lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

500 Belia dan Beliawanis Diraikan Di Program 'Youth Brilliant Community (YBC)'
500 Belia dan Beliawanis Diraikan Di Program 'Youth Brilliant Community (YBC)'
KEMAMAN, 9 Januari - Hampir 500 orang belia dan beliawanis di Dewan Undangan Negeri (DUN) Cukai diraikan dalam program "Youth Brilliant Community (YBC)", kelmarin. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai, Hanafiah Mat berkata mereka yang berumur sekitar 18 hingga 25 tahun merupakan  orang-orang yang sangat hebat dan merupakan golongan muda yang bakal menentukan hala tuju sesebuah negara. Katanya, mereka juga adalah pelapis kepada pemimpin yang akan membawa kepada satu perubahan yang lebih baik dan berwawasan. "Buat mereka yang akan mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), belajarlah dengan bersungguh-sungguh sehingga berjaya menjejakkan kaki ke menara gading. Bawalah pulang kejayaan, kamu akan menjadi pemimpin pada masa hadapan. "Saya sangat mengharapkan kalian yang hadir pada malam ini akan menjadi orang yang berjaya di dunia dan akhirat dengan mengikut teras Islam berpandukan Al-quran dan hadis," katanya ketika berucap dalam majlis itu yang berlangsung di Dewan Dato' Seri Amar Diraja. Hanafiah yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri turut menasihatkan mereka agar tidak melupakan jasa-jasa ibu bapa apabila sudah mencapai kejayaan nanti. "Jadikanlah ibu bapa dan keluarga sebagai sandaran dalam kehidupan kita," ujarnya.    
09 Jan 22
339
Dunia Pendidikan Lebih Memahami Masyarakat
Dunia Pendidikan Lebih Memahami Masyarakat
Oleh : Rohayati Ripin KUALA TERENGGANU, 8 Januari - "Dunia pendidikan ini banyak mengajar untuk lebih memahami situasi masyarakat dan keadaan persekitaran," jelas seorang penerima anugerah Tokoh pendidik peringkat Negeri, Noorzila Mohamed. Menurutnya yang juga seorang ustazah berusia 48 tahun, guru ibarat  petani yang sentiasa memastikan tanamannya subur tanpa gangguan musuh. "Alhamdulillah, rezeki dari Allah. Sebenarnya anugerah ini adalah untuk memberi inspirasi kepada saya untuk terus berdakwah. "Berperanan sebagai daie, mengajak masyarakat,terutama muslimat terus mencintai ilmu dan beramal dengan Islam," katanya ketika dihubungi pada hari ini. Beliau yang menetap di Kampung Kubang Bujuk, Manir telah bertugas sebagai seorang guru sejak tahun 2005. Noorzila menyifatkan cabaran ketika mendidik masyarakat untuk menjadi insan berguna bukan perkara yang mudah. "Anak-anak yang kurang minat belajar ini boleh diselesaikan melalui guru sebagai murabbi bukan sekadar pengajar. "Begitulah tugas seorang pendidik. Kena jadikan murid sebagai anak-anak yang disayangi," ujarnya yang kini masih mengajar di Sekolah Kebangsaan Teluk Menara, Manir. Beliau turut menasihati generasi muda agar kekal istiqamah dengan ikhlaskan hati membuat semua perkara kerana Allah dan sentiasa menuntut ilmu. "Berkata Iman al-ghazali, orang yang dikatakan berilmu ialah orang yang sentiasa berinteraksi dengan ilmu. "Belajar untuk memahami politik Islam dan mengkaji sirah-sirah Rasulullah serta memahami perjuangan para muslimat Islam masa silam," ujar beliau. Beliau memegang jawatan sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja (Ajk) Dewan Muslimat PAS negeri Terengganu (Ketua Lujnah Dakwah), Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Hulu Terengganu, Ketua Tarbiyyah Hulu Terengganu, Ajk Tarbiyyah Negeri Terengganu, Ajk alimat Negeri Terengganu, Naqibat Teras Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) Dan Dewan Muslimat PAS negeri Terengganu (DMPNT). Selain itu, Pengarah j12k Muslimat Hulu Terengganu, Ajk tarbiyyah DMPM, Penasihat Muslimat Dun Manir, Naqibat Ameerah Hulu Terengganu dan Setiausaha Muslimat cawangan Kubang Bujuk serta penceramah bebas dan pengkuliah bertauliah negeri Terengganu.
