Artikel "Semasa" Terkini
PRU-15: Kemampuan PAS Tadbir Negara Baik, Punyai Rekod
HULU TERENGGANU, 13 November – Selepas lebih empat tahun menjadi kerajaan negeri dan sebahagian daripada kerajaan Persekutuan, PAS berjaya mematikan tuduhan pihak lawan selama berpuluh tahun kononnya parti berasaskan Islam itu mustahil untuk memerintah.
Menteri Besar Terengganu, Dato Seri Dr Ahmad Samsuri Mohktar berkata, PAS telahpun membuktikan kemampuan mereka dalam mentadbir negeri dan penglibatan dalam kerajaan persekutuan.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Pengerusi Penaja Gerakan Tanah Air (GTA), Tun Dr Mahathir Mohamad, yang mendakwa negara akan berdepan lebih banyak masalah sekiranya rakyat memberi peluang kepada PAS untuk memerintah selepas PRU15.
“Itu pandangan dia (Mahathir) ..terpulanglah kalau nak terima atau tidak tapi pada saya PAS telah membuktikan melalui penyertaan dalam kerajaan peringkat negeri-negeri dan nasional termasuk yang membina negara di peringkat pusat.
“Jadi dalam tempoh yang sangat singkat ini, kenapa pula PAS dilihat tidak mampu untuk bersama membentuk sebuah kerajaan gabungan dalam kerajaan persekutuan dan ini kita akan teruskan di masa hadapan.InshaAllah selepas 19hb ini, kita akan bentuk kerajaan yang lebih kuat di peringkat nasional,” ujarnya kepada media selepas program Santai Petang Bersama Masyarakat di Kampung Tanggol, semalam.
Dalam masa yang sama menjawab tohmahan Mahathir bahawa PAS akan memperalat agama lebih banyak (jika menang PRU15), Ahmad Samsuri berkata soal itu tidak perlu menjadi satu isu besar kerana kehidupan semuanya akan berlandaskan agama termasuk politik yang berlapikkan panduan Islam.
Mengikut rekod, kerajaan negeri Terengganu ketika mengambil alih pentadbiran selepas PRU14, kerajaan negeri telah menyelamatkan beberapa projek sakit termasuk menyelesaikan masalah anak-anak syarikat kerajaan negeri yang mengalami kerugian.
Malah PAS juga membuktikan mereka mengotakan segala janji yang dibuat dalam manifeso sewaktu PRU14.
13 Nov 22
459
Terengganu Timbang Cadangan Cuti Khas Selepas Hari Pengundian
HULU TERENGGANU, 12 November - Kerajaan negeri akan mempertimbangkan cadangan pemberian cuti khas selepas hari pengundian(Ahad) bagi memudahkan pergerakan pengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di Terengganu.
Menteri Besar, Dato Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata perkara tersebut akan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri pada Rabu ini.
"Kita akan tengok apa langkah terbaik sebab tahun ini ada beberapa cuti yang kita telah ambil cuti peristiwa tetapi apa-apa pun kita akan pertimbangkan.
"InsyaAllah... hari ni baru hari Sabtu kan? Ada masa lagi, rilekslah. Keputusan biarlah ada kaedah dan prosesnya bukan boleh suka-suka buat keputusan bila-bila masa kan,"katanya selepas program santai petang bersama masyarakat setempat di Kampung Tanggol di sini hari ini.
Tambahnya, apapun keputusan akan dibawa dalam mesyuarat pada minggu ini dan akan dimaklumkan kelak.
"Negeri ada berbeza-beza sebab pengundian pada hari Sabtu, ada yang cuti pada hari Jumaat untuk balik mengundi, tetapi di Terengganu, Jumaat memang dah cuti jadi kita tengoklah macam mana kita nak buat nanti," ujarnya.
