Artikel "Semasa" Terkini
UMT ‘Diving School’ Cipta Sejarah Terima Lima Bintang
KUALA TERENGGANU, 29 Ogos -Pusat Selam Skuba Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menjadi universiti pertama di negara ini mendapat pengiktirafan lima bintang daripada Scuba School International (SDI) pada 23 Ogos lalu.
Naib Canselor UMT, Prof. Datuk Dr. Mazlan Abd. Ghaffar berkata, pengiktirafan ini memberi impak secara langsung kepada UMT yang menjadi pelopor kepada aktiviti selaman selamat yang berteraskan garis panduan dan piawaian yang digariskan oleh badan antarabangsa.
Katanya, UMT juga akan memainkan peranan dalam mendidik masyarakat menghargai ekosistem marin.
“Ini termasuk dalam mendidik masyarakat untuk menghargai populasi hidupan marin seperti spesis ikan Inggu dan mengawal aktiviti pencerobohan khususnya melalui aktiviti selam skuba di Pulau Bidong yang penuh dengan warisan sejarah, keunikan alam semulajadi dan arkeologi bawah air.
“Sementara itu, UMT Diving School akan terus diperkasa bagi menyokong pelaksanaan proses pengajaran, pembelajaran dan penyelidikan, bertepatan dengan bidang tujahan UMT,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.
Selain itu, beliau berkata, UMT merupakan universiti awam pertama yang memperolehi ISO 9001:2015 (Kualiti Sistem Pengurusan) bagi pengurusan latihan berkaitan perlesenan skuba perkhidmatan pendidikan.
“Rentetan daripada pensijilan ISO tersebut, UMT Diving School telah memperolehi sijil pengiktirafan Malaysia Book of Records.
“Wakil daripada UMT Diving School telah mewakili Malaysia di bawah Jabatan Standard Malaysia bagi membangunkan ISO peringkat dunia berkaitan selaman scuba,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Pusat Perkhidmatan Penyelidikan dan Lapangan (PPPL) UMT, Prof. Madya Dr. Hasrizal Shaari berkata UMT Diving School akan mengorak langkah bagi memperkasakan beberapa bidang selaman skuba yang penting iaitu selaman berkonsepkan edu-tourism, arkeologi bawah air, latihan-latihan selaman berfokus, penyelam perubatan dan selaman saintifik.
“Perancangan jangka panjang UMT Diving School adalah untuk mendapatkan pengiktirafan daripada agensi-agensi kerajaan dan badan antarabangsa sebagai pusat latihan terkemuka di dalam bidang selaman scuba,” ujarnya.
Sebelum ini, Stesen Penyelidikan Alami Marin, Pulau Bidong telah dianugerahkan hak milik pajakan sementara atau TOL selama 99 tahun oleh Kerajaan Negeri Terengganu kepada UMT bagi menyokong aktiviti kurikulum, kokurikulum dan penyelidikan
Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin mencemar duli merasmikan pusat selam tersebut di Stesen Penyelidikan Alami Marin UMT, Pulau Bidong, pada 8 Ogos baru-baru ini.
29 Aug 22
396
Penggerak Popularkan Kembali Laluan Mat Kilau
KUALA TERENGGANU, 29 Ogos- Persatuan Penggerak Rekreasi Terengganu (Penggerak) bakal menghidupkan kembali laluan asal Mat Kilau, dari Kampung Bantal di Ulu Tembeling Jerantut, Pahang ke Kampung Pasir Raja di Hulu Dungun.
Pengerusi Penggerak, Syed Mohd. Yasni Syed Yassin berkata, ekspedisi itu juga dapat membantu kerajaan Terengganu dan Pahang merancang pembangunan dan nilai tambah eko pelancongan negeri masing-masing.
Katanya, ia juga dapat membantu serta meningkatkan taraf sosio ekonomi penduduk setempat melalui penyediaan pakej laluan sebagai pemain industri pelancongan tempatan.
