lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Pasukan Padat 4x4 Juarai Bukit Besi Monsoon Challenge
Pasukan Padat 4x4 Juarai Bukit Besi Monsoon Challenge
DUNGUN, 5 Disember – Pasukan Padat 4x4 muncul juara dalam Kejohanan Bukit Besi 4x4 Monsoon Challenge kategori Open Hardcore, semalam meskipun berdepan kesukaran berdepan cuaca di musim tengkujuh. Pasukan gabungan tiga krew 4x4 daripada Terengganu, Kedah dan Kuala Lumpur tersebut berjaya mengalahkan Geng Tookmu untuk membawa pulang wang tunai sebanyak RM10,000 beserta trofi dan sijil. Pemandu jentera ‘Buggy’ pasukan tersebut, Mohd Effendi Husin berkata pencapaian itu bukan perkara yang mudah kerana perlu berentap dengan jumlah peserta yang ramai. “Kategori ini memerlukan ketahanan daripada segi mental, itu nombor satu, jentera kita juga serta kerjasama antara pemandu dan pemandu bersamanya, Muhammad Ifan Jamaludin dari kemaman, juga antara elemen penting bagi menguasai lapan trek disini. “jika kereta atau ahli pasukan tidak mahir, kita tidak mampu sampai ke tahap ini, nasib juga menyebelahi kita. “Ini adalah penyertaan kedua saya, sebelum ini pada 2018 saya gagal mendapat tempat disebabkan masalah teknikal dengan 4x4, jadi hari ini saya berjaya menebuskan kekecewaan dua tahun lalu,” katanya yang berasal daripada Kuala Lumpur. Tambahnya, 90 peratus daripada trek memerlukan skil kawalan tinggi dalam menghadapi faktor seperti cuaca dan keadaan yang licin serta rintangan tinggi. Pemandu daripada LC Houz tersebut berkata demikian selepas Kejohanan Bukit Besi 4x4 Monsoon Challenge di Bukit Besi Rainforest Park, Dungun, petang semalam. Turut hadir, Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Besi, Roslee Daud dan Pengarah Eksekutif Terengganu Incorporated Sdn. Bhd. (Terengganu Inc), Burhanuddin Hilmi Mohamed @Harun. Jelas Effendi, dia berterima kasih kepada Kelab Teguh Fourwheller Team (TFT) dan Kerajaan Negeri atas penganjuran yang disifatkan mampu mengeratkan hubungan antara kedua-dua pihak. “Dengan hadiah besar ini amat berbeza dengan acara lain, sebelum ini kami rasa tidak dihargai, tapi hari ini saya harap setiap tahun kejohanan sebegini dapat diadakan di tempat lain dalam Terengganu,” katanya lagi. Terdahulu, Pengarah Kelab Teguh Fourwheller Team (TFT), Shamsul Anuar Musa berkata, sebanyak 52 kelab melibatkan 190 pemandu dari pelbagai negeri berentap dalam Cabaran Monsun Bukit Besi 4x4 2021 selepas penganjuran pertama pada 2018.  