12 Nov 22
1767
PRU15:Perang Bendera Makin Rancak
KUALA TERENGGANU, 10 November - Menjelang seminggu lagi tarikh pengundian Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) menyaksikan perang bendera semakin rancak di seluruh negeri termasuk di Terengganu.
Tinjauan mendapati hampir keseluruhan kawasan parlimen dipenuhi bendera parti yang bertanding sebagai strategi ‘perang’ psikologi bagi menunjukkan kekuatan parti masing-masing.
Setakat ini, PN dan BN dilihat lebih ke depan khususnya dari segi pemasangan bendera dan kewujudan bilik-bilik gerakan serta markas di sekitar negeri ini.
Rata-rata penduduk yang ditemui berkata pemasangan bendera menjelang setiap pilihan raya bertujuan menambah kehangatan ‘demam’ itu yang berlangsung sekali setiap lima tahun.
Pemasangan bendera di sekitar pinggir jalan dilakukan pada waktu petang dan malam agar tidak menganggu lalu lintas di sekitar laluan oleh jentera parti-parti terlibat.
SPR telah menetapkan tarikh pengundian awal pada 15 November ini manakala 19 November sebagai hari mengundi.
Terdapat seramai 922,586 pengundi berdaftar yang layak mengundi di seluruh Terengganu pada PRU-15 bagi lapan parlimen nanti.
12 Nov 22
359
PRU15 : PN Mampu Gugat Kubu Kuat BN Di Telemong
HULU TERENGGANU, 11 November - Calon Parlimen Hulu Terengganu (P038), Datuk Rosol Wahid mendakwa Dewan Undangan Negeri (DUN) Telemong bukan lagi kubu kuat Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini.
Katanya, UMNO dan BN DUN Telemong tidak mampu lagi mendabik dada dengan menganggap satu kawasan dalam parlimen Hulu Terengganu itu sebagai kubu tradisional mereka.
"Saya tak nampak bahawa UMNO boleh 'claim' DUN Telemong kubu kuat mereka kerana beberapa lubuk UMNO telah dapat ditembusi PAS.
"Contohnya, Felcra Bukit Kepah dan Kampung (Kg) Hulu Sat dah naik satu bendera besar PAS. Begitu juga di Kg Padang Setar selama 50 tahun PAS tidak boleh masuk ke kawasan tersebut tetapi sekarang dah boleh masuk.
"Keadaan yang juga berlaku di Kg Bukit Tadok dan Kg Lubuk Batu, dalam sejarah PAS boleh masuk ke kawasan berkenaan.Jadi UMNO tidak boleh berkata bahawa DUN Telemong masih kubu kuat mereka," ujarnya kepada pemberita selepas program ziarah pengundi di PPSK Menerong, Ajil, di sini hari ini
Menurut Rosol, tidak mustahil kawasan berkenaan akan memberi kejutan yang mampu membawa perubahan yang tidak pernah dijangka dalam PRU15 tidak lama lagi.
Tambahnya lagi, kempen berjalan lancar malah sambutan orang kampung memberangsangkan terutama golongan muda memberikan atas dasar isu nasional.
Rosol akan bertanding menggunakan logo PAS pada PRU-15 dan kali ini beliau dicabar Datuk Rozi Mamat (BN), Alias Ismail (PH) dan Mohd Khadri Abdullah (GTA).
Saingan Rosol untuk mempertahankan kerusi itu adalah Rozi yang pernah menjadi anak didiknya dan juga ADUN Telemong.
Rozi adalah bekas Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah Hulu Terengganu dan pernah mengajar di beberapa sekolah menengah, sebelum menyertai politik pada 2004 (PRU-11).
Rozi yang berasal dari Kampung Chapu menjadi ADUN Telemong sejak memenangi PRU12 dan mempertahankan kerusi itu pada PRU13 dan PRU14.
