lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

'Suria' Antara Tarikan Ke HPPNT2022
'Suria' Antara Tarikan Ke HPPNT2022
SETIU, 24 Jun - Seekor gajah betina yang dikenali sebagai 'Suria' antara yang menjadi daya tarikan pungunjung di Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Negeri Terengganu 2022 (HPPNT) yang membuka tirainya semalam. Ketua Pusat Konservasi Gajah Sungai Deka Hulu Terengganu, Jimmy Anak Unau berkata, 'Suria' merupakan gajah denak yang telah dilatih untuk memudahkan operasi pemindahan gajah liar yang ditangkap seluruh semenanjung. "Lebih 60 operasi pemindahan gajah liar melibatkan 'Suria' yang berusia 22 tahun ini dan kebiasaan bergandingan dengan 'Abot' dan 'Kala'," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui oleh wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) di khemah pameran Jabatan Perhilitan. Program yang berlangsung selama tiga hari tu telah dirasmikan oleh Menteri Besar Terengganu, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dengan kehadiran Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) Dr. Ronald Kiandee pada semalam. Tambahnya lagi, orang ramai boleh bergambar bersama 'Suria' dengan dipantau oleh pasukan Jabatan Perhilitan yang sentiasa berada di tapak program 24 jam. HPPNT 2022 turut menarik perhatian pengunjung dengan pameran rangka ikan paus spesis Sei atau nama saintifiknya 'Balaenoptera Borealis' disamping diadakan pameran Jabatan dan agensi terbabit serta jualan produk makanan dan agro.  
24 Jun 22
922
Lebih RM43.5 Juta Diperuntuk Bagi Sektor Pertanian Terengganu
Lebih RM43.5 Juta Diperuntuk Bagi Sektor Pertanian Terengganu
SETIU, 23 Jun – Kerajaan pusat  melalui Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) telah memperuntukkan lebih RM43.5 juta bagi merancakkan lagi sektor pertanian Terengganu sekali gus memajukan industri agromakanan di negeri ini. Menterinya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata ia meliputi pelbagai projek, program dan inisiatif merentasi semua subsektor termasuk padi dan beras, perikanan, tanaman dan ternakan melalui agensi-agensi dibawah kementeriannya. “Kerjasama yang padu dengan Kerajaan Negeri Terengganu akan diteruskan bagi melaksanakan inisiatif-insiatif yang dirancang dengan selain merancakkan lagi sektor pertanian di sini sekaligus memajukan sektor agromakanan Negeri Terengganu keseluruhannya,”ujarnya Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Hari Peladang, Penternak, dan nelayan Tahun 2022 Peringkat Negeri Terengganu yang disempurnakan oleh Menteri Besar, Dato Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, di Dataran Pekan Jabi, di sini hari ini.  Dalam perkembangan lain, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar berkata kerajaan negeri akan mengagihkan peruntukan berganda kepada sektor pertanian di negeri itu yang akan diumumkan pada Bajet 2023 akan datang.  “Kita masih dalam perkiraan, sebenarnya kita belajar banyak perkara selepas kita keluar dari pandemik kepada fasa endemik.Oleh kerana itu kita sudah memberi komitmen bersama Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri, bagi bajet 2023 ini untuk tingkatkan peruntukan kepada sektor pertanian dan penternakan berbanding tahun sebelumnya,”ujarnya. Katanya, perkara itu untuk menjamin kesejahteraan sosioekonomi golongan sasar serta memperkukuhkan sekuriti makanan negara di sepanjang rantaian nilai demi kesejahteraan Keluarga Malaysia dan pertumbuhan sektor agromakanan negara.
23 Jun 22
363
Bekalan Ikan Negara Mencukupi - Ronald
Bekalan Ikan Negara Mencukupi - Ronald
SETIU, 23 Jun – Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) memberi jaminan bahawa stok bekalan ikan negara ketika ini mencukupi bagi menampung keperluan rakyat. Menterinya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata walaupun stok bekalan ikan negara bergantung kepada faktor cuaca tetapi pendaratan ikan semasa ketika ini tidak mempunyai masalah serta berlebihan.  “Kita tidak  berhadapan dengan masalah bekalan bagi  komoditi ikan. Kadang ikan berlebihan dan ada ketika ikan kurang yang menyebabkan harga turun naik.Ketika musim ikan banyak, tentu sekali harga turun dan sebaliknya jika kurang maka harganya akan naik,”ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Hari Peladang, Penternak, dan nelayan Tahun 2022 Peringkat Negeri Terengganu, di Dataran Pekan Jabi, Besut, Terengganu.  Tambah Ronald, pihaknya sentiasa bersedia untuk menghadapi sebarang gangguan dalam rantaian makanan sama ada jangka pendek atau panjang kerana isu jaminan bekalan makanan negara antara isu yang di beri perhatian rapi. "Isu inflasi makanan yang dialami negara merupakan fenomena global dan negara kita juga tidak terkecuali. "Kita juga tidak berdepan masalah bekalan ikan dan faktor turun naik harga ikan ditentukan berdasarkan faktor penawaran serta permintaan pasaran," katanya. Untuk rekod, bagi tahun 2022, Kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan Industri Makanan MAFI, telah memperuntukkan 43.5 juta ringgit kepada Negeri Terengganu untuk melaksanakan pelbagai projek, program, dan inisiatif, merentasi semua subsektor termasuk padi dan beras, perikanan, tanaman dan ternakan.