08 Jan 22
259
Pendaftaran Program Usahawan Belia Kini Dibuka
Pendaftaran Program Usahawan Belia Kini Dibuka
KUALA TERENGGANU, 8 Januari – Kerajaan negeri menerusi Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu kini membuka kembali pencarian program Usahawan Belia Sejahtera (UBES 3.0) bagi membantu anak muda membangunkan perniagaan sendiri. Menurut YPU, antara objektif inisiatif itu ialah untuk membantu warga muda lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Kemahiran yang tidak berpeluang menyambung pengajian ke Institut Pengajian Tinggi Awam atau Swasta menceburi dunia keusahawanan. “Antara keistimewaan program ini adalah penyediaan latihan dan bimbingan oleh tenaga pengajar berpengalaman dalam bidang berkaitan, Geran Peralatan sehingga RM5,000 serta Geran Pembangunan Perniagaan sehingga RM2,000 di samping pemantauan perniagaan. “Antara syarat kelayakan ialah Bumiputera, Islam dan rakyat Terengganu, berminat menjadi usahawan sepenuh masa, berumur 18 hingga 35 tahun dan jika sekiranya berniaga mestilah tidak melebihi tiga tahun beroperasi,” jelasnya baru-baru ini. Menurut YPU lagi, permohonan secara atas talian sahaja boleh dibuat di laman pautan https://bit.ly/permohonan-UBES dengan tarikh tutup permohonan pada 16 Januari (Ahad). Untuk pengetahuan, sebarang pertanyaan boleh hubungi di nombor talian 09-6242424 (Bahagian Pembangunan Usahawan).  
08 Jan 22
1152
1,026 Anggota ATM Digerakkan Bantu Mangsa Banjir Terengganu
1,026 Anggota ATM Digerakkan Bantu Mangsa Banjir Terengganu
KUALA NERUS, 6 Januari – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Terengganu sedia menggerakkan 1,026 anggota ke seluruh negeri Terengganu melalui Operasi Murni (Op Murni) sebagai langkah berjaga-jaga menghadapi kemungkinan banjir. Menteri Kanan Pertahanan, Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, antara skop lain op tersebut ialah membantu melaksanakan kerja pembersihan pasca banjir terutama di kawasan tumpuan seperti kediaman, rumah ibadat, sekolah dan klinik kesihatan. “Ini termasuk kerja-kerja baikpulih jambatan yang terjejas, membantu Kementerian Kesihatan Malaysia melakukan ujian pengesanan COVID-19 terutama terhadap mangsa-mangsa banjir serta bersiap siaga bagi mendepani sebarang kemungkinan gelombang banjir seterusnya. “Biarpun situasi banjir di Terengganu hampir pulih sepenuhnya, komitmen Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk terus bekerjasama rapat dengan Kerajaan Negeri serta setiap agensi berkepentingan tidak berganjak,” katanya. Beliau berkata demikian semasa sidang media khas Op Murni ATM di Terengganu di Batalion ke-18 Rejimen Askar Melayu Diraja, Kem Seri Pantai, Seberang Takir hari ini. Turut hadir, Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat. Menurut Hishamuddin, sebarang keperluan tambahan lain akan ditambah mengikut keperluan dan permintaan kerajaan negeri. “ATM akan bantu apa jua yang terdaya demi keselamatan dan kebajikan rakyat Terengganu,” jelasnya.
