Artikel "Semasa" Terkini
Pertemuan Rasmi MN Sedang Diusahakan
KUALA TERENGGANU, 15 September - Pertemuan rasmi dalam kalangan kepemimpinan Muafakat Nasional (MN) sedang diusahakan bagi menyuburkan kembali hubungan antara dua parti besar Melayu iaitu PAS dan UMNO.
Naib Presiden PAS yang juga Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pertemuan itu merupakan langkah untuk berbincang dan mencari jalan kembali kepada titik permulaan asal penubuhan gagasan itu sekali gus mengukuhkan kembali hubungan bagi berdepan cabaran pada masa akan datang.
"Hubungan di peringkat peribadi dengan kepimpinan parti yang berbeza ini sedang berjalan, tinggal lagi pertemuan secara rasmi. Itu sedang kita usahakan.
"Kita tengoklah macam mana. Kita harap masing-masing boleh merendahkan ego masing-masing untuk duduk dan bekerja ke arah mencari titik pertemuan perkara yang dipersetujui sebelum ini," katanya selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Elaun Tunggakan Imam Dan Bilal Masjid Mukim Negeri Terengganu di Wisma Darul iman, semalam.
Menurut beliau, PAS sentiasa berusaha akan tanpa henti untuk mencapai perpaduan yang menyeluruh dalam masyarakat setelah sekian lama melihat masyarakat Melayu mempunyai pandangan parti yang berbeza-beza.
"Kita tidak nafikan itu adalah hak dalam perlembagaan tetapi berseteru sehingga menimbulkan ketidaksefahaman dalam kalangan masyarakat kita di peringkat bawah adalah merugikan orang Melayu Islam sendiri.
"Sebab itulah, sementara ruang ada dan muafakat itu kita telah bentuk tiga tahun lalu dan ditambah dengan muafakat di peringkat Perikatan Nasional (PN), sudah tentu kita tidak ingin mensia-siakan peluang yang ada untuk kita menyatupadukan keseluruhan orang Islam, orang Melayu yang ada dalam negara kita," ujarnya.
Ahmad Samsuri menegaskan, penyatuan itu adalah jalan terbaik bagi mendepani cabaran dunia yang semakin hebat pada masa akan datang.
Justeru katanya, usaha mempertahankan MN akan diteruskan dan langkah mencari jalan untuk duduk dan berbincang dalam kalangan dua parti itu wajar dilakukan pada masa ini.
"Jika duduk bincang perkara yang berbeza, sampai bila pun kita tak boleh nak selesai masalah kerana masing-masing dengan hujah dan perbahasan masing-masing.
"Tetapi, kalau kita bincang titik pertemuan kita dahulu, titik kerjasama yang pernah berlaku dahulu, saya yakin ia boleh dilakukan kerana setiap daripada kita sama ada parti besar atau kecil hendaklah merendahkan ego masing-masing dan melihat objektif yg lebih besar demi keharmonian dalam masyarakat kita. Itu adalah lebih baik," ujarnya.
Hubungan antara MN dilihat semakin hambar berikutan beberapa isu besar yang melibatkan perbezaan pandangan antara pemimpin utama kedua parti itu.
Bagaimanapun, berdasarkan kenyataan dikeluarkan mewakili kedua-dua parti itu, mereka dilihat masih tetap dengan pendirian bahawa MN masih bernafas dan jalinan yang dimeterai sebelum ini boleh diselamatkan," jelasnya.
15 Sep 22
825
Isteri Bilal Terharu Terima Tunggakan Elaun RM64,175 Arwah Suami
KUALA TERENGGANU, 15 September - "Walaupun sudah enam tahun suami meninggal dunia, kerajaan negeri tetap berusaha mengembalikan hak kepada imam dan bilal. Terima kasih tidak terhingga kerana membantu saya sekeluarga dan mereka yang dinafikan hak sebelum ini," kata Ngah Osman.
Ngah, 74, dari kampung Kolam Kuala Ibai, dekat sini, mengaku sebak dan terharu apabila menerima elaun tunggakan sebanyak RM64,175 bagi pihak arwah suaminya yang pernah berkhidmat sebagai bilal di masjid kampung itu dan disifatkan sebagai rezeki tidak disangka-sangka.
Katanya, arwah suami Ismail Abas yang juga seorang nelayan meninggal dunia setelah 12 tahun menderita sakit jantung diusia 74 tahun.
“Syukur sangat dengan bayaran tunggakan elaun ini, saya berniat untuk gunakannya bagi mengerjakan umrah,” ujarnya ketika ditemui pemberita, semalam.
Terdahulu, ibu kepada empat anak itu menjadi antara 12 penerima di Majlis Penyerahan Elaun Tunggakan Imam Dan Bilal Masjid Mukim Negeri Terengganu di Wisma Darul iman, disini.
