Artikel "Semasa" Terkini
Awas, Tiga Paras Sungai Tahap Bahaya Di Terengganu
HULU TERENGGANU, 9 Disember - Penduduk di beberapa daerah di negeri ini dinasihatkan sentiasa berwaspada serta mematuhi arahan pihak berkuasa berikutan paras air di tiga sungai kini melepasi tahap bahaya.
Menurut laman web rasmi publicinfobanjir.water.gov.my yang dikemaskini jam 9.00 pagi pada Jumaat, Sungai Telemong di Kuala Ping, Hulu Terengganu berada pada paras 20.81 meter iaitu 1.11 meter melebihi tahap bahaya.
Selain itu, dua lagi sungai di Setiu iaitu Sungai Chalok di Jambatan Chalok (9.25 meter) dengan 0.85 meter melepasi tahap bahaya dan Sungai Nerus di Kampung Langkap (21.43 meter) iaitu 0.43 meter melebihi tahap bahaya.
Sementara itu, Sungai Besut di Kampung La, Besut kini melepasi tahap waspada dengan paras 20.52 meter melebihi 0.72 di tahap waspada.
Selain itu, Sungai Nerus di Kampung Bukit, Setiu juga menunjukkan trend menaik dan telah melebihi paras bahaya dengan ketinggian 12.17 meter.
Secara umumnya hujan lebat direkodkan turun menyeluruh di semua kawasan negeri Terengganu meyebabkan peningkatan paras sungai.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pada pagi jumaat mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap bahaya yang dijangka berlaku di Terengganu dan Kelantan bermula 9 hingga 10 Disember.
09 Dec 22
410
200 Sekolah Dijadikan PPS
DUNGUN, 8 Disember - Sebagai persediaan menghadapi banjir pada kali ini, 200 buah sekolah rendah dan menengah di negeri ini bersiap sedia bagi dijadikan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) untuk menempatkan mangsa bencana tersebut.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, Abdul Muie Ngah berkata, pihaknya telah mengadakan mesyuarat di peringkat negeri, daerah dan setiap sekolah terlibat agar bersiap sedia untuk menerima mangsa banjir nanti.
"Kita juga akan benarkan asrama sekolah digunakan untuk kegunaan mangsa banjir sekiranya tidak berpenghuni ketika banjir melanda," katanya selepas merasmikan Kempen Keselamatan Murid-Murid Sekolah Rendah Daerah Dungun bersama Hibiscus Petroleum, di sini, baru-baru ini.
Dalam pada itu pihaknya telah turut mengenal pasti beberapa buah sekolah yang sering ditengelami banjir membabitkan beberapa daerah termasuk Dungun, Hulu Terengganu dan Besut.
"Sekolah yang berada di kawasan rendah ini diarahkan bersiap sedia untuk menempatkan barang di tempat yang tinggi, sekiranya berlaku ketika sesi persekolahan alternatif lain termasuk (akan) memberikan cuti peristiwa untuk pelajar.
"Manakala guru yang terlibat bencana banjir, perlu melapor diri di Pejabat Pendidikan daerah terdekat atau sekolah berhampiran,"ujarnya lagi.
08 Dec 22
368
'Bubar DUN Bila Tiba Masa'
Menteri Besar Terengganu yang juga Naib Presiden PAS, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyatakan pihaknya akan memaklumkan mengenai tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu apabila tiba masanya.
07 Dec 22
184
Golongan OKU TAPAi Terima sumbangan Primula Beach Hotel
KUALA TERENGGANU, 7 Disember - Golongan orang kelainan upaya (OKU) tidak wajar disisih dan dipandang rendah oleh masyarakat, sebaliknya perlu diberi perhatian sewajarnya.
