Artikel "Semasa" Terkini
Terengganu Inc Catat Hasil RM1.2 Bilion
KUALA TERENGGANU, 27 September – Kumpulan anak syarikat negeri (GLC), Terengganu Incorporated Sdn Bhd (Terengganu Inc) mencatatkan peningkatan pendapatan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 dengan sejumlah RM1.2 bilion berbanding RM1.0 bilion pada tahun sebelumnya.
Presiden dan Pengarah Eksekutif Terengganu Inc, Burhanuddin Hilmi Mohamed@Harun berkata hasil tersebut menunjukkan peningkatan sebanyak 14 peratus atau RM148.1 juta yang disumbangkan oleh anak-anak syarikatnya.
“Sekali lagi, sektor perladangan yang digerakkan oleh TDM Berhad dan Ladang Rakyat Terengganu Sdn Bhd kekal sebagai penyumbang hasil terbesar kepada Kumpulan (49 peratus) oleh harga purata minyak sawit dan isirong sawit diperakui yang lebih tinggi diikuti oleh sektor penjagaan kesihatan (19 peratus) serta sektor tenaga dan sumber (17 peratus).
“Trend kenaikan lain termasuk keuntungan sebelum cukai dan zakat Kumpulan yang mencatatkan peningkatan sebanyak 364 peratus (RM60.9 juta) kepada RM77.7 juta daripada RM16.7 juta pada tahun kewangan 2020.
“Walaupun kos operasi meningkat sebanyak RM67.1 juta (25 peratus), Kumpulan Terengganu Inc masih mencapai keuntungan selepas cukai untuk meneruskan operasi sebanyak RM8.6 juta pada tahun semasa,” katanya.
Kluster tenaga dan sumber Kumpulan yang diterajui oleh Golden Pharos Berhad mempamerkan hasil baik sebanyak RM9.5 juta manakala segmen hasil ladang hutan meningkat sebanyak 357 peratus, venir (62 peratus) dan serpihan kayu (24 peratus).
Dengan kebenaran semula aktiviti ekonomi selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sektor pelancongan menerusi YTYI Sdn Bhd (Permai Hotel) memperoleh keuntungan selepas cukai sebanyak RM2.2 juta selepas kerugian beberapa tahun.
Hasil itu menunjukkan peningkatan sebanyak 66 peratus(RM3.5 juta) berbanding tempoh yang sama pada tahun kewangan 2020, iaitu sebanyak RM7.3 juta kerugian.
Anak syarikat Kumpulan yang menjurus kepada sektor pembinaan, GPQ Sdn Bhd turut memperoleh hasil tinggi pada 2021 iaitu sebanyak RM42.5 juta berikutan penyiapan projek Hospital Pengajaran Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).
"Kami optimis Terengganu Inc dan anak-anak syarikat Kumpulannya dapat mengekalkan kadar kukuh seiring dengan pemulihan ekonomi negara yang berterusan. Prinsip perniagaan kami yang mampan dan amalan pengurusan risiko sentiasa diutamakan.
“Usaha kami untuk mencapai kejayaan melangkaui objektif komersial semata-mata. Bagi memajukan pertumbuhan ekonomi, pemeliharaan alam sekitar, pembangunan sosial dan tadbir urus yang baik, kami akan terus menggalakkan daya tahan dan pertumbuhan mampan,” tambahnya.
27 Sep 22
2911
Lebih Banyak Produk Tempatan
KUALA TERENGGANU, 27 September - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menggalakkan lebih ramai peruncit mengetengahkan produk tempatan, bagi menyokong perniagaan usahawan dalam menjayakan Kempen Beli Barangan Malaysia.
Ketua Setiausahanya, Datuk Azman Mohd Yusof, berkata, langkah tersebut mampu memberikan satu petanda yang baik dalam mengaktifkan semula ekonomi masyarakat terutama mengembangkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
“Kebanyakannya produk tempatan mudah diperolehi dan juga berkepentingan khususnya masyarakat Islam termasuk status halal,”ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan penjenamaan semula pasar raya Ameen Hallmart dekat sini, hari ini.
