Artikel "Semasa" Terkini
Air Termenung : DUN Sura Fokus Kawasan Kritikal
DUNGUN, 15 Februari - Dua kawasan kritikal bermasalah air termenung di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sura telah dikenalpasti berlaku di Kampung Sura Lapangan Terbang dan Kampung Sura Tengah.
Pegawai Khas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Ahmad Faqrukhairi berkata, masalah air bertakung sering berlaku dibeberapa kawasan apabila tiba musim tengkujuh.
"Masalah banjir mungkin tidak berlaku dalam DUN Sura tetapi air bertakung di beberapa lokasi menjadi masalah kepada penduduk," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Menurutnya, hasil pemantauan mendapati beberapa kawasan kritikal tersebut perlu dibina sistem perparitan seperti longkang.
Bagaimanapun, sambungnya lagi, kerja perparitan ini telah pun dilakukan di beberapa lokasi dalam DUN Sura dan ianya dapat diselesaikan.
"Sebelum ini, masalah air temenung yang telah lama berlaku dibeberapa kawasan tetapi tidak dapat diselesaikan. Namun, hasil perbincangan saya bersama jabatan berkaitan, alhamdulillah, ianya dapat diselesaikan.
"Seperti permasalahan longkang dan air temenung di Kampung Tanjung pagar, Kampung Padang Jambu dan lain-lain lagi," ujarnya.
Katanya, kerja perparitan ini mungkin tidak menyelesaikan masalah penduduk, namun meringankan masalah yang ditanggung.
"Jika sebelum ini, paras air memasuki rumah penduduk dan selepas dibuat sistem perparitan, paras air tidak lagi mencecah rumah sekaligus mengurangkan risiko banjir kepada penduduk kecuali kejadian hujan diluar jangkaan," jelasnya.
15 Feb 22
528
Tasik Kenyir Disasarkan Jadi Taman Geo Park Akhir Tahun Ini
KUALA TERENGGANU, 15 Februari - Unit Perancang Ekonomi Negeri Terengganu (UPEN) mensasarkan kawasanT asik Kenyir, Hulu Terengganu sebagai Taman Geo (Geo-Park) bakal menjadi realiti menjelang akhir tahun ini.
Pengarah UPEN, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak berkata, pihaknya kini sedang dalam usaha untuk merealisasikan perkara tersebut yang bakal menjadi tarikan terbaharu di tasik buatan manusia tersebut.
Katanya, langkah ke arah itu kini kembali aktif sebaik mendapat persetujuan kerajaan negeri dengan membenarkan UPEN untuk menyelaras serta bersetuju Pejabat Daerah Hulu Terengganu (PDHT) mengetuai perancangan itu.
Tambah beliau, buat permulaan pihak berkaitan sudah menganjurkan Bengkel Pemurnian Dossier Geopark Tasik Kenyir bersama 15 jabatan dan dua universiti terpilih termasuk Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Universiti Malaysia Terengganu, Jabatan Mineral dan Geosains Negeri Terengganu serta PDHT.
“Hasil rumusan bengkel akan dibentang kepada Mesyuarat Ahli-Ahli Majlis Kerajaan Negeri dalam tempoh terdekat dan seterusnya diangkat kepada Jawatankuasa Geopark Kebangsaan (JGK) untuk direalisasikan.
“Pihak kami berharap, usaha kali ini yang dibarisi pakar penyelidik dan beberapa pengkaji benar-benar berjaya bukannya projek rancang dan dibiarkan tanpa tujuan atau diibaratkan`touch and go’.
“Taman Geo aset penting bagi Terengganu dan bakal memberi manfaat daripada pelbagai sudut termasuk sektor pelancongan, ekonomi penduduk, peluang pekerjaan, pendapatan negeri dan menarik minat lebih ramai pelabur,” katanya.
Berdasarkan rekod, perancangan menjadikan Taman Geo, Tasik Kenyir bermula sejak 2015 dan pada 2017 segala dokumen berkaitan diangkat kepada JGK tetapi gagal disebabkan beberapa faktor termasuk tiada pihak yang bersetuju untuk mengetuai rancangan itu.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Bengkel Pemurnian Dossier Geopark Tasik Kenyir, di Hotel Permai, anjuran Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Unit Perancang Ekonomi Negeri dan Jabatan Mineral dan Geosains Terengganu di sini, hari ini.
