Artikel "Semasa" Terkini
20 Produk Terengganu Di Bumi Dublin
KUALA TERENGGANU, 31 Mei- Sebanyak 20 jenama produk keluaran anak Terengganu telah dibawa ke Dublin, Ireland bagi tujuan mempromosikan barangan negeri ini ke negara luar.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro Dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, terdapat peluang dan ruang untuk produk-produk keluaran usahawan Terengganu dipasarkan ke negara luar.
“Kita dalam misi mencari peluang-peluang baru untuk pasaran di Dublin, Ireland serta London. Perbincangan telah dibuat bersama pihak kedutaan dan mendapati ada peluang dan ruang untuk kita masukkan produk-produk usahawan Terengganu ke kedua-dua tempat ini samada di Dublin atau London.
“Cuma mekanisma yang ada sekarang ini perlu ditambah baik dan dinaik taraf dimana lompang-lompang perlu diisi serta peluang-peluang yang ada perlu diterokai. Lebih-lebih lagi apabila sebanyak 20 ‘stock-keeping unit’ (SKU) telah dihantar ke Hibiscus Store Limited, Dublin,” katanya.
Hadir sama dalam lawatan kerja ke Dublin, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu, Mohd Rashdan Muda.
Antara jenama yang telah dibawa adalah Rempah Cap Bunga Ros, Rempah Tok Ma, Pertima, Sedap Koko, Tenang Recipe, Kopi Layar, Kopi Larich, Nuriq Enterprise, Rochinur, Keropok TokYam dan lain-lain.
Pelancaran dan penyerahan produk-produk tersebut telah disempurnakan oleh Nurkhuzaini dan turut disaksikan wakil Kedutaan Besar Malaysia di Ireland, Nadzira Abd Razak dan Pengaran Urusan Hibiscus Store Limited, Abdul Manan Kamarulzaman.
Tambah Nurkhuzaini, barangan tersebut mempunyai permintaaan tinggi namun beberapa perkara perlu diteliti supaya mencapai piawaian.
“Kita mempunyai permintaan (produk), cuma pengeluaran perlu ditingkatkan selain produk-produk baru seperti yang disebut oleh Ketua Pegawai Eksekutif YPU sebagai contoh ubi kayu daripada Afrika yang di eksport ke Dublin, Ireland kerana ianya merupakan makanan asas penduduk Afrika di sini.
“Jadi bahan-bahan ini ada dan usahawan kita pun ada di sini cuma ia perlu diinovasikan supaya dapat diguna pakai oleh masyarakat setempat (Dublin) sekali gus dapat mencari pasaran lebih luas,” katanya.
31 May 22
1955
Manfaatkan OGSE Atasi Cabaran Kejatuhan Harga Minyak
KUALA TERENGGANU, 30 Mei - Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) sektor perkhidmatan serta peralatan minyak dan gas (OGSE) diseru memanfaatkan Pelan Tindakan Industri OGSE Kebangsaan (OGSE Blueprint) 2021-2030 yang telah dilancarkan sejak April 2021 bagi menangani cabaran yang sedang dihadapi serta mencapai kemampanan jangka panjang.
Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri, Dato' Tengku Hassan Tengku Omar berkata, sektor OGSE telah menghadapi pelbagai cabaran sejak kejatuhan harga minyak pada tahun 2014.
“Keadaan ini turut diburukkan lagi oleh pandemik COVID-19 dengan penurunan permintaan bahan api di peringkat global.
“Persekitaran ini telah mendedahkan kelemahan struktur yang dihadapi oleh sektor OGSE tempatan termasuk pembangunan teknologi yang terhad, jurang bekalan dalam saluran modal insan, daya saing eksport terhad dan kekurangan akses kepada pembiayaan perlu diberi perhatian bagi menjamin kemampanan jangka panjang sektor OGSE,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama di Terengganu OGSE Roadshow 2022 yang dianjurkan bersama oleh Unit Perancang Ekonomi (UPEN) Terengganu dan Malaysia Petroleum Resources Corporation (MPRC) di Duyong Marina Resort, hari ini.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif MPRC, Mohd Yazid Ja’afar.
Tambahan pula katanya, industri minyak & gas juga sedang berdepan peralihan tenaga sebagai tindak balas terhadap perubahan iklim dengan menganjakkan pengeluaran dan penggunaan tenaga daripada bahan api fosil, termasuk minyak dan gas asli, kepada sumber tenaga boleh diperbaharui seperti angin, air dan solar.
