lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Bayar Saman, Jangan Tunggu Saat Akhir
Bayar Saman, Jangan Tunggu Saat Akhir
KUALA TERENGGANU, 14 Disember - Orang ramai dinasihatkan untuk tidak menunggu saat akhir untuk membayar saman kesalahan trafik bagi mengelakkan berlaku kesesakan di kaunter pembayaran susulan pengumuman lanjutan tempoh diskaun bagi pembayaran saman berkenaan.  Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Terengganu, Superintendan Ismail Man berkata  lanjutan tempoh potongan 80 peratus harga saman sehingga 31 Disember ini adalah bertujuan mengelak daripada orang ramai beratur panjang dan berlaku kesesakan di kaunter. “Oleh itu, PDRM meminta orang ramai tidak menunggu saat akhir untuk melunaskan bayaran berkenaan.Ambillah peluang dan kesempatan ini untuk melunaskan saman dalam keadaan selesa, tidak perlu beratur panjang. “Rancang pembayaran saman mengikut kemampuan anda sama ada di kaunter mahu pun secara dalam talian atau di mesin pengeluaran wang (ATM) Maybank,” katanya. Beliau berkata demikian ketika mengulas tentang lanjutan tempoh potongan harga saman trafik yang diumumkan kerajaan menyebabkan kaunter pembayaran di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu, di sini, lengang. Tidak sebagaimana dalam tempoh empat hari baru-baru ini, , kaunter bayaran penuh sesak menyebabkan orang ramai terpaksa beratur panjang untuk membuat bayaran kerana tidak mahu terlepas peluang dengan potongan harga yang diberikan. Dalam tempoh tersebut, Polis Kontinjen Terengganu berjaya membuat kutipan bayaran saman sebanyak RM6.09 juta membabitkan 371,042 saman di kaunter bayaran di seluruh kontinjen negeri.  
14 Dec 21
694
Amaran Hujan Berterusan Di Terengganu Sehingga Khamis
Amaran Hujan Berterusan Di Terengganu Sehingga Khamis
KUALA TERENGGANU, 14 Disember – Setelah melalui fasa cuaca tenang baru-baru ini, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) kembali mengeluarkan amaran hujan berterusan kategori waspada di Terengganu bermula hari ini. Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Muhammad Helmi Abdullah, berkata sistem cuaca tekanan rendah yang terbentuk di perairan barat Sarawak dijangka bergerak ke arah barat menghampiri kawasan perairan Kelantan, Terengganu dan Pahang 15 Disember ini. Katanya, sistem itu dijangka merentasi kawasan utara Semenanjung menuju ke Laut Andaman pada 17 Disember ini. "Keadaan ini menyebabkan peningkatan kelembapan dan hujan lebat berterusan di kebanyakan kawasan di Pantai Timur serta risiko kenaikan paras laut,” katanya dalam satu kenyataan. Beliau berkata, angin bertiup dari arah Timur Laut dijangka berpotensi membawa hujan berterusan dan angin kencang yang boleh menyebabkan banjir di kawasan berkedudukan rendah di beberapa kawasan terbabit. Jelasnya, pihaknya mengeluarkan Amaran kategori dua (angin selaju 50-60 kilometer sejam dan ombak setinggi 3.5-4.5 meter) di negeri ini. "Bagi negeri pantai timur itu, amaran waspada akan berkuat kuasa sehingga Khamis ini," katanya lagi.
