Artikel "Semasa" Terkini
Jalan Persinggahan Persisir Pantai Batu Buruk Ditutup Bagi Pemangkasan Pokok
KUALA TERENGGANU, 6 Disember - Jalan persinggahan persisir Pantai Batu Buruk kini ditutup sementara kepada semua kenderaan sehingga 8 Disember.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Rozali Salleh berkata, jalan itu ditutup bagi membolehkan kerja-kerja pemangkasan pokok secara bersepadu dilakukan di laluan tersebut.
"Pemangkasan pokok secara bersepadu ini dilakukan sebagai langkah pencegahan kepada pengguna laluan tersebut pada masa akan datang setelah penilaian risiko keselamatan dibuat terhadap pokok-pokok ini.
Kerja-kerja pemangkasan giat dilakukan
"Bagi menjamin keselamatan pengguna, laluan yang bermula dari selekoh Primula Beach Resort sehingga bulatan berhampiran Restoran A&W ini hanya akan ditutup dari 8.00 pagi hingga 5.00 petang sahaja sepanjang kerja-kerja itu dilaksanakan," jelasnya.
Rozali Salleh, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu
Tambah Rozali, selepas waktu tersebut, pengguna boleh melalui laluan tersebut seperti sedia kala.
"Papan tanda lalulintas akan dipasang di tapak untuk panduan pengguna jalan raya.
“Para pengguna hendaklah mematuhi tanda arah serta papan tanda keselamatan yang disediakan. Kerjasama sepenuhnya daripada semua pengguna jalan raya amat diharapkan,” katanya.
Jelasnya, buat sementara waktu, para pengguna jalan raya boleh menggunakan Jalan Sultan Mahmud sebagai laluan alternatif.
06 Dec 21
868
ECERDC Tarik Hampir RM3.0 Bilion Pelaburan Ke Terengganu
KUALA TERENGGANU, 5 Disember – Terengganu menerusi Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) telah menarik pelaburan komited sebanyak RM2.9 bilion bagi tahun 2021.
Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Baidzawi Che Mat berkata, pelaburan tersebut bakal mewujudkan lebih 5,000 peluang pekerjaan dan 600 peluang keusahawanan direkodkan sehingga bulan lepas.
“Tumpuan diberikan kepada Taman Biopolimer Kerteh (KBP), salah sebuah taman perindustrian paling berjaya yang dibangunkan oleh ECERDC.
“ECERDC akan memperhebatkan kegiatan mempromosikan pelaburan ke Terengganu dengan kerjasama agensi-agensi Persekutuan dan Negeri untuk menarik pelaburan baharu serta memastikan pelaburan dapat direalisasikan terutamanya di KBP.
“Baru-baru ini, KBP telah berjaya menarik pelaburan berjumlah RM220 juta daripada Greenverse Sdn. Bhd. (GVSB) untuk membangunkan sebuah loji pengurusan sisa berjadual secara bersepadu,” katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.
Menurutnya lagi, pelaburan tersebut dijangka mewujudkan sehingga 250 peluang pekerjaan baharu yang merangkumi jawatan profesional, pengurusan dan kemahiran teknikal.
“KBP, hab bioekonomi dan bahan kimia khusus ECER yang meliputi kawasan seluas 140 hektar, telah menarik pelaburan yang direalisasikan berjumlah RM5.2 bilion setakat ini.
“Kompleks PKS KBP juga menerima sambutan yang menggalakkan walaupun siap ketika pandemik.
“Sebanyak 98 peratus daripada lot yang ada telah diduduki majoritinya oleh syarikat-syarikat Industri Perkhidmatan dan Peralatan Minyak dan Gas (OGSE) yang memberi sokongan kepada PETRONAS dan syarikat-syarikat petrokimia lain di Wilayah ini,” katanya lagi.
Jelasnya, sasaran ECERDC adalah pertumbuhan industri petrokimia khusus, dan kini sedang membangunkan Fasa 4 yang terdiri daripada kawasan tambahan seluas 397 ekar bagi menampung pertumbuhan akan datang untuk para pelabur menjelang pertengahan tahun 2025.
06 Dec 21
688
Menyelamat, Melegakan Dan Membaikpulih Jadi 'Hashtag' Khidmat Malaysia
Oleh: WA Hadi
KEMAMAN, 6 Disember - Menyelamat, Melegakan dan Membaikpulih (3M) menjadi 'hashtag' kepada badan bukan kerajaan (NGO) Sukarelawan Khidmat Malaysia bagi mengurus kecemasan dan bencana di Malaysia.
