Artikel "Semasa" Terkini
Terengganu Mahu Lahir Lebih Ramai Usahawan
KUALA TERENGGANU, 17 Mei - Kerajaan Terengganu mahu memastikan lebih ramai usahawan dapat dilahirkan serta lebih banyak peluang pekerjaan dapat diwujudkan di negeri ini.
Menteri Besarnya, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, untuk mencapai hasrat tersebut kerajaan negeri akan terus bersedia membantu dan menyokong golongan usahawan melalui pelbagai inisiatif dan program yang dilaksanakan dengan mengambil kira perkembangan ekonomi semasa.
"Yayasan Pembangunan Usahawan dan Urusetia Pembangunan Usahawan Terengganu (PEUTER) diharapkan dapat menjadi nadi penggerak dan memainkan peranan yang penting dalam usaha pembangunan semua golongan usahawan.
"Adalah menjadi harapan saya, YPU dengan kerjasama PEUTER dapat menganjurkan lebih banyak program dan menjalankan inisiatif secara kolaboratif bagi memastikan usahawan Terengganu terus mendapat manfaat serta sokongan dan terus Maju, Berkat dan Sejahtera,"ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Anugerah Usahawan Terengganu 2022 (AUT2022) di Pusat Konvesyen, Taman Tamadun Islam, di sini, kelmarin.
Dalam pada itu Ahmad Samusi berkata, Perusahaan Mikro Kecil Sederhana (PMKS) boleh dianggap sebagai tulang belakang ekonomi negeri kerana itu pelbagai inisiatif diperkenalkan bagi memastikan sektor keusahawanan kekal berdaya saing.
"Kerajaan Terengganu melalui YPU telah menyediakan dana Tabung Usahawan Terengganu Sejahtera (TUGAS) bagi membantu meringankan beban usahawan Terengganu dimana seramai 2002 usahawan telah memperolehi dana TUGAS berjumlah keseluruhan sebanyak RM5.157 juta pada tahun 2022.
"Setakat April 2023 pula, seramai 1,428 usahawan telah memperolehi dana TUGAS dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM4.36 juta,"ujarnya.
17 May 23
347
Nama Besar Sertai PN Diumumkan Awal Jun Ini - Ahmad Samsuri
Naib Presiden PAS, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar memaklumkan nama-nama besar yang akan menyertai Perikatan Nasional (PN) akan diumumkan awal Jun Ini.
16 May 23
269
MIASA Clubhouse Terengganu Tawar Khidmat Sokongan Mental
KUALA TERENGGANU, 16 Mei – Persatuan Kesedaran dan Sokongan Penyakit Mental (Miasa) Clubhouse Terengganu kini dibuka kepada orang ramai yang bergelut dengan isu kesihatan mental di wilayah Pantai Timur Malaysia.
Presiden Persatuan Kesedaran dan Sokongan Penyakit Mental (Miasa), Anita Abu Bakar berkata, cawangan baharu yang pertama di luar kawasan Lembah Klang itu menyediakan dan memperluaskan ketersediaan perkhidmatan sokongan yang komprehensif dan holistik bagi sokongan dan perkhidmatan yang diperlukan bagi perjuangan kesihatan mental mereka.
“MIASA Clubhouse Terengganu bukan sahaja akan menyediakan pendekatan konvensional untuk rawatan kesihatan mental seperti perkhidmatan psikologi dan kaunseling, tetapi juga rangkaian perkhidmatan holistik yang menekankan aspek rohani sebagai komponen penting dalam proses penyembuhan dan pemerkasaan ‘peer’ (individu yang bergelut dengan isu kesihatan mental) itu sendiri.
“Secara khususnya MIASA Clubhouse Terengganu akan menawarkan perkhidmatan psikologi dan kaunseling, perkhidmatan sokongan kepada ‘peer’ / ‘peer support’, kumpulan sokongan, pendekatan berasaskan seni seperti kelas seni, kelas drama dan pertuturan, kelas tarian ekspresif, serta terapi rohani seperti terapi Tadabbur,” katanya dalam satu kenyataan.
Perasmian itu disempurnakan oleh Pengerusi Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspa¬nita) Cawangan Terengganu, Toh Puan Nor Zaini Abdul Latiff.
