Artikel "Semasa" Terkini
Penternak Ikan Sangkar 'Berputih Mata'
SETIU, 11 Februari - Tiada ungkapan yang dapat digambarkan kepada lima penternak ikan sangkar yang kerugian puluhan ribu akibat kematian hasil ternakan.
Hasil ternakan berkenaan yang sepatutnya mula dipasarkan pada isnin didapati mati awal pagi semalam dan berlarutan sehingga hari ini.
Nazalani Nawi, 50 salah seorang daripada lima penternak ikan siakap putih berkenaan berkata, beliau reda dengan keadaan yang berlaku dan sudah menjadi lumrah bagi seorang penternak ikan sangkar yang sentiasa berhadapan dengan risiko kematian.
"Saya menganggarkan kematian ikan milik saya ni lebih satu tan dan saiz ikan ini menjadi rebutan di pasaran luar.
"Ikan ni sudah melebihi satu kilogram setiap seekor dan permintaan daripada tauke-tauke memang banyak."
Beliau berkata demikian ketika ditemui wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) di sangkar ikan miliknya di Kampung Gong Batu.
Beliau yang lebih 20 tahun terlibat dengan penternakan ikan sangkar di sini bersama lebih 50 orang penternak yang lain dengan ternakan pelbagai spesis.
Menurutnya lagi, faktor utama kematian ikan ternakannya adalah berpunca daripada kekurangan oksigen dalam air yang tidak mampu untuk ikan siakap putih ini bertahan bagi satu tempoh masa.
Dalam pada itu Pengerusi JPKK Gong Batu, Aziz Muhammad berkata pihaknya telah ambil maklum mengenai apa yang berlaku tersebut.
"Dimana perkara ini akan dirujuk kepada Jabatan Perikanan dan akan diadukan segera kepada pihak berkaitan termasuk akan cuba memohon bantuan dengan Ahli Palimen Setiu.
"Supaya nasib penternak ini akan terbela dan dengan inisiatif yang akan ditentukan nanti akan dapat meringankan beban yang mereka hadapi," ujarnya.
11 Feb 22
1978
USWa Titik Beratkan Hak Wanita Menerusi Pendidikan
KUALA TERENGGANU, 9 Februari – Urus Setia Wanita Terengganu (USWa) amat menitik beratkan hak-hak wanita di negeri Terengganu supaya terus terjaga dan terpelihara.
Pengarah Urus Setia Wanita Terengganu (USWa), Wan Nur Sakinah Din berkata, sehubungan itu beliau mengharapkan agar para wanita dapat berfikir dengan lebih matang dan bijak serta dapat menentukan hak-hak mereka supaya kedudukannya dapat dipelihara.
Katanya, kaum Hawa di negeri diseru agar melibatkan diri mana-mana program antaranya program Suara Hati Wanita supaya mereka menjadi wanita yang faham dan berilmu.
“Menerangkan ilmu pengetahuan kepada wanita yang teraniaya dalam konteks perundangan dan hak-hak wanita.
“Kita akan ketengahkan kembali tajuk-tajuk yang menarik dan bersesuaian bersesuaian dengan apa-apa isu yang berkaitan dengan wanita yang timbul yang ada pada hari ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media di Pejabat USwa di Dataran Alamanda, Jalan Sulaiman, pada hari ini.
Jelasnya lagi, program tersebut merupakan musim yang ketiga dan berbentuk fizikal dan secara atas talian.
“Sebelum ini mungkin dengan kekangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pandemik ini kita lakukan secara atas talian sahaja.
"Tapi tahun ini kita akan lakukan secara fizikal di beberapa tempat yang terpilih," ujar beliau lagi.
Kata Nur Sakinah, objektif program ialah untuk melahirkan wanita Terengganu yang mempunyai jati diri yang hebat impak dari program yang dijalankan.
"Acara ini dibuat untuk memberi pendedahan garis panduan berkenaan permasalahan yang berlaku mengikut saluran yang tepat," tambahnya.
