Artikel "Semasa" Terkini
PJKM Catat Hasil Jualan Cecah RM60 Ribu Di Hari Pertama JAKM
KUALA NERUS, 3 Jun -Program Jualan Keluarga Malaysia, (PJKM) di Terengganu bersempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia merekodkan hampir RM60,000 hasil jualan pada hari pertama ia berlangsung di Kompleks Sukan Negeri Terengganu.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu, Saharuddin Mohd Kia berkata, program itu mendapat sambutan menggalakkan dengan menerima hampir empat ribu pengunjung seawal jam 9 pagi lagi dari seluruh negeri itu.
Katanya, program yang disertai pelbagai agensi dan syarikat itu menawarkan pelbagai pilihan barangan keperluan harian dengan potongan harga sehingga 20 peratus.
" Antara agensi yang terlibat adalah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Koperasi Usahawan Darul Iman, Koperasi Pembangunan Parlimen Kuala Terengganu, Persatuan Nelayan Negeri Terengganu, pasaraya Sabasun, MDM Blue Ocean, Pok Awang Agro Farm Empire, Kemamang Pine, Qaseh Aiyaa dan SBA Maju Resources.
"Hari pertama PJKM, kita telah berjaya mencatatkan hasil terbaik dan berharap lebih baik untuk dua hari terakhir,"katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman hari ini.
Selaku penganjur program , Shaharuddin turut menyeru seluruh penduduk Terengganu untuk datang beramai-ramai ke tapak jualan PJKM mulai jam 9 pagi hingga 6 petang.
"Pengguna disaran mengambil peluang untuk mendapatkan barangan keperluan harian mereka dengan potongan harga sehingga 20 peratus lebih murah berbanding pasaran biasa.
"Antara barangan dijual sepanjang PJKM berlangsung selama tiga hari bermula semalam hingga esok ialah daging segar, ayam, ikan sejuk beku, telur, minyak masak paket, beras, gula dan sayur-sayuran," ujarnya.
Sementara itu, sebahagian besar pengunjung yang ditemui menyambut baik program ini dalam merancang pembelian dan membuat pilihan yang bijak bagi mengurangkan bebanan perbelanjaan isi rumah.
Dalam masa yang sama, mereka mengakui bahawa harga barangan yang dijual adalah berpatutan serta membantu meringankan bebanan kos sara hidup rakyat yang dilaporkan kian meningkat.
03 Jun 22
307
Kerajaan Negeri Alukan Penganjuran Program Di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 2 Jun- Kerajaan Negeri Terengganu sedia bekerjasama dengan mana-mana kementerian yang ingin menganjurkan program di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, kerajaan negeri akan memberikan sepenuh kerjasama untuk menjayakan sebarang program yang memberi manfaat kepada negeri dan rakyat.
"Saya yakin rakyat Terengganu sendiri gembira dengan sebarang penganjuran program yang mendatangkan keuntungan kepada mereka," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia 2022 di Terengganufm, RTM, hari ini.
Sementara itu, mengulas mengenai program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia beliau berkata, pelbagai tarikan dirancang untuk pengunjung terutama penglibatan kementerian dan jualan yang menjadi tumpuan pada program ini.
"Ada karnival kerjaya, jualan, dan pada salah satu malam ada Kuala Terengganu Berselawat, jadi kita cuba membuat pengisian jasmani dan rohani dalam memenuhi keperluan hidup bekeluarga," katanya.
Justeru, beliau menyeru rakyat Terengganu untuk hadir beramai-ramai ke Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia yang akan berlangsung pada 2 sehingga 4 Jun ini di perkarangan Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Kuala Nerus.
02 Jun 22
475
Giliran Perantau Johor Terima i-Perantau
Kerajaan negeri hari ini meraikan 1,500 anak Terengganu di negeri Johor dalam Majlis Penyerahan i-Perantau Negeri Johor dan Sambutan Hari Raya di Tanjong Puteri Golf Resort, Johor di sini.
02 Jun 22
219
Tiada Perbincangan Lanjut Dengan PAAB- Ahmad Samsuri
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar telah mengeluarkan arahan kepada agensi kerajaan negeri agar tiada perbincangan lanjut dengan pihak Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB).
