lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Jualan Keluarga Malaysia Tawar Potongan Harga Sehingga 20 Peratus
Jualan Keluarga Malaysia Tawar Potongan Harga Sehingga 20 Peratus
KUALA TERENGGANU, 18 Disember - Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) di setiap daerah yang menawarkan potongan harga sehingga 20 peratus berjaya membantu masyarakat Terengganu yang terbeban dengan peningkatan harga barang. Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi merangkap Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, usaha kerajaan menerusi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dapat meringankan beban kos rakyat terutamanya dalam pembelian barangan harian. “Penduduk di Kuala Terengganu tidak terkecuali dengan masalah harga barangan, tentulah program ini dapat beli harga borong sehingga 20 peratus bagi ayam, ikan, telur, sayur-sayuran, minyak masak, gula, tepung, beras dan barangan yang telah diproses. “Harga jauh lebih murah berbanding pasar biasa, misalnya ayam turun kepada RM8 daripada RM9.30. “Diharapkan agar inisiatif sebegini dapat dipanjangkan lagi dalam masa sehari atau dua lagi kerana pembeli dapat mengurangkan bebanan perbelanjaan isi rumah,” katanya. Beliau berkata demikian selepas meninjau serta menyantuni para pengunjung sempena PJKM di perkarangan hadapan Muzium Negeri, Bukit Losong Terengganu, pagi semalam. Turut hadir, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNEHP) Negeri Terengganu, Saharuddin Mohd Kia. Tambahnya, antara agensi kerajaan dan rakan strategik dalam kalangan pemain industri yang terlibat pada hari ini ialah KPDNHEP Negeri Terengganu, FAMA, LKIM, NEKMAT, TADC, TKPM Setiu, PENENTU, Jabatan Penerangan Negeri Terengganu, Pasaraya Xiri Sdn Bhd, Pasar Raya Besar Mydin dan HDA Poultry Sdn Bhd. Terdahulu, Program ini juga dirancang untuk dilaksanakan dua kali sebulan bagi tempoh tiga bulan bermula 4 Disember 2021 merangkumi 222 kawasan parlimen. Tarikh-tarikh PJKM di Daerah-daerah dalam Terengganu  
19 Dec 21
1808
Dua Lagi PPS Dibuka, Bilangan Mangsa Banjir Terengganu Terus Meningkat
Dua Lagi PPS Dibuka, Bilangan Mangsa Banjir Terengganu Terus Meningkat
KUALA TERENGGANU, 19 Disember- Kemaman menjadi daerah terbaharu dilanda banjir apabila dua pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka. Ia sekali gus menjadikan dua daerah di Terengganu terjejas akibat bah itu selepas Dungun. Laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu sehingga 12  tengah hari menunjukkan keseluruhan 326 mangsa membabitkan 101 keluarga sudah dipindahkan ke lima PPS. Di Kemaman, PPS Dewan Sekolah Kebangsaan Lembah Jabor kini menempatkan enam mangsa daripada satu keluarga. Manakala, PPS Dewan Sivik Air Putih pula menempatkan 59 mangsa daripada 12 keluarga. Sementara itu, jumlah mangsa banjir di Dungun kekal dengan 261 mangsa daripada 88 keluarga di tiga PPS. “PPS Dewan Orang Kampung Minda  dibuka apabila perkampungan tersebut mula dilanda banjir malam tadi. “Setakat ini, PPS yang dibuka 9.30 malam tadi itu, menempatkan 13 mangsa daripada tiga keluarga. “Dua PPS lain yang kekal dibuka iaitu PPS Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Raja melibatkan seramai 177 daripada 64 keluarga dan PPS Dewan Serbaguna Kampung Shukur pula mempunyai 71 mangsa daripada 21 keluarga,” katanya.  
19 Dec 21
3735
Mangsa Banjir Di Dungun Kembali Meningkat
Mangsa Banjir Di Dungun Kembali Meningkat
DUNGUN, 19 Disember- Mangsa banjir di Terengganu kembali meningkat  kepada 261 orang susulan satu lagi pusat pemindahan sementara (PPS) pada tengah malam tadi. Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Terengganu berkata, terdahulu hanya merekodkan seramai 248 mangsa daripada 85 keluarga di dua PPS. “Namun ia meningkat kembali setelah PPS Dewan Orang Kampung Minda  dibuka apabila perkampungan tersebut mula dilanda banjir malam tadi. “Setakat ini, PPS yang dibuka 9.30 malam tadi itu, menempatkan 13 mangsa daripada tiga keluarga.  “Dua PPS lain yang kekal dibuka iaitu PPS Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Raja melibatkan seramai 177 daripada 64 keluarga dan PPS Dewan Serbaguna Kampung Shukur pula mempunyai 71 mangsa daripada 21 keluarga,” katanya di sini hari ini. Setakat ini, hanya daerah Dungun yang masih terjejas menerusi gelombang banjir kedua yang melanda Terengganu sejak kelmarin. Tambah beliau, ketika ini, hujan masih melanda di beberapa kawasan di Terengganu manakala beberapa lembangan sungai di Dungun, Kemaman dan Kuala Nerus berada paras bahaya dan berjaga-jaga.