11 Feb 22
252
Hujan Berterusan Di Terengganu Sehingga Minggu Depan
KUALA TERENGGANU, 11 Februari - Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) kembali mengeluarkan amaran hujan berterusan kategori waspada di Terengganu bermula hari ini.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Muhammad Helmi Abdullah berkata, keadaan cuaca tersebut dijangka berterusan sehingga Ahad depan atau 13 Februari melibatkan kawasan di seluruh negeri.
"Amaran Hujan Berterusan (Waspada) dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda yang menunjukkan hujan/ribut petir sedang/dijangka berlaku melebihi 6 jam dalam tempoh tersebut di sesuatu kawasan.
"Luruan angin timuran juga dijangka berterusan sehingga tarikh tersebut.
"Keadaan ini boleh menyebabkan peningkatan kelembapan yang berpotensi membawa hujan berterusan di negeri-negeri pantai timur Semenanjung katanya berdasarkan analisis model MET Malaysia Weather Research and Forecasting Model (MET-WRF), European Centre for Medium-Range Weather Forecasts (ECMWF) dan Global Forecast System (GFS).
Jelasnya, orang awam adalah dinasihatkan untuk sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan semua media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat yang terkini dan sahih.
11 Feb 22
3470
644 Terima Manfaat Pencen Rakyat Terengganu
SETIU, 11 Februari - Satu lagi janji manifesto kerajaan Negeri Terengganu ditunaikan melalui Pencen Rakyat apabila 644 rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Permaisuri turut menerima manfaat tersebut.
Pegawai Penyelaras DUN berkenaan, Zul Bhari A Rahman berkata, penerima pencen rakyat terdiri daripada mereka yang tidak menerima bantuan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) dan bukan pesara yang menerima pencen tetap penjawat awam.
Zul Bhari ketika menyampaian ucapan dan merasmikan Majlis Penyampaian Pencen Rakyat Negeri Terengganu peringkat DUN Permaisuri.
"Inilah janji dan komitmen kerajaan Negeri Terengganu sebagaimana yang ditawarkan dalam manifesto PRU-14 yang lalu dan kini menjadi kenyataan, Alhamdulillah.
"Walaupun kita merasakan nilai ini kecil tetapi ia sangat bernilai kepada semua penerima yang menerimanya hari ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ucapan perasmian Majlis Penyampaian Bantuan Pencen Rakyat Terengganu peringkat DUN Permaisuri di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Setiu di Sungai Tarom, semalam.
Terdahulu ucapan aluan disampaikan oleh Penolong Pegawai Daerah Setiu, Muhammad Maliki Md Jusoh yang mewakili Pegawai Daerah Setiu.
Pada majlis itu, setiap penerima Pencen Rakyat menerima RM300 secara tunai yang melibatkan sejumlah peruntukkan RM193,200 bagi DUN Permaisuri.
Osman Daud, 73 salah seorang penerima ketika ditemui berkata, dia bersyukur atas penerimaan Pencen Rakyat dan akan menggunakannya bagi membeli keperluan keluarga.
11 Feb 22
474
Kerajaan Salur RM65.6 Juta Kepada Iman, Bilal, Guru Takmir Dan KAFA
KUALA NERUS, 10 Februari- Kerajaan Persekutuan menyalurkan peruntukan kewangan sebanyak RM65,580,285.60 kepada iman, bilal, guru takmir dan guru Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) Terengganu, tahun ini.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dato' Idris Ahmad berkata, daripada jumlah itu sebanyak RM18,865,180.80 disalurkan kepada imam, bilal dan guru takmir yang melibatkan seramai 5,817 orang penerima.
“Selain itu, bagi menghargai sumbangan guru KAFA di negeri ini yang telah mencurah bakti mendidik anak bangsa, sebanyak RM1,638,000 disalurkan kepada 3,276 orang penerima sebagai bayaran bantuan khas tahun 2022.
“Manakala jumlah peruntukan elaun guru KAFA pula adalah sebanyak RM45,077,104.80 yang melibatkan seramai 3,276 orang,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Multaqa Murabbi Ummah Peringkat Negeri Terengganu di Masjid Kampung Seberang Takir, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Negeri Terengganu, Mohd Nor Hamzah.
