Artikel "Semasa" Terkini
Jumlah Mangsa Banjir Di Terengganu Belum Berkurang
KUALA TERENGGANU, 28 Februari- Banjir gelombang kelima yang memasuki hari keempat di Terengganu terus merekodkan pertambahan mangsa apabila seramai 13,971 orang dipindahkan setakat jam 4 petang tadi.
Sebanyak 160 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di seluruh negeri bagi menempatkan kesemua mangsa daripada 3,875 keluarga.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri berkata, Kemaman masih mencatatkan jumlah mangsa tertinggi selepas seramai 4,420 orang dipindahkan ke 23 PPS.
"Setiu (1,291 orang), Hulu Terengganu (3,696 orang), Besut (1,622 orang) dan Kuala Nerus (324 orang).
“Di Dungun pula penduduk yang terjejas ialah seramai 1,999 orang manakala Kuala Terengganu (614 orang) dan Marang (5 orang),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, keadaan cuaca ketika ini cerah di Kuala Terengganu, Hulu Terengganu (hujan), Dungun dan kemaman (mendung) serta Setiu, Marang, Besut (hujan renyai).
28 Feb 22
656
Sekolah Banjir, Calon SPM Dipindahkan
KEMAMAN, 28 Februari - Seramai 82 calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Air Putih dipindahkan selepas sekolah tersebut dinaiki air, sejak semalam.
Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Hanyan Ramlan berkata, pemindahan pelajar tersebut dibantu pihak polis kira-kira 1 tengah hari ini menggunakan dua buah lori ke SMK Cheneh Baru, kira-kira 23 kilometer dari sekolah berkenaan.
Jelasnya, meskipun hanya 39 orang pelajar terlibat tinggal di asrama, namun kesemua calon yang tinggal di rumah turut dipindahkan berikutan laluan ke sekolah berkenaan turut dinaiki air.
"Mesyuarat Pusat Kawalan Operasi Bencana pada pagi ini memutuskan supaya calon SPM ini dipindahkan ke sekolah lain yang tidak terjejas banjir memandangkan sekolah tersebut dinaiki air kira-kira dua meter.
"Buat sementara ini, kesemua 82 pelajar tingkatan lima sekolah tersebut akan menduduki SPM bersama 77 pelajar SMK Cheneh Baru," katanya kepada media hari ini.
Usaha tersebut dilakukan bagi memastikan keselamatan pelajar dalam situasi luar jangka berikutan banjir yang berlaku.
28 Feb 22
125
Mangsa Banjir Terperangkap 24 Jam Di Kem Rekreasi Budi Diselamatkan
HULU TERENGGANU, 28 Februari - Terperangkap selama 24 jam, akhirnya diselamatkan menjadi kenangan buat 68 mangsa banjir di Kem Rekreasi Budi di Belukar Bukit.
Penyelianya, Farhan Zakaria, 38, kesemua mereka berada di kem berkenaan sejak jumaat untuk program kem solat melibatkan peserta dan keluarga dari serata Malaysia.
"Pada 5.30 pagi semalam, air naik dengan laju menyebabkan kami semua bergegas ke surau yang terletak di tempat tinggi dengan segala barang keperluan.
"Asrama, dapur dan sebahagian bangunan ditenggelami air 1.5 hingga lima meter...kejadian ini lebih teruk dari tahun 2014,"katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba Dan Penyelamat Kuala Berang, Hanafi Mohd, berkata pihaknya mendapat maklumat pada jam 7.30 malam semalam.
Beliau berkata, pihaknya berjaya menghubungi salah seorang peserta melalui keluarga yang datang ke balai bomba.
"Namun disebabkan kesukaran untuk masuk ke lokasi, kami terpaksa mulakan operasi 8.30 pagi tadi dengan kekuatan sembilan anggota, tiga lori dan satu hilux.
"Operasi selesai pada jam 1 tengahari dan semua mangsa dihantar ke Ibu Pejabat Polis daerah untuk tindakan lanjut,"katanya.
28 Feb 22
688
Pencari Kerja Layak Terima Tiga Kali Insentif
MARANG, 28 Februari -Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) telah memanjangkan tempoh elaun mencari kerja kepada tiga bulan berbanding dua bulan sebelum ini.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro & Hal Ehwal Pengguna Negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab. Rahman berkata, pencari kerja layak untuk menerima elaun sehingga RM900 pada tahun ini.
