Artikel "Semasa" Terkini
El-Nino, FAMA Sedia Bantu Pasarkan Hasil Tani
KUALA TERENGGANU, 21 Mei- Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) komited untuk membantu mana-mana usahawan atau petani yang mengalami masalah pemasaran pertanian termasuk yang disebabkan El Nino untuk memasarkan hasil tani masing-masing.
Pemangku Ketua Pengarah FAMA, Abdul Rashid Bahri berkata, petani yang mengalami masalah pemasaran pertanian boleh berhubung dengan pejabat FAMA berdekatan bagi mendapat pandangan seterusnya peluang pemasaran yang lebih luas hasil pertanian mereka.
“Tak kira musim banjir atau musim panas, FAMA sedia membantu sepanjang masa jika diperlukan kerana pihak kami punyai banyak sumber untuk membantu mereka memasar hasil tani seperti mengadakan aktiviti Pasar Tani, Jualan Agro Madani dan outlet peruncitan FAMA di seluruh negara atau lokasi terpilih di negeri Terengganu.
"Malah, apa sahaja masalah yang dibangkitkan usahawan tani kita akan cuba selesaikan, jumpa mereka untuk mengetahui punca...kita ada pelbagai solusi penyelesaian.
"Setakat ini, kita dah selesaikan banyak isu-isu yang dibangkitkan usahawan tani termasuk (aduan masalah) di media sosial antaranya Johor, Selangor Negeri Sembilan dan Terengganu," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Penyerahan Bantuan Peralatan Sokongan Pemasaran Usahawan Negeri Terengganu di sini hari ini.
Justeru itu katanya, beliau berharap petani yang mengalami masalah pemasaran pertanian dapat berhubung dengan pejabat FAMA berdekatan bagi mendapat pandangan seterusnya peluang pemasaran yang lebih luas hasil pertanian mereka.
Beliau juga berkata, seramai 5,696 usahawan di seluruh negara telah menerima manfaat dari pelbagai program yang diadakan FAMA termasuk aktiviti pemasaran, program intervensi dan latihan bagi tempoh Januari hingga April lalu.
“Manakala di Terengganu, terdapat 483 usahawan yang telah FAMA bantu dalam tempoh tersebut bagi tahun ini,” ujarnya.
21 May 23
241
Pulau Redang, Perhentian Terima Bot Ambulans Baharu
KUALA TERENGGANU, 21 Mei – Perkhidmatan kesihatan di Pulau Perhentian dan Pulau Redang kini bertambah baik dengan adanya dua bot ambulans baharu dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni berkata, dua bot ambulans membabitkan peruntukan sebanyak RM1.4 juta itu bagi menggantikan bot sedia ada yang sudah usang dan sering mengalami kerosakan.
"Perkhidmatan bot ambulans bukan sahaja diperlukan oleh orang tempatan, tetapi untuk memindahkan pelancong yang memerlukan rawatan di hospital.
"Dengan purata kekerapan bilangan pergerakan pergi dan balik bot ambulans sebanyak 10 hingga 20 kali sebulan, perkhidmatan pengangkutan yang cekap adalah sangat penting di kedua-dua pulau itu," katanya selepas Majlis Perasmian Bot Ambulans Klinik Kesihatan Pulau Redang dan Pulau Perhentian di Jeti Duyong Marina di sini, semalam.
Lukanisman berkata saiz bot ambulans baharu itu juga lebih besar, selain boleh digunakan pada musim tengkujuh kerana mampu meredah ombak setinggi dua meter.
"Bot ambulans baharu itu mampu memuat 12 penumpang dan sesuai digunakan untuk musim tengkujuh.
"Bot ambulans ini dibina mengikut piawaian Jabatan Laut serta dilengkapi peralatan keselamatan termasuk alat penerima Sistem Kedudukan Sejagat (GPS), radio VHF dan kompas magnetik," katanya.
Dalam masa yang sama, beliau berkata, KKM turut menimbang kemudahan bot ambulans di beberapa pulau di kawasan pedalaman Sabah.
21 May 23
442
FAMA Peruntuk Lebih RM200 Ribu Bantu 12 Usahawan Di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 21 Mei – Seramai 12 usahawan di negeri Terengganu menerima bantuan peralatan sokongan pemasaran bernilai RM202,250 melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).
Pemangku Ketua Pengarahnya, Abdul Rashid Bahri berkata bantuan itu merangkumi Geran Agropreneur Muda, Signature Produk Terengganu, bantuan peralatan sokongan pemasaran Industri Makanan & Asas Tani serta Insentif Peralatan bagi Program Rakan Pemasar Kontrak Pemasaran.
