Artikel "Semasa" Terkini
Terengganu Inc Mendukung Pembudayaan 'Benci Rasuah'
SETIU, 28 Mei - Syarikat pelaburan induk strategik kerajaan negeri, Terengganu Incorporated Sdn Bhd ( Terengganu Inc) sentiasa mendukung pembudayaan 'benci rasuah' serta pematuhan integriti di dalam gerak kerja.
Presiden dan Pengarah Eksekutif Terengganu Inc, Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun berkata, polisi etika kerja yang baik telah dibangunkan serta dijadikan amalan.
Kemudiannya polisi terbabit menurutnya, dilanjutkan kepada anak syarikat yang lain untuk diguna pakai oleh TDM Berhad, EPIC Berhad juga Ladang Rakyat Terengganu.
"Polisi seperti Anti-Rasuh dan Penyelewengan, Kod Etika Perniagaan, 'Whistleblowing', 'No-gift' dan 'Sponsorship and Donation' telah dirangka dan dilanjutkan kepada anak syarikat.
"Untuk mempertingkatkan kawalan dalaman, Terengganu Inc turut mewujudkan kerangka kawalan dalaman dan bagi memudahkan rujukan, Buku Panduan Anti-Rasuah dan penyelewengan juga telah dilancarkan secara rasmi.
"Sebelum ini, Terengganu Inc tidak asing lagi memberi kerjasama penuh dengan SPRM dengan menganjurkan 'Integriti-tea Talk With SPRM' pada awal Mac lalu dan Ikrar Bebas Rasuah semasa Bulan Integriti Peringkat Negeri 2022,"ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Perkasa Wira Anti Rasuah (WAR) di Sekolah Kebangsaan Pulau Redang, di sini, kelmarin.
Turut hadir, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Norazlan Mohd Razali.
Dalam pada itu Burhanuddin memaklumkan ' WAR ' merupakan program tanggungjawab sosial korporat pertama Terengganu Inc dengan pihak SPRM dan telah menjadikan Sekolah Kebangsaan Pulau Redang sebagai sekolah angkat Terengganu Inc.
"Dengan adanya program seumpana ini diharapkan agar ia dapat membentuk generasi pelajar yang peka terhadap isu rasuah, serta memupuk semangat integriti dan kejujuran dalam diri mereka,"ujarnya.
28 May 23
313
Terengganu Bina Kilang Baja Bernilai RM40 Juta
Kerajaan Terengganu melalui anak syarikatnya, East Coast Fertilizer Sdn Bhd akan membina sebuah kilang baja berteknologi tinggi yang pertama di negeri ini.
28 May 23
263
'War' Inisiatif SPRM Didik Generasi Bebas Rasuah
SETIU, 26 Mei - Program Perkasa Wira Anti Rasuah (WAR) merupakan usaha berterusan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi melahrikan generasi bebas rasuah.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Norazlan Mohd Razali berkata, sehingga kini ia telah diadakan di 162 buah sekolah.
"Program ini dirangka dengan tujuan memberikan pendedahan awal kepada murid-murid di sekolah yang terlibat untuk membudayakan sikap membenci rasuah serta menerapkan nilai-nilai integriti yang tinggi dalam jati diri mereka.
"Program yang diadakan ini adalah selaras dengan tuntutan inisiatif 2.4.6 Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 iaitu memperkukuhkan pendidikan di peringkat rendah dan menengah yang berteraskan pembentukan sahsiah, jati diri dan kepimpinan yang utuh,"ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Perkasa Wira Anti Rasuah (WAR), di Sekolah Kebangsaan Pulau Redang, di sini, kelmarin.
Turut hadir, Presiden dan Pengarah Eksekutif Terengganu Incorporated (Terengganu Inc), Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun.
Sementara itu, Norazlan berkata program berkenaan yang telah disertai oleh Terengganu Inc telah melayakkan syarikat korporat tersebut menjadi yang pertama akan mendapat inisiatif potongan cukai oleh SPM kerana melaksanakan program Pendidikan Rasuah.
"Saya mengucapkan tahniah kepada Terengganu Inc yang telah turut bersama kami (SPRM) semoga ia menjadi contoh kepada syarikat korporat yang lain untuk turut membua program mengenai pendidikan rasuah ini,"ujarnya,
Untuk rekod, Pelaksanaan program CSR berbentuk pencegahan dan pendidikan antirasuah di negara ini membolehkan syarikat swasta mendapat potongan cukai di bawah Seksyen 34(6)(h) Akta Cukai Pendapatan 1967.
Menerusi program berkenaan ia akan memberi manfaat kepada masyarakat umum, termasuk pelajar di institusi pengajian tinggi dan sekolah.
