lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Jumlah Mangsa Banjir Terengganu Menurun
Jumlah Mangsa Banjir Terengganu Menurun
KUALA TERENGGANU, 1 Mac - Mangsa banjir di Terengganu mencatat penurunan kepada 16,070 orang petang ini, berbanding 17,742 orang jam 8 pagi tadi, berikutan keadaan cuaca semakin baik. Semua mangsa membabitkan 4,196 keluarga itu ditempatkan di 111 pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh negeri ini. Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu, pengurangan jumlah mangsa itu susulan mangsa di beberapa PPS telah dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing secara berperingkat. "Setakat jam 2 petang tadi, di Kemaman jumlah mangsa yang berada di 29 PPS adalah seramai 8,535 daripada 2,165 keluarga. "Setiu pula mencatatkan 494 mangsa daripada 149 keluarga yang dipindahkan di 12 PPS. "Di Hulu Terengganu pula, 16 PPS masih diaktifkan dengan menempatkan 2,156 mangsa daripada 511 keluarga," ujar kenyataan itu. Katanya, di Dungun pula seramai 3,106 mangsa daripada 897 keluarga ditempatkan di 29 PPS. "Jumlah mangsa banjir di Besut mencatatkan 522 orang daripada 139 keluarga dengan 9 PPS diaktifkan. "Manakala, Kuala Nerus mencatatkan 543 mangsa daripada 150 keluarga yang dipindahkan ke enam PPS," ujarnya. Tambah kenyataan tersebut, sembilan PPS turut dibuka di Kuala Terengganu yang menempatkan 709 mangsa daripada 184 keluarga. "Sementara di Marang sebuah PPS dibuka yang menempatkan sebuah keluarga dengan lima mangsa," jelasnya.
01 Mar 22
512
319 Calon SPM Sekolah Terjejas Banjir Dipindahkan
319 Calon SPM Sekolah Terjejas Banjir Dipindahkan
KUALA TERENGGANU, 1 Mac-  Seramai 319 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang terjejas banjir di negeri ini telah dipindahkan ke sekolah lain yang sesuai untuk memastikan mereka dapat menjalani peperiksaan itu dengan lancar. Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat berkata kesemua mereka adalah pelajar di empat sekolah iaitu tiga di daerah Hulu Terengganu dan satu di Kemaman." Di Hulu Terengganu, 131 pelajar Sekolah Menengah Agama (SMA) Mahmudiah dipindahkan ke SMA (Atas) Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu, 63 pelajar Sekolah Menengah Imtiaz Hulu Terengganu dipindahkan ke SM Imtiaz Kuala Terengganu dan 41 calon Madrasah Moden Hulu Terengganu dipindahkan ke SMA Khairiah di Kuala Terengganu. "Di Kemaman pula, 84 calon SMK Air Putih telah dipindahkan ke SMK Cheneh Bharu," katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), hari ini. Satiful berkata, kesemua pelajar ini adalah pelajar yang tinggal di asrama di sekolah-sekolah yang terletak di kawasan yang terjejas banjir di dua daerah berkenaan. Dalam pada itu, katanya, hanya pelajar yang benar-benar terjejas akan diberi kelonggaran untuk berpakaian biasa ketika mengambil peperiksaan. "Mana-mana pelajar terjejas yang hilang pakaian sekolah kerana dihanyutkan air atau dokumen penting seperti kad pengenalan dan sebagainya diberikan kelonggaran. "Ada juga sekolah yang menyediakan pakaian seragam di sekolah dan pelajar boleh menukarkan pakaian apabila tiba di sekolah untuk mengambil peperiksaan," katanya. Difahamkan, seramai 18,815 calon yang akan menduduki peperiksaan SPM di Terengganu, Rabu ini.  