Tun Ahmad Faisal turut menjelaskan pengisytiharan Tasik Kenyir sebagai Taman Geo tidak akan membebankan mana-mana pihak atau menjejaskan pendapatan sedia ada kerana tidak membabitkan pewartaan sebaliknya hanya perlu dijenamakan semula.
15 Feb 22
1421
Banjir : Terengganu Aktifkan Tabung Bencana Pertanian Serta Merta
BESUT, 15 Februari - Tabung Bencana Pertanian Negeri Terengganu diaktifkan serta-merta setelah kejadian banjir berlaku sehingga memusnahkan tanaman padi di sekitar Besut, pagi ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata hujan yang turun berterusan sejak malam tadi menyebabkan beberapa sawah padi milik penduduk ditenggelami air menjadi serupa laut.
Katanya, beliau turun meninjau kawasan baruh Gong Telikong, Besut dan mendapati padi yang baru berusia 20 hari telah rosak.
"Namun terdapat beberapa sawah lain seperti di Gong Pasir dan Lapan Tuai, Gong Nibong berada dalam keadaan baik, kamu juga masih mengumpulkan laporan kemusnahan lain.
"Insya-Allah Kerajaan Terengganu menyediakan bantuan sewajarnya melalui Tabung Bencana Pertanian Negeri Terengganu supaya petani dan pesawah kita bangkit kembali menghadapi banjir," jelas beliau kepada UPDI.
Menurutnya, kejadian banjir pada bulan ini memang berada di luar jangkaan semua pihak.
"Apabila perkara yang tidak dijangka ini berlaku, maka kita perlu persiapkan dari segi persiapan bantuan.
"Saya harapkan para pesawah kita bersabar dengan ujian yang menimpa ini. Insya-Allah kerajaan negeri dan jabatan pertanian akan bersama," katanya. - FOTO : Syafiq Halim.
15 Feb 22
1006
Suara Hati Bukan Tumpu Kaum Wanita Sahaja
KEMAMAN, 15 Februari – Suara Hati Wanita bukanlah tertumpu kepada kaum wanita sahaja, lelaki termasuk pemimpin setempat juga diseru agar mengambil tahu informasi dan maklumat berkenaan hak wanita juga.
Pengarahnya, Wan Nur Sakinah Din berkata, program ini memberi pendedahan dan garis panduan berkenaan permasalahan berlaku mengikut saluran yang tepat.
“Urus Setia Wanita Terengganu (USWa) berhasrat untuk menjadi agen penerangan dan pemudahcara kepada wanita Terengganu untuk memahami hak-hak yang boleh dituntut oleh wanita serta mendedahkan saluran betul.
“Ia satu program diadakan untuk menerangkan ilmu kepada kaum kaum wanita terutamanya wanita yang teraniaya dalam konteks perundangan dan hak-hak wanita,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program Suara Hati Wanita di Dewan Seri Amar, Kemaman, baru-baru ini.
Katanya, Kemaman menjadi pilihan pertama bagi program siri pertama kerana berdasarkan statistik kadar jenayah lalu menunjukkan bahawa daerah ini mempunyai purata kadar jenayah terhadap wanita yang tinggi, iaitu jenayah rogol.
Beliau menambah lagi, masih ramai sebenarnya yang belum tahu mengenai saluran-saluran yang boleh dicapai sekiranya ingin menuntut hak kita sebagai seorang wanita teraniaya.
“Kesedaran wanita berkaitan hak wanita dalam undang-undang ini amat penting agar wanita bukanlah objek yang sentiasa disakiti dan menjadi mangsa.
“Bukan sahaja isu permasalahan tentang keluarga, tetapi juga termasuk isu mental, terjejasnya masalah ekonomi, kesihatan dan juga berlaku masalah cerai.
