lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Bas Amfibia : 'Ditelan Mati Emak, Diluah Mati Bapa'
Bas Amfibia : 'Ditelan Mati Emak, Diluah Mati Bapa'
KUALA TERENGGANU, 15 November - 'Ditelan Mati Emak, Diluah Mati Bapa', itu peribahasa sesuai bagi menggambarkan keadaan terkini bas dua alam (Amphicoach) yang dibeli dengan harga RM3.3 juta oleh kerajaan terdahulu. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, pihaknya sedang berbincang dengan pegawai undang-undang Terengganu untuk mengambil tindakan lanjut. Katanya, bas itu tidak dapat diserahkan dengan sempurna kepada kerajaan negeri oleh kontraktor dilantik akibat tiada kelulusan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Laut. "Sebelum ini kerajaan negeri membatalkan pembeliannya atas faktor kelewatan projek dan isu keselamatan berikutan keadaan bas tersebut tidak menepati spesifikasi dan skop kontrak yang telah ditetapkan. "Ada pihak yang menyarankan supaya bas amfibia itu dijadikan tukun tiruan, tontonan di muzium negeri dan diubah suai sebagai sebuah kafe supaya tidak berlaku pembaziran. "Kita akan nilai semua cadangan, apa yang penting tidak mahu ia terbengkalai," katanya kepada pemberita selepas meninjau bas dua alam, Amphicoach di sini, hari ini.  Ariffin. Menurut Ariffin, oleh kerana gagal diserahkan kepada kerajaan negeri atas beberapa sebab, maka ia telah ditamatkan kontrak pada 17 Disember 2019. "Sebanyak RM3.3 juta kos projek, tarikh mula 1 Januari 2015 sepatutnya siap pada 30 Ogos 2015, maknanya lebih kurang enam bulan sahaja, tetapi tarikh siap semasa 5 Oktober 2017," ujarnya. Untuk rekod, Mantan Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Said yang bertanggungjawab dalam pembelian bas dua alam pernah bertanya adakah JPJ tidak boleh bertolak ansur dalam kelulusan operasi Amphicoach. Namun Ariffin menjelaskan bahawa bas amfibia yang tiba di Terengganu berjenama MAN dan bukan Iveco Bus sebagaimana ditempah pada peringkat awal. “Amphicoach sebenarnya adalah bas biasa yang diubah suai. Pengubahsuaiannya yang tidak memenuhi spesifikasi, diragui oleh JPJ dan Jabatan Laut. “Selain beberapa masalah teknikal lain, kenderaan yang ada 42 tempat duduk penumpang ini juga tidak mendapat kelulusan JPJ kerana gagal dalam ujian keseimbangan bas yang boleh mengundang bahaya,” katanya.
15 Nov 22
2611
Wan Hassan Puas Hati Undi Awal Lancar
Wan Hassan Puas Hati Undi Awal Lancar
KUALA TERENGGANU, 15 November - Calon Perikatan Nasional (PN-PAS) Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli berpuas hati dengan proses mengundi awal yang melibatkan tiga lokasi bagi daerah Dungun, hari ini. Lokasi terbabit ialah Bilik Gerakan & Taklimat Balai Polis Bukit Besi, Dewan Seri Bistari Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun dan Bilik Rehat Aras 1 Balai Polis Paka. Katanya, berdasarkan tinjauan beliau pagi tadi, perjalanan proses dilihat cukup teratur dan lancar tanpa berlaku sebarang insiden yang tidak diingini. "Setakat ini saya berpuas hati dengan proses pengundian awal yang dikendalikan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana berjalan lancar termasuk dari aspek pengurusan dan keselamatan.  “Tambahan pula, pengundi awal ini adalah dari kalangan badan beruniform yang sangat berdisiplin,” ujarnya ketika dihubungi pemberita Urus Setia Penerangan Darul Iman. Sebelum itu, beliau sempat menyantuni para pengundi yang berbaris di luar dewan pengundian awal di Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun. Difahamkan, 594 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan pasangan serta pegawai dan anggota Polis Di Raja Malaysia (PDRM) serta pasangan layak mengundi awal bagi daerah Dungun. Sementara itu, Wan Hassan berkata, semua pengundi awal termasuk anggota polis dan tentera tidak perlu ‘takut’ dengan tekanan daripada mana-mana pihak pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kali ini. “Mereka bebas untuk memilih mana-mana parti mengikut pertimbangan masing-masing dan calon yang dipilih terpulang kepada pengundi,” ujarnya.  
