakkan ke lokasi terbabit serta menyampaikan bantuan yang perlu kepada mangsa terlibat.
“Persediaan ini penting bagi menghadapi sebarang kemungkinan berlakunya bencana seperti banjir di kawasan kita.
“Sebagai sebuah angensi kerajaan, kita mendapat kerjasama baik daripada beberapa NGO dan pelbagai pihak yang sanggup berkorban tenaga menghulurkan bantuan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pelancaran Khidmat Malaysia dan Sukarelawan Banjir Peringkat DUN Telemong, baru-baru ini.
Tambahnya lagi, menurut laporan Jabatan Meteorologi Malaysia, Terengganu diantara negeri yang diramal bakal menghadapi ancaman banjir besar.
"Di DUN kita terdapat beberapa kawasan yang kebiasaan dilanda banjir terutamanya di Mukim Hulu Telemong dan sebahagian kampung di Mukim Tersat.
"Kita di Peringkat Pusat Khidmat Masyarakat DUN sentiasa berwaspada dengan sebarang kemungkinan," ujarnya.
Dalam majlis tersebut, Mohd Safari turut merasmikan bot dan kelengkapan untuk kegunaan dalam operasi banjir.
28 Nov 21
536
Gardenia Disaran Tangguh Dulu Naikkan Harga Roti
HULU TERENGGANU, 28 November – Pengeluar produk roti Gardenia, Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd disarankan menangguh terlebih dahulu cadangan menaikkan harga roti di pasaran berkuat kuasa 1 Disember ini.
Timbalan Menteri Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Dato Rosol Wahid berkata pihaknya berharap Gardenia Bakeries prihatin dengan kesempitan hidup masyarakat sekarang.
"Walaupun menaikan 10 sen sahaja, ia tetap memberi kesan khususnya kepada pengguna B40.
"Oleh itu, KPDNHEP menyarankan pihak pengeluar produk roti itu untuk menangguh dahulu cadangan menaikan harga roti di pasaran.
"Pelbagai alasan yang diberikan susulan cadangan kenaikan harga itu termasuk kenaikan harga tepung gandum di pasaran," katanya ketika ditemui pada Kempen Keselamatan Pengguna Kerjasama Petronas dan KPDNHEP di Stesen Minyak Petronas, di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Dagangan Berhad, Azrul Osman Rani.
Rosol berkata, pihaknya sudah berbincang dengan Gardenia Bakeries dan memberi cadangan penangguhan kenaikan harga itu.
"Gardenia Bakeries akan memberi jawapan selewat-lewatnya esok sama ada bersetuju membuat penangguhan harga atau sebaliknya.
"Kami akan cari satu jalan terbaik bagi menyelesaikan masalah itu untuk kebaikan Gardenia Bakeries dan pengguna," katanya.
Terdahulu pada 25 November, Gardenia KL menerusi satu kenyataan mengumumkan kenaikan harga produknya bermula 1 Disember ini.
Syarikat itu berkata, peningkatan ketara dalam kos pengeluaran dan bahan yang di luar kawalan meletakkan ia dalam kedudukan sukar tanpa sebarang pilihan kecuali menyemak semula harga.
Dalam perkembangan lain, Rosol berkata, kenaikan harga sayur di pasaran juga menjadi perhatian KPDNHEP.
Beliau berkata, seramai 1,000 pegawai pemantau harga membuat pemantauan harga sayuran setiap hari di 1,500 premis di seluruh negara.
"KPDNHEP menjalankan Ops Pasar dalam menanggani isu kenaikan harga sayur di pasaran.
"Setakat ini, 43 premis dan 131 barangan diperiksa di seluruh negara dengan 43 Notis Pengesahan Maklumat Bertulis dan 40 Notis Bertulis dikeluarkan untuk mendapatkan maklumat harga barangan daripada peniaga.
"Pemilik premis diberikan tempoh dua hingga lima hari untuk menjawab notis," katanya.
28 Nov 21
2337
Marang Monsoon Ride Tarikan Baru Sukan Berbasikal Terengganu
KUALA TERENGGANU, 28 November - Marang Monsoon Ride 2021 anjuran Pejabat Daerah Marang yang berlangsung semalam, mampu menjadi tarikan baru kepada penggemar sukan berbasikal di Terengganu.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Modal Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, program berkenaan wajar dimasukkan dalam kalendar kayuhan bagi penggemar sukan berbasikal di Terengganu.
