Artikel "Semasa" Terkini
Irfam Pelajar OKU Pertama Habiskan Hafalan 30 Juzuk
Bukan sahaja menjadi pelajar yang terawal memasuki Markaz Tahfiz Orang Kelainan Upaya Masalah Penglihatan (MTOKUMP) malah dia juga berjaya menjadi pelajar pertama menghabiskan hafalan 30 juzuk al-Quran
10 Jan 22
430
Sijil Vaksin Palsu : Kerajaan Negeri Pantau Penjawat Awam
KUALA NERUS, 10 Januari – Kerajaan negeri akan memantau secara berterusan serta mengambil tindakan segera terhadap penjawat awam negeri yang didapati memalsukan atau memiliki sijil suntikan vaksin COVID-19 tiruan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, isu tersebut diberi perhatian kerana ia melibatkan kesihatan dan keselamatan masyarakat.
“Jika didapati seorang doktor terlibat maka ia isu berat kerana melibatkan etika perubatan, pihak kesihatan akan mengambil tindakan sepatutnya bagi golongan sedemikian atas kerja kurang amanah tersebut.
“Kebiasaannya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi Malaysian Medical Council akan mengambil tindakan membatalkan lesen operasi klinik dan perubatan jika didapati pegamal kesihatan tersebut didapati bersalah.
“Arahan telah dikeluarkan kepada jabatan-jabatan bagi memantau golongan anti-vaksin serta mereka yang terlibat dengan pembelian sijil suntikan tiruan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai penahanan seorang doktor sebuah klinik swasta oleh polis di Marang, hari ini.
Jelasnya, kerajaan negeri juga akan menyerahkan sepenuhnya kerja penyiasatan kepada Polis dan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) bagi memastikan perkara sedemikian tidak berulang.
Terdahulu, Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa melaporkan seorang doktor lelaki berusia 51 tahun, dicekup kelmarin, bagi membantu siasatan berkaitan lebih kegiatan pemalsuan 1,900 sijil vaksinasi COVID-19.
10 Jan 22
1239
Sindiket Penjualan 1,900 Sijil Vaksin Palsu Tumpas
KUALA TERENGGANU, 10 Januari - Taktik seorang doktor swasta mengeluarkan sijil vaksinasi palsu terbongkar apabila dia ditahan polis, kelmarin.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, lebih 1,900 sijil vaksinasi Covid-19 dikeluarkan kepada pelanggan termasuk dari Kuala Lumpur, Pahang, Kedah dan Johor dengan kadar bayaran antara RM400 hingga RM600 seorang.
Berikutan itu katanya seorang doktor lelaki berusia 51 tahun, dicekup kelmarin, bagi membantu siasatan dan turut dirampas dokumen berkaitan, kad janji temu vaksin yang menjalani dos satu, komputer riba, telefon dan sebagainya.
Jelasnya, mengikut siasatan awal, pihaknya mendapati ada sebahagian golongan anti vaksin mendapatkan sijil itu di klinik berkenaan dan membeli melalui atas talian sebelum di pos kepada golongan sasar berkenaan.
“Ada individu yang datang untuk menerima suntikan tetapi sekiranyanya dia mendapat maklumat bahawa doktor ini menjalankan kegiatan tidak menyuntik tapi tetap keluarkan sijil mereka sanggup datang termasuk dari Kedah dan Kuala Lumpur.
"Bagaimanapun, tidak semua sijil vaksin itu palsu dan kita sedang menyiasat berapa individu yang benar-benar menerima suntikan dan tidak disuntik.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,”ujarnya kepada pemberita di Sidang Media Tangkapan Penjualan Sijil Vaksinasi di Bilik Mesyuarat IPK Kuala Terengganu, di sini hari ini.
Sementara itu, Pengarah JKNT, Datuk Dr Kasemani Embong turut mengesahkan klinik swasta berkenaan belum mendapat kelulusan memberikan suntikan vaksin kepada orang ramai.
Katanya, tindakan licik doktor berkenaan mengundang padah sekiranya didapati bersalah boleh digantung atau dibatalkan pendaftaran sebagai pegawai perubatan dan klinik di bawah pemilikannya yang didaftarkan di bawah Akta Kemudahan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 Akta 5-8-6 turut dibatalkan dan diarah tutup.
