Artikel "Semasa" Terkini
Berbasikal Sambil Promosi Gaya Hidup Sihat
Buat julung kalinya, KMI Medical Centre dengan kerjasama pasukan berbasikal terkemuka negara, Terengganu Polygon Cycling Team menganjurkan acara berbasikal dalam usaha mempromosikan gaya hidup sihat kepada masyarakat setempat.
19 Jul 22
347
70 Rumah Bot Tasik Kenyir Akan Digredkan
KUALA NERUS, 19 Julai- Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) akan mengredkan 70 rumah bot yang beroperasi di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu dalam tempoh terdekat sebagai usaha meningkatkan mutu dan menaiktaraf perkhidmatan itu.
Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan) MOTAC, Mohd Zamri Mat Zain, berkata, perincian pengredan sama ada mengikut penarafan bintang atau dikelaskan kepada kategori tertentu akan ditentukan kemudian bersama Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT) dan agensi yang terlibat.
Katanya, keputusan untuk mengredkan rumah bot tidak semudah mengredkan Premis Penginapan Pelancongan (PPP) yang dilaksanakan terhadap hotel bandar, hotel resort, hotel tanah tinggi, hotel butik dan hotel inovatif sebelum ini.
“Ini kerana, perkhidmatan rumah bot yang dianggap hotel bergerak itu melibatkan banyak aspek teknikal terutama berkaitan sistem kumbahan, enjin bot, pengurusan bilik enjin, saliran ekzos, tangki minyak dan tandas.
“Bagaimanapun, antara kriteria utama yang perlu dititikberat pengusaha bot dalam memastikan mereka layak diberikan pengredan adalah perlu mempunyai lebih 10 bilik, 50 katil, aspek keselamatan, kebersihan, penyediaan makanan dan penyaman udara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika beruca pada Majlis Penutup Bengkel Pembangunan dan Pemurnian Kriteria Penggredan PremisPenginapan Pelancong Hotel Inovatif Kategori Houseboat anjuran Motac dengan kerjasama JPNT di Hotel Raia, Kuala Nerus, kelmarin.
Turut hadir, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Tun Ahmad Faisal Tun Abd Razak, Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri, Fadli Yusof Zakaria dan Pengerusi Persatuan Pelancongan Tasik Kenyir A. Aziz Ar Rahim.
Menurut Mohd Zamri, penggredan yang akan dilaksanakan itu bukanlah satu mandatori kepada premis untuk memohon dan tiada tindakan penguatkuasaan akan dikenakan kepada pengusaha rumah bot yang tidak membuat pemohonan pengredan.
“Hal ini sama seperti penggredan PPP sedia ada di mana pelaksanaannya adalah secara sukarela. Walau bagaimanapun MOTAC akan sentiasa menggalakkan mereka untuk diberikan penggredan di bawah MOTAC.
“Pelaksanaan penggredan ini juga akan menjadi pemangkin kepada industri rumah bot di Malaysia untuk terus menawarkan perkhidmatan dan fasiliti yang terbaik,” katanya.
19 Jul 22
620
Baik Pulih Taman Monumen TTI Bermula Hujung Tahun Ini
KUALA TERENGGANU, 18 Julai – Sebanyak RM5 juta diperuntukkan kerajaan negeri bagi membaik pulih ikon pelancongan Terengganu, Taman Monumen yang menempatkan 22 replika masjid terkenal dunia di Taman Tamadun Islam (TTI) di sini .
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT), Wan Adnan Wan Derahman berkata pihaknya akan melaksanakan kerja baik pulih dan mengindahkan semula Taman Monumen yang sebahagiannya sudah lusuh secara berperingkat bermula akhir tahun ini.
“Kita akan mulakan proses pembaikian monumen kincir Air yang kerosakannya agak teruk dan selepas itu Taj Mahal dan Samarra.