15 Nov 22
234
Pengundian Awal Babitkan 221 Anggota Polis di Setiu Lancar
Pengundian Awal Babitkan 221 Anggota Polis di Setiu Lancar
SETIU, 15 November - Proses pengundian awal membabitkan seramai 221 pegawai dan anggota polis beserta pasangan di Setiu berlangsung dengan lancar bermula jam 8 pagi. Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superitendan Afandi Hussin berkata, kesemua anggota menjalankan kewajipan atas kesedaran masing-masing tanpa diugut atau dipengaruhi mana-mana pihak termasuk tidak diberikan sebarang amaran. "Dengan kesedaran ini maka kesemua anggota polis di daerah ini menyatakan komitmen tinggi untuk mengundi kerana ia akan menentukan masa hadapan negara untuk dibangunkan, kalau tidak mengundi ia menjadi satu kerugian. "Sebagai rakyat sewajarnya tidak mengambil sikap mengecualikan diri untuk menjalankan kewajipan ini tidak kira sesiapa sama ada tentera, polis, orang awam dan siapa sahaja perlu untuk mengundi,"ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), di Pusat Pengundian Awal di Dewan Abdul Ghafar Rajab, Ibu Pejabat Polis Daerah Setiu, di sini, hari ini. Lokasi pengundian awal bagi daerah ini, turut dibuka di Bilik Maklumat Balai Polis Sungai Tong serta Batu Rakit. Ujarnya lagi, bagi membentuk sebuah negara yang bersih dan stabil pengundi perlu memilih calon yang berwibawa untuk membina kepentingan negara dan bukan untuk kepentingan parti tertentu. Dalam pada itu menurutnya, anggota yang positif Covid-19 juga tidak diabaikan dan diberikan perhatian agar individu yang dijangkiti virus berkenaan masih mampu menjalankan hal sebagai rakyat Malaysia. "Tetap akan mengundi mengikut sepertima prosedur yang telah disarankan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia, daripada awal lagi kita telah memastikan anggota semua berada dalam keadaan sihat, hanya seorang sahaja anggota polis di daerah ini yang didapati positif Covid-19,"ujarnya lagi.  
15 Nov 22
402
Polis Hulu Terengganu Siap Sedia Hadapi PRU15, Banjir
Polis Hulu Terengganu Siap Sedia Hadapi PRU15, Banjir
HULU TERENGGANU, 15 November - Polis Hulu Terengganu bersiap siaga bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan fenomena banjir akibat Monsun Timur Laut (MTL). Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, pengurusan Jawatankuasa Banjir Daerah telah menyediakan pelan kontijensi untuk membuat persiapan sekiranya berlakunya bencana banjir di Hulu Terengganu pada hari pengundian nanti. "Pelaksanaan tugas berdasarkan aset dan petugas, jadi  kita tidak ada masalah cuma anggota-anggota PDRM akan menumpukan sepenuh tugas kepada kawalan keselamatan bagi proses PRU15 nanti. "Pihak Bomba selaku Timbalan Komander Operasi akan menguruskan proses pemindahan dan lain lain perkara yang berkaitan dengan banjir," jelasnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuang undi  di Pusat Pengundian Awal di Dewan Kelah, Kompleks PDRM, di sini. Katanya lagi, ia bagi memastikan kelancaran dan keselamatan pengundi terjamin semasa menghadapi PRU15.        
