Artikel "Semasa" Terkini
Pekeliling Benar Guru Kemas Berpolitik Keluar Dalam Masa Terdekat
KUALA TERENGGANU, 13 Februari - "Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam peringkat akhir untuk mengeluarkan pekeliling berhubung kebenaran guru dan kakitangan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) berpolitik," jelas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dato' Seri Mohd Zuki Ali.
Menurut beliau, draf pekeliling berkenaan kini sudah disiapkan dan dalam proses penelitian.
"Pekeliling atau garis panduan kebenaran golongan pendidik seperti guru dan kakitangan Kemas bergiat aktif dalam politik akan dikeluarkan dalam masa terdekat," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Sign Off Pembangunan Pelan Strategik Pendigitalan Pejabat Setiausaha Kerajaan Terengganu dan Agensi Dibawahnya Bagi Tempoh 2021-2025 di Wisma Darul Iman, semalam.
Turut hadir, Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Seperti yang dilaporkan media, Perdana Menteri, Dato' Seri Ismail Sabri Yaakob bulan lalu mengumumkan guru dan petugas Kemas dibenarkan bergiat aktif dalam politik sebagaimana rakyat lain, berkuat kuasa serta-merta.
Serentak dengan itu pekeliling terdahulu yang memberi amaran dan menyekat golongan pendidik daripada berpolitik sudah tidak terpakai.
14 Feb 22
432
Stesen Bas Kerteh Selesai Dirasmikan
KEMAMAN, 14 Februari – Setelah sekian lama perancangan Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) untuk mengadakan majlis perasmian, akhirnya Stesen Bas di Bandar Kertih berjaya dirasmikan sepenuhnya setelah memberi manfaat pengangkutan buat rakyat rakyat Kemaman sejak 2019.
Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid berkata, berikutan penularan COVID-19, perancangan perasmian sering tertangguh walaupun ia telah beroperasi sejak tiga tahun lalu.
"Sebanyak RM2.2 juta telah diperuntukan di bawah Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Terengganu akhirnya terbina Stesen Bas di Bandar Kerteh.
“Menjadi satu keutamaan pemimpin menyediakan keselesaan untuk rakyat dan Infrastruktur yang lengkap bagi kemudahan kita bersama.
"Sebelum pembinaan Stesen Bas ini, orang ramai terutama pelajar-pelajar yang menggunakan bas sebagai pengangkutan utama hanya menggunakan kaki lima jalan-jalan utama untuk menunggu dan turun di lokasi yang dituju," katanya ketika berucap dalam Majlis Perasmian Stesen BAS Kerteh, baru-baru ini.
Beliau mengharap agar masyarakat sama-sama menjaga prasarana pengangkutan itu dengan baik dan bukannya tempat melepaskan geram di dinding-dinding bangunan.
Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) Jusman Ibrahim menjelaskan, fasiliti tersebut mempunyai kemudahan tiga kaunter tiket, satu kedai makan, satu tandas dan satu surau sudah cukup bagi pengguna yang menggunakan Stesen Bas ini.
"Kedudukan Stesen Bas berhampiran dengan Bandar Kerteh menjadikan ianya lokasi strategi untuk ekonomi setempat berikutan fasilitinya yang berhampiran dengan persimpangan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 2 Kerteh serta perancangan pembinaan Stesen East Coast Rail Link (ECRL) Kerteh dan Lapangan Terbang Kerteh," tambahnya.
Sebelum bermulanya majlis perasmian Stesen Bas tetamu terhormat menaiki Bas Sani Express dari perhentian Paka ke Stesen Bas Kerteh seawal 9 pagi.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Ir. Saiful, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan serta Pemilik Sani Ekspress Sdn Bhd, Datuk Wan Mohammad Sani Salleh.
14 Feb 22
1069
Pusat Antarabangsa UniSZA : Bina Reputasi Pendidikan Bertaraf Dunia
KUALA NERUS, 14 Februari – Sejak ditubuhkan pada 2014, Pusat Antarabangsa Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) sentiasa berada di barisan hadapan dalam menarik pelajar antarabangsa dari seluruh dunia sekali gus mempopularkan Terengganu sebagai pusat pendidikan bertaraf dunia.
Pengarahnya, Anuar McAfee, berkata universiti itu telah berkembang pesat dari segi pengambilan antarabangsa berbanding zaman Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (KUSZA) hasil sebaran dari mulut ke mulut, kemajuan fasiliti universiti dan persekitaran negeri yang aman.
