lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Sambutan Ulang Tahun Pas ke-70 Di TTI Ahad Ini
Sambutan Ulang Tahun Pas ke-70 Di TTI Ahad Ini
KUALA TERENGGANU, 9 Disember - Kemuncak saambutan ulang tahun Pas ke-70 diadakan di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam (TTI) di sini, Ahad ini. Pengarah program, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, acara kemuncak dalam sambutan yang berlangsung dari pukul 2 hingga 6 petang itu ialah ucapan Presiden, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Timbalan Presiden, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man. Katanya, pengisian program dimulakan dengan ucapan Setiausaha Agung, Datuk Seri Takiyuddin Hassan disusuli kesemua pesuruhjaya Pas negeri-negeri. “Turut berucap ialah tiga Menteri Besar daripada Pas iaitu Datuk Ahmad Yakob, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan  Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor. “Acara diteruskan dengan ucapan wakil-wakil dewan dan sidang As-Sabiqun di samping penyampaian Anugerah Tokoh Istiqamah kepada lima penerima,” katanya dalam sidang akhbar secara dalam talian hari ini. Terdahulu, dalam Muktamar Pas Ke-67 bulan lalu, kepemimpinan parti memutuskan untuk mengadakan majlis sambutan ulang tahun ke-70 di negeri ini. Pas ditubuhkan secara rasmi pada 23 Ogos 1951 dan sambutan berkenaan dilihat signifikan bagi membuktikan parti itu kekal utuh sepanjang 70 perjuangannya dalam politik tanah air. – UTUSAN ONLINE
09 Dec 21
415
Orang Ramai 'Serbu' Kaunter Trafik
Orang Ramai 'Serbu' Kaunter Trafik
KUALA TERENGGANU, 9 Disember - Orang ramai mengambil peluang membayar saman trafik  apabila Polis Diraja Malaysia (PDRM) menawarkan pengurangan saman trafik terpilih sehingga 80 peratus bermula Khamis sehingga 12 Disember ini. Tinjauan mendapati orang ramai mula berbaris menunggu giliran untuk menyemak dan membayar saman sejak seawal 7.30 pagi walaupun kaunter hanya dibuka pada 9 pagi. Rata-rata yang ditemui berkata  langkah itu mampu mengurangkan sedikit beban, khususnya yang terjejas pendapatan atau kehilangan pekerjaan akibat pandemik COVID-19, selain golongan B40. Bagi  Umi Kalsom Ismail, 34, dar Kuala Terengganu berkata  dia menyambut baik inisiatif PDRM itu bagi melunaskan  saman trafik atas namanya sejak beberapa tahun lalu. "Oleh sebab sentiasa menangguhkan bayaran saman kerana kekangan masa dan wang menyebabkan jumlah saman meningkat dan sekali lagi menyukarkan untuk menjelaskannya lebih-lebih lagi keadaan sekarang. "Bila PDRM umum tentang potongan diskaun sehingga 80 peratus, sudah tentu bagi mereka yang mempunyai saman trafik tertunggak, ini peluang terbaik untuk menyelesaikan semua saman ini," katanya yang mengetahui mengenai potongan saman terbabit melalui media sosial. Terdahulu, Pengarah Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mat Kasim Karim berkata, diskaun tersebut diberikan sempena 100 hari Aspirasi Keluarga Malaysia yang akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. "Pengurangan kompaun tidak ditawarkan bagi kesalahan kemalangan, memotong secara berbahaya, menggunakan lorong kecemasan, tidak patuh isyarat lampu merah dan memotong di garisan berkembar," katanya dalam kenyataan pada Rabu.  
09 Dec 21
973
300 Hektar Tanah Terbiar Berjaya Dibangunkan
300 Hektar Tanah Terbiar Berjaya Dibangunkan
KUALA TERENGGANU, 9 Disember - Sebanyak 300 daripada 8,000 hektar  projek pemulihan tanah terbiar berjaya dibangunkan dibawah Pelan Strategik Pertanian Negeri Terengganu 2019-2023. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim, berkata ia membabitkan tiga projek utama pertanian dan beberapa projek berskala kecil. "Tiga projek utama itu melibatkan penanaman nanas MD2 di Kampung Pak Kancil, Setiu sebanyak 140 hektar, Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Pengkalan Aman, Setiu(mangga harum manis seluas 40 hektar) dan penanaman durian jenis Musang King di RTB Kampung Rahmat seluas 60 hektar. "Selebihnya berbentuk projek berskala kecil melibatkan tanaman kontan seperti tembikai, labu dan jagung yang diusahakan secara individu," katanya kepada pemberita. Azman juga mensasarkan 10 hingga 20 peratus daripada keseluruhan 8,000 hektar tanah terbiar dapat dipulihkan seperti yang dirancang.
