Artikel "Semasa" Terkini
Kacau 'Bubur Sugha' Tradisi Wajib Hotel Primula
KUALA TERENGGANU, 26 Ogos-Masuk sahaja bulan Muharam, pastinya masyarakat Islam di negara kita akan sibuk membuat hidangan yang dikenali sebagai bubur asyura.
Tidak ketinggalan, Primula Beach Hotel, turut mengambil bahagian meneruskan acara memasak bubur 'sugha' secara bergotong royong yang menjadi salah satu aktiviti tahunan mereka sejak tahun 2000.
Pengurus Besarnya, Suaibah Harun berkata, program memasak bubur 'sugha' sebanyak tiga kawah pada kali ini membabitkan 25 kakitangan hotel.
"Sebanyak 20 kilogram (kg) beras digunakan, ikan selayang (15kg), daging (10kg), ayam (3kg),
santan (15kg) dan bahan-bahan sampingan lain seperti ubi, kerisik dan rempah asyura menghasilkan 500 bekas bubur 'sugha'.
"Acara memasak bubur ini bermula pada jam 8.30 pagi dan pengagihan bermula pada jam 3.15 petang kepada surau dan beberapa agensi kerajaan berdekatan serta warga kerja hotel," katanya kepada pemberita.
Tambah Suaibah, disamping
menghulurkan sedikit sumbangan kepada mereka yang memerlukan, program seperti ini mengingatkan kita
semua bahawa walaupun keadaan semasa dan ekonomi negara masih tidak sihat namun tidak ada alasan untuk tidak membuat kebaikan.
"Walaupun dilakukan secara sederhana, kemeriahan dan keceriaan sesama kakitangan dapat dilihat semasa mereka mengacau bubur asyura secara gotong-royong," katanya.
Suaibah berkata, aktiviti sedemikian akan terus dikekalkan bagi mengeratkan ukhwah sesama kakitangan di samping memupuk keceriaan dalam program sedemikian.
26 Aug 22
487
Terengganu Jadi Negeri Pilihan Pelabur
KUALA LUMPUR, 29 Ogos -Terengganu mencatatkan rekod pelaburan sebanyak RM2.3 billion dengan 29 projek pembuatan diluluskan dari 2017 sehingga Jun 2022 dan menjadi antara negeri pilihan para pelabur.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Penggalakan dan Fasilitasi Pelaburan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Mr Sivasuryamoorthy Sundara Raja berkata, lebih separuh daripada pelaburan terbabit melibatan sumber asing dengan mencatatkan rekod berjumlah RM1.27 bilion.
"Projek-projek ini telah memainkan peranan penting dalam mewujudkan lebih 1,727 peluang pekerjaan, terutamanya dalam bidang produk petroleum (termasuk petrokimia), kimia dan produk kimia, produk mineral bukan logam, kayu dan produk kayu, serta mesin dan peralatan.
"Selain itu, dari Januari hingga Mac 2022, pelaburan bernilai RM 7.2 juta telah diluluskan dalam industri pembuatan makanan dan produk kayu," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis MIDA Invest Series: Unfolding States Business Potential - A Briefing by Invest Terengganu di Perdana Hall, MIDA.
Sivasuryamoorthy berkata, MIDA gembira melihat syarikat terkenal memanfaatkan infrastruktur dan rangkaian perkhidmatan sokongan berpengalaman Terengganu yang mantap.
Beliau berkata, antara syarikat yang terlibat adalah JXR Manufacturing Sdn Bhd, CJ Bio Malaysia Sdn Bhd, Syarikat Bitumen Kemaman Sdn Bhd, Arkema Thiochemicals Sdn Bhd, Encompass Industries Sdn Bhd, dan Eastern Steel Sdn Bhd.
"Syarikat-syarikat ini menjanjikan banyak kerjasama dan peluang untuk perniagaan tempatan kita.
"MIDA akan terus bekerjasama rapat dengan syarikat dan perniagaan untuk menyediakan persekitaran perniagaan yang lebih kondusif bagi meningkatkan peluang pertumbuhan," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran Negeri Terengganu, Dato' Tengku Hassan Tengku Omar berkata, kerajaan Negeri Terengganu komited untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi dengan menambah lebih banyak taman perindustrian iaitu Taman Perindustrian Kerteh Terengganu, Taman Perindustrian Pulau Kerengga dan Lembah Silika Terengganu.
"Ini adalah satu lagi langkah ke arah memastikan terdapat prospek yang baik bukan sahaja sekarang tetapi pada masa hadapan di Terengganu," ujarnya.