“PKS OGSE perlu manfaatkan OGSE Blueprint 2021-2030 untuk menambah nilai jangka panjang, membantu dalam menyahut peluang dan cabaran semasa serta untuk mengambil bahagian dalam peralihan tenaga yang dihadapi pada masa ini,” kata Tengku Hassan.
Katanya, Pelan tindakan OGSE mengandungi 31 inisiatif bertujuan menyokong syarikat OGSE dalam mencapai kepelbagaian dan meningkatkan daya tahan perniagaan untuk masa hadapan.
Sementara itu, Mohd Yazid berkata, pelaksanaan inisiatif OGSE Blueprint sedang berjalan dengan lancar dengan tercatatnya beberapa pencapaian ketara setakat ini.
"Antaranya ialah Geran Pembangunan OGSE ataupun OGSE Development Grant iaitu inisiatif memudahkan pembiayaan pembangunan teknologi, inovasi dan usaha eksport barangan dan perkhidmatan di kalangan syarikat OGSE.
"Sukacita saya berkongsi di sini bahawa enam syarikat OGSE daripada Terengganu telah dianugerahkan pembiayaan sebanyak RM1.29 juta di bawah inisiatif ini daripada 30 syarikat yang telah layak menerima bantuan sebanyak RM6.98 juta setakat ini," kata Mohd Yazid.
Menurutnya lagi, inisiatif OGSE Blueprint yang lain termasuk penganugerahan OGSE Status kepada syarikat OGSE tempatan. OGSE Status ialah pengiktirafan yang diberikan kepada syarikat OGSE Malaysia yang aktif, berkemampuan dan berkebolehan dalam sektor OGSE untuk meningkatkan profit syarikat dan menyediakan akses pasaran yang lebih luas serta memudahkan akses pembiayaan.
"Sehingga kini, 80 syarikat OGSE tempatan telah dianugerahkan OGSE Status, dan lebih banyak syarikat sedang dinilai untuk status ini," katanya.
30 May 22
342
PERTIMA Sasar Pendapatan RM14 Juta Tahun Ini
KUALA TERENGGANU, 29 Mei – Syarikat pengeluar produk makanan dalam tin, Pertima Terengganu Sdn Bhd (PERTIMA) mensasarkan peningkatan pendapatan sehingga RM14 juta pada tahun ini berbanding RM12 juta yang direkodkan tahun lepas.
Pengurus Besarnya, Syed Mohd. Asdi Tuan Ngah berkata, ia berdasarkan permintaan yang menggalakkan sepanjang memasuki suku kedua 2022
Katanya, hingga kini pengeluaran produk terlaris keluaran syarikat itu telah meningkat 20 peratus selepas peralihan negara ke fasa endemik Covid-19,
“Orang ramai didapati menyukai sardin keluaran kami kerana menggunakan bahan mentah segar dan bermutu bagi memenuhi citarasa pelanggan.
“kita dapati pengguna cenderung membeli barangan keperluan sahaja dan sardin adalah salah satu daripanya dengan setiap rumah biasanya memiliki antara satu hingga tiga tin makanan itu.
“Sasaran kita adalah agar setiap isi rumah membeli sardin Pertima bagi membolehkan jenama kita terus kukuh setanding dengan produk terkemuka lain,” katanya.
PERTIMA telah diperbadankan pada 28 Mac 1972 dibawah Akta Syarikat 1965 dengan modal dibenarkan sebanyak RM10 juta dan modal berbayar sebanyak RM7.4 juta. Lokasi kilang ialah di kawasan Perindustrian Chendering, mempunyai keluasan 6,937 meter persegi.
Sehingga kini PERTIMA telah berjaya mengekalkan kedudukannya sebagai satu-satunya kilang pengeluar sardin di Malaysia yang 100 milik dan pekerjanya melayu bumiputra semenjak penubuhannya pada tahun 1972
Selain sardin, Syed Mohd Asdi berkata syarikatnya turut mengeluarkan lapan jenis produk makanan dalam tin seperti kari ayam, kuah laksa, kuah sate, sambal bilis, kaya dan sapuan sardin yang turut mendapat permintaan tinggi.