Tambah beliau lagi, di bawah Akta 3-4-2 iaitu Akta Pencegahan dan Pegawaian Penyakit Berjangkit 1988, individu-individu yang memiliki sijil Vaksinasi tanpa suntikan sebenar boleh dikompaun sekiranya dibuktikan telah melakukan aktiviti-aktiviti yang memerlukan vaksinasi lengkap di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) seperti merentas negeri, merentas negara, dan sebagainya.
Dalam masa yang sama, pihaknya akan mengenalpasti mereka-mereka mendapat sijil vaksin secara tidak mengambil suntikan tersebut dengan memberi nasihat dan kaunseling supaya mereka menerima suntikan vaksin selepas ini.
10 Jan 22
4756
Lapan Kes Omicron Dikesan Di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 10 Januari - Sebanyak lapan kes varian Omicron dikesan di negeri ini sehingga semalam membabitkan individu yang baru pulang dari Arab Saudi selepas mengerjakan umrah.
Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Kasmani Embong berkata kesemua individu dikesan melalui ujian saringan reaksi rantai polimerase (PCR) di Pintu Masuk Antarabangsa yang dijalankan selepas ketibaan mereka.
“Dari jumlah tersebut, dua kes melibatkan jemaah dari Dungun, Kuala Terengganu (2), Besut (2), Kemaman (1) dan Kuala Nerus (1).
“Mereka yang dijangkiti Covid-19 varian Omicron berada bergejala ringan iaitu kategori satu dan dua sahaja serta telah menerima vaksin lengkap. Setakat ini tidak berlaku kluster dan perebakan di kalangan ahli keluarga,”ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Sidang Media Tangkapan Penjualan Sijil Vaksinasi di Bilik Mesyuarat IPK Kuala Terengganu, di sini hari ini.
Tambah beliau, seorang wanita dari Kuala Nerus menjadi individu pertama di Terengganu yang dijangkiti varian Omicron.
Dr Kasemani berkata, jangkitan direkodkan selepas wanita berkenaan pulang daripada mengerjakan umrah, baru-baru ini.
“Kes pertama varian itu dikesan selepas pengesahan dibuat Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi ujian saringan PCR yang dijalankan IMR terhadap wanita terbabit dan disahkan positif COVID-19 varian Omicron serta menjalani isolasi di rumah,”katanya.
10 Jan 22
8704
Ahli Geologi Dedah Dua Lokasi Jumpa Emas Di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 10 Januari – Daerah Dungun dan Kemaman adalah dua kawasan di dalam negeri ini yang berpotensi mempunyai isi sumber mineral emas selepas posisinya berada di Jalur Emas ke-4.
Mengakui perkara tersebut Presiden Institut Geologi Malaysia, Abd. Rasid Jaafar yang menjelaskan lokasi terperinci adalah di Bukit Besi dan Cheneh.
“Kajian pengesahan lapangan boleh dilakukan di kawasan itu sama ada ia berpotensi sama seperti di Lubuk Mandi dan Mersing yang terletak di jalur yang sama.
“Secara ringkasnya, kajian di Jalur Emas 4 pada masa kini masih belum intensif seperti di Jalur Emas 2 dan 3.
“Jadi adalah wajar sekiranya kajian terhadap jalur emas paling hujung ini dapat dilaksanakan dengan lebih komprehensif dari aspek struktur, geokimia, pemineralan dan penentuan rizab emas itu sendiri,” katanya sepertimana dilaporkan Kosmo!.
Menurut Abd. Rasid, Jalur Emas 4 masih lagi menjadi misteri walaupun aktiviti perlombongan di Lubuk Mandi dan ‘gold rush’ di Mersing berlaku lebih kurang 10 tahun dahulu.
Katanya, berdasarkan kepada maklumat, emas di kawasan Lubuk Mandi, Terengganu ini bercampur dengan mineral-mineral sulfida seperti kalkopirit, arsenopirit dan pirit.
“Secara geologinya Lubuk Mandi didasari batuan klastik gunung berapi dan metasedimen sabak filit serta sedikit batuan berkarbon yang mengalami perejahan dan potongan daik dasit dan telerang kuarza.
“Kawasan ini mengalami sesar ricihan dan pemineralan dalam telerang kuarza dan batuan dinding yang berlaku di sekitar zon sesar semasa fasa kerapuhan (brittle phase),” jelasnya.
Sumber berita melaporkan Malaysia kaya dengan simpanan emas, bauksit, mineral bukan logam dan mineral tenaga bernilai hampir RM4.11 trilion termasuk banyak lagi kawasan sumber galian itu yang berpotensi untuk diteroka di negara ini.