13 Dec 21
1750
PDRM Terengganu Rekod Kutipan Saman Lebih RM 6 Juta
PDRM Terengganu Rekod Kutipan Saman Lebih RM 6 Juta
KUALA TERENGGANU, 13 Disember - Polis Diraja Malaysia (PDRM) Terengganu merekodkan kutipan lebih RM6.09 juta bayaran saman menerusi tawaran diskaun saman trafik sempena program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia yang bermula sejak Khamis lalu. Ketua Polis Negeri, Dato Rohaimi Md Isa berkata  nilai kutipan itu membabitkan jumlah saman sebanyak 371,042 yang berjaya dilangsaikan bermula 9 Disember sehingga semalam. “Sejumlah 32,129 orang pengunjung telah hadir membuat bayaran di kaunter bermula dari hari pertama pelaksanaan sehingga kaunter ditutup pada jam 6.00 semalam,”ujarnya dalam satu kenyataan. Rohaimi turut menasihati orang ramai agar membuat perancangan untuk menyelesaikan saman trafik dan tidak menunggu pada saat akhir agar tidak berlaku kesesakan semasa mengunjungi kaunter saman kelak. Dalam pada itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani turut mengumumkan tempoh diskaun bagi pembayaran saman trafik akan dilanjutkan sehingga 31 Disember ini. Lanjutan dilakukan bagi memberi peluang kepada orang ramai mengambil sedikit masa menyelesaikan saman tertunggak selain mengelakkan kesesakan di kaunter-kaunter bayaran saman. Pengurangan kompaun 80 peratus dengan had minima RM30 itu tidak termasuk bagi kesalahan kemalangan, memotong secara berbahaya, menggunakan lorong kecemasan, tidak patuh isyarat lampu merah dan memotong di garisan berkembar. Kesalahan yang dikategorikan tidak boleh kompaun (NC), berstatus berkaitan kenderaan berat dan pengubah suaian ekzos kenderaan turut ditawarkan pengurangan.
13 Dec 21
843
Kos Haji Tidak Bebankan Jemaah
Kos Haji Tidak Bebankan Jemaah
MARANG, 12 Disember- Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad memberi jaminan, penetapan kos ibadah haji bagi musim ini tidak akan membebankan jemaah dan pada masa yang sama masih menjaga kepentingan pendeposit lain. Katanya, keputusan mengenai sama ada berlakunya kenaikan kos pelaksanaan ibadah haji bagi musim ini atau tidak susulan peningkatan kos semasa akan diputuskan Kabinet selewat-lewatnya, Januari depan. “Kos haji belum lagi kita muktamadkan, insya-Allah apa yang kita akan putuskan adalah situasi menang-menang supaya tidak membebankan kedua-dua pihak iaitu jemaah dan pendeposit Tabung Haji (TH),” ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada program Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Peduli : Musa'adah Asnaf di Masjid Padang Mengkuang, di sini, hari ini. Kata Idris, TH memperuntukkan kos sehingga RM400 juta bagi menampung kos subsidi jemaah dan adalah wajar juga untuk memastikan kepentingan pendeposit diambil kira. Sementara itu, megulas mengenai program tersebut katanya, bantuan yang disampaikan kepada 80 keluarga terpilih di kawasan masjid terbabit merupakan satu usaha yang berterusan pihak YADIM. Jelas beliau, program berkenaan merupakan salah satu inisiatif pihaknya untuk membantu asnaf dan mualaf yang terkesan akibat pandemik COVID-19 serta mereka yang dikenalpasti memerlukan bantuan.  
12 Dec 21
446
YADIM Peduli : 30 Asnaf Di Seberang Takir Dibantu
YADIM Peduli : 30 Asnaf Di Seberang Takir Dibantu
KUALA NERUS, 12 Disember - Sejumlah 30 penerima diringankan beban menerusi Program "YADIM Peduli" anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dengan kerjasama Masjid Tok Jembal, Seberang Takir. Program tersebut bertujuan untuk menyedarkan Masyarakat terhadap kepentingan saling bantu membantu terutama sesama Muslim bagi melahirkan tamadun manusia Islam yang saling peduli antara satu sama lain.  Majlis tersebut yang dihadiri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), sebagai Penceramah Subuh Khas yang turut dihadiri oleh para penerima sumbangan yang terdiri daripada golongan sasar. Dalam ceramah Subuh tersebut, Idris turut menekankan akan fitrah kejadian manusia yang terdiri dari kaya dan miskin serta Islam tidak pernah membandingkan kedudukan manusia melalui apa yang ada pada mereka.  "Islam menganjur umatnya yang kaya untuk mengambil peduli kepada yang miskin serta meraikan fitrah ada yang kaya dan ada yang miskin" ucap beliau semalam. Tambah beliau lagi, ajaran islam bertentangan sistem sosialis yang menghendaki rakyatnya hidup tarafnya sama rata sama ada semua rakyat perlu miskin, atau semua rakyat perlu kaya kerana ianya akan menimbulkan kesusahan pada masa akan datang.  Sementara itu, Penyelaras DUN Seberang Takir, Mohd Fadhil mengucapkan berbanyak terima kasih kerana sudi berkunjung ke Seberang Takir. "Apa yang disarankan oleh YB Senator dalam kuliahnya, beliau akan cuba sedaya upaya membasmi kemiskinan" ujarnya. Beliau yang juga Pengerusi Masjid Tok Jembal turut berterima kasih kepada pihak YADIM dan dan Menteri Hal Ehwal Agama atas kesudian menghadiri dan menyerahkan sumbangan kepada penduduk asnaf di kawasan itu.
