lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Mangsa Banjir Di Terengganu Makin Meningkat
Mangsa Banjir Di Terengganu Makin Meningkat
KUALA TERENGGANU, 25 Februari -Gelombang banjir kelima kembali melanda Terengganu hari ini berikutan hujan lebat berterusan sejak Rabu lalu. Antara daerah yang terlibat adalah Kemaman, Setiu dan Hulu Terengganu dan lebih banyak kawasan akan terjejas sekiranya hujan lebat masih berterusan. Jurucakap Sekretariat Pengurusan Bencana Terengganu berkata, setakat ini, 13 pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka di seluruh negeri ini. "PPS yang mula diaktifkan pada hari ini ialah tujuh di Kemaman, tiga di Setiu dan Hulu Terengganu. "Setakat ini, seramai 828 mangsa daripada 235 keluarga dari ketiga-tiga  daerah telah berpindah ke PPS berkenaan,” katanya di sini hari ini. Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran melalui laman web https://publicinfobanjir.water.gov.my melaporkan dua sungai melepasi paras bahaya di daerah Kemaman iaitu Sungai Tebak setinggi 19.37 meter (m) berbanding 18.5 m dan Sungai Kemaman di Jambatan Air Putih setinggi 14.54 m (paras bahaya 14 m). Enam lagi sungai di empat daerah kini melepasi paras amaran iaitu tiga di daerah Hulu Terengganu (Sungai Berang, Sungai Peneh dan Sungai Telemong) serta Sungai Nerus di Kampung Langkap daerah Setiu, Sungai Dungun dan Sungai Tumpat di Kemaman.    
25 Feb 22
2834
Terengganu Terima Peruntukan Tertinggi  Pulihara Muara Sungai Cetek
Terengganu Terima Peruntukan Tertinggi  Pulihara Muara Sungai Cetek
SETIU, 25 Februari- Terengganu menerima peruntukan paling tinggi berjumlah RM1.16 bilion bagi mengatasi masalah muara sungai cetek di negeri itu. Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, jumlah tersebut merupakan sebahagian dari peruntukan kerajaan pusat sebanyak RM1.6 bilion bagi mengatasi masalah muara sungai cetek di seluruh negara bagi tempoh 2002 sehingga 2021. Katanya, masalah muara sungai berlaku di seluruh negara, namun terdapat 14 muara sungai di Terengganu berbanding negeri lain yang hanya ada tiga atau empat muara. Menurut beliau, sebanyak RM343 juta telah diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11, bagi pelaksanaan tiga projek baharu di bawah Program Pemuliharaan Muara Sungai. "Salah satunya Projek Pemuliharaan Muara Sungai Setiu yang menerima dengan jumlah siling peruntukan sebanyak RM150 juta yang telah bermula Januari lepas dan dijangka siap dalam masa tiga tahun. "Selain itu, kos pembinaan struktur pemecah ombak, struktur training wall, lapis lindung  (revetment), penyuburan pantai (beach nourishment) dan juga kerja pengorekan alur navigasi  sepanjang 14 kilometer dari Kampung Gong Batu sehingga Jeti LKIM di Kampung  Penarik pula melibatkan peruntukan sebanyak RM116 juta." katanya pada Majlis Pelancaran Projek Pemuliharaan Muara Sungai Setiu di sini, hari ini.  Tambah beliau, pihaknya sentiasa peka dengan keluhan para nelayan yang terlibat dengan permasalahan muara cetek  yang menjejaskan sumber pendapatan mereka. Jelasnya lagi, menjadi salah satu keutamaan Kementerian Alam Sekitar bagi kelangsungan aktiviti sosio-ekonomi masyarakat tempatan berjalan dengan lancar.                      