11 Nov 22
614
Pemimpin Berkaliber, Negara Stabil Pilihan Belia
HULU TERENGGANU, 10 November - Rata-rata pengundi muda berusia 18 hingga 21 tahun yang bakal mengundi buat pertama kali pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) mahukan calon yang mengubah nasib rakyat dan bukannya atas dasar manifesto sahaja.
Tinjauan mendapati mereka ini juga mahukan wakil rakyat yang berperanan mengharmonikan kawasan tanpa membezakan parti, warna kulit dan agama, selain efisien mendengar suara rakyat.
Seorang pengundi kali pertama, Anis Atirah Ismail, 21, berkata dia inginkan kestabilan negara semakin baik dan aman setelah pilihan raya serta mahukan pemimpin yang membuat kerja dan patuh ajaran agama.
“Saya nak tengok aman, tiada pergaduhan, tak mahu tengok pergaduhan menteri-menteri dan ahli politik dalam parlimen rebut jawatan.
“Kalau calon ini hanya sekadar cakap dan tak buat apa yang dia cakap itu calon yang tak berfungsi lah. Saya pilih calon yang banyak bantu rakyat dan ikut ajaran agama,” katanya.
Beliau yang bakal pulang mengundi di parlimen Hulu Terengganu pada 19 November ini berkata, dia juga lebih melihat kepada calon yang diketengahkan berbanding parti politik sebagai rujukan memilih wakil rakyat.
"Kami orang muda mengambil tahu mengenai perkembangan politik semasa namun melihat kepada ketidakstabilan sejak kebelakangan ini menyebabkan bukan sahaja saya tetapi golongan muda menjadi bosan.
"Suasana politik sekarang sudah jauh berubah dengan pengundi lebih bijak membuat pilihan dalam menentukan pembentukan sesebuah kerajaan lebih stabil dari kerajaan yang mengamalkan korupsi dan tidak amanah," katanya ketika ditemui pemberita.
Seorang lagi pengundi muda, Ahmad Nizam Mukhtar, 19, berkata, berkata, dia turut melihat kepada calon yang diketengahkan terlebih dahulu sebelum membuat pilihan.
“Saya membuat rujukan melalui media-media sosial sekarang maklumat mengenai perkembangan politik kerana mudah diperoleh.
"Oleh sebab itu, calon-calon perlu agresif mendekati pengundi muda yang dilihat mampu menjadi penentu kepada kemenangan sesebuah parti politik itu," ujarnya lagi.
Seorang lagi remaja yang bakal mengundi kali pertama, Muhammad Amaluddin Mat Jusuh, 22, berkata dia mahukan calon yang menjaga kebajikan rakyat, turun padang dengar keluhan rakyat bagi ringankan beban mereka.
"Saya tidak mahu calon yang menjanjikan bulan bintang tetapi tidak amanah selepas menjadi wakil rakyat tetapi calon yang mampu menegakkan dan melaksanakan undang-undang Islam dan menjaga rakyat sebaik mungkin," katanya.
Berdasarkan statistik umur Daftar Pemilih setakat 9 Oktober lalu sebanyak 5,467 pemilih berusia 18 hingga 20 tahun akan mengundi kali pertama pada PRU-15 di Parlimen Hulu Terengganu dan ini tidak termasuk 19,733 pemilih berusia 21 hingga 29 yang sebahagianya juga merupakan pengundi kali pertama.
10 Nov 22
294
Rosol Fokus Kempen Bertemu Pengundi
HULU TERENGGANU, 9 November - Berbaki sepuluh hari kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), calon Parlimen Hulu Terengganu (P038), Datuk Rosol Wahid menggandakan usaha meraih sokongan daripada golongan sasar.
Menurutnya, tempoh berkempen 14 hari yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan digunakan semaksimum mungkin untuk berjumpa dengan akar umbi.
Tambah Rosol, kempen yang dilaksanakan sudah melebihi 50 peratus di parlimen Hulu Terengganu meliputi empat Dewan Undangan Negeri(DUN) iaitu Kuala Berang, Manir, Ajil dan Telemong.
