lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Adun Ajil Komited Bantu Penduduk Miliki Rumah Selesa
Adun Ajil Komited Bantu Penduduk Miliki Rumah Selesa
HULU TERENGGANU, 23 Februari -Ahli Dewan Undangan Negeri ( Adun) Ajil, Maliaman Kassim komited membantu penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) tersebut untuk memiliki kediaman selesa. Katanya, mereka yang memerlukan sama ada untuk menaik taraf rumah atau membina baharu rumah akan terus dibantu. "Bantuan yang disalurkan kepada penduduk yang kurang berkemampuan adalah menerusi peruntukan Program Pembangunan Terengganu Sejahtera (PPTS). "Kita akan memastikan permasalahan rakyat yang memerlukan bantuan rumah di kawasan DUN Ajil akan sentiasa diberi perhatian," katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat dua buah rumah di Felda Bukit Bading, semalam. Katanya, bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ajil, sejak dari tahun 2018 sehingga kini sebanyak enam buah rumah dibina bagi mengantikan rumah yang lama dan uzur. "Manakala sebanyak 295 buah rumah dibaikpulih melibatkan kos sebanyak RM4,244,646.75," ujarnya. Menurut beliau, walaupun kerajaan berdepan kekangan peruntukan bagi membina perumahan di setiap DUN namun, wakil rakyat perlu mengambil pendekatan untuk membantu rakyat yang benar-benar memerlukan rumah. “Apabila kita sudah bantu mereka bina rumah, mereka boleh tumpukan lebih perhatian untuk mencari pendapatan bagi menyara keluarga. “Saya akan cuba membantu mereka sehinggga rumah siap dibina atau dinaik taraf sepenuhnya,” katanya. Maliaman berkata, menjadi fokus beliau untuk terus membantu setiap penduduk khususnya dikawasan luar bandar yang mahu membina rumah baharu atau menaik taraf rumah sedia ada termasuk masalah rumah yang uzur berada di dalam kawasan Felda di dalam DUN Ajil. Sementara itu, Penghulu Mukim Diman, Mohd Jefri Din berkata, kerjasama erat antara beliau dengan Maliaman menjadi segala perancangan pembangunan serta penyaluran bantuan kepada penduduk dapat dilaksanakan dengan mudah dan lancar. "Sebelum mendapat kelulusan baikpulih, satu jawatankuasa siasatan ke tapak telah dijalankan bersama pihak Pejabat Daerah dan pihak Pusat Khidmat Masyarakat Adun," ujarnya.
23 Feb 22
425
Enam Lokasi Pelancongan CBT Di Besut
Enam Lokasi Pelancongan CBT Di Besut
KUALA TERENGGANU, 22 Februari- Enam lokasi di Besut kini dikenalpasti sebagai Kawasan Pelancongan Berasaskan Komuniti (CBT) bagi merancakkan kembali sektor pelancongan Terengganu. Pengarah Jabatan Pelancongan Nergeri Terengganu (JPNT), Fadli Yusof Zakaria, berkata dengan penambahan enam CBT di Besut, Terengganu kini mempunyai 29 CBT yang aktif mengetengahkan keunikan dan kekuatan produk serta perkhidmatan masing-masing. Katanya, lokasi tersebut adalah Felda Selasih, Mukim Kerandang, Kampung Kubang Depu, Kampung Kayu Kelat, Pulau Perhentian dan terbaharu di Bukit Bubus, Tembila. “Pemilihan  Bukit Bubus mempunyai kekuatan tersediri untuk dinaiktaraf sebagai CBT, antaranya memperkenalkan aktiviti paragliding.  “Aktiviti yang semakin mendapat tempat di kalangan peminatnya mendapat tumpuan 38 negara membabitkan 74 peserta antaranya dari Nepal, New Zealand, Vietnam, Filipina, Greece, Thailand, Norway, Poland, Mongolia dan Jepun dalam penganjuran Terengganu International Paragliding Competition pada tahun  2017,” katanya dalam satu kenyataan media. Tambah Fadli, selain Besut, Kuala Terengganu dan Marang kini mempunyai lima CBT, Kemaman dan Hulu Terengganu (4 CBT), Dungun dan Kuala Nerus (2 CBT) dan Setiu (1 CBT ). Menurutnya, Kalang Warisan dan Dataran Batu Putih adalah contoh CBT terbaik di negeri ini kerana diasaskan sendiri oleh komuniti di kawasan terbabit dan menjadi tumpuan pengunjung dalam dan luar negeri Terengganu. “Penduduk turut bekerjasama sehingga terhasilnya sebuah kawasan unik yang memiliki pelbagai daya tarikan tersendiri dan pernah menerima pengunjung sehingga mencecah 1,000 orang sehari. “Pihak kami  tidak menyasarkan jumlah tertentu penubuhan CBT dalam tempoh setahun, ini kerana mahu menumpukan jumlah CBT yang sedia ada supaya mampu mewujudkan peluang pekerjaan, membangunkan ekonomi kampung, penubuhan koperasi dan seterusnya menaikkan imej kampung,” ujar beliau.  