“Saya difahamkan aktiviti rekreasi mendaki gunung, menjelajah denai hutan dan menyusuri sungai yang mencabar semakin meningkat sejak akhir-akhir ini.
“Justeru itu, langkah kerajaan untuk memulihara semula tinggalan sejarah ini sangat tepat kerana ia juga adalah destinasi flora dan fauna yang unik untuk pencinta alam semula jadi di negara ini,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Terdahulu, Syed Mohd Yasni berkata, Penggerak juga telah mengadakan satu ekspedisi laluan Jejak Mat Kilau itu bersama sekumpulan peminat sukan lasak dan ekstrem dari Terengganu dan Pahang, baru-baru ini.
Menurut beliau, ekspedisi laluan asal Mat Kilau mencabar ketahanan mental dan fizikal peserta melibatkan jarak sejauh kira-kira 70 kilometer dan perjalanan mengambil masa selama dua hari.
“Ekspedisi hari pertama dimulakan dari Kampung Bantal dengan menaiki bot selama tiga jam ke Kuala Lurut, kemudian berjalan kaki mengharungi beberapa sungai yang mengambil masa empat jam sebelum sampai ke tapak perkhemahan di Pokok Durian untuk bermalam.
“Hari kedua pula, peserta ekspedisi melalui denai hutan dan laluan haiwan rimba untuk menuju ke beberapa checkpoint iaitu Sungai Kemala, Bukit, Pecah Pinggang, Bukit Mandi Angin, Lata Keling dan Lata Kundang sebelum dibawa menaiki kereta pacuan empat roda untuk tiba ke Pasir Raja,” ujarnya.
Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Negeri, Ariffin Deraman berkata Kerajaan negeri akan bekerjasama dengan Pahang untuk mengetengahkan laluan Mat Kilau sebagai produk pelancongan dua hala antara dua negeri.
Katanya, jika direalisasikan, ia mampu membawa masyarakat ke sudut sejarah yang berbeza dengan menjejaki laluan yang pernah dilalui oleh Mat Kilau semasa perjuangannya menentang British suatu masa dahulu.
29 Aug 22
741
TADC Lahirkan Usahawan Muda Dalam Bidang Ternakan Kambing
Terengganu Agrotech Development Corporation Sdn Bhd (TADC) kini memberi peluang kepada golongan muda yang berminat dalam penternakan kambing tenusu bagi tujuan penghasilan susu, baka dan daging.
29 Aug 22
241
Program PROSPEK KETENGAH Manfaatkan Lebih 3 Ribu Penduduk
DUNGUN, 29 Ogos – Lebih 3,000 penduduk menerima manfaat dibawah Projek Bersepadu Pembangunan Ekonomi Kampung (PROSPEK) di wilayah Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah)
Pengurus Besar Ketengah, Dato' Tengku Ahmad Nadzri Tengku Musa, berkata ia merupakan projek di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) yang memfokuskan perkampungan sedia ada dalam membangunkan ekonomi, insfastruktur dan modal insan.
“Komponen PROSPEK di KETENGAH ialah ternakan, ekonomi, perumahan, prasarana asas, pelancongan dan modal insan.
“Kampung yang terbabit ialah Kampung Pasir Raja, Kampung Shukor, Kampung Jongok Batu, Kampung Kuala Jengal, Kampung Minda dan Kampung Talong yang telahpun memberi manfaat kepada seramai 3,018 orang penduduk,”katanya kepada pemberita ketika merasmikan Program Keluarga Malaysia Kampung PROSPEK Wilayah KETENGAH di Dataran Kejat, Kampung Pasir Raja baru-baru ini.
Hadir sama ialah Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Tanah dan Wilayah, KPLB, Tarmizi Ab Rahman.
Dalam masa yang sama, Tengku Ahmad Nadzri turut menyampaikan bantuan premis perniagaan (IKS) dengan peruntukan berjumlah RM150,000 kepada 30 orang penerima (RM5,000 seorang) dan seramai tujuh orang penduduk melalui Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dengan peruntukan sebanyak RM392,000.