26 May 23
1180
Terengganu Bina Kilang Baja Bernilai RM40 Juta
KEMAMAN, 24 Mei - Kerajaan Terengganu melalui anak syarikatnya, East Coast Fertilizer Sdn Bhd akan membina sebuah kilang baja berteknologi tinggi yang pertama di negeri ini.
Kilang yang akan dibangunkan di atas tanah yang berkeluasan lebih 50,000 kaki per segi itu akan berupaya menghasilkan kapasiti pengeluaran baja berjumlah 50,000 metrik tan bagi setiap tahun dan mampu mencapai kapasiti maksima sehingga 100,000 tan metrik setahun.
Setiausaha Kerajaan negeri, Tengku Seri Bijaya Raja berkata, kilang berkenaan yang akan dibina pada tahun ini dan dijangka akan memulakan operasinya pada tahun hadapan akan mewujudkan 250 peluang pekerjaan di negeri ini.
"Dengan adanya kilang ini nanti ia akan memberi peluang dan membantu golongan petani dan pengusaha di negeri ini untuk mendapatkan baja yang berkualiti bagi meningkatkan hasil pertanian mereka dengan cara yang lebih berkesan.
"Secara tidak langsung akan mengurangkan kebergantungan pengusaha ladang, pekebun dan petani kepada baja dari luar, sebaliknya akan mendapatkan baja yang berkualiti untuk mengaplikasikan pertanian yang lebih berkualiti dan sesuai untuk keadaan tanah di Terengganu dan Wilayah Pantai Timur," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Tapak Pembinaan Kilang Baja ECFSB dan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara ECFSB dan Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC) di Teluk Kalong, di sini, baru-baru ini.
Pada majlis tersebut, EPIC diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Ridzuan Ali dan Ketua Pegawai Operasi Kumpulannya, Ir Muhtar Suhaili manakala ECFSB pula diwakili oleh Pengarahnya, Muhammad Ramizu Mustaffa dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Zaman Abdullah.
Memorandum yang ditandatangani oleh kedua-dua belah pihak adalah berkaitan pajakan tanah untuk projek pembinaan kilang baja milik ECFSB itu di Teluk Kalong, Kemaman.
Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata MoU berkenaan merupakan langkah penting dalam memperkukuhkan sektor pertanian di negeri ini.
"Kerjasama antara ECFSB dan EPIC akan membawa manfaat yang besar kepada industri pertanian dan penternakan di negeri ini dalam memastikan hasrat Terengganu untuk menjadi negeri pegeluar makanan dan menjadikan negeri ini sebagai pusat pertanian yang berdaya saing tinggi,"ujarnya.
Dalam pada itu Ridzuan pula menyifatkan lokasi pembinaan kilang tersebut adalah strategik, sekali gus akan membuka pintuk kepada ECFSB untuk menerokai pasaran Pantai Timur dan seterusnya berkembang ke peringkat negara-negara jiran dan juga pasaran serantau.
24 May 23
2139
Kerajaan Negeri Peruntuk RM540 Ribu Bagi Pembangunan Unjam
Kerajaan negeri melalui Pejabat Perikanan Negeri Terengganu memperuntukan RM540,000 bagi projek melabuhkan 794 unjam sejak 2018 hingga kini.
23 May 23
195
Zakir Naik Antara Tokoh Hadir Pada Persidangan Antarabangsa Terengganu 2023
KUALA TERENGGANU 23 Mei - Pendakwah terkemuka, Dr Zakir Naik adalah tokoh yang akan hadir pada Persidangan Antarabangsa Terengganu atau Terengganu International Summit (TIS) 2023 anjuran kerajaan negeri bakal berlangsung di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam pada 1 Jun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, penganjuran pertama kali itu turut mendapat kerjasama Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS), Yayasan Permata Ummah serta Menteri Besar Incorporated (MBI).
“Bertemakan ‘Kesyumulan Islam dalam Mendepani Cabaran Global’,TIS 2023 akan menghimpunkan para sarjana, pakar dan pembuat dasar bagi membincangkan isu- isu kritikal berkaitan peranan Islam dalam masyarakat majmuk kontemporari, politik dan kesatuan ummah, serta meneroka penyelesaian bagi cabaran yang dihadapi oleh umat Islam.
“Ia juga akan menampilkan tokoh-tokoh ilmuan, ahli politik dan pendakwah Islam antaranya Senator Dato' Seri Dr. Hj. Zulkifli Mohamad al-Bakri (Malaysia), Dr. Zakir Abdul Karim Naik (India), Dr. Hj. Muhammad Hidayat Nur Wahid (Indonesia) dan Prof. Dr. Abdel Rahim Ali Mohammed Ibrahim (Sudan) selain Tan Sri Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang yang akan menyampaikan ucaptama,” ujarnya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Persidangan Antarabangsa Terengganu 2023 di Pejabat TSIS, hari ini.
