lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

'PRN Kuasa Kerajaan Negeri' - Anwar
'PRN Kuasa Kerajaan Negeri' - Anwar
KUALA NERUS, 12 Januari – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan masih terlalu awal untuk mengadakan perbincangan mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri dan perkara itu di bawah kuasa kerajaan negeri terlibat. Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata keputusan mengenai PRN terserah kepada pentadbiran kerajaan negeri yang berkenaan. "Kita akan bincang..ia (PRN) masih  terlalu awal, bagi saya dalam sebulan dua ini hanya tumpu soal kerja dan belum lagi bincang soal PRN. "Idealnya PRN diadakan serentak namun ia bukan di bawah bidang kuasa saya namun ini soal urusan negeri cuma dia akan tetapkan yang sesuai," katanya Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas mengadakan perjumpaan bersama ketua jabatan dan pegawai kanan Persekutuan di Dewan Senat Universiti Malaysia Terengganu (UMT). Dalam perkembangan lain Perdana Menteri turut diminta mengulas kenyataan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melalui melalui Taklimat Presiden UMNO di hadapan lebih 3,000 perwakilan parti itu yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur semalam, bersabit UMNO memberi bayangan akan bertanding bersama Pakatan Harapan (PH) dalam enam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang namun memilih untuk kekal menggunakan logo Barisan Nasional (BN). Jelas Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu, pihaknya akan mengatur perbincangan dengan UMNO bersabit perkara itu dalam masa terdekat.  "Kita akan bincang…(sekarang ini) kita belum bincang pun lagi," katanya. Anwar tiba di Terengganu pada hari ini bagi mengadakan lawatan kerja melibatkan beberapa perkara yang berkaitan. Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin hari ini turut  berkenan menerima menghadap Anwar di Istana Syarqiyyah pagi tadi. Sesi menghadap Sultan Mizan yang pertama buat Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun, sejak Pengerusi PH Itu dilantik sebagai Perdana Menteri, 24 November tahun lalu.  
12 Jan 23
450
Laksana Intervensi Pemasaran Telur Atasi Kekurangan Bekalan
Laksana Intervensi Pemasaran Telur Atasi Kekurangan Bekalan
KUALA TERENGGANU, 12 Januari - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) melaksanakan intervensi bagi pemasaran telur ayam untuk memastikan kecekapan pengurusan rantaian bekalan bermula Disember tahun lalu. Pengarah FAMA Terengganu, Nukman Hashim berkata, inisiatif tersebut bagi menjamin sekuriti makanan dengan membekalkan telur ayam kepada rakyat secara konsisten melalui outlet-outlet peruncitan FAMA dan tersedia berpandukan pada harga yang telah ditetapkan oleh Kerajaan.  ”Sumber bekalan telur ayam akan dibekalkan daripada pengeluar atau kilang tempatan yang telah dikenalpasti oleh MAFS dan FAMA. ”Ia bagi mengimbangi kekurangan bekalan telur ayam dalam negara melalui ketersediaan bekalan di outlet peruncitan FAMA,” ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Tinjauan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim Bagi Agihan Telur kepada Outlet Usahawan FAMA Di Pusat Operasi FAMA, Chendering, hari ini. Nukman berkata, program intervensi tersebut melibatkan penyertaan terus Pusat Operasi FAMA melalui beberapa kaedah iaitu jualan terus kepada outlet peruncitan FAMA yang melibatkan Agrobazaar Rakyat, Agrobazaar Kedai Rakyat, Pasar Tani, Pasar Tani Kekal, Rakan Pemasar Kontrak Pemasaran dan lain-lain. ”Dan juga jualan terus dari pusat operasi kepada pengguna akhir serta kepada outlet peruncitan dan institusi lain,” ujarnya.