12 Dec 21
432
Kuala Nerus Lakukan Persiapan Rapi Hadapi Banjir
Kuala Nerus Lakukan Persiapan Rapi Hadapi Banjir
KUALA NERUS, 11 Disember – Kuala Nerus telah menjalankan persediaan rapi bagi menghadapi sebarang kemungkinan banjir yang akan berlaku di kawasan itu. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal, Dr Alias Razak berkata, persediaan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah dijalankan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan di peringkat DUN-DUN masing-masing. “Menerusi Pejabat Daerah Kuala Nerus yang telah bermesyuarat, peralatan dan jentera bagi menangani bencana tersebut di dalam keadaan terbaik. “Antara kawasan dikenalpasti seperti di Seberang Takir dan Tepoh, pada 2 Disember hujan lebat berterusan menyebabkan Kampung Alor Damat dilanda banjir kilat (sempadan Tepoh-Batu Rakit) menjejaskan lima buah rumah di dalam perkampungan tersebut menyebabkan 25 penduduk dipindahkan ke PPS. “Jika ditakdirkan kita mengharungi musim banjir, maka pihak kami telah menyediakan payung sebelum hujan,” katanya juga Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri dalam satu kenyataan semalam. Terdahulu, gelombang pertama menyaksikan empat daerah di negeri ini terjejas apabila 224 mangsa daripada 75 keluarga di daerah Besut, Setiu, Kuala Nerus dan Kuala Terengganu dipindahkan ke 10 PPS.
11 Dec 21
387
'Kita Semua Satu Keluarga' -Yang Dipertua DUN
'Kita Semua Satu Keluarga' -Yang Dipertua DUN
Oleh : Rohayati Ripin SETIU, 11 Disember - Semua kakitangan yang berkhidmat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu diibaratkan sebagai satu keluarga yang membawa kepada kecemerlangan institusi tersebut. Yang Dipertua DUN Terengganu, Dato' Haji Yahaya Ali berkata, kekuatan itu diterjemahkan kesungguhan kerja dalam bahagian dan bidang masing-masing. "Kita semua adalah satu keluarga yang mana setiap seorang daripada ahli keluarga itu mempunyai kekuatan tersendiri. "Kesungguhan, kegigihan dan iltizam adalah bermula daripada mereka yang merupakan keutamaan kita," jelasnya. Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis Makan Malam Hari Keluarga DUN di Sutra Beach Resort, Setiu, pada semalam. Menurutnya, walau sesibuk mana sekalipun keluarga adalah tempat untuk bina kekuatan dalam meneruskan tanggungjawab. "Saya nampak hubungan kekeluargaan sesama pegawai semakin hari semakin kukuh. Kita boleh bentuk satu suasana kerja berpasukan.  "Tinggal lagi bagaimana kita nak pertingkatkan lagi kerja berpasukan. Kita juga dapat teruskan program usrah yang saya  yakin sedikit sebanyak beri manfaat dalam kita memahami tanggungjawab kita," ujar beliau. Dato' Yahaya menambah, pentingnya bina tiga prinsip iaitu mengenali, kesefahaman dan keseimbangan di kalangan ahli  kakitangan dan keluarga agar boleh nikmati bersama hasilnya. "Pentingnya pembinaan keluarga  dengan maksud kita mesti kenal sesama kita bukan sekadar kenal nama tapi kenal lebih mendalam lagi, keluarga, masalah dan apa yang suka dan tak suka. "Yang kedua suatu persefahaman  yang diasaskan kepada agama kita iaitu bagaimana sesama kita mempunyai sikap kefahaman yang sama untuk sama-sama menjunjung  tanggungjawab sebagai seorang Islam. "Keseimbangan dalam kalangan pegawai kita dan  keluarga masing-masing supaya tidak ada kalangan ahli keluarga ini yang terbiar dan terpinggir," katanya lagi. Justeru itu, beliau berharap dengan kehadiran ahli keluarga dapat memberi Inspirasi untuk terus berjaya pada masa akan datang.