"Ini bermakna jika gagal pada kali pertama, peserta akan masih diberi elaun mencari kerja untuk kali kedua dan kali ketiga jika masih gagal buat kali kedua, menjadikan keseluruhannya peserta akan layak menerima sehingga RM900.
" Setakat hari ini, daripada senarai yang hadir ditemuduga seramai 122 orang, 45 orang telah menerima pekerjaan, KIV disebelah peserta sendiri seramai 66 orang, dan yang ditolak seramai 11 orang iaitu kurang dari 10 peratus," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika hadir ke Program Outreach Kesejahteraan Pekerjaan Rakyat Terengganu di Dewan Utama Majlis Daerah Marang, semalam.
Tambah beliau, lebih menarik pihak kerajaan juga memberi satu elaun khas kepada syarikat yang mengambil pekerja tempatan atas kuota pekerja asing sebanyak 20 sehingga 30 peratus daripada gaji minimanya selama setahun dan dibayar pada tempoh dua bulan sekali.
"Penghargaan terima kasih diucapkan kepada Syarikat Hartalega yang bersetuju memberi komitmen kepada kita untuk memberi balik elaun kuota pekerja asing itu kepada pekerja tempatan khususnya dari Terengganu.
Menurut beliau, peluang pekerjaan yang ditawarkan adalah sebanyak 2403 kekesongan, walaupun suasana hujan, tetapi kehadiran peserta dan pencari kerja masih memberansangkan.
"Kita disertai oleh lima syarikat iaitu empat dari luar dan satu dari dalam Terengganu seperti seperti Samsung, Golden Pharos Glass Sdn Bhd, Hartalega, MyBrush Group dan APTIV Malaysia Sdn Bhd yang menawarkan pelbagai sektor pekerjaan.
"Ini menujukkan satu proses yang baik, kerana dalam keadaan hujan lebat, terlibat dalam masalah banjir, bencana dan sebagainya. Ianya masih dapat membantu serta memberikan manfaat kepada penganggur, pencari kerja, dan lepasan graduasi.
"Program ini juga adalah hasil kerjasama daripada Pusat Pembangunan Sumber Manusia Terengganu (THRDC) dan PERKESO yang juga merupakan Sekretariat Urusetia Pekerjaan Negeri Terengganu (UPNT) dalam usaha mewujudkan peluang pekerjaan dan mengurangkan pengganguran di Terengganu," jelasnya.
28 Feb 22
515
'Air Putih Menangis'
KEMAMAN, 28 Februari - Hujan lebat yang berlanjutan sejak beberapa hari lalu telah mengakibat banjir di Kemaman khususnya kawasan Air Putih.
Antara kawasan yang terjejas teruk adalah Kampung Air Putih dan Kampung Teladas dimana hampir 80 peratus kawasan ini lumpuh dilanda banjir.
Selain Kampung Air Putih dan Teladas, kawasan lain seperti Kampung Bukit Mentok, Kampung Pasir Minal, Kampung Felda Seberang Tayur, Kampung Seberang Tayur Hulu, Kampung Seberang Tayur Hilir, Dadong, Pasir Gajah, Paman, dan Felda Cerul turut dinaiki air.
Mangsa yang terlibat telah selamat dipindahkan ke pusat perpindahan sementara (PPS) berhampiran oleh anggota keselamatan dan sukarelawan setempat.
Terkini, penduduk di Bandar Baru Bukit Mentok 1 dan 2 serta Kampung Tempurung turut diminta berpindah ke PPS SK Sri Iman memandangkan paras air yang kian meningkat.
Dilaporkan sebanyak 22 buah PPS di buka di seluruh daerah Kemaman yang mana melibatkan seramai 3,026 orang mangsa.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Air Putih, Ab Razak Ibrahim meminta semua penduduk di Kemaman untuk bersiap siaga menghadapi bencana banjir yang dijangka akan turut melanda di kawasan-kawasan lain.
“Setiap pihak perlu memainkan peranan dan cakna akan situasi air di kawasan berhampiran. Persiapan seperti menyimpan barangan berharga di tempat yang selamat dan tinggi perlu dilakukan dengan kadar segera bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku” ujar beliau kepada pemberita.
