Artikel "Semasa" Terkini
'Ini Bantuan Tahunan Pertama Saya Terima'
MARANG, 7 Disember – Senyuman jelas terukir pada wajah penerima Pencen Rakyat Warga Emas di Rhu Rendang setelah manifesto PAS pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) itu direalisasikan hari ini.
Seorang warga emas dari Kampung Sungai Kerak, Liong Ming Soon, 83, meluahkan rasa gembira atas sikap prihatin kerajaan kerana ia adalah bentuk bantuan tahunan pertama diberi kepadanya.
“Pencen pertama diberi kerajaan ini saya akan simpan untuk keperluan seperti membeli ubat dan keperluan harian.
“Terima kasih kepada kerajaan negeri, bagi kami orang miskin, wang ini tanda mereka jaga rakyat, hati pun suka,” katanya yang juga bekas penjual surat khabar kepada pemberita.
Sentimen sama turut disuarakan seorang datuk kepada 12 orang cucu, Ali Jambul, 71 yang menggambarkan keperluan bantuan tersebut terutamanya kepada golongan sepertinya yang tiada pencen.
“Dulu saya kerja sebagai tukang motor bot, dengan sumbangan RM300 ini saya amat berterima kasih kepada kerajaan negeri, sebelum ini belum pernah ada lagi,” jelasnya yang berasal dari Kampung Pantai Seberang Marang.
“Cukup suka, ini boleh menjadi sumber dapatan kewangan baru untuk keluarga kita,” luah Owi Seyu Huwa yang mewakili suaminya Lan See Sing dalam mengambil bantuan dana tersebut.
Katanya yang juga isteri kepada penjual ikan, manfaat tersebut akan digunakan sebaik mungkin dalam membayar kos ubatan serta keperluan harian buatnya dan suaminya yang sedang menghidap strok.
Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pelaksanaan pada tahun ini hanya melibatkan suku kedua, bermula Jun sehingga Disember atau sebanyak RM300 kepada 19,230 orang penerima dengan 404 orang di Rhu Rendang.
“Alhamdulillah, dengan pelaksanaan manifesto ini menjadikan 18 daripada 20 janji manifesto telah ditunaikan.
“Insya-Allah, dua lagi akan dilaksanakan dan dimasukkan dalam Belanjawan 2022 sekali gus menjadikan kesemua 20 janji manifesto akan direalisasikan,” ucapnya semasa Majlis Penyampaian Pencen Rakyat DUN Rhu Rendang di Dewan Majlis Daerah Marang (MDM), Kampung Paya, pagi tadi.
Terdahulu, seramai 19,230 warga emas berumur 60 tahun ke atas di negeri ini akan mula menerima bantuan Pencen Rakyat sebanyak RM300 seorang.
07 Dec 21
3116
Pembinaan Jambatan Baharu Marang Bermula Tahun Depan
MARANG, 7 Disember – Terengganu bakal memulakan projek pembinaan Jambatan Marang bagi mengelakkan masalah kesesakan, setelah usaha rundingan dengan Kerajaan Persekutuan membuahkan hasil.
Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, urusan di peringkat Kementerian Kerja Raya dan Kementerian Kewangan bagi projek jambatan yang dianggarkan bernilai RM400 juta itu telah selesai.
“Dokumentasi dan surat juga telah dihantar kepada syarikat yang dilantik bagi mengendalinya.
“Insya-Allah selewat-lewatnya Februari ketika musim monsun telah reda, kerja awal seperti pemecahan tanah boleh bermula.
“Kewujudan laluan ini amat penting bagi mengatasi kesesakan kenderaan kerana jambatan sedia ada ‘bottleneck’ daripada empat Lorong jadi sempit sedangkan ia adalah laluan utama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam merasmikan Jambatan Pulau Kekabu, di sini, pagi tadi.
Tambah beliau, kerajaan negeri sentiasa komited dan meneliti keperluan menaiktaraf jambatan baharu di laluan penting seperti jambatan Manir di Kuala Terengganu.