“Dalam hal ini, secara tidak langsung kebanyakan golongan wanita sering ditindas dan hilang tempat pergantungan mengakibatkan kepada masalah-masalah sosial yang lain,” ujar Sakinah.
Justeru itu, beliau berharap agar program sebegini dapat diperluaskan lagi sebaran bagi masyarakat tak kira lelaki dan wanita mendapat maklumat serta apa-apa masalah dapat diselesaikan dengan cara yang betul tanpa sebarang diskriminasi jantina.
15 Feb 22
181
Dera Wanita : PDRM Saran Masyarakat Jadi Mata Dan Telinga
KUALA TERENGGANU, 15 Februari - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyarankan masyarakat menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa berkenaan sebarang isu yang berlaku.
Insp D13 Siasatan Databank DNA Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kemaman, Inspector Azlizawani Adenan berkata, mereka harus melaporkan sekiranya berlaku sebarang penderaan di persekitaran.
"Buka minda dan kita dah tahu kena ambil tindakan jangan jadi walaupun kita bukan mangsa tapi kita kena jadi mata dan telinga kepada persekitaran samada di kalangan adik beradik , jiran, satu taman dan kampung.
“Kita kena cakna dan ambil tahu sebab kita nak bantu mangsa-mangsa dari segi Inilah bukan biarkan sahaja mereka ini dengan penderitaan yang dia alami,” jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam program Suara Hati Wanita di Dewan Seri Amar, Kemaman, baru-baru ini.
Menurutnya, masyarakat kena ambil tindakan segera tanpa membiarkan si pelaku menganiayai si mangsa.
“Andai kata pernah berlaku dipukul walau sekecil-kecil kecederaan perlu rasa benda itu serius dan kena buat laporan polis sekiranya melibatkan kecederaan.
“Apa-apa pun kita kena buka minda dan kena ambil tindakan, jangan dah tahu tapi membiarkan sesuatu situasi berlaku begitu sahaja, sebab daripada benda sekecil-kecil ini yang akan membawa kepada kes yang lebih besar,” tegasnya.
Beliau menambah, terdapat banyak tempat perlindungan melibatkan jabatan-jabatan lain bukan sahaja melibatkan peguam , pihak polis dan jabatan lain yang terlibat termasuk NGO, pihak hospital dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Kalau sebelum kejadian pun dipukul ada cara perlindungan-perindungan kita dapatkan dari JKM, boleh hubungi nombor 15999 untuk dapatkan perlindungan daripada JKM dulu.
“Dan ia akan ‘link’ dengan PDRM untuk bagi perlindungan kepada mangsa ini walaupun tiada report sebab ia banyak jenis. Tiga jenis perlindungan samada sebelum, sementara ke ataupun perlindungan biasa.
“Sebelum ada laporan polis pun kita akan dapat perlindungan. Masa kes berlangsung kita dapat perlindungan daripada pihak berwajib dan selepas pada keputusan pun ada perlindungan,” tambahnya lagi.
15 Feb 22
419
Terengganu Agih RM500 Kepada Warga Tani Positif Covid-19
KUALA TERENGGANU, 14 Februari – Kerajaan Negeri Terengganu mengagihkan bantuan tunai sebanyak RM500 kepada warga tani yang dijangkit Covid-19.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata siri pertama bantuan itu telah berjaya diagihkan kepada seramai 92 orang warga tani, penternak dan nelayan untuk tempoh dari Mac 2020 sehingga Julai 2021.
"Hari ini untuk siri kedua, kami agihkan lagi kepada seramai 101 orang dari seluruh negeri Terengganu yang disahkan positif Covid-19 dalam tempoh sehingga Disember 2021.
"Jika dilihat kepada angka sektor ini, mereka antara yang berisiko rendah untuk dijangkiti Covid-19 sebab dari bulan Mac 2020 sampai Julai 2021 tidak sampai 100 orang. Namun kini ada peningkatan agak ketara yang perlu digandakan langkah berjaga-jaga," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program Penyerahan Bantuan Covid-19 di Pusat Pertanian Bandar Batu Buruk Kuala Terengganu hari ini.