Pengerusi Khidmat Malaysia negeri, Hanafiah Mat berkata pihaknya melakukan setiap kerja secara ikhlas tanpa mengharapkan balasan demi kesejahteraan semua lapisan rakyat.
"Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada sukarelawan Khidmat Malaysia dan agensi kerajaan yang berkhidmat dengan cemerlang pada tahun-tahun yang lalu ketika banjir melanda daerah Kemaman.
Bacaan doa oleh Ustaz Nik Mohammad Nasri
"Walaupun sebahagian besar daripada anda tidak dibayar dengan wang ringgit, tetapi saya yakin dan percaya bahawa ganjaran tersebut bakal diterima diakhirat kelak," ucapnya.
Beliau berkata demikian di Majlis Pelancaran Khidmat Malaysia Parlimen Kemaman 2021, di Dewan Seri Amar, Cukai, semalam yang dihadiri oleh seramai 200 orang petugas sukarelawan.
Pada masa yang sama, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kemaman, Mohd Sophian Abu Bakar yang juga Pegawai Daerah Kemaman berkata beliau amat mengharapkan kerjasama daripada semua NGO yang ada di Kemaman sekiranya berlaku bencana atau kecemasan tanpa mengira masa dan tempat.
Gimik pelancaran oleh Sukarelawan Khidmat Malaysia Kemaman.
"Saya amat mengalu-alukan sebarang bentuk kerjasama dan perkongsian idea daripada semua pihak dalam memberikan khidmat yang terbaik kepada masyarakat di Kemaman terutama ketika bencana banjir.
"Kita perlu terus berubah bagi meningkatkan lagi keberkesanan perkhidmatan yang sedia ada terutama dari segi pembangunan sikap dan akhlak yang perlu diseiringkan dengan pembangunan fizikal dan proses kerja juga perlu lebih pantas," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Khidmat Malaysia Kemaman, Che Alias Hamid mengharapkan agar majlis ini dapat menyuntik semangat para sukarelawan Khidmat Malaysia agar terus meningkatkan usaha dan terus istiqomah.
"Sokongan dan bantuan dari semua amat diperlukan bagi meringankan beban yang bakal dipikul oleh agensi kerajaan yang terlibat dalam memberi bantuan kepada rakyat," ucapnya yang juga Ahli Parlimen Kemaman.
Turut dipamerkan dimajlis tersebut adalah sebahagian daripada eset bagi kerja-kerja bantuan semasa dan selepas operasi banjir termasuk peralatan komunikasi.
Penerangan oleh petugas Unit Komunikasi Khidmat Malaysia Kemaman (RAK).
06 Dec 21
433
Anak Muda Diseru Sertai TARC
Oleh : Rohayati Ripin
KUALA TERENGGANU, 5 Disember - Anak-anak muda diseru agar melibatkan diri masing-masing dengan menyertai Kelab Penunggang Motosikal Sejahtera Seluruh Terengganu (Terengganu All Riders Motorcycle Prosperous Club) sebagai aktiviti riadah bermanfaat berbentuk holistik.
Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu Dato' Haji Yahaya Ali berkata, kelab ini merupakan satu landasan yang tepat dalam menarik minat warga belia yang meminati elemen permotoran.
"Sebagai salah seorang pemimpin dalam kerajaan negeri Terengganu pada hari ini, antara perkara utama yang saya selalu tekankan adalah mengenai aspek penglibatan aktif rakyat terutamanya warga belia anak muda dalam aktiviti-aktiviti sosial dan sukan.
"Penekanan dalam aspek sosial dan sukan ini adalah penting dalam melahirkan masyarakat yang sentiasa ceria dan aktif selain menjauhi segala masalah sosial yang berlaku sekarang ini," jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam program majlis Taujid bersama ahli TARC di Hotel Paya Bunga, pada semalam.
Katanya, beliau percaya keaktifan masyarakat dalam beriadah dan beraktiviti secara tidak langsung akan menjadi pemangkin kepada pengurangan masalah sosial yang melanda masyarakat terutamanya golongan remaja.
"TARC boleh memainkan peranan menjadi “rakan sebaya” yang menjadi “role model” sesuai dengan matlamat TARC dalam mensasarkan untuk menjadi sebuah kelab motosikal yang terulung.
"Dalam menjaga adab dan akhlak selain menjadi platform untuk menyampaikan dakwah kepada umum," ujar beliau.
Justeru itu, beliau berharap agar pihak TARC mencari berusaha mencari inisiatif mendekati dan mempergiatkan lagi usaha mendekati pemuda.
