Artikel "Semasa" Terkini
Lebih 60 Ribu Mohon Program Peranti Siswa Fasa Kedua
BESUT, 8 September - Seramai 65,898 ribu pelajar institut pengajian tinggi (IPT)telah memohon Pakej Peranti Siswa Keluarga Malaysia khusus bagi daripada golongan B40 bagi fasa kedua dalam masa sebulan sejak ia mula dibuka pada 1 Ogos lepas.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, berkata dari jumlah itu, sebanyak 45,341 permohonan diluluskan dan telah menerima
Peranti Siswa masing-masing.
Katanya, dalam masa yang sama, terdapat 20,557 permohonan sedang diproses untuk diluluskan.
"Di seluruh negara kita ada 1.6 juta pelajar yang mana terdapat lebih 300,000 ribu dari kalangan pelajar B40.Jadi kami minta pelajar yang layak dan belum lagi memohon supaya berbuat demikian sebelum 30 September ini.
"Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) di setiap institusi pendidikan tinggi (IPT) juga perlu memainkan peranan dan menguar-uarkan kepada para pelajar yang layak supaya segera memohon Inisiatif Peranti Siswa,"ujarnya.
Beliau berkata demikian di sidang media selepas merasmikan Kompleks Akademik & Pentadbiran, Perpustakaan Al-Wathiqu Billah, Taman Rimba Ilmu Tanah Bris dan Agroprenuer Incubator Park bertempat di UniSZA kampus Besut (UKB), di sini hari ini.
Sementara itu, sebanyak 3,156 permohonan Peranti Siswa di Terengganu telah diluluskan yang mana 150 pelajar UniSZA menjadi kumpulan pertama menerima tablet tersebut di Terengganu pada hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, telah mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju untuk memberi terus tablet Peranti Siswa kepada semua pelajar tanpa perlu memulangkan semula peranti itu apabila tamat pengajian.
08 Sep 22
567
Kain Rentang Gergasi 'Ninja Turtles' Beri Semangat Buat TFC
MARANG, 8 September - Sembilan pemuda dari Kampung Bukit Kor, Rhu Rendang di sini menyiapkan kain rentang gergasi 'Ninja Turtles' bersaiz 40' x 10' yang memaparkan perkataan 'Setiaku Hitam Putih #Bukit Kor Hadir' bagi menaikkan semangat pemain Terengganu Football Club (TFC) di pentas akhir Piala FA.
Mewakili kumpulan anak muda terbabit, Mohamad Fariq Hamidi Mohd Sukri, 27 berkata sebanyak RM500 dibelanjakan untuk menyiapkan kain rentang tersebut.
Katanya, kain rentang itu akan dinaikkan di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada Sabtu ini.
"Kami juga seperti yang lain, bersemangat untuk turut bersama di SNBJ yang mana bahangnya kian terasa.
"Pemilihan perkataan 'setiaku hitam putih' pada kain rentang ini bermaksud kami merupakan penyokong setia bersama pasukan kesayangan ramai ini tanpa mengira di saat jatuh bangun.
"Ninja turtles ini pula bermaksud pejuang dan wira yang menjadi simbolik kepada pasukan ramai ini, bahawa kita memiliki kekuatan kita sendiri yang pastinya seluruh pemain akan bermain dengan sepenuh hati pada malam itu, dan akhirnya dapat membawa pulang piala yang kali terakhir kita memenanginya pada tahun 2011,"ujarnya ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) semalam.
Mengulas lanjut, katanya dia akan ke SNBJ bersama 44 orang kampung dengan menaiki sebuah bas yang telah disewa khas.
"Saya secara peribadi memang berharap agar pasukan kita ini mampu mengalahkan JDT dengan bergaya, sekali gus mengulangi sejarah 2011 yang ketika itu saya juga turut hadir walaupun masih remaja pada ketika itu.