29 Aug 22
244
65 Peluncur Udara 'Terbang' Sebar Semangat Merdeka
Seramai 65 peluncur melakukan penerbangan luncur udara 'Merdeka Fun Fly' sempena 65 tahun kemerdekaan di Bukit Bubus.
28 Aug 22
147
Menang Atau Kalah, Terengganu Cuti 11 September
Kerajaan Terengganu bersetuju untuk mengisytiharkan cuti peristiwa pada 11 September 2022 sempena perlawanan akhir Piala FA 2022 antara Terengganu FC (TFC) dan Johor Darul Ta’zim (JDT) .
28 Aug 22
282
Jaga Kebersihan Sungai Tanggungjawab Bersama
BESUT, 28 Ogos- Segenap lapisan masyarakat perlu bersama-sama menjaga kebersihan sungai yang merupakan pembekal sumber air kepada manusia agar kebersihannya akan terus terpelihara.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh berkata, walaupun kebersihan sungai di negeri ini masih terkawal, anggota masyarakat dan komuniti khususnya tidak boleh memandang remeh isu kelestarian sungai.
“Sungai ini perlu kita jaga dengan baik terutama berkaitan dengan sumber air, kita tidak mahu mencemarkan sungai-sungai yang ada ini kerana sudah tentu akan menyukarkan komuniti dan generasi akan datang.
“Bagi menghargai kepentingan, tingkat kesedaran dan galak masyarakat terlibat dalam penjagaan sungai bermula tahun 2005, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah menetapkan hari Ahad keempat pada bulan September setiap tahun sebagai Sambutan Hari Sungai Sedunia,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Sambutan hari Sungai Sedunia yang bertemakan ‘Alur Air Dalam Komuniti’ anjuran Jabatan Pengairan Dan Saliran Negeri Terengganu di Bukit Bubus, disini, hari ini.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Pengairan Dan Saliran Negeri Terengganu, Hanizan Deraman.
Menurut Dr Mamad, sambutan hari sungai juga bertujuan memupuk semangat tanggungjawab bersama di antara kerajaan dan rakyat dalam memastikan persekitaran yang lestari khususnya di kawasan badan air.
“Dengan adanya sungai yang terjaga ianya dapat meningkatkan kualiti air supaya menjamin kecukupan sumber air,” ujarnya.
Sementara itu, Hanizan berkata, aktiviti yang diadakan sempena sambutan hari sungai kali ini seperti program kutip sampah sambil riadah secara tidak langsung dapat dan menyemai sikap bertanggungjawab dalam kalangan masyarakat supaya menjaga sungai dan alam sekitar.
“Tujuan kita buat program ini adalah untuk mendidik semua lapisan masyarakat, pemain industri, restoran, pelajar universiti dan lain-lain untuk bersama-sama mnejaga kebersihan sungai serta alur-alur sungai.
“Kita akan berterusan mendidik demi kelestarian sungai untuk generasi akan datang," ujarnya.
28 Aug 22
415
1,000 Ayam Segar RM10 Seekor 'Licin' Dalam Dua Jam
HULU TERENGGANU, 27 Ogos - Tidak sampai dua jam, 1,000 ekor ayam standard dengan harga RM10 seekor habis terjual pada Karnival Terengganu Maju Berkat Sejahtera (TMBS) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Berang, di sini, hari ini.
Urusetia aktiviti jualan murah, Mohd. Zainal Abidin Ahmad berkata, setiap ekor ayam seberat antara 1.8 kilogram hingga dua kilogram dijual lebih murah berbanding pasaran.
Katanya, sebahagian harga ayam yang dijual itu ditanggung oleh pihak penganjur karnival tersebut mengurangkan bebanan rakyat dalam berdepan kos sara hidup hari yang semakin tinggi.
"Setiap pembeli hanya dibenarkan membeli dua ekor ayam sahaja bagi memberi peluang kepada lebih ramai pengunjung dapatkan bahan mentah itu.
