Artikel "Semasa" Terkini
30,324 OKU Berdaftar Di Terengganu
Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Terengganu merekodkan seramai 30,324 individu berstatus orang kurang upaya (OKU) berdaftar di negeri ini sehingga Jun 2022.
28 Jun 22
393
Imtiaz Kuala Terengganu Sekolah Tanpa Tunai Pertama
KUALA TERENGGANU, 27 Jun- Sekolah Menengah Imtiaz Kuala Terengganu bakal menjadi sekolah imtiaz pertama di negeri ini memperkenalkan sistem pembayaran tanpa tunai di sekolah dalam masa terdekat.
Pengetuanya, Md Imran Md Nor berkata, dalam melaksanakan program tersebut, pihak sekolah mendapat kerjasama daripada Bank Rakyat dengan menyediakan sistem pembayaran tanpa tunai yang menerima kad debit sebagai kaedah pembayaran.
Katanya, objektif program itu secara khususnya adalah untuk menggalakkan penggunaan kad MyDebit dalam kalangan pelajar, guru serta ibu bapa sebagai kaedah dalam urusan transaksi pembayaran seperti di kantin atau koperasi sekolah berbanding penggunaan tunai.
“Alternatif ini diharapkan dapat menjadikan setiap transaksi pembayaran seperti membeli makanan, alat tulis atau buku menjadi lebih cepat dan efisien.
“Kaedah ini juga memudahkan ibu bapa memindahkan duit kepada anak-anak memandangkan terdapat juga pelajar luar dari Terengganu di sekolah ini,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Sekolah Tanpa Tunai dan Pelancongan Koperasi Sekolah, Pameran SEM (Inovasi) dan Penyerahan IPAD 2022 di Dewan As-Syatibi, Sekolah Menengah Imtiaz Kuala Terengganu, hari ini.
Majlis pelancaran tersebut disempurnakan oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, dan Teknologi Maklumat Negeri, Sulaiman Sulong.
Md Imran berkata, bagi mengelakkan penyalahgunaan kad tersebut, hanya RM10 dihadkan untuk dibelanjakan oleh pelajar pada setiap hari.
27 Jun 22
1974
Cadangan Kenaikan Elaun Pembantu Tabika Kemas Kini Tunggu Kelulusan MOF
KUALA NERUS, 26 Jun - Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) kini sedang menunggu kelulusan Kementerian Kewangan (MOF) berhubung isu elaun yang diterima 10,000 pembantu taman bimbingan kanak-kanak (tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) yang masih di bawah paras gaji minimum.
Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, KPLB telahpun menghantar kertas kerja berkaitan dengan permohonan kenaikan elaun berkenaan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam dan MOF.
"Hendak naikkan elaun itu kena ada kelulusan daripada MOF untuk dapatkan wang itu balik kepada kita(KPLB).Insha Allah kita dapat," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan cadangan kenaikan elaun 10,000 pembantu tabika Kemas di sidang media Majlis Konvokesyen Ke-3 Kolej Ketengah di Dewan Sultan Mizan, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), di sini hari ini.
Menurut Mahdzir, setakat ini, 10,000 pembantu Tabika masih menerima elaun RM500 dan jumlah itu wajar dinaikkan ke tahap yang lebih baik.
Tambahnya lagi, kenaikan elaun tersebut perlu kerana jumlah yang diterima kumpulan berkenaan tidak lagi sesuai kerana mereka bertugas hampir sepenuh masa.
" Dahulu, mereka ini merupakan golongan sukarelawan yang masak di tabika pada waktu tengahari, bagaimanapun sekarang ini pembantu Kemas datang dari pagi hingga petang juga sehinggakan mereka boleh menggantikan guru yang bertugas sekiranya perlu," kata beliau.
26 Jun 22
253
Kolej Ketengah Berpotensi Jadi Hub Pendidikan TVET
KUALA NERUS, 26 Jun - Kolej Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) mampu dijadikan sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi atau hub Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) ke arah inovasi berteknologi tinggi dan pembangunan teknikal saintifik.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Dato’ Seri Mahdzir Khalid berkata ia berdasarkan tawaran program diploma dan sijil yang berteraskan kepada elemen TVET kepada pelajar bagi memenuhi kehendak pasaran yang telah bermula pada tahun 2021.
