lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

MHC Puji Pengurusan Sukan Terengganu
MHC Puji Pengurusan Sukan Terengganu
KUALA TERENGGANU, 5 Julai - Timbalan Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Prof Dr. Shamala Subramaniam memuji strategi dan gaya pengurusan yang dilaksanakan kerajaan Terengganu dalam pembangunan sukan negeri itu. Jelasnya, negeri berkenaan sentiasa membangunkan program untuk meningkatkan prestasi para atlet dalam pelbagai cabang sukan selain mengambil peranan menghargai jasa atlet di negeri itu. "Adalah satu penghormatan bagi saya untuk mengadakan perbincangan dengan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah mengenai penganjuran kejohanan hoki bertaraf antarabangsa yang bakal diadakan negeri ini. "Sebagaimana ditegaskan oleh Presiden MHC, Dato' Sri Subahan Kamal, kami memastikan sokongan penuh terhadap penganjuran Terengganu International 5's Hockey Festival di Kuala Terengganu dan berada di sini, hari ini bagi membincangkan pelbagai aspek kejohanan tersebut bersama kerajaan negeri serta Persatuan Hoki Terengganu. "Kami amat menantikan kerjasama ini untuk melihat Terengganu menjadi mercu tanda seterusnya bagi kejohanan hoki antarabangsa yang berprestij seperti Piala Sultan Azlan Shah dan Piala Sultan Johor," katanya Beliau berkata demikian melalui satu kenyataan di laman facebook miliknya selepas mengadakan pertemuan dengan Wan Sukairi di Wisma Darul Iman,baru-baru ini.  Sementara itu, Wan Sukairi memaklumkan bahawa penganjuran Terengganu International 5's Hockey Festival dijangka berlangsung pada 20-26 November 2022 di Stadium Hoki Majlis Bandaraya Kuala Terengganu. "Terima kasih Prof Dato Dr Shamala Subramaniam, ia adalah satu penghormatan bertemu anda dan saya menghargai idea anda tentang masa depan sukan dan atlet di Terengganu. "Kerajaan Terengganu sentiasa mengalu-alukan usaha dan kolobrasi daripada persatuan-persatuan sukan yang lain bagi menterjemahkan hasil kepada kemenjadian Terengganu sebagi negeri kuasa sukan tanah air," jelasnya.    
05 Jul 22
456
Usahawan Perlu Dua Sijil Utama Untuk Pasaran Luar Negara
Usahawan Perlu Dua Sijil Utama Untuk Pasaran Luar Negara
KUALA TERENGGANU, 5 Julai- kerajaan negeri menyarankan para usahawan di Terengganu melengkapkan dua sijil utama bagi membolehkan produk mereka dipasarkan ke luar negara. Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro Dan Hal Ehwal Pengguna, Mohd Nurkhuzaini Ab. Rahman berkata antara perkara utama untuk melayakkan produk untuk masuk ke Asean Mall, Thailand adalah sijil Halal dan Amalan Perkilangan Baik (GMP). “Syarat ini harus disahut oleh usahawan-usahawan Terengganu  khususnya sijil halal untuk produk-produk dipasarkan. “Jadi saya mengharapkan usahawan-usahawan kita di Terengganu sama-sama untuk mengembangkan perniagaan,” katanya di ASEAN Halal Expo di Pattani, Thailand baru-baru ini. Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu, Mohd Rashdan Muda. Tambahnya, ekspo tersebut yang dijalankan di ASEAN Mall merupakan platform yang sangat baik untuk mengembangkan produk-produk Terengganu. “Daripada mekanisme ini, ianya sangat baik untuk kita kembangkan produk-produk Terengganu untuk masuk bukan sahaja di Thailand tetapi juga ke seluruh Indochina. “Jadi apabila mendengar misi dan visi dari pihak ASEAN Mall ini, kita mungkin boleh melangkah lebih jauh bersama-sama usahawan-usahawan Terengganu untuk kembangkan pasaran ke Thailand serta negara-negara Indochina,” katanya. Terdahulu, ASEAN Halal Expo 2022 yang menghimpunkan hampir 70 usahawan tersebut berlangsung selama lima hari sehingga 2 Julai.