23 Jun 22
148
30,324 OKU Berdaftar Di Terengganu
30,324 OKU Berdaftar Di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 22 Jun - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Terengganu merekodkan seramai 30,324 individu berstatus orang kurang upaya (OKU) berdaftar di negeri ini sehingga Jun  2022. Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata pihaknya menerusi JKM akan meningkatkan lagi pendaftaran OKU yang belum berdaftar supaya bantuan selayaknya dapat disalurkan kepada mereka selain memperkasa golongan berkenaan. Katanya, ia sebagai tanda kecaknaan kerajaan negeri yang sentiasa mengambil berat terhadap golongan kanak-kanak OKU yang juga kumpulan sasaran yang sentiasa diberi perhatian. "Sehingga Jun ini pendaftaran  yang paling tinggi membabitkan OKU pembelajaran (12,747 orang), fizikal (8,735 orang), dan penglihatan (2,651). "OKU pendengaran pula seramai 2,390, mental (2,227 orang),  pertuturan (162 orang) manakala OKU pelbagai pula 1,411 orang," ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Sesi Dialog Bersama Warga OKU Negeri Terengganu di Hotel Permai di sini hari ini. Tambah Hanafiah, berdasarkan anggaran Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) sekurang-kurangnya sebanyak 15 peratus populasi negara adalah terdiri daripada golongan OKU atau 4.8 juta populasi OKU di negara ini. "Justeru itu, saya menyeru semua individu OKU dan penjaga OKU yang masih belum mendaftar diri sendiri atau anak-anak OKU di bawah jagaan mereka untuk mendaftar di Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) yang berhampiran,” ujarnya lagi. Beliau berkata, tujuan pendaftaran itu bukan semata-mata mendapat bantuan kewangan tetapi keistimewaan kad bagi memastikan keberadaan dan keperluan OKU.    
22 Jun 22
329
TW Bakti Serah Dividen RM357,699.99 Kepada LTAWNT
TW Bakti Serah Dividen RM357,699.99 Kepada LTAWNT
KUALA TERENGGANU, 22 Jun - Syarikat berasaskan aktiviti perladangan kelapa sawit, TW Bakti Sdn. Bhd. menyerahkan bayaran dividen kepada Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAWNT) berjumlah RM357,699.99 bagi keuntungan yang diperoleh tahun 2021. Pengerusi Syarikat TW Bakti Sdn Bhd merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak menyerahkan cek bayaran tersebut kepada Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dalam satu majlis ringkas yang diadakan di Wisma Darul Iman. hari ini. Hadir sama menyaksikan penyerahan itu Setiausaha Kerajaan Negeri Tengku Seri Bijaya Raja, Penasihat Undang-Undang Negeri Terengganu, Dato' Razali Che Ani serta Pegawai Kewangan Negeri, Rozali Salleh. LTAWNT menerima dividen tersebut berdasarkan pegangan 70 peratus dalam syarikat terbabit manakala baki pegangan 30 peratus pula dimiliki oleh syarikat Jasa Bakti Sdn. Bhd.