06 Jan 22
755
Kerjasama Kerajaan Terengganu, ATM Berkesan Tangani Banjir
Kerjasama Kerajaan Terengganu, ATM Berkesan Tangani Banjir
KUALA NERUS, 6 Januari – Kerjasama antara Kerajaan Terengganu dan Angkatan Tentera Malaysia serta agensi penyelamat lain dalam melaksanakan operasi banjir di negeri ini cukup berkesan. Mengakui perkara itu, Menteri Kanan Pertahanan, Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri turut memaklumkan situasi banjir di Terengganu juga telah hampir pulih sepenuhnya. “Koordinasi di Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) peringkat daerah mahupun negeri antara ATM, Polis Diraja Malaysia, Pasukan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta setiap agensi turut berjalan dengan lancar. “Gabungan aset-aset milik ATM dan setiap agensi juga amat membantu bagi memindahkan mangsa banjir ke kawasan selamat khususnya Pusat Pemindahan Sementara (PPS) serta mengagihkan makanan dan barang keperluan ke PPS serta kawasan yang terputus hubungan jalan darat. “Biarpun situasi banjir di Terengganu hampir pulih sepenuhnya, komitmen ATM untuk terus bekerja rapat dengan Kerajaan Negeri serta setiap agensi berkepentingan tidak berganjak,” katanya. Beliau berkata demikian semasa sidang media khas Op Murni ATM di Terengganu di Batalion ke-18 Rejimen Askar Melayu Diraja, Kem Seri Pantai, Seberang Takir hari ini  Jelasnya, kolaborasi antara pemimpin negeri dan agensi penyelamat amat membanggakan dalam mengharungi musim Monsun Timur Laut hasil daripada pengalaman negeri tersebut dalam bencana itu. “Terengganu tiada sebarang masalah dalam perancangan atasi bencana, paling penting bagi kita supaya bantuan dan pembelaan sampai kepada rakyat,” katanya lagi. Tambah Hishammudin, selain Terengganu terdapat sesetengah kawasan di negeri lain banjirnya juga telah surut dan sebahagian sungai mula menunjukkan trend penurunan. "Biarpun ini perkembangan yang diharapkan, namun ATM memahami bahawa cabaran pasca banjir juga besar, sambil terus menumpukan terhadap operasi banjir di kawasan yang masih terjejas. "Fokus ATM yang seterusnya ialah melaksanakan kerja pembersihan pasca banjir berskala besar di negeri-negeri yang terjejas, sama seperti di Terengganu ini," jelasnya.  
06 Jan 22
535
YPK Serius Bentuk Usahawan Ibu Tunggal
YPK Serius Bentuk Usahawan Ibu Tunggal
KUALA TERENGGANU, 6 Januari - Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) serius mahu melahirkan usahawan daripada kalangan ibu tunggal. Timbalan Pengarah YPKT, Kamarulzaman Awang berkata bahawa aspek disiplin sangat dititikberatkan sepanjang peserta armalah (ibu tunggal) menyertai kursus usahawan di bawah kendalian YPKT. "Kami menyediakan sejumlah pinjaman kepada ibu tunggal yang mahu menjalankan perniagaan tetapi dengan syarat, mereka perlu melalui kursus-kursus yang telah kami tetapkan. "Kami akan letakkan peserta-peserta secara berkumpulan, tiga orang satu kumpulan dan dari sini kita akan menilai disiplin mereka, dari segi ketepatan masa, kerjasama. Kemudian kita akan nilai bagaimana prestasi mereka." ujarnya. Kamarulzaman berkata demikian ketika menyampaikan taklimat kepada rombongan Persatuan Isteri Wakil Rakyat dan Isteri Bekas Wakil Rakyat PAS Terengganu (KHAIRUNNISA') dan Urus Setia Wanita Terengganu (USWa) di Kompleks Ibu Tunggal YPKT, kelmarin. Rombongan Kunjungan Hormat daripada KHAIRUNNISA', USWa