05 Dec 21
750
KPDNHEP Kenal Pasti 12 Barangan Kawalan Bagi SHMKM
KPDNHEP Kenal Pasti 12 Barangan Kawalan Bagi SHMKM
HULU TERENGGANU, 4 Disember - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah mengenal pasti 12 jenis barangan terkawal bagi pelaksanaan program Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM). Timbalan Menterinya, Dato Rosol Wahid berkata ia  berkuatkuasa pada 7 hingga 31 Disember 2021 ini. Katanya, antara barangan tersebut adalah  ayam, telur, kacang panjang, cili merah, tomato, sawi, kubis bulat import Indonesia dan China serta timun. "Untuk SHMKM, harga maksimum ayam standard ditetapkan RM9.30 sekilogram bagi jualan runcit dan RM8 sekilogram untuk pemborong di Semenanjung, kecuali Langkawi. “Ia berlainan dengan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Krismas yang akan diumumkan kemudian,” katanya. Beliau berkata demikian di sidang media selepas meninjau  Program Jualan Keluarga Malaysia (JKM) di perkarangan DM Pemborong Sdn Bhd di Kuala Berang hari ini. Katanya, penentuan harga barangan dibuat mengikut kesesuaian harga pasaran semasa dan mengambil kira pelbagai faktor perubahan harga khususnya bagi barangan import. "Harga kawalan bagi 11 barang lain terbabit juga adalah berbeza mengikut kawasan, dengan penetapan dibuat berdasarkan kesesuaian harga pasaran," ujarnya.   Menurut beliau lagi, program itu akan diperluaskan di seluruh kawasan Parlimen dan mengikut perancangan awal, ia akan diadakan dua kali sebulan serta disasarkan berlangsung sehingga Februari tahun hadapan. "Kita sasarkan kawasan B40 dan M40 kerana mereka adalah golongan yang terkesan teruk akibat kenaikan harga barang terutama selepas Covid-19. “Antara barangan yang dijual seperti beras, gandum, gula, bahan kering dan barang basah dengan diskaun 20 hingga 50 peratus,” ujar Rosol. Dalam masa yang sama, pihaknya juga akan mengambil tindakan tegas terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan di bawah skim ini di bawah Akta Kawalan Harga dan Pencatutan 2011. Sementara itu, beliau juga juga berkata kerajaan akan membawa masuk 200 kontena ayam sejuk beku dari luar negara bagi memberi pilihan harga lebih murah berbanding ayam segar dari ladang. Rosol berkata , langkah itu sebagai usaha mengawal kenaikan harga ayam di pasaran yang sedang berlaku.    
04 Dec 21
225
Nadma Sedia 4,000 Kit Ujian Kendiri COVID-19
Nadma Sedia 4,000 Kit Ujian Kendiri COVID-19
KUALA NERUS, 4 Disember- Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) menyediakan 4,000 kit ujian kendiri COVID-19 sebagai persediaan bagi mengawal penularan wabak berkenaan di pusat pemindahan sementara (PPS) seluruh negeri ini. Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Mohd Rosman Abdullah berkata, Sekretariat Jawatankuasa Bencana Negeri sudah menerima peralatan berkenaan untuk digunakan bagi mengesan jangkitan wabak di kalangan mangsa banjir yang ditempatkan di PPS. "Bagaimanapun, kita hanya menggunakan peralatan ini (kit ujian kendiri) terhadap mangsa banjir yang bergejala sahaja," katanya ketika meninjau fenomena air pasang besar di Pantai Miami Seberang Takir, malam tadi. Katanya, fasa pertama banjir, sebanyak lapan PPS dibuka membabitkan dua di daerah ini, lima di Setiu dan satu di Besut membabitkan 174 mangsa daripada 58 keluarga. Rosman berkata, pihaknya juga menyediakan bilik isolasi di semua PPS bagi menempatkan mangsa banjir yang bergejala. "Bagaimanapun, setakat ini belum ada mangsa yang bergejala di lapan PPS berkenaan. "Mangsa banjir juga perlu melalui proses pengambilan suhu badan serta diberikan pelitup muka sebelum membuat pendaftaran masuk di semua PPS," katanya. Dalam pada itu katanya, trend banjir di tiga daerah terbabit iaitu Kuala Nerus, Setiu dan Besut semakin pulih berikutan cuaca yang semakin baik.
04 Dec 21
460
Fenomena Air Pasang Besar Bukan Untuk Berpesta
Fenomena Air Pasang Besar Bukan Untuk Berpesta
KUALA NERUS, 4 Disember - Orang ramai disaran mengutamakan keselamatan dan tidak ke pesisir pantai di negeri ini untuk menyaksikan fenomena air pasang besar tanpa memikirkan keselamatan diri. Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu, Mohd. Rosman Abdullah berkata, beliau kesal dengan sikap segelintir masyarakat yang masih ghairah melihat fenomena air pasang besar.   Katanya, berdasarkan pemantauan di Pantai Seberang Takir di sini, masih ramai yang berkumpul di pesisir pantai untuk melihat ombak besar "Air pasang besar yang membawa ombak setinggi 2.9 meter tersebut bukan lah pesta malah boleh membahayakan nyawa. "Ada juga yang datang dari Kuantan (Pahang) semata-mata untuk menyaksikan fenomena tersebut," katanya ketika ditemui ketika memantau Pantai Seberang Takir di sini kelmarin. Beliau menasihatkan orang ramai  agar mematuhi arahan menjauhi kawasan pesisir pantai di seluruh negeri ini sehingga 13 Disember depan. "Orang ramai diminta agar menjauhi kawasan pantai sehingga fenomena air pasang besar ini reda demi keselamatan masing-masing," katanya. Dalam masa yang sama, Rosman berkata, fenomena terbabit juga memberi risiko banjir kepada 37 penempatan yang terletak berhampiran pantai di seluruh negeri ini.