Katanya, menyedari pelbagai isu dan cabaran serta ancaman terhadap agama Islam yang berlaku seperti Islamaphobia dan sebagainya, persidangan kali ini dilihat amat relevan bagi membincangkan perkara berkaitan Ta'ayush dalam Masyarakat Majmuk Kontemporari, Uslub Dakwah dalam Masyarakat Majmuk Kontempori serta Politik Islam dan Perpaduan Ummah dan lain-lain lagi.
“Perlu difahami bahawa Islam adalah agama rahmatan lil'alamin. Berteraskan asas akhlak, kesatuan ummah, kedamaian dan progresif, Islam berkembang ke seluruh pelusuk alam.
“Kedudukan Islam yang merentasi pelbagai bangsa dan budaya menyebabkan ia menjadi agama yang sarat dengan nilai bahkan penerimaan Islam terhadap nilai tempatan sebagai sebahagian cara hidup, selagi menepati akidah menjadikan Islam agama amat 'comprehensive',” jelasnya.
Katanya, besar harapan beliau agar impak serta resolusi yang akan diperolehi daripada program ini dapat memberi manfaat kepada seluruh masyarakat Malaysia.
23 May 23
692
EPIC, ECF Jalin Kerjasama Bina Kilang Baja di Kemaman
KEMAMAN, 23 Mei - Eastern Pacific Industrial Corporation Bhd (EPIC) dan East Coast Fertilizer Sdn Bhd (ECF) telah menandatangani Perjanjian Persefahaman (MOU) bagi membina sebuah kilang baja di Kawasan Perindustrian Telok Kalong, Kemaman di sini.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC, Ridzuan Ali berkata projek ini menjadi titik permulaan bagi mengembangkan pasaran kepada pemain industri di Pantai Timur seterusnya ke seluruh negara.
"Tapak seluas sekitar 6.7 ekar milik EPIC ini adalah lokasi paling strategik untuk memulakan langkah dan membuka pintu kepada ECF untuk menerokai pasaran di Pantai Timur seterusnya berkembang ke negara jiran dan pasaran serantau.
"Dengan MOU ini, ECF akan memberi fokus kepada pembinaan kilang di tapak ini yang dijangkakan bermula pada 2024 dan akan memberi peluang pekerjaan kepada masyarakat sekitarnya," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Menandatangani Memorandum persefahaman antara EPIC dan ECF di sini baru-baru ini.
Majlis yang diadakan di Kawasan Perindustrian Telok Kalong berhampiran kilang Bitumen Kemaman itu telah disempurnakan Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Tengku Seri Bijaya Raja yang mewakili Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu, Dr Azman Ibrahim, Exco Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Pembangunan Nasional, Hanafiah Mat serta Ahli Lembaga Pengarah EPIC dan ECF.
Tambah Ridzuan Ali, pihaknya akan memberi sepenuh sokongan dari segi pengendalian kargo yang ada di Pelabuhan Kemaman dan perkhidmatan logistik mengikut keperluan ECF.
22 May 23
1218
Hanafiah Rai Lebih 10,000 Pengunjung Aidilfitri
KEMAMAN, 22 Mei - Seramai lebih 10,000 orang warga Terengganu terutamanya di daerah ini telah diraikan dalam Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Peringkat Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, semalam.
Pengerusinya, Hanafiah Mat melahirkan rasa keterujaannya serta mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat menjayakan program ini.
"Terima kasih kepada semua pihak samada daripada seluruh agensi kerajaan, mahupun masyarakat terutamanya yang tinggal di daerah ini kerana sentiasa memberikan sokongan yang baik kepada setiap program yang kami anjurkan.
"Sepanjang 5 tahun memerintah, kami telah melaksanakan tanggungjawab dengan sebaiknya. Saya berharap seluruh masyarakat akan sentiasa memberikan sokongan kepada kami untuk terus menerajui pemerintahan di negeri ini," ujarnya ketika ditemui pemberita.
Hanafiah juga turut mengharapkan agar seluruh masyarakat di negeri ini mendoakan kebaikan buat seluruh pimpinan pentadbiran kerajaan negeri.
"Semoga ukhwah sesama kita akan terus terjalin erat, Insya-Allah," katanya lagi.
Majlis yang diadakan di Kemaman Arena Square itu berlangsung dalam suasana sangat meriah dimana orang ramai mula memenuhi pekarangan bermula jam 11.00 pagi sehinggalah jam 3.00 petang.
Majlis ini juga turut diserikan dengan kehadiran Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja.
22 May 23
415
Kerajaan Negeri Peruntuk RM540 Ribu Bagi Pembangunan Unjam
DUNGUN, 22 Mei - Kerajaan negeri melalui Pejabat Perikanan Negeri Terengganu memperuntukan RM540,000 bagi projek melabuhkan 794 unjam sejak 2018 hingga kini.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, usaha dijalankan secara berterusan itu merupakan solusi setelah diadakan program dialog dengan seluruh nelayan di negeri ini.