01 Mar 22
269
Penternak Rugi Ratusan Ribu Ternakan Mati Akibat Banjir
Penternak Rugi Ratusan Ribu Ternakan Mati Akibat Banjir
HULU TERENGGANU, 1 Mac- Kejadian banjir yang melanda sekitar Kampung Sekayu di sini menyebabkan dua penternak mengalami kerugian ratusan ribu apabila ternakan lembu dan kambing yang diusahakan mati dan hilang. Seorang penternak, Che Ku Mansor Che Ku Saleh, 65 berkata, dia mengalami kerugian lebih RM20 ribu apabila 20 ekor kambing ternakannya mati. Selain itu, katanya, 40 ekor lembu serta 20 ekor kerbau yang diletakkan di kandang berasingan kira-kira 3 km dari rumah juga tidak dapat diselamatkan dan  nilai kerugian ditanggung bagi kesemua 60 ekor ternakannya mencecah RM160,000. "Tak sempat nak selamatkan sebab air naik mendadak kerana air naik terlalu pantas ketika banjir buruk melanda pada Ahad lalu.  "Saya pelihara haiwan ternakan ini sejak 30 tahun lalu. Biasanya setiap kali banjir saya sudah bersedia memindahkan lembu ke lokasi selamat.  "Banjir kali ini saya tidak sempat bersedia lebih awal kerana air naik tanpa diduga. Bayangkan bangsal kambing yang dibina tinggi masih lagi dinaiki air sedalam 3.5 meter," katanya ketika ditemui pemberita, disini, pada Selasa.  Menurut Che Ku Mansor, terdapat lebih 20 penternak yang senasib dengannya dan nilainya mencecah lebih ratusan ribu ringgit. Sementara itu, abangnya, Che Ku Endut Che Ku salleh, 70 berkata, 28 ekor lembunya sehingga gagal ditemui kerana kawasan kandang ternakannya turut ditenggelami air. "Banjir kali ni diluar jangka dan memang kami tidak buat apa-apa...terpaksa lihat apa yang berlaku didepan mata. "Hanya redha dan pasrah dan berharap banjir besar tidak berulang lagi kerana trauma seluruh penduduk kampung masih belum hilang,"katanya.  
01 Mar 22
455
JKNT Sedia 16 PPS Untuk Mangsa Banjir Positif Covid -19
JKNT Sedia 16 PPS Untuk Mangsa Banjir Positif Covid -19
KUALA TERENGGANU, 1 Mac - Sebanyak 16 pusat pemindahan sementara (PPS) khas untuk mangsa banjir yang disahkan positif COVID-19 serta mangsa yang menjadi kontak rapat telah dibuka di Terengganu. Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Kasemani Embong berkata daripada 16 PPS itu, empat ialah di Kuala Terengganu, Kemaman (tiga), Besut (tiga), Hulu Terengganu (dua), Dungun (dua) dan Kuala Nerus (dua). "Sehingga kini 49 mangsa banjir yang positif COVID-19 dan 78 kontak rapat berada di kesemua PPS tersebut. "Kesemua mereka hanya berada dalam kategori satu sahaja dan keadaan kesihatan mereka sentiasa dipantau dari masa ke semasa," katanya ketika dihubungi pemberita hari ini. Dalam perkembangan yang sama, tidak berlaku sebarang kluster COVID-19 yang berlaku di mana-mana (PPS) setakat ini. Sementara itu, seramai 680 telah digerakkan untuk membantu mangsa banjir di semua PPS di seluruh negeri untuk memastikan mereka bebas daripada sebarang penyakit berjangkit bawaan air dan memantau tahap kesihatan pesakit yang dipindahkan.  