Menurutnya, produkmereka sebenarnya telah ada di pasar raya besar seperti Mydin, Aeon Big dan rangkaian KK Super Mart di seluruh negara,
Sementara itu, katanya, Pertima turut merancang untuk memperkenalkan beberapa produk baharu termasuk susu pekat dalam masa terdekat.
29 May 22
394
Tiada Perbincangan Lanjut Dengan PAAB- Ahmad Samsuri
KUALA TERENGGANU, 29 Mei - Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar telah mengeluarkan arahan kepada agensi kerajaan negeri agar tiada perbincangan lanjut dengan pihak Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB).
“PAAB cuba ‘approach’ kerajaan negeri, tetapi saya sudah bagi arahan kepada semua supaya tidak berbincang apa-apa dengan PAAB.
“Keputusan telah kita buat sebelum ini bahawa kita tidak akan ‘migrate’ kepada PAAB, aset-aset kerajaan negeri masih lagi dengan kerajaan negeri, tidak ada apa yang hendak dibincangkan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai isu bekalan air di Terengganu pada Majlis Sambutan Jubli Emas yayasan Terengganu di Perkarangan Yayasan Terengganu, hari ini.
Tambah Ahmad samsuri, beliau juga telah menyatakan mengenai perkara tersebut (tiada perbincangan lanjut) kepada Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato' Sri Tuan Ibrahim Tuan Man dan keputusan tersebut adalah muktamad.
“Tapi kalau PAAB cuba hantar surat terpulang pada dia la...kita tidak boleh halang pihak lain untuk berunding dengan kerajaan negeri,” katanya.
29 May 22
1049
2,820 Wanita Terengganu Terima Manfaat WCaRe
KUALA NERUS, 29 Mei - Seramai 2,820 wanita negeri ini menerima manfaat melalui Kempen Kesedaran Kanser Reproduktif Wanita (WCaRe) sempena Sambutan Hari Ibu peringkat negeri pada tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, kesemua penerima tersebut akan menerima peruntukan sehingga RM200,000 untuk menjalani saringan HPV DNA bagi mengesan kanser serviks dan mammogram untuk pengesanan awal kanser payudara.
"Kempen pada kali ini Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) telah mempakejkan gerak promosi dengan mengabungkan dua perkhidmatan iaitu Program Subsidi Mamogram dan Pemeriksaan Papa Smear.
"Ia bertujuan untuk memberi pengetahuan dan meningkatkan kesedaran dalam kalangan wanita, dengan fokus utamanya adalah kepada aspek pencegahan kanser reproduktif di kalangan wanita pada peringkat awal," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Ibu Peringkat Negeri Terengganu dan Kempen Kesedaran dan WCaRe, di Taman Tasik Kuala Nerus, di sini, semalam.
Turut hadir, Pengarah LPPKN, Muhamad Noh Abdullah dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan W\anita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Alias Harun.
Mengulas lanjut, Hanafiah berkata pengesanan awal boleh menyelamatkan nyawa, justeru beliau menyeru kepada semua kaum ibu dan wanita Terengganu agar menjalni ujian saringan terbabit.
"Saya turut difahamkan LPPKN telah beranjak kepada kaedah 'Liquid Base Cytology (LBC) secara spesifik, rapi dan mudah di mana klien sendiri melakukannya dengan tunjuk ajar daripada jururawat terlatih.
"Kaedah ini sudah tentu lebih mudah, dan langkah diperkenalkan ini menjadi pilihan ramai terutama kepada wanita yang masih berasa malu untuk melakukan ujian sebagaimana sebelum ini.
"Perkhidmatan ini disediakan secara percuma di tiga buah Klinik Nur Sejahtera (KNS) LPPKN di Kuala Terengganu, Dungun dan Besut,"ujarnya.
Mengenai sambutan hari ibu peringkat negeri itu, jelasnya sangat bermakna kerana pada tahun ini dapat disambut secara fizikal.
"Kasih Ibu Selamanya, itulah tema yang dipilih untuk sambutan pada tahun ini, untuk mengajak pelbagai lapisan masyarakat untuk menghargai dan memberi tumpuan kepada peranan ibu dan bapa dalam memastikan keluarga terus sejahtera, terutamanya dalam kesihatan mental dan keselamatan keluarga agar kekal harmoni walaupun berdepan pelbagai cabaran.
