Artikel "Semasa" Terkini
Sukarelawan 'Hero' Dalam Mengangkat Mesej Perpaduan - Ir Saiful
KUALA TERENGGANU, 5 Januari-Rakyat di negara ini yang menyertai sukarelawan dalam menjayakan misi kemanusian serta menghulurkan pelbagai bantuan ketika bencana banjir yang berlaku boleh dianggap sebagai 'hero' dalam mengangkat mesej perpaduan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili berkata kesemua mereka telah bersatu hati dalam menyampaikan sumbangan dan bantuan serta mengenepikan segala perbezaan tanpa mengira bangsa, budaya serta fahaman politik untuk sama-sama menyertai aktiviti kemanusian dalam meringankan beban dialami mereka yang terkesan.
"Ini merupakan suatu perkara yang sangat positif , mereka semua bolehlah dianggap sebagai wira.
"Walaupun tidak dibayar dan diberikan upah mahupun ganjaran namun kesemua mereka gigih membantu membersihkan rumah-rumah, masjid dan sebagainya," ujarnya kepada pemberita, di sini, baru-baru ini.
Katanya, seruan kerajaan melalui Operasi Bantuan Banjir Terengganu ke Pahang telah menjadi platform yang baik untuk rakyat di negeri ini tampil membantu sedaya upaya bukan hanya mengikuti info serta perkembangan semata-mata bahkan telah turut turun padang.
"Kita mengharapkan agar selepas ini akan lebih ramai lagi terutamanya belia dan beliawanis dari negeri ini yang akan tampil bagi menyertai kegiatan kemanusiaan ini.
"Saya yakin serta percaya dengan jumlah yang lebih ramai kita akan bersedia untuk menjayakan misi bantuan ke mana-mana sahaja bukan hanya bertumpu dalam negeri semata-mata.
Tambahnya, secara tidak langsung misi tersebut berjaya merealisasikan bahawa gagasan Keluarga Malaysia yang diperkenalkan oleh kerajaan malaysia bukan hanya retorik semata-mata.
05 Jan 22
414
Jalan Cengal Besar Kuala Loh Seksyen 3.7 Ditutup Bermula 3 Januari
KUALA TERENGGANU, 5 Januari - Jalan Cengal Besar / Kuala Loh Seksyen 3.7 berhampiran campsite Sungai Kelemin ditutup kepada semua kenderaan bermula 3 Januari 2022 ( Isnin ) sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.
Jabatan Kerja Raya ( JKR ) dalam satu kenyataan berkata penutupan sementara laluan ini bagi menjamin keselamatan pengguna jalan raya susulan cerun runtuh (down slope) di lokasi terbabit.
Menurut JKR, pemasangan papan tanda amaran dan pemberitahuan telah dipasang di
laluan yang terlibat termasuk peta lokasi untuk panduan kepada pengguna
jalan raya.
Sehubungan dengan itu, JKR berharap semua pengguna jalan raya mematuhi papan tanda arahdan papan tanda keselamatan yang disediakan.
05 Jan 22
997
Sasar 40,000 Daftar SKSPS Padanan Caruman Di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 5 Januari – Lebih 40,000 individu bekerja sendiri disasarkan menikmati bantuan caruman menerusi Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) Padanan Caruman pada tahun ini.
Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Terengganu, Farihah Che Husin berkata, insentif caruman 80 peratus daripada pelan kedua SKSPS itu layak dimohon oleh lapan kumpulan sasar iaitu orang kurang upaya (OKU), pekerja sektor gig, usahawanita, orang asal, sektor pelancongan, pertanian dan kesenian.
“Melalui inisiatif ini, caruman sebanyak RM186.20 akan ditanggung oleh kerajaan manakala 20 peratus lagi iaitu RM46.60 perlu dibayar oleh pencarum bagi mendapat perlindungan Perkeso selama setahun.
“Jadi, saya harap mereka yang bekerja sendiri termasuk wartawan dapat mengambil peluang mencarum di bawah SPS Padanan Caruman kerana banyak faedah bakal diperoleh antaranya faedah hilang upaya dan pencen faedah orang tanggungan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyerahkan faedah pengurusan mayat sebanyak RM2,000 dan pencen penakat kepada suami wartawan Sinar Harian, Rubiah Omar yang meninggal dunia pada 24 Disember lalu di Kampung Gong Pak Maseh, di sini hari ini.
