Artikel "Semasa" Terkini
Keluarga Pertanian Terengganu Terima Penghargaan
Keluarga Pertanian Terengganu menerima anugerah penghargaan dalam acara tahunan.
08 Jan 23
170
100 Acara Pelancongan Menarik Tonjol Keunikan Terengganu
Sebanyak 100 acara pelancongan dan kebudayaan menarik mengisi Kalendar Acara Tahunan (COE) 2023 Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Terengganu kali ini.
08 Jan 23
194
MAIS Sumbang RM200 Ribu Bantu Mangsa Banjir Di Terengganu Dan Kelantan
KUALA TERENGGANU, 8 Januari – Terengganu dan Kelantan bakal menerima bantuan banjir, masing-masing berjumlah RM100,000 daripada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS)
Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, ia sebagai tanda keprihatinan terhadap nasib mangsa banjir yang terjejas di kedua-dua negeri baru-baru ini.
“Setiap negeri masing-masing menerima RM100,000 dalam bentuk wang tunai RM50,000 dan 500 pek makanan seperti beras, tepung, minyak dan gula.
"Sumbangan akan diserahkan kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam).
“Ini merupakan tradisi MAIS apabila ada sahabat dari negeri lain mengalami kesusahan seperti banjir, tanah runtuh atau kemalangan kita akan bantu seperti mana Selangor juga pernah menerima bantuan ketika dilanda banjir 2021,”katanya.
Jelas beliau, sumbangan RM200,000 tersebut meliputi peruntukan daripada Baitulmal MAIS, Perbadanan, Wakaf Selangor (PWS), Universiti Islam Selangor (UIS).
Turut terbabit dalam menyediakan peruntukan berkenaan ialah Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE), Bakti Suci Holdings Sdn Bhd (BSHSB) dan Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd (Teras).
"Daripada jumlah itu, MAIS menyumbang wang tunai sebanyak RM125,000, manakala agensi dan anak syarikat MAIS iaitu PWS, UIS, YIDE, BSHSB dan Teras menyumbang sumbangan terkumpul sebanyak RM75,000,” ujarnya lagi.
Sebelum ini, MAIS menyumbang RM300,000 kepada penduduk Kelantan dan Terengganu yang terkesan banjir pada Mac tahun lalu sebagai tanda solidariti antara majlis agama Islam negeri-negeri bagi menyantuni mangsa banjir.
08 Jan 23
412
Kerugian Sektor Pertanian, Penternakan, Perikanan Lebih RM88 Juta
Sektor pertanian, penternakan dan perikanan di negeri ini mengalami kerugian lebih RM88 juta akibat bencana yang melanda pada tahun lalu.
08 Jan 23
146
600 Pelajar Terjejas Banjir Terima Bantuan
BESUT, 8 Januari – Seramai 600 pelajar yang terjejas dalam kejadian banjir besar melanda di daerah ini pada bulan lalu menerima kit bantuan barangan keperluan persekolahan melalui Misi Bantuan Banjir Ganu Eco Charity 3.0.
Presiden Pertubuhan Forum Udara Bersih (MyCAS) yang juga pensyarah di Fakulti Teknologi Kejuruteraan dan Informatik Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr Noor Zaitun Yahaya berkata ia bagi meringankan beban pelajar berkenaan.
"Misi bantuan kebajikan itu digerakkan selepas melihat kesan bencana teruk yang menimpa mangsa di beberapa daerah di Terengganu merupakan program pengagihan siri ketiga selepas bantuan yang sama diadakan di daerah Dungun baru-baru ini.
"Semua penerima sumbangan merupakan pelajar terpilih daripada 11 buah sekolah menengah dan rendah di daerah Besut,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Sumbangan tersebut disampaikan Dekan Fakulti Teknologi Kejuruteraan dan Informatik UMT, Prof Ir Dr Mohammad Fadhli Ahmad dalam satu majlis diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Nering di sini pada Sabtu.
Menurut beliau, program tersebut mendapat sokongan daripada Yayasan Hasanah serta beberapa NGO yang lain seperti Pertubuhan Aspirasi Jaringan Wanita Malaysia (AJWA), Majlis Dewan Wanita Terengganu MDWNT, Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA).