09 Dec 21
568
Program Anak Susuan Patuh Syariah Dalam Kajian
Program Anak Susuan Patuh Syariah Dalam Kajian
KUALA TERENGGANU, 8 Disember- Kerajaan negeri menerusi portfolio Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri menjelaskan bahawa cadangan melaksanakan program Anak Susuan Patuh Syariah masih dalam peringkat kajian terperinci oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Negeri Terengganu (JHEAT). Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, JHEAT akan mencari solusi terbaik bagi memastikan program itu berjaya dilaksanakan.  “Memang terdapat permintaan terhadap program ini, bagaimanapun ianya masih di peringkat kajian JHEAT. “Apabila kajian dan lain-lain selesai, Insyaallah program ini dapat dilaksanakan,” ujarnya kepada pemberita ketika ditemui pada program penyerahan sumbangan Kumpulan Ketengah Holding Sdn. Bhd. dan Ketengah Jaya Sdn Bhd kepada Tabung Darul Iman di Wisma Darul Iman, semalam. Hanafiah dalam laporan media sebelum ini memberitahu, ibu susuan bakal menjadi cabang kerjaya khusus kepada ibu-ibu yang tidak bekerja setelah kerajaan Terengganu memperkenalkan program Anak Susuan Patuh Syariah. Katanya,  program kali pertama di Terengganu itu akan dilaksanakan bagi membantu ibu-ibu bekerja menyusu bayi mereka dalam masa yang sama membantu ibu-ibu yang tidak bekerja. Katanya, hal itu penting memandangkan tempoh usia enam bulan pertama bayi perlu mendapatkan penyusuan eksklusif daripada air susu ibu (ASI) malah ia juga telah dipraktikkan sejak zaman Rasulullah SAW. “Ramai ibu-ibu bekerjaya yang tiada masa memberikan bayi mereka ASI. Ada yang turun dari rumah jam 7 pagi pulang jam 6 petang. “Jadi, ini adalah berita gembira buat ibu bekerjaya dan juga wanita yang tidak bekerjaya namun mampu memberikan ASI dengan memenuhi kriteria seperti sihat tubuh badan dan telah berkahwin. “Ibu-ibu yang memenuhi syarat yang ditetapkan akan ditempatkan di satu tempat khas untuk menyusu,” jelasnya.  Bagaimanapun katanya, rekod penyusuan perlu diteliti dan disimpan dengan baik bagi mengelak berlakunya perkahwinan sesama adik-beradik susuan. “Ini merupakan perkara pokok bagi membendung berlakunya gejala perkahwinan sesama saudara susuan ekoran salah faham berkaitan anak susuan dan ketiadaan rekod antara anak dan ibu susuan,” katanya. Beliau berkata, sebagai permulaan program itu akan digerakkan dengan kolaborasi Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) bersama kumpulan penyelidik Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan turut mendapat kerjasama daripada Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT). Katanya, penyelidikan itu dijalankan di bawah geran penyelidikan FRGS: Pembinaan Model Pengurusan Pensijilan dan Dokumentasi Anak Susuan Patuh Syariah serta SIG Penyusuan Susu Ibu Patuh Syariah bagi membentuk kaedah persijilan dan dokumentasi anak susuan patuh syariah. Menurutnya, projek itu akan diketuai Ketua Penyelidik iaitu Pensyarah Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Dr Siti Fatimah Salleh.
