lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

BTM Bina Loji Janakuasa Di Teluk Kalong, Tawar 400 Peluang Kerja
BTM Bina Loji Janakuasa Di Teluk Kalong, Tawar 400 Peluang Kerja
KUALA TERENGGANU, 16 Disember - BTM Resources Berhad melalui anak syarikatnya, BTM Biomass Products Sdn Bhd (BTMBP) menandatangani perjanjian pajakan dengan Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) untuk tanah perindustrian daripada PMINT bagi tempoh 30 tahun.  Pengarah Eksekutif BTM Resources Berhad, Woo Thin Choy berkata, pihaknya membuat pelaburan kira-kira RM150 juta untuk tanah perindustrian seluas 20 ekar di kawasan perindustrian Teluk Kalong, Kemaman. “Tempoh pajakan akan bermula dari bulan Disember 2021 dan tamat pada Disember 2051. BTMBP merancang untuk membina sebuah Loji Janakuasa Tenaga Boleh Diperbaharui Biojisim (BREPP) di tanah perindustrian ini sepertimana yang diluluskan oleh Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari Malaysia (SEDA). “Kelulusan tersebut adalah untuk membina dan mengendalikan BREPP yang mempunyai kapasiti eksport tenaga elektrik sebanyak 10 MW kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB),” ujarnya. Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Penyerahan Cek Perjanjian Pajakan Kawasan Perindustrian Tambahan Teluk Kalong antara PMINT dan BTM Biomass Products Sdn Bhd, di Paya Bunga Hotel, hari ini. Turut hadir, Ketua Pengarah Eksekutif PMINT, Wan Adnan Wan Derahman. Menurut beliau, pada 1 Julai 2020, BTMBP telah menerima Sijil Kelulusan Tarif Masukan daripada SEDA. Kelulusan yang diberikan adalah untuk tempoh 21 tahun dan akan bermula pada 23 Januari 2023. BTMBP juga pada 27 Julai 2020 telah menandatangani Perjanjian Pembelian Kuasa Tenaga Boleh Diperbaharui (REPPA) dengan TNB, seperti yang diwartakan dalam Subseksyen 12( 1) Akta Tenaga Boleh Diperbaharui 2011.  “Reputasi mantap Terengganu dalam industri perhutanan dan pembalakan, adalah sebab tapak ini sesuai untuk pembinaan sebuah loji janakuasa tenaga boleh diperbaharui biojisim.  “Loji janakuasa BTMBP dapat mengitar semula sisa kayu, yang biasanya dibuang dari kilang papan dan simpanan perhutanan tempatan, sebagai bahan api untuk penjanaan tenaga elektrik bersih dalam Terengganu,” jelasnya. Katanya, selepas permulaan operasi, loji kuasa biojisim BTMBP akan menjanakan sebanyak 80 GWh tenaga elektrik bersih setahun dan membantu meneutralkan 57,000 tan pelepasan karbon dioksida (CO2) setahun.  “Penggunaan biojisim sebagai sumber tenaga boleh diperbaharui akan mengurangkan kebergantungan negara Malaysia terhadap bahan api fosil, menyumbang kepada pengurangan pelepasan CO2 ke atmosfera dan mengurangkan kesan rumah hijau. “Kami percaya bahawa inisiatif bersama PMINT ini akan menyumbang kepada kira-kira 400 peluang kerja dan peningkatan kemahiran untuk warga tempatan Terengganu melalui operasi loji janakuasa biojisim BTM. Kami berharap pembinaan loji kuasa biojisim BTM juga akan menarik lebih ramai pelabur untuk mengembangkan perniagaannya kepada Kawasan Perindustrian Teluk Kalong,” ujarnya.  
