lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Mursyied Mahu SImpan Duit Bantuan, Berhasrat Jadi Ulama
Mursyied Mahu SImpan Duit Bantuan, Berhasrat Jadi Ulama
KUALA NERUS, 6 Jun- Penerima 'one-off' Yayasan Keluarga Malaysia (YKM), Muhammad Mursyied Islamie Mayuddin, 13, mahu menyimpan bantuan yang diterimanya bagi tujuan pembelajaran demi mencapai cita-cita untuk menjadi seorang ulama. Katanya, duit RM2,500 itu akan dimanfaatkan bagi memenuhi dan mengikuti jejak keluarganya. "Selama ini saya telah mendapat biasiswa sebanyak RM70 sebulan di sekolah, apa yang diterima ini untuk mencapai cita-cita saya ini untuk mengikuti jejak langkah Allahyarham ayah saya yang juga merupakan seorang guru agama,"ujarnya. Dia yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Agama (Atas) Sultan Zainal Abidin (SMAASZA) berkata demikian ketika ditemui pada program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM) Terengganu, di Komplkes Sukan Gong Badak di sini baru-baru ini. Anak bongsu daripada 10 beradik itu berkata, pemberian berkenaan sangat membantu meringankan bebanan keluarga dalam menguruskan persekolahannya sejak kehilangan bapa akibat Covid-19. "Selain saya, seorang lagi yang masih bersekolah ialah Muhammad Muqtasied Mayuddin, 16, yang mana setelah bapa pergi yang mengambil alih tugas dan tanggungjawab ayah ialah abang saya Muhammad Mujadidul Islam, 28, yang merupakan seorang pendakwah bebas,"ujarnya yang merupakan antara 10 penerima sumbanga daripada Perdana Menteri, Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob. Antara yang turut menerima sumbangan tersebut ialah seorang bayi berusia dua tahun, Aisyah Amani Harun yang menerima sumbangan sebanyak RM 2,000. Menurut ibu kepada bayi berkenaan, Noraziah Adam, 36, bantuan itu akan dimanfaatkan untuk menyara kehidupan mereka tiga beranak selepas kematian suami pada November tahun lalu akibat Covid-19.
05 Jun 22
99
Konsep Keluarga Malaysia Lahirkan Kesejahteraan Dan Kestabilan
Konsep Keluarga Malaysia Lahirkan Kesejahteraan Dan Kestabilan
KUALA NERUS, 4 Jun - Konsep Keluarga Malaysia yang bersifat inklusif mampu menyatupadukan rakyat dalam mencapai kesejahteraan ekonomi dan kestabilan politik. Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata konsep yang diperkenalkan 22 Ogos 2021 merentasi sempadan agama, bangsa dan kaum dengan menggariskan tiga teras utama iaitu Keterangkuman, Kebersamaan dan Kesyukuran. "Secara tidak langsung, mengajak rakyat Malaysia untuk mengenepikan perbezaan dalam memulihkan semula  negara, bagi menggembleng tenaga dalam mendepani apa jua cabaran yang mendatang sebagai sebuah keluarga yang saling melengkapi antara satu sama lain. "Kesejahteraan dan kestabilan inilah yang akan kita wariskan kepada anak cucu kita pada masa akan datang," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penutup JAKM di Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Gong Badak di sini hari ini. Terengganu merupakan negeri keempat bagi siri Jelajah AKM selepas Johor, Perlis dan Sabah dengan jumlah pengunjung melebihi 21,745 orang sepanjang tiga hari penganjurannya.  
04 Jun 22
419
13,431 Peluang Pekerjaan Perlu Dimanfaatkan Rakyat Terengganu Sepanjang JAKM
13,431 Peluang Pekerjaan Perlu Dimanfaatkan Rakyat Terengganu Sepanjang JAKM
KUALA NERUS, 4 Jun - Sebanyak 13,431 peluang pekerjaan tersedia sempena program berlangsung pada pentas Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM) di Terengganu, yang ditawarkan melalui 89 majikan. Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata rakyat di negeri ini disarankan merebut peluang yang ada  sepanjang tiga hari JAKM berlangsung. "Ini membolehkan Keluarga Malaysia di Terengganu dipadankan dengan pekerjaan yang sesuai," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penutup JAKM di Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Gong Badak di sini hari ini. Sementara itu katanya, kerajaan negeri Terengganu dan PERKESO di bawah  Kementerian Sumber Manusia telah bekerjasama untuk memperkasakan akses peluang pekerjaan bagi rakyat Terengganu melalui 38 Pusat Pintar yang menyasarkan 1,000 penempatan pekerjaan.  "Alhamdulillah, kita telah berjaya melepasi sasaran ini dengan 1,351 tawaran pekerjaan sejak ia dilaksanakan pada Disember 2021 sehingga April tahun ini, dengan  PERKESO yang berperanan sebagai Urusetia Pekerjaan Negeri Terengganu (UPNT),"jelas beliau.    