25 Feb 22
569
Amaran Hujan Tahap Bahaya, Empat Daerah Dijangka Banjir
Amaran Hujan Tahap Bahaya, Empat Daerah Dijangka Banjir
KUALA TERENGGANU, 25 Februari - Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) pagi tadi telah mengeluarkan Amaran Hujan Sangat Lebat Berterusan Tahap Bahaya (merah) melibatkan seluruh kawasan di Terengganu dengan empat daerah dijangka banjir. Ketua Pengarahnya, Muhammad Helmi Abdullah, berkata sistem cuaca tekanan rendah kini berada di kedudukan 5.13°U 107.05°T di Laut China Selatan dan dijangka melanda sempadan negeri Pahang dan Terengganu petang ini sebelum bergerak ke barat laut merentasi Semenanjung. Susulan itu, Pusat Ramalan Dan Amaran Banjir Negara (PRABN), Jabatan Pengairan dan Saliran telah mengeluarkan ramalan banjir akan berlaku di di beberapa daerah. "Antaranya seperti di Kemaman melibatkan Kampung Bukit Mentok, Kampung Sungai Pinang dan kawasan rendah sekitarnya. "Di daerah Besut pula banjir dijangka melanda Kampung Keruak, Kampung Belach, Kampung Seberang La, Kampung Pengkalan Hangka, Kampung Gong Guchil, Kampung La, Kampung Lampu dan kawasan rendah di sekitarnya. "Daerah Setiu diramalkan banjir di Kampung Langkap, Kampung Pelong, Kampung Pengkalan Merbau, Kampung Merbau Menyusup, Kampung Bukit Nyior, Kampung Hulu Seladang, Kampung Besut, Kampung Padang, Kampung Lendut Tok Mab, Kampung Che Long, Telok Rekam, Kampung Buluh Hulu, Kampung Chalok Kedai, Kampung Gong Terap, Kampung Lubok Panjang dan kawasan sekitarnya," katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi. Tambahnya, Hulu Terengganu turut dijangka banjir di kawasan Kampung Kuala Ping, Kampung Matang, Kampung Nibong, Kampung Paloh Nytor, Kampung Bukit Tadok, Kampung Kolam, Kampung Tok Rebuk Ajil, Kampung Tok Randok, Kampung Lebuk Periuk, Kampung Kemat, Kampung Pengkalan Ajal, PPSK Gunung Meerong, Kampung Kepah, Kampung Tok Lawit dan kawasan rendah sekitarnya. Justeru itu, semua penduduk terutamanya di kawasan yang dijangka banjir diminta berwaspada. Maklumat dan amaran akan disalurkan kepada agensi pengurusan bencana, media dan orang awam melalui laman web ublicinfobanjir.water.gov.my. Facebook: PublicinfoBanjir dan Twitter @JPS InfoBanjir. Sehingga kini, hujan lebat berterusan sejak kelmarin menyebabkan beberapa kampung di sekitar daerah kemaman mula dinaiki air seperti Kampung Teladas, Kampung Air Putih, Kampung Dadong, Kampung Padang Kubu, Kampung Tebak dan Kampung Batu 16 dan Seberang Jabor. 
25 Feb 22
11297
Semua Pihak Perlu Cakna Soal Hak Dan Nafkah
Semua Pihak Perlu Cakna Soal Hak Dan Nafkah
KUALA TERENGGANU, 24 Februari – Semua peringkat kepimpinan samada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) perlu lebih cakna dan merancang resolusi sekiranya berlaku masalah berkaitan dengan hak dan nafkah. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor berkata, masih ada ruang untuk meningkatkan kesedaran tanggungjawab nafkah yang terletak pada bahu suami atau ketua dalam sebuah keluarga. Katanya, keperluan tersebut tidak boleh hanya diletakkan di bahu kaum hawa semata-mata dan sifat culas perlu dihindari dalam sesetengah suami. “Pelbagai isu sekarang ini yang menyebabkan pengabaian nafkah terutama apabila kes penceraian dan pengabaian anak-anak jadi mangsa,” jelasnya. "Diharapkan agar golongan lelaki yang berkeluarga memikul peranan dalam menguruskan rumah tangga dan jangan mengingkari perintah Allah SWT. “Semoga program ini dapat menjentik kesedaran tentang hak wanita dalam menerima nafkah serta menambah kesedaran pihak suami melaksanakan tanggungjawab terhadap isteri,” tegas beliau. Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan program Suara Hati Wanita siri kedua yang diadakan di Dewan Galeri A, Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu, di sini, pada hari ini. Sementara itu, Pengarah Urus Setia Wanita Terengganu (USWa) Terengganu, Wan Nur Sakinah Din menjelaskan, kesedaran kaum hawa berkaitan hak dan nafkah yang boleh dituntut oleh wanita amat penting kerana sebagai seorang wanita, ibu dan juga isteri. Katanya, Islam telah menggariskan ada hak-hak yang boleh dituntut oleh wanita dalam aspek rumah tangga tersebut. “USWa berhasrat untuk menjadi agen penerangan dan pemudahcara kepada wanita Terengganu untuk memahami hak-hak yang boleh dituntut oleh wanita serta mendedahkan saluran yang betul.  “Suara Hati Wanita adalah satu program yang diadakan untuk menerangkan ilmu kepada perempuan terutamanya wanita yang teraniaya dalam konteks perundangan dan hak-hak wanita,” jelasnya. Untuk pengetahuan, program Suara Hati Wanita akan diadakan di setiap daerah menyasarkan kawasan yang memerlukan penerangan isu-isu berkaitan golongan hawa dan keluarga dengan penganjuran kali ketiganya memfokuskan 'Hak dan Nafkah Isteri; Siapa Peduli?'.