10 Jan 22
37714
1,026 Anggota ATM Digerakkan Bantu Mangsa Banjir Terengganu
Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Terengganu sedia menggerakkan 1,026 anggota ke seluruh negeri Terengganu melalui Operasi Murni (Op Murni) sebagai langkah berjaga-jaga menghadapi kemungkinan banjir.
09 Jan 22
189
Penangguhan Umrah Bukan Keputusan Secara Semberono
MARANG, 9 Januari - Keputusan kerajaan Malaysia yang bersetuju menangguhkan perjalanan umrah bermula 8 Januari (semalam) selama sebulan bagi membolehkan kadar risiko penilaian jangkitan Omicron adalah tepat dengan merujuk kepada pelbagai pakar yang selayaknya.
Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah, Tan Sri Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, penangguhan umrah itu mengambilkira perolehan maklumat daripada ahli perubatan termasuk dari kerajaan Arab Saudi.
"Begitulah sepatutnya penangguhan umrah kena tanya ahli perubatan, sekiranya ahli perubatan kata wabak tu merebak, itu hak yang perlu dilaksanakan.
"Memang dalam sejarah Islam, ibadah fardhu ini pernah ditangguh. Solat Jumaat pun pernah ditangguh di Masjid Nabawi dan Mekah juga disebabkan wabak," katanya selepas menyampaikan Kuliah Dhuha di Masjid Rusila, baru-baru ini.
Tambahnya yang juga Ahli Parlimen Marang, dalam situasi getir tersebut semua aspek akan diambil kira.
"Kalau nyawa diancam, kepentingan duit kena ditangguhkan dulu. Kerajaan bertanggungjawab menjaga nyawa dulu kerana dalam Islam benda yang perlu kepada manusia ialah agama, nyawa, akal, keluarga dan duit. Duit kemudian sekali," jelasnya.
09 Jan 22
450
Bawa Perkhidmatan Awam Negeri Ke Dimensi Baru
KUALA TERENGGANU, 9 Januari- Setiausaha Kerajaan Terengganu, Yang Berhormat Mulia Tengku Seri Bijaya Raja menyeru ketua jabatan untuk bersama-sama beliau membawa perkhidmatan awam negeri Terengganu ke dimensi baharu.
Katanya, selaras dengan saranan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali yang menuntut perubahan dari gaya lama ke gaya baharu, ketua jabatan perlu manfaatkan teknologi dalam pentadbiran harian di jabatan seperti urusniaga, khidmat nasihat dan temujanji secara ‘online’.
“Birokrasi itu perlu untuk kawalan dan menjaga mutu, tetapi boleh dikurangkan untuk mempermudahkan urusan rakyat.
“Kita juga harus bersikap terbuka untuk menerima kritikan. Di zaman “kerajaan netizen” ini banyak kelemahan pentadbiran dibongkarkan dan salah laku dipertontonkan di media sosial. Justeru, sama-samalah kita menjaga perilaku, tatacara kerja dan sebagainya agar kita tidak diperkecilkan oleh orang awam,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Amanat Tahun Baharu 2022 Bersama Ketua-Ketua Jabatan Negeri Terengganu Dewan Besar, Wisma Darul Iman, hari ini.
Turut hadir, Pegawai Kewangan Negeri, Zainal Abidin Mohamed; Pengarah Tanah dan Galian Negeri, Shahidan Embok; Pengarah Pembangunan Negeri, Dato’ Indera Nik Nasarudin Mohd Zawawi dan Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Tun Ahmad Faisal Tun Abd Razak.
Menurutnya, sebagai Setiausaha Kerajaan, beliau berbangga dengan pencapaian yang ditunjukkan semua agensi di negeri ini yang telah memberikan impak baik dan memainkan peranan masing-masing di pelbagai peringkat.
“Saya berharap semua agensi dapat mengekalkan prestasi ini, malah jika boleh ditingkatkan lagi usaha di setiap lapisan demi menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
“Untuk sentiasa maju ke hadapan dan berjaya, kita perlu sentiasa menyahut cabaran dan keluar daripada zon selesa. Dengan ketidaktentuan situasi semasa, mahu tidak mahu kita sebagai penjawat awam juga perlu mengadaptasi kepada persekitaran semasa dengan norma baharu sehingga penularan COVID-19 ini dapat dikekang sepenuhnya,” ujarnya.