15 Nov 22
99
PRU15 : Kempen Di P038 Bersih, Tiada Laporan Polis Diterima
PRU15 : Kempen Di P038 Bersih, Tiada Laporan Polis Diterima
HULU TERENGGANU, 14 November - Polis Hulu Terengganu tidak menerima sebarang laporan polis berkaitan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) sepanjang tempoh berkempen hingga hari ini. Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, pihaknya tidak menerima laporan insiden seumpama itu daripada mana-mana parti politik yang bertanding. "Sepanjang tempoh berkempen di P038, kita tidak menerima aduan atau laporan bersabit kesalahan PRU, perbuatan khianat atau apa-apa kes jenayah di daerah ini. "Setakat ini 'report' masih bersih dan dalam keadaan sangat terkawal," ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuang undi  di Pusat Pengundian Awal di Dewan Kelah, Kompleks PDRM, di sini. Seramai 232 pegawai dan anggota polis menjadi kumpulan pertama penentuan mandat kerajaan menerusi PRU15, di P038 hari ini. Mohd Adli berkata proses pengundian awal  dijalankan mengikut kaedah pengundian biasa yang  disaksikan oleh wakil-wakil calon yang bertanding. "Proses pengundian awal ini dijalankan bermula jam 8 pagi hingga 5 petang di dua lokasi iaitu Dewan Kelah, Kompleks Perumahan PDRM Hulu Terengganu (220 anggota) dan Balai Polis, Ajil (12 anggota). "Sehingga jam 10.30 pagi, lebih 60 peratus pegawai dan anggota telah keluar menunaikan kewajipan masing-masing sejak jam 8 pagi tadi,"ujarnya.
15 Nov 22
667
Banjir : Nyawa Rakyat Lebih Utama Daripada Kempen
Banjir : Nyawa Rakyat Lebih Utama Daripada Kempen
HULU TERENGGANU, 15 November - "Semua memang nak menang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15)  tapi yang penting ialah nyawa rakyat sekiranya berlaku banjir pada ketika itu bukannya meneruskan kempen," tegas Calon Perikatan Nasional (PN) Parlimen Hulu Terengganu (P038), Datuk Rosol Wahid. Demikian reaksi beliau apabila ditanya strategi kempennya sekiranya Hulu Terengganu dilanda banjir menjelang hari membuang undi pada 19 November ini. Katanya, keutamaan wajar diberi kepada persediaan banjir dan pengurusan mangsa bencana dan bukannya perebutan kuasa melalui pelaksanaan kempen. "Saya tidak seharusnya mengangkat kepentingan diri, sebaliknya  peka dan sensitif dengan suasana semasa. "Jadi kalau nak tukar antara menang dengan nyawa rakyat..bagi saya nyawa rakyat 'first' pilihan," ujarnya kepada pemberita selepas Majlis Santai Bersama Media di Warisan Pahlawan Resort, di sini hari ini. Tambahnya, dia tetap akan berpegang kepada mengutamakan rakyat dalam apa jua situasi terutama perkara yang melibatkan nyawa serta keselamatan walaupun berhadapan dengan PRU15 yang sangat penting. "Saya teringat kata-kata seorang tua bahawa atas dunia ini semua boleh cuba, nak makan ikan kelah boleh cuba, nak makan landak boleh cuba tetapi jangan sesekali cuba kematian," ujar beliau lagi. Rosol juga berkata jika berlaku banjir mungkin Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) membatalkan pengundian untuk PRU15. "Ini disebabkan kita ada lima hingga enam tempat pengundian sekiranya berlaku banjir...air akan naik terutama di Hulu Berang," jelasnya. Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata SPR mempunyai hak untuk menangguhkan PRU-15 jika banjir besar berlaku sepanjang tempoh berkempen. Katanya, perbincangan lanjut akan dibuat sekiranya keadaan mendesak dan PRU-15 tidak dapat dilaksanakan kelak.