11 Dec 21
249
Sukarelawan Jabatan Amal Terima Anugerah Wira Perdana
Sukarelawan Jabatan Amal Terima Anugerah Wira Perdana
KUALA NERUS, 10 Disember – Atas jasa kesukarelawanan, Bekas Pengarah Jabatan Amal Negeri Terengganu, Sauji Abd Rasid diumumkan sebagai penerima Anugerah Wira Perdana sempena Sambutan Hari Sukarelawan Peringkat Negeri Terengganu 2021. Beliau telah bergiat aktif dalam Badan Bukan Kerajaan (NGO) seperti Persatuan Amilin Amal Terengganu dan sebagai sukarelawan Yayasan Amal serta telah menabur bakti di dalam misi kemanusiaan dalam dan luar negara. “Boleh dikatakan saya hidup mati dengan Jabatan Amal, walaupun tidak mampu menolong dari segi kewangan, namun kami infaqkan tubuh dan tenaga bagi membantu masyarakat. “Alhamdulillah, bila dapat anugerah ini saya bersyukur, sebelum ini kerja kebajikan saya tidak meminta sebarang balasan dan biar Allah menilai, tapi terus doakan kami agar terus istiqamah berbakti kepada komuniti,” katanya. Beliau berkata demikian selepas Majlis Sambutan Hari Sukarelawan Peringkat Negeri Terengganu di Pusat Konvensyen Raia Hotel, malam semalam. Sementara itu, penerima Anugerah Wirawati Perdana, Azizah Mahmood yang menyifatkan pengiktirafan tersebut sebagai anugerah daripada Allah agar terus meningkatkan semangat sukarelawan dalam meringankan beban mereka yang memerlukan. “Perasaan saya amat terkejut dan rasa memang tidak layak terima, tapi mungkin ini adalah hasil melibatkan diri dalam misi kemanusiaan di Indonesia, Bangladesh, Brunei dan lain-lain lagi. “Sejak daripada bangku sekolah lagi saya telah terlibat dengan pelbagai persatuan, jiwa memang tidak boleh lari dan akan dibawa sampai tua, mudah-mudahan saya terus menabur bakti kepada masyarakat,” katanya yang mewakili NGO Kelab Aktivis Media Inspirasi (KAMI). Kedua-dua penerima berjaya membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM1,000 serta plak penghargaan yang disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat. Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, sambutan tersebut diadakan bersempena Hari Sukarelawan Sedunia bagi meraikan sukarelawan dan NGO dalam pelbagai segmen daripada alam sekitar sehingga kebajikan. “Hasrat kita untuk meningkatkan lagi semangat mereka dalam membuat kerja kebaikan. “Perancangan tahun depan agar acara tahunan ini dapat diadakan dengan lebih banyak kategori,” jelasnya. Untuk rekod, antara kategori lain dipertandingkan seperti Anugerah Bakti Perdana serta Pertandingan Video Sukarelawan pelbagai segmen. Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu (JBSNT), Mohd Izwandy Ismail dan Pengarah Urus setia Belia Sukan dan NGO Terengganu (UBSNT), Mohd Nasir Abd Razak.  