Ini kerana, laluan kayuhan sepanjang 25km merentasi keempat-empat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Marang itu menyajikan pengalaman hebat sepanjang kayuhan.
"Alhamdulillah Marang Monsoon Ride 2021 berjalan dengan jayanya. Saya juga tidak melepaskan peluang hadir bersama-sama peserta kayuhan tersebut.
"Walaupun pertama kali diadakan program ini berjaya menarik lebih 400 penyertaan.
"Selain aktiviti berbasikal, program kali ini turut dimeriahkan dengan pelbagai hadiah cabutan bertuah yang menarik," katanya.
Beliau berkata demikian kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), selepas perasmian semalam.
Turut hadir memeriahkan lagi program berkenaan ialah YBM Tengku Seri Bijaya Raja Setiausaha Kerajaan Terengganu, ADUN Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong dan Yang Dipertua Majlis Daerah Marang (MDM), Azizul Hadi.
Selain itu, mereka turut disertai Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Rozali Salleh, Pegawai Daerah Marang, Kuala Terengganu, Kuala Nerus dan Hulu Terengganu.
Jelasnya, meskipun program itu cuma di peringkat daerah, ia patut diteruskan lagi pada masa akan datang dalam usaha mempromosikan gaya hidup sihat dan keunikan kawasan Marang kepada orang ramai.
28 Nov 21
914
Nehz Squad 'Raja' PUBG Terengganu 2021
KUALA TERENGGANU, 28 November – Pasukan Nehz Squad muncul juara bagi permainan PlayerUnknown's Battlegrounds (PUBG) Mobile sempena Karnival e-Sport Belia Terengganu 2021.
Pasukan yang mewakili Hulu Terengganu tersebut berjaya membawa pulang wang tunai sebanyak RM2,000 beserta piala dan pingat.
Mereka mengalahkan Loco Esports yang menduduki tempat kedua serta Fizx Ghost yang menduduki tempat ketiga.
Ahli pasukannya, Faiz Aiman Baharudin, 20, menyifatkan kemenangan sulung pasukannya dalam peringkat negeri menebus kekecewaan tahun lalu.
Faiz Aiman Baharudin menerima pingat daripada Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim
“Antara rahsia kemenangan memperoleh ‘Chicken Dinner’ adalah berdoa sebelum perlawanan dan latihan secara konsisten. Rata-rata pemain dalam Nehz Squad telah mengasah skil sejak tiga tahun lalu secara kompetetif.
“Kami mendarat dan beraksi dalam PUBG enam hari seminggu dengan sehari cuti kerana ini adalah medan yang difokuskan,” katanya selepas majlis penyampaian hadiah Karnival E-Sport Belia Terengganu 2021 di TD1303, petang semalam.
Turut hadir, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Ahmad Amzad Hashim, Pengarah Urus setia Belia Sukan dan NGO Terengganu (UBSNT), Mohd Nasir Abd Razak dan Presiden E-Sports Malaysia Terengganu, Ahmad Shahrul Nizam Ab Ghani.
Sementara itu Mohd Hafizuddin Fikri Namaha, 22 yang juga ahli pasukan itu menyifatkan inisiatif penganjuran sukan elektronik tersebut sebagai mengangkat martabat belia Terengganu bersama kerajaan negeri.
“Program sebegini amat digalakkan, jika ada rezeki tahun hadapan kita akan sahut cabaran lagi,” katanya yang juga seorang penjual runcit.
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, acara tersebut menjadi satu medan mengumpulkan dan menghubungkan ‘gamers’ daripada seluruh daerah dan mengembangkan lagi persaudaraan melalui medium digital tersebut.
“Ini membuktikan komitmen kerajaan Terengganu untuk memperkembangkan lagi bakat anak muda Terengganu dalam sukan e-sports yang kini menjadi fenomena antarabangsa, dengan bidang ini sebagai sumber pendapatan utama.