05 Jul 22
383
2.4 Juta Kenderaan Dijangka Pulang Ke Pantai Timur
2.4 Juta Kenderaan Dijangka Pulang Ke Pantai Timur
KUALA TERENGGANU, 4 Julai – Anih Berhad menjangkakan 1,648,000 kenderaan akan menggunakan Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) manakala 704,000 kenderaan lagi di Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) bermula 8 hingga 11 Julai ini. Pengurus Besar Kanan Anih Berhad, Radzimah Mohd Radzi berkata, penambahan kira-kira 2.4 juta kenderaan itu berikutan orang ramai mengambil peluang bagi menyempurnakan ibadah korban dan pulang bersama keluarga memandangkan cuti hujung minggu yang panjang. Katanya, berdasarkan trend hujung minggu yang stabil sejak awal tahun ini, purata harian hujung minggu bagi Lebuhraya KLK adalah sebanyak 161,000 kenderaan manakala jumlah kenderaan di LPT1 pula direkodkan sebanyak 65,000 kenderaan. "Perayaan Aidiladha merupakan kali ke-3 rakyat Malaysia berpeluang pulang ke kampung halaman masing-masing sejak negara memasuki fasa endemik tahun ini. "Sungguhpun begitu, demi meningkatkan komitmen kami dalam menjamin keselesaan semua, Jadual Cadangan Perjalanan (TTA) tetap dikeluarkan sebagai peringatan di setiap musim perayaan”, katanya dalam kenyataan pada Isnin. Beliau berkata, pihaknya percaya pengguna lebuh raya kini lebih cakna dengan persediaan yang diperlukan bagi memastikan perjalanan yang lebih selesa dan selamat menjelang Aidiladha tahun ini. “Antara langkah-langkah yang telah diambil oleh Anih Berhad bagi meningkatkan tahap kesediaan pada musim perayaan kali ini, ialah penambahan petugas-petugas dan anggota sebagai persediaan pengaktifan lorong-lorong tambahan jika berlaku peningkatan trafik. "Selain itu, ia membantu melancarkan aliran di lebuh raya dan mempertingkatkan tahap persediaan di semua fasiliti lebuh raya termasuk menjamin tahap kebersihan terbaik di semua hentian sebelah dan kawasan rehat," tambahnya. Dalam pada itu, Anih Berhad tetap ingin mengingatkan pengguna untuk memandu dengan berhemah, memastikan keadaan kenderaan optimum, baki e-wallet, Touch n' Go dan SmartTag yang mencukupi di samping mendapatkan rehat yang secukupnya sebelum memulakan perjalanan. Untuk maklumat tepat dan terkini lebuhraya KLK dan LPT1, sila rujuk laman sosial rasmi Lembaga Lebuhraya Malaysia/Anih Berhad di Twitter @LLMTrafik @LPTTrafik dan Facebook @Lembaga Lebuhraya Malaysia @Lebuhraya Pantai Timur atau hubungi hotline LLM di 1800-88-788-7752 dan LPT - Line di 1-700-818-700.  
04 Jul 22
2012
Bank Susu Patuh Syariah Perlu Penelitian Mendalam
Bank Susu Patuh Syariah Perlu Penelitian Mendalam
Cadangan pembinaan Bank Susu Patuh Syariah di negara Islam memerlukan penelitian yang lebih mendalam serta menyeluruh biarpun ia sangat terkenal di negara barat.
04 Jul 22
126
Bank Susu Patuh Syariah Perlu Penelitian Mendalam
Bank Susu Patuh Syariah Perlu Penelitian Mendalam
KUALA TERENGGANU, 4 Julai- Cadangan pembinaan Bank Susu Patuh Syariah di negara Islam memerlukan penelitian yang lebih mendalam serta menyeluruh biarpun ia sangat terkenal di negara barat. Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahari Mamat berkata kajian perlu dilakukan dengan mengambil kira pelbagai aspek bukan sahaja melibatkan hukum hakam tetapi juga prosedur operasi standard (SOP) dan sebagainya. Katanya, cadangan pembinaan Bank Susu Patuh Syariah di Malaysia adalah sangat penting sebagai sumber bekalan susu ibu kepada bayi-bayi yang sangat memerlukan susu ibu dan juga kepada para ibu yang tidak mampu untuk menyusukan bayi atas masalah-masalah tertentu. “Kita harapkan isu yang dibangkitkan ini boleh direalisasikan dalam masyarakat kerana ianya merupakan keperluan sebenarnya. “Ada ibu tertentu dan anak-anak yang memerlukan alternatif ini sebagai jalan penyelesaian akibat timbul permasalahan yang tidak boleh diatasi contohnya ibu yang berpenyakit, bayi pramatang, bayi kematian ibu dan lain-lain,” ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Seminar Pendidikan Fatwa Peringkat Negeri Terengganu Tahun 2022 ‘Bank Susu: Keperluan Dan Hukum’ di Permai Hotel, hari ini. Sementara itu, Mufti Negeri Terengganu, Prof Madya Dr Mohamad Sabri Haron berkata, garis panduan mengenai pembinaan Bank Susu Patuh Syariah di Terengganu akan diperkemaskan dari semasa ke semasa. “Di Terengganu, kita baru mula dengan garis panduan dan ada pasukan penyelidik dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) yang membuat penyelidikan tentang isu ini. “Bank Susu Patuh Syariah masih terpencil bukan menyeluruh, sebab itulah kita memerlukan suatu SOP yang jelas, khususnya dari sudut mengamalkan mazhab Shafie, jadi ini perkara-perkara yang perlu diperkembangkan ke peringkat nasional. "Bank susu biasa memang wujud, tetapi yang patuh syariah ini perlu diteliti dengan lebih mendalam sebelum keputusan untuk melaksanakannya atau tidak diputuskan, " ujarnya.   