“Ini secara tidak langsung Kolej Ketengah mampu melahirkan graduan yang berpotensi tinggi dalam kebolehpasaran graduan yang kompeten dan dilengkapi dengan kemahiran teknoprenuer, kreatif, versatile, hands-on dan inovasi teknikal supaya menjadi pilihan utama majikan pada masa akan datang.
"Justeru itu, saya berharap mutu pengajaran dan pembelajaran di Kolej Ketengah dapat dikekal dan dipertingkatkan dari semasa ke semasa agar kekal releven bagi memenuhi keperluan daripada stakeholder, iaitu sektor awam dan pihak swasta," ujarnya.
Beliau berkata demikian di sidang media Majlis Konvokesyen Ke-3 Kolej Ketengah di Dewan Sultan Mizan, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) hari ini.
Pada majlid tersebut seramai 648 graduan masing-masing menerima diploma dan sijil yang terdiri daripada 404 orang penerima diploma dan 244 orang penerima sijil.
Dalam perkembangan sama, Mahdzir berharap graduan Diploma ini dapat menyambung pelajaran ke peringkat Ijazah berikutan mahu melahirkan lebih ramai guru tabika kemas mempunyai ijazah pendidikan awal kanak-kanak.
26 Jun 22
466
Permohonan Bantuan i-Belia Dibuka Julai
ALOR SETAR, 26 Jun - Permohonan bantuan 'one-off' atau i-Belia untuk anak muda dan mahasiswa akan mula dibuka pada Julai depan.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, pelaksanaan pemberian berkenaan membuktikan bahawa kerajaan negeri tidak pernah meminggirkan golongan yang menjadi aset penting Terengganu.
"Sekarang ini dalam proses diangkat kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri untuk dinilai serta diluluskan, saya menjangkakan dalam tempoh satu hingga dua minggu ini perkara ini akan selesai.
"Insya-Allah selepas itu kita akan mula membuka permohonannya bagi mengumpulkan data penerima dan peruntukannya nanti berdasarkan jumlah data penerima yang kita kumpulkan, selepas daripada itu proses pengagihan akan kita lakukan seberapa segera," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), selepas hadir pada Majlis Mesra Pimpinan Kerajaan Negeri Terengganu bersama Perantau, di Kediaman Rasmi Menteri Besar Kedah, di sini semalam.
Majlis berkenaan turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Penerangan dan Multimedia, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Kedah, Dato' Wan Romani Wan Salim serta Pengarah Urus Setia Belia, Sukan dan NGO Terengganu Sejahtera (UBSNT). Mohd Nasir Abdul Razab.
Mengulas mengenai program berkenaan, Wan Sukairi berkata pertemuan dengan perantau Zon Utara yang dihadiri 100 keluarga dari Kedah, Perak, Perlis dan Pulau Pinang itu sangat bermakna kepada kerajaan negeri.
"80 orang (Ketua Isi Rumah) telah menerima bantuan i-Perantau yang mana ini merupakan kali ketiga diadakan setelah kita menyantuni perantau di Lembah Kelang (Zon Barat) yang kedua di Johor (Zon Selatan).
"Masih ada beberapa buah negeri lagi yang belum selesai sepenuhnya agihan dana i-Perantau ini, insya-Allah kita akan cuba untutk selesaikan segera dalam masa terdekat," ujarnya.
26 Jun 22
3772
Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Rekod 30,390 Pengunjung
KUALA TERENGGANU, 26 Jun – Lebih 30 ribu pengunjung direkodkan dengan hasil jualan berjumlah RM629,428 sepanjang tiga hari penganjuran Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Negeri Terengganu 2022 (HPPNT2022).
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, angka pengunjung yang hadir bahkan boleh melebihi yang direkodkan.
“Kehadiran pengunjung boleh melebihi rekod kerana terdapat ramai pengunjung yang memasuki tapak HPPNT2022 menggunakan akses selain daripada laluan utama.
“Hasil jualan juga mencatatkan nilai yang besar melalui jualan industri makanan berjumlah RM588,947 serta agensi swasta bernilai RM40,511," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi merakamkan penghargaan buat semua warga pertanian, petugas serta para pengunjung yang memeriahkan program mega tersebut.