Dalam pada itu menurutnya, bantuan 'one off' tersebut bukanlah satu jumlah yang besar namun ia diharap dapat membantu para penggiat pertanian.
"Bantuan ini bukan istilah tidak boleh beri sedikit banyak tidak mengapa tapi istilahnya tidak boleh beri banyak pun tidak mengapa namun sekurang-kurangnya ada," katanya.
Jelas beliau, pihak negeri dan portfolio pertanian sangat menghargai sumbangan, jasa bakti dan keringat yang dicurahkan oleh para warga tani.
"Bekerja dalam situasi sukar pandemik yang tidak pernah berhenti demi untuk membekalkan makanan kepada rakyat negeri Terengganu. Sejak daripada Mac 2020 saya dengan jabatan pertanian, berjuang tanpa henti demi memastikan sektor pertanian ini tidak disekat.
"Yang akhirnya nelayan boleh turun ke laut, penternak boleh pergi kendang hasil pertanian boleh dipasarkan dengan apa cara sekalipun.
"Keadaan jatuh bangun, penuh kesukaran naik turun sejak daripada perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac 2020 sampai kepada hari ni tak pernah terhenti. Kalau ada halangan yang menghalang pergerakan rantaian sektor kerana sebab PKP tolong maklumkan untuk kita tengok di mana halangan itu boleh diselesaikan," tegasnya.
14 Feb 22
551
Sektor Pertanian Sasar 86 Program Tahun 2022
KUALA TERENGGANU, 14 Feb – Sektor pertanian Negeri Terengganu mensasarkan 86 program bagi tahun 2022 yang bakal dinikmati oleh warga petani, penternak dan nelayan di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata semua susunan yang diatur ini pastinya akan bermanfaat kepada rakyat.
‘’ Tidak guna kalau kita melakukan suatu perancangan, akhirnya perancangan itu berhenti sekerat jalan dan tidak sampai kepada rakyat. Tahun 2021 kita dapat selesaikan 93 program, kita ingat program akan berkurangan rupa-rupanya ada 86 program yang akan disempurnakan tahun ini.
‘’ kita tidak sekadar bekerja syok sendiri, menerima laporan-laporan yang bernada kosmetik tapi hakikatnya ia tidak sampai ke bawah. Ini bukan cara kami kerja. Kami bekerja dengan memastikan apa sahaja keputusan yang dibuat di peringkat dasar kerajaan, dilaksanakan di peringkat jabatan dan tuan-tuan dan puan-puan mendapat manfaat yang sebaiknya.’’ Katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program Penyerahan Bantuan Covid-19 di Pusat Pertanian Bandar Batu Buruk Kuala Terengganu, hari ini.
Menurut beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, sepanjang tahun 2021 , sektor ini telah berjaya menyempurnakan 93 program, menyiapkan 45 projek dan menutup tahun pertanian negeri Terengganu dengan karnival tahun pertanian pada 27-29 januari lepas di Pekan Jabi walaupun berdepan keadaan yang sukar.
‘’ Alhamdulillah, peningkatan sepanjang 2021 yang kita beri penekanan secara intensif untuk melihat sektor pertanian ini berada pada satu posisi terhormat,
Dalam pada itu menurutnya, dalam sidang dewan sentiasa memberikan penghargaan kepada khidmat bakti warga tani Terengganu.
‘’ Malah dalam majlis-majlis besar pun kita berikan penghargaan kepada segala keringat yang dicurahkan kerana tanpa mereka sektor pertanian tidak akan ke mana.
‘’ Inilah sektor yang benar-benar mendasar sampai ke bawah, berpijak di bumi nyata dan diceburi oleh kira-kira 70% rakyat Terengganu. Alhamdulillah, saya mendapat maklumat semua yang dijangkiti covid-19, sudah pulih seperti biasa dan terus berjaga-jaga dengan varian baru.’’ Jelasnya lagi.