19 Dec 21
1163
Jawatankuasa Khas Ditubuh, Lestarikan Setiu Wetland
Jawatankuasa Khas Ditubuh, Lestarikan Setiu Wetland
SETIU, 19 Disember- Kerajaan negeri melalui Majlis Pengurusan Taman negeri mengambil langkah proaktif apabila menubuhkan jawatankuasa khas 'Forest Gardening' dalam usaha memastikan kelestarian Taman Negeri Setiu Wetland terpelihara serta dipulihara dengan sebaiknya. Jawatankuasa tersebut dianggotai Pejabat Daerah Setiu, Majlis Daerah Setiu, Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu, Jabatan Perhilitan negeri, Institut Penyelidikan hutan Malaysia (FRIM) serta agensi akademik iaitu  Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Sultan Zainal Abdidin (UniSZa) Kampus Besut. Setiausaha Kerajaan Terengganu, Yang Berhormat Mulia Tengku Sri Bijaya Raja berkata, usaha tersebut bagi memastikan taman negeri yang berkeluasan 1596 hektar daripada keluasan sebenar 23,000 hektar Setiu Wetland itu yang diserikan 10 ekosistem yang saling berhubungan serta dihuni kepelbagaian spesies biologi dapat dikekalkan. "Walaupun taman ini merupakan sebahagian kecil sahaja, namun aktiviti ini sewajarnya dapat dijayakan melalui kerjasama yang kuat dan padu diantara agensi dan jabatan yang terlibat agar segala ilmu dapat dimanfaatkan serta dipupuk bagi mengekalkan kelestarian sejagat. "Maka dari itu saya melihat penubuhan 'task force' di bawah pengelolaan Majlis Pengurusan Taman negeri amatlah bertepatan dengan agenda, visi dan juga misi. Semoga dengan wujudnya jawatankuasa ini ia akan berjaya mencapai hasrat menjadikan ia suatu warisan yang kekal terpelihara untuk tatapan generasi pada masa hadapan," ujarnya. Beliau yang juga merupakan Pengerusi Majlis Pengurusan Taman negeri, berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Forest Gardening Taman Negeri Setiu Wetland, di Broadwalk Setiu, Taman Negeri Setiu Wetland, Kampung Pengkalan gelap, semalam. Turut hadir, Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir, Pegawai daerah, Rosli Latif serta Pengarah Majlis Pengurusan Taman negeri, YM Tengku Mohd Arifin Tengku Dato'Rahman. Dalam pada itu, Tengku Mohd Ariffin pula berkata penubuhan pasukan khas tersebut merupakan suatu yang penting untuk sentiasa melihat, meneliti serta mencadangkan kepada pihaknya untuk diambil tindakan susulan dalam memastikan alam semulajadi di kawasan tersebut terjaga dengan sempurna. Mengulas mengenai aktiviti terbabit, katanya ia merupakan suatu aktiviti penyelenggaraan bagi usaha memelihara dan memulihara alam semulajadi dimana aktiviti berkenaan sangat popular di luar negara serta ia sering digunakan. "Bukan hanya tertakluk kepada aktiviti pembersihan dan penaman semula spesies, tetapi melibatkan aktiviti memangkas, mencabut serta mengalih spesies tumbuhan yang tidak sepatutnya ada ataupun dilihat dalam proses  mendominasi kawasan tersebut. "Aktiviti yang dijalankan ini bukanlah hanya dijalankan pada ini sahaja tetapi ia akan diadakan secara berkala dan berterusan dimana merangkumi kepada peranan dan tugasan yang telah diselaraskan bersama agensi-agensi terlibat. "Melalui ini, ia secara langsung telah membentuk semangat kerjasama di kalangan semua pihak ke arah usaha perlindungan dan pengurusan mapan membabitkan kawasan ini," ujarnya. Untuk rekod, Taman  Negeri Setiu Wetland ini merupakan tanah bencah yang terrbesar di Malaysia yang telah mula diwartakan pada 10 Mac 2018 dimana ia bertepatan dengan Enakmen Taman Negeri Terengganu 2017 yang telah diwujudkan pada 1 Mac 2018.    