04 Dec 21
895
TDM Plantation Jalin Kerjasama Dengan UCTATI Tingkat Produktiviti Syarikat
TDM Plantation Jalin Kerjasama Dengan UCTATI Tingkat Produktiviti Syarikat
KUALA TERENGGANU, 3 Disember-  TDM Berhad melalui bahagian perladangannya, TDM Plantation Sdn Bhd memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama Universiti  Kolej TATI (UCTATI) untuk meningkatkan produktiviti dan operasi syarikat melalui teknologi mekanisasi dan perkongsian kepakaran inovasi.  Pada majlis MoU yang berlangsung di Hotel Permai semalam, TDM Plantation diwakili  Penasihat Perladangan TDM Jalaini Che Kar dan Ketua Pegawai Eksekutif  TDM Plantation Sdn Bhd, Hamdan Ibrahim. Manakala  UCTATI diwakili rektornya Profesor Dr. Anuar Ahmad dan Timbalan Rektor (Akademik dan Pengantarabangsaan), Profesor Madya Ts. Dr.Rosliza Ramli. Turut menyaksikan MoU tersebut, Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi Negeri, Satiful Bahari Mamat dan  Pengarah Eksekutif TDM, Najman Kamaruddin. Menurut Hamdan, kerjasama itu merupakan satu peluang bagi syarikat untuk mendapatkan pandangan dalam bidang inovasi teknologi dan mekanisasi, serta automasi daripada pemain industri yang berpengalaman dan berkebolehan tinggi. "Peluang ini membolehkan syarikat menambah baik operasi melalui kemajuan teknologi, seterusnya memastikan pergerakan syarikat selaras dengan Revolusi Perindustrian Keempat atau Industri 4.0 dan Internet of Things (IoT). “TDM Plantation Sdn Bhd bukan sahaja bertujuan untuk memacu produktiviti dan pertumbuhan ekosistem perladangan, tetapi juga untuk memastikan sistem sokongan yang baik dapat disediakan. Ini termasuklah infrastruktur, kemudahan, latihan dan ilmu pengetahuan yang berkaitan untuk mekanisasi operasi perladangan, menyelesaikan masalah kekurangan tenaga yang semakin meruncing di ladang dan memastikan syarikat kekal berdaya saing, terutamanya ketika mengharungi wabak pandemik kini," ujarnya. Melalui perjanjian ini, kedua-dua pihak akan bekerjasama untuk memanfaatkan kepakaran dan kekuatan masing-masing. Dalam tanggungjawab yang dipersetujui, UCTATI akan memberikan sokongan dan nasihat yang diperlukan berhubung dengan inovasi dan mekanisasi aktiviti operasi perladangan, penganjuran simposium, persidangan, kursus pendek dan mesyuarat berkenaan inovasi dan mekanisasi perladangan, perkongsian hasil penyelidikan untuk faedah komersial bagi kedua-dua pihak dan mana-mana bidang kerjasama lain yang dipersetujui bersama. Sementara itu, Dr Anuar berkata, dengan rangkaian pakar berkemahiran tinggi yang cekap, lengkap dengan keupayaan dalam pelbagai bidang teknikal, pihaknya yakin untuk menyokong TDM Plantation Sdn Bhd kearah merealisasikan potensi syarikat sepenuhnya.  “Kami mengharapkan hasil positif daripada gabungan keupayaan TDM Plantation Sdn Bhd dengan kepakaran teknikal UCTATI. Kita juga bersedia membantu pihak mereka dalam menangani cabaran masa kini dan jangka panjang yang boleh mengganggu momentum syarikat, termasuk dalam usaha mengurangkan beban kerja yang intensif sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja manusia melalui mekanisasi dan automasi teknologi,” katanya. TDM Plantation Sdn Bhd sebelum ini memeterai perjanjian dengan Edaran Badang Sdn. Bhd. bagi mendapatkan jentera Mechanical Buffalos untuk kegunaan ladang.