“Apabila saya memegang jawatan (sebagai pengarah) 8 tahun lalu, antara persoalannya adalah bagaimana kita boleh menarik orang luar ke sini kerana ramai antara mereka lebih gemar tinggal di bandar besar seperti Kuala Lumpur.
“Namun begitu, Pusat Antarabangsa dan kemasukan kami berkembang setiap tahun walaupun berdepan saingan daripada universiti pantai barat, bermula dengan 200 orang pelajar meningkat kepada 600 sehingga hari ini dengan lebih 1,170 pelajar dari 40 negara.
“Jika bertanya kepada mereka (pelajar), kebanyakkan menyatakan keterujaan tinggal di Terengganu, menyifatkan ia sebagai tempat yang kondusif untuk belajar, tenang, selamat, murah untuk didiami dengan kualiti pendidikan bertaraf dunia di UniSZA,” katanya yang juga pensyarah Bahasa Inggeris berasal dari Kanada.
Jelasnya, antara faktor lain yang menarik minat warga asing untuk datang dan melanjutkan pengajian tinggi, adalah disebabkan hubungan erat antara pelajar dan kakitangan yang sentiasa terjalin.
“Sesetengah pelajar lebih suka tinggal di sini berbanding pantai barat, melihat UniSZA lebih kecil berbanding 20 Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) lain.
“Pada permulaannya, kebanyakan kemasukan adalah dari Brunei, Indonesia, Singapura dan lain-lain sehingga pertengahan 90-an dengan mahasiswa China yang mengambil pengajian Islam. Namun pada 2006, kami terpaksa melakukan pengemaskinian besar apabila KUSZA dinaiktaraf sebagai Universiti Awam.
“Kini dengan fakulti baharu, program, pengembangan dalam penyelidikan, pengantarabangsaan bermula secara beransur-ansur sehingga UniSZA menjadi pilihan utama terutamanya di kalangan warga Jordan, Indonesia, Nigeria dan ramai lagi melalui pemasaran dari mulut ke mulut,” tambahnya.
Tambahnya ketika ditemubual pemberita, dengan sekatan COVID-19 yang semakin longgar, anjuran program pelajar antarabangsa dan masyarakat adalah cerah dengan program pertama tahun ini ialah pembersihan pantai Seberang Takir.
“Kami berharap jurang antara rakyat Terengganu tempatan dan siswazah antarabangsa akan berkurangan, menerusi lebih banyak aktiviti seperti dengan masjid awam, program alam sekitar dan banyak lagi.
"Ini bukan sahaja membuka peluang untuk ikatan antara budaya tetapi juga meningkatkan ekonomi tempatan dan pelancongan untuk negeri ini," katanya lagi.
14 Feb 22
847
400 Peserta Terlibat Gotong Royong Bersepadu Bersih Pantai Setiu
SETIU, 14 Februari - Gotong royong secara bersepadu bagi membersihkan kawasan pantai di daerah ini telah diadakan dengan jumlah penyertaan seramai 400 orang yang melibatkan 10 jabatan dan agensi kerajaan juga pelajar Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Kolej Bestari (UCB).
Yang Dipertua Majlis Daerah Setiu, Ahmad Rizal Mamat berkata, tujuan program berkenaan adalah memupuk kesedaran dalam kalangan masyarakat supaya memelihara keindahan pantai yang ada di negeri ini.
"Pantai sentiasa menjadi tumpuan pelancong dalam dan luar negeri sebab itu menjaga kebersihan bukan hanya tanggungjawab pihak tertentu sahaja tetapi ia merupakan tugas semua orang jadi.
Ahmad Rizal Mamat.
Beliau berkata demikian ketika ditemui wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) di tapak gotong royong bersepadu Kampung Kuala Baru, Kampung Mangkok pada Jumaat.
Katanya, kawasan tersebut merupakan tapak pelancongan, oelh itu Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) akan mengambil langkah bagi memastikan kawasan ini sentiasa bersih akan mengambil perjalanan untuk diletakkan tong sampah di hujung kawasan perkelahan ini.
13 Feb 22
425
Tak Sangka Dapat Hadiah Cincin
KUALA TERENGGANU, 13 Februari – "Tidak sangka saya mendapat cabutan bertuah hadiah mega berbentuk cincin", luah seorang Seorang peserta wanita Durian Burung setelah mendapat hadiah hasil cabutan bertuah dalam program Terengganu Hijab Day 2022.