16 Dec 21
1584
Status Vaksinasi Bertukar Tidak Lengkap Jika Tidak Ambil Dos Penggalak
Status Vaksinasi Bertukar Tidak Lengkap Jika Tidak Ambil Dos Penggalak
PUTRAJAYA, 16 Disember – Status vaksinasi individu yang sebelum ini telah menerima dos lengkap vaksin Sinovac serta mereka yang berusia 60 tahun ke atas akan ditukarkan menjadi tidak lengkap sekiranya tidak mendapakan suntikan dos penggalak selepas Februari tahun depan. Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, selepas status tersebut ditukar menjadi tidak lengkap, individu berkenaan adalah tidak layak untuk menerima kemudahan-kemudahan yang diberikan kepada penerima dos lengkap vaksin Covid-19. “Sehingga hari ini, Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) telah meluluskan vaksin Comirnaty keluaran Pfizer-BioNTech, vaksin CoronaVac keluaran Sinovac dan vaksin AstraZeneca untuk digunakan sebagai dos penggalak. “Lanjutan daripada itu, pihak Jawatankuasa Kerja Teknikal (TWG) telah mengesyorkan dos penggalak diberikan kepada semua penduduk berusia 18 tahun dan ke atas,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini. Jelas beliau, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melalui Strategic Advisory Group of Experts on Immunisation (SAGE) telah mencadangkan agar semua penerima dos lengkap vaksin Sinovac atau individu berusia 60 tahun ke atas tanpa mengira jenis vaksin siri primer perlu mengambil dos penggalak. “Keperluan itu adalah bagi mengekalkan status vaksinasi lengkap dan cadangan ini telah disahkan oleh Mesyuarat Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi Covid-19-Booster (CITF-B) pada 8 Disember lalu. “Sehubungan itu, individu dalam kumpulan yang dinyatakan di atas iaitu semua penerima dos lengkap vaksin Sinovac dan individu berusia 60 tahun ke atas perlu mendapatkan suntikan dos penggalak selewat-lewatnya pada Februari 2022,” tegas beliau. – K! ONLINE
16 Dec 21
1161
Amaran Cuaca Buruk Di Terengganu Dan Kelantan Sehingga Esok
Amaran Cuaca Buruk Di Terengganu Dan Kelantan Sehingga Esok
KUALA TERENGGANU, 16 Disember -Jabatan Meteorologi (METMalaysia) mengeluarkan amaran cuaca buruk tahap jingga di Terengganu dan Kelantan bermula hari ini sehingga esok. MetMalaysia dalam kenyataan hari ini memaklumkan sistem cuaca tekanan rendah yang terbentuk di perairan Laut China Selatan dijangka bergerak ke arah barat menghampiri kawasan perairan Kelantan, Terengganu dan Pahang lewat hari ini. “Kedua-dua negeri itu dijangka akan dilanda hujan lebat yang berterusan sehingga esok serta risiko kenaikan paras laut dan banjir di kawasan berkedudukan rendah di kawasan terbabit,”ujarnya. Sementara itu, amaran Hujan Berterusan (WASPADA) berkuat kuasa dari 16 Disember 2021 hingga 17 Disember 2021 dikeluarkan untuk di Perlis, Kedah,  Pulau Pinang, Perak (Kerian, Larut, Matang dan Selama, Hulu Perak dan Kuala Kangsar) dan Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Jerantut dan Kuantan) Menurut kenyataan tersebut,  sistem ini dijangka merentasi kawasan utara Semenanjung menuju ke perairan Selat Melaka Utara pada 18 Disember 2021.   