“Kita terpaksa mulakan lebih awal aktiviti jualan berikutan telah ramai pengunjung beratur tidak mahu lepaskan peluang bagi mendapatkan ayam segar yang ditawarkan,” katanya ketika ditemui di Dataran Pasar Tani, Kuala Berang.
Sementara itu, seorang pengunjung, Samira Alias, 42, berkata seawal jam 10 pagi, dia sudah datang untuk beratur bagi mendapatkan ayam.
"Program seperti ini sangat dinantikan kerana kami dapat membeli ayam yang merupakan salah satu keperluan dapur dengan harga yang lebih murah.
"Saya harap program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang kerana ia membantu meringankan beban kami sekeluarga," katanya ketika ditemui pada program itu, hari ini.
Karnival TMBS DUN Kuala Berang berlangsung selama tiga hari bermula semalam anjuran Kerajaan Negeri Terengganu dan Pejabat ADUN Kuala Berang dengan pelbagai aktiviti menarik termasuk cabutan bertuah dengan hadiah utama dua buah motosikal.
27 Aug 22
296
Kerajaan Fokus Dakwah di Kawasan Pedalaman, Pulau
BESUT, 29 Ogos - Kerajaan tidak meminggirkan rakyat di kawasan pedalaman dan pulau dalam semua bidang termasuk segmen dakwah.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, pihaknya selama ini menjadikan agenda dakwah itu sebagai suatu keutamaan dalam membangunkan masyarakat di negeri ini untuk menghayati ajaran Islam yang syumul.
Selain itu katanya, tumpuan yang diberikan ke kawasan pedalaman dan pulau-pulau juga adalah untuk memastikan aktiviti dakwah di lokasi terbabit berkembang.
"Antara tujuan kita gerakkan kerja dakwah ini bertemu dan berjumpa dan mendampingi penduduk-penduduk di pulau ini untuk mengingatkan mereka akan memakmurkan rumah Allah dan menghidupkan (masjid), supaya mereka berminat untuk menghadiri majlis ilmu dan ambil cakna tentang agama itu sendiri.
"Melalui 'street dakwah' yang dijadikan antara pengisian program pada hari ini juga untuk bersatu dalam penyatuan ummah dari pelbagai lapisan masyarakat kita satukan pada hari ini.
"Di samping itu juga tujuan kita adalah untuk memperkukuhkan maklumat mereka mengenai pelbagai usaha dilakukan oleh kerajaan pada hari ini melalui aktiviti 'Chit Chat' (sembang santai) pada malam ini, dengan melalui program yang telah disusun ini kita dapat turun terus ke kampung untuk memberi ruang kepada masyarakat untuk bertanya apa sahaja yang berkait dengan agenda serta perancangan kerajaan,"ujarnya.
Beliau berkata demikian, ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), ketika hadir pada Program Jelajah Akademi Didik Ulama dan Amilin Terengganu (DUAT), di sini, kelmarin.
Katanya, melalui program berkenaan juga menjadi platform bagi menyampaikan mesej kerajaan negeri selama ini dalam menjaga kepentingan rakyat.
"Pada program ini juga kita telah menghimpukan 40 orang ustaz-ustaz kita untuk turun menyantuni komuniti dan program seumpama ini akan terus dilakukan dimana selepas ini tumpuan kita akan beralih pula ke kawasan yang berada jauh di pedalaman, kemaman.
"Selama ini kita melihat di kawasan bandar telah menunjukkan perkembangan yang baik dengan meningkatnya majlis ilmu, jadi bagi memastikan ia seiring maka kita fokuskan juga di kawasan pedalaman,"ujarnya lagi.
27 Aug 22
291
Terengganu FC Harap Tuah Bukit Jalil
KUALA TERENGGANU, 26 Ogos - Pasukan Terengganu Football Club (Terengganu FC) menjadi harapan seluruh rakyat Terengganu untuk menjulang kembali Piala FA 2022 setelah kali terakhir menjuarainya pada tahun 2011.