“Pihak kami juga akan bekerjasama dengan beberapa universiti untuk hantar pelajar mereka khususnya dalam bidang seni bina jalankan kerja lapangan dan tanggungjawab sosial korporat di Taman Monumen ini,” katanya ketika ditemui pemberita.
Taman Tamadun Islam adalah taman tema pertama yang mengiktiraf seni bina Islam. Kompleks ini menempatkan 22 replika bangunan berkaitan sejarah Islam dunia dari 20 negara.
Tarikan utama di sini termasuk Masjid Negara (Malaysia), Dome of the Rock (Palestin), Masjidil Haram (Arab Saudi), Al-Hambra Citadel (Spain) dan Taj Mahal (India).
Terdapat juga Mimbar Kalyan (Uzbekistan), Makam Abu Nasr (Afghanistan), Mimbar Berputar Samarra (Iraq), Masjid Mohd Ali (Kaherah), Masjid Besar Qairawan (Tunisia), Masjid Besar Agadez (Nigeria), Aleppo Citadel (Syria), Masjid Kul Syarif (Russia) dan Mimbar Xian, China.
Kesemua 22 replika masjid termasuk monumen dan tugu dibina pada nisbah skala 1:4 hingga 1:22 berbanding saiz asal.
18 Jul 22
1022
Menu RM3.50 Manfaatkan Lebih 9,000 Pelajar UMT
KUALA NERUS, 17 Julai -Sudut Menu Keluarga Universiti Malaysia Terengganu(UMT) menawarkan pelbagai pilihan menu makanan dengan harga RM3.50 bagi meringankan beban yang ditanggung pelajar, terutama golongan B40.
Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Mazlan Abd Ghaffar berkata
inisiatif tersebut bakal memanfaatkan lebih 9,000 pelajar UMT khususnya mahasiswa dari keluarga berpendapatan rendah dan sederhana.
"Dengan harga RM3.50, menu adalah berbeza mengikut pilihan 24 pengusaha makanan di dalam kampus, namun dapat membantu mahasiswa untuk mendapatkan makanan dengan harga murah tetapi lengkap dengan nutrisi dengan menu asas adalah nasi, ayam dan sayur.
"Kita juga bekerjasama dengan Majlis Perwakilan Pelajar(MPP) bagi mengawal dan memantau kadar harga makanan dan kualiti perkhidmatan di kafetaria kampus,"katanya.
Beliau berkata demikian di sidang media sempena Pelancaran Menu Keluarga UMT dan Dapur AOK-GR bertempat di Kolej Kediaman Sheikh Abdul Malek, di sini hari ini.
Tambahnya, dengan adanya bantuan itu, pelajar kini boleh menumpukan sepenuh perhatian kepada pelajaran tanpa memikirkan perbelanjaan membeli makanan.
Bagi pelajar Tahun Satu Kejuruteraan Perisian, Siti Nur Aisyah Abdullah, 21, menu yang disediakan memang membantu terutama bagi mereka yang kurang berkemampuan.
Katanya yang berasal dari Melaka, kebiasaannya dia dan rakan membelanjakan hampir RM10 untuk menu makan tengah hari berserta air.
"Dengan adanya menu murah ini, kami boleh makan dengan rasa tenang dan tidak perlu bimbang untuk membeli makanan lagi.
"Ia adalah inisiatif yang baik dan dapat membantu ramai mahasiswa untuk menikmati juadah," ujarnya.
17 Jul 22
1043
TNB Juara Candat Sotong
Kemeriahan Fiesta Candat Sotong 2022 anjuran Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu berakhir dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) Terengganu melakar kejuaraan dalam acara utama mencandat sotong.
17 Jul 22
364
Sang Kenari Pulang Hampa
Kedah Darul Aman FC (KDA FC) kalah lagi di tangan Terengganu Football Club (Terengganu FC), kali ini dengan skor 2-1 dalam aksi Liga Super Malaysia .