"Serta pada tahun 2018 ketika pasukan dapat pergi ke pentas akhir Piala Malaysia saya juga turut menyaksikannya, boleh dikatakan semua perlawanan saya pergi apatah lagi apabila melibatkan perlawanan penting seumpama 'final' piala FA yang penuh berprestij ini," ujarnya.
Dalam pada itu katanya, kenyataan dikeluarkan oleh Pengurus Pasukan TFC, Mohd Fadhil Wahab katanya tidak perlu dijadikan kontroversi sebaliknya ia merupakan nasihat yang baik.
"Dalam kegembiraan kita untuk pergi ke SNBJ bagi memberi sokongan kepada pasukan kita, solat adalah perkara paling asas untuk dititikberatkan dan menjadi tanggungjawab semua untuk dilaksanakan oleh semua umat Islam tanpa mengira siapa dan di mana berada perlu melaksanakan tanggungjawab itu," ujarnya lagi.
08 Sep 22
1153
KIAM Cungkil Bakat Pelapis Kepimpinan
KEMAMAN, 6 September - Kem Impak Belia Darul Iman (KIAM) bagi peringkat Dewan Undangan Negeri Permaisuri telah selesai diadakabaru-baru ini dengan penyertaan seramai 77 orang peserta.
Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri Permaisuri, Zul Bhari A Rahman berkata, KIAM merupakan kem yang sangat baik dalam membentuk bakat pelapis kepimpinan melalui pelbagai modul dan latihan yang diikuti oleh para peserta.
"Tahniah diucapkan kepada peserta yang terpilih menyertai kem ini, dalam ribuan anak muda adik-adik terpilih sebahagian daripada mereka bermakna inilah peluang yang terbaik yang mesti direbut.
"Syabas dan tahniah juga diucapkan kepada Akademi Kepimpinan Al-Fateh yang telah mengendalikan kem ini dengan sebaik mungkin bermula dari awal sehingga akhir,"ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutup di Darul Iman Training Centre (DITC), Teluk Kalong, Kemaman.
Terdahulu kem yang bermula Sabtu lepas menghimpunkan peserta berumur antara 18 sehingga 22 tahun.
Hadir sama, Sulaiman Sulong, Ahli Dewan Undangan Negeri Pengkalan Berangan yang menyempurnakan majlis penutup dan penyampaian hadiah.
KIAM yang mensasarkan penyertaan anak-anak remaja merupakan platform terbaik dalam membentuk pembangunan Belia Terengganu yang sejahtera dan bakal memberi impak terbaik dalam aspek agama, masyarakat dan negara.
07 Sep 22
377
Kerajaan Negeri, JAKIM Buka Lembaran Usaha Dakwah
Kerajaan negeri melalui Exco Dakwah dan agensi-agensi yang bernaung di bawahnya bersama Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) membuka ruang kerjasama menyemarakkan agenda dakwah antara kerajaan Persekutuan dan negeri.
07 Sep 22
197
Hasil Jualan ‘Penyu’ Cecah RM7,000 Sehari
KUALA TERENGGANU, 6 September- Cuti persekolahan kali ini memberi limpahan rezeki buat peniaga Pasar Besar Kedai Payang (PBKP) apabila hasil jualan mereka laris dengan keuntungan berlipat kali ganda berbanding hari-hari biasa.
Bagi peniaga terlibat, rezeki dinikmati itu disambut dengan penuh kesyukuran setelah perniagaan yang mereka usahakan terjejas teruk ketika pandemik COVID-19 melanda negara.
Seorang peniaga barangan cenderahati, Wan Esah Wan Daud, 62, antara peniaga yang mampu tersenyum lebar apabila perniagaannya membawa keuntungan besar pada musim cuti persekolahan penggal kedua yang bermula 2 September lalu.
Katanya, dengan hanya menjual patung penyu di samping barangan cenderahati lain untuk dibawa pulang sebagai kenangan oleh pengunjung, dia mampu meraih hasil jualan antara RM7,000 hingga RM8,000 sehari.
