Artikel "Semasa" Terkini
'Jangan Manipulasi Harga Ayam'
KUALA TERENGGANU, 23 Mei - Kerajaan pusat memberi peringatan tegas kepada semua pemain industri penternakan ayam agar tidak memanipulasi isu harga ayam di pasaran hingga membebankan pengguna.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) 2, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, pihaknya tidak akan berdiam diri dan bertolak ansur terhadap mereka yang cuba mengambil kesempatan terhadap keperluan makanan asas dalam negara itu.
"Bekalan ayam dalam negara asalnya mencukupi jadi bila dikatakan berlaku sebaliknya, ada sesuatu yang tak betul di sudut perjalanannya.
"Memang kita tak nafikan memang ada ayam yang mempunyai penyakit dan beratnya tidak sesuai untuk dijual, namun situasi itu tidak berlaku sepanjang masa," katanya
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Chendering, di sini hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Negeri, Dr Azman Ibrahim.
Dalam masa yang sama, Nik Zawawi memberi jaminan bahawa kementeriannya tidak akan berdiam diri untuk memastikan isu kenaikan harga ayam akan ditangani dengan cara yang terbaik.
Sementara itu, Dr Azman berkata kerajaan negeri yakin mampu mengurangkan kenaikan harga ternakan seperti daging lembu dan ayam apabila kilang di Bukit Kor, Marang bagi mengeluarkan makanan ternakan hasil kerjasama GLC dan syarikat swasta siap dibina dan beroperasi akhir tahun ini.
Tambah beliau, dengan adanya kilang tersebut, kerajaan mampu mengurangkan kebergantungan kepada bahan import sebanyak 80 peratus dengan memanfaatkan sumber tempatan untuk menghasilkan makanan ternakan.
"Saya yakin hasil dari sumber tempatan akan mengurangkan kenaikan harga ternakan seperti daging lembu dan ayam apabila kilang itu mengeluarkan makanan ternakan,"ujarnya.
23 May 22
828
Pesara Perlu Manfaat Pengalaman Bantu Kerajaan
KUALA TERENGGANU, 22 Mei - Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia disaran untuk terus menjadi denyut nadi kestabilan kerajaan dalam membekalkan idea-idea positif yang dijana melalui pengalaman lalu sepanjang berkhidmat sebagai penjawat awam.
Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Yahaya Ali berkata, walaupun sudah berusia dan bersara, masih lagi boleh membantu kerajaan dalam memberi pandangan untuk kebaikan bersama.
"Apa yang penting ialah pengalaman kita yang dalam pelbagai bidang, tidak kira perjawatan kita sebagai pegawai takbir di peringkat federal atau negeri, badan berkanun atau guru ianya ialah pengalaman hidup yang boleh membantu kerajaan dalam memberi pandangan.
"Kerajaan negeri mengiktiraf NGO Persatuan Pesara Kerajaan sebagai 'stakeholder' yang mana kita mahu manfaatkan pengalaman yang ada itu sebagai pemberian imput kepada kerajaan dalam pelbagai cara dan ruang yang ada," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap Merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia (PPKM) Bahagian Negeri Terengganu Kali ke-30 di Dewan Teater Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, semalam.
Turut sama hadir dalam majlis tersebut, Yang Dipertua Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia, Dato' Syed Abu Bakar Abdullah, dan Timbalannya, Abdullah Mamat.
Dalam pertemuan ini juga, hadiah penghargaan daripada Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia telah disalurkan kepada beberapa orang pesara, ianya sebagai penghargaan atas jasa dan pengorbanan mereka dalam memberi perkhidmatan yang terbaik selama berkhidmat.
23 May 22
259
Akur Syarat Ditetapkan Arab Saudi Terhadap Jemaah Haji
Malaysia akur dengan kerajaan Arab Saudi yang menetapkan bakal jemaah haji tidak melepasi syarat tak dibenarkan menunaikan rukun Islam kelima itu.
23 May 22
123
PM Yakin dan Bangga Dengan Kerajaan Terengganu
Perdana Menteri yakin kerajaan Terengganu di bawah kepimpinan Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mampu mencapai sasaran untuk menarik sekurang-kurangnya tiga juta pelancong dari dalam dan luar negara pada tahun ini.
23 May 22
107
Kerajaan Perlu Ambil Tindakan Drastik Atasi Kenaikan Harga Barang
KUALA TERENGGANU, 22 Mei - Kerajaan diminta mempertingkatkan pemantauan harga-harga barang keperluan di pasaran seluruh negara memandangkan fenomena kenaikan harga barang dilihat sangat meluas ketika ini.