“Pendidikan dan tunjuk ajar kepada para pemain turut ditekankan dan dibimbing agar tidak leka akan tanggungjawab sebagai seorang muslim,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Menurutnya lagi, kerajaan merancang agar program tahunan ini sentiasa berjalan dalam membina bakat sukan tersebut yang kini menjadi medan pungutan medal.
Untuk rekod Kejohanan tahunan anjuran UBSNT dengan kerjasama Esports Malaysia Terengganu telah disertai oleh 32 pasukan daripada setiap daerah pada tahun ini dalam merebut takhta nombor satu sebagai juara PUBG peringkat negeri.
28 Nov 21
454
Cuaca Buruk Di Tiga Negeri Termasuk Terengganu Petang Ini
KUALA TERENGGANU, 28 November - Amaran hujan lebat serta ribut petir di tiga negeri melibatkan Terengganu, Kelantan Dan Perlis dijangka berlaku sehingga pukul 3 petang hari ini.
Jabatan Meteorologi Malaysia (Metmalaysia) dalam laporannya berkata, justeru itu, penduduk dinasihatkan untuk mengambil langkah berjaga-jaga dan berwaspada ekoran cuaca buruk bagi negeri berkenaan
“Di Terengganu kawasan terlibat adalah Besut, Setiu, Kuala Nerus dan Kuala Terengganu yang dijangka mengalami cuaca buruk.
“Manakala di kelantan, kawasan yang terlibat adalah Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Jeli, Tanah Merah, Bachok, Machang, Pasir Puteh dan Kuala Krai,” katanya.
Sementara itu,kawasan di negeri Perlis pula dijangka mengalami cuaca buruk secara keseluruhannya.
28 Nov 21
4955
Kaji Teknologi Kurangkan Kos Pertanian - Ahmad Amzad
KUALA TERENGGANU, 28 November – Satu kajian bagi mengurangkan kos tanaman dan pertanian bakal dijalankan melalui penyelidikan terhadap inovasi baja tempatan serta racun makhluk perosak.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, pihaknya mengambil langkah itu supaya kenaikan harga makanan dapat dikawal dan tidak menjejaskan rakyat.
Katanya, ia merupakan sebahagian usaha MOSTI membantu Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan agensi di bawahnya meningkatkan hasil produk tani dan mengurangkan kos dengan lebih efektif.
"Antara kajian itu ialah penggunaan baja tanaman menggunakan teknologi nano yang mempunyai kelebihan. Kita mengenal pasti antara masalah kenaikan harga makanan ialah bekalan baja dan racun makhluk perosak.
“Semalam kita bincang mengenai penggunaan baja teknologi nano. Walaupun harganya agak tinggi tapi kadar penggunaan sangat rendah. Semburan tidak perlu dilakukan banyak kali kerana ia (nutrien) akan diserap perlahan-lahan.
"Selain itu, penggunaan teknologi melalui Agensi Angkasa Malaysia untuk merancang kerja-kerja pembajaan dan penyemburan racun dengan cara lebih efektif menggunakan teknologi 'remote sensing',” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Guru peringkat daerah Kuala Terengganu di Terengganu Equestrian Resort (TER) di sini, semalam.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Salim Ab Ghani.
Ahmad Amzad yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu itu turut memberitahu, pihaknya sedia membantu mengukuhkan sekuriti makanan negara seiring dengan peranan MOSTI menerajui teknologi dan inovasi terkini untuk meningkatkan daya saing global negara.
28 Nov 21
238
Penduduk Dinasihat Guna Jalan Alternatif
DUNGUN, 28 November - Penduduk di Hulu Dungun yang terputus hubungan susulan jalan utama di Kilometer 10, Jalan Tepus-Pasir Raja mendap dan rosak dinasihat supaya menggunakan laluan alternatif sehingga proses pembaikan selesai sepenuhnya.
Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Minda, Wan Zawawi Wan Ahmad berkata, kerosakan kali ini lebih serius berlaku berbanding dahulu dan penduduk tidak perlu merisikokan nyawa masing-masing kerana notis jalan ditutup telah dikeluarkan.
"Jadi penduduk mereka boleh menggunakan dua jalan alternatif bagi menyelesaikan urusan mereka walaupun agak jauh, boleh menggunakan laluan sama ada melalui Al-Muktafi Billah Shah (AMBS) ataupun melalui Kampung (kg) Besol Lama yang akan memakan masa selama 30 minit atau 40 minit.