‘Mek Suria’, gajah denak yang dibawa Jabatan Perlindungan Haiwan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) menjadi salah satu tarikan utama pengunjung ke HPPNT2022 selain rangka ikan paus sepanjang 42 kaki yang berlangsung di Dataran Jabi.
26 Jun 22
868
72 Tahun Jangka Hayat Rakyat Terengganu
KUALA TERENGGANU, 25 Jun – Dapatan Bancian 2020 melalui Jabatan Perangkaan Malaysia mencatatkan Terengganu menuju ke arah negeri menua dengan jangka hayat purata berumur 72 tahun.
Ketua Perangkawan, Dato’ Sri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, penemuan pembancian itu menunjukkan beberapa Dewan Undangan Negeri (DUN) dan daerah melebihi paras negara iaitu tujuh peratus.
“Di negeri Terengganu ni keseluruhannya masih lagi belum kepada negeri menua tapi sesetengah daerah dan DUN.
“Dari segi kawasan yang mempunyai penduduk tua paling tinggi adalah di Hulu Terengganu sebanyak 7.8 peratus, melebihi negara dalam 7 peratus secara purata.
“Kalau mengikut DUN, kita dapati Telemong mencapai 9.7 peratus dan antara yang juga tinggi di Ladang (8.5 peratus) serta Bandar (8.3 peratus),” katanya dalam sidang media dalam Siri Jelajah Parlimen Dan DUN: Penemuan Utama Banci Malaysia 2020 Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman, di sini baru-baru ini.
Turut hadir, Yang DiPertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Dato’ Yahaya Ali, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja.
Dr Mohd Uzir turut berkata, kadar penuaan tersebut memerlukan fasiliti dan kemudahan yang mesra warga tua terutamanya berkaitan kesihatan.
Pada masa yang sama, sumbangan mereka kepada ekonomi negeri serta negara dijangka berkurang dengan corak pemakanan dan perbelanjaan yang sedkit berbeza dengan golongan muda.
25 Jun 22
849
'Cub Prix' Rancakkan Ekonomi Setempat
KUALA NERUS, 25 Jun - Penganjuran Kejuaraan Cub Prix Malaysia 2022 mampu menjadi sebahagian daripada pelancongan sukan bagi negeri Terengganu.
Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, penganjuran aktiviti sukan seperti itu boleh memberi manfaat kepada penduduk setempat apabila berjaya menarik kehadiran ramai pengunjung.
"Sudah tentunya ia boleh beri manfaat ekonomi pada penduduk di negeri Terengganu sendiri dari segi perhotelan, pelancongan dan impak kepada kedai-kedai yang lain di dalam negeri.
"Jadi, saya bagi pihak kerajaan negeri mengucapkan jutaan terima kasih kepada Petronas dan penaja-penaja yang telah menjadikan perlumbaan pada kali ini satu realiti, kita sangat terbuka untuk menerima penganjuran yang sama di waktu akan datang.
"Kepada pelumba-pelumba, saya juga mengharapkan mereka teruskan meningkatkan keupayaan diri masing-masing bukan sekadar untuk pasukan mereka semata-mata, bahkan mungkin sampai satu peringkat mewakili negara ke perlumbaan antarabangsa," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan penyampaian hadiah kepada pemenang kategori CP150 Kejuaraan Cub Prix Malaysia 2022 di Litar Pemotoran Terengganu, hari ini.
Turut menyampaikan hadiah, Pengurus Besar Kanan Komunikasi Strategik Kumpulan Petronas, Datin Anita Azrina Abd Aziz.
Dalam perlumbaan yang berlangsung itu, Kasma Daniel Kasmayudin yang mewakili Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor muncul juara, menewaskan rakan sepasukannya, Nazirul Izzat Md Bahauddin di tempat kedua.
Manakala, pelumba kelahiran Terengganu yang mewakili Petronas Sprinta Yamaha-CKJ Racing, Ahmad Afif Amran berjaya menduduki tempat ketiga.
25 Jun 22
529
Perantau Rakan Kongsi Kerajaan Negeri
ALOR SETAR, 25 Jun - Anak Terengganu di perantauan dianggap sebagai rakan kongsi kerajaan negeri yang berperanan menyumbang idea bagi meningkatkan mutu pentadbiran.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Abdullah berkata, sebagai rakyat yang tinggal di perantauan sudah tentu mereka mempunyai pandangan di 'luar kotak'.