04 Jul 22
480
Stesen Janakuasa TNB Di Kenyir Kembali Beroperasi
Stesen Janakuasa TNB Di Kenyir Kembali Beroperasi
KUALA TERENGGANU, 4 Julai - Stesen Janakuasa Sultan Mahmud (SJSM) milik Tenaga Nasional Bhd (TNB) di Kenyir, kembali beroperasi sepenuhnya pada 26 Jun lalu dengan memperkasa Grid Nasional setelah keempat-empat unit jana kuasa beroperasi semua tiga bulan lebih awal daripada perancangan asal bagi menyalurkan bekalan elektrik. Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir, Baharin Din berkata, stesen berkenaan sebelum ini terpaksa dihentikan tugas pada 27 Februari lalu berikutan kejadian tanah runtuh akibat hujan lebat luar biasa berlaku di kawasan Hulu Terengganu itu. Jelasnya, pemulihan SJSM berkenaan dapat mengukuhkan kembali penjanaan tenaga hijau TNB melalui tiga skim hidroelektrik membabitkan Hulu Terengganu, Cameron Highland di Pahang dan Sungai Perak. "Harapan kita agar keempat-empat unit penjanaan SJSM dengan kapasiti keseluruhan 400 Mega Wat (MW) beroperasi dalam keadaan baik dan terus memberikan manfaat kepada semua rakyat Malaysia dari segi tenaga hijau. "Ia berikutan kenaikan luar biasa harga ekoran krisis bahan api dunia pasca pandemik dan diburukkan lagi oleh perbalahan Rusia-Ukraine," katanya dalam suatu kenyataan, sebagaimana dilaporkan Kosmo Online, semalam. Dalam pada itu katanya, pemulihan lebih awal itu penting bagi membolehkan stesen berkenaan dapat menurunkan paras air tasik menjadi lebih rendah sebagai persediaan untuk menerima air hujan lebih banyak pada musim monsun, November nanti. Secara purata, SJSM mampu menyumbang 1,600 gigawatt-jam setahun apabila beroperasi dengan kapasiti penuh, sekali gus menghindari pelepasan 537,600 tan karbon dioksida jika mengggunakan sumber bahan api fosil (gas), bersamaan pelepasan karbon daripada 116,869 kenderaan setahun.
04 Jul 22
3619
Lepas 31,000 Anak Benih Ikan, Udang
Lepas 31,000 Anak Benih Ikan, Udang
Sebanyak 31,000 benih anak ikan dan udang dilepaskan Jabatan Perikanan Terengganu di Sungai Terengganu .
03 Jul 22
140
Laluan Warisan Mat Kilau Produk Pelancongan Dua Negeri
Laluan Warisan Mat Kilau Produk Pelancongan Dua Negeri
KUALA TERENGGANU, 2 Julai - Kerajaan negeri akan bekerjasama dengan Pahang untuk mengetengahkan laluan Mat Kilau sebagai produk pelancongan dua hala antara dua negeri. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Negeri, Ariffin Deraman berkata jika direalisasikan, ia mampu  membawa masyarakat ke sudut sejarah yang berbeza dengan menjejaki laluan yang pernah dilalui oleh Mat Kilau semasa perjuangannya menentang British suatu masa dahulu. Katanya, ia dapat mengembalikan nostalgia dan kegemilangan sejarah serta jejak-jejak dan tinggalan sejarah Pahlawan Melayu yang terkenal iaitu Mat Kilau dan rakan-rakannya di Pasir Raja, Dungun yang merentasi hutan khatulistiwa ke Hulu Tembeling, Pahang. "Saya difahamkan jelajah laluan warisan itu sememangnya mencabar sehingga mengambil masa dua hingga hari untuk tamat jadi satu perbincangan akan diadakan dengan pihak berkaitan untuk melaksanakannya. "Ia juga turut membawa mengenali kubu Mat Kilau serta mengenali keunikan alam semulajadi dengan lebih dekat melalui aktiviti sepanjang 'hiking'," katanya ketika ditemui pemberita. Tambahnya, penambahbaikan akan turut dilaksanakan bagi kemudahan sepanjang jejak Mat Kilau seperti keselamatan, hentian rehat dan lain-lain bagi menarik lebih ramai pengunjung untuk melaluinya. Difahamkan laluan antara Pahang dan Terengganu agak berbukit bukau serta laluan sungai yang perlu diharungi hampir 60 peratus daripada keseluruhan perjalanan melalui laluan itu.      