Sementara itu katanya, bermula Januari lalu guru KAFA wanita yang bersalin layak diberikan cuti bersalin sebanyak 60 hari dengan dibayar elaun berbanding dengan sebelum ini guru KAFA wanita layak cuti bersalin tetapi tidak layak dibayar elaun.
“Ini adalah usaha kerajaan dalam menjaga kebajikan guru-guru KAFA sepanjang kontrak mereka berkuatkuasa dengan Agensi Pelaksana KAFA Negeri.
“Diharapkan agar semua guru KAFA berperanan membawa imej murabbi ummah memacu perkembangan modal insan dalam mendepani cabaran masa kini,” ujarnya.
10 Feb 22
958
Terengganu Hijab Day : Bakal Tampil Busana Batik Unik Buat Wanita
KUALA TERENGGANU, 9 Februari – Program Hijab Day 2022 bakal berlangsung secara bersemuka pada bulan in akan menampilkan dengan gaya busana batik menutup aurat khusus untuk anak muda wanita di negeri ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor berkata, ia membawa konsep batik dalam tema fesyen sebagai pakaian mereka.
“Kita ketengahkan batik masa budaya batik Terengganu dikalangan wanita khususnya beliawanis sebab ia ada keunikan kain tersebut yang jarang diketahui umum.
“Batik dari negeri mana, batik jenis apa jenis canting atau terap ke dan elemen-elemen itulah saya akan tekankan pada “Terengganu Hijab Day”,” jelasnya ketika ditemui pihak media selepas mesyuarat di Pejabat Urus Setia Wanita Terengganu (USWa), hari ini.
Menurutnya, terdapat juga pertunjukan fesyen menampilkan pelbagai butik tempatan pada hari tersebut termasuk ‘Fashion Show’ yang bertemakan batik dan pelbagai gerai jualan.
“Kita berhasrat untuk nak bawa produk batik pada program Saidatina Aisyah nanti. Saya akan buat satu program khas untuk kita nak macam mana anak muda kerana pada hari ini nak pakai kain sarung pun bermasalah.
“Macam mana kita nak dianovasi letak getah ke. Buat tapario tertarik dengan batik,” jelasnya.
Sementara itu, beliau menyeru seluruh masyarakat Terengganu agar sama-sama menghadirkan diri pada kemuncak program, 12 Februari 2022 di Perpustakaan Negeri Terengganu.
“Sepanjang Februari, kita ada gelombang “Street Dakwah dan Gelombang untuk kita nak menyatakan tema dan hasrat kita iaitu sempurnakan hijabmu.
“Ayuh sama-sama kita boleh follow kami di page Terengganu Hijab Day, Facebook dan Instagram serta doakan agar insya Allah pakat doa program berjalan dengan lancar," ujar Zuraida.
Sehingga kini, penyertaan untuk tiga acara pertandingan masih terbuka dan akan ditutup pada hari ini.
09 Feb 22
608
Amaran Ribut Petir Di Beberapa Negeri Termasuk Terengganu
KUALA TERENGGANU, 8 Februari- Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir di beberapa negeri, hari ini.
MetMalaysia menerusi kenyataan yang dikeluarkan pada pukul 3 petang memaklumkan, keadaan ribut petir, hujan lebat dan angin kencang itu dijangka melanda beberapa daerah di Kelantan, Terengganu, Pahang serta Pulau Pinang dan Perak sehingga jam 9 malam ini.
Antara daerah di Terengganu melibatkan Besut, Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu dan Marang.
Sementara di Kelantan melibatkan Jeli, Tanah Merah, Machang, Kuala Krai dan Gua Musang.
Di Kedah melibatkan daerah Baling, Kulim dan Bandar Baharu manakala Pahang diramal berlaku di Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub dan Jerantut.
