Artikel "Semasa" Terkini
2022 Jadi Tahun Semarak Dakwah- Mohd Nor
KUALA TERENGGANU, 7 Februari- Kerajaan negeri optimis dengan pendekatan tersusun yang diatur dan kerjasama semua pihak, 2022 akan menjadi tahun semarak dakwah.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, fokus utama adalah untuk membangunkan manusia mengikut panduan Islam.
“Kerja dakwah adalah paling penting dan kita yang diberi amanah perlu masukkan roh Islam dalam semua perkara termasuk menyusun program-program untuk beri kesedaran dan mendidik masyarakat tentang peranan seorang muslim.
“Moga kita semua kembali bangkit dan penuh bersemangat untuk melakukan kerja-kerja kebajikan dan kesukarelawanan dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan yang ada terutamanya dibawah portfolio Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyampaikan amanat kepada kakitangan Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) sempena Program Budaya Kerja Intqan Insani di Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam, semalam.
Turut hadir, Pengarah Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) Kamaruzaman Abdullah.
Mohd Nor berkata, beliau turut meminta masjid-masjid di negeri ini memperbanyakkan program semarak dakwah.
“Insyaallah kita akan lancarkan program semarak dakwah awal Mac ini dan pelbagai pengisian telah dirancang.
“Termasuk bulan penghayatan solat, Terengganu Hijab Day, Ops Kapel dan pelbagai lagi,” ujarnya.
07 Feb 22
406
Ketengah Peruntuk Lebih RM519 Ribu Bantu 118 Usahawan
DUNGUN, 7 Februari – Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) memperuntuk RM519,500 kepada 118 usahawan pelbagai sektor bagi membantu mereka meningkatkan perniagaan masing-masing.
Pengurus Besar Ketengah, Tengku Ahmad Nadzri Tengku Musa berkata, bantuan tersebut melibatkan empat kategori iaitu program pembangunan usahawan, usahawan mobile luar bandar, sokongan pengukuhan usahawan luar bandar dan insentif usahawan terjejas Covid-19.
Menurutnya, seramai 81 usahawan pelbagai bidang yang terjejas akibat penularan wabak Covid-19 menerima bantuan tersebut bagi meringankan beban ditanggung dengan jumlah peruntukan keseluruhan sebanyak RM165,000.
“Sebanyak RM44,100 bantuan pula diberikan kepada lima usahawan terlibat dalam bidang pertanian, penternakan dan pengusaha industri kecil sederhana (IKS) untuk memperkasa produk dan pensijilan barang masing-masing.
“Kita juga memberi peluang kepada masyarakat luar bandar dari B40 yang menunjukkan minat dan kesungguhan untuk menjadikan keusahawanan sebagai sumber pendapatan mereka sekaligus meningkatkan ekonomi keluarga.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Penyampaian Bantuan Usahawan Wilayah Ketengah di Pusat Komuniti Desa, Bandar Al Muktafi Billah Shah di sini hari ini.
Tambahnya lagi, seramai 10 orang penerima bantuan yang terdiri daripada usahawan elektronik, fotografi dan videografi, salon kecantikan, pembuatan makanan, pembaikan gajet, komputer serta alat muzik turut menerima peruntukan sebanyak RM130,000.
Sementara itu, beliau berkata seramai 466 orang usahawan luar bandar telah mendapat manfaat peningkatan pendapatan melalui pengembangan perniagaan dan perusahaan, pensijilan premis dan produk melalui Program Pembangunan Keusahawanan Desa menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
“Ketengah telah menyumbangkan bantuan berjumlah RM9 juta sehingga tahun lepas untuk membantu mereka dalam merealisasikan hasrat KPLB bagi memupuk budaya keusahawanan dalam kalangan masyarakat luar Bandar,”ujarnya.
07 Feb 22
404
Hotel Primula Santuni 24 Pesakit Kanser Di HSNZ
KUALA TERENGGANU, 7 Februari - Primula Beach Hotel berpeluang meraikan 24 orang pesakit kanser di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) sempena Hari Kesedaran Kanser Sedunia 2022 sebagai tanda sokongan moral kepada mereka.
Pengurus Besarnya, Suabah Harun berkata sebagai anggota masyarakat yang prihatin, pihaknya terpanggil untuk memberi sokongan moral kepada pesakit kanser agar dapat meringankan beban yang dihadapi.
Katanya, ini termasuk menyantuni pesakit kanser termasuk kakitangan hospital yang setia menjaga mereka dengan kata-kata perangsang untuk mengembalikan semangat dan kekuatan bagi meneruskan kehidupan.