16 Dec 21
2000
Khatan Percuma Ringankan Beban Kos Ibu Bapa
Khatan Percuma Ringankan Beban Kos Ibu Bapa
KUALA NERUS, 15 Disember - Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir mengambil usaha tepat dengan Program Khatan Percuma di klinik swasta terpilih melibatkan seramai 28 orang peserta bagi meringankan beban ibu bapa. Menurut seorang bapa, Mohd Sabri Muhammad, 45, berkata, dia bersyukur kerana anjuran tersebut diadakan dengan anaknya menyertai sebagai peserta serta terharu kerana golongan keluarga kurang berkemampuan terus mendapat perhatian dan kecaknaan. "Program ini sangat membantu kami golongan berpendapatan rendah dan mampu mengurangkan beban kewangan ibu bapa kerana kos untuk seseorang berkhatan agak tinggi dan dimaklumkan berlaku kenaikan pada tahun ini," katanya ketika ditemu bual pemberita, hari ini. Seorang lagi penjaga, Noriah Faridah Said,43, yang turut menghantar anaknya untuk berkhatan dalam program hasil sebaran Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK). "Kalau tak percuma, kena menabung juga lah, suami pula bekerja dan menampung kos kekeluargaan lain jadi susah sikit,” tambahnya. Dalam pada itu, Pegawai Penyelaras DUN Seberang Takir, Mohd Fadhil Wahab menjelaskan, memandangkan kos yang serba meningkat pada masa kini amat membantu mereka yang kurang berkemampuan. “Pelaksanaan ini banyak memberi kemudahan kepada ibu bapa yang menghadapi masalah kewangan untuk menghantar anak mereka berkhatan di hospital atau klinik swasta dengan kos yang agak mahal,” ujarnya Berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya, aktiviti tersebut telah mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah digariskan ekoran penularan wabak COVID-19 yang masih belum reda.
15 Dec 21
657
Terengganu Berdepan Risiko Banjir Kali Kedua
Terengganu Berdepan Risiko Banjir Kali Kedua
KUALA TERENGGANU, 15 Disember – Gelombang kedua banjir berkemungkinan melanda Terengganu berikutan risiko limpahan air laut dan hujan lebat sehingga Khamis ini. Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Mohd Rosman Abdullah berkata ia merujuk kepada ramalan cuaca semasa dan keadaan angin kencang yang sedang berlaku. “Ramalan cuaca semasa menunjukkan cuaca tekanan rendah yang terbentuk di perairan barat Sarawak sedang menghampiri perairan Kelantan, Terengganu dan Pahang mulai Rabu dan berakhir Jumaat ini. “Senario itu berpotensi menyebabkan hujan lebat berterusan di kebanyakan tempat di negeri ini sekali gus meningkatkan risiko banjir,” katanya di sini hari ini. Katanya, sistem cuaca tekanan rendah yang terbentuk di perairan barat Sarawak dijangka bergerak ke arah barat menghampiri kawasan perairan pantai timur iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang bermula esok. "Seterusnya, sistem ini dijangka merentasi kawasan utara Semenanjung menuju ke Laut Andaman pada 17 Disember 2021. “Manakala, Stesen Cerapan Kemaman juga meramal paras air laut bakal mencecah 2 meter hingga meter sehingga lusa,”ujarnya. Tambah beliau lagi, aras air laut di Kuala Terengganu pula dijangka mencapai 2.1 meter dan 2.3 meter dalam tempoh sama. “Sehubungan itu, penduduk di pesisir pantai dan kawasan rendah di negeri ini dinasihat berwaspada dan bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan banjir sepanjang tempoh berkenaan,” kata Mohd Rosman.