Menurut Azman, Ameen HallMart memiliki dan menjual lebih dari 5,000 unit penyimpanan stok (SKU) yang terdiri dari barang makanan, keperluan rumah, barang keperluan diri, supplemen kesihatan dan pakaian dengan jualan berjumlah lebih dari RM60juta setahun.
Katanya, lebih membanggakan 90 peratus dari SKU itu adalah barangan keluaran bumiputera yang memiliki standard kualiti yang terjamin dan dijual pada harga yang kompetitif yang memberikan pilihan yang luas kepada pengguna.
“Ameen HallMart boleh dijadikan platform contoh untuk Kempen Beli Barangan Malaysia dan salah satu rakan strategik Program Jualan Murah Keluarga Malaysia (JMKM) di negeri Terengganu,”ujarnya.
27 Sep 22
309
Cuaca Buruk Di Terengganu Bermula Rabu
KUALA TERENGGANU, 27 September – Terengganu, Kelantan dan negeri di utara Semenanjung dijangka dilanda ribut petir berserta hujan lebat dan angin kencang dari 28 hingga 30 September ini.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Muhammad Helmi Abdullah berkata jangkaan itu diperoleh berdasarkan analisis Model Ramalan dan Penyelidikan Cuaca Met Malaysia (MET-WRF), Pusat Ramalan Cuaca Kadar Sederhana Eropah (ECMWF) dan Sistem Ramalan Global (GFS).
“Tiupan angin barat di rantau negara dijangka meningkat disebabkan Taufan Noru yang ketika ini berada di utara Filipina.
"Taufan Noru kemudian dijangka bergerak ke barat menuju Vietnam dan membentuk garis badai yang boleh mengakibatkan ribut petir bersama hujan lebat dan angin kencang di negeri utara Semenanjung termasuk Kelantan dan Terengganu,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Justeru itu, beliau menasihatkan orang awam sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan semua media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat yang terkini dan sahih.
27 Sep 22
8257
Sedia Lori Minyak Bergerak Di Kawasan Banjir
KUALA NERUS, 25 September - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP)akan memperluaskan trak perkhidmatan mengisi minyak bergerak, Petronas (ROVR), sebagai persediaan menghadapi musim banjir di seluruh negara.
Ketua Setiausahanya, Datuk Azman Mohd Yusof berkata langkah berkenaan akan membolehkan orang ramai termasuk pasukan penyelamat mendapat akses bahan api dengan lebih mudah dan pantas.
Katanya, sebanyak 32 lori dan empat buah trak akan disediakan untuk digerakkan ke lokasi mengikut keperluan semasa berbanding hanya dilaksana di dua negeri yang terjejas banjir iaitu Kelantan dan Terengganu pada Februari baru-baru ini.
“Tindakan ini diputuskan kerana kita tidak mahu apabila timbul isu berkaitan baru fikirkan apa yang perlu dibuat, jadi kita buat perancangan dan keputusan awal…pelaksanaanya nanti akan bergantung pada pengurusan Pengarah KPDNHEP negeri-negeri,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau program JMKM di Kampung Duyung, Seberang Takir, di sini, hari ini.
Menurutnya, perkhidmatan ROVR itu bagi mengelakkan bekalan minyak petrol dan diesel terputus dan memudahkan pengurusan di kawasan bencana.
Sementara itu, mengulas isu kekurangan kekurangan bekalan telur ayam di Langkawi di Kedah, Jerantut di Pahang dan Hulu Terengganu di Terengganu, Azman berkata, ia bukan satu krisis kerana isu tersebut akan dapat diselesaikan dalam tempoh yang singkat.
“Oleh itu, masalah yang berlaku dapat diselesaikan secepat mungkin contohnya aduan kehabisan telur ayam pada sebelah pagi dan bekalan terus dihantar pada sebelah petang atau keesokan harinya, tidak berlaku dalam tempoh yang panjang,” katanya.
25 Sep 22
501
DDW, DDR Boleh Simpan Barang Lebih 30 Peratus
KUALA NERUS, 25 September -Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) membenarkan peruncit terpilih daerah (DDR) dan pemborong terpilih daerah (DDW) untuk menyimpan bekalan makanan dan keperluan asas melebihi 30 peratus dari jumlah dilesenkan.