“Sebanyak 100 hidangan pemanis mulut yang disediakan oleh chef pastry Primula Beach Hotel diagihkan kepada 24 orang pesakit kanser dan kakitangan hospital yang bertugas di wad kanser HSNZ.
“Sumbangan ini adalah tanda sokongan dan penghormatan Primula Beach Hotel kepada mereka yang sedang bertarung mahupun yang sudah sembuh untuk terus melanjutkan kehidupan mereka bersama yang tersayang,” ujarnya kepada pemberita.
Beliau juga berharap agar program seperti ini akan diteruskan bagi menyuarakan sokongan dan menerapkan nilai tidak putus asa dan terus tabah menghadapi dugaan dalam kehidupan.
Terdahulu, Hari Kanser Sedunia disambut di seluruh dunia pada 4 Februari dengan tema tahun ini iaitu 'Close the Care Gap' atau Rapatkan Jurang Penjagaan Kanser.
07 Feb 22
374
SPM Titik Permulaan Kehidupan Baru
KUALA NERUS, 8 Februari - Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak seharusnya dianggap sebagai peperiksaan pendidikan terakhir namun perlu dilihat sebagai satu titik mula kehidupan baru yang lebih mencabar setelahnya.
Menjelaskan kenyataan tersebut, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh Hishamuddin Abdul Karim menyifatkan peperiksaan awam tersebut yang bakal ditempuhi juga merupakan sebagai saat penting dalam menentukan hala tuju masa hadapan para pelajar.
"Ini bukan titik akhir namun anggaplah ia sebagai pemula kehidupan baru menempuhi cabaran yang pelbagai setelahnya.
"Contohnya, kitaran kehidupan dari sudut ekonomi, jadi siapa lagi yang diharapkan untuk mendokong sektor negeri ini selain dari remaja belia yang cekap, bijak dan berpengetahuan untuk mengawal keseluruhan kitaran yang ada di sekeliling ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada para pelajar dan tetamu undangan ketika menyempurnakan perasmian penutup Tuisyen Rakyat di Dewan Felda Ehsan Wilayah Kelmarin, baru-baru ini.
Tambahnya lagi, ilmu yang dipelajari juga mempunyai kuncinya iaitu setiap pelajar haruslah memiliki sifat jujur dan amanah.
"Namun, apabila kedua-dua sifat tersebut tidak dipraktikkan, tiadalah nilai sebenar ilmu tersebut dan tidak mustahil akan mudah terlibat dengan rasuah dan salah guna kuasa.
"Generasi akan datang diharapkan menjadi generasi berilmu, berpengetahuan, beramanah dan menjadi generasi yang memiliki tanggungjawab yang tinggi kepada Allah dan juga manusia," katanya lagi yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri.
Beliau turut berpesan agar para pelajar menjadikan keputusan yang bakal diperolehi kelak sebagai satu titik permulaan bagi sebuah kehidupan yang jauh lebih mencabar pada masa akan datang, bukannya titik pengakhiran dalam kehidupan adik-adik.
Untuk pengetahuan, program tuisyen rakyat kali DUN Tepoh tahun ini dibaratkan seperti tuah buat para pelajar SPM kerana diadakan sebuah universiti terkemuka di Terengganu di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Gong Badak, sekaligus memberi peluang kepada anak-anak pelajar merasai suasana dewan belajar di menara gading.
07 Feb 22
429
'Rugi Orang Kita Tak Ambil Peluang Ini'
“Rugi kita orang tempatan jika tidak ambil peluang kerja di sini,” kata seorang penuai kelapa sawit TDM Plantation Sdn. Bhd. (TDMP) sambil mengalu-alukan anak Terengganu merebut 800 peluang pekerjaan di bawah anak syarikat milik kerajaan negeri, TDM.
07 Feb 22
369
Kerjasama Dakwah Terengganu-Sarawak Diperkukuh
Kerajaan Terengganu melalui Jabatan Hal Ehwal Agamanya (JHEAT) berhasrat menjalinkan hubungan erat dengan Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) bagi saling bertukar pandangan dan berkongsi idea dalam merangka strategi pemerkasaan dakwah demi kebaikan seluruh rakyat.
07 Feb 22
202
6,094 Saman Pelbagai Kesalahan Trafik Dikeluarkan Dalam Tempoh Tiga Hari
Sebanyak 6,094 saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas dikeluarkan Polis Terengganu dalam tempoh tiga hari pertama pelaksanaan Op Selamat 17 sempena Tahun Baharu Cina, sejak Jumaat lalu.
07 Feb 22
136
Penantian Peniaga Selama 30 Tahun Berakhir
Penantian hampir 30 tahun bagi peniaga pasar sementara di bandar Jertih kini berakhir selepas premis kekal siap untuk beroperasi.