15 Dec 21
2578
Projek Ladang Kelapa Terbiar 10 Tahun, Kini Berbuah
Projek Ladang Kelapa Terbiar 10 Tahun, Kini Berbuah
KUALA TERENGGANU, 14 Disember – Kerajaan negeri sedang giat memulihkan kembali projek Ladang Kelapa Matag yang terbiar sejak 10 tahun lalu di Kampung Kubang Puyu, Langkap di Daerah Setiu.  Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, kawasan tersebut telah diwartakan sebagai lembah kelapa dengan 35 hektar manakala baki 139 ekar masih terbiar. “Projek Kelapa Matag ini bermula pada tahun 2011 dengan penanaman 35 hektar kelapa, memakan kos keseluruhan sehingga RM4 juta termasuk kos perparitan, infrastruktur dan lain-lain lagi. “Sepatutnya sekarang ini adalah fasa kemuncak pengeluaran hasil. “Bila Kerajaan PAS memegang tampuk pemerintahan pada 2018, ladang ini yang pertama saya lawati dan sekarang berada didalam senarai projek-projek yang sedang dipulihkan,” katanya ketika ditemu bual pemberita, baru-baru ini. Tambahnya, keadaan semasa kawasan tersebut pada tiga tahun lepas ditumbuhi semak-samun serta sebahagian pokok-pokok terbantut tumbesaran manakala sebahagian telah mati. Gambar lawatan 2018 menunjukkan ladang kelapa dipenuhi semak-samun Mengulas lanjut isu-isu yang timbul, Dr Azman berkata, isu pertama yang perlu diselesaikan ialah status pewartaan tanah di bawah Seksyen 62 Kanun Tanah Negara sebagai kawasan tanaman kelapa dibawah jagaan Pengarah Pertanian Terengganu. “Isu seterusnya adalah sistem perparitan yang perlu diberi perhatian yang mana merupakan kawasan banjir termenung, jadinya kita perlu memastikan sistem pengairan yang ada boleh menangani isu ini," katanya. Rawatan kesuburan tanah dan pembajaan antara aspek penting yang yang telah diambil tindakan pemulihan. Jelasnya, lembah kelapa tersebut berpotensi menjadi ladang terbesar dalam negeri dengan keluasan lebih 300 ekar, menghasilkan kelapa muda, air nira dan industri santan.  Sementara itu, beliau menjangkakan pengeluaran sepenuhnya akan bermula dalam masa setahun lagi untuk keperluan pasaran dalam negeri dahulu. "Saya tak pernah gunakan istilah projek gagal kerana kegagalan itu hanya berlaku bila kita mengalah, tutup buku dan tak bekerja lagi. Selagi kita mampu bangun berjuang, kita sebenarnya belum gagal. "Sejak lebih setahun yang lalu proses pemulihan ladang bermula setelah diselesaikan isu-isu pewartaan tanah. Hasilnya boleh dilihat dari gambar-gambar yang berbicara," katanya lagi.  
14 Dec 21
2198
Penjawat Awam Perlu Pegang Prinsip FASTER
Penjawat Awam Perlu Pegang Prinsip FASTER
KUALA TERENGGANU, 14 Disember - Penjawat awam perlu menjaga prestasi kerja supaya tidak menjejaskan mutu perkhidmatan kepada rakyat dengan mengambil kira sektor ekonomi yang terkesan semasa pandemik ini.  Setiausaha Kerajaan Terengganu, Yang Berhormat Mulia Tengku Seri Bijaya Raja berkata, prinsip F.A.S.T.E.R iaitu 'Flat, Agile, Streamlined, Tech-enabled, Efficient and Resilient' perlu diaplikasikan dalam memastikan penjawat awam dapat melaksanakan tugas dengan cemerlang dan menjayakan setiap dasar yang dirancang sepenuhnya. “Saya ingin memetik beberapa perkara yang diutarakan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali iaitu dalam memenuhi keperluan rakyat semasa tempoh pandemik ini, penjawat awam mesti menggenggam prinsip F.A.S.T.E.R. "Rakyat amat dahagakan perkhidmatan yang pantas setelah beberapa bulan mereka tidak dapat bekerja, kehilangan pendapatan serta berdepan dengan krisis pengangguran. Justeru, kepada Perkhidmatan Awamlah tempat mereka bergantung harap dan meminta pertolongan,” ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Warga Kerja Wisma Darul Iman di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, hari ini. Turut hadir, Penasihat Undang-undang Negeri, Dato’ Razali Che Ani, Pegawai Kewangan Negeri, Zainal Abidin Mohamed, Pengarah Tanah dan Galian Negeri, Shahidan Embok dan Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Tun Ahmad Faisal Tun Abd Razak. Sempena perhimpunan bulanan itu juga, beliau turut menyempurnakan penyampaian sijil kepada 43 penerima Anugerah Pekerja Cemerlang Bulanan Wisma Darul Iman bagi bulan April hingga Disember 2021 dan Anugerah Pengurusan Aduan Cemerlang Negeri Tahun 2020. Menurut beliau, setiap jabatan perlu bekerja secara lebih flatter iaitu bersifat terbuka tanpa perlu terikat dengan peraturan lapuk dan terkongkong dengan pelbagai kerenah birokrasi.  “Kita juga perlu lebih agile, maksudnya perlu lebih fleksibel dan responsif dalam pelaksanaan sistem dan proses kerja. Jangan sengaja lengah-lengahkan permohonan hanya kerana alasan prosedur dan carta alir kerja semata-mata.  “Dalam pada itu, setiap jabatan perlu bersifat streamlined iaitu perlu lebih adaptif dan sensitif dengan perubahan dan keperluan semasa. Dengan situasi pandemik yang masih belum berakhir, kita perlu lebih peka dengan keperluan semasa dan kehendak rakyat dan stakeholders,” ujarnya. Katanya, perkhidmatan yang diberikan kepada rakyat mestilah bersifat techenabled dengan memanfaatkan teknologi digital serta perubahan zaman yang dikemudi oleh Revolusi Industri 4.0 di dalam penyampaian perkhidmatan awam.  “Setiap pelaksanaan inisiatif mesti dilakukan dengan cekap (efficient). Dalam keadaan di mana negara masih berada dalam tempoh pemulihan ekonomi, kita tidak mampu lagi untuk melakukan banyak kesilapan kerana setiap kesilapan yang dilakukan bermakna kerugian yang terpaksa ditanggung kerajaan.  “Setiap penjawat awam mesti kekal teguh (resilient) bersama-sama kepimpinan Perkhidmatan Awam untuk merealisasikan strategi yang digariskan kerajaan seperti inisiatif PRIHATIN dan PENJANA. Sekiranya berlaku sebarang perkara yang tidak diduga, sentiasalah bermusyawarah dan mengambil langkah berhati-hati sebelum sebarang keputusan dibuat,” ujarnya. Dalam hal ini katanya, sentiasalah berpegang kepada nilai-nilai ‘Kepercayaan untuk Berkhidmat’ iaitu integriti, kebersamaan, dinamik, interaksi dan khidmat bakti sebagai asas untuk memastikan kelestarian Perkhidmatan Awam bertunjangkan Budaya Kelas Pertama menjelang pencapaian Wawasan Kemakmuran Bersama pada tahun 2030 kelak.  
14 Dec 21
1238
PTG, SUK Terengganu Menang Anugerah Pengurusan Aduan Awam Cemerlang
PTG, SUK Terengganu Menang Anugerah Pengurusan Aduan Awam Cemerlang
KUALA TERENGGANU, 15 Disember- Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Terengganu dan Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Terengganu memenangi Kategori Pengurusan Aduan Terbaik Negeri (Keseluruhan) Anugerah Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) Cemerlang 2020 yang diumumkan dalam Majlis Perhimpunan Bulanan Warga Kerja Wisma Darul Iman di Dewan Besar Wisma Darul Iman, semalam. Jabatan dan agensi lain yang turut menerima anugerah itu termasuk Pejabat Tanah Dungun, Pejabat Tanah Besut dan Pejabat Tanah Kuala Terengganu (Kategori Pejabat Daerah dan Tanah). Majlis Daerah Hulu Terengganu, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu dan Majlis Perbandaran Kemaman (Kategori Pihak Berkuasa Tempatan), Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Negeri Terengganu (MAIDAM) bagi kategori Badan Berkanun dan Jabatan Kerja Raya Daerah Kuala Terengganu, Jabatan Kerja Raya Daerah Dungun serta Pejabat Agama Daerah Kuala Terengganu (Kategori Jabatan dan Agensi Negeri). Setiausaha Kerajaan Negeri, Yang Berhormat Mulia Tengku Seri Bijaya Raja dalam ucapannya merakamkan setinggi-tinggi ucapan syabas dan tahniah kepada semua jabatan serta agensi yang menerima Anugerah Pengurusan Aduan Cemerlang Tahun 2020.  