Justeru itu, Primula Beach Hotel melalui inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) mengambil peluang menyantuni mereka dengan memberi sumbangan berbentuk makanan dan cenderahati kepada OKU yang menjalani latihan dan menghasilkan produk kraftangan tempatan berkualiti tinggi di Butik dan Bengkel Kraftangan TAPAi, sebuah anak syarikat Koperasi Komuniti Cakna Wakaf Tapai Marang Berhad.
Pengurus Besarnya, Suaibah Harun berkata program seumpama ini berupaya membuka mata masyarakat agar lebih mengambil berat terhadap insan istimewa dan memupuk interaksi sosial yang sihat dan positif di antara golongan ini bersama Primula Beach Hotel.
Katanya, program ini juga dapat menjadi platform terbaik sebagai medan kesedaran dalam memberi peluang dan ruang kepada golongan OKU untuk menunjukkan bakat dan menghargai hasilnya walaupun dengan kekurangan diri mereka.
“Dengan sedikit sumbangan ikhlas ini, diharapkan Primula Beach Hotel dapat membakar semangat mereka agar terus maju kehadapan dan berusaha meningkatkan kualiti produk tempatan terutamanya Batik dan Songket Terengganu.
“Secara tidak langsung dapat menyedarkan masyarakat betapa penting kepedulian dan pembangunan di kalangan OKU dan berharap agar orang ramai dapat membantu dengan memberi sumbangan mahupun menaja sebarang aktiviti yang ingin dijalankan pada masa akan datang,”ujarnya kepada pemberita.
Tambahnya, usaha berterusan membantu golongan OKU merupakan satu tindakan yang wajar demi membolehkan golongan ini memberikan sumbangan berkesan kepada negara.
Butik dan Bengkel Kraftangan TAPAi ditubuhkan pada tahun 2017, yang bertujuan untuk menjadi salah satu platform bagi membantu dan mengasah bakat golongan kurang upaya untuk menghasilkan produk kraftangan batik yang sinonim dengan negeri Terengganu sebagai penghasil produk batik yang berkualiti tinggi.
Hasil jualan dari produk tersebut disalurkan kepada golongan orang orang kurang tersebut sebagai sumber pendapatan atau gaji untuk kegunaan harian kehidupan mereka.
07 Dec 22
153
TDM Bayar Perkongsian Keuntungan RM2.7 Juta Kepada LTAWNT
KUALA TERENGGANU, 7 Disember - Syarikat kerajaan negeri, TDM Berhad membuat pembayaran perkongsian keuntungan sebanyak RM2.7 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 (TK2021) kepada Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAWNT).
Pengarah Eksekutif TDM, Najman Kamaruddin berkata Kumpulan TDM mencatatkan pertumbuhan kewangan memberangsangkan hasil prestasi cemerlang daripada bahagian perladangan. membolehkan syarikat sekali lagi berpeluang menjana keuntungan usaha sama yang lebih besar buat LTAWNT berbanding RM1.9 juta pada TK2020.
“Pembayaran perkongsian keuntungan usaha sama berterusan oleh Kumpulan TDM mencerminkan keupayaan syarikat dalam menguruskan aset dan sebuah penghargaan atas sokongan yang diberikan oleh rakan kongsi perniagaan serta pelabur. Selain itu, ia juga merupakan bukti komitmen syarikat dalam memberikan pulangan yang mampan bagi setiap pelaburan yang diamanahkan.
“TDM komited untuk terus menjana pembayaran perkongsian keuntungan yang lebih besar untuk TK2022 dan tahun-tahun akan datang selari dengan usaha menambah baik kecekapan operasi, dan pada masa yang sama memaksimumkan keuntungan,” ujar beliau ketika ditemui pemberita di Majlis Penyerahan Cek di Wisma Darul Iman di sini hari ini.
Cek pembahagian keuntungan itu diserahkan Pengarah Eksekutif TDM, Najman Kamaruddin kepada Setiausaha LTAWNT, Nor Azam A Rahman @ Yusof sambil disaksikan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu merangkap Pengerusi TDM, YBM Tengku Seri Bijaya Raja.