15 Nov 22
174
Wan Hassan Bantu Selesaikan Masalah Kumbahan SMKAKA Bernilai RM1. 4 Juta
Wan Hassan Bantu Selesaikan Masalah Kumbahan SMKAKA Bernilai RM1. 4 Juta
DUNGUN, 14 November - Penyandang kerusi Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli telah membantu menyelesaikan masalah loji kumbahan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kuala Abang (SMKAKA) yang bernilai RM1. 4 juta.  Yang Dipertua Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) sekolah tersebut, Alias Harun melahirkan rasa syukur dan terima kasih yang tidak terhingga kepada beliau.  "Masalah yang berlarutan tahun demi tahun memerlukan usaha yang bersungguh-sungguh untuk diselesaikan.  "Beliau mengeluarkan peruntukan sebagai Ahli Parlimen waktu itu dan sebagai Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) cuba sedaya upaya berbincang, meneliti daripada pelbagai sudut untuk membantu sehinggalah dengan kerjasama Indah Water Konsortium (IWK) kerja-kerja ini sedang berjalan," katanya ketika dihubungi.  Selain itu, ujar Alias lagi, Wan Hassan juga menyalurkan peruntukan RM10,000 untuk penyelenggaraan asrama pada tahun 2021. "Memandangkan sekolah tersebut sudah berusia 25 tahun, banyak yang perlu di baik pulih," katanya.  Menurutnya, sebagai wakil rakyat PAS samada di peringkat DUN atau Parlimen, mereka memikul amanah untuk menjaga kesejahteraan rakyat.  "Bagi kami menjadi wakil rakyat adalah untuk berkhidmat kepada mereka, bukan untuk mendapat habuan peribadi," katanya lagi. 
14 Nov 22
634
'Insya-Allah, Empat Kerusi Dalam Genggaman PAS'
'Insya-Allah, Empat Kerusi Dalam Genggaman PAS'
KUALA TERENGGANU, 14 November- Kerusi Parlimen Marang, Kuala Terengganu, Dungun dan Kuala Nerus diyakini berada dalam gengaman PAS Terengganu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) Sabtu ini. Pengarah Pilihan Raya Pas Negeri Terengganu, Ariffin Deraman berkata, keyakinan itu berdasarkan maklumat risikan yang diperolehi daripada jentera, penyokong dan akar umbi parti. Katanya, PAS juga tetap berpeluang besar untuk menang di Hulu Terengganu, Setiu, Besut dan Kemaman walaupun saingan agak sengit. "Ini kerana kempen lawan terutama Barisan Nasional (BN) sangat 'sejuk', lesu dan tidak serancak PAS terutama dari segi kekerapan ceramah dan pemasangan poster, kain pemidang dan bendera parti di seluruh Terengganu. "Nampaknya BN tak begitu bersungguh dalam PRU-15, pos (markas) pun ada buka sekejap kemudian tutup, ceramah pun tak ada sangat seperti PAS sekurang-kurangnya mesti ada empat ceramah di setiap Parlimen setiap malam. "Calon lain seperti PH (Pakatan Harapan) dan GTA (Gerakan Tanah Air) serta calon Bebas tidak ada impak yang besar, kerana pertandingan ini seolahnya hanya antara PAS dan UMNO, jadi kita nampak memang kita masih mendahului di semua lapan kerusi Parlimen Terengganu," katanya dalam sidang media hari ini.  