22 Jun 22
417
1,781 Notis Kesalahan Merokok Dikeluarkan Di Terengganu
1,781 Notis Kesalahan Merokok Dikeluarkan Di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 22 Jun- Sebanyak 1,781 notis kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 dengan nilai tawaran kompaun RM440,200 dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu sejak Januari lalu. Pengarahnya, Datuk Dr Kasemani Embong, berkata ia adalah peningkatan hampir dua kali ganda berbanding tempoh sama pada tahun lalu iaitu 943 notis kesalahan dengan nilai tawaran kompaun RM243,550. Katanya, peningkatan itu susulan kekerapan aktiviti penguatkuasaan yang diadakan tahun ini memandangkan kedai makan dan restoran dibenarkan beroperasi seperti biasa selepas negara memasuki peralihan ke fasa endemik. "Berbanding tahun lalu, operasi kedai makan dan restoran agak terhad. Kita juga terima banyak aduan daripada orang awam mengenai individu yang masih tidak menghiraukan larangan merokok di kedai makan. "Kesalahan ini dikesan hasil aktiviti penguatkuasaan terhadap 27,715 premis kawasan larangan merokok di seluruh Terengganu yang dijalankan setakat ini. Kita akan terus memperhebatkan penguatkuasaan untuk melindungi golongan bukan perokok daripada terdedah kepada bahaya asap dan wap produk rokok," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau aktiviti penguatkuasaan 'Op Gomo Asap Malam' di sini malam tadi. Seramai 55 anggota digerakkan ke tiga daerah iaitu Kuala Terengganu, Kuala Nerus dan Marang dengan lebih 75 premis diperiksa sepanjang operasi itu. Antara notis kesalahan yang dikeluarkan merokok di kawasan larangan, gagal mempamerkan tanda larangan merokok di premis dan menjual atau menawarkan untuk jualan apa-apa hasil tembakau dengan harga jualan runcit yang tidak diluluskan. Dr Kasemani berkata, notis kesalahan tertinggi dikeluarkan adalah di tempat makan atau premis mempunyai pendingin hawa iaitu 775, Taman Rekreasi Batu Buruk (364), kompleks beli-belah (108), bangunan atau tempat permainan kanak-kanak (75) dan premis kerajaan (41). - BERNAMA
22 Jun 22
265
Kerajaan Sedia Peluang Rakyat Bina Kerjaya
Kerajaan Sedia Peluang Rakyat Bina Kerjaya
KUALA NERUS, 21 Jun - Rakyat di negeri ini disaran membina kerjaya sendiri melalui pelbagai tawaran dan inisiatif yang disediakan kerajaan negeri. Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, orang ramai digesa tidak menunggu tawaran kerja semata-mata sebaliknya perlu bijak memanfaatkan peluang yang ada. Katanya, usaha itu perlu dilakukan pasca pandemik ini kerana perubahan gaya hidup. “Saya rasa tidak perlu lagi kita mengambil sikap sebagaimana sepuluh tahun dulu dengan menunggu kerja ditawarkan di hadapan kita.  “Masing-masing perlu cari jalan untuk mencipta pekerjaan sama ada dalam industri yang sedia ada dalam pelbagai bentuk ataupun memerlukan kreativiti untuk mencipta kerja masing-masing,” katanya. Beliau berkata demikian di sidang media selepas merasmikan Seminar My Local Stats dan Sustainable Development Goals (SDG) di Dewan Sultan Mizan, Universiti Malaysia Terengganu, di sini hari ini. Tambah Ahmad Samsuri lagi, inisiatif dan bantuan yang disediakan adalah melalui agensi-agensi di bawah kerajaan negeri. “Contohnya TD1303 menyediakan kursus-kursus yang berkaitan  dengan aplikasi dan sebagainya. "Oleh itu, rakyat yang rasa nak merebut peluang mereka kena meninjau apa jua yang ada di hadapan dan merebutnya untuk berjaya,” katanya. Untuk rekod, antara bantuan yang disediakan ialah skim bantuan modal tani (SMBT) untuk kategori pertanian dan Tabung Usahawan Terengganu Sejahtera (TUGAS) bagi perniagaan. Dalam majlis yang sama, Jabatan Perangkawan Malaysia (DOSM) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) hari ini turut memeterai satu Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani oleh Ketua Perangkawan Malaysia, Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin, dan Naib Canselor UMT, Prof. Dato’ Dr. Mazlan Abd Ghaffar, dengan disaksikan oleh pegawai kanan kedua-dua agensi tersebut. Antara bidang kerjasama yang telah dipersetujui oleh DOSM dan UMT melalui MoU ini adalah perkongsian kepakaran profesional dalam bidang berkaitan pengumpulan, pentafsiran, penyebaran perangkaan rasmi dan bidang-bidang lain yang berkaitan dan kerjasama dalam program berbentuk akademik. MoU antara DOSM bersama UMT ini merupakan MoU yang ke-21 ditandatangani DOSM bersama Institusi Pengajian Tinggi. Terdahulu, Mohd Uzir dalam ucapannya memaklumkan bahawa Terenggganu telah merekodkan pencapaian SDG yang baik bagi beberapa indikator mengikut lima bidang tumpuan. Ia termasuk penurunan kadar pengangguran daripada 4.1 peratus pada 2020 kepada 4.0 peratus pada 2021.