Menurut beliau, Bahagian Perladangan Kumpulan TDM menunjukkan prestasi yang kukuh pada TK2021 hasil harga minyak sawit mentah (CPO) dan juga isirong sawit (PK) yang tinggi.
Jelasnya lagi, pendapatan segmen meningkat 19.6 peratus kepada RM287.3 juta (TK2020: RM240.3 juta), dan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) melonjak hampir dua kali ganda (96.5 peratus) kepada RM176.4 juta berbanding RM89.8 juta tahun sebelumnya.
Justeru itu, Najman berkata TDM yakin dengan keupayaannya untuk merekodkan prestasi yang cemerlang pada suku terakhir TK2022 sekali gus membina momentum positif daripada keputusan operasi yang memberangsangkan pada TK2021.
“Dengan dorongan usaha proaktif cabang perniagaan perladangan dan penjagaan kesihatan, Kumpulan TDM berhasrat untuk memberi nilai tambah yang lebih baik kepada pihak berkepentingan menerusi pertumbuhan mampan di masa hadapan,”katanya.
LTAWNT memiliki 1,336 hektar ladang kelapa sawit terletak di Ladang Air Putih yang kini diuruskan bahagian perladangan TDM Berhad, TDM Plantation Sdn Bhd (TDMP) menerusi usaha sama sejak 1996.
07 Dec 22
267
60 Penjawat Awam Terengganu Terima APC
KUALA TERENGGANU, 6 Disember- Seramai 60 warga perkhidmatan awam Negeri Terengganu terdiri daripada pelbagai gred dan jawatan menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) dalam majlis yang berlangsung di Wisma Darul Iman, hari ini.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja berkata, penghargaan tersebut bagi mengiktiraf pegawai dan kakitangan negeri yang telah menunjukkan prestasi perkhidmatan cemerlang dalam khidmat bakti kepada pentadbiran kerajaan Negeri Terengganu.
“Komitmen, iltizam dan kesungguhan yang diberikan oleh semua warga kerja penjawat awam negeri Terengganu ini yang saya dapat sifatkan sebagai menjadi teras kewibawaan dan kekuatan kita untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada semua.
“Pentadbiran negeri sangat komited dalam mengiktiraf hasil kerja, komitmen dan jasa yang diberikan oleh penjawat awam dengan menyediakan pelbagai anugerah,” ujarnya ketika berucap di Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Peringkat Negeri Terengganu 2022 yang disempurnakan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar itu.
Pada majlis tersebut, penerima APC menerima insentif berupa wang tunai RM5,000, plak serta sijil penghargaan.
Katanya, dengan pemberian APC tersebut ianya diharap dapat menggalakkan lagi pegawai dan kakitangan untuk terus memberikan komitmen dan daya usaha untuk mempertingkatkan lagi produktiviti dan mutu kerja yang berkualiti.
“Ini sekali gus menjadikan perkhidmatan kerajaan kekal sebagai perkhidmatan yang relevan dan diyakini oleh rakyat.
“Pengiktirafan ini juga seharusnya mewujudkan persaingan yaang sihat di kalangan semua pegawai dan kakitangan untuk membuktikan keupayaan masing-masing menghasilkan perkhidmatan yang terbaik,” katanya.
Beliau turut merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada semua penerima dan mengharapkan anugerah tersebut dapat menjadi suntikan motivasi dan juga penghargaan kepada semua penjawat awam.
“Semoga dengan pengiktirafan ini akan membangkitkan lagi semangat untuk mencurahkan bakti kepada negeri dan negara serta meningkatkan azam untuk berusaha dengan lebih gigih dan penuh iltizam pada masa akan datang bagi menaikkan lagi imej pengkhidmatan awam,” ujarnya.