"Usaha ini adalah penting kerana melalui TARC, pelbagai aktiviti permotoran dapat dijalankan secara lebih selamat dan bermanfaat selalu memenuhi semangat permotoran orang belia.
"Adalah menjadi suatu kebahagian kepada keluarga dan masyarakat apabila kita dapat melahirkan pemuda yang seimbang.
"Dalam satu masa dilihat tekun mencari ilmu, tetapi dalam masa yang lain kuat beriadah dan berekreasi, ringan tulang membantu masyarakat dan aktif berjamaah di masjid dan surau," tambah Dato' Yahaya.
05 Dec 21
555
23,766 Anggota Polis Positif COVID-19
MARANG, 5 Disember - Seramai 23,766 anggota polis di negara ini termasuk ahli keluarga mereka direkodkan positif Covid-19 sejak Mac tahun lalu hingga kini.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, daripada jumlah itu sebanyak 13,508 kes melibatkan pegawai dan anggota manakala 10,258 kes melibatkan ahli keluarga mereka.
Beliau memberitahu, sepanjang tempoh berkenaan 39 kematian direkodkan membabitkan anggota dan ahli keluarga.
"Empat daripadanya merupakan pegawai kanan polis manakala 35 yang lain adalah pegawai rendah.
“Jumlah itu tidak termasuk tiga kematian yang membabitkan pegawai awam dan 118 ahli keluarga,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan 26 kereta Toyota Hilux GS Cargo kepada polis Kontinjen Terengganu di Pangkalan Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) di Wakaf Tapai di sini hari ini.
Beliau berkata, jangkitan dalam kalangan warga PDRM berlaku ketika kes Covid-19 memuncak di negara dalam tempoh dua tahun.
Pada majlis itu, sebanyak 26 pikap Toyota Hilux GS Cargo di serahkan bagi kegunaan ibu pejabat polis daerah (IPD) di seluruh negeri.
"Ia bagi membantu meringankan penugasan pegawai dan anggota di negeri ini termasuk operasi pada musim banjir," katanya lagi.
05 Dec 21
771
10 Unit Kuarters Balai Polis Pulau Redang Bakal Dibina Tahun Hadapan
MARANG, 5 Disember - Kira-kira 10 unit kuarters Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan dibina di Pulau Redang pada tahun hadapan menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 Rolling Plan 2 2022.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata pembinaan tersebut melibatkan peruntukan sebanyak RM13 juta manakala proses reka bentuk dan tender masih dalam perancangan.
"Buat masa ini hanya terdapat lapan unit kuarters di Balai Polis Pulau Redang dan sebahagian daripada 28 pegawai terpaksa berulang alik dari tanah besar setiap masa kerana kesukaran untuk mendapatkan rumah sewa di pulau berkenaan.
"Justeru itu, kita ucap terima kasih kepada kerajaan untuk tambahan kuarters ini bagi keselesaan serta kebajikan warga PDRM terutama jika tiba musim tengkujuh yang boleh membahayakan keselamatan mereka," ujarnya.
Beliau berkata demikian di sidang media Majlis Penyerahan Kenderaan Jenis Toyota Hilux GS Carco PDRM Kontinjem Terengganu di Pangkalan PSP Unit 6 Wakaf Tapai, Marang, hari ini.
Dalam program sama, Mazlan menyampaikan sumbangan kepada 35 warga serta pesara PDRM kontijen Terengganu yang merupakan golongan asnaf dan terkesan sepanjang Covid-19.
Sementara itu, beliau juga memaklumkan ibu pejabat polis kontinjen Terengganu yang baharu dijangka siap sepenuhnya pada Disember 2024.
"Ini termasuk ibu pejabat polis daerah Hulu Terengganu yang dijangka siap pada April 2024," tambahnya.
05 Dec 21
727
Sasar 320 Pendaftaran Bagi Pemilihan Adun Belia Terengganu
KUALA TERENGGANU, 5 Disember - Urus Setia Belia, Sukan dan NGO Terengganu Sejahtera (UBNST) menyasarkan 320 calon akan berdaftar untuk mewakili 32 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pemilihan Ahli Dewan Undangan (Adun) Belia sesi 2021/2023.
Penolong Pegawai Seranta Unit Belia UBSNT, Syed Ahmad Abdus Salam Syed Nazmi berkata, pemilihan calon telah bermula dan terdapat beberapa pembaharuan serta penambahbaikan dilakukan dalam struktur Dewan Belia Terengganu pada sesi kali ini.