12 Jan 23
288
EPIC Catat Peningkatan Perolehan Kepada RM339.6 Juta
EPIC Catat Peningkatan Perolehan Kepada RM339.6 Juta
KUALA TERENGGANU, 12 Januari - Anak syarikat kerajaan negeri, Eastern Pacific Industrial Corporation Bhd (EPIC) mencatatkan perolehan sebanyak RM339.6 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022, peningkatan 16 peratus berbanding RM292.2 juta yang direkodkan pada tahun sebelumnya. Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC, Ridzuan Ali berkata, perolehan paling tinggi dijana oleh operasi pelabuhan iaitu sebanyak RM283.3 juta (70 peratus). “Diikuti RM90.3 juta (27 peratus) daripada perkhidmatan kejuruteraan dan RM11 juta atau tiga peratus daripada tenaga boleh diperbaharui atau tenaga solar,” ujarnya dalam sesi soal jawab sempena program 'Media Appreciation Hi-Tea 2022' yang disempurnakan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Primula Beach Hotel, semalam. Menurut Ridzuan, bagi jumlah perolehan dijana segmen keseluruhan operasi pelabuhan, RM179 juta atau 53 peratus adalah daripada perkhidmatan pangkalan bekalan dan RM59.3 juta atau 17 peratus pula daripada operasi pelabuhan. Kata Ridzuan, keuntungan sebelum cukai kumpulan pada tahun lalu turut meningkat sebanyak 16 peratus kepada RM26.2 juta daripada RM22.6 juta yang dicatatkan pada 2021. Menurutnya, pertumbuhan perolehan yang direkodkan tahun lalu adalah sumbangan pencapaian oleh EPIC OG Sdn Bhd, anak syarikat EPIC yang terbabit dalam menyediakan perkhidmatan kejuruteraan dan penyelenggaraan khususnya operasi sektor minyak dan gas. "Pangkalan Bekalan Kemaman Sdn Bhd (PBK) turut mencatatkan perolehan yang lebih tinggi dengan peningkatan dalam aktiviti minyak dan gas,” ujarnya. Ridzuan berkata, bagi tahun 2023, kumpulan EPIC menganggarkan perolehan sebanyak RM379.1 juta, 12 peratus lebih tinggi berbanding tahun lalu. "Dengan rekod perolehan yang lebih tinggi, keuntungan selepas cukai dianggarkan meningkat sebanyak 43 peratus daripada RM6.1 juta tahun lalu kepada RM8.7 juta tahun ini," katanya. Dalam pada itu, Ridzuan berkata, EPIC membelanjakan hampir RM2.5 juta tahun lalu untuk pelbagai inisiatif program, projek tanggungjawab sosial korporat (CSR), sumbangan serta tajaan pembangunan masyarakat dan negeri Terengganu. “Daripada jumlah itu, EPIC berjaya membantu 25 organisasi pendidikan, 92 persatuan serta organisasi kerajaan dan bukan kerajaan yang mana impaknya dapat dirasai ribuan individu bukan saja di dalam, malah di luar Negeri Terengganu. "Bagi tahun ini, EPIC berhasrat untuk terus memberikan sokongan padu kepada masyarakat terutamanya golongan yang memerlukan serta memacu pembangunan negeri," katanya.  
12 Jan 23
396
Warga Emas Terkejut Rumah Baharu Siap Tiga Hari
Warga Emas Terkejut Rumah Baharu Siap Tiga Hari
 Seorang warga emas, Hasimah Ali Seman, 70, terkejut apabila menerima kediaman lebih baik selepas rumah asal yang didiami selama lebih 20 tahun dihanyutkan banjir.
12 Jan 23
186
Warga Emas Terkejut Rumah Baharu Siap Tiga Hari
Warga Emas Terkejut Rumah Baharu Siap Tiga Hari
BESUT, 11 Januari - Seorang warga emas, Hasimah Ali Seman, 70, terkejut apabila menerima kediaman lebih baik selepas rumah asal yang didiami selama lebih 20 tahun dihanyutkan banjir. Kata Hasimah, dia juga sebak apabila mengenangkan jasa beberapa pihak terutamanya sukarelawan Pertubuhan Prihatin Anak Watan Terengganu yang bertungkus lumus menyiapkan teratak barunya dalam masa tiga hari tanpa sebarang upah.  "Mak cik sama sekali tidak menyangka akan diberikan rumah sebegini, sangat-sangat bersyukur, mereka memulakan pembinaan rumah ini pada Jumaat yang lalu. "Mak cik perhatikan kesemua sukarelawan ini membuat kerja bersungguh-sungguh bermula 9.00 pagi sehingga ke jam 3 pagi, tanpa menghiraukan hujan lebat pada hari pertama, dalam keadaan baju mereka basah mereka solat, berhenti makan, kemudian mereka kembali bekerja untuk memastikan ia siap. "Sayu dalam hati ini, sehingga disuruh berhenti sekejap, mereka tetap meneruskan sampai sebegitu mereka tolong, tak tahu hendak kata apa dan bagaimana hendak membalas jasa baik mereka, hanya Allah sahaja yang mampu membalasnya, rumah ini terlalu sempurna dan sangat selesa bagi saya dan dua orang cucu yang tinggal dengan saya," ujarnya. Dia berkata demikian ketika ditemui di kediaman barunya di