09 Dec 21
443
Pelumba TSG Juara Keseluruhan Di Jelajah Thailand
Pelumba TSG Juara Keseluruhan Di Jelajah Thailand
KUALA TERENGGANU, 8 Disember - Pasukan Terengganu Cycling Team (TSG) berjaya merangkul gelaran pelumba terbaik keseluruhan menerusi pelumbanya Jambaljamts Sainbayar. Atlet berbasikal berbangsa Mongolia itu berjaya menyarung jersi kuning setelah mengekalkan prestasi sejak hari pertama, meskipun menamatkan kayuhan terakhir di tempat kedua. Pada perlumbaan peringkat keenam, Adne van Engelene dari Bike Aid muncul tempat pertama dengan catatan masa 3 jam 45 minit 16 saat sementara Sarawut Sirironnachai mewakili Thailand Continental Cycling Team di kedudukan ketiga ( 3 jam 45 minit 51 saat). Bagi kategori pasukan terbaik pula dimenangi oleh Bike Aid manakala TSG berada di kedudukan kedua dan Team Sapura Cycling ketiga. Jersi Hijau pula dimenangi oleh pelumba Bike Aid Lucas Carstensen manakala Engelene mengungguli sebagai Raja Bukit (Jersi Polka Dot). Dalam pada itu, Jambaljamts berkata, dia berpuas hati dengan kerjasama semua pihak untuk memperoleh keputusan positif dalam perlumbaan Jelajah Thailand. "Perlumbaan yang cukup mencabar namun saya berterima kasih kepada pasukan, rakan dan juga penaja yang sentiasa memberikan sokongan sepanjang tempoh perlumbaan," katanya seperti dilaporkan Harian Metro, baru-baru ini. Sementara itu, rakan sepasukannya, Nur Amirullah Fakhruddin Mazuki lega dengan kemenangan itu sekali gus menyaksikan strategi yang diterapkan sepanjang tempoh perlumbaan membuahkan hasil. "Syukur Alhamdulillah, perlumbaan terakhir rakan sepasukan dapat memenangi Jersi Kuning. Ini adalah hasil daripada taktik berkesan untuk memperoleh kejayaan itu," jelasnya. Untuk pengetahuan, Jelajah Thailand edisi 2021 menawarkan hadiah secara keseluruhan mencecah setengah juta ringgit dengan pasukan Bike Aid mendominasi wang kemenangan itu apabila memperoleh kira-kira RM115,000.
08 Dec 21
1054
KHSB, Ketengah Jaya Salur Sumbangan RM250 Ribu Kepada Tabung Darul Iman
KHSB, Ketengah Jaya Salur Sumbangan RM250 Ribu Kepada Tabung Darul Iman
KUALA TERENGGANU, 8 Disember- Kumpulan Ketengah Holding Sdn. Bhd. (KHSB) dan Ketengah Jaya Sdn Bhd menerusi inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) menyalurkan sumbangan bernilai RM250,000 kepada Tabung Darul Iman. Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KHSB, Mohd. Zaid Sulaiman berkata, pemberian sumbangan hasil keuntungan perniagaan anak-anak syarikat itu bagi membantu meringankan beban rakyat terutamanya yang ditimpa musibah, menghidap penyakit kronik dan yang memerlukan bantuan perubatan. “Kita serahkan sumbangan sebanyak RM250,000 kepada Tabung Darul Iman untuk disalurkan kepada mereka yang memerlukan. “Sumbangan ini merupakan inisiatif CSR kita pada setiap tahun dengan jumlah tertentu mengikut keuntungan yang diperoleh,” ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada majlis penyerahan replika cek tersebut oleh Mohd Zaid kepada Pengerusi Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat yang mewakili Tabung Darul Iman. Turut hadir, Pengerusi KHSB, Mohd Yusof Majid. Sementara itu, Hanafiah merakamkan ucapan terima kasih kepada KHSB dan Ketengah Jaya Sdn Bhd yang sentiasa prihatin terhadap rakyat yang memerlukan bantuan. “Semoga Ketengah sentiasa memperoleh keuntungan dan dapat menyalurkan sumbangan kepada lebih ramai lagi selepas ini,” ujarnya.  
08 Dec 21
682
1,214 Hektar Tanah Terbiar Di Setiu Diteroka Secara Haram
1,214 Hektar Tanah Terbiar Di Setiu Diteroka Secara Haram
KUALA TERENGGANU, 8 Disember - Lebih 1,214 hektar tanah kerajaan di Setiu diteroka secara haram oleh pihak tidak bertanggungjawab dengan sebahagian besarnya melibatkan aktiviti penanaman kelapa sawit. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, ia diteroka secara haram sejak 15 tahun lalu . Katanya, walaupun inisiatif penyelesaian sudah digerakkan bermula 2018, namun berdepan laluan sukar berikutan timbul pelbagai isu.  “Kerajaan negeri telah menyediakan pelan penyelesaian bagi merungkai isu lapuk ini, malah saya tiada masalah untuk berdepan atau berbincang secara baik dan harmoni dengan peneroka. “Kita tidak bercakap dalam topik penguatkuasaan atau pendakwaan, tetapi bagaimana ruang peraturan dan undang-undang sedia ada boleh dimanfaatkan untuk membuka jalan supaya yang haram boleh dihalalkan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. Azman berkata, penyelesaian isu itu bakal membolehkan kedua-dua pihak mendapat manfaat kerana rakyat boleh terus mencari rezeki manakala kerajaan negeri sebagai tuan tanah pula mendapat hak yang sepatutnya.  Dalam pada itu, beliau berkata, isu pensijilan Sijil Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) sebagai syarat kepada pekebun menjual sawit mereka bermula tahun depan akan dapat diselesaikan dengan penyelesaian status tanah. “Sekali gus mampu menarik peneroka haram untuk menyelesaikan isu tanah berkenaan kerana untuk dapat sijil MSPO, status tanah yang diusahakan mesti 'halal’,” ujar Azman.  