"Pada waktu itu ada tiga isu besar telah dinyatakan, pertama perairan laut Terengganu kekurangan ikan terutamanya Zon A sudah berada pada kod amaran warna merah yang menunjukkan hasil sangat kurang, kedua isu nelayan pantai tidak memiliki lesen dan ketiga berlaku pencerobohan nelayan asing atau bot pukat tunda.
"Setelah mengenal pasti masalah utama berkenaan kita ambil jalan untuk menyelesaikannya, termasuk memperkayakan hasil laut dengan melabuhkan unjam yang berfungsi sebagai pengumpul ikan bagi memberikan peluang kepada nelayan untuk mendapat hasil tangkapan yang tinggi.
"Unjam yang dilabuh tidak melebihi lima batu nautika dari pantai ini telah mendatangkan manfaat kepada nelayan pantai yang menggunakan peralatan tradisional untuk menangkap ikan seperti pukat hanyut, bubu dan alatan mengail,"ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Penyerahan Unjam dan Bantuan Kepada Nelayan Pantai, Nelayan Darat dan Pengusaha Akuakultur bagi Daerah Dungun, di Pengakalan Rantau Abang, semalam.
Katanya, sebanyak 37 unit unjam telah dilabuhkan di daerah ini bagi memberi manfaat kepada 150 orang nelayan pantai.
Sementara itu Dr Azman juga berkata,kerajaan negeri telah menyalurkan peruntukan berjumlah RM 1.8 juta bagi membantu nelayan pantai, nelayan darat dan pengusaha akuakultur.
"Bantuan peralatan bagi tahun 2023, sebanyak RM300,000 diperuntukkan kepada nelayan darat merangkumi peralatan 'fish finder', peralatan mengail dan tong insulasi (100 liter) kepada 468 orang nelayan pantai di seluruh daerah di Terengganu termasuk pada seramai 78 orang bagi Daerah Dungun.
"Peruntukan kepada nelayan darat sebanyak RM80,000 pula meliputi set pukat tangsi dan tong insulasi (75 liter) diserahkan kepada 140 orang nelayan darat seluruh negeri Terengganu.
"Manakala bantuan input akuakultur sebanyak RM700,000 untuk perolehan makanan rumusan, benih ikan, pukat. set pengudaraan (genset), peralatan penambahbaikan ladang, premis dan tangki sawah kepada 16 orang pengusaha di Daerah Dungun,"katanya.
22 May 23
591
FAMA Sasar Tambah 14 Pasar Tani Tahun Ini
KUALA TERENGGANU, 21 Mei- Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menyasarkan untuk menambah 14 lagi pasar tani di seluruh negara pada tahun ini.
Pemangku Ketua Pengarahnya, Abdul Rashid Bahri berkata, penambahan pasar tani itu bergantung kepada peruntukan dan juga kesesuaian tapak.
“Kajian Jabatan Perangkaan Malaysia telah mencadangkan FAMA untuk membuka lebih banyak outlet pasar tani mengunakan kaedah bilangan penduduk di satu-satu tempat.
“Bagi pihak FAMA kita mengucapkan terima kasih atas cadangan itu dan akan menggunakan data oleh Jabatan Perangkaan Malaysia untuk pembukaan pasar-pasar tani baru di masa hadapan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Penyerahan Bantuan Peralatan Sokongan Pemasaran Usahawan Negeri Terengganu di sini, hari ini.
Menurut Abdul Rashid, pelbagai faktor akan diambil kira sebelum pembukaan sesebuah pasar tani baharu.
“Setiap kali kita hendak membuka pasar tani, kita akan buat satu kajian pasaran yang melibatkan unsur-unsur seperti kepadatan penduduk, bilangan pasaraya yang berada di kawasan yang dicadangkan, budaya beli penduduk dan kebenaran daripada pihak PBT,” ujarnya.
Katanya, sehingga kini lebih 250 outlet pasar tani beroperasi di seluruh Malaysia.
Terdahulu, laporan media turut memaklumkan Kerajaan mengarahkan FAMA agar membuka lebih banyak pasar tani mengikut kepadatan penduduk di sesuatu kawasan.
Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, FAMA harus mempunyai perancangan dengan membuka 1,391 pasar tani dan pembukaan itu perlu mengikut nisbah penduduk.
"(Perkara) ini ditentukan kawasan berpendudukan tinggi di Semenanjung.
"Manakala untuk Sabah dan Sarawak, Fama telah cuba untuk (membuka) pasar tani tapi penduduk Sabah dan Sarawak lebih berminat menggunakan pasar tamu mereka,” jelasnya.
Beliau berkata, penyelarasan mengenai perkara itu harus dilakukan sekarang.
21 May 23
748