Rata-rata penyokong gembira apabila Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) menjadi lokasi pilihan berlangsungnya perlawanan akhir Piala FA edisi ke-32 antara Terengganu FC dan Johor Darul Ta'zim (JDT).
Ini kerana, perlawanan penuh berprestij itu mengembalikan nostalgia yang tercipta 11 tahun yang lalu di mana Sang Penyu berjaya membawa pulang Piala FA setelah menewaskan Kelantan 2-1 dalam pertembungan epik 'derby' pantai timur.
Malaysian Football League (MFL) baru-baru ini memaklumkan, stadium keramat itu telah diputuskan dijadikan tempat berlangsungnya perlawanan terbabit setelah mendapat kelulusan daripada Perbadanan Stadium Malaysia (PSM).
Sebelum ini, PSM mengumumkan penutupan SNBJ bagi sebarang aktiviti bola sepak untuk melakukan kerja-kerja penyelenggaraan termasuk baik pulih padang MFL amat berterima kasih atas kerjasama pihak PSM.
Pemilihan SNBJ bukan hanya faktor padang dijadikan keutamaan tetapi juga elemen yang amat penting seperti kemudahan dan perlindungan untuk penyokong kedua-dua pasukan, akses kepada perkhidmatan awam dan ruang yang luas di sekeliling stadium yang akan membolehkan operasi keselamatan dikawal.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Stuart Ramalingam, berkata pemilihan venue itu turut memberi penekanan daripada segi pengelolaan perlawanan, penyiaran, komersial dan juga kapasiti stadium yang akan membolehkan setiap finalis menjana pendapatan sebanyak mungkin daripada penganjuran ini.
"Anatara elemen menjadi perhatian MFL adalah keadaan padang SNBJ dan kami mendapat jaminan daripada PSM mereka komited dan akan memastikan penjagaan padang di tahap terbaik menjelang aksi kemuncak itu nanti.
"Buat masa ini, SNBJ satu-satunya stadium yang mampu memuatkan 80,0000 penyokong dalam satu-satu masa dan berada dalam keadaan selamat untuk digunakan. Ini amat penting kerana kita tahu permintaan penyokong kedua-dua pasukan amat tinggi untuk menyaksikan final di stadium.
"Selain itu, MFL juga menjemput wakil kedua-dua pasukan untuk memeriksa keadaan padang pada 12 Ogos lalu bersama dengan pihak pengurusan PSM bagi mendapatkan pandangan serta jaminan daripada PSM sendiri mengenai penyediaan padang SNBJ untuk perlawanan akhir nanti. Hasil pertemuan itu, semua pihak bersetuju untuk berkerjasama dalam memastikan keadaan padang di tahap terbaik.
"MFL juga tidak boleh berkompromi dalam aspek keselesaan dan keselamatan, kita (juga) sedia maklum SNBJ memiliki fasiliti terbaik di dalam dan di luar termasuk akses pengangkutan awam ke venue ini,"katanya.
Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif TFC, Ab Rasid Jusoh berterima kasih kepada pihak MFL kerana telah memilih SNBJ sebagai venue terbaik untuk perlawanan bersejarah itu.
Beliau yakin dengan tarikh yang diberikan itu juga TFC akan mempunyai persiapan yang cukup bagi bertemu JDT dan memastikan pemain akan bermain sehabis baik untuk perlawanan ini.
"Sememangnya kita mengharapkan kejayaan pasukan yang kita sokong sesuai dengan slogan kita 'win back mission' kerana TFC dahahakan kemenangan yang kali terkahir dimenangi pada 2011 yang mana ia akan turut melayakkan pasukan TFC bertanding di piala AFC.
"Namun andainya keputusan sebaliknya saya juga berharap semoga para peminat TFC yang saya sayangi ini sentiasa menjaga tatasusila adat budaya orang Pantai Timur perlu berlapang dada dan mempunyai sifat profesional yang tinggi supaya tidak berlaku rusuhan," ujarnya.
26 Aug 22
2460