"Kesejahteraan keluarga bermula dengan ikatan kasih sayang yang erat daripada seorang ibu dan disusuli dengan kepimpinan unggul oleh seorang bapa, kedua-duanya merupakan tunggak kekuatan bersama dalam sesebuah keluarga,"ujarnya.
Untuk rekod Program sambutan hari ibu pada kali ini telah berjaya mengumpulkan 300 kaum ibu beserta ahli keluarga dari seluruh negeri dengan pelbagai pengisian aktiviti seperti pemeriksaan kesihatan oleh Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Terengganu, senaman tai chi batik, demo makanan sihat, sudut bergmbar bersama ibu.
Antaranya lagi ialah permainan keluarga, pertandingan untuk ibu dan anak serta kembara kaunseling dan juga Mama Care.
29 May 22
608
Kuala Nerus Ungguli SUTERA 2021
KUALA NERUS, 29 Mei - Temasya Sukan Terengganu (SUTERA) 2021 yang berakhir semalam menyaksikan tuan rumah, Kuala Nerus meraih juara keseluruhan dengan pungutan 26 emas, 10 perak dan 16 gangsa.
Mereka membawa pulang piala pusingan, piala iringan beserta wang tunai RM75,000.
Manakala naib johan pula dimenangi oleh Kontinjen Kuala Terengganu dengan pungutan pingat 20 emas, 9 perak dan 19 gangsa serta membawa pulang piala iringan beserta hadiah wang tunai berjumlah RM50,000.
Sementara itu, Marang pula terpaksa berpuas hati berada di tempat ketiga dengan hanya meraih kutipan pingat 13 emas, 16 perak dan 14 gangsa serta membawa pulang piala iringan dan hadiah wang tunai berjumlah RM20,000.
Anugerah olahragawan Sutera 2021 pada kali ini telah dinobatkan kepada Mohd Zulhafizi Ariffin dari kontinjen Kuala Terengganu yang telah berjaya meraih pingat emas dalam Sukan Tenpin Bowling bagi acara ' single, double, trio dan team'.
Manakala bagi olahragawati pula telah dianugerahkan kepada Nurul Huwaida Mohd Hamka dari kontinjen Daerah Kuala Nerus yang telah tampil cemerlang dalam sukan olahraga dengan memenangi dua pingat emas dan dua pingat gangsa bagi acara 100 Meter (M), 200 M, 4 x 100 M dan 4 X 400 M.
Masing-masing membawa pulang piala iringan dan hadiah tunai sebanyak RM1,000 seorang.
Majlis penutup temasya SUTERA Kuala Nerus 2021 itu telah disempurnakan oleh Setiausaha Kerajaan negeri, Tengku Seri Bijaya Raja yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah serta Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak.
SUTERA 2021 itu telah ditutup secara rasmi semalam dengan ucapara menurukan bendera serta penyerahan bendera kejohanan dan buku manual pengelolaan temasya sukan terbabit kepada Majlis Sukan Daerah Dungun yang bakal menjadi tuan rumah bagi tahun hadapan.
29 May 22
1430
HFMD: 5 Taska Ditutup, 34 Kes Dikesan
KUALA NERUS, 28 Mei- Lima Taman Asuhan Kanak-kanak (TASKA) di bawah Yayasan Pembangunan Keluarga (YPKT) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di negeri ini telah ditutup secara berperingkat susulan terdapat 34 kes jangkitan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD).
TASKA terbabit melibatkan tiga di daerah Hulu Terengganu dan masing-masing satu di Dungun dan Kemaman, ia ditutup dalam tempoh tiga hingga 10 hari bermula 17 Mei hingga 2 Jun.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, penutupannya adalah mengikut nasihat pihak Kementerian Kesihatan Malaysia.
Katanya, pihak berkenaan membuat penilaian terlebih dahulu sebelum mengarahkan ia ditutup bagi menjamin keselamatan kanak-kanak.
"Setakat ini ia masih belum serius, namun begitu dinasihatkan kepada ibu bapa jika ternampak gejala ini bersegeralah mendapatkan rawatan di hospital dan jangan hantar anak yang bergejala ini ke TASKA bagi mengelakkan ia menular," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Ibu Peringkat Negeri Terengganu Tahun 2022 dan Kempen Kesedaran Kanser Reproduktif Wanita (WCARE) di Taman Tasik Kuala Nerus, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut kata Hanafiah, kesedaran ibu bapa di negeri terhadap HFMD ini adalah tinggi.