08 Dec 21
696
Villapadu Desa Janjikan Percutian ‘Ala Kayangan’ Di Terengganu
Villapadu Desa Janjikan Percutian ‘Ala Kayangan’ Di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 8 Disember - Ingin merasai pengalaman bercuti di villa yang  mewah dan privasi umpama berada di rumah sendiri dan jika itu yang diimpikan maka anda boleh merasainya di Villapadu Desa di Kampung Seberang Baruh, di sini Pastinya rumah yang lengkap dengan set BBQ, peralatan rumah yang hebat dengan suasana yang eksklusif, ibarat anda pulang ke kampung halaman sendiri.  Paling menarik adalah sudah pasti landskapnya yang cukup cantik menghijau sambil bunyi air di kolam renang yang tenang menambahkan lagi perasaan bercuti yang bebas tanpa gangguan. Menurut pemiliknya, Zulhisham Ayob,61, idea penataan landskap dan seni bina keseluruhan vila berkenaan dirancang rapi supaya keindahan alam semula jadi di sekitarnya dapat dinikmati tetamu sepanjang masa. “Apabila lokasi penginapan terletak di dalam kampung, sudah tentu tetamu yang bakal tiba membayangkan panorama unik dengan idea binaan menarik, bilik selesa dan sedap mata memandang. “Mengambil kira keperluan itulah landskap tropika cuba diketengahkan selari dengan keadaan asal tanah ini yang kaya dengan tumbuh-tumbuhan hijau,” kata bapa kepada lapan anak yang berpandangan jauh itu. Berpegang teguh untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan dan berfungsi sebagai penginapan mewah yang mampu menyaingi mana-mana hotel lima bintang di luar jangkaan mereka, sebaik sahaja mereka mendaftar masuk. Bermula dengan harga RM2,000 semalam, terdapat tiga bilik tidur utama yang mampu memuatkan 10 orang dewasa termasuk tiga kanak-kanak. Katanya, dengan pakej yang ditawarkan walaupun bersifat ‘premium’ namun dijanjikan kepuasan berganda kepada mereka yang membelinya. “Setiap pelanggan utamakan kebersihan, saluran paip yang terkemuka, katil yang selesa, penghawa dingin yang berfungsi, dapur yang serba lengkap, lokasi yang strategik, perkhidmatan pelanggan yang baik, sambungan internet, kemudahan hiburan dan perkhidmatan tambahan . “Jadi kenapa saya tidak boleh menawarkan tetamu semua keselesaan  yang mereka harapkan daripada percutian kelas pertama dan menjadikan Terengganu sebagai destinasi pelancongan yang hebat dengan perkhidmatan yang baik daripada penduduk tempatan,” tambah bekas bos Pakar Media dan pengasas Oranje-ISC, salah satu agensi media dan pemasaran yang paling berjaya di Malaysia. Satu pengalaman yang menakjubkan jika anda dapat berkunjung ke sini malah satu tempat yang sangat menarik dan sesuai untuk anda sekeluarga.  Apa yang penting, anda perlu tahu bahawa pengalaman, ketenangan dan kepuasan hati adalah jauh melampaui dari wang ringgit. Jadi jangan terlalu berkira untuk "hadiahkan" diri anda dan keluarga anda dengan percutian! Empat hartanah di Kuala Terengganu, semuanya miliknya, kini menjadi tapak homestay vila mewah,yang membawa anda kembali kepada ke pangkuan desa dan alam menghijau tetapi lebih istimewa, dengan suasana yang lebih bergaya dan elegan. Sebuah rumah kampung lama, telah diubah suai menjadi sebuah vila yang indah di bawah jenama Villapadu, dua lagi hartanah, satu di sepanjang Sungai Terengganu dan satu lagi di tepi laut, hampir siap sementara satu lagi masih dalam pembinaan di Kampung Kubang Parit. “Ia bukan sekadar mempunyai harta untuk disewa, ia tentang memberikan segala-galanya kepada pelanggan,” ujarnya.