24 Feb 22
419
Terengganu Catat Pendaftaran PICKids Kedua Terendah
Terengganu Catat Pendaftaran PICKids Kedua Terendah
HULU TERENGGANU, 24 Februari - Kelantan, Terengganu dan Sabah merekodkan kadar penerimaan vaksinasi terendah untuk kanak-kanak lima hingga 11 tahun dengan hanya mencatatkan kadar kurang daripada sepuluh peratus. Timbalan Menteri Kesihatan 1, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, berkata sehingga kini Kelantan hanya mencatat 6.1 peratus, Terengganu (7.5), dan Sabah 8.9 peratus dalam program Pemberian Vaksin Kanak-kanak (PICKids) yang telah dijalankan. Katanya, Kementerian Kesihatan Malaysia(KKM) telahpun menghubungi Jabatan Kesihatan negeri dan menentukan apakah masalah dan punca kadar masih rendah. "Bagaimanapun, berdasarkan hasil bancian yang dilakukan, ramai ibu bapa enggan anak mereka divaksin dengan mengambil sikap tunggu dan lihat. "Oleh itu, ibu bapa dinasihatkan dan digalakkan untuk mendaftarkan anak masing-masing bagi program imunisasi covid-19 kebangsaan kanak-kanak bagi mengekang penularan jangkitan di kalangan kanak-kanak," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan di Pusat Pemberian Vaksin Kanak-kanak PICKids di SK Seri Buluh, Hulu Terengganu hari ini. Sementara itu, bagi seluruh negara, terkini PICKids telah mencapai 18.6 peratus dengan Sarawak mendahului kadar penerimaan tertinggi iaitu sebanyak 34.7 peratus, disusuli Melaka(31.6), Pulau Pinang(25.7), Perak(24.4) dan kawasan Lembah Klang, (21.7). Dalam perkembangan yang sama, di Terengganu, JKNT menyasarkan 124,206 kanak-kanak diberi suntikan vaksin covid-19 di negeri itu. Dr Noor Azmi berkata, bagi meningkatkan kapasiti pelaksanaan PICKids, JKNT akan menambah bilangan pasukan outreach sekolah daripada 81 kepada 136 PPV sekolah. "Beberapa strategi juga akan dijalankan termasuk mempergiatkan aktiviti promosi di setiap peringkat. "Ini termasuk hebahan dalam media sosial, slot radio bersama pakar dan perkongsian ibu bapa kanak-kanak yang telah mendapat suntikan," tambahnya.  
24 Feb 22
460
Hampir Separuh Keluasan Terengganu Adalah Hutan Simpan
Hampir Separuh Keluasan Terengganu Adalah Hutan Simpan
KUALA TERENGGANU, 24 Februari – Jumlah keluasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) di Terengganu sehingga hari ini adalah 540,380 ribu hektar bersamaan 42 peratus daripada keluasan negeri. Timbalan Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu, Azni Rahman A Wahid menyifatkan status kawasan sumber hutan itu masih relevan untuk tempoh yang lama. Katanya, kejayaan itu dicapai ekoran langkah kerajaan negeri mempraktikkan amalan pengurusan hutan secara berkekalan dan kawalan ke atas hasil hutan. “Bermula dari dulu hingga kini, kawasan berhutan yang diwartakan sebagai HSK itu 126 ribu hektar daripadanya telah dikelaskan sebagai hutan perlindungan. “Dianggarkan 23.5 peratus adalah kawasan hutan perlindungan terdiri daripada pelbagai kategori seperti hutan tadahan air, hutan simpanan hidupan liar, hutan simpanan hutan dara dan sebagainya, maknanya tiada aktiviti pembalakan dan sebagainya berlaku di tempat terbabit,” katanya ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPD) baru-baru ini. Mengulas mengenai status Hutan Simpan Rasau Kertih, beliau berkata tanah berkeluasan kira-kira 16 ribu hektar itu telah diwartakan sejak tahun 1951 dengan tiada kesan pengecilan berlaku hasil penguatkuasaan dijalankan pihaknya. “Di dalam hutan simpan tersebut, kira-kira dua ribu hektar telah diwartakan sebagai kawasan hutan perlindungan kerana di sana terletaknya ekosistem penting seperti hutan tadahan air, hutan simpanan dara hutan lipur yang sekarang ini tidak dibenarkan sebarang aktiviti pembalakan. “Dari mula sehingga 2022, hanya tiga lesen pembalakan diluluskan di kawasan kategori hutan simpan itu, untuk makluman sekiranya ada urusan perlesenan berlaku," jelasnya. Tambahnya, kaedah pengurusan hutan secara berkekalan tersebut memfokuskan tebangan terpilih dibawah kadar penebangan dibenarkan. Tambah Azni Rahman, pihaknya mengalu-alukan sebarang aduan jika berlakunya sebarang kes kesalahan hutan untuk tindakan selanjutnya disamping pemantauan dari semasa ke semasa yang dijalankan.