"Namun semua diingatkan untuk berjaga-jaga serta mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap anak-anak mereka bagi mengelakkan penyakit ini daripada terus merebak," tambah beliau.
28 May 22
946
Krisis Makanan : Pelan Pertanian Terengganu Jadi 'Penyelamat'
KUALA TERENGGANU, 28 Mei – Pelan Strategik Pertanian Terengganu 2019-2023 menjadi 'penyelamat' rakyat di negeri ini dalam berhadapan krisis makanan yang sedang melanda dunia.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata sebaik memasuki Wisma Darul Iman pada Mei 2018, beliau mendapati badan pertanian negeri tidak mempunyai sebarang pelan bertindak serta agenda 'setting' yang jelas.
"Maknanya kita bekerja tanpa halatuju, ke mana nak dibawa sektor Pertanian Negeri Terengganu ketika itu.
"Kita rangka Pelan Strategik Pertanian Terengganu dalam beberapa siri bengkel yang melibatkan semua pemain industri ini dari menara gading, jabatan-jabatan kerajaan, wakil-wakil industri sehingga petani, penternak dan nelayan turut dilibatkan. Maka lahirlah satu pelan yang saya istilahkan 'pelan daripada kita untuk kita'," katanya dalam satu kenyataan kelmarin.
Disebabkan itu katanya, Terengganu tidak terjejas teruk ketika bekalan makanan bermasalah ketika ini.
"Terengganu sudah melangkah jauh dalam agenda keselamatan makanan (food fecurity) negeri dengan pelancaran tersebut pada Ogos 2019 yang lalu.
"Ia merupakan sebuah agenda jangka pendek dan jangka panjang yang lebih menyeluruh berbanding hanya satu pasukan tugas (task force)," jelasnya.
"Menurut beliau, jawatankuasa ‘food security’ dan jawatankuasa Gedung Pengeluaran Makanan Negeri Terengganu adalah sebahagian dari Jawatankuasa Task Force yang ada didalam perlaksanaan Pelan Strategik Pertanian Terengganu 2019-2023,
"Ujian pertama kemampanan pelan strategik ini telah teruji dan terbukti berkesan ketika berhadapan bencana pandemik Covid-19. Ia tidaklah sebesar bencana peperangan atau bencana sekatan ekonomi. Namun, ia menyedarkan kita bagaimana keamanan negara yang dinikmati menjadikan kita leka dan selesa. Ketahanan kita dalam aspek food security terlalu rapuh.
‘’Beberapa bulan dilanda Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kita sudah goyah. Belum lagi dilanda bencana peperangan dan sekatan ekonomi bertahun-tahun,' ujarnya.
28 May 22
671
Senyum Lebar, 320 Orang Bersyukur Genggam Geran Tanah
SETIU, 28 Mei - Seramai 320 orang penerima geran tanah bergembira dan bersyukur setelah penantian bertahun lamanya untuk mengenggam geran tanah akhirnya tercapai dan menganggap ia merupakan hadiah istimewa dari kerajaan negeri, yang telah mengotakan janjinya selama ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata pemberian ini bukanlah pertama kali dibuat setelah mengambil alih kepimpinan kerajaan negeri malah telah berulang kali diadakan pengagihan geran seperti ini kepada penerima-penerima.
"Tahniah kepada semua penerima. Rakyat senyum kita tumpang gembira. Banyak kali dah kita buat program agih geran tanah di Setiu. Pagi ini sejumlah 320 lagi Geran Hak Milik Tanah sudah berada dalam tangan penerima dari Dun Langkap dan Permaisuri Setiu. Ia sebahagian dari usaha keras kumpulan kami untuk menyelesaikan isu-isu tanah di Daerah Setiu.
"Isu-isu berkaitan hak milik tanah memang tak akan mampu diselesaikan 100% kerana ia suatu urusan yang sentiasa timbul dan berbangkit. Kalau selesai sepenuhnya ia bermakna kita boleh tutup Pejabat Tanah,"ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Penyerahan Dokumen Hak Milik Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Daerah Setiu bagi tahun 2022, di Dewan Terbuka Sungai Tarom, Setiu.
Turut hadir Pegawai Daerah Setiu, Rosli Latif, Pegawai Penyelaras Langkap, Azmi Maarof serta Pengawai Penyelaras Permaisuri, Ustaz Zul Bahri.dir Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir.