Sementara itu, ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka melanda Sri Aman, Betong, Kapit (Belaga), Bintulu, Miri (Subis, Miri dan Marudi) dan Limbang di Negeri Sarawak serta Pantai Barat (Ranau) dan Sandakan di Sabah sehingga 7 malam ini.
08 Feb 22
2684
21,901 Kanak-Kanak Terengganu Daftar Vaksin Covid-19
KUALA TERENGGANU, 8 Februari - Seramai 21,901 kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun telah didaftarkan menggunakan aplikasi Mysejahtera untuk Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICK Kids) di Terengganu.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata jumlah tersebut hanya meliputi 12 peratus dari 124,206 kanak-kanak yang disasarkan untuk diberikan suntikan vaksin COVID-19 di negeri ini.
Justeru itu katanya, semua ibu bapa yang mempunyai anak berumur lima hingga 11 tahun diseru untuk membenarkan anak mereka diberi suntikan vaksin Covid-19 sama ada melalui PPV sekolah atau mendaftar melalui MySejahtera.
“Pemberian vaksin kepada kanak-kanak akan mengurangkan kemungkinan mereka untuk mendapat jangkitan serius atau mengalami komplikasi jangka panjang akibat jangkitan COVID-19.
“Ujian klinikal menunjukkan pengurangan 90 peratus kemungkinan mendapat jangkitan bergejala di kalangan kanak-kanak yang telah divaksin.
“Vaksin yang digunakan telah mendapat kelulusan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah untuk digunakan kepada kanak-kanak berumur lima hingga bawah 12 tahun,” ujarnya.
Beliau berkata demikian di sidang media selepas merasmikan Program Imunisasi Covid-19 Kanak-Kanak (PICKids) 5 hingga 12 tahun di Klinik Paediatrik, Kompleks Rawatan Harian, HSNZ di sini hari ini.
Turut hadir, Pengarah Kesihatan negeri, Dato' Dr Kasemani Embong.
Dalam program tersebut, seramai 20 kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun menjadi kumpulan pertama penerima suntikan vaksin melalui PICKids di Terengganu.
Dalam perkembangan sama, sebanyak 141 pusat pemberian vaksin (PPV) melibatkan 64 PPV sekolah, 39 PPV klinik swasta, 24 PPV klinik kesihatan, lapan PPV 'off site' dan 6 PPV hospital kerajaan diaktifkan di seluruh Terengganu bagi menjayakan PICKids.
Beliau juga berkata seramai 7,200 kanak-kanak tergolong dalam kumpulan komobid dan berisiko tinggi telah dikenalpasti dan mereka perlu mengambil vaksin di PPV hospital bagi memudahkan pemantauan dibuat
Tambahnya lagi, pihaknya juga akan bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) dalam melaksanakan PPV di sekolah dengan sasaran 80 peratus kanak-kanak yang layak akan menerima vaksin Covid-19,” kata Dr Alias.
Sementara itu, rata-rata ibu bapa ditemui memilih untuk menghantar anak masing-masing menerima suntikan vaksin kerana yakin langkah itu satu ikhtiar untuk kehidupan yang lebih selamat.
Peningkatan kembali kes jangkitan Covid-19 di negara ini antara faktor mereka merebut peluang melalui PICKids untuk menghantar anak masing-masing mendapatkan suntikan vaksin dengan segera.
08 Feb 22
521
Tiga Beradik Antara Kanak-Kanak Terawal Terima Vaksin Di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 8 Februari – “Saya tak nak kena Covid-19 sebab bila virus ni jangkit.. tak boleh pergi sekolah, tak boleh jalan-jalan dan badan jadi lemah. Jadi kena cucuk vaksin biar badan kuat,”ujar Nazeef Audric Kamarul Azhar Zainon, 9 tahun.
Nazeef yang turut ditemani dua lagi adiknya iaitu Nurlisa Maureen, 6, dan Nazriel Ariqin, 5, tahun mencipta sejarah apabila menjadi antara kanak-kanak terawal di Terengganu yang menerima vaksin Covid-19.