02 Jun 22
179
'Selesai Masalah Rakyat Dulu, Baru PRU'
KUALA TERENGGANU, 2 Jun- Menangani krisis yang dihadapi oleh rakyat terutamanya isu membabitkan masalah 'food security' adalah lebih utama berbanding memenuhi desakan segelintir pihak yang mahu diadakan Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15 dalam masa terdekat.
Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, penyelesaian terhadap masalah rakyat dapat menjamin kestabilan negara pada ketika ini.
"Saya rasa ia sangat tidak bertanggungjawab apabila mengutamakan kepentingan diri dahulu berbanding rakyat dan negara secara keseluruhannya.
"Kemenangan yang terbesar adalah apabila kebajikan rakyat terbela dan bukan soal mana-mana parti yang menang, kalau bersungguh-sungguh mengutamakan keperluan rakyat kita akan menang bersama.
"Saya bimbang selama ini mereka perasan telah kuat sedangkan rakyat tidak berminat pun, sebagaimana yang telah berlaku pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu di Johor dan Melaka rakyat tidak ramai keluar mengundi kerana melihat ia tiada mendatangkan kepentingan rakyat melainkan hanya untuk kepentingan parti politik tertentu semata-mata" ujarnya.
Beliau berkata demikian pada sidang medianya selepas melancarkan inovasi beca elektrik (e-BECA) di Dataran Shahbandar, di sini, pada hari ini.
Mengulas lanjut katanya, selama ini setiap kali mesyuarat kabinet antara perkara yang menjadi tumpuan adalah untuk memastikan kepentingan rakyat terpelihara dan negara dapat dipulihkan kembali.
"Kita belum pulih sepenuhnya lagi masih ada Majlis Pemulihan Negara belum lagi sampai kepada endemik sepenhnya, kerana itu pemakaian topeng masih diwajibkan.
"Saya rasa baiklah tumpuan sekarang ini diberikan kepada soal mentadbir negara sebaik-baiknya rata-rata rakyat secara umumnya mengharapkan agar pemerintahan diteruskan sehingga habis penggal sebelum mandat dikembalikan semula kepada rakyat,"ujarnya.
02 Jun 22
585
2,820 Wanita Terengganu Terima Manfaat WCaRe
Seramai 2,820 wanita negeri ini menerima manfaat melalui Kempen Kesedaran Kanser Reproduktif Wanita (WCaRe) sempena Sambutan Hari Ibu peringkat negeri pada tahun ini.
02 Jun 22
7
e-BECA Diperkenal Bantu Tingkat Pendapatan Pengayuh
KUALA TERENGGANU, 2 Jun- Inovasi baharu, e-BECA telah diperkenalkan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bagi meningkatkan pendapatan pengayuh beca dan merancakkan industri pelancongan di Terengganu.
Timbalan Menteri MOSTI, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata. transformasi yang pertama di Malaysia itu dilakukan bagi memastikan industri beca di negeri ini tidak akan pupus.
"Idea ini datang melalui Pertandingan Inovasi Beca Terengganu 2021 secara dalam talian semasa fasa Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan.
"Inovasi ini mampu membantu 20 pengusaha beca yang sudah berusia untuk meneruskan pencarian rezeki mereka dengan menggunakan sistem yang lebih mudah tanpa menggunakan kudrat yang banyak.
"Ia menggunakan tenaga solar, dan tidak perlu banyak berkayuh serta boleh bergerak dalam tempoh yang lebih lama sehingga berupaya untuk beroperasi selama 24 jam, selain ia masih mengekalkan ciri-ciri sedia ada,"ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media, selepas merasmikan Majlis Pelancaran e-BECA, di Dataran Syahbandar, di sini, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital 2, Abdul Razak Ibrahim, Timbalan Setiausaha Kerajaan negeri, Anuar Awang, Timbalan Ketua Setiausaha MOSTI, Dr. K. Nagulendran, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Inovasi Malaysia (YIM), Sharmila Mohamed Salleh.
Mengulas lanjut inovasi berkenaan katanya ia dihasilkan melalui kerjasama antara YIM, SME Corp, Malaysia dengan disokong oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Terengganu, Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT), Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan (YPASM), Jabatan Pelancongan negeri serta Persatuan Pelancongan Terengganu.