Bayaran tunggakan itu disempurnakan Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar melibatkan peruntukan sebanyak RM242,925.
Sementara itu, Mohd Zulkifli Kadir, 52, yang bertugas sebagai Imam Masjid Kampung Bukit Puteri Dalam, Besut turut menzahirkan penghargaan terhadap keprihatinan kerajaan negeri.
“Saya amat terharu dengan pemberian ini. Bermula 2005 hingga 2011 saya berkhidmat dengan rela hati. Bayangkan, elaun bulanan tidak dibayar tanpa sebarang notis ketika itu.
“Terima kasih khususnya kerajaan yang baru ini kerana cakna terhadap rakyat,” katanya.
Menurut Zulkifli, sebagai imam yang hanya membuat kerja-kerja kampung untuk menampung kehidupan seharian, pemotongan elaun ketika itu amat memberi kesan kepada dia sekeluarga.
“Anak ramai dan ada yang masih bersekolah, memang terasa bila elaun sebagai imam dipotong, sepatutnya ia tidak berlaku, lebih-lebih lagi kita sesama Islam,” ujarnya.
Untuk rekod, kerajaan negeri telah melunaskan elaun 54 imam dan bilal yang tertunggak tanpa sebab musabab bermula 2005 hingga 2018, membabitkan pembayaran berjumlah lebih RM3 juta.
Jumlah tunggakan elaun imam serta bilal itu bergantung pada tempoh perkhidmatan dan ada antara mereka yang sudah meninggal dunia.
15 Sep 22
7358
Kerajaan Bina 587 Rumah Baru di Teluk Kalong
Projek pembangunan Rumah Mampu Milik (RMM) dan bercampur bernilai RM102.7 juta akan dibina di kawasan Teluk Kalong melibatkan kerjasama antara kerajaan negeri dan pihak pemaju iaitu Syarikat Arus Juta Sdn. Bhd.
14 Sep 22
331
'Fokus Selamatkan Rakyat'- MB Terengganu
Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menggesa ahli politik berhenti daripada terus menyusahkan rakyat demi agenda dan kepentingan peribadi.
14 Sep 22
211
Kerajaan Terengganu Lunas Elaun Imam, Bilal Dinafikan Hak
KUALA TERENGGANU, 14 September - Kebajikan imam dan bilal mukim di negeri ini yang dinafikan hak semasa pemerintahan kerajaan terdahulu terbela apabila kerajaan negeri meluluskan sejumlah peruntukan bermula tahun 2019.
Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pada 11 November 2019 sebanyak RM2.9 juta peruntukan telah diluluskan kepada 42 orang imam dan bilal yang ditahan elaun bermula tahun 2005 sehingga tahun 2018.
“Alhamdulillah, pada hari ini kerajaan negeri telah meluluskan lagi peruntukan sebanyak RM242,925 kepada lima orang imam dan tujuh orang bilal yang tidak mendapat elaun mereka sepertimana yang biasa mereka perolehi, akibat daripada sebab-sebab tertentu termasuk apabila dilihat ada antara imam dan bilal ini mempunyai perbezaan pandangan politik ketika itu.
“Sesungguhnya Kerajaan Negeri sentiasa menjaga kebajikan iman dan bilal khasnya dan semua rakyat Terengganu amnya agar negeri ini sentiasa diberi kemajuan, keberkatan dan kesejahteraan oleh Allah SWT,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Elaun Tunggakan Imam Dan Bilal Masjid Mukim Negeri Terengganu di Wisma Darul iman, hari ini.
Menurut beliau, kerajaan negeri memberi peruntukan kewangan kepada 509 buah institusi masjid di negeri ini untuk melantik beberapa orang imam dan bilal bagi setiap masjid agar pentadbiran masjid berjalan dengan lebih sempurna.
14 Sep 22
1433
Air Terjun Kenyir Keruh Bukan Kerana Pembalakan
KUALA TERENGGANU, 14 September - Aktiviti pembalakan bukan menjadi punca keindahan Air Terjun Sungai Lasir di Tasik Kenyir keruh dan berkeladak.
Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata situasi itu berlaku akibat hujan lebat yang kini tidak menentu yang menyebabkan aliran deras dari bukit turun memasuki tasik dan sungai-sungai di kawasan Kenyir
"Situasi yang berlaku ketika ini tidak ada kena mengena dengan pembalakan...kalau kita masih ingat apa yang berlaku baru-baru ini (banjir buruk pada akhir Februari lalu) ada kelihatan seolah-olah kayu-kayu balak yang jatuh (dalam tasik) akibat banjir.