Tambahnya lagi, MIASA Clubhouse Terengganu akan memperluaskan sokongan dengan bertindak sebagai tempat perlindungan sementara untuk ‘peer’ yang memerlukan sokongan segera dan memberikan respons krisis di lapangan.
“Sebagai contoh, ketika dalam berhadapan dengan kes yang berkemungkinan bunuh diri, dengan matlamat jangka panjang untuk MIASA Clubhouse Terengganu akhirnya beroperasi 24 jam sehari, tujuh hari seminggu,”katanya.
Untuk maklumat lanjut tentang MIASA Clubhouse Terengganu, sila hubungi MIASA di +603- 79321409 (HQ)/ +6096674409 (Terengganu) atau layari laman web mereka di www.miasa.org.my
Sementara itu, Anita juga berkata kira-kira 100,000 individu di negara ini menghadapi masalah berkaitan mental pasca pandemik Covid-19 akibat pelbagai faktor tekanan hidup.
Menurutnya, mereka kebanyakannya mengalami kemurungan, depresi, kecelaruan bipolar dan skizofrenia.
“Pada tahun lalu, lebih 33,000 individu datang ke Miasa untuk mendapatkan khidmat sokongan mental, emosi dan rohani.
“Kebanyakan mereka mengalami kesan berkaitan mental selepas menghadapi masalah kewangan berikutan hilang pendapatan, dibuang kerja dan kehilangan orang tersayang,” ujar beliau.
16 May 23
678
Makin Ramai Belia Terengganu Terima Tanah
MARANG, 16 Mei - Rata-rata anak muda dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Berangan menzahirkan kesyukuran apabila hasrat mereka untuk memiliki tanah dan lot kediaman akhirnya menjadi kenyataan.
Kesemua yang layak menerima geran hak milik tanah masing-masing di Majlis YAB Menteri Besar Turun Padang Dan Jamuan Rakyat Sempena Penyerahan Suratan Hak Milik Tanah Dan Notis 5A Tapak Kediaman Dan Tapak Pertanian Dun Pengkalan Berangan, di Dewan sivik Wakaf Tapai di sini, semalam.
Penerima lot kediaman di RTB Kampung Serating, Mohd Israq Farizan, 31,berkata, dia begitu gembira sebaik dimaklumkan berhubung perkara tersebut.
“Apabila dapat tahu nama saya tercalon untuk dapat tanah, alhamdulillah, saya amat-amat bersyukur, sebab ini merupakan penantian saya sejak enam tahun lalu dan satu jangka masa yang agak lama bagi saya.
“Saya ucapkan ribuan terima kasih kepada kerajaan negeri kerana memberikan tanah kepada mereka yang betul-betul memerlukan.
“Ramai di kalangan anak muda yang menumpang tanah, menyewa, duduk di rumah mak ayah, jadi jika dapat lot tanah boleh la mereka buat rumah sendiri, setakat ini saya lihat pemilihan dibuat secara telus dimana mereka yang cukup syarat berpeluang untuk dapat tanpa mengira fahaman politik,” ujar bapa kepada seorang cahaya mata itu.
Bagi Lokman Nulhakim Mohamad, 43, berasal dari Kampung Lubuk Perah, Wakaf Tapai pula menyifatkan pemberian hak milik tanah oleh kerajaan negeri agak mudah.
“Saya mohon dalam masa dua tahun lebih dapat, semasa kerajaan terdahulu pernah mohon tetapi tidak pernah dipanggil temuduga.
“Untuk golongan muda yang baru kawin tu mohon la, kerajaan sekarang mudah daripada dulu dan tunai janji. Insya-Allah mereka yang betul-betul cukup syarat akan dapat,” ujarnya yang berbelas tahun tinggal menyewa di Durian Guling.
Sementara itu, Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar ketika berucap di majlis tersebut berkata, sehingga kini sebanyak 781 lot tapak rumah yang melibatkan 13 Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) di DUN tersebut telah diluluskan kerajaan negeri.
“Kita juga telah meluluskan 223 lot tapak pertanian di tujuh RTB dan menjadikan keseluruhan hak milik yang terlibat di kawasan ini adalah sebanyak 1,004 lot.
“Pada hari ini (semalam) pula, kita sekali lagi menunaikan janji untuk memberikan hak milik kepada yang berhak iaitu sebanyak 137 penerima, 92 penerima notis 5A dan 52 undian lot bagi RTB tapak rumah dan tapak pertanian di enam kawasan DUN Pengkalan Berangan,” ujarnya.