Selain itu katanya, turut mendapat perhatian Persatuan Persaudaraan Muslimah Malaysia (SALIMAH) Terengganu, Pertubuhan IKRAM Negeri Terengganu, Kelab MUTIARA, UMT dan Ngukah Walk Fit Hulu Terengganu.
Tambahnya lagi,selain keperluan sekolah, sebanyak 300 pek bantuan berupa kit kebersihan dan barangan dapur turut diagihkan kepada keluarga mangsa terjejas banjir melibatkan dana keseluruhan berjumlah RM40,000.
08 Jan 23
572
100 Acara Pelancongan Menarik Tonjol Keunikan Terengganu
KUALA TERENGGANU, 5 Januari- Sebanyak 100 acara pelancongan dan kebudayaan menarik mengisi Kalendar Acara Tahunan (COE) 2023 Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Terengganu kali ini.
Pengerusi Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, jumlah itu melibatkan 17 acara ikonik dan 83 acara lain yang disusun rapi oleh
Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT) dalam usaha mencapai sasaran tiga juta pelancong ke Terengganu pada tahun ini.
Katanya, COE 2023 juga sebagai usaha menggandakan jumlah kedatangan pelancong tempatan dan antarabangsa ke Terengganu sekaligus menjadikan negeri ini sebuah destinasi utama percutian.
“100 acara ini dikumpulkan dari perbincangan bersama pelbagai pihak termasuk pejabat daerah, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pelbagai persatuan serta kelab supaya tidak berlaku pertembungan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran COE 2023 Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Terengganu di Paya Bunga Hotel, hari ini.
Turut hadir, Pengarah JPNT, Fadli Yusof Zakaria.
Katanya, Karnival Beautiful Terengganu Malaysia (BTM) yang bakal berlangsung selama empat hari bermula 23 Februari nanti di Padang Astaka Kemaman merupakan acara pertama sebagai pembuka tirai COE 2023.
“Ia bakal disusuli dengan acara lain antaranya Konsert Cilik Gamelan, Karnival Merakyatkan Budaya, Kapas Marang Internasional Swimathon 2023, Karnival Pantai Terengganu, Fiesta Candat Sotong dan Pelita Raya Tradisi Terengganu,” katanya.
Menurut beliau, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM4.5 juta bagi memastikan industri pelancongan Terengganu pada tahun ini terus berkembang pesat.
“Daripada jumlah itu, sebanyak RM1 juta diperuntukkan melalui Geran Pelancongan Darul Iman (GPDI) yang membolehkan mana-mana penggiat industri pelancongan, persatuan dan NGO menganjurkan pelbagai aktiviti dan program berimpak tinggi untuk rakyat negeri ini,” katanya.
05 Jan 23
907
'Kerajaan Negeri Sudah Tawar Rumah Kepada Pengadu'
KUALA TERENGGANU, 4 Januari - 52 penduduk Kampung Pulau Sekati yang diarah mengosongkan kawasan kediaman mereka oleh pemilik sebenar tanah tersebut telah ditawarkan menduduki Projek Perumahan Rakyat (PPR) Bukit Nenas.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dato' Dr Alias Razak berkata, selain itu, penduduk terbabit turut diberi pilihan untuk mendiami tanah milik kerajaan di Tepoh.
Katanya, tawaran itu adalah yang terbaik boleh diberikan kepada penduduk berkenaan untuk mereka mempunyai kediaman dengan kadar segera.
“Semasa peringkat awal kes ini iaitu sekitar setahun lepas, kita tawarkan tanah di Tepoh atau rumah pangsa di Bukit Nenas tetapi mereka tolak.
“Sebaliknya mereka minta untuk duduk di atas tanah rezab di tepi sungai di kawasan terbabit atas sebab-sebab tertentu, namun kerajaan tetap tidak memberi kelulusan atas faktor keselamatan.
“Setelah keputusan mahkamah perintah berpindah, baru mereka setuju untuk berpindah ke PPR Bukit Nenas,” ujarnya ketika dihubungi pemberita, hari ini.
Katanya, pihak Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Tunggal telah memasukan semula sembilan orang yang layak untuk memiliki rumah PPR di Bukit Nenas.