"Ada pihak kata ini disebabkan oleh pembalakan sedangkan penelitian Jabatan Perhutanan serta jabatan-jabatan berkaitan yang lain dan saya sendiri pergi tinjau ke kawasan berkenaan pada waktu itu, ia bukan disebabkan pembalakan.
"Namun, runtuhan bukit yang kuat ini mengakibatkan aliran air membawa sekali pokok-pokok kayu (di sepanjang laluannya), seolah olah disebabkan satu pembalakan tetapi ia tidak sebenarnya," katanya.
Beliau berkata demikian di sidang media selepas Majlis Penyerahan Tunggakan Elaun Imam dan Bilal Masjid Mukim Negeri Terengganu di Damai Lounge, Wisma Darul Iman.
Dalam masa yang sama katanya, Terengganu mempunyai syarat-syaratnya yang ketat agar tiada sebarang pencemaran akibat dari pembalakan.
"Saya sentiasa berkomunikasi dengan Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri sekiranya ada isu-isu baharu (yang terlepas pandang) dan buat masa ini tak ada lah," katanya.
Tambah Ahmad Samsuri, beliau telah membuat tinjauan dengan menaiki helikopter ke kawasan Kenyir bagi melihat sendiri runtuhan bukit yang berlaku.
“Saya dah lihat sendiri dan mendapati air keruh dan berkeladak di air terjun Tasik Kenyir itu tak ada kena mengena dengan pembalakan,” ujarnya.
14 Sep 22
628
JHEAT Lapor Polis Terhadap Penyebar Video Tular
KUALA TERENGGANU, 14 September - Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) akan membuat laporan polis terhadap pihak yang sengaja menularkan semula video tarian dan pesta arak yang berlaku pada 2017 di Pulau Perhentian.
Pesuruhjaya JHEAT, M Rozi Bidin berkata, pegawai Penguatkuasa Syariah Besut telah membuat semakan dan mendapati video yang menimbulkan fitnah itu adalah video lama.
Katanya, tidak berlaku sebarang aktiviti seumpama itu di Pulau Perhentian dan selepas membuat semakan balik pada video berkenaan mendapati ia itu telah dipadam.
“Kalau diikutkan pada tarikh yang diviralkan 10 September itu, tidak ada apa-apa aktiviti yang berlaku di pulau berkenaan dan saya difahamkan pada keesokkan harinya, pelancong tidak ramai yang berada di Pulau Perhentian berikutan perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Bukit Jalil.
“Saya telah memohon Pegawai Agama Daerah Besut membuat laporan polis untuk membuka kertas siasatan tentang apa yang berlaku sebagai pengajaran kepada mana-mana individu supaya tidak melakukan perkara-perkara yang tidak betul dan boleh mencemarkan imej kerajaan negeri,” ujarnya.
Beliau berkata demikian di sidang media selepas Majlis Penyerahan Tunggakan Elaun Imam dan Bilal Masjid Mukim Negeri Terengganu di Damai Lounge, Wisma Darul Iman
Sebelum ini, pada malam Selasa, seorang pemilik akaun Facebook memuat naik video yang memaparkan sekumpulan individu berpesta dan menari yang didakwa berlaku pada 10 September lalu di sebuah lokasi di Pulau Perhentian.
"Pesta arak dan disko.. yang juga melibatkan bangsa Melayu.. September fest kot," tulisnya sebelum memadamnya pada pagi Rabu.
14 Sep 22
6730
186 Bangunan Sekolah Di Terengganu Akan Dijadikan PPS
KUALA TERENGGANU, 14 September- Sebanyak 186 sekolah menengah dan rendah akan dijadikan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di seluruh negeri ini.
Daripada jumlah itu, sebanyak 156 membabitkan sekolah rendah, 23 sekolah menengah dan tujuh sekolah agama.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPNT), Abdul Muie Ngah berkata, bangunan sekolah yang akan dijadikan sebagai PPS boleh menampung kira-kira 74,580 mangsa bencana banjir.
Bagaimanapun katanya, proses pembelajaran tidak terjejas walaupun 186 bangunan sekolah dijadikan PPS.
"JPNT akan memastikan proses pembelajaran tidak terganggu kerana pelajar akan dipindahkan ke bangunan lain untuk mengikuti pembelajaran," katanya kepada media pada majlis perasmian Kayuhan Merdeka peringkat negeri di Dataran Anjung Ilmu, di sini, semalam.
Majlis pelepasan peserta kayuhan yang turut disertai pelumba berbasikal kebangsaan, Mohd Harris Salleh dirasmikan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Ahmad Shah Muhamed.