23 Feb 22
1389
Suara Hati Wanita : PDRM Seru Kaum Wanita Menjadi Mata Dan Telinga
Suara Hati Wanita : PDRM Seru Kaum Wanita Menjadi Mata Dan Telinga
DUNGUN, 23 Februari – Kaum wanita diseru agar menjadi mata dan telinga bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) terutama dalam menyalurkan maklumat berkenaan jenayah dan masalah yang berlaku disekeliling komuniti. Pegawai Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Masyarakat (JPJKK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu, DSP Zulkeflee Abu Kasim berkata, peranan ini dapat membantu pihak berkuasa mengurangkan kes jenayah daripada berleluasa. “Pada pandangan saya program Suara Hati Wanita amatlah baik, ini kerana penglibatan bersama dengan PDRM berpandukan slogan 'Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada'. “Bila dalam saat selepas COVID-19 kita bersyukur sebab kita dapat berkumpul bersama-sama untuk erat perhubungan kita. "Perjumpaan begini sebenarnya boleh mendatangkan satu benda positif terutama dari segi luahan hati, perasaan kadang-kadang mungkin dengan individu secara khasnya dan kata orang itu keseluruhan secara amnya,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan ke tapak program Suara Hati Wanita yang diadakan di Dewan Majlis Perbandaran Dungun, semalam. Menurutnya, program sebegini menarik kerana masyarakat di negeri ini dapat berkongsi antara satu sama lain dan meluahkan masalah yang dihadapi. “Maksudnya bila kata luahan misalnya sesuatu benda yang terpendam sebelum ini, tetapi bila diluahkan dan dilepaskan dia akan menjadikan satu ketenangan samada masalah diri sendiri, masalah keluarga ke ataupun masalah masyarakat. “Jadi kita dapat kongsikan bersama dan bila program ini diadakan juga sekurang-kurangnya kita dapat input benda yang kita tak tahu kita jadi tahu,” ujar beliau. Sementara itu, beliau menambah PDRM telah mewujudkan satu unit khas yang dikenali sebagai AMANITA dalam usaha mendapatkan maklumat berkaitan jenayah yang tidak dilapor di kalangan masyarakat. Katanya, matlamat utama adalah untuk menjadikan suri rumah tangga sebagai rakan polis dalam usaha mengurangkan kadar jenayah. “Untuk pengetahuan AMANITA dah lama diwujudkan disetiap kontinjen peringkat negeri dan daerah dan setiap balai.  “Peranan AMANITA  ini adalah pendekatan yang kita ambil bersama masyarakat wanita itu sendiri dimana polis wanita berganding bahu bersama masyarakat wanita terutamanya surirumah tangga untuk bersama-sama dalam mencegah jenayah,” katanya.  Tambah beliau, pihak PDRM menyediakan kenderaan bermotosikal di mana skuad ini akan  membuat rondaan dari rumah ke kediaman yang lain dan bertanya berkaitan masalah jenayah. “Setiap tahun sekali kita akan buat  program AMANITA dimana kita akan pilih satu lokasi di setiap daerah untuk panggil masyarakat terutamanya kaum wanita berbincang ,menjelaskan dan bagi penerangan serta minta pandangan, berkaitan hal wanita dan juga keselamatan setempat. “Jadi inilah sebenarnya ruang dan peluang bagaimana pendekatan yang dikatakan  tadi “Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada supaya  hubungan erat komuniti , kolaborasi  antara PDRM dapat  kita sama-sama bagi mencapai matlamat  ujian mencegah jenayah dan  keselamatan amnya,” tegas beliau lagi.