Kampung La, Hulu Besut, di sini hari ini. Mengulas lanjut, pada awalnya dia tidak kisah jika binaan rumahnya hanya menggunakan kayu sedia ada asalkan keluarga boleh berlindung daripada hujan dan panas. "Saya pada waktu itu buntu tambah lagi mengenangkan rumah ini menjadi kenangan bersama arwah suami yang meninggal pada enam tahun yang lepas, saya sangat-sangat berterima kasih kepada mereka yang telah membantu, hanya Allah jua yang mampu membalasnya," ujarnya lagi. Sementara itu seorang lagi mangsa rumah hanyut ketika banjir, Abdul Razak Laboh, 64, juga menyatakan perasaan bersyukur dan terharu di atas bantuan yang dihulurkan oleh Prihatin Anak Watan Terengganu. "Boleh dikatakan setiap tahun menghadapi banjir, cumanya kali ini keadaannya lebih teruk sehingga menghanyutkan rumah saya. "Kerana menghadapi banjir setiap tahun saya berhasrat untuk membina rumah lain di atas tanah pusaka pemberian emak saya, yang saya telah mula bina sendiri yang hanya 30 peratus sahaja baru siap, bina sikit-sikit dengan mengggunakan wang yang disimpan hasil menoreh getah entah bila hendak siap. "Jadi disebabkan menghadapi bencana rumah hanyut, NGO ini sanggup menyiapkan rumah saya. "Jadi sangat beryukur dan gembira akhirnya dapat disegerakan pembinaan rumah ini melalui sukarelawan yang bertungkus lumus tanpa henti dan mengenal penat, dalam masa yang singkat dapat disiapkan," katanya.  
11 Jan 23
4844
79 Pegawai, Anggota Polis Dikenakan Tindakan Tatatertib
79 Pegawai, Anggota Polis Dikenakan Tindakan Tatatertib
KUALA TERENGGANU, 11 Januari – Seramai 79 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) Terengganu terlibat pelbagai kes salah laku dan masalah disiplin direkod sejak Januari hingga Disember tahun lepas. Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, ianya merangkumi  pegawai kanan polis (10), pegawai rendah polis (67) dan dua pegawai awam.  Menurut beliau, antara kesalahan yang dilakukan ialah jenayah sebanyak 16 kes, (5) kes narkotik (5), kes tidak hadir tugas (8),  kes salahlaku (47), kes syariah (2) dan kes SPRM (1).  “Saya memandang penglibatan salahlaku pegawai PDRM Kontinjen Terengganu ini secara serius, Semua pihak perlu memainkan peranan untuk memastikan kesalahan salahlaku membabitkan pegawai dibawah seliaan masingmasing dapat dikawal pada tahap semaksima mungkin.  “Saya tidak akan berkompromi dalam hal ini, apatah lagi pegawai yang terlibat dalam kesalahan kes jenayah dan kes dadah. Mereka ini umpama “musuh dalam selimut” atau “Gunting dalam lipatan” yang mencemar imej dan nama baik PDRM khususnya PDRM Terengganu,”ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Polis Terengganu di sini hari ini. Dalam majlis tersebut, seramai  102 orang yang telah turut sama menyumbang dalam menjayakan tugas-tugas kepolisan dengan cemerlang menerima surat penghargaan dari PDRM.
11 Jan 23
1589
Dua Bulan Moratorium Untuk Usahawan Terjejas Banjir
Dua Bulan Moratorium Untuk Usahawan Terjejas Banjir
KUALA TERENGGANU, 11 Januari - Kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu bersetuju memberikan moratorium selama dua bulan kepada usahawan yang terlibat dalam musibah banjir baru-baru ini. Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna Terengganu, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata ramai di antara usahawan-usahawan di Terengganu yang telah terlibat dengan bencana alam itu. "Sebelum ini, kita memberikan pengecualian bayaran sewa kepada premis-premis usahawan yang menyewa di premis milik YPU. "Rentetan dari itu, kita mengumumkan peminjam ataupun usahawan yang menerima pinjaman daripada YPU dan terkesan akibat musibah banjir baru-baru ini boleh juga mengemukakan permohonan penangguhan," katanya. Beliau ditemui selepas menghadiri Majlis Menandatangani Surat Penganugerahan antara TESDEC Hydropower Sdn Bhd dan Techmile Resources Sdn Bhd di Primula Beach Hotel, hari ini. Tambahnya, pihak YPU Terengganu sedia menerima, memproses dan memberi moratorium bagi bulan Januari dan Februari 2022 jika syarat yang dikemukan adalah lengkap. "Permohonan perlulah disertakan dengan laporan polis serta gambar premis yang terlibat dengan banjir. "Saya berharap dengan moratorium yang diumumkan daripada YPU ini dapat memberikan suatu keringanan kepada yang terlibat dengan musibah banjir baru-baru ini," katanya.