Beliau berharap semoga anugerah ini menjadi pemangkin dan tanda aras kepada jabatan serta agensi untuk terus kekal  cemerlang. “Namun begitu, masih banyak jabatan dan agensi yang memandang ringan serta mengambil mudah terhadap pengurusan aduan ini, sedangkan prestasi kita dipantau oleh Biro Pengaduan Awam di bawah Jabatan Perdana Menteri. “Harapan saya agar bermula tahun 2022 semua jabatan dan agensi dapat memberi komitmen yang lebih baik serta memandang perkara ini dengan lebih serius supaya semua aduan dapat diselesaikan dengan lebih efisien. Semoga prestasi cemerlang Pengurusan Aduan Awam oleh jabatan dan agensi di Terengganu terus kekal cemerlang,” kata beliau ketika berucap sempena perhimpunan itu. Turut hadir, Penasihat Undang-undang Negeri, Dato’ Razali Che Ani, Pegawai Kewangan Negeri, Zainal Abidin Mohamed, Pengarah Tanah dan Galian Negeri, Shahidan Embok dan Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Tun Ahmad Faisal Tun Abd Razak. Untuk rekod, SISPAA yang dikawal selia oleh Unit Korporat Pejabat Setiausaha Kerajaan Terengganu merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan bagi memperbaiki mutu perkhidmatan dan penyampaian dari semasa ke semasa.  Ia juga menjadi medium yang dapat mempercepatkan dan memudahkan proses penyampaian maklum balas kepada agensi kerajaan kerana ianya boleh dicapai oleh pengguna pada bila-bila masa sahaja menggunakan capaian internet. Agensi-agensi Kerajaan negeri Terengganu telah menggunakan SISPAA bermula 1 Januari 2018 dan sehingga kini, terdapat 82 agensi kerajaan yang menggunakan sistem ini.  
14 Dec 21
852
Pegawai Aids JKNT Terima Anugerah Bantu Pesakit HIV
Pegawai Aids JKNT Terima Anugerah Bantu Pesakit HIV
Kredit foto : Shafwan Zaidon KUALA LUMPUR, 12 Disember - Pegawai Aids Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), Dr Mahani Nordin menerima Anugerah Tun Dr Siti Hasmah Sunway-Malaysian AIDS Foundation (MAF) atas sumbangannya dalam membantu masyarakat Terengganu terhadap HIV dan Aids. Beliau merupakan pengasas bersama organisasi berasaskan komuniti, Komuniti Cakna Terengganu (KCT), sebuah organisasi berasaskan komuniti yang menyediakan khidmat pengurangan bahaya kepada bekas pengguna dadah serta rawatan, penjagaan dan sokongan kepada orang yang hidup dengan HIV. Antara jasanya terhadap golongan tersebut seperti menyumbang seluas satu ekar kepada KCT bagi pembinaan rumah perlindungan untuk membantu mereka pulih dan berintegrasi kembali ke dalam masyarakat. Dr Mahani berkata, beliau amat berbesar hati dengan pengiktirafan itu dan berterima kasih atas perhatian dalam usaha membantu golongan sasar di Terengganu. “Pemberian ini memang tidak dijangka. Pada mulanya, saya tidak tahu bahawa akan ada anugerah tahun ini sehingga beberapa rakan dan rakan sekerja saya mencalonkan saya. "Saya hanya melakukan kerja saya, walaupun saya tahu bahawa ia di luar skop kerja saya tetapi bagi saya, ia amat penting, dan saya tidak menjangkakan akan mendapat anugerah hasil daripada usahanya," katanya sepertimana dilaporkan Malay Mail. Katanya yang juga antara tiga finalis anugerah tersebut, semangat untuk membantu komuniti HIV bermula pada 2008 ketika membimbing