22 Feb 22
476
Jelajah Untukmu Wanita : Jadikan Satu Budaya Tak Lari Dari Syariat
Jelajah Untukmu Wanita : Jadikan Satu Budaya Tak Lari Dari Syariat
DUNGUN, 22 Februari - Generasi kaum hawa pada hari ini disarankan agar mencari ilmu dan menjadikan ia sebagai satu budaya harian. Pengarah Urus Setia Wanita Terengganu (USWa), Wan Nur Sakinah Din berkata, ilmu pengetahuan penting dalam membina jati diri golongan itu agar terus segar, semarak dan rancak. "Pelaksanaan program Jelajah Untukmu Wanita diharapkan dapat membentuk dan mendidik jiwa wanita dan masyarakat di Terengganu dengan cara hidup yang diredhai oleh Allah SWT. "Ini juga bertujuan melahirkan generasi wanita yang mendekatan diri kepada Allah SWT secara seimbang dan berterusan dalam konteks dunia dan akhirat," jelasnya. Beliau berkata demikian selepas program Suara Hati Wanita yang diadakan di Dewan Majlis Perbandaran Dungun, semalam. Katanya lagi, program tahunan yang diadakan kali ketiga itu telah mendapat sambutan luar biasa daripada kaum wanita dan masyarakat. "Wanita itu tiang negara, apabila baik wanitanya maka baiklah sesebuah negara. Begitulah besarnya kepentingan wanita dalam pembinaan generasi masyarakat yang bertamadun. "Kesedaran betapa pentingnya mendidik wanita ini menatijahkan program ini membawakan ikon pendakwah wanita yang sangat dekat kepada masyarakat iaitu Ustazah Datuk Nor Hafizah Musa," ujar beliau.  Justeru itu, beliau berharap program kali ini dapat mempersiapkan wanita dengan ilmu agama, kerohanian, pengurusan emosi dan diri yang baik sehingga dapat melahirkan generasi wanita Terengganu yang maju berkat dan sejahtera. "Membimbing wanita menjalani kehidupan yang seimbang dunia dan akhirat. 'Mendidik wanita menjadi lebih kuat dan berani mendepani cabaran mendatang," tambah Sakinah lagi.
22 Feb 22
289
‘Primula Gerobok Rezeki’ Bantu Pelajar Memerlukan
‘Primula Gerobok Rezeki’ Bantu Pelajar Memerlukan
KUALA TERENGGANU, 22 Februari – Berpegang pada konsep 'rezeki dikongsi bersama' Primula Beach Hotel, di sini, memperluaskan  Gerobok Rezeki bagi membantu pelajar asnaf di sekolah-sekolah yang terpilih.  Pengurus Besarnya, Suaibah Harun berkata, idea tersebut  bermula daripada kejayaan  projek Primula Gerobok Rezeki yang diagihkan kepada masjid-masjid dan surau-surau terpilih di sekitar kawasan Marang, Kuala Terengganu dan Kuala Nerus.  Justeru itu katanya, pihaknya mengembangkan lagi program itu dalam pengagihan barangan asas kepada sekolah-sekolah yang mempunyai program tersebut.  “Gerobok Rezeki ini satu usaha yang sangat baik. Jika kita ada rezeki yang lebih, rezeki itu kita kongsikan dengan orang lain kerana masih ada mereka yang memerlukan untuk kelangsungan hidup. “Program ini bukan bantuan one-off tetapi dibuat secara berterusan di mana orang ramai  juga boleh menyumbang sepanjang masa dan mereka yang memerlukan boleh mendapatkan keperluan di Gerobok rezeki,” katanya "Sebenarnya, semua makanan ini bukan tertumpu untuk anak asnaf sahaja, tetapi membantu pelajar tertinggal wang belanja atau ditimpa apa-apa musibah ketika sesi persekolahan," katanya kepada pemberita. Primula Gerobok Rezeki merupakan projek kebajikan bermula sejak Ogos 2021 yang dilancarkan untuk membantu mereka yang sangat memerlukan dan kurang berkemampuan. Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ahmad, Losong, Kuala Terengganu merupakan sekolah pertama yang dipilih  menerima sebanyak 30 kotak air minuman Milo, 20 paket biskut Hap Seng dan Lexus, lima paket Milo Crunch dan 10 paket Nestum  yang disumbangkan oleh warga kerja Primula Beach Hotel  Tambah Puan Suaibah lagi, ia adalah sebuah almari dipenuhi makanan dan minuman dengan tujuan membantu pelajar di sekolah itu. “ Mereka yang mempunyai masalah kewangan boleh mengambil barangan keperluan di gerobok rezeki berupa barangan asas makanan, minuman dan keperluan harian  agar mereka dapat terus fokus untuk belajar tanpa sebarang gangguan dan perut yang terisi.  “Inisiatif ini juga diharap dapat mengurangkan kesengsaraan keluarga murid yang tiada pendapatan tetap atau terjejas akibat penularan wabak COVID-19,” katanya. Justeru katanya, bantuan seumpama itu adalah tepat sebagai dorongan dan motivasi kepada pelajar betapa ada pihak yang ambil berat terhadap kebajikan mereka.
22 Feb 22
591
Chicken Cottage Lebarkan Pasaran Ke Afrika Timur
Chicken Cottage Lebarkan Pasaran Ke Afrika Timur
KUALA TERENGGANU, 22 Februari - Restoran makanan segera Chicken Cottage yang juga milik anak syarikat kerajaan Terengganu terus melebarkan sayap pemasarannya dengan pembukaan empat lagi cawangan baharu di Afrika Timur tahun ini. Presiden dan Pengarah Eksekutif Terengganu Incorporated Sdn. Bhd. (Terengganu Inc.), Burhanuddin Hilmi Mohamed berkata, cawangan sulung di negara itu dijangka memulakan operasinya pada April ini di Nairobi, Kenya. “Tiga lagi cawangan akan dibuka secara berperingkat di Rwanda, Tanzania dan Uganda,”katanya kepada pemberita. Tambah beliau, Chicken Cottage yang memulakan operasi di Wembley pada 1994 semakin kukuh dalam industri restoran makanan segera global menerusi menu halal berkualiti tinggi terutama ayam panggang dan goreng. “Sehingga kini Chicken Cottage yang berpangkalan di London, United Kingdom mempunyai keseluruhan 65 cawangan dengan 57 daripadanya di negara berkenaan diikuti masing-masing dua di Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Nigeria manakala Pakistan (empat). “Di samping itu, kita turut menyasarkan untuk menambah 10 lagi cawangan baharu di United Kingdom dengan masing-masing lima pada tahun ini disusuli bakinya pada 2023,” ujarnya lagi. Menurut Burhanuddin Hilmi, sepanjang tahun lalu, Chicken Cottage berjaya meraih keuntungan sebanyak RM5.3 juta. Sementara itu, Pengerusi Express Kitchen Ltd., Abdinasir Ali Hassan berkata, keunikan sajian ayam yang diperkenalkan Chicken Cottage mampu memikat pelanggan di rantau berkenaan. Express Kitchen Ltd. milik AAH Limited merupakan pemegang saham terbesar dalam Kumpulan Petroleum Hass yang mengendalikan lebih 150 stesen minyak di 10 negara di Afrika.  