"Teksi Terengganu ini selain rekaannya yang moden ia turut dinaiktaraf dengan menggunakan paparan skrin LED bagi penyampaian maklumat dan promosi serta dilengkapi dengan sistem audio yang menarik saya merasa bangga dengan apa yang dibuat oleh 'innovator' tempatan ini.
"KIta juga akan turut membincangkan agar bayaran dikenakan nanti adalah berpatutan dan bersesuaian, jika dikenakan pada kadar mahal maka ia tidak akan lagi menarik dalam masa yang sama kita hendak pastikan ia mampu menjana pendapatan yang lumayan kepada golongan B40 serta menarik golongan muda untuk turut menceburi bidang perkhidmatan ini bagi dijadikan sebagai kerjaya," ujarnya.
Sementara itu, Pengayuh Beca, Abdullah Mohamad, 64, berkata, inovasi tersebut sangat membantu untuknya terus terbabit dalam perusahaan berkenaan yang telah diceburinya semenjak 40 tahun lalu.
"Saya tidak lagi rasa penat sebagaimana sebelum ini, hendak ke sesuatu tempat pun lebih cepat, dimana ia sangat ringan berbanding beca yang saya ada sebelum ini, jadi ini suatu yang sangat baik.
"Sangat membantu dari sudut penambahan pendapatan, jika sebelum ini berupaya untuk beroperasi dalam masa yang singkat selepas ini dapat berkerja lebih lama untuk memenuhi kehendak pelancong-pelancong yang datang bertandang ke negeri ini," katanya lagi.
02 Jun 22
807
Kerjasama Antara Pegawai Kunci Kejayaan Negeri
Semangat kerjasama dan juga saling tanggungjawab dalam kalangan pegawai tadbir menjadi kunci utama kejayaan negeri Terengganu.
01 Jun 22
158
Bunga Kantan Flakes Ungguli MPI 2022
Keberanian empat penyelidik mempertaruhkan bunga kantan sebagai bahan penyelidikan utama sempena Minggu Penyelidikan dan Inovasi (MPI) 2022 nyata tidak sia-sia apabila diumumkan sebagai penerima anugerah emas sekali gus mengungguli anugerah ‘Grand Award’ pada majlis penutup program tersebut yang diadakan di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), semalam.
31 May 22
8
Pendapatan Suku Pertama TDM Meningkat 40 Peratus
KUALA TERENGGANU, 31 Mei - TDM Berhad mengumumkan hasil keputusan kewangan untuk suku pertama tahun ini yang berakhir 31 Mac 2022 adalah memberangsangkan.
TDM Berhad dalam satu kenyataan memaklumkan, pendapatan TDM bagi suku pertama tahun ini meningkat sebanyak 40 peratus berbanding suku yang sama sebelum ini hasil daripada pendapatan yang tinggi dijana oleh Bahagian Perladangan (67 peratus) dan Penjagaan Kesihatan syarikat (13 peratus).
“Pendapatan yang baik dicatatkan Bahagian Perladangan adalah didorong terutamanya oleh harga purata minyak sawit mentah (CPO) dan isirong sawit (PK) yang lebih tinggi, masing-masing sebanyak 51 peratus dan 83 peratus,” ujar kenyataan tersebut.
Sementara itu katanya, pertumbuhan positif daripada Bahagian Penjagaan Kesihatan TDM pula disumbangkan oleh kadar penghunian yang semakin memulih sebanyak 18 peratus dan bilangan pesakit dalam dan pesakit luar yang lebih tinggi masing-masing sebanyak 17 peratus dan 6 peratus.
Menurut kenyataan itu, Kumpulan TDM mencatatkan Keuntungan Sebelum Cukai (PBT) sebanyak RM17.0 juta pada suku tersebut, peningkatan sebanyak RM20.3 juta berbanding Kerugian Sebelum Cukai (LBT) sebanyak RM3.3 juta ketika tempoh yang sama tahun lalu.
“Perolehan Sebelum Faedah, Cukai, Susut Nilai dan Pelunasan (EBITDA) syarikat juga meningkat daripada RM23.3 juta kepada RM40.8 juta pada suku ini,” ujarnya.
31 May 22
556