”Objektif program ini adalah untuk membantu meningkatkan pendapatan usahawan melalui pemberian bantuan projek ekonomi yang melibatkan aktiviti pengeluaran, pemprosesan, pengedaran dan pemasaran.
“Selain itu, FAMA mahu meningkatkan pengetahuan, kemahiran serta daya saing usahawan melalui latihan-latihan di bawah program FAMA,”katanya kepada pemberita selepas Program Penyerahan Bantuan Peralatan Sokongan Pemasaran Usahawan Negeri Terengganu di sini hari ini.
Sementara itu, pihaknya juga menggalakkan para petani untuk mendaftar di bawah program Ladang Kontrak kerana pelbagai kemudahan dan manfaat boleh diperolehi.
“Sebagai contoh, FAMA menyediakan kemudahan kenderaan untuk menghantar hasil pertanian berkenaan, merupakan antara perkhidmatan yang disediakan FAMA kepada petani yang merupakan peserta ladang kontrak,”tambahnya.
21 May 23
356
Membaca Simbolik Kemajuan Bangsa Dan Budaya
KUALA TERENGGANU, 18 Mei - Program Jom Baca Bersama 10 Minit merupakan satu simbolik ke arah membentuk masyarakat minat membaca walaupun dalam tempoh yang singkat.
Isteri Menteri Besar Terengganu, Toh Puan Seri Tuan Faezah Tuan Abd Rahman berkata program Jom Baca mampu menjadi batu loncatan dan membuka mata masyarakat betapa pentingnya pembacaan dalam kehidupan seharian.
"Semua usaha yang dilakukan haruslah dilihat sebagai kesempatan terbaik untuk martabatkan ilmu di negeri ini.
"Harapan saya Terengganu akan muncul sebagai negeri maju di mana teras pembangunan negeri ini juga berpaksikan ilmu pengetahuan, " katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Perasmian Program Jom Baca Bersama 10 minit Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu bertempat di Dewan Serbaguna, Perpustakaan Awam Negeri Terengganu di sini hari ini.
Tambahnya lagi, program Jom Baca juga memperlihatkan kesungguhan kerajaan untuk menjadikan amalan membaca sebagai satu budaya bagi membentuk masyarakat berpengetahuan, berilmu dan bermaklumat.
18 May 23
584
Sembilan Bapa Dipenjara Gagal Bayar Nafkah Anak
KUALA TERENGGANU, 18 Mei - Statistik oleh Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu menyatakan, sembilan lelaki dipenjarakan dari 2012 hingga 2019 kerana mengingkari perintah mahkamah untuk membayar nafkah anak-anak mereka.
Ketua Hakim Syarie Terengganu, Dato’ Wan Mohd Zakri Wan Mohd berkata, mereka yang ingkar itu telah menjalani hukuman penjara paling minima tujuh hari dan maksima selama 30 hari mengikut Peruntukan Tindakan Notis Penghakiman yang dikeluarkan oleh mahkamah syariah.
Katanya, mahkamah syariah tidak memandang ringan terhadap kesalahan tersebut dan tindakan sewajarnya boleh diambil sekiranya pihak lelaki masih culas untuk membuat pembayaran nafkah.
“Masih ramai yang culas membayar nafkah ditambah keadaan semasa suami itu yang tidak mampu membayar sebagimana yang diperintahkan.
Walau bagaimanapun mahkamah memerintahkan berdasarkan kepada keperluan sebenar anak tersebut dan kemampuan pihak bapa untuk menanggung nafkah anak,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di Majlis Penyampaian Bantuan Pendahuluan Nafkah Bahagian Sokongan Keluarga, Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu Siri 1 Tahun 2023.
Majlis perasmian penyampaian bantuan berjumlah RM52,470 kepada 32 penerima itu telah disempurnakan oleh yang Dipertua, Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Dato’ Shaikh Harun Shaikh Ismail di Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu, hari ini.
Wan Mohd Zakri berkata, antara tindakan yang dikenakan kepada mereka yang culas membayar nafkah anak termasuk arahan pemotongan gaji bagi bapa yang bekerja dan kegagalan meeka melakukan pembayaran nafkah juga boleh dipenjarakan.
“Namun ada juga gagal dikesan untuk diambil tindakan selepas gagal melunaskan tuntutan nafkah,” ujarnya.
Menurut beliau, tujuan Dana Pendahuluan Nafkah Anak diberikan bagi meringankan beban bekas isteri kerana keculasan pihak bekas suami membayar nafkah yang telah diperintahkan.