04 Jun 22
483
JAKM Terengganu Terima Sambutan, Raih Lebih RM4 Juta Jualan
JAKM Terengganu Terima Sambutan, Raih Lebih RM4 Juta Jualan
KUALA NERUS, 4 Jun-Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM) di Kompleks Sukan Stadium Negeri, Gong Badak menyaksikan sambutan luar jangkaan dalam kalangan masyarakat negeri ini sepanjang tiga hari penganjuran program itu yang berakhir hari ini. Sekretariat Program JAKM dalam kenyataan hari ini memaklumkan program itu menerima lebih 30,000 pengunjung, sementara lebih RM4 juta jualan dan potensi perniagaan juga berjaya diraih. Penglibatan 110 gerai jualan usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS)dan program padanan perniagaan dalam siri jelajah ini turut merancakkan aktiviti ekonomi terutamanya bagi usahawan tempatan. Sebanyak 28 reruai (booth) kaunter perkhidmatan telah mengambil bahagian pada siri JAKM kali ini melibatkan pelbagai Kementerian, Agensi dan Kerajaan Negeri.   Terdapat 13 kaunter perkhidmatan bergerak antaranya seperti dari Jabatan Pendaftaran Negara (JPN),Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ Mobile), Pusat Keluarga Bergerak (PKB), Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Klinik Pergigian,Kementerian Kesihatan Malaysia, telah disediakan kepada Keluarga Malaysia yang hadir.  Dalam masa yang sama, JAKM Terengganu melalui Karnival Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia telah  bekerjasama dengan 89 syarikat yang menawarkan peluang pekerjaan sebanyak 13,431 kekosongan jawatan untuk manfaat Keluarga Malaysia.  Seramai 2,771 orang peserta telah dipanggil menghadiri temu duga, 1,476 orang telah berjaya ke tapisan akhir dalam jawatan yang dipohon dan 454 orang telah berjaya ditawarkan pekerjaan. JAKM yang diilhamkan oleh YAB Perdana Menteri, adalah kesinambungan daripada kejayaan program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia di Pusat Konvensyen Kuala  Lumpur (KLCC) pada 9 hingga 12 Disember 2021 lalu. Terengganu menjadi lokasi keempat bagi siri JAKM selepas di Johor, Perlis dan Sabah.
04 Jun 22
660
Kerajaan Peruntuk RM5 Bilion Bangunkan Sekolah, Institusi Pendidikan Seluruh Negara
Kerajaan Peruntuk RM5 Bilion Bangunkan Sekolah, Institusi Pendidikan Seluruh Negara
KUALA NERUS, 4 Jun -Sebanyak RM5.034 bilion diperuntukan bagi projek pembangunan sekolah dan institusi pendidikan di seluruh Malaysia bawah Rolling Plan Ke-2 (RMKe-12) Tahun 2022. Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ini adalah kerana kerajaan amat menyedari betapa pentingnya pendidikan kepada masa depan keluarga Malaysia. Katanya, di Terengganu, terdapat 79 projek baharu dan sambungan bagi pembangunan sekolah serta institusi pendidikan dengan kos keseluruhan RM914.79 juta. "Daripada jumlah ini, sebanyak 42 projek telah siap sepenuhnya, 18 projek di peringkat pelaksanaan atau pembinaan dan 19 projek berstatus pra bina. "Sebanyak 26 projek telah diluluskan dalam tempoh 2017-2022 dengan kos sebanyak RM60.93 juta bagi projek menaik taraf dan membangun semula sekolah yang mempunyai bangunan daif," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penutup JAKM di Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Gong Badak di sini hari ini. Dalam majlis tersebut, Ismail Sabri turut menyampaikan sumbangan Yayasan Keluarga Malaysia, Skim Insurans Keluarga Malaysia dan Bantuan Persediaan Yayasan Terengganu kepada penerima-penerima terpilih. Sementara itu, sebanyak 21 projek telah siap manakala baki sebanyak lima projek dalam peringkat pra bina di Terengganu.