Ahli Dewan Negara (Terengganu), Senator Dato’ Husain Awang berkata, tindakan drastik perlu dilakukan supaya tiada pihak menangguk di air keruh dengan mengambil kesempatan bagi menaikkan harga sesuka hati.
“Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) perlu menggiatkan peranan Pegawai Pemantau Harga di seluruh negara secara intensif agar tujuan pemantauan tercapai.
“Saya juga berharap KPDNHEP dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani perlu melaksanakan usaha mengoptimumkan pemasaran barangan keperluan dan makanan keluaran tempatan bagi memastikan tahap kebergantungan terhadap barangan import berkurangan.
“Pada waktu ini, saya percaya kualiti dan kuantiti barangan tempatan sudah mampu memenuhi permintaan tempatan, yang tinggal hanya sokongan dan bantuan dari pihak Kerajaan untuk merealisasikan usaha ini,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Katanya, beliau berharap agar rakyat berhemah dalam membuat perbelanjaan harian dan mengamalkan melakukan simpanan peribadi agar bersiap sedia menghadapi situasi ekonomi yang tidak menentu.
“Kita sama-sama berusaha dan seterusnya berdoa kepada Allah S.W.T agar segala ujian dan dugaan yang wujud pada waktu mencabar ini dapat dilalui oleh rakyat Malaysia dengan tabah,” ujarnya.
22 May 22
378
Pengunjung Luar Sanggup Datang Terengganu Meriahkan MRTM
KUALA TERENGGANU, 21 Mei- Tidak hanya rakyat negeri ini sahaja teruja menyambut Majlis Rumah Terbuka Malaysia (MRTM) Aidilfitri 2022 yang julung-julung kali diadakan di sini malah turut menarik pengunjung dari luar Terengganu untuk hadir bagi memeriahkan program.
Acara yang diadakan selama tiga hari itu telah dibanjiri oleh 70,000 keluarga Malaysia dari seluruh negara yang rata-ratanya ketika ditemui menyatakan keterujaan apabila mendapat tahu ia diadakan di negeri ini sehingga sanggup datang dari jauh.
Salah seorang pengunjung dari Shah Alam, Mohd Rizal Fatah, 37 menyifatkan Terengganu sangat beruntung kerana terpilih diadakan acara ini.
"Sangat bertuah, kita dapat lihat pada malam ini ia dihadiri oleh pelbagai bangsa, mungkin kalau diperhatikan betul-betul akan terdapat pelancong luar negara setelah dua tahun tidak diadakan upacara besar sebegini apabila negeri ini menjadi tuan rumah sudah tentu ia menarik minat saya untuk hadir semata-mata ke program ini.
"Sebagaimana kita sedia maklum Terengganu kini menjadi ikon pelancongan negara bagi saya sangat sesuai ia dipilih untuk diadakan acara sebegini,"ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) pada program terbabit, semalam.
Manakala bagi Azrie Akmal Azami, 24 , pula berkata perjalananya dari kedah ke Terengganu bersama keluarga ternyata berbaloi apabila dapat menghadiri MRTM berkenaan.
"Di mana bagi saya majlis ini sungguh meriah, mempersonakan dengan pelbagai aktiviti kesenian dan kebudayaan yang memperlihatkan keunikkan yang ada di negara kita ini, serta dapat bersama dengan pimpinan utama dalam negara.
"Dari segi makanan pula semua ada, dan saya apabila datang ke Terengganu ini antara menu utama kegemaran saya yang ada pada malam ini ialah Nasi Dagang, Insya-Allah saya akan ambil masa lama sedikit di sini dimana selepas majlis ini saya akn berkunjung ke tempat-tempat yang menarik di sini, diantaranya kami akan pergi ialah ke Tasik Kenyir,"ujarnya.
Sementara itu pengunjung dari negeri ini, Siti Nur Syafikah Mohd Nazari, 27, berkata sangat berbangga sebagai rakyat Terengganu dengan diadakan program tersebut.
"Saya dapat tahu program ini melalui hebahan di media sosial dan saya lihat video di lama web kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), sangat kagum terasa bukan seperti di Terengganu ternyata negeri kita ini semakin jauh ke hadapan dan menjadi tumpuan bukan sahaja negara bahkan dunia.
"Apabila tiga hari lepas saya melalui 'Drawbrigde' terlihat persiapan program ini, saya sangat teruja 'wow' terasa bukan macam dekat negeri sendiri, terasa sangat bangga apabila 'event' besar sebegini diadakan di negeri kita, malah telah memlih 'Drawbrigde' yang selama ini mercu ini menjadi kebanggan kita semua Semoga ini menjadi permulaan yang baik buat negeri ini dan akan terus berkembang maju dan membangun.