Katanya, masing-masing perlu rujuk dengan ketua kampung atau lebih dikenali dengan Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK) sebelum, semasa dan selepas kejadian berlaku.
"Bagi kawasan yang beriksiko, penduduk dinasihatkan untuk berpindah pada waktu siang memandangkan pergerakan dan penglihatan agak terbatas di waktu malam.
"Anggota keselamatan seperti Jabatan Amal Malaysia kawasan Kemaman, PDRM dan ATM akan terus memantau dan melakukan misi menyelamatkan mangsa banjir," ujarnya.
28 Feb 22
415
Lori Terbalik : ADUN Ajil Mohon Maaf 'Terlewat' Hantar Bantuan
HULU TERENGGANU, 28 Februari – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Maliaman Kassim memohon maaf kepada mangsa banjir di sekitar Hulu Berang kerana tidak dapat menghantar bekalan makanan dan pakaian tepat pada masanya susulan lori bantuan yang dinaikinya terbalik.
"Saya memohon maaf kerana terlewat menghantar barang keperluan barangan untuk mangsa banjir tadi (semalam).
"Alhamdulillah bantuan sama telah dihantar oleh pasukan lain selepas lori kami tak dapat meneruskan perjalanan kerana terbalik,” katanya ketika ditemui pemberita.
Misi menghantar bantuan asas kepada mangsa banjir cemas apabila jentera dinaiki Maliaman bersama 13 anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) hampir dibawa arus deras banjir di Sungai Kampung Lebak.
Menurutnya, beliau antara 16 orang yang menaiki jentera tersebut setelah mereka menawarkan diri bagi menghantar bantuan bekalan asas tersebut.
Katanya, misi tersebut terpaksa melalui laluan Kuala Berang untuk sampai ke ajil kerana jalan itu sahaja yang boleh diakses.
“Namun begitu, sampai di jambatan, arus sungai terlalu laju dan ia menghanyutkan segala bekalan mentah apabila air memasuki bahagian dalam lori.
“Alhamdullilah, setelah 20 minit, kami diselamatkan oleh para sukarelawan kampung (dihantar polis) dan mengelakkan risiko dihanyutkan arus air banjir,” katanya yang mengalami kecederaan di kaki.
Jelasnya yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan Dan Pengajian Tinggi Negeri, beliau turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada barisan hadapan bencana banjir termasuk warga komuniti tempatan yang bekerja sama dalam mengharungi bencana tersebut.
28 Feb 22
617
Pengusaha Bot Pulau Kapas Bantu Mangsa Banjir
HULU TERENGGANU, 28 Februari - Sekumpulan pemandu bot peranginan termasuk pengusaha dari Pulau Kapas mengambil langkah proaktif mengangkut dan memindahkan mangsa banjir yang terperangkap di sekitar Kuala Berang.
Pengusaha Bot Syarikat Makcik Gemok Boat Servis, Alif Imran, 32 berkata, sejurus melihat video dan gambar tular di media sosial, dia bersama 16 orang pemandu bot lain bergegas ke kawasan kampung terjejas di daerah itu.
“Setelah tiba di Kampung Tanjung Putat bersama dua bot besar dan satu bot kecil, kita terus tolong mana-mana penduduk tempatan yang belum dipindahkan bersama pihak berkuasa dan sukarelawan tempatan.
“Ini adalah pertama kali kita menggunakan aset untuk bantu mangsa banjir, bezanya berbanding membawa di ombak lautan amat ketara dengan arus lebih deras dan keadaan air tidak menentu.
“Bermula sejak 11 pagi tadi, kita akan teruskan kerja sukarelawan ini berdasarkan keadaan dan keperluan, keadaan sekeliling amat menyayat hati dengan komuniti setempat hilang tempat berteduh, sehingga kini kita telah mengangkut lebih 11 buah keluarga,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemu bual pemberita di Kampung Lebak, petang semalam.
Jelas Alif, pihaknya juga akan terlibat dengan kerja pengagihan bantuan makanan dengan menggembleng semua aset dengan semua kos ditanggung sendiri.