dan Pejabat ADUN Wanita. Kunjung hormat itu diketuai oleh Timbalan Pengerusi KHAIRUNNISA', Zuraida Md Noor yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu. Turut bersama-sama dalam majlis tersebut ialah Pengarah YPKT, Wan Mohd Zaki Wan Abdullah, Setiausaha Kehormat KHAIRUNNISA' Terengganu, Tuan Roslina Tuan Sulaiman dan Pengarah Urus Setia Wanita Terengganu (USWa), Wan Nur Sakinah Din. Zuraida menzahirkan ucapan terima kasih kepada pihak YPKT yang menerima kunjungan hormat daripada mereka serta berharap agar ada kerjasama yang dapat dibentuk antara pihak yang terlibat dalam program itu. Zuraida ketika menyampaikan ucapan. "Saya sangat tertarik dengan produk-produk YPKT seperti Taska Permata Keluarga, Klinik Kaunseling, Skim Permata Sejahtera, Baitul Urus dan lain-lain, yang saya lihat selari dengan objektif YPKT. "KHAIRUNNISA' dan USWa juga mesti dimanfaatkan untuk menjadi ejen penerangan, berfungsi untuk menyebarkan maklumat dan hebahan mengenai program-program YPKT agar lebih ramai Rakyat Terengganu dapat merasai manfaatnya," tambahnya lagi.    
06 Jan 22
1053
'Hasrat Bina Rumah Sendiri Bersama Isteri Tercapai'
'Hasrat Bina Rumah Sendiri Bersama Isteri Tercapai'
HULU TERENGGANU, 5 Januari - Penantian lebih 170 peserta Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) di daerah ini untuk mendapat geran hak milik tanah akhirnya hampir menjadi kenyataan. Seramai 79 penerima Lot Rumah Generasi Kedua Felcra Bukit Tapah, Padang Ragut Kampung Tapah (79) dan RTB Pertanian Bukit Nyiur (32) di mukim Jenagor amat bersyukur apabila menerima Borang 5A kerana sudah terlalu lama menunggu. Che Safarin Che Kamarudin, 32, berkata, dia amat berterima kasih atas keprihatinan kerajaan negeri. “Sebelum ini saya tinggal bersama keluarga, alhamdulillah dengan dapatnya Borang 5A ini impian saya untuk membina rumah sendiri bersama isteri mungkin tercapai,” ujarnya. Che Safarin yang merupakan salah seorang penerima Lot Rumah Generasi Kedua Felcra Bukit Kepah ditemui wakil media Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas Majlis Penyerahan Borang 5A membabitkan tiga kawasan tersebut yang disempurnakan oleh Pegawai Penyelaras Parlimen Hulu Terengganu, Muhyiddin Abdul Rashid di Dewan Besar Majlis Daerah Hulu Terengganu, semalam. Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Maliaman Kassim serta Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Telemong, Mohd Safari Abu. Bagi Mohd Zulkhari Ismail pula, penyerahan Borang 5A oleh kerajaan negeri itu disifatkan sebagai ‘hadiah’ yang begitu bermakna buat rakyat. “RTB Pertanian Bukit Nyiur ini sudah lama kami terokai secara berkelompok, apabila kerajaan memutuskan untuk menyerahkan Borang 5A ini, kami semua amat bersyukur. “Malah bayaran premium harga tanah yang perlu dijelaskan juga bagi saya tidak membebankan peserta kerana dikira berdasarkan keluasan tanah masing-masing,” katanya. Sementara itu, Samsudin Mohd pula berkata, dia tidak dapat membendung perasaan gembira apabila penantiannya yang berpuluh tahun untuk memiliki tanah bakal menjadi kenyataan.  “Perasaan saya memang gembira sangatlah kerana tanah ini kita telah usahakan lebih 20 tahun lalu.  “Dulu kita dinafikan hak, jadi usaha kerajaan yang ada pada hari ini membuahkan hasil kepada peneroka seperti kami,” ujarnya yang mendapat Borang 5A bagi RTB Pertanian Bukit Nyiur.  