“Kami tidak nafikan laluan (jambatan Manir) itu penting, namun pihak kami menilai laluan mana memerlukan dan ingin didahulukan.
"Berbanding dengan jambatan baharu di Pulau Kekabu dengan kos RM1.38 juta, pelaksanaan projek bernilai ratusan juta perlu diperhalusi di peringkat negeri dan pusat,” katanya lagi.
07 Dec 21
1412
Jambatan Baru Pulau Kekabu Beroperasi , Kurangkan Kesesakan
MARANG, 7 Disember – Jambatan Baharu di Pulau Kekabu yang siap dibina sepenuhnya bakal membawa manfaat buat penduduk dan pengunjung dalam aspek pelancongan dan ekonomi selain mampu mengatasi masalah kesesakan.
Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kesesakan di laluan masuk iaitu jambatan lama Pulau Kekabu sebelum ini telah menimbulkan situasi yang kurang selesa bagi pengunjung.
“Pada tanggal 23 April 2019, saya telah mengumumkan berita gembira kepada warga setempat iaitu pembinaan jambatan baharu di Pulau Kekabu ini semasa merasmikan Hentian Bas Marang.
“Disiapkan pada 26 Oktober tahun ini dengan panjang 47.3 meter, projek ini adalah satu lagi usaha pihak kerajaan bagi menyediakan prasarana dalam usaha memberi keselesaan kepada penduduk setempat.
“Saya percaya Majlis Daerah Marang yang diberi mandat untuk membangunkan Taman Rekreasi Keluarga Pulau Kekabu ini merangka pelbagai cadangan ke arah memajukan lagi kawasan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam merasmikan Jambatan Pulau Kekabu, di sini, pagi tadi.
Turut hadir, YBM Tengku Seri Bijaya Raja Setiausaha Kerajaan Terengganu, ADUN Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong dan Pegawai Daerah Marang, Lizan Che Mat.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman menjelaskan, pembinaan bernilai RM1.38 juta itu akan membantu lagi Taman Rekreasi Keluarga Pulau Kekabu Marang.
“Kawasan ini telah menjadi satu fenomena baharu dan telah menjadi tarikan kepada pengunjung dari dalam dan luar negeri.
“Aktiviti rekreasi seperti joging, memancing dan sampan menarik pelancong sehingga 3,000 orang pada akhir minggu dan musim perayaan. Kini dua jambatan yang lebih selamat telah diwujudkan.
“Diharapkan agar keindahan ini tidak tercemar jika pengunjung tidak cakna kebersihan, saya menyeru agar kita bersama-sama kerajaan negeri, Pihak Berkuasa Tempatan serta Badan Bukan Kerajaan sama-sama menjaga imej negeri,” katanya lagi.
07 Dec 21
3834
TDM Ganding Bahu Bantu Golongan Memerlukan
DUNGUN, 7 Disember - Semua pihak termasuk badan-badan korporat seperti TDM Berhad digalak untuk terus berganding bahu membantu golongan yang memerlukan.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan Dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, tanggungjawab menjaga masyarakat dan kebajikan mereka tidak seharusnya dipikul oleh sesebuah organisasi sahaja, ia memerlukan komitmen dan usahasama semua lapisan masyarakat, sektor swasta, ahli akademik, masyarakat mahupun individu.
“Saya berharap sumbangan ini sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban mereka yang terjejas akibat wabak pandemik dan menjadi pemangkin kepada penglibatan orang ramai.
“Waktu kini adalah tempoh yang mencabar untuk semua orang, tetapi kita perlahan-lahan semakin pulih daripada kesan pandemik dan memacu perubahan ke arah memulihkan ekonomi tempatan," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis perasmian Program TDM Prihatin Mesra Komuniti di Dewan Balora, Bandar Al-Muktafi Billah Shah, semalam.
Turut hadir, Pengarah Eksekutif TDM, Najman Kamaruddin serta Ketua Pegawai Eksekutif TDMP, Hamdan Ibrahim.
Pada majlis itu, TDM turut memberikan sumbangan wang tunai serta barangan keperluan kepada 60 keluarga terpilih.