03 Dec 21
601
Banjir: 50 Meter Jalan Di Kampung Lubuk Panjang Runtuh
Banjir: 50 Meter Jalan Di Kampung Lubuk Panjang Runtuh
SETIU, 3 Disember - Hujan lebat berterusan sejak dua hari lalu, menyebabkan hampir 50 meter jalan di Kampung Lubuk Panjang di Chalok, Setiu runtuh.  Menurut seorang penduduk Abdul Rahman Dollah, 58, ia dipercayai berlaku selepas arus air sungai yang deras di kawasan berdekatan melimpah. "Kami sedar kejadian itu sekitar jam 7.30 pagi Jumaat dan apabila tengok tar jalan pun habis hanyut. "Setiap tahun kawasan itu pasti dinaiki air namun pada kali ini ia lebih besar berbanding kebiasaannya," katanya ketika ditemui di sini hari ini. Tambahnya, jalan yang terletak kira-kira 10 meter dari kediamannya itu baru sahaja dibaik pulih kira-kira dua bulan lalu. “Baru je baiki tapi dah runtuh lagi.Kawasan ni memang rendah dan tempat laluan air sebab tu buat tinggi tapi begini pula jadinya," katanya lagi. Terdahulu, dua daerah di negeri Terengganu mula dilanda banjir dan menyebabkan 174 mangsa dipindahkan ke tujuh pusat pemindahan sementara (PPS) di Setiu dan Kuala Nerus.
03 Dec 21
2766
Amaran Cuaca Buruk Di Terengganu Dan Kelantan
Amaran Cuaca Buruk Di Terengganu Dan Kelantan
KUALA TERENGGANU, 3 Disember - Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) mengeluarkan amaran cuaca buruk tahap jingga di Terengganu dan Kelantan, esok. Amaran itu membabitkan Besut, Setiu, Kuala Nerus dan Kuala Terengganu. Manakala di Kelantan (Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Jeli, Tanah Merah, Bachok, Machang, Pasir Puteh dan Kuala Krai). Sementara itu, amaran cuaca waspada (tahap kuning)turut dikeluarkan membabitkan Hulu Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman. "Tiupan angin dari arah timur laut dijangka berpotensi membawa hujan berterusan dan angin kencang yang boleh menyebabkan banjir di kawasan berkedudukan rendah. "Hari ini, Setiu Terengganu dan Pasir Putih di Kelantan  dilanda banjir susulan hujan berterusan sejak semalam," menurut kenyataan tersebut.
03 Dec 21
1844
Gelombang Pertama Banjir Di Terengganu Kini Bermula
Gelombang Pertama Banjir Di Terengganu Kini Bermula
KUALA TERENGGANU, 3 Disember - Gelombang pertama banjir di Terengganu kini bermula dengan hujan lebat sejak semalam menyebabkan beberapa kawasan rendah di negeri ini dinaiki air. Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri berkata, setakat pukul 11 pagi ini, dua pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Setiu sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan yang beroperasi kini adalah tiga termasuk di Kuala Nerus. Katanya, seramai 45 orang daripada 10 keluarga ditempatkan di kesemua tiga PPS berkenaan. “Di Setiu, PPS Balai Raya Kampung Bari Besar dibuka pukul 8 pagi ini dengan melibatkan pemindahan seramai 16 mangsa manakala di PPS Masjid Chalok Kedai pula dihuni seramai lima mangsa. “Keseluruhan mangsa banjir kini seramai 45 orang termasuk 24 daripadanya ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan Kompleks Mengabang Telipot di Kuala Nerus yang dibuka semalam,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. Setakat pagi ini, cuaca di seluruh negeri masih lagi hujan lebat di kebanyakan tempat.