11 Jan 23
206
Terengganu Terima Bayaran Royalti RM447,749.97 Daripada KUTT
Terengganu Terima Bayaran Royalti RM447,749.97 Daripada KUTT
KUALA TERENGGANU, 10 Januari - Kerajaan negeri hari ini menerima bayaran wang royalti sebanyak RM447,749.97 daripada Koridor Utiliti Teknologi Terengganu Sdn Bhd (KUTT) dalam satu majlis ringkas yang diadakan di Wisma Darul Iman. Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi hijau negeri, Dr Mamad Puteh berkata, sehingga 30 November tahun lalu sebanyak 260 permohonan telah diterima pihak KUTT bagi kerja-kerja korek gali merangkumi keseluruhan daerah di negeri ini. “Jarak keseluruhan permohonan yang diterima sepanjang 944,723 meter dan menjadikan jumlah pembayaran royalti Perbendaharaan Negeri Terengganu sebanyak RM447,749.97 bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022. “Terima kasih kepada pihak KUTT atas pembayaran royalti ini,” ujarnya kepada pemberita selepas majlis tersebut. Pada majlis itu, Dr. Mamad menerima ‘mock cheque‘ bayaran royalti yang diserahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif KUTT, Ir. Ts. Ahmad Azhan Suhaili sambil disaksikan wakil dari Pejabat Perbendaharaan Negeri Terengganu dan Ketua Pegawai Kewangan KUTT, Norizan Ibrahim. Pada majlis yang sama, KUTT turut menyerahkan sumbangan di bawah peruntukan CSR syarikat sebanyak RM100,000 kepada Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga & Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat untuk disalurkan kepada Tabung Darul Iman bagi membantu meringankan beban golongan yang kurang bernasib baik. Sementara itu, Ir. Ts. Ahmad Azhan berkata, KUTT mencatatkan pertumbuhan kewangan memberangsangkan hasil prestasi cemerlang daripada semua bahagian membolehkan syarikat sekali lagi berpeluang mengembalikan bayaran royalti yang lebih besar buat kerajaan Negeri berbanding hanya RM250,732.50 pada tahun 2021. Katanya, pembayaran royalti yang mampu diberikan oleh KUTT secara berterusan itu walaupun dengan usia syarikat baru mencecah dua tahun sejak ditubuhkan pada Mac 2021 mencerminkan keupayaan syarikat dalam menguruskan aset dan bekerjasama di dalam memacu pertumbuhan penyediaan utiliti di seluruh negeri ini.  “Selain itu, ia juga merupakan bukti komitmen syarikat dalam memberikan pulangan yang mampan bagi setiap pelaburan yang diamanahkan dan kita akan lebih komited untuk memberikan pulangan yang lebih kepada kerajaan negeri berdasarkan kepada permohonan-permohonan yang kita telah terima di seluruh negeri ini,” ujarnya. Menurut beliau, KUTT dilantik oleh Kerajaan Negeri sebagai Agensi Hentian Setempat (One Stop Agency) untuk semua permohonan permit bagi kerja-kerja korek gali di seluruh Negeri Terengganu.  ‘‘Penubuhan ini mempertanggungjawabkan KUTT untuk membangunkan Koridor Utiliti Negeri Terengganu yang mana ianya akan disimpan di dalam pangkalan data bersepadu bagi semua jajaran utiliti merangkumi tenaga eletrik, bekalan air, rangkaian telekomunikasi dan sistem kumbahan. “Imbalan bagi pelantikan itu, KUTT disyaratkan untuk membayar sebahagian daripada pendapatan sebagai royalti kepada negeri bagi setiap tahun beroperasi,” jelasnya.  