"Alhamdulillah, sambutannya cukup menggalakkan dan saya nampak akar umbi menyokong perpaduan dan kebersamaan parti-parti melayu ini yang menjadi satu kelebihan kepada kita dalam menghadapi PRU15.
"Jadi insya-Allah dengan sokongan, dokongan dan juga semangat yang ditunjukkan oleh akar umbi sama ada mereka yang berparti dan tidak berparti, atas pagar..mereka mengharapkan perpaduan dan juga kesatuan parti-parti melayu di Malaysia ini, itu mesej yang saya terima setakat ini,"ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas bertemu penerima Bantuan Pencen Rakyat, OKU dan Ibu Tunggal Dun Manir di Kompleks al-Kawthar Kubang Lembek, Manir, di sini hari ini.
Katanya, jentera parti sudah menyusun gerak atur beliau sebagai seorang calon untuk berkempen menyantuni penduduk di seluruh Hulu Terengganu dan juga para pengundi di situ.
Tambah beliau, perhatian juga diberikan terhadap pemilih baharu pada PRU15 yang kebanyakan daripada mereka terdiri daripada pengundi tidak berparti dan kumpulan pengundi muda.
"Pengundi kali pertama ada peningkatan terutama kalangan anak muda yang mahir dengan media sosial yang tahu masalah dan isu negara.
"Mereka memahami hal tersebut dan mengakui itu perlu dihentikan serta merta dengan menolak parti yang bersahabat dan bersama dengan mereka yang tidak amanah...supaya negara lebih berjaya dan aman," katanya.
09 Nov 22
321
Dakwaan Idris Hanya Provokasi Murahan
HULU TERENGGANU, 9 November - Calon Perikatan Nasional (PN-PAS) Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid menganggap tuduhan yang menyatakan dirinya masih berjiwa UMNO sebagai satu provokasi pihak pembangkang bagi meraih undi di Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15).
Katanya, tohmahan itu bertujuan untuk melemahkan sokongan rakyat di Hulu Terengganu terhadapnya terutama penyokong PAS.
“Saya menghormati Tan Sri Idris Jusoh sebagai ‘sifu’ saya yang banyak mengajar cara mengurus dan juga menjadi pemimpin. Sebelum saya berhijrah parti, saya dah maklum kepada beliau dan pada peringkat awal dia bersetuju saya berhijrah daripada UMNO kepada Bersatu.
“Kalau dia kata saya masih berjiwa UMNO walaupun bersama PAS, itu adalah provokasi sebab saya nampak tiada isu orang nak ‘serang’ saya berkaitan rasuah, tidak berakhlak, isu projek dan sebagainya setakat ini sejak 1999 lagi hingga sekarang, Alhamdulillah.
“Pembangkang akan mencari isu untuk melemahkan saya. Paling penting saya berhijrah daripada satu kelompok yang dipimpin oleh mereka-mereka yang tidak amanah kepada kelompok yang setakat ini amanah,” katanya kepada pemberita di Kompleks al-Kawthar Kubang Lembek, Manir, di sini hari ini.
Rosol yang juga Timbalan Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Terengganu berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan bekas Ahli Parlimen Besut, Idris Jusoh bahawa, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna itu adalah individu yang berjiwa Umno.
Dalam masa yang sama, Idris percaya penyokong PAS di Parlimen itu berat hati untuk membantu kempen dan menyokong calon PN, Datuk Rosol Wahid yang merupakan bekas pemimpin UMNO.
09 Nov 22
830
Manisfesto PN Berpijak Di Bumi Nyata
HULU TERENGGANU, 8 November - Calon Parlimen Hulu Terengganu (P038), Datuk Rosol Wahid menyifatkan manisfesto yang ditawarkan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) secara keseluruhannya adalah sangat baik, menyeluruh dan rasional serta dinanti-nantikan oleh rakyat.