“Alhamdulillah, pada musim cuti sekolah biasanya ramai pengunjung dari luar Terengganu ke pasar payang dan patung penyu antara yang jadi pilihan untuk dijadikan cenderahati.
“Harga patung penyu yang makcik jual pula berpatutan bergantung kepada saiz dan kualiti,” ujarnya kepada pemberita Urus Setia Penerangan Darul Iman ketika mengadakan tinjauan ke PBKP hari ini.
Perkara sama turut dikongsi Hayati Mat Zin, 54, yang mengakui musim cuti memberikan limpahan rezeki berganda buat peniaga seperti mereka.
“Biasanya ‘cuti sekejap-sekejap’ seperti cuti sekolah seminggu, cuti hari raya dan lain-lain, kunjungan orang ramai ke pasar payang memang luar biasa sehingga saya tidak menang tangan melayan pembeli,” ujarnya yang menjual pelbagai jenis keropok dan buah-buahan.
Sementara itu, Izan Ida Juli Sulong, 45 , berkata, pelbagai kuih muih dan makanan tradisi Terengganu seperti rojak kateh, tapai ubi, nganang, lok lik dan sebagainya menjadi pilihan pengunjung sekaligus meningkatkan pendapatan peniaga makanan tradisi sepertinya.
“Sambutan orang ramai terhadap jualan kuih muih dan makanan tradisi sangat hebat dan memberangsangkan.
“Mungkin mereka antara perantau yang merindui masakan Terengganu,” ujarnya.
06 Sep 22
2591
Kotor, Kedai Ikan Celup Tepung Diarah Tutup
SETIU, 5 September – Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) mengarahkan sebuah premis makanan laut yang sinonim dengan produk ikan celup tepung di daerah ini di tutup tidak melebihi 14 hari di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983 kerana tidak mencapai tahap kebersihan yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Pengarahnya, Datuk Dr Kasemani Embong berkata, arahan itu dikeluarkan dalam Operasi Persisir Pantai Daerah Setiu yang diadakan di daerah berkenaan semalam.
“Sebanyak 24 premis makanan di sepanjang Jalan Pantai bermula dari Kampung Penarik sehingga Kampung Rhu Sepuluh telah diperiksa di mana satu premis diarahkan ditutup kerana tahap kebersihan premis dibawah tahap minimum yang ditetapkan iaitu berada dibawah markah penilaian 60 peratus.
“Kita juga dapati persekitaran premis makanan tidak bersih dan tidak terurus, pengendali makanan yang tidak diketahui status kesihatan dan tiada pelalian anti-tifoid serta tidak menitik beratkan kebersihan diri.
“Selain daripada itu, sebanyak 23 notis kehadiran di mahkamah bagi kesalahan yang boleh dikompaun di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 telah dikeluarkan dengan jumlah nilai kompaun sebanyak RM7,200,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dr Kasemani juga berkata, pemantauan dan tindakan penguatkuasaan melalui perlaksanaan sepenuhnya Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 akan diadakan secara berterusan bagi melindungi kepentingan awam.
“Pemeriksaan secara berterusan itu juga bertujuan untuk mendidik warga penjaja dan peniaga supaya mengamal dan mengutamakan kebersihan di premis masing-masing pada setiap masa.
“Dalam masa yang sama, orang ramai dinasihatkan supaya memilih premis makanan yang bersih dan sentiasa amalkan tabiat perhati dan pilih sebelum melanggan makanan di premis makanan tertentu,”ujarnya.
05 Sep 22
10988
22 Lokasi Berisiko Kepala Air Di Terengganu
SETIU, 5 September- Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu mengenal pasti 22 pusat peranginan dan perkelahan di seluruh negeri yang berisiko dilanda fenomena kepala air.