Sementara itu, Najman dalam ucapannya berkata, program yang bertemakan 'Mesra Komuniti' tersebut merupakan salah satu program CSR TDM untuk mendekati dan menjalin hubungan rapat bersama masyarakat.
"Program ini menjadi sebuah platform bagi syarikat untuk menghulurkan bantuan kepada mereka yang terkesan dan serta terjejas akibat pandemik COVID-19.
"Pihak kami berbesar hati dapat meneruskan penganjuran program 'TDM Prihatin', dimana kali ini di Kompleks Bukit Besi," ujarnya.
Jelas beliau, program tersebut walaupun tujuan utamanya untuk mendekati masyarakat, ia turut menyaksikan kakitangan Kumpulan TDM bekerjasama untuk membawa perubahan dan senyuman kepada komuniti yang hadir.
"Kira-kira 55 kakitangan daripada ibu pejabat TDM dan ladang TDMP hadir beramah mesra dan menyertai acara yang diadakan.
"Saya secara peribadi ingin merakamkan penghargaan kepada pasukan syarikat kerana berusaha keras untuk memberi impak positif kepada komuniti.
Saya berbangga melihat ramai warga kerja TDM yang meluangkan masa untuk berada di sini. Walaupun tujuan utama perlaksanaan program adalah untuk membantu kumpulan sasaran, saya dapat melihat ia secara tidak langsung memupuk dan menggalakkan nilai perpaduan, kerjasama, dan tolak ansur dalam kalangan kakitangan syarikat bersama masyarakat," tambahnya lagi.
Katanya, warga kerja TDM bersama peserta yang hadir berpeluang untuk bersuai kenal serta mengeratkan hubungan kebersamaan melalui pelbagai aktiviti yang telah disusun atur seperti “Smart Solat”, taklimat zakat oleh Pegawai Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) Kemaman, dan sukaneka.
"Setiap aktiviti dijalankan mengikut ketetapan prosedur operasi standard (SOP) dan garis panduan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mengekang penularan wabak COVID-19," ujarnya.
Katanya, program 'TDM Prihatin' syarikat, kali ini bersama komuniti daripada Kompleks Bukit Besi, khususnya berhampiran Ladang Gajah Mati, Ladang Majlis Agama Islam, Ladang Pinang Emas dan Ladang Jerangau.
07 Dec 21
531
Musim Tengkujuh : Penduduk Seberang Takir Dinasihat Terus Berwaspada
KUALA NERUS, 6 Disember – Penduduk Daerah Kuala Nerus terutama di Seberang Takir dinasihatkan untuk sentiasa berwaspada dengan sebarang potensi cuaca buruk ekoran musim tengkujuh yang sedang melanda.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kuala Nerus, Kapt.(PA) Zahidi Zainuddin, komuniti yang tinggal di kawasan yang berisiko banjir perlu sentiasa bersedia dengan apa jua keadaan yang bakal terjadi berikutan keadaan hujan yang berterusan baru-baru ini.
“Mohon penduduk yang tinggal di kawasan berisiko banjir untuk sentiasa memantau pergerakan ahli keluarga terutama kanak-kanak agar tidak mendekati kawasan seperti parit, sungai serta tempat-tempat takungan air.
"Pastikan juga dokumen penting disimpan di tempat tinggi serta selamat," ujarnya yang juga Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah tersebut.
Beliau turut menasihati agar sentiasa berhati-hati dengan kehadiran binatang berbisa yang mencari tempat perlindungan seperti di kawasan rumah dan juga di dalam rumah.
Tambahan lagi, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia, Terengganu menjangkakan episod hujan lebat berterusan bermula semula Khamis ini.
Sementara itu, Pegawai Penyelaras DUN Seberang Takir, Mohd Fadil Wahab turut menasihati penduduk Seberang Takir untuk sentiasa berhati-hati dan berwaspada dengan air pasang yang melanda akibat kehadiran musim tengkujuh ini.
“Saya nasihatkan supaya komuniti di sini elakkan terlalu leka dan jangan biarkan ahli keluarga untuk keluar bermain air di musim sekarang.