14 Feb 22
313
YBC Rai Tahun Baru Cina Bersama Warga Tionghoa
KEMAMAN, 14 Februari - Seramai lebih 250 warga Tionghoa diraikan dalam Majlis Ramah Mesra sempena Tahun Baharu Cina 2022.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional, Hanafiah Mat berkata sambutan Tahun Baru Cina dilihat mampu merapatkan lagi hubungan silaturahim sesama masyarakat setempat meskipun berbeza budaya, agama dan kepercayaan masing-masing.
"Saya mengharapkan kalian dapat bergembira bersama keluarga menyambut perayaan Tahun Baharu Cina.
“Semoga perniagaan kalian juga tahun ini berada dalam keadaan yang baik serta memperolehi keuntungan setelah beberapa tahun menghadapi cabaran dalam musim wabak Covid-19.
"Kerajaan negeri pula sentiasa mengharapkan kita semua dapat meneruskan kehidupan di dalam keadaan aman dan damai," ujarnya ketika merasmikan majlis itu di Dewan Seri Amar Diraja di sini, semalam.
Sementara itu, Pengerusi Majlis Perniagaan Cina Kemaman, Dato' Soh Kok Hiang menzahirkan rasa bertuah dan teruja di atas penghargaan dan kecaknaan pemimpin kerajaan negeri dengan mengadakan majlis yang sangat istimewa ini.
"Sepanjang Hanafiah menjadi wakil rakyat di sini, beliau telah banyak memberikan bantuan serta menolong masyarakat Tionghoa.
"Antaranya ialah menyediakan kemudahan dan fasiliti Dewan Tionghoa Kemaman untuk membolehkan pelbagai aktiviti dapat diadakan, menyumbang untuk pintu gerbang cina di jalan Jakar, menyediakan tapak tanah untuk rumah mayat bagi kegunaan dan kemudahan kaum kami," tambahnya.
14 Feb 22
349
Beliawanis Jabi Cungkil Seni Tangan Wanita Muda
SETIU, 14 Februari – Keterujaan wanita muda di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jabi terserlah setelah kesenian dan bakat yang terpendam berjaya dicungkilkan dengan penghasilan gubahan orkid.
Beliawanis Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) DUN Jabi, Nur Syafiqa Aman berkata generasi muda merupakan tonggak dan harapan kepada negara. Malah mereka merupakan aset yang penting dalam membangunkan negeri dan juga negara.
‘’Mereka perlu didekati dan dibelai dengan limpahan ilmu supaya menjadi orang yang berguna dan memberi manfaat.
‘’Selain itu, ia dapat mengeratkan ukhuwah di antara satu sama lain , melahirkan masyarakat yang suka berniaga dan menghasilkan produk sendiri. Malah mereka dapat menambah ilmu tentang gubahan bunga dan hasil seni tangan,’’ katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) dalam Program Bengkel Gubahan Orkid di Balairaya Kampung Kepala Gajah, Jabi, semalam.
Seramai 40 orang wanita muda Unit Daerah Mengundi (UDM) menyertai bengkel tersebut gabungan dari Kampung Kepala Gajah dan Kampung Renek. Ia dianjurkan bersama Pusat Khidmat ADUN Jabi dengan kerjasama Ameerah Jabi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dr Azman Ibrahim berkata fitrah manusia menyukai keindahan dan kecantikan. Gabungan daripada pelbagai kejadian jelas menggambarkan nilai kebesaran Allah SWT.
‘’ Antara nikmat sebagai manusia apabila melihat keindahan alam dapat mengenangkan siapakah diri kita dan mengingatkan kepada sang pencipta.
‘’ Berinteraksilah dengan alam untuk sama-sama mendapat manfaat. Termasuk jugalah keindahan alam seperti bunga-bungaan tumbuh-tumbuhan. Ini kerana telah digambarkan dalam al-quran bahawa syurga ini banyak pokok-pokok sebab ia suatu yang indah.
‘’ Malah digambarkan juga sungai-sungai yang mengalir. Jadi gabungan sungai, pokok, bunga ini benda yang menyenangkan manusia sehingga digambarkan di syurga. Tiada pula Allah sebut bangunan pencakar langit.