25 Aug 22
324
TADC Lahirkan Usahawan Muda Dalam Bidang Ternakan Kambing
SETIU, 25 Ogos - Terengganu Agrotech Development Corporation Sdn Bhd (TADC) kini memberi peluang kepada golongan muda yang berminat dalam penternakan kambing tenusu bagi tujuan penghasilan susu, baka dan daging.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Memajukan Iktisad negeri (PMINT), Wan Adnan Wan Derahman berkata sebagai perintis projek, seramai enam anak muda yang berpotensi untuk menjadi penternak kini sedang dilatih sejak empat bulan lepas.
“Mereka akan berada di sini selama 24 bulan dan akan menerima elaun sebanyak RM1,200 seorang setiap bulan.Dalam masa yang sama, mereka akan memproses susu sehingga 500 liter sehari dan hasil jualan akan disimpan dalam tabung pusingan.
“Selepas tamat dua tahun, setiap seorang akan mendapat lima hingga enam ekor kambing termasuk 20 peratus hasil penjualan susu untuk mereka jadikan modal permulaan,” katanya kepada pemberita selepas melawat Projek Ladang Induk Pengganda Kambing Tenusu Di Kampung Bari, baru-baru ini.
Tambah Wan Adnan, kesemua mereka juga akan diserahkan untuk bimbingan di bawah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Daerah bagi tujuan pemantauan secara berterusan.
“Kalau ia berjalan lancar mungkin kita akan bincang dana-dana lain yang menjurus ke arah projek tersebut dan mampu menjadi satu pemangkin kepada anak-anak muda di luar sana untuk menceburi dalam bidang ternakan kambing tenusu ini,”ujarnya lagi.
Beliau juga berkata selepas dua tahun, pihaknya merancang untuk penggambilan baru bagi peserta projek seramai lima orang setiap tahun bermula tahun ketiga.
Menurut beliau, projek penternakan ini turut menerima peruntukan sebanyak RM1.8 juta daripada Kementerian Kewangan Malaysia (MOF).
Katanya, sehingga kini terdapat 185 ekor kambing Saenan betina dan 15 ekor jantan yang diimport daripada Australia yang dijangka membiakkan lebih kurang 240 ekor untuk setahun.
Salah seorang peserta yang ditemui, Nik Afzan Mohd Yusof,24, berkata dia menyertai projek tersebut kerana minat yang mendalam terhadap bidang penternakan kambing tenusu disamping mencari pengalaman baru.
“Alhamdulillah terpilih untuk projek ini yang merupakan satu peluang terbaik untuk membina masa depan saya.Lagipun kalau saya makan gaji hanya dapat RM1,200 sebulan berbanding jika saya mengusahakan sendiri ternakan kambing ini.
“Insha Allah, saya akan pelihara kambing yang diperolehi nanti dan menghasilkan bakanya dengan hasil bimbingan TADC yang memberi tunjuk ajar untuk memelihara kambing tenusu,”ujarnya.
25 Aug 22
1233
Peruntukan RM12 Juta, Pencen Rakyat 2022 Telah Dibuka
Kerajaan negeri memperuntukkan RM12 juta bagi bantuan pencen rakyat yang memanfaatkan anggaran lebih 23 ribu penerima.
25 Aug 22
148
'Hormati Mahkamah, Harap Beliau Sabar Dengan Ujian'
Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berharap bekas Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak bersabar dengan ujian, susulan keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan hukuman bersalah terhadapnya.
25 Aug 22
145
KOPERAT Tiup Semangat Rakyat Terengganu Sambut Merdeka
KUALA TERENGGANU, 25 Ogos - Anak syarikat kerajaan negeri, Konsortium Perumahan Rakyat Terengganu (KOPERAT) telah mengagihkan 3,000 jalur gemilang kepada rakyat Terengganu bagi meniupkan semangat patriotisme kalangan mereka sempena bulan kemerdekaan pada tahun ini.
Pengurus Besar KOPERAT, Sayed Abdul Rahman Engku Sulong, berkata bendera itu telah diagihkan kepada orang ramai yang melalui Dataran Awam Pantai Batu Burok dengan kenderaan bagi memastikan bendera terbabit berkibar megah di kereta dan motor masing-masing, hari ini
Jelasnya usaha dilakukan itu bertujuan untuk menaikkan semangat patriotik di kalangan rakyat agar cintakan negara dimana kempen mengibarkan bendera 'Jalur Gemilang' itu bertepatan dengan saranan Perdana Menteri, Dato' Seri Ismail Sabri Yaakob.
"Sebenarnya ini merupakan salah satu program Tanggungjawab Korporat Sosial (CSR) yang tujuan utamanya selain memperkenalkan anak syarikat kerajaan negeri ini kepada orang ramai ia juga bertujuan untuk menyemarakkan lagi bulan kemerdekaan.