02 Jul 22
1641
Majlis Walimatul Urus Perdana Kembali Beraksi
Majlis Walimatul Urus Perdana Kembali Beraksi
KUALA TERENGGANU, 2 Julai - Tradisi perkahwinan beramai-ramai secara percuma atau Majlis Walimatul Urus Perdana yang dianjurkan oleh Kerajaan Terengganu kembali diteruskan pada September ini. Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Pembangunan Nasional Terengganu, Hanafiah Mat, berkata majlis akad nikah dan resepsi dikendalikan Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) itu bertujuan membantu meringankan bebanan ahli keluarga yang tidak berkemampuan selain memudahkan proses perkahwinan. Katanya, pasangan yang dipilih menyertai program itu tidak perlu mengeluarkan kos, sebaliknya semua peruntukan disediakan kerajaan negeri. "Bagi pasangan daripada kalangan ibu atau bapa tunggal layak menerima insentif sebanyak RM1,000.00 setiap seorang. "Dan juga kepada pasangan yang berminat dan layak akan diberikan  pinjaman modal perniagaan maksima RM20,000.00 di bawah Program Jaya Diri (PJD) YPKT,” ujarnya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman ketika dihubungi. Tambah beliau lagi, bakal pengantin lelaki berusia 45 tahun ke atas dan pengantin perempuan berusia 40tahun keatas dikecualikan mengikuti kursus Pra Perkahwinan Modul Bersepadu Kursus Perkahwinan Islam (MBKPI) kendalian Jabatan Hal Ehwal Agama Negeri Terengganu. Sementara itu, Hanafiah turut berkata  program yang dilaksanakan sejak tahun 2016 sehingga 2019 telah berjaya memanfaatkan 1,167 pasangan. "Pada tahun 2020 dan 2021 program ini ditangguhkan atas faktor pendemik COVID-19 dan kini kembali beraksi setelah sekian lama berehat,"ujarnya. Untuk maklumat lanjut mengenai program bantuan perkahwinan untuk rakyat Terengganu ini juga, sila layari laman web rasmi Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu di alamat https://www.ypkt.gov.my/index.php/ms/walimatulurus-perdana
02 Jul 22
2236
'Rating Star' Rumah Bot Tasik Kenyir Tahun Hadapan
'Rating Star' Rumah Bot Tasik Kenyir Tahun Hadapan
KUALA TERENGGANU, 1 Julai -Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu akan memperkenalkan sistem penarafan bintang buat pertama kali kepada 70 rumah bot di Tasik Kenyir bermula tahun hadapan. Pengarahnya, Fadli Yusof berkata tujuan sistem ini dilaksanakan adalah memberi penarafan dan pengiktirafan kepada premis mengikut kriteria yang ditetapkan. Katanya, ia juga akan membantu pelancong merancang percutian mengikut kehendak masing-masing dengan tepat. "Sekarang pihak kami dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sedang menyediakan dokumen untuk gred bermula satu sehingga lima bintang sebagaimana hotel- hotel di darat. "Antara kriteria untuk pemberian bintang, kita akan menilai tandas, kemudahan air, sistem kumbahan, penyediaan makanan mengikut standard dan bilik penginapan yang terdapat di setiap rumah bot di Tasik Kenyir," ujarnya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman baru-baru ini. Tambah beliau lagi, percutian akan bertambah mudah, selesa, puas hati dan menenangkan apabila individu membuat perancangan secara menyeluruh dengan menentukan destinasi yang diingini dilawati sejajar dengan matlamat serta duit dibelanjakan berbaloi dalam segenap segi. "Bila kita buat penarafan bintang, secara tidak langsung akan mempengaruhi harga pakej bagi setiap rumah bot  namun menjanjikan kepuasan kepada pelancong sebagaimana mereka menginap di hotel-hotel yang terdapat di negeri ini,"katanya.          
01 Jul 22
1245