Ketua Setiausahanya, Datuk Azman Mohd Yusof berkata kebenaran itu dikeluarkan kepada 2,711 DDR dan 1,039 DDW di seluruh negara bermula Oktober ini sebagai persediaan menghadapi musim Monsun Timur Laut.
“Langkah itu bagi memastikan tiada gangguan bekalan barangan keperluan asas sepanjang musim tengkujuh ketika banjir untuk kegunaan penduduk setempat.
"Jumlah itu akan ditambah dari masa ke semasa bergantung kepada situasi bencana berdasar perkembangan dari Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma)," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau program JMKM di Kampung Duyung, Seberang Takir, di sini, hari ini.
Justeru itu katanya, orang ramai tidak perlu melakukan pembelian panik kerana bekalan mencukupi dan pihak kementerian juga akan sentiasa memantau serta menyelia harga barang sepanjang musim tengkujuh
25 Sep 22
255
JMKM Catat Nilai Jualan Lebih RM2.5 Juta
KUALA NERUS, 25 September - Program Jualan Murah Keluarga Malaysia (JMKM) berjaya menarik seramai 78,336 pengunjung dengan jualan melebihi RM2.5 juta sehingga 18 September 2022.
Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Azman Mohd Yusof berkata transaksi jual beli itu adalah hasil penganjuran JMKM di 93 lokasi meliputi semua 32 DUN dalam lapan kawasan parlimen di negeri Terengganu.
"Program dilaksanakan secara in-house di premis rakan strategik seperti pasaraya-pasaraya dan kedai runcit di Terengganu dengan peruntukan RM25,000 sebulan untuk setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi tempoh 15 Ogos sehingga 31 Disember 2022.
"JMKM menawarkan harga keperluan asas lebih rendah hingga 30 peratus adalah usaha kerajaan membantu golongan memerlukan," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau program JMKM di Pasar Taif Kampung Duyung, Seberang Takir, di sini, hari ini.
Sementara itu, Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) sebelum ini berjaya merekodkan jualan sebanyak RM63 juta sejak dilancarkan pada 2 Disember tahun lepas.
Azman berkata, transaksi jual beli itu adalah hasil penganjuran PJKM di 2,000 lokasi di semua 222 kawasan parlimen seluruh negara.
"Program tersebut telah memanfaatkan lebih 3.4 juta dalam usaha membendung inflasi dan mengurangkan beban kos sara hidup yang dialami oleh ahli Keluarga Malaysia terutama golongan B40 dan M40," katanya.
Tambah beliau lagi, Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi (PKJTI) kemudiannya telah menjenamakan semula PJKM menjadi Program Jualan Murah Keluarga Malaysia (JMKM).
"JMKM kini diperluaskan ke kesemua 600 DUN seluruh negara dan 13 Parlimen di Wilayah Persekutuan sebagai kesinambungan usaha membantu mengurangkan beban kos sara hidup golongan B40 dan M40,"katanya.
25 Sep 22
215
PM Bantu Mangsa Kebakaran Kampung Cina
KUALA TERENGGANU, 23 September - Nasib 12 mangsa kebakaran di Kampung Cina di sini, turut mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob apabila menerima sumbangan wang tunai sebanyak RM1,000 setiap seorang hari ini.
Bantuan tersebut disampaikan oleh Setiausaha Politiknya, Datuk Mohammad Anuar Mohd. Yunus.
Mohammad Anuar berkata beliau diarahkan oleh Perdana Menteri yang ketika ini berada di luar negara atas urusan rasmi untuk menyantuni mangsa yang terlibat.
"Saya dimaklumkan pelbagai bantuan awal telah diberikan kerajaan negeri dan hari ini saya mewakili Perdana Menteri menyampaikan sedikit sumbangan tanda ingatan daripada beliau
“Difahamkan juga, lokasi kebakaran yang terletak di bawah tanah berstatus Lesen Kependudukan Sementara (TOL) menyukarkan bantuan disalurkan oleh kerajaan negeri.
"Selepas ini, saya akan berbincang dengan Perdana Menteri tentang kaedah sesuai bersama agensi-agensi lain untuk menghulurkan bantuan berikutnya yang diperlukan mangsa kebakaran," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika mewakili Ismail Sabri melawat mangsa kebakaran di Kampung Cina, di sini, hari ini.