18 Dec 21
1793
Banjir : Amaran Hujan Berterusan Sehingga Esok, 223 Mangsa Dipindahkan
Banjir : Amaran Hujan Berterusan Sehingga Esok, 223 Mangsa Dipindahkan
KUALA TERENGGANU, 18 Disember - Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan dijangka berlaku di Terengganu sehingga esok. Ketua Pengarah MetMalaysia Muhammad Helmi Abdullah berkata, amaran waspada cuaca berterusan juga peringkat kuning melibatkan seluruh kawasan Terengganu manakala amaran hujan berterusan buruk membabitkan 12 negeri termasuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya. “Amaran sama turut dikeluarkan di kawasan Gua Musang, Kelantan dan Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Jerantut, Maran dan Kuantan di Pahang. “Hujan lebat berterusan ini berlaku disebabkan oleh luruan monsun (cold surge) dan juga lekukan tropika (tropical depression). Namun amaran hujan lebat ini akan dikemas kini serta bergantung kepada keadaan. "Ketika ini Monsun Timur Laut. Ia dijangka tamat hari ini dan keadaan cuaca dijangka beransur-ansur baik," katanya seperti mana dilaporkan HMetro hari ini. Sementara itu, Menurut maklumat Twitter Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), setakat pukul 1 tengah hari tadi, dua daerah di Terengganu iaitu Kemaman dan Dungun mencatakan seramai 223 mangsa melibatkan 68 keluarga dipindahkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS). “Terbaharu, Dewan Serbaguna Kg Shukor dibuka pada hari ini melibatkan 10 keluarga terdiri daripada 35 orang mangsa,” jelasnya.
18 Dec 21
311
Terengganu Kembali Dilanda Banjir, Dua PPS Dibuka
Terengganu Kembali Dilanda Banjir, Dua PPS Dibuka
KUALA TERENGGANU, 17 Disember - Seramai 21 mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) apabila dua daerah di Terengganu dilanda banjir dalam gelombang kedua. Sehingga jam 8 pagi ini, dua PPS telah diaktifkan bagi menempatkan lima keluarga dari daerah Setiu dan Dungun. Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu, PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Kasar Hulu Nerus, Setiu dibuka pada 1.30 pagi hari ini bagi menempatkan empat mangsa daripada satu keluarga. Sementara itu, seramai 17 mangsa daripada empat keluarga ditempatkan di PPS Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Raja yang dibuka bermula 6.30 pagi tadi. Dalam masa yang sama, dua laluan di Chukai iaitu Jalan Pelatoh-Lubuk Lesong di Kampung Pelantoh  ditutup untuk semua kenderaan ringan selepas dinaiki air sehingga 0.4 meter dan Jalan Teladas Air Putih di jambatan lama Teladas yang dinaiki air sehingga 0.76 meter. Orang ramai boleh menggunakan jambatan baru Teladas sebagai jalan alternatif.  
17 Dec 21
2615
Banjir, PPS Pasir Raja Dibuka
Banjir, PPS Pasir Raja Dibuka
DUNGUN,17 Disember- Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Pasir Raja telah dibuka bagi menempatkan  17 mangsa  banjir daripada empat keluarga awal pagi tadi. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Tengku Yunus Tengku Mat Rani berkata PPS tersebut telah dibuka pada jam enam pagi ekoran hujan berterusan  mengakibatkan paras air sungai berada pada paras tahap bahaya sehingga melimpah tebing dan melanda rumah penduduk. "Ini merupakan antara keluarga terawal yang berpindah, mungkin kalau hujan lebat berterusan akan lebih ramai lagi mengambil tindakan yang serupa, namun pada pagi ini trend air sudah mula menurun, walau bagaimanapun kita mengarahkan agar empat keluarga ini tinggal di sini dahulu. "Ia bergantung kepada faktor cuaca pada hari ini, jika sekiranya cuaca mengizinkan, kesemua mereka akan pulang ke rumah masing-masing namun sentiasa dalam keadaan bersiap sedia untuk berpindah sekiranya diarahkan" ujarnya ketika dihubungi, pada pagi ini. Dalam pada itu beliau berterima kasih kepada Jabatan Amal Malaysia (JAM) daerah tersebut yang segera turun bagi menghulurkan bantuan serta membantu bagi memastikan mangsa-mangsa dapat berpindah dalam keadaan baik, serta segala keperluan berkaitan dapat disediakan. "Mereka juga telah mewakili Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman untuk menghantar bekalan makanan seperti bahan-bahan mentah untuk keperluan mangsa-mangsa di sini," katanya.          