"Sementara seorang tidak layak kerana telah dapat Rumah Mampu Milik di Pulau Duyung," jelasnya.
Tambah beliau, sementara menunggu untuk berpindah masuk ke PPR Bukit Nenas, pihak Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu (MAIDAM) Terengganu akan menanggung bayaran sewa rumah golongan asnaf di kalangan penduduk terbabit.
Harian Metro sebelum ini melaporkan, seramai 52 penduduk Kampung Pulau Sekati, di sini tidak lena tidur mengenangkan nasib mereka yang diarahkan mengosongkan kawasan kediaman sebelum 17 Januari ini.
Bukan saja mereka diarahkan berpindah, malah 10 kediaman terbabit selepas pemilik tanah mahu mengambil semula penempatan itu juga mesti dirobohkan sendiri penduduk.
04 Jan 23
3337
TVDI Mula Bersiaran Lapan Jam Sehari, Lebih Segar
KUALA TERENGGANU, 3 Januari - TV Darul Iman (TVDI) yang diuruskan oleh Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) akan bersiaran lapan jam sehari dengan pengisian yang lebih segar untuk tahun 2023.
Pengarah UPDI, Mohd Soud Said@Ali berkata, program pada setiap hari Ahad hingga Khamis itu akan bersiaran seawal jam 8.00 pagi.
"Seiring dengan perkembangan terkini, semestinya gabungan penghasilan kandungan program yang berkualiti melalui platform teknologi terkini menerusi media sosial, pihak kami akan Cuba memberikan perkhidmatan yang terbaik untuk rakyat.
"UPDI akan terus merencana pendekatan yang bijaksana dan berhemah dalam meningkatkan kefahaman rakyat dalam pelbagai sudut termasuk memahami pelaksaan sesebuah dasar dan inisiatif yang disediakan oleh kerajaan negeri, " ujarnya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut mengenai program yang akan disediakan itu, ujarnya TVDI akan bermula dengan Kuliah Dhuha (Penawar Hati).
"Kemudian akan diteruskan dengan 'Bicara Isu Semasa Bersama YB', 'Dok Kabor Dok Tahu', Selamat Pagi Terengganu, Analisis TMBS.
"Diserikan lagi dengan Bicara Jabatan Kerajaan yang akan menampilkan ketua jabatan setiap agensi, atau mereka yang berautori bagi ditemuramah untuk membincangkan isu-isu yang berkaitan dengan bidang masing-masing.
"Kita juga akan ada segmen santai bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menerusi 'Hor Toh YB', ' Edisi Terjah' serta terakhir adalah 'Rentasan Berita'," katanya.
Tambah beliau, adalah besar hasrat dan impian UPDI untuk memastikan rakyat negeri ini akan dapat mengikuti segala program yang disediakan itu.
"Agar segala manfaat, kebaikan dan apa jua kebaikan yang dibawa dan dipaparkan sampai ke jiwa rakyat dalam memastikan Terengganu mencapai hasrat dan cita-citanya untuk melahirkan masyarakat yang sejahtera, bertepatan dengan slogan Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera," ujarnya lagi.
03 Jan 23
972
Che Adam Pegang Rekod Penderma Darah Pertama Tahun 2023
KUALA TERENGGANU, 1 Januari – “Saya ingin menjadi rakyat Malaysia pertama menderma darah untuk tahun 2023 dan akhirnya impian itu tercapai pada hari ini,” kata Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A. Rahman.
Beliau yang sudah 88 kali menderma darah sejak berusia 21 tahun telah menderma darah tepat pada pukul 8 pagi di Unit Tabung Darah Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini.
“Saya telah mendaftar secara atas talian dalam ‘Blood Bank Information System’ (BBIS) pada pukul 12.05 tengah malam tadi sebagai menyokong kempen menderma darah Kementerian Kesihatan Malaysia agar rakyat negara ini menjadikannya sebagai rutin amalan mereka.
“Semoga usaha kecil ini dapat membantu Unit Tabung Darah HSNZ memperbanyakkan stok bekalan darah untuk membantu ramai pesakit yang memerlukan seperti mereka yang kemalangan, talasemia, anemia dan wanita yang tumpah darah selepas bersalin,” katanya.