Turut hadir dan menyertai kayuhan sejauh kira-kira 20 kilometer adalah Ketua Hakim Syarie, Datuk Wan Mohd Nazri Wan Mohd, Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Zulkarnain Yasin, Pengarah Muzium negeri, Muhammad Azmi Ngah dan Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) negeri, Nukman Hashim.
Abdul Muie berkata demikian ketika mengulas persiapan JPNT menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka melanda Negeri Terengganu mulai November depan.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan, negara akan mengalami hujan lebat berterusan mulai pertengahan November ini, yang membawa kepada banjir besar pada penghujung bulan berkenaan.
Cuaca yang dialami dijangka memberi impak lebih signifikan kerana Monsun Timur Laut yang aktif pada tempoh itu, di mana risiko berlaku hujan lebat berterusan dan banjir berskala besar adalah tinggi.
Mengulas lanjut, Abdul Muie, berkata berdasarkan kepada bencana banjir tahun lalu, bukan semua bangunan sekolah akan digunakan untuk menempatkan mangsa banjir.
14 Sep 22
493
Keadaan Ahmad Amzad Bertambah Baik
KUALA TERENGGANU, 14 September - Tahap kesihatan Timbalan Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzad kini berada dalam keadaan baik dan tidak membimbangkan selepas menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), ujar Dato' Dr. Kasemani Embong.
"Hasil pemeriksaan awal mendapati tahap kesihatan dirinya stabil dan pasukan perubatan telah memberikan rawatan sewajarnya kepada beliau, pasukan perubatan berpuas hati dengan tahap kesihatan beliau dan menghormati permintaannya untuk pulang berehat di rumah," ujarnya yanng merupakan Pengarah Kesihatan negeri sebagaimana dilaporkan Utusan Malaysia.
Ahli Parlimen Kuala Terengganu itu mengalami sesak nafas ketika melakukan aktiviti 'Kabak Bukit' sempena Program Merdekadi Parlimen Kuala Terengganu 2022 melakukan separuh pendakian bukit setinggi 156 meter dari aras laut..
Beliau kemudian dibawa menaiki ambulans Pertahanan Awam Malaysia (APM)) dan dikejarkan ke HSNZ untuk menerima rawatan.
Terdahulu, Ahmad Amzad bersama peserta program tersebut mendaki bukit itu selepas melakukan pelepasan peserta yang berkumpul di kawasan terbabit pada jam 7 pagi.
13 Sep 22
92
Kerajaan Bina 587 Rumah Baru di Teluk Kalong
KEMAMAN, 13 September- Projek pembangunan Rumah Mampu Milik (RMM) dan bercampur bernilai RM102.7 juta akan dibina di kawasan Teluk Kalong melibatkan kerjasama antara kerajaan negeri dan pihak pemaju iaitu Syarikat Arus Juta Sdn. Bhd.
Projek berkenaan akan dibangunkan di atas tanah seluas 57.94 ekar dalam tempoh lima tahun melibatkan dua fasa bermula Julai tahun lalu dan dijangka siap menjelang Julai 2026.
Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pembangunan tersebut merupakan salah satu usaha bagi merealisasikan kehendak rakyat yang selama ini berhajat memiliki kediaman sendiri.
Jelasnya, kerajaan negeri juga telah mengambil inisiatif bagi menangani masalah banjir yang sering berlaku di kawasan tersebut bagi memastikan kawasan itu selamat untuk diduduki setelah perumahan berkenaan siap mengikut masa yang telah ditetapkan.
"Kita dimaklumkan oleh pihak pemaju bahawa tanah di kawasan ini perlu ditambah lagi dengan ketinggian lima kaki setelah mendapat nasihat daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi mengelakkan kawasan ini daripada tenggelam.
"Pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) telah memaklumkan akan meneruskan proses pembinaan jambatan dengan peruntukan RM12.5 juta yang akan disiapkan dalam masa 18 bulan bermula Oktober ini," ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media Majlis Perasmian Pecah Tanah Pembangunan RMM dan Bercampur di kawasan Teluk Kalong, di sini hari ini.
Untuk rekod, komposisi pembangunan yang dijalankan oleh syarikat Arus Juta Sdn Bhd itu membabitkan RMM jenis A yang bernilai RM80,000 sebanyak 123 unit dan Jenis B (RM185,000) sebanyak 361 unit yang direkabentuk mengikut spesifikasi Rumah Darul Iman (RAHMAN) merangkumi tiga bilik tidur dan dua bilik air.
Bagi pembangunan komersial pula bakal memberi peluang kepada golonagn M40 dan T20 untuk mendiami kawasan berkenaan dua jenis rumah teres dua tingkat (RM295,000) dibina sebanyak 103 unit serta turut didirikan bangunan kedai pejabat satu tingkat (RM395,000) dibina sebanyak 14 unit.
13 Sep 22
514