"Pada masa ini, kawalan keselamatan telah dilakukan dengan meletakkan kon dan mohon kerjasama semua pihak kerana ia akan menyukarkan pihak berkuasa memberikan bantuan sekiranya berlaku kecemasan," katanya ketika dihubungi pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPD), di sini, hari ini.
Beliau juga berkata, sejak banjir besar 2014 jalan berkenaan sering kali berlaku mendapan dan proses pembaikan dilakukan dengan menampal jalan, kali terakhir ia dibuat pada akhir Ogos baru-baru ini.
Sementara itu, seorang penduduk, Nodin Saman berkata akibat kejadian berkenaan kesulitan turut dialami para guru, pelajar serta ibu bapa yang menghantar anak mereka ke sekolah.
"Lima buah sekolah yang terlibat ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Jengai, SK Jongok Batu, SK Syukur, SK Pasir Raja dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Jengai.
"Kalau hendak ke sekolah terpaksa menggunakan jalan yang agak jauh iaitu Jalan Bukit Besi-Besol Lama dan Ke Kampung Rantau Panjang dengan jarak sejauh 30 Kilometer membabitkan masa sekitar 40 minit, diharapkan perkara ini mendapat perhatian segera pihak berkuasa," ujarnya. Foto - Astro Awani.
28 Nov 21
4554
Kaedah Inokulasi Dalam Tempoh Percubaan
HULU TERENGGANU, 28 November - Kaedah inokulasi atau penyuntikan pada batang pokok getah yang mampu meningkatkan pendapatan penoreh kini dalam tempoh percubaan dan akan diperkenalkan oleh kerajaan setahun lagi.
Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata kaedah berkenaan akan membolehkan mereka yang terbabit dalam sektor berkenaan tidak lagi terbeban kerana aktiviti torehan akan dapat dilakukan walaupun pada waktu hujan.
"Kalau mereka sendiri hendak pasang alat berkenaan mungkin harganya di antara RM10 atau RM20 untuk setiap satu, jadi pihak kementerian bersedia untuk membantu mereka.
"Mengenai harga lantai kita akan bincang dalam parlimen dengan Kementerian Kewangan dan kementerian berkaitan seperti Kementerian Pembangunan Luar bandar yang menguruskan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) bagi mencari kaedah menaikkan harga lantai kaedah skrap," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Jejajah Agrikomoditi #Keluarga Malaysia di Kampung Kepah, di sini, semalam.
Dalam majlis berkenaan, pekebun kecil menerima sumbangan Majlis Getah Malaysia (MRC) di bawah program Penyerahan Bantuan Prihatin MRC termasuk alat peranti tablet bersama pelan data internet.
Kata Zuraida, program jelajah yang diadakan itu bertujuan untuk menyampaikan aktiviti-aktiviti agensi di bawah kementerian bagi membantu kumpulan sasaran melibatkan pekebun kecil tersebut.
"Antara objektifnya adalah untuk menunjukkan bahawa Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPKK) dan juga Lembaga Getah Malaysia dan juga Majlis Getah Malaysia sangat prihatin dengan nasib yang dialami para penoreh getah.
"Kita juga turut menyelami cara hidup mereka dimana kita hendak beri pengiktirafan di atas sumbangan mereka kepada ekonomi komoditi negara.
"Hasil melalui getah telah menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara sejak sebelum mereka hingga sekarang getah masih lagi menjadi sumber keenam terbesar nilai eksport kepada luar negara," ujarnya.
Pada program itu juga, pekebun kecil diberikan taklimat oleh Lembaga Getah Malaysia (LGM) mengenai Permit Autoriti Transaksi Getah (PAT-G), sistem RRIMniaga, Insentif Pengeluaran Getah (IPG) serta pendedahan berkaitan penyakit Pestalotiopsis.
Selain itu, sesi dialog dengan pekebun kecil telah diadakan pada pertemuan tersebut bagi berkongsi segala maklumat projek terkini kerajaan dan kemajuan penyelidikan serta teknologi dalam bidang agrikomoditi yang boleh dimanfaatkan oleh pekebun.
28 Nov 21
721