06 Jan 22
1579
Banjir Gelombang Ketiga Di Terengganu Pulih Sepenuhnya
Banjir Gelombang Ketiga Di Terengganu Pulih Sepenuhnya
KUALA TERENGGANU, 5 Januari - Banjir gelombang ketiga yang melanda Terengganu sejak Khamis minggu lalu kini  pulih sepenuhnya hari ini apabila dua pusat pemindahan sementara (PPS)  terakhir di Kemaman ditutup secara rasmi pada 12 tengah hari. Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri berkata, PPS pertama ditutup ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Geliga pada 8.30 pagi tadi diikuti PPS terakhir iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Lembah Jabor. “Walaupun PPS tidak lagi beroperasi, namun pihak jawatankuasa bencana di setiap daerah masih dalam kesiapsiagaan menghadapi monsun Timur Laut. “Pemantauan akan tetap dilakukan sepanjang Monsun Timur Laut yang berakhir pada Mac ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. Berdasarkan ramalan, Terengganu dijangka menerima tiga hingga empat episod hujan lebat sepanjang Monsun Timur Laut bagi tempoh 2021 hingga 2022. Justeru itu, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa bersedia terhadap sebarang kemungkinan memandangkan musim tengkujuh masih belum berakhir sepenuhnya.  
05 Jan 22
814
Atlet Wanita Pertama Negara Sertai Kelab Eropah
Atlet Wanita Pertama Negara Sertai Kelab Eropah
Anak kelahiran Terengganu, Siti Nur Alia Mansor muncul atlet wanita Malaysia pertama menyertai pasukan berbasikal berstatus pro di Eropah.
05 Jan 22
485
Bayar Awal Premium Tanah, Cepat Dapat Hak Milik
Bayar Awal Premium Tanah, Cepat Dapat Hak Milik
HULU TERENGGANU, 5 Januari - Kerajaan negeri mengingatkan penerima Borang 5A supaya menjelaskan bayaran premium harga tanah dalam tempoh tiga bulan seperti yang ditetapkan supaya tidak merugikan mereka. Pegawai Penyelaras Parlimen Hulu Terengganu, Muhyiddin Abdul Rashid berkata, bagaimanapun kelonggaran diberikan kepada rakyat berpendapatan rendah yang memperolehi tanah kerajaan. "Selepas menerima Borang 5A, penerima perlu membuat bayaran premium harga tanah dalam tempoh tiga bulan, bagi yang kurang berkemampuan tempoh bayaran dilanjutkan sehingga tiga bulan lagi. Sebaik selesai membuat pembayaran premium harga tanah, barulah kerajaan akan menyerahkan surat hak milik tanah. "Premium tanah akan dikira berdasarkan 10 peratus daripada harga nilaian sebenar tanah yang dipohon dan diluluskan kerajaan," jelasnya. Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penyerahan Borang 5A Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) membabitkan Lot Rumah Generasi Kedua Felcra Bukit Kepah kepada 79 penerima, Padang Ragut Kampung Tapah (79) dan RTB Pertanian Bukit Nyiur (32), Mukim Jenagor di Dewan Besar Majlis Daerah Hulu Terengganu, hari ini. Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Maliaman Kassim serta Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Telemong, Mohd Safari Abu. Beliau yang juga merangkap Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Terengganu, berkata, pemilikan tanah bukan sesuatu yang mudah diperoleh malah prosesnya turut mengambil masa sehingga ada yang terpaksa menunggu puluhan tahun. “Ini adalah komitmen berterusan kerajaan negeri untuk menyelesaikan isu berkaitan hak milik tanah dan fokus utama kita adalah untuk menyelesaikan masalah pemilik tanah RTB yang diambil tanah mereka pada 2004 dan ke atas selepas berlakunya perubahan pentadbiran kerajaan negeri ketika itu. "Pada masa sama kita juga cuba menyelesaikan isu-isu pemberian hak milik tanah yang lain," ujarnya.  
05 Jan 22
2822