01 Mar 22
304
PBSM Hantar Tiga Tan Barang Keperluan Kepada Mangsa Banjir
PBSM Hantar Tiga Tan Barang Keperluan Kepada Mangsa Banjir
HULU TERENGGANU, 1 Mac- Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Malaysia mula menghantar bantuan fasa pertama kepada mangsa banjir di Hulu Terengganu. Timbalan Setiausaha Agung PBSM, Datuk Danial Iskandar berkata barangan tersebut berupa makanan, minuman, lampin pakai buang, tuala wanita serta ubat-ubatan kepada mangsa banjir. "Kami turut menjalankan pemeriksaan kesihatan bagi mengelak penularan penyakit berjangkit bawaan air.  "Kanak-kanak, warga emas dan sesiapa sahaja yang ada penyakit berjangkit boleh datang ke ambulan kami. "Selain itu kami turut membawa ribuan kit ujian Covid-19 bagi  memastikan mereka dapat memantau sebarang gejala dengan berkesan dan persediaan diri daripada sebarang wabak Covid-19,"ujarnya kepada pemberita di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Masjid Kampung Sekayu, di sini hari ini. Berdasarkan penelitian awal, Danial berkata, sumbangan akan diteruskan ke PPS lain yang berdekatan seperti Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Setar, SK Bukit Gemuruh. "Barangan keperluan yang akan dihantar bergantung kepada keperluan mangsa di PPS," jelasnya.            
01 Mar 22
691
Taman Pertanian Sekayu Rugi RM1 Juta Akibat Banjir
Taman Pertanian Sekayu Rugi RM1 Juta Akibat Banjir
HULU TERENGGANU, 1 Mac - Taman Pertanian Negeri Sekayu (TPNS) terpaksa menanggung kerugian hampir RM1 juta susulan kerosakan akibat banjir besar yang melanda daerah ini sejak jumaat lepas. Pengurus TPNS, Mohd. Amran Awang berkata, jumlah itu meliputi beberapa prasarana di TPNS termasuk kolam tema yang dijangka dibuka pada hari ini. "Antara kerosakan lain, melibatkan dewan besar yang boleh memuatkan 300 orang dalam satu masa, asrama penginapan untuk pengunjung, dewan makan, surau dan tapak khemah untuk 400 peserta. "Kerugian ini juga melibatkan Pusat Repisotori Kelulut Indo-Malaya  bernilai RM300,000 dan jalan serta hakisan tebing sungai sepanjang 500 meter persegi," katanya kepada pemberita ketika ditemui di TPNS, di sini hari ini. Jelasnya, kerosakan pada sistem pendawaian elektrik dijangka mengambil masa tiga bulan untuk dibaik pulih. Tambah Amran, kejadian banjir di kolam tema pula, merupakan yang paling teruk sepanjang dia berkhidmat kerana ia lazimnya terjadi di kawasan air terjun Hutan Lipur Sekayu yang terletak berdekatan. "Pada tahun 2014, pernah berlaku banjir di kolam mandi tapi tidak seteruk sekarang sebab kita dah bina benteng bagi menghalang limpahan air pada 2017. "Ketinggian air di taman tema ialah dua meter dan lumpur yang berada di dasar kolam ialah 0.5 meter jadi menyukarkan untuk kerja-kerja pembersihan,"ujarnya.          