"Paling utama, semua yang hadir malam ini tidak hanya dari Terengganu, ramai dari luar datang dengan kepelbagaian kaum maka aspirasi keluarga Malaysia dapat diterjemahkan,"ujarnya.
Dalam pada itu, Mohd Haizat Kama, 30, berkata pada awal mendapat tahu mengenai perkembangan program begini diadakan terdetik kebimbangan kerana selama ini takut berlaku sesuatu di luar jangka yang akan menjejaskan imej negeri Terengganu.
"Dimana kita tahu rakyat negeri ini sangat sensitif dengan hiburan-hiburan melampau, namun saya melihat program ini berjaya mematuhi garis panduan hiburan yang ditetapkan, semoga perkara ini akan bertambah baik di masa hadapan.
"Dalam masa yang sama dengan penganjuran program ini yang turut diselit dengan hiburan, kesenian dan kebudayaan ini menampakkan bahawa polisi kerajaan tidak menghalang hiburan asalkan patuh syariah serta tidak melanggar syariat yang telah ditetapkan di dalam Islam,"ujarnya.
21 May 22
387
Pemimpin Politik Perlu Bersatu Demi Masa Depan Negara
MARANG, 21 Mei - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad menasihatkan pemimpin parti melayu agar bersatu hati dan terus berusaha mewujudkan kerjasama dalam berpolitik demi menyelamatkan masa hadapan negara melebihi kepentingan peribadi.
Katanya walaupun UMNO beranggapan hubungan dengan PAS sudah nyawa-nyawa ikan, namun Muafakat Nasional akan terus diperjuangkan demi memastikan masa depan umat Islam di negara ini terjamin serta agama terus dipertahankan.
"Apabila berpolitik kita bercakap tentang masa hadapan, sepatutnya yang sudah berusia lanjut dan lama dalam dunia politik tidak boleh ada ego dan sombong.
"Mengikut pengkaji Sains Politik sejak dari tahun 1969 mana-mana parti politik di Malaysia ini tidak boleh bergerak secara bersendirian ketika pilihan raya, mesti melalui kolaborasi, tengok apa telah jadi apabila adanya perpecahan 65 peratus orang Islam tewas kepada parti diwakili 35 peratus bukan Islam secara dominan.
"Kalau terus bersikap sombong kita akan ulangi kembali apa yang telah terjadi pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 ketika negara dikuasai oleh Pakatan Harapan (PH)," ujarnya.
Beliau yang juga Naib Presiden PAS berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program 'Rehlah Till Jannah' . di Perkampungan Darul Barakah , di sini semalam.
Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah.
Jelas Idris, walau apa jua anggapan dikeluarkan segelintir pemimpin parti, PAS akan terus berpegang teguh kepada prinsip berteraskan Islam untuk menyatukan seluruh parti-parti Melayu Islam.
"KIta tidak akan pandang kiri dan kanan, rakyat yang akan menjadi hakim dalam melihat usaha ke arah kebaikan ini bukan mana-mana pimpinan," tegasnya.
21 May 22
170
Akur Syarat Ditetapkan Arab Saudi Terhadap Jemaah Haji
MARANG, 21 Mei - Malaysia akur dengan kerajaan Arab Saudi yang menetapkan bakal jemaah haji tidak melepasi syarat tak dibenarkan menunaikan rukun Islam kelima itu.
Antara syaratnya ialah hanya mereka yang berusia 65 tahun ke bawah sahaja dibenarkan untuk menunaikan rukun Islam, tidak mempunyai penyakit kronik, memiliki sijil vaksinasi Covid-19 dan perlu mengemukakan keputuan negatif ujian calitan (PCR) dalam tempoh 72 jam sebelum berlepas.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad berkata, kerajaan Malaysia melalui Lembaga Tabung Haji (TH) tidak menetapkan apa-apa syarat sebaliknya hanya mematuhi keputusan yang telah dibuat oleh negara terbabit.
"Kita kena raikan padangan mereka tentang tentang kesihatan ini mungkin untuk mengelakkan berlakunya penularan Covid-19, dan keduanya kerana cuaca di sana agak panas, mereka tentu lebih tahu mengenai keadaan di sana kerana itu kita perlu mematuhinya.
"Setakat kini 1,000 jemaah telah menolak panggilan pertama disebakan masalah kesihatan dan selepas ini akan disusuli dengan panggilan seterusnya,"ujarnya.