14 Nov 22
753
Shaharizukirnain Berjaya Wujudkan Pembangunan Berskala Besar di Setiu
Shaharizukirnain Berjaya Wujudkan Pembangunan Berskala Besar di Setiu
KUALA TERENGGANU, 14 November - Penyandang kerusi Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir telah membawa perubahan berimpak besar untuk Daerah Setiu pada penggal lepas. Menurutnya, kejayaan itu merupakan hasil usaha beliau sama ada melalui pertemuan dan permohonan secara terus dengan jabatan dan menteri yang terlibat sejak 2018 hingga 2022 membabitkan peruntukkan sebanyak RM208.91 juta. Katanya, antara projek tersebut ialah dua Jambatan di Seri Bayas RM17.78 juta dan Jambatan Sungai Lerek RM6.75 juta, empat buah masjid di Kuala Kubang (RM3 juta), Pengkalan Merbau (RM3 juta) dan Chalok Barat (RM4 juta). "Dua buah klinik pula berjaya dibina di Batu Rakit (RM33 juta), di Rhu 10 (RM26 juta) selain itu turut dibina Balai Raya Gong Pasir (RM150,000), Dewan Terbuka Sekolah Menengah Kebangsaan Renek (RM429,000) dan Dewan Tertutup Kampung Kerandang (RM450,000). "Batu penahan hakisan pantai di Kampung Pengkalan Maras (RM800,000), takung air di Batu Rakit (RM800,000) dan pedalaman muara di Kampung Mangkuk (RM112 juta) selain itu juga telah dibuka Jalan Pertanian Chalok Barat (RM750,000) dan telah berjaya membina 375 unit Rumah Mampu Milik (RMM) di Kampung Bintang," ujarnya melalui satu kenyataan di facebooknya, semalam. Perkongsiannya itu telah mendapat reaksi yang cukup baik di kalangan rakyat Setiu kerana telah berjaya membawa perubahan yang menepati kehendak dan keperluan rakyat. Rata-rata penduduk juga mahu beliau menang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 agar terus kekal menjadi ahli Parlimen. Salah seorang penduduk, Hajar Fatimah menyatakan dalam tempoh yang singkat dengan pembangunan dan perubahan yang dibawa menunjukkan penyandang kerusi parlimen itu telah menunjukkan prestasi yang cukup membanggakan. "Alhamdulillah baru empat tahun, cuba bayangkan kalau Ustaz Zul (Shaharizukirnain) menjadi Ahli Parlimen untuk tahun-tahun seterusnya  ke hadapan sudah tentu akan banyak lagi kemajuan yang akan dibangunkan di Setiu," ujarnya.
14 Nov 22
362
Terengganu Siap Siaga Hadapi Risiko Banjir
Terengganu Siap Siaga Hadapi Risiko Banjir
HULU TERENGGANU, 13 November - Kerajaan negeri sudah bersiap-sedia dengan sebarang kemungkinan berlakunya banjir semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Terengganu. Menteri Besarnya, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata persediaan itu termasuk dari segi logistik, pengoperasian bilik gerakan, bekalan makanan dan pusat pemindahan sementara untuk mangsa banjir yang terlibat. "Memang kami telah bersedia sejak dari bulan Ogos lagi dengan pelbagai latihan yang diadakan oleh agensi-agensi yang terlibat seperti Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan peringkat Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) termasuk masyarakat tempatan. "Lebih kurang 10 peratus di antara pusat pengundian yang berpotensi untuk dijadikan pusat penempatan banjir dikenalpasti, juga telah bersiap sedia walaupun sebenarnya sebagaimana yang saya sebut sebelum ini tidak sesuai diadakan PRU pada musim begini kerana akan menyusahkan rakyat, tetapi dah berlaku juga, kerajaan kena hadap je lah,” katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Santai Minum Petang Masyarakat Setempat di Kampung Buluh, di sini, semalam. Tambahnya, semua aset ada cara pengendalian tersendiri sekiranya berlaku banjir terutama di kawasan-kawasan kritikal dan itu adalah perkara yang dilihat di peringkat awal lagi oleh semua agensi dalam membuat persiapan masing-masing. Menurutnya lagi, pihak anggota amal juga sentiasa bersedia 24 jam dari semasa ke semasa di seluruh daerah di negeri ini sekiranya diperlukan. "Mereka ini hanya menunggu panggilan je sekiranya perlu untuk  berada di tempat-tempat tertentu untuk membantu masyarakat berpindah dan menyediakan kelengkapan yang sepatutnya," ujarnya. Dalam pada itu, Ahmad Samsuri berkata Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan hujan akan meningkat kepada 90 peratus pada waktu pagi, petang dan malam pada minggu ketiga iaitu minggu pengundian. “Tetapi bila kita kata ramalan, ia masih ramalan lah tapi saya percaya masyarakat samaada pengundi atau bukan pengundi, mereka ini akan mengambil langkah berjaga-jaga,” katanya.        
13 Nov 22
316