Beliau turut menitipkan pesanan agar penjawat awam sentiasa mengingati frasa ‘Saya Yang Menjalankan Amanah’.
“Harus ditanam di dalam jiwa kita untuk mengamalkan budaya kerja Islam dengan meletakkan sifat-sifat mahmudah suatu keutamaan dan menolak sifat-sifat mazmumah yang boleh merosakan jiwa kita,” katanya.
09 Jan 22
454
125,545 Pelajar Di Terengganu Mula Sesi Persekolahan Penggal Tiga Hari Ini
KUALA TERENGGANU, 9 Januari – Seramai 125,545 pelajar di seluruh Terengganu memulakan sesi persekolahan penggal tiga 2021/2022 secara bersemuka hari ini.
Pengarah Pendidikan negeri, Salim Ab. Ghani berkata, kesemua pelajar menengah dan rendah di negeri ini mengikuti pembelajaran tanpa penggiliran.
“Jumlah itu termasuk 65,534 murid tahun satu hingga tiga di samping 34,201 pula adalah pelajar tingkatan empat dan lima.
“Sementara itu, baki 4,729 lagi merupakan calon peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM),”katanya kepada pemberita.
Tambahnya, mereka yang mengikuti pembelajaran penggiliran adalah seramai 121,542 orang iaitu 56,745 pelajar tingkatan satu hingga tiga diikuti 64,797 murid tahun tiga hingga lima.
Dalam masa yang sama, seramai 17,725 orang guru yang bertugas di semua sekolah juga tanpa penggiliran.
09 Jan 22
338
Ubur-ubur Beracun ‘Singgah Lagi’ Di Pantai Terengganu
KUALA TERENGGANU, 9 Januari – Orang ramai yang berada di sekitar pantai Kampung Kelulut dan Pulau Kerengga di daerah Marang dinasihatkan untuk berwaspada ekoran penemuan ubur-ubur beracun spesies Portuguese Man O’War.
Pengarah Perikanan Terengganu, Ruzaidi Mamat berkata, hasil tinjauan dijalankan pada Ahad mendapati terdapat ubur-ubur itu dilihat muncul kembali di persisiran pantai di Terengganu susulan musim monsun Timur Laut yang berlaku buat masa ini.
"Setakat pagi ini kita menemukan empat ekor ubur-ubur yang terdampar di pantai. Tinjauan masih lagi dijalankan dan kita tidak menolak kemungkinan masih terdapat lagi ubur-ubur spesies sama yang terdampar di kawasan pantai
"Orang ramai perlu lebih berhati-hati dan tidak melakukan aktiviti pantai di kawasan spesies ini ditemui. Walaupun kes yang membawa maut sangat jarang berlaku namun perlu berhati-hati," katanya,” dalam kenyataan, disini, pada Ahad.
Tambah beliau, ubur-ubur besaiz kecil yang biasanya mendiami lautan Pasifik itu dilihat di perairan Pantai Timur pada Februari 2020.
"Kajian sebelum ini pernah merekodkan lebih 1,000 ubur-ubur itu terapung di perairan lautan hindi. Ia bergerak dengan cara hanyut dibawa arus atau angin. Untuk mengelakkan ancaman di permukaan, ia boleh mengempiskan beg udara dan tenggelam buat seketika," katanya.
Dalam pada itu, Ruzaidi meminta orang ramai supaya lebih berwaspada dengan kemunculan hidupan itu kerana ubur-ubur api itu ia disifatkan antara spesies berbahaya kerana sengatannya boleh melumpuhkan mangsa selain menyebabkan kulit melecur dan membawa maut.
"Sengatan ubur-ubur ini amat menyakitkan. Ubur-ubur yang sudah mati dan dihanyutkan ke pantai juga boleh menyebabkan sengatan jika tersentuh pada badan.
"Walaupun ubur-ubur ditemui sudah mati, individu dinasihatkan untuk tidak menyentuh bangkai ubur-ubur tersebut kerana ianya masih beracun dan sangat berbahaya. Jika terkena sengatan, segera ke klinik atau hospital berdekatan untuk mendapatkan rawatan," katanya.
Justeru itu, orang ramai yang menemui ubur-ubur ini perlu melaporkannya kepada Jabatan Perikanan untuk tindakan lanjut.
09 Jan 22
938