Menurut beliau, menjadi fokus kerajaan negeri untuk menyelesaikan hal tanah dengan kadar segera dan mudah, namun ianya memakan masa dan harus diuruskan dengan teliti mengikut Kanun Tanah Negara.
16 May 23
1437
AUT Pemangkin Semangat Usahawan Terus Berkembang
KUALA TERENGGANU, 16 Mei - Penganjuran Anugerah Usahawan Terengganu 2022 (AUT2022) menjadi pemangkin semangat untuk golongan berkenaan terus berkembang maju dalam sektor terbabit.
Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, program itu bukan sahaja mengiktiraf pencapaian cemerlang usahawan negeri ini tetapi turut menjadi pendorong kepada rakyat negeri ini untuk turut menceburkan diri dalam bidang keushawanan.
"Tidak dinafikan bahawa cabaran yang dihadapi sepanjang pandemik Covid-19 bukannya mudah, namun usahawan-usahawan yang diraikan pada malam ini telah berjaya membuktikan bahawa adalah sesuatu yang bukan mustahil untuk bangkit semula daripada apa jua cabatan yang mendatang.
"Syabas dan tahniah kepada semua usahawan yang berjaya menerima anugerah pada malam ini, semoga ianya menjadi motivasi kepada usahawan Terengganu yang lain,"ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Usahawan Terengganu 2022 (AUT2022) di Pusat Konvensyen, Taman Tamadun Islam, di sini, semalam.
Pada tahun ini, Pengerusi Eksekutif AIMS Global Engineering Sdn. Bhd., Aminudin Mat Yusof telah dipilih sebagai Tokoh Usahawan Terengganu.
Selain itu AUT turut menyediakan beberapa anugerah anugerah lain untuk kategori Ushawan Baru dan Usahawan Muda, Digital, Usahawan Mikro dan Penjaja Kecil, Halal dan Standard Persijilan Halal, Pengukuhan Usahawan dan Usahawan Berprestasi Tinggi, Produk Kraf, Warisan & Pelancongan.
Selain turut menyediakan anugerah kepada Usahawan Muda Pendapatan Melebihi RM10,000 sebulan dan Anugerah Khas Usahawan Mikro Desa yang dipilih dari 33 Dewan Undangan Negeri (DUN) termasuk DUN Wanita.
Untuk rekod, AUT merupakan program Dwi Tahunan yang dianjurkan oleh Urus Setia Pembangunan Usahawan Terengganu (PEUTER) yang dilaksanakan bermula pada tahun 2002 yang merupakan pengiktirafahan dan anugerah daripada kerajaa negeri di atas sumbangan dan pencapaian cemerlang usahawan Terengganu.
16 May 23
429
TUGAS Tingkat Prestasi Usahawan
KUALA TERENGGANU, 16 Mei - Skim di bawah Tabung Usahawan Terengganu Sejahtera (TUGAS) telah ditambah baik sejak ia diperkenalkan 2019 bagi meningkatkan prestasi perniagaan usahawan di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, berdasarkan rekod sebanyak RM21.258 juta telah diberikan kepada 3,317 usahawan melalui skim-skim geran dan pembiayaan.
"Kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu juga mempunyai program khas untuk golongan muda untuk turut mencipta kerjaya melalui keusahawanan melalui Program Usahawan Belia Sejahtera (U-BES).
"Bagi tahun 2022, seramai 40 orang belia telah dipilih untuk menyertai program U-BES 3.0 dimana para peserta telah meningkatkan jualan mereka kepada jumlah keseluruhan RM3,928,918.70 dan pada masa yang sama telah memberikan peluang pekerjaan kepada 83 orang.
"YPU juga sering mengadakan program kursus secara berkala bai usahawan 'Start-Up', 'Scale-Up' dan 'High Performing' dengan sejumlah 44 kursus telah diadakan pada tahun 2022 yang disertai 2,290 orang peserta," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Usahawan Terengganu 2022 (AUT2022) yang disempurnakan perasmiannya oleh Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, di Pusat Konvensyen, Taman Tamadun Islam (TTI), di sini, semalam.
Dalam pada itu, Nurkhuzaini berkata tidak dinafikan produk-produk yang dihasilkan dihasilkan oleh usahawan Terengganu selama ini sangat berpotensi untuk diketengahkan dalam dan luar negera.