Beliau berkata demikian pada sidang medianya, selepas merasmikan Program Rehlah Till Jannah Siri 1/2022 di Perkampungan Darul Barakah, di sini, pada hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah.
Menurut Idris, program Rehlah Till Jannah yang kali pertama diadakan itu telah dianjurkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bersama dengan Yayasan Islam Terengganu.
"Usaha berterusan ini dengan memberi mereka kefahaman agama akan mampu untuk mengembalikan mereka kepada fitrah asal,"ujarnya.
Antara pengisian program dijalankan selama tiga hari dua malam melibatkan 100 pelatih Perkampungan Darul Barakah ialah memberi pendedahan berkaitan Islam dan HIV, meningkatkan kesedaran beragama dalam kehidupan seharian bagi memantapkan rohani dan spiritual serta memberikan motivasi untuk meningkatkan jati diri untuk terus berjuang menghadapai cabaran dan dugaan mendatang.
21 May 22
291
KPWKM Sasar Bantu 25,000 Wanita Melalui Inisiatif Wanita Bangkit
KUALA TERENGGANU, 21 Mei - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menyasarkan untuk membantu seramai 25,000 wanita melalui Program Wanita Bangkit@KPWKM sehingga Disember ini.
Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, sejak dilancarkan tahun lepas, seramai 17,125 usahawan wanita terutamanya suri rumah, ibu tunggal dan orang kurang upaya (OKU) telah mendapat manfaat menerusi inisiatif tersebut.
"Ini merupakan usaha berterusan kerajaan untuk memartabatkan golongan wanita dalam aspek sosio-ekonomi. Pihak NGO dan syarikat serta orang perseorangan adalah amat dialu-alukan untuk melaksanakan program-program bersesuaian untuk manfaat kumpulan sasar khususnya wanita.
"Diharapkan dengan adanya kerjasama ini, golongan yang terjejas akibat pandemik COVID-19 khususnya wanita dapat dibantu dan secara tidak langsung dapat menyumbang kepada perkembangan ekonomi negara," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan kursus bimbingan perniagaan yang dihadiri 231 peserta program MyKasih Kapital yang merupakan sebuah inisiatif di bawah Program Wanita Bangkit@KWPKM di Hotel Primula, semalam.
Katanya, peserta MyKasih Kapital akan dinilai, dipantau dan akan mengikuti kursus-kursus bersesuaian bagi mempersiapkan diri dalam menceburi bidang perniagaan.
"Antara bidang yang boleh diceburi bagi memulakan perniagaan seperti e-dagang, dropship, perniagaan kecil-kecilan yang bukan di bawah skim keusahawanan di
Kementerian Keusahawan, TEKUN dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM)," ujarnya.
Difahamkan, melalui program tersebut juga, peserta menerima RM500 untuk memulakan perniagaan secara kecil-kecilan tanpa perlu membuat bayaran balik.
21 May 22
228
KPWKM, KKM Kerjasama Tangani HFMD
KUALA TERENGGANU, 21 Mei- Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat (KPWKM) bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi menangani penularan penyakit kaki, tangan dan mulut (HFMD).
Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, walaupun HFMD dikesan banyak berlaku di Selangor, pencegahan perlu dilakukan supaya tidak merebak ke negeri lain.
"Kalau kita lihat kes HFMD sekarang ini banyak di Selangor. Tapi kita perlu ambil langkah berjaga-jaga supaya tidak merebak ke negeri lain.
"Di peringkat kementerian, kita bekerjasama dengan KKM supaya dapat memantau keadaan di taska-taska. Peringatan akan sentiasa diberikan supaya taska memberi perhatian terhadap isu ini (HFMD)," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Wanita Bangkit@KWPKM di Hotel Primula, semalam.
Katanya, pengusaha taska juga perlu sentiasa menitik berat aspek kebersihan dan tidak menerima kanak-kanak yang dikesan memiliki simptom penyakit berkenaan.
"Selain itu, ibu juga perlu memainkan peranan menjaga tahap kebersihan anak ketika berada di rumah.
"Jika lihat anak-anak ada simptom awal, mungkin ada ruam-ruam merah naik dibadan dan sebagainya elak dari anak ini dihantar ke pusat penjagaan sebaliknya terus mendapatkan rawatan doktor," katanya.
Tambah Rina, dengan adanya pencegahan awal bukan sahaja daripada pengusaha taska tetapi ibu bapa dapat mengelakkan penularan HFMD berlaku.
21 May 22
200