“Sambutan agak baik, kita sasarkan sepuluh belia dapat mewakili sebagai calon DUN masing-masing.
“Bagi calon yang terlibat dengan bencana banjir dan kuarantin mereka boleh hadir pada sesi pemilihan semula yang akan diumumkan kelak,” ujarnya kepada pemberita ketika ditemui di Pemilihan Adun Belia Siri Dua di Pusat Sains Dan Kreativiti Terengganu, semalam.
Katanya, bagi peringkat pertama pemilihan Adun Belia, calon perlu melalui proses saringan melibatkan peperiksaan bertulis.
"Seterusnya, selepas proses pemilihan ini, peserta akan terus ke kem teori yang disertai oleh calon-calon yang sama memohon menjadi Adun Belia.
“Di kem teori akan diadakan saringan yang kedua, ada ujian lisan, prestasi serta lain-lain penilaian.
“Yang berjaya ke peringkat seterusnya akan masuk kem induksi, mereka inilah yang akan menjadi Adun Belia mewakili DUN masing-masing dan akan ke peringkat keempat iaitu persidangan dan angkat sumpah sebagai Adun Belia di Dewan Belia Terengganu,” jelasnya.
Menurutnya, pelantikan sebagai Adun Belia adalah sebagai latihan untuk mereka, selain menarik golongan muda untuk bersama-sama mengetengahkan dan menyalurkan apa jua isu kepada kerajaan, bagi membolehkan langkah selanjutnya diambil.
“Objektif program ini adalah untuk melahirkan pelapis kepimpinan negeri dan untuk menyuarakan suara anak muda kepada kerajaan negeri.
“Malah, sebagai platform untuk mereka ini berpidato menyampaikan idea dan membentangkan cadangan-cadangan dan seterusnya mereka ini juga perlu aktif melibatkan diri bersama masyarakat dan komuniti setempat,” katanya.
05 Dec 21
639
39 Mangsa Banjir Masih Berada Di Pusat Pemindahan
KUALA TERENGGANU, 5 Disember - Seramai 39 orang mangsa banjir daripada lapan keluarga masih lagi berada di tiga pusat pemindahan sementara (PPS) iaitu sebuah di daerah Kuala Terengganu dan dua di Kuala Nerus setakat 8 pagi ini.
Jumlah mangsa tidak banyak berubah berbanding 34 orang daripada tujuh keluarga, pada 4 petang semalam.
Menurut kenyataan dikeluarkan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu, PPS di Kuala Terengganu membabitkan Sekolah Kebangsaan (SK) Atas Tol yang baru diaktifkan petang semalam bagi menempatkan 13 mangsa daripada tiga keluarga.
Dua PPS di Setiu pula ialah SK Kompleks Mengabang Telipot yang menempatkan 20 orang (empat keluarga) dan Surau Mak Jintan (enam sekeluarga) dimana masing-masing dibuka sejak Khamis lalu.
Walaupun banjir semakin pulih di Terengganu, kesemua mangsa di tiga PPS itu tidak dibenarkan pulang kerana rumah mereka masih digenangi air akibat hujan lebat, baru-baru ini.
05 Dec 21
340
Tiga Sekawan Johan Explorace Terengganuku Comel 2021
KUALA TERENGGANU, 5 Disember - Tiga sekawan muncul juara dalam acara Explorace Terengganuku Comel 2021, baru-baru ini.
Muhamad Muda, 52, bersama dua rakannya iaitu Bahri Chik, 54, dan Mohd Ikhwan Yusof, 36, menyertai acara berkenaan kerana minat mereka terhadap aktiviti seperti itu.
Kata mereka, ia sangat menarik kerana peserta didedahkan dengan keindahan yang terdapat di Terengganu, serta soalan-soalan disediakan pihak penganjur amat mencabar.
"Alhamdulillah rezeki pada kami, kita pun tidak menjangkakan meraih tempat pertama, ingatkan hanya akan tersenarai di antara 10 yang terbaik semata-mata, bersyukur kepada Allah.
"Setiap kali menyertai acara kami ada buat 'homework', 'study' dari segi bentuk soalan-soalan yang lepas, dari pengalaman yang lalu kami jadikan satu panduan untuk buat yang terbaik dimana selama 10 tahun setiap kali diadakan kami akan menyertainya.