“Jadi bagi meringankan beban ibu-ibu yang menjaga anak ini maka kami mengagihkan awal sebagai pendahuluan dan duit ini kami menerimanya daripada sumbangan pihak MAIDAM dan penerima-penerima ini telah dipilih berdasarkan kategori-kategori yang telah ditetapkan.
“Sebenarnya dalam BSK Mahkamah Syariah kita ada dua jenis dana iaitu Dana Bantuan Nafkah Anak dan satu lagi Dana Pendahuluan Nafkah Anak, Dana Pendahuluan Nafkah Anak yang dikatakan duit daripada sumbangan MAIDAM itu, mereka (bekas suami) tidak perlu lagi membayar balik.
“Berbeza dengan Dana Pendahuluan Nafkah Anak, suami sebaliknya perlu membayar balik dana yang disalurkan kepada bekas isteri menerusi Dana Bantuan Nafkah Anak.
Bagaimanapun katanya, ada golongan yang mendapat dana itu tetapi mereka (bekas isteri) masih lagi dalam proses tindakan pelaksanaan perintah untuk mendapatkan balik nafkah daripada suami yang culas membayarnya.
18 May 23
736
Jaga Kebajikan Pekerja Resepi Kejayaan Tokoh Usahawan
KUALA TERENGGANU, 18 Mei - Menjaga kebajikan pekerja untuk melahirkan semangat serta kerjasama berpasukan menjadi rahsia kejayaan Aminuddin Mat Yusof, 57, yang terlibat dalam menguruskan perniagaan perkapalan.
Kerana itu beliau telah dinobatkan sebagai Tokoh Usahawan Terengganu 2022 oleh Yayasan Pembagunan Usahawan (YPU) Terengganu pada malam Anugerah Usahawan Terengganu (AUT2022) kelmarin.
Katanya, selama 25 tahun berkecimpung dalam bidang berkenaan, itulah yang diamalkannya bagi melahirkan sebuah pasukan kerja yang mantap terdiri hampir 700 kakitanganmya.
"Selain itu setiap bulan kita amalkan bacaan yassin dan solat hajat membabitkan semua staf juga meraikan sambutan hari lahir sebagai penghargaaan kepada meraka, supaya semua berkerja dalam suasana gembira.
"Saya juga turut menubuhkan Yayasan Sulaiman Al-Haj yang diberi nama sempena datuk saya untuk disalurkan bantuan pendidikan kepada anak kakitangan juga kepada sekolah-sekolah (yang terpilih di Terengganu) sebagai Program Tangggungjawab Sosial (CSR),"ujarnya lagi.
Beliau yang juga merupakan Pengarah Urusan Amir Vision Sdn Bhd itu berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di AUT, di Taman Tamadun Islam di sini, kelmarin.
Majlis penyampaian AUT 2022 itu telah disempurnakan perasmiannya oleh Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman.
Mengulas lanjut, Aminuddin berkata tiada jalan mudah yang lalu untuk mengecapi kejayaan itu kerana pernah berhadapan dengan pelbagai cabaran yang terpaksa ditempuhi beliau.
"Cabaran terbesar ialah ketika kejatuhan industri minyak dan gas (sekitar tahun 2015) dimana setelah kapal disiapkan, kelima-lima kapal tidak disewa, jadi bayangkan bagaimana kita hendak bayar kepada bank jadi saya berunding dengan PETRONAS.
"Ketika itu saya melihat Duyong Marina juga dalam keadaan tidak bergerak, daripada situ timbul idea untuk mewujudkan pelabuhan untuk kakitangan Petronas ke pelantar minyak, jadi alhamdulillah Petronas berjaya menjimatkan kos RM2 bilion apabila menggunakan kapal menggantikan helikopter.
"Bukan satu benda yang mudah kerana perlu memikirkan bagaimana hendak bayar hutang bank dan gaji pekerja yang secara keseluruhannya mencecah RM2.8 juta setahun," katanya.
Tambah beliau, kerana berkat kesabaran dan sikap tidak berputus asa serta membentuk kerja berpasukan yang mantap menyebabkan apa jua halangan berjaya ditempuhi.
Untuk rekod, Aminuddin kini memiliki lima kapal utiliti yang bernilai RM125 juta dan sebuah kapal nelayan moden yang diperbuat daripada besi berharga RM10 juta.
Selain perusahaan dalam sektor perkapalan, beliau juga berjaya mengembangkan perniagaan dengan menubuhkan 15 syarikat dalam pelbagai bidang termasuk perikanan, industri halal serta pendidikan.
18 May 23
359
PERKESO Sasar 300 Ribu Suri Rumah Carum SKSSR Tahun Ini
KUALA TERENGGANU, 18 Mei - Seramai 300,000 suri rumah disasarkan mencarum dalam Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), di seluruh negara sehingga akhir tahun ini.