03 Dec 21
8573
Malaysia Kesan Kes Pertama Omicron
Malaysia Kesan Kes Pertama Omicron
Foto Ihsan : Google PUTRAJAYA, 3 Disember - Malaysia merekodkan kes pertama positif varian yang dibimbangi (VOC) Omicron melibatkan seorang pengembara bukan warganegara berusia 19 tahun. Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, individu itu merupakan seorang pelajar di sebuah universiti swasta di Ipoh, Perak, tiba dari Afrika Selatan melalui Singapura pada 19 November lalu. Katanya, dia menjalani ujian RT-PCR Covid-19 setibanya di pintu masuk antarabangsa Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan kes diberi Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di bawah Seksyen 15, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342). “Dia menjalani kuarantin wajib di penginapan yang disediakan oleh pihak universiti di Ipoh. Perjalanan kes dari KLIA ke Ipoh adalah menggunakan bas yang disediakan khas oleh pihak universiti,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE
03 Dec 21
737
595 Kematian Akibat COVID-19 Di Terengganu Tidak Terima Vaksin
595 Kematian Akibat COVID-19 Di Terengganu Tidak Terima Vaksin
KUALA TERENGGANU, 2 Disember - Seramai 595 orang yang meninggal dunia akibat COVID-19 di Terengganu adalah melibatkan individu yang tidak pernah divaksin. Pengarah Kesihatan Negeri, Dato’ Dr. Kasemani Embong berkata, ia merupakan 77.5 peratus daripada 768 kematian secara keseluruhan. “Dalam kalangan kematian COVID-19 Terengganu, 343 orang (45.0 peratus) adalah dalam kalangan wanita dan 425 (55.0 peratus) lelaki. “Peratus kematian mengikut umur paling tinggi adalah dalam kalangan individu yang berusia 60 hingga 69 tahun iaitu sebanyak 25.3 peratus, diikuti dengan individu dalam lingkungan usia 70 hingga 79 tahun (23.6 peratus) dan 50 hingga 59 tahun (17.2 peratus),” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.  Menurut beliau, dari jumlah kematian ini juga, 85.7 peratus (658 orang) mempunyai faktor komobid.  “Antara faktor penyebab peningkatan kematian ini adalah kelewatan mendapatkan rawatan, pesakit yang mempunyai faktor komorbid berganda (2 dan ke atas), belum mendapatkan vaksinasi dan pesakit dalam kalangan mereka yang berumur melebihi 50 tahun. “Mereka yang berumur 50 tahun lebih berisiko untuk mempunyai imuniti berkurangan kerana sebahagian besar dalam kalangan mereka telah mendapat vaksin lebih awal. Namun majoriti yang telah lengkap vaksinasi dalam kalangan pesakit yang dimasukkan ke ICU dan yang meninggal belum mendapatkan suntikan vaksin penggalak,” jelasnya. Dalam perkembangan sama katanya, seramai 31,397 individu telah menerima suntikan dos penggalak, namun jumlah itu amat rendah jika dibandingkan dengan negeri-negeri lain.  Katanya, bagi meningkatkan pencapaian suntikan dos penggalak JKNT melaksanakan beberapa strategi iaitu meningkatkan kapasiti fasiliti swasta. Selain itu pihaknya akan mengaktifkan semula semua klinik kesihatan dan hospital terlibat sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV) serta melaksanakan suntikan vaksin secara jangkau luar kepada anggota barisan hadapan bukan KKM. “Bagi individu yang layak untuk menerima suntikan dos penggalak, individu disarankan untuk mendapatkan suntikan di fasiliti kesihatan KKM dan swasta yang menjadi Pusat Pemberian Vaksin (PPV).  “JKNT ingin menasihatkan kepada yang mempunyai ibubapa atau saudara-mara yang berusia 50 tahun dan ke atas supaya segera mendapatkan suntikan vaksin dos penggalak,” ujarnya.
02 Dec 21
984