17 Dec 21
531
Terengganu Sedia Tabung Usahawan Tanpa Riba Sehingga RM20 Ribu
Terengganu Sedia Tabung Usahawan Tanpa Riba Sehingga RM20 Ribu
KUALA TERENGGANU, 17 Disember – Kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) telah membuka permohonan tabung usahawan tanpa riba bagi membantu para peniaga untuk bangkit kembali pasca COVID-19. Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, pihaknya bergerak proaktif dengan menyediakan satu bentuk dana tiada faedah dengan Bank Islam Malaysia Berhad. “Program Pembiayaan Mikro Bangkit (BangKIT) merupakan suntingan berjangka dengan bermula dengan minimum RM3,000 sehingga RM20,000 tanpa cagaran, tanpa penjamin. “Di samping Tabung Usahawan Terengganu Sejahtera (TUGAS), bantuan kewangan ini bergerak seiring dengan peruntukan RM10 juta hasil pembentangan Bajet 2022. “Menurut pihak Bank Islam, mereka tidak menetapkan jumlah peruntukan spesifik dan kerajaan Terengganu adalah satu-satunya kerajaan negeri yang bekerjsama bersama mereka, negeri lain hanya diadakan di bawah nama bank tersebut,” katanya. Beliau berkata demikian semasa berucap dalam program Pembentangan Program & Aktiviti Tahun 2022 Di Bawah Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro Dan Hal Ehwal Pengguna di Hotel Seri Pacific, semalam. Tambahnya, sejak berjalan pada bulan November, BangKIT telah mula menerima permohonan daripada usahawan tempatan. “Oleh itu, menerusi program pembentangan portfolio selama dua hari ini, kita akan menyampaikan maklumat sebegini kepada wakil-wakil rakyat, pegawai penyelaras di seluruh kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN). “Dengan harapan supaya pengawasan di peringkat Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) akan meningkatkan efisyen dan penerangan kepada peringkat akar umbi masyarakat,” katanya lagi. Bagi yang berminat untuk memohon pembiayaan yang disediakan khas dibawah Tabung Usahawan Sejahtera (TUGAS) boleh klik pada link yang tertera di bawah : 1) Skim Pembiayaan Peningkatan Perniagaan Terengganu (SP3T) bit.ly/SkimPembiayaanSP3T-TSK-DUNIA 2) Tabung Siti khadijah (TSK) bit.ly/SkimPembiayaanSP3T-TSK-DUNIA 3) Skim Pembiayaan Atas Talian Terengganu (SPINT) bit.ly/SkimPembiayaanAtasTalianSPINT 4) Skim Pembiayaan 'Mobile Truck' (SPMT) bit.ly/SkimPembiayaanMobileTruckSPMT 5) Skim Dana Usahawan Asas Tani (DUNIA) bit.ly/SkimPembiayaanSP3T-TSK-DUNIA 6) Dana Prihatin Terengganu - OKU (D-HATI) bit.ly/DanaPrihatinTerengganuOkuDHATI Bagi yang belum mendaftar sebagai Sahabat Usahawan Terengganu, sila klik link di :http://bit.ly/DaftarSahabatUsahawanYPU Program Pembiayaan Mikro Bangkit (BangKIT) : https://ypu.com.my/program-pembiayaan-mikro-bangkit/
17 Dec 21
1197
Pastikan Tiada Usahawan Tercicir
Pastikan Tiada Usahawan Tercicir
KUALA TERENGGANU, 17 Disember – Kerajaan negeri memantapkan sistem penyampaian maklumat di bawah Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro Dan Hal Ehwal Pengguna bagi memastikan tiada usahawan tercicir daripada mendapat sebarang info dan bantuan yang tersedia. Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, antara masalah ditumpukan adalah penerangan tidak efektif di Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) yang berlaku sebelum ini. “Kita telah memberi taklimat kepada wakil-wakil PKM, namun ia tidak berkesan, apabila orang bertanya di pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) petanya ditolak kepada Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU). “Saya terima cadangan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Pegawai Penyelaras kerana mereka kekurangan maklumat mengenai portfolio saya, apa kerajaan buat tidak sampai kepada rakyat. “Oleh itu, sesi libat urus bersama dua wakil PKM seperti hari ini antara salah satu cara bagi memikirkan mekanisme supaya segenap lapisan masyarakat tahu, terutamanya apabila Bajet 2022 menambah peruntukan tabung usahawan kepada RM10 juta,” katanya. Beliau berkata demikian dalam sidang media program Pembentangan Program & Aktiviti Tahun 2022 Di Bawah Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro Dan Hal Ehwal Pengguna di Hotel Seri Pacific, semalam. Katanya, antara penyelesaian diusahakan seperti menamakan seorang wakil daripada PKM sebagai pusat maklumat daripada YPU dan portfolio keusahawanan. “Contohnya, apabila ada orang kampung minta bantuan kewangan bagi membeli mesin, maka pegawai itu akan menceritakan jalan cara dan berhubung dengan YPU sebagai pemudah cara. “Matlamat tarikh pelaksanaannya dapat dijalankan pada bulan Januari setelah mengenal pasti pegawai sesuai agar sistem mekanisme penerangan ini menjadi efisyen dan rakyat tidak terlepas kebaikannya,” katanya lagi.  