04 Jun 22
279
Kayuhan Outreach Tarik Lebih 100 Penyertaan
Kayuhan Outreach Tarik Lebih 100 Penyertaan
KUALA NERUS, 3 Jun - Kayuhan Outreach sejauh 11 kilometer sempena Jelajah Aspirasi  Keluarga Malaysia (JAKM) Negeri Terengganu, berjaya menarik lebih 100 penyertaan. Lebih menarik, peserta kali ini terdiri di kalangan kenamaan dan ketua jabatan termasuk Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dato' Seri Mohd Zuki Ali dan Setiausaha Kerajaan Terengganu, Yang Berhormat Mulia Tengku Seri Bijaya Raja. Sebelum menamatkan kayuhan, Tan Sri Dato' Seri Mohd Zuki bersama YBM Tengku berhenti di Taman Perumahan MAIDAM, Kubur Sharif, Kuala Nerus untuk menyampaikan sumbangan barangan keperluan kepada empat asnaf di perumahan berkenaan. Selepas menamatkan kayuhan di Kompleks Pentadbiran Bandar Al-Watiqhu Billah, Kuala Nerus, mereka diraikan dengan Jamuan Rakyat yang turut disertai kira-kira 2,000 masyarakat setempat di Taman Tasik Bandar Al-Watiqhu Billah. Sementara itu, Menteri Kanan Pendidikan merangkap Menteri Peneraju JAKM Negeri Terengganu, YB Senator Datuk Dr. Mohd Radzi Md Jidin pula menyertai Fun Ride JAKM sejauh 25 kilometer bersama pengayuh lain bagi kategori terbuka. 
03 Jun 22
283
Program JAKM Terengganu Dapat Sambutan Orang Ramai
Program JAKM Terengganu Dapat Sambutan Orang Ramai
KUALA NERUS, 3 Jun- Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM)Terengganu yang memasuki hari kedua hari ini, terus mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai yang membawa keluarga bagi menyertai pelbagai aktiviti dianjurkan. Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, program ini dilihat berjaya menarik perhatian masyarakat kerana pelbagai perkhidmatan secara langsung ditawarkan, selain peluang menarik disediakan oleh agensi kerajaan yang terbabit "Kita dapat lihat kehadiran ramai pengunjung dalam setiap acara dan reruai yang dilaksanakan oleh pelbagai agensi termasuk Kementerian Pendidikan (KPM) yang menjadi peneraju bagi siri jelajah kali ini. "Program kayuhan Fun Ride pagi turut mendapat sambutan dan segmen #tanyaDRJ di reruai KPM, ramai yang bertanyakan soalan kepada saya. "Kesimpulannya, JAKM Terengganu mendapat sambutan dan saya yakin pada hari terakhir lebih ramai pengunjung akan hadir dan akan lebih meriah dengan kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang akan merasmikan majlis penutup pada pagi esok," ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan segmen #tanyaDRJ di reruai KPM di Jelajah AKM Terengganu di Kompleks Sukan Negeri, di sini hari ini. Program JAKM Terengganu selama dua hari yang berakhir esok merupakan kesinambungan kepada penganjuran 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia yang diadakan di 14 lokasi di seluruh negara dengan pengisian program berbentuk perkhidmatan kepada rakyat.        