24 Feb 22
1069
Terengganu Mulakan Penggunaan Lampu Isyarat Pintar
Terengganu Mulakan Penggunaan Lampu Isyarat Pintar
KUALA TERENGGANU, 24 Februari – Kerajaan Terengganu sudah memulakan penggunaan lampu isyarat pintar menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang mampu mengesan kenderaan curi dengan pantas dan mengurangkan kesesakan lalu lintas. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, lampu isyarat di simpang empat Jalan Sultan Ismail di sini menjadi perintis sebelum ia diperluaskan ke semua lokasi terpilih. Katanya, fungsi tersebut membolehkan Majlis Bandar Raya Kuala Terengganu (MBKT) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) membuat perancangan tepat dari segi aliran trafik, mengelakkan risiko kemalangan serta pelbagai tujuan lain. "Antara kelebihan sistem trafik tersebut adalah keupayaan menilai corak penggunaan jalan raya dari segi jumlah pengguna, pergerakan trafik waktu kemuncak dan membantu penguatkuasaan peraturan. “Kita gunakan istilah otak bagi lampu isyarat ini,  ia berbeza dengan cip pengesan yang didapati pada lampu isyarat biasa seperti mengira jumlah kenderaan yang lalu lengkap dengan tarikh dan masa selain mampu mengesan kenderaan curi. “Contohnya apabila waktu kemuncak di bandar raya pada empat penjuru, teknologi ini membolehkan kita mengawal keadaan tersebut, jika dikembangkan liputan sistem ini dapat berhubung antara satu sama lain,” katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemubual pemberita selepas merasmikan Majlis Penyerahan Projek Pemasangan Lampu Isyarat Kecerdasan Buatan (AI Traffic Light) Di Terengganu di Event Space TD1303, semalam. Turut hadir, Datuk Bandar MBKT, Rozali Salleh Menurut Ariffin,perkembangan projek perintis itu akan dinilai sebelum ia akan dipasang secara berperingkat di sekitar bandar raya Kuala Terengganu sejajar dengan Pelan Induk Kerajaan Digital Pintar Terengganu menjelang tahun 2030. “Pembangunan ini mengambil kira tindak balas pengguna, kesan kepada rakyat dengan masa pembikinan panjang, namun begitu, sasaran kita bukan satu lampu isyarat sahaja tetapi banyak lagi,” tambahnya. Untuk rekod katanya, projek melibatkan peruntukan sekitar RM178,000 itu terdiri daripada komponen seperti kamera litar tertutup (CCTV), jaringan elektronik serta alat pengesan dalam membina sebahagian daripada sebuah sistem pengangkutan pintar.    
24 Feb 22
1464
Kuarantin Kontak Rapat Dijangka Akan Dimansuhkan
Kuarantin Kontak Rapat Dijangka Akan Dimansuhkan
HULU TERENGGANU, 24 Februari - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) masih meneliti cadangan pemansuhan prosedur pengasingan bagi orang ramai yang didapati menjadi kontak rapat Covid-19. Timbalan Menteri Kesihatan 1, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, berkata prosedur pengasingan bagi kontak rapat tanpa gejala ketika ini sudah tidak dilaksanakan dalam sektor perkhidmatan kesihatan awam. Jelas Dr Noor Azmi, perkara itu akan diumumkan oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dalam masa terdekat.  "Di pihak kami, Menteri membuat keputusan tentang polisi dan perubahannya berdasarkan fakta dan sains juga melalui perbincangan dengan pakar-pakar di KKM serta pihak luar. "Setakat ini kakitangan kesihatan yang menjadi kontak rapat, tidak bergejala dan tak ada komorbid dibenarkan bekerja seperti biasa. "Insya-Allah akan dikembangkan dan kini sedang dalam rancangan untuk masyarakat umum," ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau Program Imunisasi Covid-19 Kanak-Kanak (PICKids) Terengganu, di Sekolah Kebangsaan Seri Buluh, di sini hari ini. Menurut Dr Noor Azmi, sekiranya pemansuhan itu dilaksanakan, kontak rapat kes positif Covid-19 tidak perlu menjalani kuarantin lima hari bagi penerima dos penggalak dan tujuh hari bagi belum lengkap vaksin. Mengulas lanjut, Dr Noor Azmi walau bagaimanapun berkata individu yang disahkan kontak rapat sama ada mempunyai gejala atau tidak, masih perlu membuat saringan harian menggunakan kit ujian pantas (RTK) Antigen untuk tempoh tertentu. "Ia bagi memastikan individu itu benar-benar tidak dijangkiti penyakit berkenaan. "Sebaliknya, mereka hanya perlu membuat ujian saringan pada hari tertentu dan protokol sama akan kita laksanakan untuk orang ramai apabila tiba masanya.