17 Jul 22
86
Pesta Candat Sotong Kembali Meriah
Pesta mencandat sotong di Terengganu kembali meriah apabila seramai 300 peserta mengambil bahagian dalam penganjuran kali ini.
17 Jul 22
257
Konvokesyen ILKBS Ke-17 Rai 216 Pelajar
MARANG, 17 Julai- Seramai 216 graduan Institut Latihan Kemahiran Belia Dan Sukan (ILKBS) diraikan dalam Majlis Konvokesyen ILKBS Zon Pantai Timur Ke-17 dalam suasana norma baharu, hari ini.
Majlis konvokesyen yang berlangsung di Dewan Besar Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Wakaf Tapai itu melibatkan Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Temerloh, IKTBN Bachok, IKBN Kemasik, IKBN Pekan, IKBN Tanah Merah selain IKBN Wakaf Tapai sendiri.
Graduan yang diraikan merupakan pelajar yang telah berjaya menamatkan pengajian di peringkat sijil dan diploma masing-masing daripada bidang Teknologi Elektrik, Teknologi Awam, Teknologi Mekanikal, Teknologi Automotif serta Teknologi Tekstil Hospitaliti.
Hadir menyempurnakan penyampaian sijil dan diploma tersebut adalah Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) Kementerian Belia Dan Sukan, Ramona Mohd Razali.
Ramona dalam ucapannya berkata, majlis konvokesyen ini amat bermakna kepada Kementerian Belia Dan Sukan kerana telah berjaya menyempurnakan amanah untuk memberikan peluang pendidikan dan latihan kemahiran (TVET) dalam pelbagai bidang kepada generasi belia.
“Ia juga merupakan hari kemenangan istimewa kepada seluruh graduan yang telah membuktikan kegigihan dan usaha keras sepanjang mengikuti pengajian di ILKBS telah membuahkan hasil,” ujarnya.
Dalam perkembangan sama katanya, kerajaan mensasarkan sekurang-kurangnya 55 peratus lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) memilih TVET menjelang tahun 2025 yang disediakan oleh 1,295 buah institusi dan penyedia TVET di Malaysia.
“Ini merangkumi 640 institusi TVET awam di bawah seliaan sebelas kementerian, 22 institusi TVET kerajaan negeri dan 633 penyedia TVET swasta,” jelasnya.
Tambah Ramona, keprihatinan kerajaan terhadap TVET diserlahkan dengan pembiayaan yang tinggi, di mana 80 peratus penyedia TVET awam menawarkan program TVET secara percuma.
“Dengan pelbagai usaha yang dilaksanakan kerajaan, tidak mustahil TVET bakal menjadi pilihan utama pendidikan belia Malaysia,” jelasnya.
Menurut beliau, TVET kini mejadi satu agenda penting negara untuk melengkapkan para belia ke dalam pasaran kerja termasuklah untuk mencipta pekerjaan sendiri.
ILKBS yang merangkumi IKTBN, IKBN dan Akademi Kemahiran Belia Golf (AKBG) adalah pusat latihan kemahiran di bawah Kementerian Belia Dan Sukan yang diwujudkan bagi pembangunan modal insan negara khususnya dalam memenuhi keperluan dan kehendak tenaga kerja mahir industri di Malaysia.
17 Jul 22
1148
Pesta Candat Sotong Kembali Meriah
MARANG,15 Julai - Pesta mencandat sotong di Terengganu kembali meriah apabila seramai 300 peserta mengambil bahagian dalam penganjuran kali ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata Marang sekali lagi menjadi tuan rumah pada tahun ini kerana mempunyai daya tarikan tersendiri serta terkenal di kalangan pelancong asing dengan aktiviti itu.
Katanya, hadiah bernilai RM5,000 ditawarkan kepada pemenang dalam fiesta kali ini.
"Apabila tiba musim mencandat, orang ramai yang terdiri daripada pengunjung telah membuat tempahan bot untuk merasai sendiri pengalaman mencandat sotong di tengah laut.