01 Mar 22
4111
Banjir Di Kampung Belukar Bukit, Terburuk Sejak 60 Tahun
Banjir Di Kampung Belukar Bukit, Terburuk Sejak 60 Tahun
HULU TERENGGANU, 1 Mac - Penduduk di sekitar Kampung Belukar Bukit menyifatkan banjir kali ini luar biasa kerana tidak pernah seteruk itu sejak lebih 60 tahun lalu. Salah seorang penduduk yang terjejas teruk, Endon Ismail, 67, berkata kejadian tersebut menyebabkan struktur bahagian luar rumahnya musnah, manakala di bahagian dalam rumahnya dipenuhi kayu dan lumpur. Dia yang tinggal bersama keluarganya lebih 15 tahun hanya mampu melihat detik sayu yang dipercayai berpunca daripada kepala air itu, dan kini tinggal sehelai sepinggang kerana tidak sempat menyelamatkan apa-apa barang. "Kejadian itu berlaku pada jam 11 pagi dan ketika itu makcik menumpang di rumah jiran yang terletak di hadapan rumah kerana air telah melimpah depan rumah dan orang kampung suruh pindah.  "Makcik tidak dengar apa-apa sehinggalah ada orang kampung datang beritahu dan makcik tengok ada bahagian rumah runtuh ditimpa kayu-kayu," katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya di Kampung Belukar Bukit di sini, semalam. Beliau kini terpaksa menumpang rumah besannya di Felda Mengkawang menerima ujian itu dengan redha walaupun kehilangan segalanya Sementara itu, anak Endon, Elmin Nawang , 43, berkongsi saat keretanya yang dinaiki bersama isteri, Saliza Ahmad Saidi, 37,  dan tiga anak mereka berusia 11 hingga dua tahun  hampir dihanyutkan arus deras. "Ketika kejadian, dia sedang cuba menyelamat barangan penting ke dalam kereta dan terdengar bunyi bising. "Selepas isi barang dalam kereta saya ingin masuk ke rumah semula untuk ambil barang lagi. Pada waktu itulah arus deras bersama kayu datang secara tiba-tiba dan bawa hanyutkan kereta namun nasib baik diselamatkan orang kampung yang menolak kereta ke kawasan selamat," katanya.
01 Mar 22
1784
Air Pasang Besar : 37 Kampung Berisiko Banjir
Air Pasang Besar : 37 Kampung Berisiko Banjir
KUALA TERENGGANU, 28 Februari- 37 kampung yang terletak berhampiran 11 muara sungai utama di Terengganu di sini berisiko banjir berikutan fenomena air pasang besar mulai malam ini hingga 5 Mac (Sabtu) ini. Timbalan Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu Osman Abdullah berkata justeru itu, penduduk di sekitar lokasi terbabit dinasihatkan supaya berwaspada dan mengambil langkah berjaga-jaga. Katanya, berdasarkan data Pusat Ramalan dan Amaran Banjir, fenomena itu diramal berlaku antara 5.30 petang hingga 11 malam. "Ketinggian ombak dijangka boleh mencecah antara 2.2 meter (m) hingga 2.6m di Kuala Terengganu dan 2.8m hingga 3.2 di Kemaman. "Justeru, penduduk di 37 kampung ini perlu bersedia dengan risiko banjir kesan pertembungan air dari hulu sungai dan air laut pasang," katanya kepada pemberita hari ini. Di Muara Sungai Besut, lokasi yang terlibat ialah Kampung Pengkalan Atap, Kampung Teluk Budu, Kampung Pantai dan Kampung Nail, manakala di Muara Sungai Setiu melibatkan Kampung Gong Batu, Kampung Pengkalan Gelap, Kampung Limau Nipis, Kampung Kuala Setiu, Kampung Fikri. Di Muara Sungai Terengganu, kampung terlibat ialah Kampung Seberang Takir, Kampung Baru Seberang Takir, Kampung Ulu Takir, Kampung Pak Tuyu, Kampung Tanjung Gelam dan Kampung Pulau Rusa, manakala di Muara Sungai Merang kampung berisiko ialah Kampung Telaga Papan.  Beliau berkata di Muara Sungai Ibai pula, lokasi berisiko ialah Kampung Kubang Ikan, Kampung Kuala Ibai dan Taman Purnama, manakala di Muara Sungai Merchang ialah Kampung Merchang. "Di Muara Sungai Paka, terdapat empat kampung iaitu Kampung Kuala Paka, Kampung Tebing Tembah, Kampung Pinang Merah, Kampung Durian Mentangau manakala di Muara Sungai Kemasik ialah Kampung Baru Kemasik. "Di Muara Sungai Kemaman pula ialah Pulau Skepeng Kuala Kemaman, Pengkalan Cicar Bukit Kuang dan Kampung Bakau Tinggi. Di Muara Sungai Dungun pula ialah Kampung Seberang Pintasan, Kampung Teluk Bidara, Kampung Tanjung Jara, Kampung Che Lijah, Kampung Alur Makbah, Kampung Bijangga, Kampung Sungai Buaya dan Kampung Sungai Udang serta Kampung Sura di Muara Sungai Sura," katanya. Dalam pada itu, penduduk di enam kampung yang berada di lembangan Sungai Terengganu iaitu Kampung Losong, Kampung Pulau Kambing, Kampung Paloh, Kampung Teluk Pasu, Kampung Sungai Rengas dan Kampung Kubang Tangga turut perlu berhati-hati.