"Walau bagaimanapun, masih ramai usahawan yang tidak berjaya dalam mempromosikan produk mereka ini, Justeru itu, YPU juga turut membantu mempromosikan produk-produk ini melalui penganjuran dan penyertaan pelbagai 'event' (acara).
"Bagi tahun 2022, YPU telah membantu usahawan Terengganu menyertai 22 'event' di dalam dan luar negara dan telah berjaya mendapatkan jumlah jualan sebanyak RM1.301,674,55," katanya.
Sementara itu beliau menyatakan kejayaan mengadakan acara berprestij AUT2022 adalah hasil kerjasama seluruh agensi keusahawanan di bawah Sekretariat Pembangunan Ushawan Terengganu (PUETER).
"Di mana matlamat penubuhan urusetia ini ialah bagi mengoptimakan penggunaan sumber dan tenaga antara agensi-agensi untuk memaksimakan pelaksanaan program dan aktiviti pembangunan keushawanan negeri Terengganu," ujarnya.
16 May 23
374
Nama Besar Sertai PN Diumumkan Awal Jun Ini - Ahmad Samsuri
MARANG, 15 Mei- Naib Presiden PAS, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar memaklumkan nama-nama besar yang akan menyertai Perikatan Nasional (PN) akan diumumkan awal Jun Ini.
Beliau bagaimanapun tidak mengiyakan mahupun menidakkan ketika ditanya adakah nama-nama besar tersebut termasuk Tun M.
"Saya tidak boleh nak kata ya atau tidak...tapi Insya-Allah dalam tempoh yang terdekat ini kita akan ada pengisytiharan beramai-ramai yang akan menyertai PAS, PN dan Bersatu.
"Insya-Allah pada awal bulan Jun kita akan buat pengumuman di Lembah Klang, Selangor. Ada daripada parti UMNO dan lain-lain pun ada dan yang ramainya daripada UMNO, " ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di Majlis YAB Menteri Besar Turun Padang Dan Jamuan Rakyat Sempena Penyerahan Suratan Hak Milik Tanah Dan Notis 5A Tapak Kediaman Dan Tapak Pertanian Dun Pengkalan Berangan, di Dewan sivik Wakaf Tapai di sini, hari ini.
Sementara itu katanya, rundingan akhir agihan kerusi antara parti komponen dalam PN bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) dijangka dibuat hujung bulan ini.
"Insya-Allah pada minggu depan, dalam tempoh 10 hari lagi di Kuala Lumpur, perjumpaan ini untuk memuktamadkan di peringkat Jawatankuasa Perunding, lepas tu nama-nama kerusi-kerusi ini akan dibawa ke Majlis Presiden untuk keputusan muktamad.
"Setakat ini perbincangan di peringkat perundingan kerusi ni sangat harmoni walaupun kita dengar di pihak sebelah sana macam-macam perkara yang timbul," ujarnya.
15 May 23
236
Hadiah Kek Hargai Jururawat
HULU TERENGGANU, 14 Mei - Pemberian Kek kepada jururawat di sekitar Kuala Berang adalah tanda penghargaan atas jasa dan perkhidmatan kepada masyarakat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang, Dr Mamad Puteh berkata pemberian kek itu juga sempena Hari Jururawat Sedunia semalam.
"Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Kuala Berang sentiasa menghargai penat lelah jururawat yang sentiasa memberikan khidmat kepada masyarakat.
"Antara cara kita harga mereka, kita hantarkan sedikit hadiah tanda ingatan dan doa," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi hari ini.
Menurut beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa, Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau Negeri Terengganu, agihan kek ini melibatkan semua klinik kerajaan dalam dun Kuala Berang termasuk Hospital Hulu Terengganu.
"Antara klinik yang kita agihkan adalah Klinik Desa Tanggol, Klinik Desa Pasir Tinggi, Klinik Desa Getang, Klinik Desa Sungai Ular dan Klinik Kesihatan Kuala Berang.
"Hospital Hulu Terengganu pula kita agihkan di beberapa buah wad antaranya Wad Kanak-Kanak, Unit Fisioterapi, Unit Kecemasan, Wad Lelaki dan Perempuan," katanya.