Pengarahnya, Md Hilman Abd Rashid seperti yang dipetik dalam laporan Bernama memaklumkan, antara lokasi terbabit ialah Air Terjun Lata Tembakah, Air Terjun Lata Belantan, Kolam Air Panas (La Hot Spring) dan Lata Kolam Air Deru Ecopark di Besut.
"Di Setiu pula, lokasi yang dikenal pasti ialah Lata Ulu Kasar, Lata Ulu Kekabu, Lata Chakah dan Lata Payung manakala di Hulu Terengganu pula Air Terjun Sekayu, Air Terjun Juwita, Air Terjun Soak, Air Terjun Lasir dan Air Terjun Belukar Bukit.
"Selain itu, kita juga kenal pasti kawasan di Dungun yang berisiko iaitu Sungai Loh, Sungai Kelemin, Air Terjun Langsir, Air Terjun Chemerong dan Air Terjun Lubuk Kain. Di Kemaman pula ialah Hutan Lipur Menderu, Air Terjun Jeram Tanduk, Sungai Air Puteh dan Sungai Cherul," katanya kepada pemberita semalam selepas meninjau keadaan di Lata Ulu Kasar, Sungai Tong yang dilanda fenomena kepala air pada Jumaat lepas.
Sehubungan itu, beliau menyeru pengunjung ke kawasan rekreasi air supaya peka terhadap empat petanda awal fenomena tersebut iaitu bunyi deruan air yang kuat, perubahan air daripada jernih kepada keruh, air menjadi berbuih serta membawa sampah dan peningkatan paras air secara mendadak.
Md Hilman berkata, jika pengunjung dapat mengenal pasti satu daripada petanda awal itu, mereka akan sempat menyelamatkan diri sekiranya fenomena kepala air berlaku.
Beliau juga berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) di lokasi berisiko diseru supaya meletakkan papan tanda mengenai bahaya kepala air dan petanda awal fenomena itu.
"Tetapi kita pun tidak boleh harapkan PBT atau pihak berkuasa semata-mata untuk sentiasa mengingatkan orang ramai... Orang ramai perlu jaga diri sendiri dan berada dalam keadaan peka setiap masa. Kalau tengok kejadian pada Jumaat lepas, ada pengunjung meletakkan kenderaan di atas laluan air, jadi sudah tentu mereka tidak akan sempat menyelamatkan kenderaan padahal PBT telah menyediakan parkir di kawasan yang lebih selamat," katanya.
Jumaat lepas, seramai 32 individu termasuk 13 kanak-kanak berjaya diselamatkan selepas terperangkap dalam kejadian kepala air di Lata Ulu Kasar.
Ketua Polis Daerah Setiu DSP Afandi Hussin berkata insiden pada kira-kira 5.30 petang itu menyaksikan fenomena kepala air melanda tempat orang ramai beriadah, mandi-manda dan berkhemah sehingga menyebabkan enam kereta turut terperangkap.
05 Sep 22
2227
Kerajaan Negeri Nilai Keseluruhan Cadangan Bajet 2023
Kerajaan negeri akan menilai secara keseluruhan cadangan bajet rakyat Terengganu termasuk yang diutarakan menerusi portal eBajet2023 di pautan http://ebajet.terengganu.gov.my/ .
04 Sep 22
191
Terengganu Bantu Cari Kerja Untuk Bekas Penagih
Kerajaan negeri melaksanakan satu langkah proaktif dalam membantu bekas penagih untuk mendapatkan pekerjaan bagi menyara kelurga selepas golongan terbabit sentiasa dipinggirkan sebaik keluar dari pusat pemulihan dadah.
04 Sep 22
119
SMK Tengku Mahmud Cipta Kertas Daripada Batang Pisang
Lima orang pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Mahmud yang mencipta kertas daripada batang pokok pisang mendapat pengiktirafan dunia apabila memenangi Pertandingan Inovasi T'the 7Th International Invention Inovation Competition In Canada (ICAN 2022).
04 Sep 22
841