"Jadi ini merupakan inisiatif kita lakukan, untuk memastikan setiap kenderaan dipasang bendera ini di kenderaan masing-masing untuk menzahirkan semangat sayangkan negara, dan sentiasa berusaha untuk saling bersatu agar dapat hidup dalam keadaan aman dan damai tanpa adanya pergolakan dan perpecahan,"ujarnya ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI).
Ujarnya lagi, program seumpama itu telah digerakkan sejak tahun 2015 lagi, dan ia tidak dapat diteruskan hanya ketika pandemik melanda negara dimana setiap tahun menjelang bulan kemerdekaan syarikatnya itu akan mengagihkan bendera berkenaan dalam usaha menyemarakkan semangat kemerdekaan.
25 Aug 22
350
'Hormati Mahkamah, Harap Beliau Sabar Dengan Ujian'
KUALA TERENGGANU, 24 Ogos - Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berharap bekas Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak bersabar dengan ujian susulan keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan hukuman bersalah terhadapnya.
Secara peribadi katanya, beliau mengharapkan Najib kuat semangat dan dapat hadapi ujian berkenaan dengan tenang.
“Pertama, kita menghormati keputusan mahkamah, keduanya kepada yang menerima hukuman diharap bersabar dengan ujian ini, kuatkan semangat hadapilah dengan tenang dan banyak ruang-ruang waktu yang ada itu boleh digunakan untuk mengembalikan semangat dan sebagainya walaupun suasana yang sangat berbeza.
“Ketiga, kepada orang lain tentulah apa yang boleh saya kata ialah ‘life must go on’, hidup mesti diteruskan, kita yang masih sihat ini hendaklah mencari jalan yang terbaik dalam apa jua keadaan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Pendahuluan Diri Dan Bantuan Persediaan Penerima Biasiswa SPC Luar Negara Tahun 2022 di Wisma Darul Iman, hari ini.
Semalam, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta terhadap Najib dalam kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Sementara itu, mengulas mengenai hubungan antara PAS dan UMNO setelah UMNO terpalit dengan isu tersebut katanya, PAS masih terbuka untuk agenda perpaduan ummah.
“Saya selalu sebut mempertahankan perpaduan ummah, walau apa jua nama, cara dan yang boleh kita buat, kita akan usahakan tidak kira MN, PN atau apa sahaja, paling penting perpaduan ummah itu mampu dicapai untuk memperoleh kerajaan yang lebih stabil, kerana Malaysia kalau hendak bergerak ke hadapan, kita perlu kestabilan politik dalam negara kita,” ujarnya.
Katanya, kenyataan-kenyataan tidak membina perlu dikurangkan kerana yang lebih penting masing-masing berlapang dada.
“Tentu banyak perkara yang berbeza pandangan kalau kita duduk dan berbicara tentang perbezaan, satu minggu kita duduk pun tidak selesai.
“Tepati, kalau kita duduk dan membicangkan objektif bersama, persamaan, agenda besar, Insyallah kita mampu untuk mencari jalan untuk kita mencapai apa yang kita istilahkan sebagai kerjasama. Terpulang kepada diri kita sendiri, kepada seluruh kepimpinan bukan kepada satu parti, sebaliknya semua parti untuk mengambil inisiatif,” ujarnya.
24 Aug 22
389
Terengganu Peruntuk RM7.16 Juta Taja Pelajar Belajar Di UK, Jordan
KUALA TERENGGANU, 24 Ogos- Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM7.16 juta bagi tajaan biasiswa kepada 16 anak Terengganu yang cemerlang untuk menyambung pengajian peringkat ijazah pertama ke United Kingdom (UK) dan Jordan bagi tempoh pengajian antara tiga hingga lima tahun.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, daripada jumlah itu seramai empat pelajar adalah lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2019 yang baru sahaja menamatkan pengajian A-Level dan akan menyambung pengajian ke UK.
“Manakala 12 pelajar lepasan SPM 2021 pula akan ke Jordan dimana kesemua mereka yang juga penerima Biasiswa Skim Pelajar Cemerlang (SPC) dijadualkan berangkat ke UK dan Jordan pada pertengahan September ini,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Pendahuluan Diri Dan Bantuan Persediaan Penerima Biasiswa SPC Luar Negara Tahun 2022 di Wisma Darul Iman, hari ini.
Ahmad Samsuri berkata, sejak Tabung Biasiswa SPC Negeri Terengganu dilancarkan pada 2019, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM5 juta setahun untuk membiayai pengajian anak-anak Terengganu yang cemerlang bagi meneruskan pengajian di peringkat Ijazah Pertama sama ada dalam dan luar negara.
“Pemberian biasiswa ini banyak membantu pelajar cemerlang khususnya di kalangan B40 serta M40 dan sekaligus merangsang semangat anak-anak pelajar untuk terus cemerlang dalam peperiksaan SPM, STPM dan STAM.