Katanya, 12 tunjang PRU15 yang ditawarkan PN itu, menjadi antara pilihan yang terbaik untuk rakyat dan negara khususnya oleh golongan B40, anak muda dan belia di negara ini.
"Manifesto PN berpijak di bumi nyata dan yang mampu direalisasikan ...bukan satu janji kosong.
"Kita janji dan kita buat, saya yakin dengan tawaran yang diberikan ini akan ditunaikan oleh PN jika diberi kuasa memerintah pada 19hb ini,"ujarnya ketika ditemui pemberita.
Sebelum ini, PN menawarkan 12 tunjang utama, 30 pendekatan dan 234 tawaran menerusi manifestonya sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bertemakan 'Prihatin, Bersih dan Stabil' atau PN Best.
Antaranya membina ekonomi masa hadapan, meningkatkan nilai dan taraf hidup rakyat serta membersihkan politik dan tadbir urus merupakan antara 12 tunjang yang ditawarkan PN sekiranya mendapat mandat rakyat pada PRU15 nanti.
Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tawaran itu digubal dengan mengambil kira pandangan dan sentimen rakyat dalam perkara yang dianggap penting oleh mereka.
08 Nov 22
405
Tiga Fokus Utama Cikgu Rosol Di Hulu Terengganu
HULU TERENGGANU, 8 November - Tiga fokus utama akan diberi tumpuan calon Parlimen Hulu Terengganu (P038), Datuk Rosol Wahid jika Perikatan Nasional (PN-PAS) menang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.
Katanya, beliau tekad mahu terus menambah baik segmen kebajikan, pendidikan dan pembangunan bagi meningkatkan kelestarian hidup rakyat.
"Saya berpendirian kebajikan rakyat adalah perkara penting yang perlu diberikan tumpuan ketika ini dengan utamakan anak orang susah, anak yatim dan orang miskin.
"Contohnya kita akan bina lebih banyak rumah untuk elak rakyat membayar sewa bagi yang tidak ada rumah lagi.
"Keduanya, agenda pendidikan yang memastikan setiap pelajar yang melanjutkan pelajaran ke universiti mempunyai laptop dan jika terdapat orang susah, anak yatim yang tidak mampu membiayai pelajaran kerana masalah kewangan, boleh maklum kepadanya," katanya ketika ditemui selepas program ziarah di Kampung Tajin, di sini hari ini.
Seterusnya beliau yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berkata, perkara ketiga ialah pembangunan setempat.
"Banyak aset yang perlu diketengahkan, kita ada Tasik Kenyir, Sekayu, Belukar Bukit, ada banyak bukit untuk program pendakian (hiking) yang perlu dijenamakan semula dan dibangunkan.
"Contohnya Sekayu yang menjadi tumpuan satu ketika dulu, sekarang hilang serinya, jadi kita akan kerjasama dengan kerajaan negeri untuk kembalikan kegemilangan kawasan tersebut," tambah beliau lagi.
Berdepan saingan empat penjuru, beliau menghadapi tentangan Datuk Rozi Mamat (Barisan Nasional), Alias Ismail mewakili Pakatan Harapan (PH) sementara Mohd Khadri Abdullah calon Pejuang.
Rosol yakin mampu memenuhi kemahuan rakyat andainya diberi mandat pada PRU15 ini.
"Banyak perkara yang terbantut dan ketinggalan sebelum ini dan semuanya perlu diperbetulkan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU) ini," ujarnya.
08 Nov 22
702
Syarahan Umum Martabatkan Itqan Al Muluk Bil Ta’dil Al Suluk
Kerajaan negeri melalui Institut Kajian Sejarah dan Perundangan Diraja Terengganu (R-TIHiLS) menganjurkan syarahan umum bertemakan 111 Tahun Itqan Al Muluk Bil Ta’dil Al Suluk yang disampaikan oleh Prof. Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria.
07 Nov 22
311