Fatimah Md Yusof, 61, berkata, beliau tidak menyangka apabila nama tersenarai dalam cabutan bertuah itu yang ditaja pihak Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita.
“Saya bersyukur ke hadrat ilahi atas anugerah bernilai sempena sambutan ini.
“Terima kasih atas jemputan serta kepada pihak YB (ADUN Wanita) atas penganjuran program yang amat bermakna buat warga wanita di Terengganu," jelasnya ketika ditemui pihak media di Perpustakaan Awam Negeri Terengganu, semalam.
Justeru itu, beliau berharap program bermanfaat sebegini dapat dianjurkan lagi pada masa akan datang.
“Hasilnya, menerusi Forum Hijabista, kami mendapat ilmu tentang kepentingan berhijab dengan sempurna, memang tak rugi join, siapa yang tak hadir memang menyesal.
“Ini kerana ada unsur dakwah untuk kebaikan wanita dalam mempertahankan imej baik selaras dengan keperluan syariah dan tuntutan semasa,” tambah beliau lagi.
13 Feb 22
307
Ketua Setiausaha Negara, Chef Zam Terima Darjah Kebesaran Terengganu
KUALA TERENGGANU, 13 Februari – Sultan Terengganu, KDYMM Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Seri Setia Sultan Mizan Zainal Abidin (S.S.M.Z.) kepada Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dalam Istiadat Pengurniaan Gelaran dan Bintang-Bintang Darjah Kebesaran Negeri Terengganu Darul Iman 2021 di Balairong Seri, Istana Syarqiyyah, Chendering, pagi tadi.
Turut berangkat ke istiadat tersebut yang berlangsung di Istana Sharqiyyah, Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah.
Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Mohd Zuki Ali mendahului senarai 24 penerima apabila dianugerahkan Darjah Kebesaran itu yang membawa gelaran Dato' Seri.
Chef Zam menerima pingat daripada Sultan Terengganu
Sementara itu, selebriti masakan, Zamzani Abdul Wahab atau dikenali sebagai Chef Zam serta Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Kasemani Embong dikurniakan Darjah Kebesaran Dato' Paduka Mahkota Terengganu (D.P.M.T.) yang membawa gelaran Dato'.
Turut menyertai senarai penerima tersebut adalah Pelumba basikal negara, Mohd Azizulhasni Awang dan lima doktor termasuk bekas Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu Dr Nor Azimi Yunus.
Selain itu, Sultan Mizan turut mengurniakan Darjah Setia Mahkota Terengganu (S.M.T.) kepada Pakar Patologi (Mikrobiologi) Hospital Sultanah Nur Zahirah, Dr. Fatimah Haslina Abdullah, Ketua Penolong Pengarah Kanan (Primer)/Ketua Bilik CPRC JKNT Dr. Azmani Wahab, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Perubatan) Dr. Saifur Rahman Muhammad serta Pengarah Hospital Hulu Terengganu, Dr. Mohamad Yurzi Mat Rani @ Ghani.
Dr Kasemani Embong menerima pingat daripada Sultan Terengganu
13 Feb 22
2671
200 Asnaf Seberang Takir Terima Manfaat
KUALA NERUS, 14 Februari - Seramai 200 orang golongan asnaf menerima manfaat barangan keperluan asas bagi meringankan beban harian melihat kepada situasi ketidaktentuan harga barang, baru-baru ini.
Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir, Mohd Fadhil Wahab berkata, bantuan berupa harian dan wang saku tersebut telah diagihkan dalam satu majlis selepas kuliah maghrib yang disampaikan oleh Ustaz Selebriti, Ustaz Hanafiah Malek.
"Ramai daripada kita terkesan terutamanya golongan B40, kita berharap kerajaan di peringkat persekutuan terus berusaha menstabilkan harga barang.
"Bantuan malam ini bukan sahaja daripada kerajaan negeri tetapi juga orang persendirian malah syarikat-syarikat juga memainkan peranan. Jadi, kita mengalu-alukan lagi mana-mana pihak untuk sama-sama membantu," tambah Mohd Fadhil lagi.
Sementara itu, seorang penerima, Jamaluddin Muhammad, 50, berkata, beliau bersyukur dengan pemberian bantuan ini sedang kita berhadapan dengan krisis ekonomi akibat COVID-19.
“Sambil-sambil itu kitu dapat mendengar kuliah yang disampaikan sebelum majlis penyerahan,” ujarnya.