24 Feb 22
832
Suara Hati Wanita: Banyak Ilmu Pengetahuan Kunci Penyelesaian Konflik
Suara Hati Wanita: Banyak Ilmu Pengetahuan Kunci Penyelesaian Konflik
KUALA TERENGGANU, 24 Februari - Ilmu pengetahuan dan kefahaman mendalam dalam pelbagai aspek kehidupan dapat menyelesaikan pelbagai perkara dihadapi oleh kaum hawa di negeri ini. Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional, Alias Harun berkata, agama Islam meletakkan wanita di satu tempat yang sangat istimewa. “Penglibatan semua pihak samada pihak kerajaan ataupun Badan Bukan Kerajaan (NGO) dalam menyediakan persekitaran yang menyokong dan menggalakkan pemerkasaan wanita mestilah diperkuatkan,”jelasnya. Beliau berkata demikian ketika merasmikan program Suara Hati Wanita Bangkit Dari Sakit, I Am Ok! yang diadakan di Dewan Majlis Perbandaran Dungun, semalam. Menurutnya, program suara hati wanita sangat baik untuk rakyat Terengganu bagi menimba pendidikan dari pelbagai sudut pengetahuan. “Ini selaras dengan matlamat Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita Keluarga Dan Perpaduan Nasional yang merupakan sebuah jawatankuasa berfokuskan kepada memperkukuhkan institusi perkahwinan dan kekeluargaan, memperkasakan wanita bagi mencapai kesejahteraan bersama. “Di samping itu, ia menjamin hak dan kesejahteraan kanak kanak, serta meningkatkan kerjasama strategik dengan pihak berkepentingan untuk sistem sokongan yang berkesan dan menyeluruh,” ujar beliau. Alias menambah, kaum hawa merupakan sebahagian daripada agenda sumber manusia yang tidak pernah diketepikan. “Wanita Terengganu pada hari ini sangat bertuah kerana banyak kelebihan serta insentif yang sediakan dari awal kelahiran sehingga umur warga emas. “Banyak juga manifesto kerajaan negeri Terengganu yang diterajui oleh parti PAS yang telah direalisasikan khas untuk wanita. “Antaranya, sumbangan biasiswa Yayasan, biasiswa kepada pelajar, program kahwin perdana, insentif untuk ibu tunggal, 'honeymoon' kali ke dua, program pap-smear, wad kelas ketiga percuma dan banyak lagi. Semua untuk kebajikan rakyat Terengganu,” tambah Alias lagi.
24 Feb 22
609
Amaran Angin Kencang Dan Laut Bergelora Di Terengganu
Amaran Angin Kencang Dan Laut Bergelora Di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 23 Februari - Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan Amaran Angin Kencang Dan Laut Bergelora (Kategori Pertama, Kedua Dan Ketiga) untuk perkapalan di perairan Laut China Selatan berkuat kuasa sehingga 28 Februari ini. MetMalaysia dalam satu kenyataan yang dikeluarkan 5 petang tadi memaklumkan, angin kencang timur laut berkelajuan 50-60 kmsj dengan ketinggian ombak mencapai sehingga 4.5 meter dijangka berlaku di kawasan perairan Pahang, Terengganu dan Kelantan.  "Manakala angin kencang timur laut berkelajuan 40-50 kmsj dengan ketinggian ombak mencapai sehingga 3.5 meter dijangka berlaku di kawasan perairan timur Johor, Sarawak, barat Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan," ujarnya. Tambah kenyataan tersebut, MetMalaysia juga telah mengeluarkan Amaran Kenaikan Paras Laut dijangka berlaku di kawasan perairan Kelantan, Terengganu, Pahang dan timur Johor berkuat kuasa sehingga 26 Februari 2022 yang berisiko meningkatkan limpahan air laut di pesisir pantai.  "Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini adalah berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk aktiviti pelantar minyak, menangkap ikan, perkhidmatan feri, bot-bot kecil serta aktiviti rekreasi," jelasnya.
23 Feb 22
1958