Sementara itu, seorang penduduk Kampung Lebak, Ariffin Osman menggambarkan banjir di kawasan kampungnya dan Hulu Terengganu sebagai yang paling teruk pernah dilaluinya sejak 49 tahun menetap di sini.
“Sepanjang saya tinggal di sini tidak pernah lagi alami kesulitan dan ujian besar ini, dengan keadaan air dan hujan serta terputus hubungan semua dalam waktu serentak.
“Namun begitu, saya bersama 30 orang lagi skuad sukarelawan melibatkan Polis Maritim Marang, dan sukarelawan 4x4 Marang dengan 15 buah jentera bot sedang bertungkus lumus memindahkan semua mangsa dan mencari mana-mana yang tertinggal,” jelasnya.
Menurut Ketua Polis Terengganu Datuk Rohaimi Md Isa, banjir luar biasa yang melanda di daerah ini bukan berpunca daripada pelepasan air Tasik Kenyir namun ia disebabkan taburan hujan lebat secara berterusan sejak Khamis lalu.
28 Feb 22
1128
Pasukan Penyelamat Pindahkan 160 Pelajar Tingkatan Lima Guna Bot
HULU TERENGGANU, 28 Februari- Seramai 160 pelajar Tingkatan Lima Sekolah Menengah Agama Mahmudiah (SMA Mahmudiah) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Imtiaz yang menginap di asrama terpaksa dipindahkan menggunakan bot selepas sekolah dinaiki air lebih dua meter semalam.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Terengganu Md Hilman Abd Rashid berkata, operasi menyelamat telah digerakkan dengan dua bot dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang dan Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia (FRAM) Wakaf Tapai serta bot pihak badan bukan kerajaan (NGO).
"Dalam tempoh sejam sahaja air naik dengan sangat cepat sehingga ke bumbung, jadi pelajar ini dipindahkan segera ke tempat selamat," katanya malam tadi.
Sementara itu, Pengetua SMA Mahmudiah, Mazelin Ali berkata, calon SPM itu dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Majlis Daerah Kuala Berang, Hulu Terengganu bermula jam 4 petang hari ini menggunakan bot anggota penyelamat.
"Jika mereka tidak dipindahkan segera kami khuatir air semakin naik ke beberapa blok lagi, kini asrama perempuan, dewan makan dan blok kelas sudah dinaiki air banjir.
Katanya, langkah segera itu terpaksa dilakukan bagi memastikan keselamatan pelajar selain persediaan dan keselesaan menjelang peperiksaan yang bakal bermula Rabu ini.
28 Feb 22
276
44 Kawasan Hulu Terengganu Alami Gangguan Air
HULU TERENGGANU, 28 Februari - 44 kawasan di daerah ini mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual selepas loji rawatan air di sini terpaksa dihenti tugas.
Ia berikutan gangguan kualiti kekeruhan air mentah yang tinggi telah masuk ke rumah pam dan melepasi keupayaan reka bentuk loji akibat banjir.
Syarikat Air Terengganu (SATU) dalam satu kenyataan berkata
jangkaan untuk semua loji rawatan air ini beroperasi sepenuhnya masih belum dapat dipastikan buat masa ini.
"Ini berikutan kekeruhan air mentah masih lagi tidak dapat dirawat.
"Pihaknya juga perlu memastikan semua peralatan di loji rawatan air berada dalam keadaan baik dan boleh dioperasikan tanpa membahayakan keselamatan kakitangan SATU terutamanya melibatkan arus elektrik," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Justeru itu, sebanyak empat buah lori tangki air sedang digerakkan secara berperingkat ke kawasan-kawasan yang terjejas, dengan memberi keutamaan kepada premis-premis kritikal sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual ini.
Orang ramai boleh boleh mengikuti perkembangan melalui laman sesawang www.satuwater.com.my, aplikasi MySATU, Facebook, Instagram, Linkedin, atau hubungi careline di talian 1300-88-2111 jika pengguna mempunyai sebarang pertanyaan dan aduan.
28 Feb 22
1504
Terengganu Terima Peruntukan Tertinggi Pulihara Muara Sungai Cetek
Terengganu menerima peruntukan paling tinggi berjumlah RM1.16 bilion bagi mengatasi masalah muara sungai cetek di negeri itu.
28 Feb 22
196