Seorang lagi, Muhammad Afendi, 42, menceritakan situasinya dengan pendapatan yang tidak menentu, dia amat berterima kasih kepada pihak pemimpin kawasan atas usaha tepat pada waktunya itu.
"Bantuan sebelum ini saya dapat juga, hari ini dapat juga, syukur sungguh," tambahnya.
13 Feb 22
205
Hari Tanah Lembap Sedunia : Promosi Setiu Wetlands
Kesedaran dan kerjasama dalam memulihara khazanah alam di Taman Bencah Setiu (Setiu Wetlands) perlu diterapkan di dalam pelbagai pihak termasuk komuniti bagi memelihara alam sekitar disamping faedah ekonomi dan pelancongan.
13 Feb 22
176
Didik Wanita Ketahui Hak Hingga Akar Umbi
KEMAMAN, 13 Februari - Urus Setia Wanita (USWA) Terengganu disarankan untuk mempergiatkan program Suara Hati Wanita ke peringkat akar umbi bagi memastikan wanita lebih peka terhadap isu-isu keganasan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita, Zuraida Md Noor, berkata golongan ini perlu tahu hak undang-undang mereka dan diperkasa untuk mengambil tindakan jika mereka menjadi mangsa.
"Jika kita lihat isu keganasan rumah tangga banyak berlaku di kawasan pendalaman terutama yang melibatkan masalah dadah.
"Dalam masa yang sama, kita perlu kerjasama yang kuat daripada JPKK kerana mereka lebih tahu masalah yang melanda masyarakat disekitar mereka," ujarnya.
Zuraida berkata demikian ketika merasmikan Program Suara Hati Wanita 2022 di Dewan Seri Amar, di sini hari ini.
Justeru itu katanya, sehingga kini dengan kerjasama pelbagai pihak, banyak agenda wanita diperkasakan dan diperjuangkan bagi menjaga kepentingan mereka.
"Suka untuk saya tegaskan bahawa setiap lelaki dan wanita mesti tahu apakah tanggungjawab masing-masing.
"Adalah lebih baik menunaikan hak dan tanggungjawab yang diamanahkan daripada menuntut hak daripada orang lain," katanya.
13 Feb 22
387
Terengganu Perkemas Strategi Didik Wanita Berhijab Sempurna
KUALA TERENGGANU, 12 Februari – Kerajaan negeri memperkasakan usaha pendidikan pemakaian hijab yang sempurna kepada kaum wanita islam negeri ini menerusi usaha dakwah jalanan di kesemua lapan daerah bermula bulan ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor berkata, usaha menyantuni kaum hawa muda serta penjawat awam dari Kemaman sehingga Besut adalah kesinambungan daripada sambutan Hari Hijab Terengganu 2022.
“Gelombang ini akan digerakkan Urus Setia Wanita Terengganu (USWa) dengan kerjasama Badan Bukan Kerajaan (NGO) akan mengedarkan risalah garis panduan pemakaian tutup aurat buat wanita.
“Selain itu, stokin tangan dan tudung juga akan diedarkan secara percuma di kawasan tumpuan masyarakat seperti di pusat membeli belah dan pesisir pantai.
“Inisiatif ini adalah tanda prihatin bahawa kerajaan bersama dengan rakyat, tepat dengan usaha memudahkan wanita Terengganu menyempurnakan pemakaian hijab mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemu bual selepas majlis perasmian Terengganu Hijab Day bertempat di Dewan Perpustakaan Negeri Terengganu, pagi tadi.
Turut hadir, Pengarah USWa, Wan Nur Sakinah Din.
Menjelaskan tentang perancangan masa hadapan, Zuraida berkongsi pembikinan garis panduan pakaian patuh syariah melibatkan pelbagai sektor seperti sukan, sukan perairan, hiburan dan pelancongan.
“Pihak kami masih meneliti dan mengambil kira pandangan golongan wanita dan pelbagai pihak bagi memastikan kaedah terbaik tanpa mengabaikan tuntutan syariah dan urusan kerja.
“Setelah diutarakan dalam Sidang DUN baru-baru ini, pemerkasaan garis panduan ini tidak drastik kerana kita tidak mahu ada unsur paksaan,” katanya lagi.
Sementara itu, acara kemuncak Sambutan Terengganu Hijab Day 2022 mendapat sambutan menggalakkan daripada kaum wanita.
Ia diisi dengan aktiviti menarik seperti pertandingan persembahan fesyen bertemakan batik, gerai jualan dan forum 'hijabista'.
12 Feb 22
904