‘’ Mata lebah kemana pergi dia akan cari bunga. Kalau mata lalat ia akan mencari sampah , bangkai dan benda busuk. Jesteru, belajarlah daripada mata lebah yang sentiasa mencari benda yang indah dan akhirnya menghasilkan madu-madu yang berkhasiat untuk dimakan oleh manusia.’’ katanya
Tambahnya, setiap perkara di atas muka bumi ini suatu perkara untuk kita berfikir.
‘’ Orang mukmin apabila dia lihat ciptaan alam dia akan berkata Ya Tuhan, tidak kamu jadikan ini dengan sia-sia dan selamatkanlah kami daripada azab api neraka. Ini cara orang islam berfikir,
‘’Tahniah Beliawanis dan Ameerah Jabi di atas kejayaan Program Bengkel Gubahan Orkid pada hari ini dan harap diteruskan ke UDM lain yang menjadi suatu program untuk mendekati masyarakat , bertemu mata, beramah mesra,’’ jelasnya lagi.
14 Feb 22
302
PSUK Terengganu Berjaya Laksana Pembangunan Pelan Strategik Pendigitalan
KUALA TERENGGANU, 14 Februari - Pejabat Setiausaha Kerajaan (PSUK Terengganu) melalui khidmat rundingan Unit Permodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) telah berjaya melaksanakan Pembangunan Pelan Strategik Pendigitalan Pejabat Setiausaha Kerajaan (PSP PSUK) Terengganu dan agensi di bawahnya bagi tempoh 2021 hingga 2025.
Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, beliau meletakkan harapan agar pelan ini dapat membantu pentadbiran Negeri Terengganu merencanakan pelbagai program pendigitalan yang bakal memberi impak dalam perkhidmatan Kerajaan Negeri dan seterusnya mentransformasikan perkhidmatan awam Negeri Terengganu ke arah kerajaan digital.
Pembangunan pelan ini turut melibatkan Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Terengganu dan tujuh Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Terengganu.
Pembangunan pelan yang melibatkan sembilan agensi ini telah melalui tempoh selama 12 bulan bermula pada 15 Februari 2021 dan berakhir pada 13 Februari 2022 melalui sesi menandatangani Dokumen Sign Off oleh Setiausaha Kerajaan Terengganu, Tengku Seri Bijaya Raja, dan Ketua Pengarah MAMPU, Datuk Seri Dr. Yusof Ismail di Wisma Darul Iman, semalam.
Sesi menandatangani dokumen tersebut turut disaksikan oleh Ahmad Samsuri dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dato' Seri Mohd Zuki Ali.
Pada majlis itu, Ahmad Samsuri turut menyerahkan dokumen Pelan Strategik Pendigitalan kepada agensi-agensi yang terlibat sebagai simbolik penamatan projek.
"Pembangunan PSP ini dilaksanakan berdasarkan keperluan ekosistem pendigitalan yang merangkumi lima bidang utama iaitu Perkhidmatan, Aplikasi dan Data, Infrastruktur dan Keselamatan ICT, Tadbir urus Digital, Keupayaan Digital.
"Antara faedah dan impak pelaksanaan PSP adalah penyampaian perkhidmatan kerajaan yang lebih telus dan berintegiriti, kawalan dan pemantauan operasi yang lebih sistematik dan berkesan, pengurusan data dan maklumat pelanggan dengan tepat dan cekap serta perkongsian maklumat dengan agensi lain yang lebih berkesan," ujar beliau ketika berucap merasmikan program tersebut.
Sementara itu, Mohd Zuki berkata, pembangunan PSP ini memberi fokus kepada pendigitalan penyampaian perkhidmatan Kerajaan dengan memanfaatkan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) yang menjurus kepada perkhidmatan dalam talian end-to-end (E2E), perkongsian data, bayaran tanpa tunai dan kepelbagaian medium penyampaian perkhidmatan.
Beliau turut percaya pembangunan pelan ini mampu melonjakkan inisiatif pendigitalan PSUK Terengganu dan agensi di bawahnya, dan seterusnya sektor awam di samping menyumbang kepada peningkatan peratusan indikator bandar dan komuniti mampan demi kesejahteraan rakyat.
14 Feb 22
420