28 Feb 22
7194
Seberang Takir Teruskan Khatan Percuma Ringankan Kewangan Ibu Bapa
Seberang Takir Teruskan Khatan Percuma Ringankan Kewangan Ibu Bapa
KUALA NERUS, 28 Februari - Bersempena musim cuti sekolah, Pusat Khidmat Masyarakat DUN Seberang Takir sekali lagi mengambil langkah mempermudahkan urusan syariat dengan mengadakan siri kedua Program Khatan Percuma buat kanak-kanak di kawasan itu. Pegawai Penyelaras DUN Seberang Takir, Mohd Fadhil Wahab berkata, program siri kedua tersebut diadakan bagi mengurangkan beban kewangan para penjaga yang kurang berkemampuan. "Kita sedia maklum, kos berkhatan pada masa kini semakin meningkat kebelakangan ini sehingga ia membebani bagi segelintir ibu-bapa. "Alhamdulillah, dengan kerjasama Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kuala Nerus, kita buat lagi pada kali ini," ujarnya ketika dihubungi Urusetia Penerangan Darul Iman disini hari ini. Sementara itu, bapa salah seorang peserta, Hamdi Abdullah, 42, berkata, dia bersyukur kerana keperluan tersebut terus mendapat perhatian dan kecaknaan oleh wakil rakyat setempat. "Alhamdullilah dengan urusan perkhidmatan baik dijalankan PKM Pusat serta teknologi moden urusan khatan pada masa kini, diharapkan program sebegini diteruskan lagi buat dua lagi anak saya akan datang," jelasnya. Berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya, aktiviti tersebut telah mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah digariskan ekoran penularan wabak COVID-19 yang masih belum reda.
28 Feb 22
420
'Abang Viva' Kini Di Hulu Terengganu
'Abang Viva' Kini Di Hulu Terengganu
HULU TERENGGANU, 28 Februari - Sukarelawan yang terkenal dengan jolokan 'Abang Viva' Azwan Omar, yang selamat sampai dari Melaka jam 4.50 pagi kini bersiap sedia untuk membantu mangsa banjir di daerah ini. ‘Abang Viva‘, 30, berkata namun misi bantuan di Hulu Terengganu didapati berbeza dengan banjir di Shah Alam kerana pihaknya sukar untuk memasuki kawasan yang terjejas susulan arus yang terlalu deras. "Ketika di Shah Alam, saya tidak masalah untuk masuki kawasan yang terjejas banjir namun suasana di sini berbeza yang mana berisiko untuk bot-bot masuk ke tempat-tempat yang terputus hubungan jalan darat. "Pada peringkat awal, saya tiba di Pengkalan Ajal tapi air dah surut tetapi terdapat beberapa lokasi lain di daerah ini arus masih lagi deras dan merbahaya untuk bot masuk,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Belukar Bukit di sini hari ini. Dia turut ditemani beberapa kenalannya menaiki kenderaan pacuan empat roda, Mitsubishi Triton yang dihadiahkan usahawan kosmetik, bulan lalu.  Menurut beliau, sebaik sahaja misi mereka selesai di daerah ini, pihaknya akan ke Kelantan pula tetapi ia bergantung kepada situasi banjir.      
28 Feb 22
1612