"Perantau masih bertanggungjawab untuk membangunkan negeri, sudah tentu apa jua yang disuarakan serta dilontarkan akan diberikan perhatian demi kebaikan bersama.
"Perantau juga merupakan pengundi, kerana itu semua berhak untuk menyuarakan pendapat demi memastikan kesejahteraan dan kebajikan rakyat terus terbela walau di mana sahaja berada," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Pemimpin Terengganu Bersama Perantau Zon Utara, di Kediaman Menteri Besar Kedah, di sini, pada hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Komunikasi dan Multimedia, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Kedah, Dato' Wan Romaini Wan Salim, Pengarah Urus Setia Belia, Sukan dan NGO Terengganu Sejahtera (UBSNT), Mohd Nasir Razab.
Dalam majlis berkenaan, seramai 80 perantau telah menerima dana i-Perantau yang merupakan inisiatif khas kerajaan negeri.
Jelas Wan Sukairi, kecaknaan kerajaan negeri terhadap anak rantau tidak bermusim sebaliknya telah lama digerakkan.
"Sebaik sahaja kita (PAS) mengambil alih kerajaan negeri, pada Mei 2018 usaha yang kita lakukan adalah mendekati anak Terengganu di perantauan dengan dijadikan sebagai rakan kongsi serta duta kepada kerajaan negeri Kerana itu juga kita mengadakan jelajah di seluruh negara, untuk bertemu dengan semua anak Terengganu ini.
"Bagi menceritakan perkembangan terkini bagi mendapat jawapan serta penjelasan sebenar dari pemimpin sendiri agar semua mendapat maklumat serta hebahan terkini mengenai usaha sedang dijalankan selain beramah mesra dan bertukar fikiran.
"Kerana didapati ramai yang berada di luar dari negeri sendiri tidak tahu terdapat inisiatif yang diberikan oleh kerajaan tidak hanya bertumpu kepada rakyat yang tinggal dalam negeri semata-mata sedangkan semuanya layak," ujarnya.
25 Jun 22
244
Penstrukturan Semula TDM Sumbang Dividen Tertinggi Sejak 2016
KUALA TERENGGANU, 25 Jun – Penstrukturan semula TDM Berhad (TDM) melonjakkan kembali prestasi anak syarikat milik kerajaan (GLC) Terengganu itu hingga berjaya membuat bayaran dividen sebanyak RM6 juta, tertinggi sejak 2016.
Pengerusi Kumpulan TDM, Raja Dato’ Idris Raja Kamaruddin berkata, semua segmen perniagaan yang dikelola TDM dikaji secara menyeluruh bagi meningkatkan hasil pendapatan serta mengurangkan kerugian.
“Penstrukturan semula memang dari segi pengurusan serta syarikat memang dibuat apabila kerajaan bertukar pada 2018, contohnya bagi sektor perladangan kita bukan sahaja fokuskan pada kelapa sawit tapi juga tanaman kontan.
“Begitu juga penggunaan buruh tenaga asing, kini kita lebih tumpukan kepada pengambilan buruh tempatan sebagai penuai,” katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan TDM ke-57 di Hotel Paya Bunga baru-baru ini.
Beliau turut menjelaskan bahawa pihaknya kini hampir pasti melepaskan aset di Kalimantan, Indonesia sekali gus menamatkan episod kerugian bagi TDM.
“Sejak kami diamanahkan pada 2018, terlalu banyak pembayaran balik perlu dibuat terutamanya ladang di Kalimantan yang menjadi punca kerugian dari 2015 hingga sekarang.
“Pembayaran di Kalimantan setakat ini berjumlah RM780 juta, itu yang menyebabkan kita (TDM) perlu hadapi kerugian pada awalnya,” ujarnya.
Pada masa yang sama, Raja Idris memaklumkan bahawa nilai buku bagi Kalimantan yang dimumkan kepada Bursa Malaysia adalah sebanyak RM89 juta setelah harga ditawarkan sebanyak RM115 juta.
Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021, TDM Berjaya melonjakkan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan penulasan (EBITDA) dalam perladangan sebanyak 96.5 peratus kepada RM176.5 juta manakala segmen kesihatan meningkat 80.2 peratus kepada RM23.6 juta.
25 Jun 22
1323