22 Feb 22
1513
Masjid Akan Sejahtera Jika Diimarahkan-Zulkefli
Masjid Akan Sejahtera Jika Diimarahkan-Zulkefli
KUALA TERENGGANU, 21 Februari- "Perkataan masjid itu sendiri membawa maksud, masjid akan sejahtera jika ia diimarahkan," kata Timbalan Pesuruhjaya Hal Ehwal Islam Terengganu, Zulkefli Othman. Menurut beliau, selaras dengan hasrat kerajaan negeri untuk memperkasakan institusi masjid, salah satu caranya adalah dengan terus komited menganjurkan Bulan Penghayatan Ibadah Solat (BPIS). "Program yang diadakan setiap tahun sejak 2019 ini bukan sahaja untuk memberi kesedaran kepada masyarakat umum tentang pelaksanaan ibadah solat secara bersendirian tetapi juga berjemaah. "Setiap kali tibanya bulan Rejab, kempen ini akan dilaksanakan selama sebulan dengan harapan dapat memberikan impak yang baik kepada masyarakat selain meramaikan lagi jemaah di masjid-masjid," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika bersiaran langsung di TV Darul Iman, semalam. Katanya, penganjuran program  Bulan Penghayatan Ibadah Solat pada pandangan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) adalah suatu yang amat baik dan boleh menjadi pemangkin kepada umat Islam khususnya di Terengganu untuk mempertingkatkan amal ibadah terutamanya solat itu sendiri. "Sambutan bulan penghayatan ibadah solat ini bukan di Terengganu sahaja bahkan pada tahun ini di peringkat kebangsaan Jakim telah memperkenalkannya di mana Menteri baru-baru ini telah melancarkan program seumpama ini untuk menghidupkan ibadah solat. "Secara tidak langsung mengajak kepada penghayatan solat itu sendiri selain menyemarakkan roh dan semangat umat Islam untuk bulan-bulan lain. Tambah beliau, objektif penganjuran bulan penghayatan ibadah solat juga adalah untuk sentiasa mengingatkan masyarakat tentang kefardhuan solat itu sendiri. "Selain menambah kecintaan dan kefahaman kita sebagai umat Islam terhadap solat," ujarnya.
21 Feb 22
254
Aid4Palestine Lancar Minggu Al-Quds Sedunia
Aid4Palestine Lancar Minggu Al-Quds Sedunia
KUALA TERENGGANU, 21 Februari - Badan Bukan Kerajaan (NGO) Aid4Palestine dengan kerjasama Pejabat Utusan Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah akan melancarkan Minggu Al-Quds Sedunia pada 25 Februari hingga 3 Mac 2022. Pengerusi Aid4Palestine, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi dalam satu kenyataan di laman Facebooknya, inisiatif itu diadakan bagi mengangkat solidariti ummah seantero dunia untuk bangkit bersama ke arah pembebasan Al-Quds. Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi "Minggu Al-Quds Sedunia yang digerakkan serentak di seluruh dunia ini ialah satu inisiatif cetusan daripada gabungan persatuan-persatuan ulama' Islam dari pelbagai negara. "Penganjuran Minggu Al-Quds Sedunia di peringkat Malaysia pada tahun ini akan merangkumi pelbagai program yang mensasarkan penglibatan pelbagai agensi kerajaan, swasta, NGO, tokoh-tokoh masyarakat serta pelbagai lapisan masyarakat," jelas Ustaz Muhammad Khalil. Tambah beliau lagi yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, antara aktiviti yang akan dijalankan sepanjang minggu tersebut ialah Karnival #Malaysia4AlQuds, Kayuhan serta Konvoi Solidariti #Malaysia4AlQuds dan Khutbah Perdana Al-Quds. Justeru, Aid4Palestine dan Pejabat Utusan Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah berbesar hati untuk mengajak seluruh warga Malaysia untuk bersama-sama menjayakan Minggu Al-Quds Sedunia ini.  