"Contohnya kita bagi hak milik sebidang tanah kepada seseorang. Selepas itu mungkin ada urusan tukar syarat guna tanah, pecah lot, pindah hak milik, jual beli dan bila tuan meninggal jadi faraid pula. Begitulah seterusnya dan seterusnya sehingga kiamat. Sebab itu ambe berani kata, siapa yang boleh selesai sepenuhnya hal tanah, dia adalah insan ajaib yang mungkin bukan berasal dari planet bumi ini,"ujarnya.
28 May 22
546
Bunga Kantan Flakes Ungguli MPI 2022
KUALA NERUS, 23 Mei - Keberanian empat penyelidik mempertaruhkan bunga kantan sebagai bahan penyelidikan utama sempena Minggu Penyelidikan dan Inovasi (MPI) 2022 nyata tidak sia-sia apabila diumumkan sebagai penerima anugerah emas sekali gus mengungguli anugerah ‘Grand Award’ pada majlis penutup program tersebut yang diadakan di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), semalam.
Diketuai Nor Asiah Muhamad Nor yang merupakan pensyarah Falkulti Sains kesihatan UniSZA, kajian bertajuk Bunga kantan flakes: A potential glucose-lowering herb rich in antioxidants itu merupakan projek kerjasama antara UniSZA dan Universiti Sains Malaysia (USM), Kubang Kerian yang turut diwakili penyelidik Prof Madya Wan Amir Nizam Wan Ahmad (USM), Dr Liza Noordin (USM) serta Dr Nor Hidayah Abu Bakar (UniSZA).
Berkongsi kenapa memilih bunga kantan Nor Asiah berkata, disebabkan penggunaannya begitu terhad, mereka sebulat suara untuk membuat penyelidikan terhadap bahan tersebut bagi mempelbagaikan penggunaan serta mewar-warkan kebaikan bunga kantan yang biasanya sinonim dengan masakan semata-mata.
“Kita ingin memperkenalkan bunga kantan flakes ini untuk pelbagai penggunaan selain daripada kita guna untuk masakan kerana ianya berpontensi sebagai agen menurunkan kadar glukos.
“Daripada kajian yang kita lakukan bermula tahun 2017, ada bukti saintifik yang menunjukkan bunga kantan ini baik untuk kesihatan terutamanya kepada pesakit diabetes dimana produk yang kita ada ini boleh hasilkan jus untuk kurangkan gula darah darah, berat badan dan lain-lain,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Perasmian Penutup Minggu Penyelidikan Dan Inovasi 2022 yang disempurnakan oleh Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Dewan Al- Muktafi Billah Shah, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Kampus Gong Badak, semalam.
Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) UniSZA, Prof. Dr. Zuhairah Ariff Abd Ghadas.
Sementara itu, Zuhairah dalam ucapannya berkata, penganjuran MPI kali ini dilaksanakan dengan jayanya menerusi jaringan kerjasama antara UniSZA, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan University College TATI (UC TATI) dimana UniSZA dipilih sebagai tuan rumah.
Katanya, penganjuran MPI pada tahun 2022 merupakan penganjuran edisi ke-9 bagi mempamerkan hasil inovasi dan penyelidikan para penyelidik serta pelajar Universiti Awam (UA), Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS), Politeknik dan Kolej Komuniti serta pelajar Sekolah Rendah dan Sekolah Menengah.
“Pelaksanaan program MPI kali ini dijalankan dengan dua mod iaitu secara maya dan fizikal. Pada peringkat pertama semua penyertaan akan dipertandingkan dan dinilai secara maya/ atas talian, manakala pada peringkat kedua, hanya produk terpilih akan dipamerkan secara fizikal di dewan diikuti dengan majlis perasmian penutup.
“Tujuan penganjuran MPI ini adalah untuk memupuk budaya penyelidikan, rekacipta dan inovasi dalam kalangan warga penyelidik dan pelajar,” ujarnya.
Menurut beliau, penyertaan MPI 2022 dibahagikan kepada sembilan kluster dan jumlah penyertaan yang telah diterima adalah sebanyak 348 terdiri daripada staf akademik dan pelajar daripada UniSZA, UMT, UC TATI, Universiti-universiti Awam, sekolah-sekolah dan lain-lain agensi.
24 May 22
620