"Bagi kami peserta lain juga 'profesional hunter' cuma rezeki lebih menyebelahi kami. Kalau hendak dikutkan pening kepala juga hendak menjawab soalan, tambahan pula dalam keadaan musim sekarang beri halangan dari sudut untuk fokus pada pemanduan dalam masa yang sama hendak menjawab setiap soalan," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman, pada kejohanan Explorace Terengganu Comel 2021, selepas diumumkan juara pada Majlis Perasmian Penutup, di Muzium Negeri Terengganu, semalam.
Majlis perasmian penutup telah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), Wan Sukairi Wan Abdullah dan Pengarah Urus Setia Belia Sukan & NGO Terengganu Sejahtera (UBSNT), Mohd Nasir Abdul Razzab.
Program berkenaan dianjurkan oleh kerajaan negeri dengan kerjasama UBSNT dan Lembaga Muzium Negeri Terengganu.
Penyertaan terhad kepada 100 buah kenderaan atas dasar 'Siapa Cepat Dia Dapat' itu bermula Drawbridge kemudian meneruskan perjalanan ke Muzium Bukit Besi dan Muzium Negeri Terengganu menjadi lokasi penamat program berkenaan pada sebelah petang.
Dengan menawarkan hadiah di tempat pertama wang tunai sebanyak RM3,000, naib juara RM 2,000, tempat ketiga RM1,500, keempat RM800, manakala tempat kelima sehingga ke lapan RM200.
Dalam pada itu Wan Sukairi berkata, melihat kepada penyertaan yang memberangsangkan itu pihak negeri bersetuju untuk mengadakannya lagi pada masa akan datang dengan penyertaan lebih ramai serta menawarkan hadiah lebih menarik memandangkan ia mendapat sambutan
sangat menggalakkan.
"Ini juga merupakan suatu inisiatif untuk memperkenalkan Terengganu kepada para peserta terutama mereka yang luar dari negeri ini mengenai keindahan dan keunikan yang terdapat di negeri ini, dari sudut makanan, budaya, tradiri, kesenian dan sebagainya," katanya mengulas
mengenai program yang diadakan itu.
Manakala, Mohd Nasir pula menyifatkan program tersebut agak kompetitif namun ia memberi impak yang sangat baik.
"Sekali gus program seumpama ini membolehkan setiap rakyat melakukan aktiviti bersama keluarga, sanak saudara, juga bersama rakan-rakan.
"Melalui program ini menghasilkan satu aura dan semangat baru untuk melakukan rutin harian termasuk di bidang pekerjaan dengan lebih bersemangat," ujarnya.
05 Dec 21
1060
Pelancongan Sukan Terengganu Kembali Rancak
DUNGUN, 5 November – Sektor pelancongan bertemakan sukan atau ‘Sports-Tourism’ di Terengganu tetap rancak meskipun sedang mengharungi musim Monsun Timur Laut.
Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Fadli Yusof Zakaria berkata, pusat pelancongan rekreasi seperti kelab golf dalam negeri kini beroperasi sepenuhnya dengan maklumbalas pengusaha resort dan padang amat baik.
“Kebanyakkan padang golf juga ditempah penuh pada hujung minggu. Terengganu popular dengan padang-padang seperti di Kelab Golf Bukit Besi, Kelab Golf Dungun dan lain-lain lagi.
“Terengganu terkenal dengan musim monsun di Pantai Timur, ini kerana program dan sambutan memberangsangkan diterima dalam acara lain seperti 4x4 Challenge di Bukit Besi dan Explorace Terengganu Comel 2021 di Kuala Terengganu.
“Insya-Allah pada pertengahan bulan ini juga ada program ASEAN Monsoon Casting, dengan itu jumlah pelawat yang hadir sepanjang musim tengkujuh amat menggalakkan,” katanya ketika ditemu bual pemberita.
Beliau berkata demikian selepas program, Visit Beautiful Terengganu Golf Challenge 2021 di Kelab Golf Bukit Besi, semalam.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Tengku Seri Bijaya Raja Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil dan Pegawai Kewangan Negeri, Zainal Abidin Mohamed.
Sementara itu, Fadli menceritakan, penganjuran Visit Beautiful Terengganu Golf Challenge 2021 amat meriah dengan disertai oleh lebih 200 peserta dari serata negeri.
“Program selama dua hari ini adalah pertama kali diadakan sejak dua tahun disebabkan oleh pandemik COVID-19, Insya-Allah program tahunan ini dapat diteruskan pada tahun hadapan dengan lebih awal lagi,” katanya.
Dalam pada itu, Juara keseluruhan acara tersebut dimenangi oleh Shazwan Syakir Sobri dari Kedah yang membawa pulang sebuah trofi beserta sebuah televisyen.
05 Dec 21
840