“Sehingga kini, seramai 601 pelajar cemerlang lepasan SPM, asasi/matrikulasi, STPM dan STAM telah menerima skim biasiswa ini bagi mengikuti pengajian peringkat persediaan dan ijazah pertama dalam pelbagai bidang.
“Daripada jumlah itu, seramai 516 pelajar mengikuti pengajian di universiti awam dalam negara manakala selebihnya mengikuti program pengajian luar negara dalam bidang-bidang kritikal seperti perubatan, pergigian, kejuruteraan, sains, perakaunan dan al-Quran Wal Qiraat,” jelasnya.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, kerajaan negeri melalui kolaborasi antara YT dan Terengganu Inc (TI) juga bersetuju menubuhkan Tabung Biasiswa YT-TI bagi menaja pelajar cemerlang lepasan SPM/STPM serta lepasan asasi/matrikulasi dalam pelbagai bidang peringkat Ijazah Pertama.
Katanya, sebagai permulaan pada tahun ini, TI bersama anak-anak syarikat akan menyumbang sebanyak RM500,000 kepada tabung berkenaan dengan tajaan akan diberikan kepada bidang-bidang tertentu.
24 Aug 22
547
UMT Mahu Muncul IPT Pertama Terengganu Jadi Pusat APEL
KUALA TERENGGANU, 24 Ogos - Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mahu muncul sebagai universiti pertama di Terengganu yang menjadi Pusat Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL).
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Jaminan Kualiti) MQA, Prof. Ir. Dr. Khairul Salleh Mohamed Sahari berkata, agenda UMT itu bakal memperluas akses dalam kalangan masyarakat di sekitar negeri berkenaan untuk meningkatkan kelayakan akademik masing-masing.
Beliau berkata, usaha UMT itu selaras dengan inisiatif pendidikan fleksibel yang diuar-uarkan dan diusahakan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), selain menyemarakkan lagi agenda pembelajaran sepanjang hayat (PSH) seterusnya menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan global.
“MQA akan sentiasa memberi sokongan, khidmat rundingan dan panduan kepada IPT untuk melaksanakan APEL yang mana pasaran APEL ini sangat besar kerana kira-kira 60 peratus tenaga kerja di Malaysia layak untuk mengikutinya,” katanya selepas sesi perkongsian pada Sesi Jelajah MQA @ Zon Timur yang dihadiri lebih 100 peserta dari 70 IPT dari sekitar Pahang, Kelantan dan Terengganu di UMT, semalam.
Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMT, Prof. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMT, Prof. ChM. Dr. Marinah Mohd Ariffin; Pengarah Kanan Pembangunan Dasar dan Kepakaran MQA, Mohamad Dzafir Mustafa; Pengarah Kanan (Akreditasi) MQA, Mohd Khairul Nizam Ibrahim; Pengarah Pusat Pengurusan dan Penjamin Kualiti UMT, Mohd Nor Shokri Abd. Rahman dan Pengarah Bahagian Akreditasi (Sains dan Perubatan) MQA, Abdul Saman Taip.
Sesi jelajah itu menjadi antara program berfokus MQA untuk bertukar pandangan secara terus dengan pihak IPT dalam konteks jaminan kualiti pengajian tinggi di samping mempromosi inisiatif PSH seperti APEL.A, APEL.C, APEL.Q dan Micro-Credentials serta menggalakkan lebih banyak IPT menjadi Pusat Penilaian APEL.
Mengulas lanjut, Khairul Salleh berkata, buat julung kalinya MQA telah mengadakan Hari Mesra Pelanggan (HMP) di lokasi luar bagi memberi ruang dan peluang kepada institusi pengajian tinggi (IPT), institusi pendidikan dan pihak berkepentingan yang berhampiran yang ingin memperoleh maklumat berkaitan perkhidmatan yang disediakan oleh MQA.
Beliau berkata, selalunya Hari Mesra Pelanggan MQA diadakan melalui kaedah perjumpaan secara bersemuka bersama-sama IPT tempatan di Mercu MQA, namun kemudiannya ditukar kepada mod secara dalam talian semasa penularan wabak Covid-19 sebelum kembali secara bersemuka pada tahun 2022.
“Penganjuran HMP buat julung-julung kali di lokasi luar di UMT ini menunjukkan tahap komitmen tinggi MQA dalam usaha memacu pembangunan dan kecemerlangan pengajian tinggi di negara ini,” katanya. – UTUSAN
24 Aug 22
243
Kontraktor Tambahan Segerakan Proses Naik Taraf Paip
Sebanyak tiga lagi subkontraktor menjadikan enam subkontraktor akan bekerjasama menyiapkan pemasangan paip bagi Projek Bekalan Air Kuala Terengganu Utara (KTU) di Marang.
23 Aug 22
125