08 Dec 21
5024
Covid-19 : Terengganu Catat Kes Kematian Tertinggi
Covid-19 : Terengganu Catat Kes Kematian Tertinggi
PUTRAJAYA , 8 Disember- Terengganu mencatatkan kematian tertinggi berbanding negeri lain dengan 12 kes dilaporkan, daripada jumlah keseluruhan 66 kes kematian Covid-19 di seluruh negara. Menurut data pada laman web CovidNow, angka tersebut menjadikan jumlah kematian terkini sebanyak 30,718 kes serta tiada kematian dilaporkan dalam tempoh 24 jam semalam. “Sebanyak sembilan kes meninggal dunia di luar hospital atau brought-in-dead (BID) dengan jumlah kes BID di Malaysia sebanyak 6,216 kes,” demikian maklumat tersebut di sini hari ini. Negeri-negeri lain yang merekodkan kematian ialah di Selangor (11), Kedah (8), Perak (7), Pulau Pinang (6), Sabah (5), Negeri Sembilan (4), Kuala Lumpur (3), Johor (3), Sarawak (2), Pahang (2), Kelantan (2) dan Melaka (1) serta tiada kematian di Perlis, Labuan dan Putrajaya. Terdapat 60,411 kes aktif melibatkan 49,279 kes dikuarantin di rumah, 5,875 kes di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC), 4,820 kes di hospital, 197 kes di Unit Rawatan Rapi (ICU) tanpa bantuan pernafasan dan 240 kes di ICU dengan bantuan pernafasan. Sebanyak 4,965 kes harian semalam disumbangkan oleh Selangor (1,196 kes), Kelantan (573 kes), Johor (438 kes), Pulau Pinang (388 kes), Kuala Lumpur (380 kes), Kedah (365 kes), Pahang (363 kes), Sabah (307 kes), Terengganu (219 kes), Negeri Sembilan (212 kes), Sarawak (71 kes), Melaka (181 kes), Perak (170 kes), Perlis (46 kes), Putrajaya (33 kes) dan Labuan (23 kes). -K! ONLINE
08 Dec 21
3117
Tradisi Lumba Perahu Gamit Kembali Budaya Terengganu
Tradisi Lumba Perahu Gamit Kembali Budaya Terengganu
KUALA NERUS , 8 Disember - Selepas 30 tahun hilang dalam budaya masyarakat Terengganu, tradisi lumba perahu kini diperkenalkan semula oleh Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Tanjung Sabtu kepada golongan muda dan dewasa. Program ini telah menarik peminat dari kalangan golongan remaja dan dewasa sekaligus mengeratkan lagi silaturahim antara penduduk kampung bersama barisan JPKK dengan kemeriahan sambutan yang sangat menggalakkan.  Mewakili Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, Abdullah Amir Zabudin berkata, program tersebut telah menarik peminat dan sambutan yang sangat menggalakkan. Menurutnya, program sebegini diharap dapat diteruskan lagi pada masa-masa akan datang dalam memelihara tradisi lumba perahu, warisan zaman berzaman demi generasi seterusnya. “Penganjuran program seperti ini memberi kebaikan dalam mengekalkan tradisi kita sebagai rakyat Terengganu disamping mengeratkan hubungan antara penduduk kampung yang lain. “Insya-Allah kerjasama akan sentiasa dihulurkan oleh Pihak Parlimen Kuala Nerus demi kebaikan dan kemakmuran rakyat khususnya di daerah ini,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini. Menurutnya lagi, lumba perahu menggunakan perahu kayu telah terhenti sejak tahun 1986, iaitu kira-kira 33 tahun selepas ia digantikan dengan perahu gentian kaca. Dalam pertandingan lumba perahu tersebut, pasukan dari Kampung Buluh Gading telah mendahului tiga pasukan lain dan berjaya membawa pulang RM600 beserta pingat. Manakala, pasukan Tanjung Sabtu telah meraih tempat kedua diikuti Petai Bubus di tempat ketiga dan Jeram di tempat keempat, masing-masing membawa wang tunai RM480, RM360, RM240 beserta pingat. Turut hadir menyempurnakan majlis tersebut, Ketua Penolong Pengarah (Pembangunan Produk) Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Fathil Abd Ghani dan Penolong Pengarah Jabatan Korporat, Kemasyarakatan dan Kualiti, Mohd Saiful Bahari Ramli. 
08 Dec 21
2043