06 Dec 22
1243
'Bubar DUN Bila Tiba Masa'
KUALA TERENGGANU, 6 Disember- Menteri Besar Terengganu yang juga Naib Presiden PAS, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyatakan pihaknya akan memaklumkan mengenai tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu apabila tiba masanya.
Bagaimanapun, beliau memberi jaminan ianya akan dilakukan sebelum tempoh penggal berakhir bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).
“PRN akan dilaksanakan bila bubarnya DUN, bila sampai waktu dan ketika saya akan maklum.
“Itu belum tentu lagi selepas atau belum raya, sebelum berakhir tempoh InsyaAllah kita bubarlah,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Peringkat Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman, hari ini.
Mengulas mengenai kenyataan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim yang menyifatkan momentum sokongan rakyat yang dilihat berpihak kepada Perikatan Nasional (PN) ketika ini menjadi waktu terbaik kepada gabungan itu membubarkan DUN di Kedah, Kelantan dan Terengganu, Ahmad Samsuri berkata, pihaknya akan mempertimbangkan cadangan yang dikemukakan pihak lain berkaitan tarikh PRN sebelum membuat keputusan muktamad.
"Kita terima itu sebagai satu cadangan termasuk cadangan-cadangan lain daripada orang lain untuk kita pertimbangkan mana yang paling sesuai," katanya.
Tambah beliau, perbincangan tidak rasmi juga telah diadakan bersama dengan Menteri Besar dari negeri yang belum mengadakan PRN dan pihaknya akan mencari ruang dalam waktu yang sama bagi melakukan pembubaran supaya PRN dapat diadakan serentak.
“Samada kita adakan perbincangan rasmi atau tidak, objektifnya sama iaitu kita akan cuba cari ruang supaya waktu yang sama pembubaran itu,” ujarnya.
06 Dec 22
666
Ulama Malaysia Perlu Bersatu Hati
KUALA TERENGGANU, 5 Disember - Kerajaan Terengganu menggesa ulama dan ahli agama di Malaysia bersatu hati serta menggembleng tenaga dalam mempertahankan jati diri umat Islam pada hari ini mengikut pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWAJA).
Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Dato' Satiful Bahri Mamat berkata, setiap ijtihad bagi menentukan fatwa mestilah disepakati oleh semua ulama tanpa ada kepentingan.
Katanya, ia bagi memastikan anggota masyarakat tidak terkeliru sekali gus mengelakkan berlakunya perbalahan serta perpecahan.
"Hari ini ramai yang mendakwa dirinya sebagai seorang ulama dengan mengeluarkan ijtihad namun sebenarnya tidak layak untuk berbuat demikian kerana tidak cukup syarat, malah ada yang mengisytiharkan kepada orang ramai.
"Hasilnya ijtihad yang dikeluarkan telah menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat dengan memberikan gambaran buruk terhadap kedudukan ulama di Malaysia,"katanya.
Beliau berkata demikian, ketika merasmikan program Multaqa Ulama Nusantara Negeri Terengganu, di Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam, semalam.
Mengulas lanjut katanya, usaha memartbatkan akidah ASWAJA di Malaysia merupakan agenda penting bagi memastikan kelangsungan kemajuan umat Islam.
"Kesatuan akidah akan menentukan keseragaman langkah umat Islam menuju kejayaan.
"Dalam hal ini, pengembelingan usaha perlu dilakukan oleh seluruh umat Islam sama ada secara langsung atau tidak langsung," ujarnya lagi.
04 Dec 22
484
Terengganu Sasar Tarik Pelaburan RM5 Bilion Pada 2023
KUALA TERENGGANU, 1 Disember- Kerajaan negeri menyasarkan untuk menarik pelaburan sebanyak RM5 bilion membabitkan beberapa pelabur dari dalam dan luar negara, tahun hadapan.
Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri, Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar berkata, pihaknya percaya jumlah itu dapat dicapai memandangkan setakat ini tiga syarikat menunjukkan minat untuk melabur di negeri ini.