21 Jun 22
435
Masalah Air di Marang Bakal Berakhir
Masalah Air di Marang Bakal Berakhir
KUALA TERENGGANU, 21 Jun - Pemasangan saluran paip baharu dari Sungai Rengas ke Tangki Gondang bakal menyelesaikan masalah air di daerah Marang. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alur Limbat , Ariffin Deraman berkata, projek tersebut bakal menyelesaikan masalah air sekitar kawasan Marang termasuk di DUN beliau "Saya amat bersyukur kerana gangguan air yang dihadapi masyarakat setempat bakal pulih dengan projek pemasangan paip baharu ini termasuklah isu tekanan air rendah di DUN Alur Limbat. “Perkara ini mustahil menjadi kenyataan sekiranya tiada kesungguhan dan komitmen yang diusahakan oleh kerajaan negeri," katanya kepada Urusetia Penerangan Darul Iman. Beliau turut mengingatkan penduduk yang terlibat jajaran Sungai Rengas ke Gondang tentang gangguan bekalan sepanjang pembinaan. “Gangguan seperti bekalan air, debu bertebangan dan trafik bakal berlaku gangguan akibat pemasangan yang berlaku. “Ini adalah makluman awal sebagai persediaan kita menghadapi gangguan tersebut,” ujarnya lagi. Projek di bawah kerajaan ini akan melibatkan pemasangan paip air mentah dan paip air bersih serta ‘retrofitting’ sepanjang 24km dari LRA Kepong 2 ke daerah Marang.
21 Jun 22
360
Wujudkan Pusat Sehenti Untuk 'Rider' Di Setiap Daerah
Wujudkan Pusat Sehenti Untuk 'Rider' Di Setiap Daerah
KUALA TERENGGANU, 21 Jun- Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) disaran mewujudkan pusat sehenti di setiap daerah yang dikhususkan untuk pekerja-pekerja perkhidmatan penghantaran makanan (rider) di negeri ini. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, pusat tersebut membolehkan penghantar makanan berkumpul, berehat, berbincang, solat dan sebagainya buat seketika sebelum menyambung tugasan masing-masing. “Antara usul yang saya terus bagi respon adalah mengenai usul kepada pihak kerajaan untuk menyediakan ‘one stop center’ ataupun pusat sehenti bagi kemudahan rider yang mencari rezeki sebagai penghantar makanan. “Isu ini sangat realistik dan berlaku di semua daerah, saya sendiri menyaksikan kumpulan penghantar makanan berkumpul di bawah pokok, celah-celah bangunan yang sebenarnya tidak sesuai dan selamat untuk mereka,” ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Majlis Perundingan Belia Negara Sidang II, Penggal Ke-33, Sesi 2021-2022 Peringkat Negeri Terengganu di Pusat Konvensyen, Taman Tamadun Islam, semalam. Pada persidangan tersebut, seramai 113 peserta yang melibatkan semua jawatankuasa daripada Majlis Gabungan Belia Negeri Terengganu dan juga pelbagai agensi dan jabatan samada peringkat kerajaan negeri mahupun persekutuan telah mengambil bahagian. Sebanyak 13 usul dibentangkan dan semua usul tersebut dibahaskan serta diterima sebulat suara oleh semua pihak. Katanya, isu yang diusulkan ini merupakan satu perkara yang perlu diuruskan dengan kadar segera oleh PBT dan beliau memberi jaminan akan berhubung dengan pihak PBT mengenai perkara tersebut. “Model  ini (pusat sehenti) yang saya lihat di Hulu Terengganu sangat praktikal dan tidak menjadi masalah kepada daerah-daerah lain untuk membina tempat rehat seumpama itu bagi keselesaan belia kita terutamanya yang bekerja sebagai penghantar makanan,” ujarnya.
21 Jun 22
327
Jajaran Paip RM54 Juta Selesai Masalah Air Di Marang
Jajaran Paip RM54 Juta Selesai Masalah Air Di Marang
KUALA TERENGGANU, 20 Jun – Kerajaan negeri menyatakan komitmen bagi menyelesaikan masalah air di Marang dengan pemasangan paip sepanjang 24 kilometer (km) dengan kos bernilai RM54 juta. Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh berkata,  jajaran paip tersebut bakal menyalurkan air terawat dari Sungai Rengas ke tangki Gondang, Marang . “Kita mengambil air ini dari loji Kepong 2 di Serada dan kita hanya memasang paip daripada Sungai Rengas ke tangki MIEL di Marang. “Ada satu lagi sambungan projek iaitu daripada tangki air MIEL ke Gondang, jadi penglibatan semuanya ialah 24 km. ”Projek ini insya-Allah akan siap kerja-kerjanya selama enam bulan, jadi penduduk di daerah Marang akan menerima manfaatnya pada tahun baru nanti,” katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Tapak Cadangan Skim Bekalan Air Kuala Terengganu di Gelugor Kedai, di sini hari ini. Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (Satu), Ts Abdul Karim Endut. Dr Mamad turut berkata, pemasangan paip jenis ‘Mild Steel’ bersaiz  700 dan 900 milimiter (mm) akan dilakukan Konsortium KJAV Sdn Bhd sebagai kontraktor utama. Projek tersebut bakal melengkapkan Projek Bekalan Air Terengganu Utara terutama di daerah Marang melibatkan 88,000 orang pengguna.
20 Jun 22
553