Terdahulu, Mohammad Anuar diberi taklimat ringkas oleh Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Md. Hilman Abd. Rashid.
Dalam kebakaran kira-kira jam 8.15 malam Sabtu lalu, sebanyak 12 bangunan termasuk kedai pakaian, emas dan kedai makan, terbakar dipercayai akibat sistem pendawaian usang dan tidak teratur.
23 Sep 22
1251
RM242.97 Juta Diperuntukkan Bagi Projek Pemuliharaan Muara Sungai Dungun
DUNGUN, 22 September - Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM242.97 juta bagi Projek Pemuliharaan Sungai Dungun untuk menangani masalah pemendapan, kesukaran pelayaran dan banjir di muara sungai tersebut.
Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pelaksanaan projek pemuliharaan muara itu akan bermula pada 26 September 2022 dan dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh 54 bulan iaitu pada 25 Mac 2027.
Katanya, ia melibatkan kerja pengorekan alur navigasi, pembinaan struktur pemecah ombak, pembinaan struktur dinding penahan lapis lindung pantai, pembinaan groin dan pembinaan lampu tanda arah suar.
"Projek ini menjadi keutamaan pihak kami kerana melibatkan lebih seribu nelayan dan kawasan industri pelancongan negara.
"Apabila siapnya projek pemuliharaan tersebut, ia akan mengurangkan kesan banjir di kawasan yang sering berlaku bencana itu, memudahkan pergerakan keluar masuk nelayan dan pihak kami juga akan mengekalkan pantai yang sedia ada.Ini semua akan memanfaatkan hampir 5,000 penduduk tempatan," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Projek Pemuliharaan Muara Sungai Dungun, di Dewan Sivik Bijangga, Kuala Dungun, di sini hari ini.
Menurutnya, sebelum ini, muara Sungai Dungun dikatakan tidak selamat untuk navigasi bot nelayan dan bot pelancongan ke Pulau Tenggol terutama semasa musim Monsun Timur Laut apabila angin kencang dan gelombang kuat menyebabkan kerosakan bot dan risiko kehilangan nyawa.
Selain itu, pemendapan di muara sungai turut mengurangkan keupayaan sungai untuk mengalirkan air ke laut dan mengakibatkan banjir.
Tuan Ibrahim juga berkata, sebanyak 21 projek telah diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dengan kos keseluruhan berjumlah RM1.55 bilion di Terengganu.
“Projek ini merangkumi kerja-kerja mengawal hakisan pantai, memulihara muara sungai, membangun lembangan sungai bersepadu dan menebat banjir,”ujarnya.
Tambahnya lagi, KASA juga telah memohon 20 lagi projek tambahan baharu di bawah Rolling Plan Ketiga (2023) RMKe-12 bagi seluruh negeri Terengganu.
22 Sep 22
1393
KASA Kenal Pasti 50 Lokasi Bagi Bina Empangan Sabo
DUNGUN, 22 September - Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah mengenal pasti 50 lokasi berisiko insiden kepala air di seluruh negara bagi membina empangan kecil di tempat berbukit atau Empangan Sabo.
Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata pembinaannya berupaya mengurangkan impak banjir serta kejadian kepala air atau aliran puing di kawasan tersebut.
Katanya, empangan Sabo ini adalah empangan kecil dalam aliran sungai itu, dan apabila berlaku insiden seperti kepala air, kayu akan tersekat, tidak akan menghilir.
“Keadaan itu akan membantu dalam mengelakkan kemusnahan besar kepada kawasan di bawah seperti yang terjadi dalam tragedi kepala air yang kerap berlaku di beberapa kawasan sekiranya hujan lebat,”katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Projek Pemuliharaan Muara Sungai Dungun, di Dewan Sivik Bijangga, Kuala Dungun, di sini hari ini.
Dalam masa yang sama, Tuan Ibrahim turut mengarahkan semua jabatan dan agensinya membuat pemantauan persiapan banjir yang dijangka tiba tidak lama lagi.