Ahli Lembaga PERKESO, Datuk Ahmad Nadzaruddin Abd Razak berkata, sejak SKSSR dilaksanakan 1 Disember tahun lalu , 160,000 suri rumah sudah mencarum di bawah skim itu, yang memberi perlindungan bencana domestik dan keilatan kepada golongan berkenaan.
Namun katanya, jumlah itu masih rendah berbanding anggaran terdapat kira-kira 3 juta suri rumah di seluruh negara dan PERKESO kini sedang berusaha meningkatkan penyertaan golongan tersebut dalam SKSSR.
“Daripada maklum balas yang diterima, antara punca pendaftaran SKSSR masih rendah adalah suri rumah atau pencarum sukar untuk membuat bayaran caruman.
“Oleh itu kita bercadang untuk menambah kaedah dan saluran bayaran caruman, contohnya menerima penggunaan kad kredit, e-wallet atau pembayaran secara dalam talian,” katanya ketika hadir ke Sambutan Aidilfitri PERKESO Terengganu di sini semalam.
Hadir sama Pengarah PERKESO Terengganu, Farihah Che Husin.
Ahmad Nadzaruddin berkata, PERKESO juga akan lebih proaktif dalam menyampaikan semua maklumat berkaitan kebaikan SKSSR kepada golongan sasar termasuk dengan kerjasama bersama agensi kerajaan lain.
“PERKESO sedang meningkatkan kesedaran dan penyertaan golongan sasaran dalam SKSSR, termasuk melalui kerjasama dengan CUEPACS dan pelbagai saluran lain.
Katanya, usaha itu penting kerana maklumat inisiatif yang dilaksanakan kerajaan buat golongan suri rumah belum sampai hingga ke peringkat akar umbi.
SKSSR memberi perlindungan kepada suri rumah menerusi faedah hilang upaya kekal, perubatan dan pemulihan, elaun keuzuran, bantuan dialisis, pencen penakat dan pengurusan mayat.
Semua suri rumah berusia bawah 55 tahun dan menguruskan rumah tangga sepenuh masa atau separuh masa, serta berkahwin atau bujang, layak untuk menyertai skim itu, dengan caruman RM120 bagi tempoh 12 bulan, yang dibayar secara lebih awal.
18 May 23
294
TSM Labur RM500 Juta Bangun Industri Silika
TRG Silica (Marang) Sdn Bhd (TSM) akan membangunkan industri pengeluaran silika ultra tulen dan kristobalit yang bernilai RM500 juta pada Julai.
18 May 23
128
Tiga Bas Elektrik Beroperasi Di Terengganu Tahun Depan
KUALA TERENGGANU, 17 Mei- Eksekutif Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) melalui anak syarikatnya Cas Ligas Sdn. Bhd. (Cas Ligas) bakal menyediakan tiga bas elektrik untuk penumpang di bandar raya ini bermula awal tahun hadapan
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu PMINT, Wan Adnan Wan Derahman berkata, bas yang mengaplikasikan teknologi hijau tanpa petroleum tersebut menelan belanja RM3 juta dan akan memuatkan 32 penumpang pada setiap masa.
"Ketika ini terdapat tujuh buah bas penumpang di Kuala Terengganu manakala sebuah lagi di Kemaman.
“Tiga bas ekspres yang akan mula beroperasi pada tahun depan ini akan menampung keperluan pengguna di negeri ini,” katanya pada majlis Aidilfitri Cas Ligas Sdn. Bhd. (Cas Ligas) baru-baru ini.
Dalam majlis tersebut, seramai 20 anak yatim Baitul Sakinah diraikan dengan menyusuri Sungai Terengganu dengan Teksi Air Payang diusahakan Cas Ligas.
Tambahnya lagi, bas Singgah-Singgah berkonsepkan bas pelancongan yang menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya dilihat mempunyai daya tarikan tersendiri selain mengaplikasikan teknologi hijau bebas tanpa karbon monoksida.
Dalam pada itu, beliau memberitahu PMINT juga bercadang untuk memiliki bas berkonsep dek terbuka yang akan menyediakan perkhidmatan minum petang bagi merancakkan sektor pelancongan tempatan.
18 May 23
438
5,391 KIR Besut Terima Bantuan Banjir Sebelum Berakhir Mei
Seramai 5,391 Ketua Isi Rumah (KIR) di daerah ini akan menerima bantuan banjir daripada kerajaan negeri sebelum berakhir Mei, ujar Menteri Besar Terengganu.
17 May 23
268