"Jika kita lihat kedudukan air laut dikeluarkan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Terengganu, paras air laut dilihat semakin naik ekoran cuaca sekarang," jelasnya.
Beliau turut menegaskan agar penduduk yang mengalami masalah dan musibah terus berhubung dengan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) setempat agar dapat dihulurkan bantuan untuk membantu mangsa.
Terdahulu, Seberang Takir merupakan antara kawasan yang mempunyai mangsa banjir yang paling ramai di daerah Kuala Nerus dan mereka ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) hingga cuaca kembali pulih.
06 Dec 21
943
107 Sertai 'Monsoon Fun Ride'
SETIU, 6 Disember : Seramai 107 peserta menyertai program Monsoon Fun Ride Permaisuri 2021 yang julung-julung kali diadakan itu.
Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kawasan Permaisuri, Zul Bhari A Rahman berkata, program yang menghimpunkan peminat sukan berbasikal itu wajar diadakan sebagai medan ukhwah mengeratkan silaturahim antara satu sama lain.
"Kita mengharapkan penganjuran seperti ini dapat diteruskan lagi di masa akan datang memandangkan ianya salah satu sukan yang dekat pada masyarakat disamping sukan lain," katanya ketika ditemui pada majlis perasmian penutup di Laman Seri Rhu 10.
Terdahulu, pelepasan program berbasikal itu disempurnakan oleh Pegawai Penyelaras DUN Permaisuri, Zul Bhari A Rahman dan Penolong Pegawai Daerah Setiu, Muhammad Maliki Md Jusoh.
Program yang bermula dari Kampung Guntung Luar menuju ke Laman Seri Rhu 10 sejauh hampir 20 kilometer itu tidak mematahkan semangat peserta walaupun dalam keadaan hujan.
Rata-rata peserta ditemui menyatakan keterujaan menyertai 'Monsoon Fun Ride' yang diadakan kali ini.
06 Dec 21
608
Banjir Di Terengganu Pulih Sepenuhnya
KUALA TERENGGANU, 6 Disember - Gelombang banjir pertama di Terengganu pulih apabila pusat pemindahan sementara (PPS) terakhir ditutup pada 12 tengah hari, hari ini.
Seramai 26 mangsa banjir daripada sembilan keluarga yang ditempatkan PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Atas Tol merupakan mangsa terakhir dibenarkan pulang sejak pagi tadi.
Berdasarkan rekod, kesemua mangsa banjir dari tiga buah kampung iaitu Kampung Bukit, Kampung Titian Baru dan Kampung Surau Panjang di Kuala Terengganu ditempatkan di PPS berkenaan yang mula dibuka Sabtu lalu.
Dalam pada itu, laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, paras air sungai di Terengganu turut menunjukkan trend penurunan apabila semua sungai kembali kepada paras normal.
Sebelum ini, empat sungai di negeri ini berada pada paras amaran manakala lima lagi berada pada paras waspada susulan hujan berterusan.
Terdahulu, gelombang pertama menyaksikan empat daerah di negeri ini terjejas apabila 224 mangsa daripada 75 keluarga di daerah Besut, Setiu, Kuala Nerus dan Kuala Terengganu dipindahkan ke 10 PPS.
06 Dec 21
768
Hotel, Taman Tema Tasik Kenyir Dijangka Beroperasi Tahun Depan
KUALA TERENGGANU, 6 Disember - Projek hotel di Pulau Poh, Tasik Kenyir yang tertangguh lama pembinaannya sebelum sebelum ini kini berada di landasan terbaik untuk beroperasi Jun 2022 apabila dijangka siap dibina pada akhir 2021.
Pengarah Eksekutif Terengganu Incorporated (Terengganu Inc), Burhanuddin Hilmi Mohamed@Harun berkata, pihaknya sedang menyediakan dokumen Permintaan Untuk Cadangan (RFP) bagi pemilihan syarikat berkelayakan sebagai pengurus pusat penginapan dengan 150 bilik tersebut.