Beliau berkata tindakan itu diambil bagi memastikan semua aset dapat digunakan sekiranya berlaku banjir nanti.
“Ini termasuk pemasangan pam air, penyelenggaraan pintu air dan kerja-kerja mendalamkan kawasan takungan air di kawasan berisiko banjir di seluruh negara.
“Di kawasan rekreasi juga, kita arahkan memasang siren amaran banjir untuk memberi maklumat awal kepada pengunjung supaya mereka bersiap sedia,”ujarnya.
22 Sep 22
339
Terengganu Perkenal Biasiswa Khusus Buat Pelajar B40
PUTRAJAYA, 21 September – Kerajaan negeri menerusi Yayasan Terengganu (YT) dan Terengganu Incorporated (Terengganu Inc) memperkenalkan biasiswa khusus untuk pelajar cemerlang keluarga B40 bagi membolehkan golongan terbabit melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi tanpa bebanan kewangan.
Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, program biasiswa YT-TI Young Talent Scholarship Programme tersebut direalisasikan menerusi anak-anak syarikat Kumpulan Terengganu Inc dengan peruntukan sebanyak RM500,000.
Katanya, program itu dijangka akan bermula dengan permohonan atas talian pada 26 September ini buat lepasan STPM, STAM, Matrikulasi dan Asasi mengikut terma dan syarat yang telah ditetapkan.
"Kerajaan Negeri menyedari cabaran dihadapi ibu bapa bagi melanjutkan pelajaran anak-anak mereka iaitu kos pendidikan pengajian yang tinggi. Oleh itu, biasiswa ini dibentuk dan merangkumi pelbagai kos pendidikan seperti yuran pengajian, elaun sara hidup, elaun peralatan dan buku serta pemberian peranti IPad.
“Bagi manfaat jangka panjang, tajaan tersebut berperanan untuk pembangunan modal insan dengan bakal melahirkan golongan professional dan mengisi jurang pekerjaan di Terengganu, pada masa akan datang.
"Ini adalah kali pertama anak syarikat kerajaan negeri dan YT bekerjasama memberi biasiswa buat pelajar cemerlang, peruntukan ini adalah untuk permulaan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Terengganu Inc memeterai memorandum perjanjian (MoA) dengan YT di Le Meridien, Putrajaya hari ini.
Sementara itu, Presiden dan Pengarah Eksekutif Terengganu Inc, Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun berkata, biasiswa peringkat pengajian Ijazah Sarjana Muda (Ijazah pertama) berkenaan dibentuk bagi memastikan anak Terengganu yang berkelayakan dapat melanjutkan pelajaran di dalam dan luar negara.
"Biasiswa khas tersebut juga mampu mengurangkan beban kewangan bagi para pelajar yang mengambil jurusan releven seperti bidang Kepintaran Buatan (AI), Sains Data (Big Data), Undang-undang, Muamalat, Sains Kesihatan (Fisioterapi), Pengurusan Korporat dan Perladangan.
"Langkah ini direalisasikan dengan komitmen anak-anak syarikat Kumpulan antaranya TDM Berhad, Golden Pharos Berhad, GPQ Sdn Bhd, Tl Properties Sdn Bhd, Chicken Cottage Limited serta Permodalan Terengganu Berhad," katanya.
MoA itu ditandatangani oleh Presiden dan Pengarah Eksekutif Terengganu Inc, Burhanudin Hilmi Mohamed @ Harun; Pengarah Eksekutif TDM Berhad, Najman Kamaruddin; Ketua Pegawai Eksekutif Golden Pharos Berhad, Dr. Mohd Zaki Hamzah; Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif GPQ Sdn Bhd, Azmi Mat Ali; Ketua Pegawai Eksekutif TI Properties, Khalilzan Mahmud dan Pengarah Permodalan Terengganu Berhad, Muhammad Ramizu Mustafa yang mewakili Terengganu Inc.
Manakala, Yayasan Terengganu diwakili oleh Pengarahnya, Dato' Mohd Azmi Mohamad Daham sambil disaksikan oleh Ahmad Samsuri, Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Dato’ Satiful Bahri Mamat dan Setiausaha Kerajaan Terengganu, Tengku Seri Bijaya Raja.
21 Sep 22
2410