sekumpulan remaja berisiko di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat Terengganu. "Namun, masalah masyarakat kita ialah, apabila kita melihat anak-anak ini menuju ke arah yang salah, kita membuang mereka. "Jadi, tiada sesiapa di sana untuk menyelamatkan mereka walaupun mereka masih boleh diselamatkan,” ujarnya. Pada mulanya, KCT memberi tumpuan kepada pelbagai program pencegahan dan pengurangan bahaya HIV seperti program pertukaran jarum dan program penyelenggaraan metadon. Pada tahun 2010, KCT dengan pembiayaan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) berjaya membuka rumah perlindungan mereka untuk penghidap HIV di tanah Dr Mahani seluas satu ekar di Hulu Terengganu. Ladang komuniti di rumah perlindungan Komuniti Cakna Terengganu untuk penghidap HIV. — Gambar ihsan Dr Mahani Nordin Jelasnya, KCT kini mempunyai sejumlah empat rumah perlindungan di Hulu Terengganu, tiga untuk lelaki yang menghidap HIV manakala satu lagi untuk wanita dan kanak-kanak yang menghidap HIV. “KCT bersama penghuninya juga telah berjaya menjadikan sebidang tanah kecil di situ sebagai ladang komuniti yang membolehkan penduduk mencari rezeki melalui perusahaan sosial. “Pihak kami turut bekerjasama dengan kerajaan negeri Terengganu untuk menetapkan tanah seluas tujuh ekar untuk mengembangkan usaha KCT dan mewujudkan rumah serta kemudahan untuk lelaki, wanita dan kanak-kanak yang menghidap HIV/AIDS," katanya. Pegawai AIDS itu disampaikan hadiah wang tunai RM20,000 serta trofi kristal rekaan khas oleh Sunway Group dan sijil kecemerlangan di MAF Red Ribbon Gala dan Sunway–MAF Tun Dr Siti Hasmah Award 2021 yang berlangsung di Hilton Kuala Lumpur. Turut hadir, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, Pengerusi MAF Prof Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman, Penaung MAF Datin Paduka Marina Mahathir serta Pengasas Kumpulan Sunway Tan Sri Jeffrey Cheah.
14 Dec 21
519
Galak Penjawat Awam Derma Darah, Bantu Pesakit Memerlukan
Galak Penjawat Awam Derma Darah, Bantu Pesakit Memerlukan
KUALA TERENGGANU, 14 Disember- Penjawat awam diminta tampil menderma darah bagi memastikan perawatan kepada pesakit yang memerlukan transfusi darah di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) khususnya tidak terjejas. Setiausaha Kerajaan Negeri, Yang Berhormat Mulia Tengku Seri Bijaya Raja berkata, bekalan stok darah negara perlu sentiasa mencukupi bagi menampung keperluan prosedur transfusi darah. “Program yang dianjurkan Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (AKRAB) Pejabat Setiausaha Kerajaan Terengganu dan PUSPANITA Negeri Terengganu ini merupakan salah satu usaha menggalakkan masyarakat khasnya penjawat awam menderma darah. “Ini merupakan peluang terbaik untuk kita bersedekah (menderma darah) kerana ianya sangat bermakna kepada mereka yang memerlukan,” ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Program Derma Darah AKRAB Pejabat Setiausaha Kerajaan Terengganu dan PUSPANITA Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman, hari ini. Menurut beliau, program tersebut mendapat sambutan yang sangat baik dan patut dicontohi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain. “Setakat pagi ini sahaja sudah lebih 50 orang yang mendaftar dan saya yakin program ini berjaya menarik sekurang-kurangnya 200 penjawat awam untuk menderma darah. “Terima kasih juga kepada pihak Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu yang menugaskan tiga orang doktor dan sepuluh jururawat untuk bersama-sama menjayakan program ini,” ujarnya.  
14 Dec 21
589