17 Dec 21
258
Usahawan Diseru Rebut Tabung Usahawan RM10 Juta
Usahawan Diseru Rebut Tabung Usahawan RM10 Juta
KUALA TERENGGANU, 21 Disember – Kerajaan negeri menyasarkan jumlah penerima bantuan dan manfaat usahawan seramai 800 orang dalam membantu warga niaga di Terengganu bangkit kembali dalam zaman pasca COVID-19. Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, usaha itu ditumpukan pihaknya memandangkan peningkatan sekali ganda Bajet 2022 kepada RM10 juta dibawah portfolionya. “Alhamdullilah, sepanjang tiga tahun (2019-2021) peningkatan usahawan yang dibantu seperti melalui Tabung Usahawan Terengganu Sejahtera (TUGAS) mencecah lebih 400 orang, kita telah santuni empat kali ganda lebih berbanding pentadbiran lepas. “Maka dengan peningkatan bajet kepada Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) dan Pusat Pembangunan Sumber Manusia Terengganu (THRDC), kita perlu pastikan insentif ini turun kepada usahawan kita. “Khususnya apabila pandemik merudum, ramai akan berpusu-pusu mencari suntingan kerajaan, jadi kita bergerak proaktif dengan pelbagai pihak seperti kerjasama strategik dengan Bank Islam Malaysia menerusi Program Pembiayaan Mikro Bangkit (BangKIT),” katanya. Beliau berkata demikian semasa berucap dalam program Pembentangan Program & Aktiviti Tahun 2022 Di Bawah Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro Dan Hal Ehwal Pengguna di Hotel Seri Pacific, baru-baru ini. Turut hadir, Timbalannya, Wan Hapandi Wan Nik dan Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pembangunan Sumber Manusia Terengganu (THRDC), Aminuddin Omar. Jelas Nurkhuzaini, pihaknya turut menyediakan segmen berbeza dibawah TUGAS bagi memastikan golongan sasar tidak tercicir daripada mendapat suntikan dana. “Antara contoh seperti Tabung Siti khadijah (TSK), Skim Pembiayaan Atas Talian Terengganu (SPINT), Dana Prihatin Terengganu - OKU (D-HATI) dan lain- lain lagi. “Ini meningkatkan lagi peluang bagi golongan terpilih tersebut berbanding jika kita longgokkan semua orang dalam satu tabung,” katanya lagi. Tambahnya, dengan pelaksanaan tabung usahawan bernilai RM10 juta tersebut, ia juga merealisasikan satu lagi janji manifesto Kerajaan Negeri yang bakal dilaksanakan tahun hadapan. Bagi yang berminat untuk memohon pembiayaan yang disediakan khas dibawah Tabung Usahawan Sejahtera (TUGAS) boleh klik pada link yang tertera di bawah: 1) Skim Pembiayaan Peningkatan Perniagaan Terengganu (SP3T) bit.ly/SkimPembiayaanSP3T-TSK-DUNIA 2) Tabung Siti khadijah (TSK) bit.ly/SkimPembiayaanSP3T-TSK-DUNIA 3) Skim Pembiayaan Atas Talian Terengganu (SPINT) bit.ly/SkimPembiayaanAtasTalianSPINT 4) Skim Pembiayaan 'Mobile Truck' (SPMT) bit.ly/SkimPembiayaanMobileTruckSPMT 5) Skim Dana Usahawan Asas Tani (DUNIA) bit.ly/SkimPembiayaanSP3T-TSK-DUNIA 6) Dana Prihatin Terengganu - OKU (D-HATI) bit.ly/DanaPrihatinTerengganuOkuDHATI Bagi yang belum mendaftar sebagai Sahabat Usahawan Terengganu, sila klik link dibawah: http://bit.ly/DaftarSahabatUsahawanYPU
17 Dec 21
222