07 Feb 22
136
'Pemberian Pencen Rakyat,Rezeki Buat kami'
HULU TERENGGANU, 7 Februari- "Terima kasih kerajaan negeri.. pemberian bayaran ini bukti kerajaan prihatin dan menghargai kami," kata Chik Abdullah, 81, salah seorang penerima pencen rakyat Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Ajil semalam.
Chik berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pemberian bayaran RM 600 setahun itu yang dikhususkan kepada rakyat Terengganu berusia 60 tahun ke atas yang sudah bersara dan tidak menerima mana-mana bantuan daripada agensi kerajaan negeri dan Persekutuan.
Dia yang juga ibu kepada enam anak berkata, jumlah bantuan diterima bukan soalnya, apa yang penting kerajaan peka dengan kebajikan warga emas sepertinya.
"Alhamdulillah, ada juga berita baik diumumkan kerajaan negeri dan sudah pasti menggembirakan saya dan rakan lain.
"Satu inisiatif baik, malah pemberian bantuan itu berupaya meringankan beban terutama bagi kami yang tidak bekerja selain dari sumbangan kewangan dari anak anak, ketika ditemu bual selepas majlis penyerahan bantuan pencen rakyat Negeri Terengganu.
Seorang lagi penerima, Yeap Atong@Yap Soo Too, 77, turut berterima kasih kepada kerajaan kerana prihatin kepada mereka.
"Banyak bantuan diberikan kerajaan sebelum ini kepada rakyat. Saya hanya ada menantu dan cucu. Mendiang suami mengusahakan kedai aksesori kereta ini untuk saya uruskan sebagai mata pencarian utama saya.
"Tiada apa boleh saya ucapkan melainkan rasa terima kasih kepada kerajaan kerana berusaha meringankan beban kami," katanya.
Sementara itu, ADUN Ajil, Maliaman Kassim, berkata bantuan itu merupakan sebahagian daripada manifesto PAS pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) itu direalisasikan bermula 21 Nov 2021.
Beliau berkata, semua penerima yang layak akan menerima bantuan RM50 sebulan sehubungan dengan keputusan kerajaan negeri untuk melakukan pembayaran sebanyak RM300 bagi setiap penerima.
Pembayaran penuh sebanyak RM600 setahun kepada penerima yang layak akan mula dilakukan pada tahun ini.
"Rakyat telah memberi mandat dan kepercayaan kepada kita untuk memerintah negeri ini dan apa yang di janjikan dalam manifesto PAS pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dulu, Insya Allah kita tunaikan janji itu” ujarnya lagi.
07 Feb 22
270
Ancaman Si Belang, Penduduk Kampung Chabang Perlu Waspada
KUALA TERENGGANU, 7 Februari – Penduduk di sekitar Kampung Chabang, Kerteh, Kemaman diminta sentiasa berwaspada dan berhati-hati ekoran harimau belang yang didakwa berkeliaran masih belum memasuki perangkap walaupun ia sudah dipasang sejak tiga minggu lalu.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Loo Kean Seong berkata, pemantauan terus dilakukan di kawasan berkenaan bagi memastikan keselamatan penduduk di kawasan tersebut.
“Jika memerlukan penduduk melalui kawasan yang menjadi laluan atau lokasi harimau itu berkeliaran khususnya pada awal pagi atau lewat petang, pastikan mereka membawa visel atau alat mengeluarkan bunyi kuat.
“Ini boleh digunakan jika diri terancam dan ada tanda-tanda harimau mahu menyerang apabila terserempak haiwan ini. Jika tidak, terus beredar dari kawasan itu dan segera maklumkan kepada Perhilitan,” katanya ketika dihubungi.
Tambah beliau, harimau kebiasaannya akan mengelak dari berhadapan dengan manusia dan hanya menyerang sekiranya benar-benar kelaparan.
Dalam pada itu, Kean Seong turut mengingatkan orang ramai sekiranya terjumpa dengan anak harimau, mereka perlu menjauhinya kerana kebiasaanya ibu harimau ada di kawasan berhampiran dan sangat melindungi anak mereka
“Semua maklumat ini penting untuk mendidik masyarakat cara mengelak konflik atau apa yang perlu dilakukan jika terserempak dengan harimau kerana habitat semula jadinya ada di kawasan berhampiran,” katanya.
Menurutnya lagi, siasatan awal mendapati, harimau belang tersebut dipercayai haiwan sama yang ditemui di Kampung Santong, Paka, Dungun sebelum ini dan disyaki datang dari hutan simpan berhampiran.
07 Feb 22
8109