15 May 23
171
5,391 KIR Besut Terima Bantuan Banjir Sebelum Berakhir Mei
BESUT, 12 Mei - Seramai 5,391 Ketua Isi Rumah (KIR) di daerah ini akan menerima bantuan banjir daripada kerajaan negeri sebelum berakhir Mei, ujar Menteri Besar Terengganu.
Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, mangsa banjir berkenaan akan menerima RM1,000 sebagaimana dijanjikan sebelum ini.
"Saya nak umumkan pemberian bantuan banjir kepada 5,391 KIR yang pada ketika banjir hari itu ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Daerah Besut.
"(Membabitkan) Hulu Besut 2,364 (KIR), Jertih ada 1,187, Jabi 664, Kota Putera 613 serta Kuala Besut 563.
"Insya-Allah kita akan bayar sebelum habis bulan ini, sebelum ini ramai yang tertanya jadi kita beri komitmen untuk melunaskannnya pembayaran ini setelah dilakukan sedikit proses,' ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika beucap pada Perasmian Himpunan Teguh Pertahan Kawasan Besut, di Dataran Jertih, di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri berkata tempat agihan bantuan berkenaan akan ditentukan kemudian dalam masa terdekat.
"Terima kasih kerana semua sabar menunggu walaupun saya dengar ada yang sedih, tertanya bila hendak menerimanya, tak apalah kesabaran tuan-tuan terjawab pada malam ini.
"Semoga ini menjadi ubat kepada yang datang ke dalam program Teguh Pertahan pada malam ini," ujarnya.
12 May 23
345
Besut Bakal Dibangunkan Setara Daerah Lain
BESUT, 12 Mei - Kerajaan negeri komited membangunkan sebuah kawasan industri bagi mewujudkan peluang pekerjaan khusus untuk rakyat di daerah ini.
Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, selama ini pihaknya mengambil maklum mengenai suara hati anak Besut termasuk yang berada di perantauan untuk melihat Besut pesat membangun serta wujudnya peluang pekerjaan.
"Saya hendak beri komitmen kepada semua rakyat Besut, penggal kedua nanti kita (PAS) mentadbir Negeri Terengganu kita akan naikkan penggunaan tanah peratus daripada 0.2 peratus (keluasan Besut 10 peratus daripada keseluruhan negeri Terengganu) sekurang-kurangnya setara dengan Daerah Dungun 0.3 peratus.
"Bunyi sedikit naik 0.1 peratus (tetapi) lening (sekarang ini) kita lebih rendah daripada daerah lain, (kerana itu) kita akan buat pelbagai perkara kita akan bincang dengan agensi di peringkat Persekutuan untuk membolehkan pembukaan tanah Industri," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap ketika Perasmian Program Himpunan Teguh Pertahan Kawasan Besut, di Dataran Jerteh, di sini, semalam.
Mengulas lebih lanjut, Ahmad Samsuri berkata, tidak mustahil untuk dibangunkan Industri kecil dan Sederhana di daerah ini kerana laluan ECRL terdekat akan siap.
"ECRL di Terengganu ini sudah mencapai kemajuan 62 peratus lebih cepat berbanding negeri lain kerana kita begitu cakna dan sangat cekap menguruskannya.
"Yang kedua dengan adanya Lebuhraya Pantai Timut (LPT) 3 fasa pertama yang menghubungkan Gemuroh sehingga Tok Bali sejauh 90 Kilometer (KM) yang telah mencapai persetujuan dengan Kerajaan Persekutuan (untuk disiapkan segera) .
"Ini akan dilaksanakan dengan lebih mendalam dengan pihak Kerajaan Persekutuan dimana pembinaan ECRL (dan LPT 3) ini akan memudahkan perancangan bagi membangunkan kawasan Industri di Besut ini yang akan membukan peluang pekerjaan," katanya.
Justeru tegasnya, penting untuk Kerajaan yang ditadbir oleh PAS dipertahankan oleh rakyat dan dikurniakan mandat bagi meneruskan segala agenda yang telah dirancang yang terbukti pada penggal lalu dapat menunaikan 20 manifesto yang dijanjikan.
"Kalau diserahkan kuasa kepada orang (parti) lain berjanji macam-macam tapi tak boleh hendak buat, (jadi)sudah tentulah hendak diberikan kepada orang yang boleh berjanji berjanji dan buat kerja," katanya.
12 May 23
347