21 Feb 22
783
Pelajar Cemerlang Teruja Ditaja Lanjut Pengajian Ke Australia
Pelajar Cemerlang Teruja Ditaja Lanjut Pengajian Ke Australia
KUALA TERENGGANU, 21 Februari- Tiga orang anak negeri ini teruja apabila hasrat dan cita-cita mereka selama ini untuk menyambung pengajian ke Australia ditunaikan menerusi biasiswa Skim Pelajar Cemerlang Yayasan Terengganu ke luar negara dengan peruntukan sebanyak RM1.9 juta Buat kali pertama, kerajaan negeri akan menghantar pelajar ke benua tersebut setelah ketiga-tiga mereka telah muncul menjadi pelajar terbaik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018 dan 2019 dan menamatkan Program Persediaan A-Level dan South Australian Certificate Of Education (SACE) di Kolej Intec Shah Alam. Antaranya adalah Tuan Nur Ain Nadhirah Tuan Kob yang memperolehi keputusan cemerlang SPM 2018 dengan keputusan 11A, bakal menyambung pengajian di University Of Melbourne. Beliau diikuti oleh Iffah Nabilah Shahidan yang merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Chukai mendapat 9A didalam SPM 2019 juga akan ke universiti tersebut dalam bidang yang sama selama tiga tahun. Manakala Mohamad Shafiq Akram Shafee pula akan ke Monash University dalam bidang farmasi selama empat tahun yang i sebelum ini telah muncul sebagai pelajar cemerlang pada SPM 2019 dengan mendapat keputusan 9A+. Berkongsi detik kegembiraan itu, Nur Ain berkata dengan biasiswa yang diterima itu sangat membantu untuknya menghabiskan pengajian yang akan memakan masa selama tiga tahun. "Saya sangat berterima kasih kepada kerajaan negeri dan terharu dengan peluang yang diberikan ini, dengan amanah dan tanggungjawab yang diberikan ini saya akan belajar bersungguh-sungguh untuk mendapatkan ijazah kelas pertama di sana nanti dalam bidang yang dipilih ini. "Nasihat saya kepada mereka yang akan menduduki peperiksaan berusahalah untuk mencapai keputusan yang cemerlang supaya mendapat peluang biasiswa yang ditawarkan oleh kerajaan negeri ini untuk ke luar negara. "Saya sangat bersyukur dan berterima kasih di atas peluang yang diberikan kepada saya ini,"Ujarnya yang berasal dari Besut merupakan anak kedua daripada tiga beradik, ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) Berkongsi kegembiraan yang sama, Iffah Nabilah yang merupakan anak jati Kemaman pula berkata, dengan tawaran yang diterimanya itu telah merealisasikan impiannya semenjak kecil untuk belajar di luar negara. "Kerana itu di bangku sekolah terutamanya pada peringkat menengah saya sentiasa berusaha dan mengulangkaji pelajaran dengan tekun untuk memastikan saya meraih keputusan yang cemerlang. "Akhirnya impian ini dapat dicapai dimana saya akan berangkat pada pertengahan Februari ini dan akan memulakan kelas pertama pada 28 Februari," jelasnya. Nasihatnya kepada pelajar lain agar jangan pernah merasa penat dalam belajar untuk meraih keputusan yang cemerlang, apabila berjaya katanya, tawaran dari pelbagai pihak seperti yang diberikan oleh kerajaan itu akan diterima. "Dengan biasiswa yang diperolehi ini tidak akan sia-siakan untuk membalas balik jasa baik kerajaan yang telah membantu saya dan rakan-rakan ini insya-Allah sata serta rakan-rakan yang lain akan menghabiskan pelajaran dengan lancar dan insya-Allah pulang nanti akan menyumbang khidmat serta menggunakan segala ilmu dalam pekerjaan nanti," tambahnya. Shafiq Akram pula berkata kejayaanya itu menjadi kebanggan keluarga apabila menjadi anak pertama dalam keluarga berjaya menyambung pengajian ke luar negara. "Ini membuatkan saya lagi teruja apabila menerima biasiswa ini dimana akan meringankan perbelanjaan pengajian nanti. "Saya anggap ini satu tanggungjawab yang besar untuk menimba ilmu sebanyak-banyaknya di luar negara apabila pulang nanti berbakti kepada negara,"katanya yang merupakan anak keempat daripada lima beradik," katanya lagi. Ketiga-tiga mereka telah ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPSI) selepas diraikan dalam Majlis Penyerahan Pendahuluan Diri Penerima Biasiswa Skim Pelajar Cemerlang Yayasan Terengganu Ke Luar Negara bagi tahun ini, di Pejabat Yayasan Terengganu, awal bulan ini. Majlis berkenaan telah disempurnakan perasmiannya oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi, Satiful Bahari Mamat. Satiful berkata, besar harapan kerajaan negeri untuk melihat pelajar berkenaan pulang membawa kejayaan dan menamatkan pengajian mengikut tempoh yang telah ditetapkan. "Sekalung penghargaan dan tahniah kepada para pelajar, ibu bapa dan semua pihak yang terlibat semoga kesemua mereka akan mengekalkan kecemerlangan mereka di sana melalui bidang pengajian yang dipilih di universiti yang terkemuka, di mana ia turut menjadi impian dan dambaan pelajar lain untuk turut menimba ilmu di sana. "Bagi pelajar yang akan menduduki peperiksaan terutamanya pelajar SPM belajarlah bersungguh-sungguh kerana kerajaan negeri sentiasa komited untuk menaja anak Terengganu bagi menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. "Kita sentiasa menyediakan ruang dan peluang kepada mereka," ujarnya.  