Che Adam berkata, akan menderma darah sekali dalam tempoh tiga bulan dan rutin itu dianggap sebagai amal jariah sebagai usaha menyelamatkan nyawa pesakit yang memerlukan bantuan kecemasan.
"Saya diberikan kesihatan yang baik setakat ini dan bersyukur berpeluang memberikan bakti kepada mereka yang memerlukan darah kerana satu beg darah mampu menyelamatkan tiga nyawa dengan izin Allah.
“Derma tidak semestinya dari segi kewangan sahaja, kita boleh salurkan sumbangan mengikut kemampuan yang ada.Selain menyelamatkan nyawa orang lain, pada masa yang sama amalan ini juga baik untuk kesihatan,” katanya lagi.
Beliau juga berharap lebih ramai individu terutamanya generasi muda tampil menjadi penderma darah jika tidak berhalangan dan proses itu hanya mengambil masa sekitar 15 ke 20 minit bergantung situasi tubuh seseorang.
Sementara itu, rekod Che Adam sebagai rakyat Malaysia pertama yang menderma darah untuk tahun 2023 itu disahkan oleh Ketua Unit Transfusi Darah HSNZ, Dr. Muhaimin Kambali setelah membuat semakan di sistem BBIS yang mempunyai data dari seluruh negara.
01 Jan 23
195
Saling Membantu, Perkukuh Hubungan Antara Negeri
KUALA TERENGGANU, 30 Disember - Kini giliran Terengganu pula menerima bantuan dari negeri-negeri yang pernah dibantu ketika berhadapan musibah yang sama sebelum ini, sekali gus memperkukuhkan hubungan antara Terengganu dengan negeri lain khususnya Selangor, Kedah serta Pahang.
Menteri Besar Terengganu, Dato'. Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ia merupakan suatu perkara yang sangat baik dalam memastikan hubungan setiap negeri dalam negara ini berjalan dengan baik.
"Saya percaya hubungan baik ini sangat dinanti-nantikan oleh semua pihak, bantuan yang datang tidak hanya dalam bentuk kewangan tetapi telah ramai sukarelawan dari Selangor telah datang membantu termasuk negeri-negeri lain.
"Ketika Selangor dilanda musibah yang sama kita juga telah menghantar bantuan bersama sukalewan yang digerakkan untuk sama-sama menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh mangsa-mangsa yang terlibat dengan bencana ini," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Sesi Simbolik Penyerahan Sumbangan Bantuan Bencana Banjir Kerajaan Negeri Selangor, di Kediaman Seri Iman, di sini hari ini.
Penyerahan bantuan RM500,000 itu telah disempurnakan sendiri oleh Menteri Besar Selangor, Dato' Seri Amirudin Shari.
Sehubungan itu Ahmad Samsuri berkata, bantuan itu akan disalurkan terus dengan mengutamakan mangsa yang paling terjejas serta terkesan.
"Saya mengambil kesempatan pada pagi Jumaat yang mulia ini mengucapkan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat (YAB) Menteri Besar Selangor, yang sudi bertanding ke negeri ini.
"Secara simboliknya telah menerima bantuan daripada Kerajaan Negeri Selangor kepada Terengganu bagi kegunaan membantu meringankan beban rakyat yang menghadapi musibah tersebut," ujarnya.
Dalam pada itu, Amirudin yakin bantuan berkenaan dapat membantu kerajaan Terengganu meringankan beban mereka yang terkesan ketika dilanda musibah berkenaan.
"Jadi ini adalah sebahagian daripada inisiatif kita lakukan serta (menyemarakkan) semangat kerjasama antara Kerajaan negeri sebagaimana yang berlaku tahun lepas di Selangor, Terengganu serta negeri-negeri lain datang membantu," ujarnya.
Tambah beliau, Selangor turut bersedia bagi mengerakkan sukarelawan jika berlaku bencana itu sekali lagi pada Januari ini.
"Kerana dijangkakan ada gelombang baru pada awal bulan tersebut, dengan persefahaman yang telah dibentuk antara pegawai-pegawai negeri dapat memudahkan kita untuk membantu penyelarasan jika ada keperluan nanti untuk sokongan dan mengerakkan sukarelawan dari Selangor ke negeri ini," ujarnya.
30 Dec 22
310