Melalui faedah itu, suaminya, Ahmad Zamri Sulong layak menerima pencen penakat berjumlah RM1,644 sebulan seumur hidup manakala dua anaknya, Muhammad Zulfan Fauzan, 9, dan Muhammad Zulfadhli Firdaus, 7, sehingga berusia 21 tahun.
Dalam perkembangan sama, sebanyak RM15.5 juta bayaran faedah berjaya dilunaskan kepada penerima yang layak melibatkan 6,906 kes di seluruh Terengganu.
“Bayaran faedah ini melibatkan penerima bagi kes Hilang Upaya Sementara, Hilang Upaya Kekal, Faedah Orang Tanggungan dan Faedah Pengurusan Mayat,” katanya.
05 Jan 22
272
322 Nelayan Seberang Takir Terima Bantuan Tengkujuh
KUALA NERUS, 4 Januari – Lebih 300 orang nelayan di sekitar Seberang Takir yang rezekinya terjejas teruk akibat musim tengkujuh dapat menarik nafas lega selepas menerima bantuan kewangan dan barangan dapur daripada Kerajaan Negeri.
Pegawai Penyelarasnya, Mohd Fadhil Wahab berkata, bantuan ini memperlihatkan keprihatinan pentadbiran Terengganu terhadap golongan pelaut terkesan pendapatannya kerana keadaan cuaca tidak mengizinkan.
“Seperti kebiasaan, di pantai timur akan mengalami tengkujuh pada bulan November sehingga Mac.
“Pada waktu ini, mereka tidak dapat keluar menangkap ikan dan tiada sumber pendapatan lain dan sampingan.
“Situasi sebegitu mengakibatkan situasi kewangan mereka sempit untuk menyara hidup,” katanya selepas ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman, baru-baru ini.
Menemubual salah seorang penerima, Norbaizura Zainal Abidin, 41, menyuarakan apresiasinya kepada Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Kuala Nerus dan Seberang Takir atas sumbangan tersebut.
“Sekurang-kurangnya dapat menampung sedikit sebanyak perbelanjaan barangan harian semasa musim hujan ini.
“Jadi, dengan adanya bantuan RM100 dan barangan dapur, kami bagi pihak Persatuan Nelayan Seberang Takir mengucapkan berbanyak terima kasih atas kesudian pimpinan setempat memberi bantuan ini,” katanya
Sementara itu, Azanizan Abdullah turut menyuara sentiment sama melahirkan rasa terharu atas bantuan khusus tersebut.
“Terima kasih kepada pusat khidmat dan kerajaan negeri kerana mewujudkan bantuan ini khususnya nelayan di sini.
“Bantuan berupa wang tunai dan barang keperluan ini cukup bermakna buat kami yang tidak dapat ke laut menangkap ikan dalam tempoh beberapa bulan akan datang,” ujarnya.
04 Jan 22
455
NISA’ Santuni Mangsa Banjir Pahang
Foto oleh: 3N NISA' Terengganu
KUALA TERENGGANU, 4 Januari - Pertubuhan Kasih Nur Insani Terengganu (NISA’ Terengganu) turut sama-sama menyantuni rakyat sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Mentakab yang ditimpa ujian banjir, baru-baru ini.
Pengarahnya, Tengku Fatimah Tengku Hashim berkata ahli NISA’ dengan 20 anggota dari daerah Kuala Terengganu, Marang, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Kemaman, Setiu dan Besut telah dihantar untuk sama-sama menyertai Misi Bantuan Pasca-Banjir Pahang dianjurkan kerajaan negeri baru-baru ini.
Sukarelawan NISA' membantu mangsa banjir.
“Tujuan kami turun misi banjir untuk misi pembersihan dan agihan barang. Kami bahagikan kepada kumpulan misi bersih dan kumpulan misi agih.
“Pengagihan Kit Keceriaan Kanak-Kanak sumbangan daripada Ikon Syabab Resorces. Paling utama agihan kami berupa bentuk pakaian dalam wanita yang sangat dinanti-nantikan oleh para wanita di sana.