Dia yang merupakan murid di Sekolah Kebangsaan Sultan Sulaiman 1, mengakui gembira kerana telah berjaya mendapatkan vaksin Covid-19.
“Tak sakit pun, lepas ni badan jadi lebih kuat dan boleh menjalani kehidupan normal bersama rakan-rakan selepas ini,”katanya ketika ditemui pemberita di Program Imunisasi Covid-19 Kanak-Kanak (PICKids) 5 hingga 12 tahun di Klinik Paediatrik, Kompleks Rawatan Harian, HSNZ di sini hari ini.
Bagi ibu bapa kanak-kanak berkenaan, Kamarul Azhar Zainon, 47 dan Nor Ruziah Ismail, 46, berkata mereka menyahut baik PICKids yang dilaksanakan oleh kerajaan.
Menurut Kamarul, suntikan vaksin satu usaha pencegahan dalam melindungi anak ketika situasi pandemik Covid-19 yang terus berlanjutan ketika ini.
Tambahnya, setelah pendaftaran dibuka, dia terus mendaftarkan tiga anak mereka untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 di HSNZ.
"Apa yang kerajaan buat adalah untuk kebaikan semua rakyat dan kita jangan tengok dari segi keburukan sahaja.
"Vaksin sebenarnya bagus untuk imuniti kanak-kanak yang mudah dijangkiti seperti dua anak saya yang menghidap asma.Bagi saya baik mengurangkan risiko jangkitan dan kesannya jika dibandingkan dengan mereka yang tidak mengambil suntikan vaksin," ujarnya.
Suntikan vaksin Covid-19 untuk kanak-kanak yang berusia lima sehingga 11 tahun bermula bulan ini, sejurus selepas ketibaan vaksin Pfizer (kanak-kanak) 31 Januari lalu.
08 Feb 22
1607
USWa Sokong Pelaksanaan Syariah Di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 9 Februari - Urus Setia Wanita Terengganu (USWa) menyokong tindakan kerajaan negeri mengambil berat dan mengutamakan pelaksanaan syariah Terengganu dalam memastikan kesejahteraan rakyat terjamin.
Pengarahnya, Wan Nur Sakinah Din berkata, dengan pelaksanaan tersebut akan membawa rakyat negeri ini hidup dan mengamalkan ajaran Islam yang benar.
“Sebenarnya pelaksanaan syariah negeri Terengganu sedang giat diusahakan dan insya-Allah selepas kita menghadapi dua tahun pandemik COVID-19.
"Kita akan rancakkan kembali pelaksanaan konsisten syariah dan dakwah kepada rakyat yang kini juga sedang bergerak secara berperingkat.
"Saya mengucapkan tahniah kepada usaha-usaha kerajaan laksanakan dalam memastikan pelaksanaan Syariah di negeri ini,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di pejabat Urus Setia Wanita Terengganu (USWa) di Dataran Alamanda, semalam.
Menurutnya, pelaksanaan peraturan Islam ini perlu diperhalusi dari segi pelaksanaannya supaya rakyat Terengganu terjamin, terpelihara dan dilindungi oleh Allah.
“Mungkin peringkat pertama dan fasa awal ini kita beri (nasihat), kita tak terus kepada penguasaan undang-undang atau beri hukuman tetapi kita beri kepada pendidikan dan kesedaran.
“Fokus utama adalah bagi memastikan rakyat faham kenapa perlu mengikut garis panduan yang Islam telah tetapkan,” ujar Sakinah.
Katanya lagi, pendekatan menyampaikan pendidikan dan kesedaran boleh diperluaskan pada pelbagai peringkat bermula seawal bangku sekolah hingga ke peringkat seterusnya.
“Jadi tahun ini alhamdulillah kempen kesedaran dan juga semarak dakwah akan terus digiatkan yang akan dimainkan pelbagai pihak, agensi kerajaan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO).
“Insya-Allah ini adalah usaha daripada kerajaan negeri untuk kita satu padukan agensi dan jabatan serta NGO dalam kerja dakwah kepada rakyat,” katanya lagi.
08 Feb 22
454