Katanya, Syarikat Xinyi Glass Holding Limited menunjukkan minat untuk melabur dalam industri berasaskan pembuatan kaca dengan nilai pelaburan berjumlah RM1.2 bilion di Telok kalong, Kemaman.
“Dengan nilai pelaburan RM2 bilion, Syarikat Xinda Development Sdn Bhd pula mahu melabur dalam industri pembuatan seramik di Cheneh.
“Manakala Syarikat Siang Joo Enterprise Sdn Bhd berminat melabur dalam industri berasaskan pemprosesan dan penghantaran barangan dengan nilai pelaburan RM2 juta di Batu Rakit, Kuala Nerus,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ir Saiful Azmi Suhaili ( ADUN Kemasik) pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima, Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-14 (Bajet) di Wisma Darul Iman di sini, hari ini.
Dalam pada itu katanya, berdasarkan data yang diperolehi daripada agensi-agensi pelaburan di Terengganu, sebanyak RM3.76 bilion jumlah pelaburan yang berjaya dicapai oleh kerajaan negeri untuk tempoh Januari hingga Oktober tahun ini,
01 Dec 22
619
Multaqa Ulama Nusantara Mekanisme Perkukuh Kefahaman Rakyat
KUALA TERENGGANU, 1 Disember - Multaqa Ulama Nusantara yang kembali diadakan buat kali kedua pada Ahad ini akan menjadi meknisme untuk memperkukuhkan kefahaman dan menyatukan pemikiran rakyat di negeri ini.
Mufti Terengganu, Prof Madya Dr Mohamad Sabri Haron berkata, program berkenaan akan disajikan dengan pengisian dari mufti yang dijemput khas dari Perak, Wilayah Persekutuan, Kelantan dan juga Timbalan Mufti Negeri Sembilan.
Selain turut mengundang, Ahli Majlis Agama Islam Pattani, Ketua Istinbat Jabatan Mufti Kerajaan Brunei Darussalam dan kemuncak acara akan diserikan dengan Bicara Ummah Ulama Nusantara oleh Pensyarah Agama Islam Universiti Indraprasta PGRI, Jakarta serta Penceramah Indonesia, Dr. Das'ad Latif.
"Multaqa pada kali ini lebih memfokuskan kepada persoalan-persoalan berkaitan akidah, cabarannya dan pelbagai masalah-masalah yang ada pada masa kini, jadi kita cuba mewujudkan suatu perbincangan yang meluas daripada cendekiawan ini.
"Ingin mewujudkan kerjasama dengan seluruh masyarakat supaya dapat maklumat yang tepat mengenai isu yang dibincangkan dan dapat disampaikan kepada semua pihak ataupun seluruh khalayak, maklumlah pada masa sekarang dengan pelbagai isu yang ada dengan adanya ajaran sesat sehingga ada yang mengaku sebagai Imam Mahdi,"ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika bersiara langsung di TV Darul Imam memperomosikan program berkenaan, hari ini.
Mengulas lanjut katanya, program berkenaan membuka seluas-luasnya kepada seluruh umat Islam juga terbuka kepada golongan bukan Islam.
"Ramai golongan 'non muslim' juga sebenarnya berminat untuk mendalami Islam cuma hidayahnya belum sampai.
"Secara umumnya penganjuran program adalah secara terbuka, juga yang disenaraikan akan hadir antanta seluruh pegawai, kakitan jabatan, agensi kerajaan negeri dan persekutuan juga akan turut serta badan kehakiman syariah dari luar negeri negeri Terengganu.
"Warga-warga pendidik, guru-guru pondok, pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT), pelajar sekolah, dan sudah tentu kepada seluruh masyarakat awam mereka bebas untuk datang bersama-sama melihat untuk menangani pelbagai isu yang berlegar dalam kalangan masyarakat hari ini dan diselesaikan secara tuntas,"ujarnya lagi.
01 Dec 22
402