03 Jun 22
325
JPPM Luluskan 795 Permohonan Geran Bawah MyICE
JPPM Luluskan 795 Permohonan Geran Bawah MyICE
KUALA NERUS, 3 Jun - Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) meluluskan sebanyak 795 daripada 1,450 permohonan geran di bawah Insentif Pemerkasaan Komuniti Malaysia (MyICE) bernilai RM7.616 juta sehingga hari ini. Ketua Pengarah JPPM Mohd Nawardi Saad berkata, permohonan tersebut membabitkan pelbagai pertubuhan seperti keselamatan, kebajikan, sosial, alam sekitar dan hak asasi. Katanya, terdapat permohonan yang terpaksa ditolak kerana tidak bersesuaian dengan ketetapan dan hasrat JPPM manakala sebahagian masih dalam proses. "Ada permohonan yang kita tak tolak sepenuhnya dan ada yang kita jemput untuk mohon semula sebab apa yang dibentangkan tidak bersesuaian dengan ketetapan yang kita buat. “(Bagi permohonan yang ditolak), jumlahnya lebih daripada 100 dan kita tidak sekat dia untuk mohon semula,” katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Mock Cheque Geran di bawah Insentif Pemerkasaan Komuniti Malaysia (MyICE) Tahun 2022 di Pentas Utama, Pekarangan Kompleks Sukan Negeri Terengganu di sini hari ini. Terdahulu, Mohd Nawardi menyerahkan 15 geran MyICE kepada 15 persatuan di Terengganu. Tambah beliau, kerajaan juga peruntukkan RM20 juta  dengan sasaran sekurang-kurangnya 2,000 pertubuhan yang akan menerima manfaat ini. Katanya, pertubuhan yang layak akan menerima geran maksimum sehingga RM10,000 bergantung kepada penilaian yang dibuat JPPM. Sementara itu di Terengganu, kerajaan memperuntukkan RM1 juta dan sehingga Mei lalu, sebanyak 53 persatuan berdaftar dibawah JPPM mendapat kelulusan geran melalui MyICE.  
03 Jun 22
232
Sukan Rakyat Di JAKM Jadi Tumpuan
Sukan Rakyat Di JAKM Jadi Tumpuan
KUALA NERUS, 3 Jun -  Sukan Rakyat menjadi salah satu tarikan utama sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM) edisi Terengganu. Urus setia reruai Sukan Rakyat, Md Azmi Abd Aziz berkata inisiatif tampilkan sukan rakyat dalam siri jelajah seumpama itu mampu memberi pendedahan mengenai keunikan permainan tradisional yang kini semakin dilupakan. "Dam aji, congkak, batu selambuk antara 10 permainan tradisional yang menjadi tumpuan direruai sukan rakyat bermula semalam. "Pemilihan permainan  tradisi ini diharap dapat hidupkan balik nostalgia apabila ibu bapa bawa anak mereka ke sini," ujarnya. Tambahnya, perkembangan teknologi dan permainan moden ketika ini antara faktor generasi muda kurang mengenali sukan rakyat tempatan. Rata- rata pengunjung yang ditemui menyifatkan permainan tradisional itu secara tidak langsung berjaya mengimbau nostalgia zaman kanak-kanak mereka. Salah seorang pengunjung, Masrina Ismail berkata kanak-kanak zaman sekarang tidak kenal permainan tradisional kerana mereka lebih tertumpu kepada gazet.   "Inisiatif ini mampu mempromosikan semula sukan rakyat dalam kalangan Keluarga Malaysia," ujarnya.
03 Jun 22
1165
JAKM 'Hadiah Istimewa' Buat Terengganu
JAKM 'Hadiah Istimewa' Buat Terengganu
KUALA NERUS, 3 Jun - Kerajaan negeri menyifatkan pemilihan Terengganu sebagai tuan rumah penganjuran Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) sebagai 'hadiah istimewa' untuk rakyat khususnya dalam pendidikan. Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri Satiful Bahari Mamat berkata penganjuran program yang bertemakan 'Keluarga Malaysia Keluarga Berilmu', sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan pendidikan yang dicapai negeri itu selama ini. "Melalui reruai  pelbagai agensi di bawah kementerian Kementerian Pendidikan (KPM), rakyat Terengganu  berpeluang mengetahui lebih terperinci berkaitan usaha dilakukan  di  itu. "Saya berharap rakyat Terengganu akan memanfaatkan masa terluang hari ini dan esok untuk mengunjungi reruai KPM dan kementerian lain di Jelajah AKM serta merebut peluang mendapatkan penerangan daripada pegawai dan kakitangan bertugas dengan lebih mendalam," katanya kepada pemberita hari ini. Terengganu menjadi destinasi keempat penganjuran AKM selepas Johor, Perlis dan Sabah, manakala KPM pula dipilih selaku kementerian peneraju bagi edisi kali ini. JAKM berlangsung dari 2 hingga 4 Jun di Kompleks Sukan Negeri Terengganu di sini.
03 Jun 22
154