10 Jan 23
2349
Bayi Empat Bulan Koma Dipercayai Didera Pengasuh
Bayi Empat Bulan Koma Dipercayai Didera Pengasuh
KUALA TERENGGANU, 10 Januari - Bayi lelaki berusia empat bulan koma selepas mengalami pendarahan dalam otak yang serius dan keretakan pada tempurung kepala dipercayai akibat didera pengasuhnya di sebuah pusat jagaan kanak-kanak berdaftar di Batu Buruk. Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, mangsa kini kritikal dirawat di Unit Rawatan Rapi Kanak-kanak (PICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu (HSNZ) sejak Rabu, minggu lalu. "Kejadian disedari bapa mangsa berusia 29 tahun yang bekerja sebagai pegawai perubatan ketika mengambil bayinya di pusat jagaan tersebut mendapati bayinya dalam keadaan lemah dan kesakitan lalu dibawa ke hospital. "Hasil pemeriksaan menunjukkan terdapat darah beku dalam kepala bayi itu dan bapa mangsa membuat laporan polis pada hari sama. "Susulan laporan yang dibuat oleh bapa mangsa, semalam pihak polis telah menahan tiga pengasuh wanita berusia lingkungan 22 hingga 33 tahun dalam satu serbuan di taska tersebut  bagi membantu siasatan kes penderaan ke atas bayi malang berkenaan," katanya selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Polis Terengganu di sini hari ini. Menurut Rohaimi, ketiga-tiga suspek pada awalnya telah dipanggil untuk memberi keterangan dan menafikan kejadian tersebut serta memberikan keterangan meragukan. "Namun hasil siasatan lanjut ke atas kamera litar tertutup (CCTV) di taska tersebut, dipercayai terdapat unsur-unsur jenayah terhadap mangsa yang dilaporkan baru sahaja didaftarkan di taska tersebut selama tiga hari sebelum kejadian berlaku," ujarnya. Tambah beliau, kes disiasat di bawah seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak iaitu kesalahan menganiaya atau mencederakan kanak-kanak yang memperuntukan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya sekali.              
10 Jan 23
24090
RM51,600 Untuk Pengayuh Beca, Pemandu Bot Penambang
RM51,600 Untuk Pengayuh Beca, Pemandu Bot Penambang
KUALA TERENGGANU, 8 Januari- Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT) memperuntukan sebanyak RM51,600 kepada 43 pengayuh beca dan pemandu bot penambang di negeri ini. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Negeri, Ariffin Deraman berkata, program dibawah insentif ejen promosi pelancongan beca dan bot penambang itu membolehkan setiap individu yang layak menerima RM1,200 seorang. Katanya, sebanyak RM10,750 turut diperuntukkan untuk penambahbaikan wajah baharu beca dan bot penambang dengan elemen lebih moden dan pelbagai paparan mengenai produk pelancongan. “Pemuliharaan dan pemerkasaan kepada warisan negeri perlu diberikan perhatian dan digiatkan oleh pelbagai pihak kerana beca dan bot penambang adalah nadi (pengangkutan utama masyarakat dahulu). “Penggiat yang terdiri daripada pembawa beca dan bot penambang bertindak sebagai salah satu agen promosi pelancongan secara langsung,” ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Kalendar 2023 Pelancongan Dan Kebudayaan Negeri Terengganu (CEO 2023), di Hotel Paya Bunga, baru-baru ini. Turut hadir, Pengarah JPNT, Fadli Yusof Zakaria. Salah seorang penerima insentif tersebut, Zahid Ismail, 74, dari Kampung Wakaf Beruas berkata, dengan bantuan RM1,200 itu memberikan sedikit kelegaan kepadanya untuk menampung perbelanjaan seharian memandangkan kesukaran mendapat penumpang ketika ini. “Pak cik bawa beca nie hampir 40 tahun, sekarang ini tidak ramai yang mahu naik beca, kadang balik dengan tangan kosong, kadang ada la juga pelancong yang naik, semuanya bergantung atas rezeki. “Sebenarnya anak-anak tidak bagi dah pak cik bawa beca, tapi disebabkan minat dan bosan duduk di rumah pak cik bawa (beca) juga,” katanya. Sementara itu, Razali Abd Ghani, 73, memberitahu pendapatannya sebagai pengusaha bot penambang banyak bergantung kepada pelancong luar. “Biasanya, musim cuti sekolah ramai yang naik bot penambang, kalau tak hanya bergantung kepada penduduk tempatan, itupun tidak ramai yang gunakan perkhidmatan kami,” ujarnya. Katanya, ketika ini seramai 17 pengusaha bot penambang yang masih aktif dan hanya mengenakan bayaran tiket serendah RM2 untuk sehala.  
08 Jan 23
463