"Acara tahunan ini juga yang secara tidak langsung mempromosikan negeri Terengganu sebagai destinasi tumpuan pelancong bagi merasai pengalaman mencandat sotong," jelasnya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Fiesta Candat Sotong di Jeti LKIM, Marang di sini hari ini.
Selain itu, menurut Ariffin, pengusaha bot di sini turut menawarkan pakej mencandat 'experience tourism' dengan harga serendah RM800 semalaman bagi sebuah bot dengan kapasiti 10 penumpang.
"Pakej ini secara tidak langsung dapat menyumbang kepada peningkatan ekonomi penduduk tempatan menerusi aktiviti rantaian pelancongan.
“Penganjuran selama tiga hari ini akan diadakan di dua lokasi, iaitu di Pusat Rekreasi Pulau Kekabu dan majlis perasmian dan pelepasan peserta akan diadakan pada 15 Julai 2022 (Jumaat) di Jeti LKIM, Marang,” ujarnya.
Tambah Ariffin, di Pulau Kekabu pelbagai pengisian aktiviti berkaitan pelancongan dan kebudayaan seperti silat, gamelan, persembahan busking lagu rakyat, permainan tradisional, serta jualan produk-produk IKS turut diadakan.
"Ia bermula dari jam 10 pagi hingga 10 malam bermula 14 Julai hingga 16 Julai 2022.
“Untuk rekod, Program candat sotong Terengganu pernah diiktiraf sebagai Program Pelancongan Terbaik pada tahun 2019 daripada Majlis Pelancongan Malaysia,” katanya.
15 Jul 22
961
Kerajaan Bina Rumah Baharu Mangsa Kebakaran
KUALA TERENGGANU, 14 Julai - Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Terengganu akan menguruskan pembinaan rumah baharu bagi kakitangan Bahagian Khidmat Pengurusan yang menjadi salah seorang mangsa kebakaran di Kampung Panji, Jumaat lalu.
Setiausaha Kerajaan Terengganu, Tengku Seri Bijaya Raja berkata, Pejabat SUK menerusi Sekretariat Tabung Darul Iman akan menguruskan bantuan membina rumah baharu bernilai RM60,000 di atas tanah milik mangsa, Sulaini Said, 55, di Kampung Banggol Tok Ku yang dijangka akan mengambil masa kira-kira sebulan untuk disiapkan.
Terdahulu, tragedi malang menimpa Sulaini yang kehilangan tempat tinggal yang sudah didiami sejak 21 tahun turut meruntun perasaan Tengku Seri Bijaya Raja.
Beliau bersama Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) Anuar Awang dan beberapa pegawai turun menziarah sambil memberi kata-kata semangat kepada mangsa di Kampung Panji disini, semalam.
"Saya turut berdukacita dengan apa yang menimpa Sulaini dan berharap supaya sentiasa positif dengan apa yang terjadi. Tidak lupa juga melihat dugaan terselindung hikmah tersendiri. Saya juga kenal Sulaini sebagai staf yang sentiasa tersenyum," katanya.
Dalam kunjungan itu, beliau turut menyampaikan bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Terengganu, sumbangan daripada warga Wisma Darul Iman berjumlah RM5,500, Kelab Wisma Darul Iman (RM1,000) dan hamper barangan dapur (Kelab Helang).
Lawatan itu juga membawa berita gembira buat Sulaini sekeluarga apabila Pejabat SUK menawarkan untuk menguruskan pembinaan rumah baharu.
Difahamkan, dalam kejadian kebakaran di Kampung Panji, Jumaat lalu seramai 20 orang daripada empat keluarga terpaksa menyambut Aidiladha tahun ini dalam suasana suram apabila rumah mereka hangus dijilat api.
Bagaimanapun kebakaran yang berlaku pada pukul 11.30 pagi itu tidak melibatkan sebarang kecederaan.
14 Jul 22
523