“Di samping itu, kita juga akan membaik pulih taman tema air di tempat sama dengan kos tambahan sebanyak RM1.5 juta. Taman Tema ini akan menggabungkan konsep pusat penginapan dan rekreasi keluarga.
“Formula terbaik adalah dengan melantik satu syarikat pengurusan bagi hotel tiga bintang dan ‘waterpark’, namun kita akan meneliti pemilihan ini dengan senarai nama pemain industri yang kukuh bagi pengoperasian semula tasik kenyir dengan beberapa tarikan menarik.
“Kita juga memberi ruang kepada peniaga dalam negeri jika mereka ada cadangan yang baik, namun kita tekad dalam memastikan projek ini berjaya,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas program Hi-tea bersama Kumpulan Terengganu Inc, petang semalam.
Tambahnya, dengan penyiapan jambatan di Pulau Poh dan dua projek lain iaitu Marina Dome dan Hotel Pulau Poh akan memberi manfaat ekonomi buat komuniti setempat.
Tegas Burhanuddin, syarikat pegangan pelaburan kerajaan negeri tersebut komited dengan mandat kerajaan negeri bagi memastikan pembangunan di kawasan tersebut tidak terus diibaratkan seperti gajah putih.
“Kita telah bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi memastikan pasukan yang bakal mengendalikan pusat peranginan tersebut berkemahiran tinggi dalam bidang pengurusan yang sesuai, ini akan dicapai melalui pemilihan khusus kerana ia bukan perkara kecil,” katanya lagi
06 Dec 21
4428
52 Kelab Berentap Rebut Kejuaraan Cabaran Monsun Bukit Besi 4x4
Sebanyak 52 kelab melibatkan 190 peserta kembali berentap dalam Cabaran Monsun Bukit Besi 4x4 2021 selepas penganjuran pertamanya pada tahun 2018.
06 Dec 21
221
Qabil Muncul Juara Keseluruhan Junior SIC Ohvale
SEPANG, 6 Disember - Pelumba cilik Terengganu, Qabil Irfan Azlan sekali lagi membuktikan dia berada di kelas tersendiri apabila muncul juara keseluruhan bagi kelas 110cc Kejuaraan Junior SIC Ohvale 2021.
Kejayaan tersebut adalah dua kali berturut-turut setelah turut muncul juara SIC MiniGP tahun lepas, sebelum kejuaraan itu dijenamakan semula kepada Kejuaraan Junior SIC Ohvale.
Qabil bersama bapanya, Azlan Abd Rahman.
Pada pusingan kemuncak minggu ini, pelumba berusia sembilan tahun itu menguasai keempat-empat perlumbaan dan seterusnya menutup tirai kempen 2021 dengan 284 mata.
Berada di tempat kedua adalah rakan senegerinya, Adam Danial yang menamatkan kempen dengan 219 mata manakala Shah Putra melengkapkan podium di tempat ketiga, 167 mata.
Mengulas mengenai dua perlumbaan hari ini termasuk yang terakhir berlangsung dalam keadaan litar basah, Qabil berkata, saingan sedikit sukar berbanding biasa.
"Sedikit susah hari ini disebabkan hujan namun sebelum ini saya banyak melakukan latihan dalam keadaan hujan.
"Selain itu, tahun ini lebih susah berbanding tahun lalu kerana kali ini, pesaing ramai yang lebih laju," katanya seperti dilaporkan Berita Harian Online, semalam.
Qabil (nombor satu) dilihat pantas mendahului saingan
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah menerusi satu hantaran di Facebook turut mengucapkan tahniah buat pelumba cilik kebangaan negeri itu.
“Semoga kejayaan ini akan menjadi pembakar semangat buat pelumba-pelumba cilik Terengganu yang lain,” katanya.
Untuk rekod, Qabil daripada 12 perlumbaan musim 2021, Qabil meraih 11 kemenangan dan hanya sekali berada di tempat ketujuh pada Perlumbaan 2 Pusingan 4 di Litar Kart Antarabangsa Sepang, sebelum ini.
06 Dec 21
1208