10 Dec 21
883
Dua Hospital Baru Bakal Beroperasi Tahun Hadapan
Dua Hospital Baru Bakal Beroperasi Tahun Hadapan
KUALA TERENGGANU, 9 Disember – Operasi dua hospital baharu dijangka akan bermula sebelum Hari Raya Aidilfitri tahun hadapan. Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh berkata, dua kemudahan tersebut adalah Hospital Dungun di daerah tersebut dan Hospital Pengajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di Kuala Nerus. Katanya, pembukaan dua hospital itu bagi menampung keperluan penjagaan kesihatan serta peningkatan penggunaan katil pesakit COVID-19. “Hospital Dungun dengan kos RM120 juta akan disiapkan pada 28 Januari 2022 setelah mengalami penangguhan sebanyak tujuh kali daripada tarikh asal siap iaitu 2019. “Terdapat pelbagai kekangan luar jangka yang tidak dapat dielakkan oleh pihak kontraktor sepanjang tempoh menyiapkan projek ini termasuk arahan menghentikan operasi pembinaan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang turut memberi gangguan terhadap sebahagian rangkaian pembekal. “Projek yang masih berbaki sebanyak 1.5 peratus ini juga memerlukan pandangan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi persiapan penambahbaikkan spesifikasi khusus,” katanya. Tambahnya, Hospital pengajar di UniSZA sudah siap dan dilengkapi sebanyak 200 katil dan akan diserahkan kepada peringkat Universiti dalam masa terdekat. Beliau berkata demikian selepas menjalankan lawatan kerja ke Hospital Dungun, di sini, petang semalam. Turut hadir, YBM Tengku Seri Bijaya Raja Setiausaha Kerajaan Terengganu. Jelas beliau, Hospital pakar ketiga di Terengganu (Hospital Dungun) telah didirikan di atas tapak seluas 15.3 daripada 50.7 ekar keseluruhan tanah milik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). “Ia merupakan projek pembinaan fasiliti kesihatan berkapasiti 110 katil yang menyediakan perkhidmatan bertaraf pakar (minor) untuk kemudahan penduduk setempat. Untuk rekod, hospital terletak di 2KM dari bandar Dungun itu mempunyai 10 skop kepakaran iaitu Perubatan Am, Pembedahan Am, Pediatrik, Obstetrik dan Ginekologi, Anestesiologi, Ortopedik, Patologi, Pengimejan, Perkhidmatan Kecemasan dan Pergigian (Pembedahan Pediatrik dan Mulut).  
10 Dec 21
2951
Tiada Pelajar Terengganu Tercicir Kerana Miskin
Tiada Pelajar Terengganu Tercicir Kerana Miskin
KUALA TERENGGANU, 9 Disember - Tiada masalah keciciran murid sekolah yang berlaku di Terengganu disebabkan kemiskinan keluarga terutamanya ketika negara dilanda pandemik COVID-19. Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahari Mamat berkata, semua pihak memainkan peranan dalam memastikan pelajar negeri ini dapat meneruskan pelajaran dengan baik. “Kita sentiasa membuat pemantauan, tidak berbangkit isu keciciran pelajar ketika pandemik COVID-19 kerana pihak kerajaan, swasta, sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan lain-lain pihak sentiasa membantu termasuk menghulurkan sumbangan kepada pelajar yang kurang berkemampuan bagi membolehkan mereka belajar dengan selesa. “Termasuk pemberian data internet, telefon pintar dan sebagainya ketika pelajar terpaksa mengikuti pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) di rumah,” ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Perasmian Penutup Program Asasi Imtiaz Sekolah-Sekolah Menengah Yayasan Terengganu Dewan Kenanga, TER, hari ini. Walau bagaimanapun Satiful berkata, tidak dinafikan kemungkinan terdapat pelajar yang masih tidak hadir ke sekolah kerana kebimbangan ibu bapa terhadap situasi COVID-19 ketika ini. “Tiada isu keciciran pelajar ini negeri ini. Kemungkinan yang tidak hadir sebab ibu bapa tidak mahu hantar lagi. Kita pun tidak ambil tindakan, kecuali calon peperiksaan seperti SPM, STPM mereka hadir untuk selesaikan sukatan,” ujarnya.  
09 Dec 21
993