“Paling seronok masa pengagihan kit keceriaan dan pakaian dalam wanita. Kami santuni anak kecik dan nampak wajah ceria apabila dapat file yang berisi alat tulis dan buku, terus mereka buka dan tulis. Untuk pakaian dalam wanita, kami bawakan beberapa bungkus untuk mereka sendiri pilih mana yang sesuai. Nampak riak gembira sebab ia merupakan bantuan yang jarang-jarang ada,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi pemberita, baru-baru ini.
Fatimah juga turut menzahirkan harapan agar seluruh anak muda wanita tidak merasa serik untuk memberikan sumbangan berupa tenaga, masa dan wang bagi membantu mereka yang berada di dalam kesusahan.
Sebahagian sukarelawan NISA'.
“Hari ini hari mereka, mungkin esok lusa hari kita. Teruskan melakukan kebajikan untuk dana pahala akhirat kelak.
“Sesiapa yang berminat melakukan aktiviti sukarelawan, boleh sahaja sertai NGO Nisa' di peringkat negeri dan daerah masing-masing,” sambungnya lagi.
04 Jan 22
248
Atlet Wanita Pertama Negara Sertai Kelab Eropah
KUALA TERENGGANU, 4 Januari- Anak kelahiran Terengganu, Siti Nur Alia Mansor muncul atlet wanita Malaysia pertama menyertai pasukan berbasikal berstatus pro di Eropah.
Nur Alia, 21, dipilih pasukan kelima terbaik UCI Women's World Tour, Canyon-SRAM Road Bicycle Racing Team yang berpangkalan di Catalonia, Sepanyol bagi saingan musim ini dengan kontrak setahun.
"Alia rasa bangga sebab dapat peluang ini, sebelum ini dengan CIMB pro-cycling team (permubaan trek). Ini menjadi peluang terbesar Alia dalam perlumbaan lebuh raya dan ini peluang untuk buktikan pada negara dan Terengganu.
"Bekas jurulatih TSG, Adam Szabo yang hubungi Alia pada Jun tahun lalu menawarkan untuk sertai pasukan ini. Dia kini menguruskan pasukan wanita untuk UCI ini dan akan menjadi jurulatih Alia dalam pasukan musim ini," katanya yang mengambil masa sekitar dua bulan untuk menyatakan persetujuan.
Belilau berkata demikian selepas menerima insentif penghargaan berjumlah RM3,000 daripada kerajaan negeri yang disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah di Wisma Darul Iman, hari ini.
Adik bongsu kepada atlet angkat berat negara, Hafifi Mansor itu telah pun menceburi sukan berbasikal semenjak usia 11 tahun dan mewakili Terengganu sejak 2016.
Jelasnya, jurulatih berbasikal Terengganu, Syed Mohd Husaini Syed Mazlan yang telah 'menjaga'nya sejak berumur 11 tahun dan memberikan banyak ilmu sehingga dirinya mencapai ke tahap tersebut.
"Bagi Alia, dekat Malaysia kita berlumba dengan sesama kita jadi, di sana mental Alia perlu lebih kuat. Alia akan buat yang terbaik dan harap pemergian Alia akan buka peluang untuk 'rider-rider' lain dari Malaysia," katanya.
04 Jan 22
4078
90 Program Pertanian Terengganu 2021 Berjaya Dilaksanakan
Kerajaan negeri berjaya melaksanakan 90 daripada 94 program yang disenaraikan dalam Tahun Pertanian Terengganu 2021 dengan peruntukan sebanyak RM2,951,380.
04 Jan 22
211
Terengganu Raih Gelaran Pasukan Terbaik TMC
Terengganu meraih gelaran pasukan terbaik keseluruhan dalam kejohanan Terengganu Monsoon Challenge (TMC) 2021.
04 Jan 22
467
Pasukan Padat 4x4 Juarai Bukit Besi Monsoon Challenge
Pasukan Padat 4x4 muncul juara dalam Kejohanan Bukit Besi 4x4 Monsoon Challenge kategori Open Hardcore, semalam meskipun berdepan kesukaran berdepan cuaca di musim tengkujuh.
04 Jan 22
334
KMIKT, Hospital Milik Kerajaan Negeri Pertama Tawar Khidmat EP
Syarikat milik kerajaan negeri, Pusat Perubatan Kumpulan Medic Iman Kuala Terengganu (KMIKT) menjadi hospital swasta pertama di Pantai Timur yang menyediakan perkhidmatan elektrofisiologi (EP) bagi merawat masalah degupan jantung.
03 Jan 22
533