21 Feb 22
1033
Pulau Perhentian, Jertih Destinasi Eko Pelancongan Berpotensi
Pulau Perhentian, Jertih Destinasi Eko Pelancongan Berpotensi
BESUT, 21 Februari- Pulau Perhentian dan Jertih kini dikenalpasti oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) sebagai kluster destinasi eko pelancongan yang berpotensi untuk dipromosi dan dibangunkan secara bersepadu. Setiausaha Kerajaan Negeri, Yang Berhormat Mulia Tengku Seri Bijaya Raja berkata, produk pelancongan lain adalah  Pantai Air Tawar, Pantai Bukit Keluang, Desa Ukiran Kayu, Hutan Simpan Gunung Tebu, Kolam Air Panas La di samping aktiviti pembuatan rebana dan gasing serta persembahan dikir barat, wayang kulit. Katanya, tarikan terbaru adalah Bukit Bubus di mana peluncur boleh berada di awangan mencecah ketinggian 300 hingga 500 meter daripada paras laut di samping menikmati keindahan panorama jajaran Bukit Keluang, Laut China Selatan yang terbentang luas, turut kelihatan Pulau Perhentian dan Pulau Rhu. “Berdasarkan rekod, pada tahun 2017 dan 2020, kerajaan negeri melalui Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT) telah berjaya menganjurkan Kejohanan Luncur Udara Antarabangsa Terengganu (TIPCO) yang telah berjaya menarik 74 peserta daripada 28 buah negara dan Discovery Paragliding Beautiful Terengganu dan Ogos ini, akan dianjurkan pula Terengganu International Air Festival,” katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Lawatan Ke Bukit Bubus, Tembila, di sini semalam. Hadir sama, Pengarah JPNT Fadli Yusof Zakaria. Tengku Seri Bijaya Raja berkata, aset pelancongan merupakan elemen penting dalam industri pelancongan. “Saya berharap agar enam elemen aset pelancongan (Six A) iaitu Attractions (Tarikan), Accessibility (Ketersampaian), Amenities (Kemudahan), Available Packages (Pakej) , Activities (Aktiviti Pelancongan) dan Ancillary Services (Perkhidmatan Sampingan) dilihat dengan lebih berfokus dan bersepadu agar Bukit Bubus ini akan menjadi tarikan pelancongan tersohor di negara ini. “Di samping lima elemen dalam produk pelancongan iaitu aspek fizikal (physical plant), perkhidmatan (service), hospitaliti (hospitality), kebebasan membuat pilihan (freedom of choice) dan penglibatan (involvement),” katanya. Beliau turut memaklumkan, bagi daerah Besut, sejumlah RM143,000  telah disalurkan JPNT di 10 lokasi pelancongan bagi tujuan pengindahan, keceriaan dan kebersihan.  “Perkembangan industri pelancongan yang berasaskan alam semulajadi, seni dan budaya akan mendorong para pelancong berkunjung berulang kali dan Besut sesungguhnya adalah sebuah daerah yang sangat bertuah kerana mempunyai semua produk pelancongan tersebut,” katanya.
21 Feb 22
601